SELAMATKAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

SELAMATKAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

DARI KEHANCURAN

Kami dari Gerakan Darurat Bahasa (GDB) yang ditubuhkan oleh gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bermesyuarat pada 6 Mac 2011 (Ahad), telah berbincang dan bermuafakat mendesak kerajaan Malaysia menyelamat dan mengembalikan semula peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah jauh menyimpang daripada fungsi asalnya – membina dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara berdasarkan  Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta 213, Akta DBP.

Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (KPDBP) dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan telah sekian lama berusaha untuk menyelamat dan mengembalikan semula peranan DBP, namun sehingga kini tiada langkah pembaikan yang telah diambil untuk menyelamatkan keadaan.

1.         LATAR BELAKANG

DBP ditubuhkan di Johor Bahru pada 22 Jun 1956 hasil resolusi Kongres        Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 pada tahun 1956. DBP mula             beroperasi pada bulan Oktober 1956, iaitu di tengah-tengah suasana dan    semangat menyambut kemerdekaan tanah air. Dari situlah, DBP mengatur      langkah pertamanya untuk menjalankan tugasnya yang amat penting, iaitu      mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa       rasmi negara yang akan merdeka.

2.         PENUBUHAN DBP

Objektif DBP yang tercatat dalam Akta 213, Akta DBP (semakan tahun 1978,       pindaan dan peluasan 1995) adalah seperti berikut:

2.1       Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.

2.2       Memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.

2.3       Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.

2.4       Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.

2.5       Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

2.6       Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

3.         MASALAH YANG TIMBUL DI DBP

3.1       PENSWASTAAN

3.1.1   DBP telah menswastakan lima (5) bahagian iaitu Bahagian Perniagaan, Bahagian Percetakan, Bahagian Pracetak, Bahagian Reka Bentuk dan Bahagian Stor pada 1 September 2002 sehingga tahun 2014 secara konsesi kepada syarikat DAWAMA Sdn. Bhd. (Dawama).

3.1.2   Sejak penswastaannya, iaitu mulai tahun 2002, DBP telah kerugian di antara RM20 hingga RM40 juta setiap tahun. Sebab utama kerugian  adalah kerana formula pengagihan hasil pendapatan penjualan buku umum dan majalah yang tempang,  iaitu nisbah 20:80. Di bawah formula tersebut, DBP mendapat 20 peratus sementara Dawama pula mengaut sebanyak 80 peratus daripada hasil jualan bukan buku teks. Manakala dari hasil jualan  buku teks sekolah pula, formula pengagihan pendapatan persetujui ialah DBP mendapat bayaran 30 peratus dan Dawama sebanyak 70 peratus. Sebagaimana terkandung dalam Laporan Tahunan DBP, kerugian DBP adalah seperti berikut:

2001                           (RM17 juta)

2002                           (RM8 juta)

2003                           (RM23 juta)

2004                           (RM22 juta)

2005                           (RM16 juta)

2006                           (RM16 juta)

2008                           (RM7 juta)

Sebelum penswastaan dilakukan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun.

3.1.3   Buku-buku umum, ilmiah dan majalah-majalah kurang di pasaran dan tidak terjual kerana tidak ada kesungguhan untuk menyebarluaskannya dan kurangnya promosi yang sepatutnya dilakukan Dawama. Dalam konteks strategi pemasaran ini, Dawama bukan saja kurang mengedarkan buku-buku umum, ilmiah dan majalah-majalah di sekitar Lembah Kelang tetapi juga di seluruh negara.

3.1.4   DAWAMA lebih menumpukan usahanya dalam penerbitan buku-buku teks sekolah. Pendekatan ini tidaklah pelik kerana strategi ini menguntungkan jika dibandingkan dengan usaha mencetak buku-buku umum, ilmiah dan majalah. Akibatnya buku umum, ilmiah dan majalah menjadi mangsa pengabaian yang disengajakan.

3.1.5   Banyak penerbit, pencetak dan pengedar buku bumiputera yang selama ini bernaung atau berpayung di bawah DBP telah  gulung tikar kerana tidak mendapat kerja-kerja pencetakan dan pengedaran buku-buku  DBP. Begitu juga dengan syarikat pengatur huruf banyak yang berkubur kerana kepupusan kerja-kerja hiliran dalam penerbitan buku yang telah menjadi hak monopoli pihak Dawama.

3. