Betapa serius sekalipun pun seseorang itu mahu melafazkan sumpah ia tetap perlu melalui proses perundangan syariah yang betul. Dan betapa masyarakat yang tidak mempunyai kefahaman yang tepat mengenai status sumpah mengikut perundangan syariah tidak boleh membuat rumusan bahawa sumpah itu adalah satu-satunya cara menyelesaikan masalah .
TERAS berpendapat amalan sumpah yang yang tiba-tiba menjadi isu dalam krisis politik kini tidak sepatutnya menjadi bahan momokan yang akhirnya merosakkan imej dan kemurnian Islam.
TERAS sangat kesal dan mengutuk mereka yang nampaknya menjadikan sumpah seolah-olah sesuatu yang boleh dibuat sesuka hati tanpa merujuk kepada proses perundangan syariah.
Akibat keghairahn mereka yang terlalu gopoh mengutarakan kaedah bersumpah tanpa melalui proses perundangan dan lebih buruk lagi saling cabar mencabar yang disensasikan lagi oleh media yang berkepentingan politik , imej Islam di Negara ini telah dihina oleh orang Islam sendiri.
Apa yang lebih dikesali lagi ialah pemimpin politik turut mengeksploitasi isu sumpah sehingga kini tidak terkawal dan semakin mengelirukan . Situasi diperparahkan pula oleh segelintir golongan agama yang nampaknya turut terperangkap dalam permainan politik saling mencabar antara satu pihak dengan yang lain yang menyebabkan Islam benar-benar menjadi alat politik yang sangat jijik.
Jika sesorang Muslim bersungguh menjadikan Al Quran dan Al Sunnah sebagai ikutan maka , pedoman yang tepat mengikut apa yang ditunjukkan oleh kedua-dua rujukan utama itu hendaklah dituruti dengan ikhlas. Bukan mengikut teluntuk politik sempit apatah lagi mencari kesempatan untuk membunuh dan mengaibkan peribadi musuh politik.
TERAS mengesa semua pemikir dan ahli ilmuan Islam dari kalangan ulama dan pakar perundangan Islam segera mengeluarkan pendirian resmi dan jelas mengenai isu ini untuk menghentikan gejala permusuhan yang sangat tidak sihat ini disamping menjelaskan secara muktamad tuntutan Islam yang sebenar mengenai isu ini.
TERAS memohon agar isu ini tidak berlarutan dan suatu keputusan yang tegas melarang mana-mana pihak membangkitkan secara terbuka isu ini terutama dalam media massa demi menjaga maruah dan kemulian syariat Islam dari dipermainkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu