SPRM perlu insaf perkaitan rasuah dengan hukum beragama

Rasuah adalah barah dan penyakit sosial yang sekian lama telah dibanteras oleh syariah Islam melalui pelbagai saranan dan cara pengekangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Perbuatan rasuah amat dilarang keras oleh Syariat Islam, apatah lagi ia dihitung sebagai suatu dosa besar. Di Malaysia, rasuah seakan-akan nyanyian wajib bagi gelanggang politik dan ia hanya dianggap sebagai masalah sosial atau tidak beretika sedangkan ia jelas HARAM dalam Islam.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 177

“Janganlah kamu makan harta-harta di antara kamu dengan jalan haram dan kamu bawa (berikan) kepada hakim-hakim untuk kamu makan sebahagian dari harta-harta manusia (orang lain) dengan cara kedosaan walhal kamu mengetahui.”

Sabda Nabi Muhammad S.A.W

“Laknat Allah atas orang yang memberi suap dan orang yang menerima suap dalam hukum”

Dalam hadith yang lain Nabi berkata

“Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman)” ( Riwayat  At-Tirmidzi, Hasan Sohih)

Mungkin ada yang tidak sedar bahawa Nabi Muhammad juga telah memberi panduan umum mengenai KPI (Key Performance Index) bagi sebarang urusan kerja sejak zamannya ” Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) ” (Riwayat Abu Daud,  hadis no 2943)

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab iaitu al-risywah.  Definisi rasuah (bahasa Latin ialah  corruptio iaitu daripada kata kerja corrumpere bermaksud  busuk. Secara umumnya,  rasuah adalah nilai ganjaran yang diterima dari segi harta, pangkat, kedudukan, rebat dan diskaun untuk tujuan dan hasrat tertentu.

Di Malaysia, usaha membanteras rasuah hanya dijadikan gula-gula atau retorik jijik yang digunakan oleh setiap pemimpin utama negara di awal sesi pentadbiran mereka. Lihat sahaja bagaimana hasrat Tun Mahathir semasa memulakan sesi beliau pada tahun 1981 dahulu. Dikuti oleh perang rasuah yang dilancar oleh Tun Abdullah dan  kemudiannya pada  1 Januari 2009, kerajaan  menukar nama BPR kepada SPRM yang diharapkan dan diimpikan dapat menaikkan taraf indeks rasuah negara. Malang lagi hingga era pentadbiran Najib, rasuah tetap menjadi retorik utama kerajaan untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap rakyat.

Cuba lihat laporan indeks rasuah yang khas menunjukkan keadaan rasuah dalam sesebuah negara yang dikeluarkan oleh Transperancy International. Badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Berlin , Jerman ini telah membuat laporan bahawa Malaysia adalah di antara negara yang mempunyai kadar rasuah yang tertinggi. Corruption Perception Index (CPI) yang dilakukan oleh badan itu terhadap permasalahan rasuah di Malaysia tidak menunjukkan imej yang baik sejak tahun 1990an hingga kini. CPI adalah indeks komposit yang dirumuskan berdasarkan pelbagai pendapat pakar yang mengumpul persepsi rasuah sektor awam di lebih 160 negara di seluruh dunia. Ia memberikan mata kepada negara berdasarkan skala dari 0 hingga 10, dengan 0 menunjukkan tahap tinggi persepsi rasuah manakala 10 pula menunjukkan tahap rendah persepsi rasuah.

Dahulu , Malaysia pernah berada di kedudukan ke-29 berdasarkan CPI 1997 tetapi menjunam  ke kedudukan ke-32 pada 1999. Laporan rasuah oleh Transparency International pada 2005 melaporkan bahawa Malaysia telah jatuh 16 tangga dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini  dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004.

Kajian pada tahun 2006 pula telah mencatatkan Malaysia dengan index CPI 5.0, jatuh ke tangga 44, dari sejumlah 163 buah Negara dan pada tahun 2007, Malaysia hanya mampu memperbaiki sedikit kedudukannya kepada tangga 43 dari tahap terbawah (bottom layer) iaitu 180. Index CPI Malaysia bagi tahun 2007 adalah 5.0.

Hari ini kita melihat sendiri, negara yang dipimpin orang Islam yang paling bersih dari rasuah hanyalah Qatar yang mampu berada di tangga 32 sahaja. Israel berada di tangga 30.  Manakala Singapura pula berada di tempat keempat terbaik dunia. (sumber Global Corruption Perception Index 2007)

Kerajaan Malaysia tidak mampu lagi menafikan wujudnya ‘jenayah’ rasuah  dalam kerajaan, seperti penjelasan yang pernah dibuat oleh  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok. Penjelasan itu dibuat ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Malaysia , anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI). Indeks Pembayar Rasuah 2008 oleh Transparency International mendedahkan bahawa ahli perniagaan Malaysia percaya bahawa syarikat mereka terbabit dalam amalan rasuah dengan 42 peratus mengakui memberi suapan kepada pegawai tinggi kerajaan.

Menurut Presiden Malaysian Society for Transparency and Integrity (TI Malaysia), Tan Sri Ramon V. Navaratnam pada pelancaran Global CPI 2006 di Institut Integriti Malaysia, “Kerumitan dan kekaburan dalam proses kelulusan serta pelesenan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan dan berkanun” adalah penyumbang kepada masalah itu. Selain itu, sebab lain yang menyuburkan rasuah, katanya, ialah budaya “senyap” di Malaysia , apabila pihak yang menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara atau melaporkan kes itu. Senyap sebenarnya bererti melindungi jenayah kroni-kroni politik. Senyap juga bermakna SPRM  menolak laporan demi laporan yang telah jelas diberikan bukti-bukti asah. Lantaran itu Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ibrahim Ali berkata selagi BPR tidak dijadikan satu suruhanjaya yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agung serta bertanggungjawab kepada Parlimen dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak dihapuskan, menyebabkan rakyat merasa takut dan ‘senyap’ untuk mengemukakan bukti-bukti yang mereka perolehi. Bukan salah rakyat sahaja.

SPRM dikatakan mempunyai lebih banyak kuasa berbanding Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini. Jika benar berkuasa penuh, mengapa setiap kali pemilihan UMNO, pemimpin utama parti masih bersandiwara menentang politik wang? Perkataan politik wang adalah kata nama indah bagi jenayah rasuah yang berleluasa dalam setiap kali pemilihan parti pemerintah. Melakukan politik wang, bagi UMNO adalah rasuah dan bukannya dosa dalam Islam, ia hanya salah dalam kod etika disiplin berparti semata-mata. Lebih dahsyat apabila SPRM yang bertukar pangkat daripada sebuah ‘badan’ kepada ‘suruhanjaya’ tetap lebih berminat menyiasat atas motif politik anti pembangkang sehingga ke hari ini.

Suatu ketika Malaysia boleh dikatakan terhina apabila beberapa kerat  ahli UMNO melakukan demostrasi menentang SPRM yang ingin menyiasat politik wang semasa pemilihan parti di pekarangan Menara Dato Onn (sumber http://umnoselangor .net) . Walaupun disedari SPRM juga bermain wayang untuk menyiasat, tetapi sekurang-kurangnya demostrasi tersebut menunjukkan betapa ‘perlunya’ rasuah untuk kemandirian politik BN sekarang. Bagi mereka masalah rasuah dalam parti adalah masalah ‘dalaman’, tiada kaitan dengan pihak ke tiga. Adakah bereerti mereka  menolak perkaitan rasuah dengan jenayah dalam agama dengan menganggap isu rasuah adalah isu rahsia?

Perlantikan menteri-menteri yang didakwa rasuah serta pengekalan Ketua Menteri Melaka yang jelas terbabit dengan politik wang jelas menunjukkan betapa rasuah dipermainkan oleh UMNO dan BN. Perkataan didakwa  mudah sahaja disangkal oleh yang terlibat memandangkan bukti dan laporan yang dibuat kepada BPR atau SPRM kebanyakkannya dibekukan atau di’bakul sampah’kan sahaja. Lebih malang apabila ada kes BPR membuat laporan pula kepada si pelapor atas tuduhan ‘memfitnah’.

SPRM seperti juga BPR, masih tidak bebas dari cengkaman eksekutif dan tidak bebas untuk mendakwa jika memiliki bukti sekalipun. Ia masih dilihat sebagai alat oleh pemerintah untuk mengkaburkan rasuah-rasuah berprofil tinggi serta melindungi sebaik mungkin rasuah-rasuah yang dilakukan oleh pemerintah tinggi (rujuk 10 KPI terhadap 100 hari pentadbiran najib Suara Keadilan 14-21 Julai 2009). OSA pula adalah alat tambahan untuk melengkapkan imunisasi pemimpin negara daripada diburai pekong rasuah masing-masing. Lihat sahaja bagaimana selesanya Eric Chia semasa disiasat oleh BPR dahulu. Tiada rungutan seksaan dalam tahanan. Datuk Seri Dr. Rais Yatim sewaktu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah mengumumkan bahawa masih terdapat 18 kes rasuah berprofil tinggi membabitkan orang kenamaan termasuk menteri yang sedang dalam peringkat akhir siasatan untuk dihadapkan ke mahkamah dan diikuti penangkapan Eric dan Kasitah.

Kematian Teoh Beng Hock semasa dalam siasatan di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi isu politik pula pada hari ini. Kaedah siasatan SPRM yang ala-ala siasatan jenayah bunuh dan rompak mulai dipertikai. SPRM perlu sedar, bukan teknik siasatan yang perlu dikursuskan kepada pegawai-pegawai mereka tetapi manual bagaimana mereka boleh memastikan kempen amanah dan jujur meresapi segenap segmen dan strata masyarakat dan kerajaan. Mereka mesti berkempen dan turut menasihati kerajaan apabila berlaku pemborosan yang cenderung ke arah penyelewengan. SPRM perlu menjadi agen pemurnian nilai dalam masyarakat seumpama institusi dakwah lain jika benar negara ini ingin bebas dari sikap korup, menyeleweng dan sebagainya. Tetapi sayang, apabila SPRM tidak berminat, kerana ia masih dikuasai oleh kuasa eksekutif dan bukannya bebas seperti yang sewajarnya di bawah Yang Dipertuan Agong. Imej pemurnian masyarakat perlu diterap dalam SPRM dan bukannya kontroversi seperti kes kematian tahanan, lambat siasat, laporan dibakul sampah atau membuat laporan balik terhadap pelapor rasuah.

Bernama 27 Julai 2009 melaporkan Najib mengisytiharkan  KPI terhadap 6 perkara penting antaranya adalah memerangi rasuah. Adakah KPI boleh selesaikan masalah sedangkan piawaian KPI adalah manusiawi, subjektif dan penuh dengan asas politik?

Sepertimana pemimpin negara kita menghina hukum hudud, menggalakkan ajaran Islam liberal di kalangan rakyat (kes pemecatan Mufti Selangor dan kes tangkapan kelab Zouk), begitu juga sikap mereka terhadap jenayah rasuah. Rasuah tidak dianggap hukum agama atau jenayah sebaliknya dijadikan alat mainan politik. Mengisytihar perang terhadap rasuah tetapi dalam masa yang sama melindungi rasuah yang jelas-jelas dibentang oleh rakyat. Jelas, penghinaan agama yang dilakukan di Malaysia kebanyakannya dilakukan oleh orang Islam sendiri dan rasuah adalah contoh yang boleh diteliti bersama.

Baginda Rasulullah SAW telah menunjukkan KPI dirinya sendiri melalui pengakuan kata  “Sekiranya bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkan tugas menyebarkan Islam ini” kepada pembesar Quraisy yang ingin memberi rasuah harta, pangkat dan wanita kepada Baginda.

Muhammad Nuruddin Bin Bashah

About these ads
Perihal

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan agenda melayu

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 232,089 hits
Kalendar
Julai 2009
I S R K J S A
« Jun   Ogo »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 29 other followers

%d bloggers like this: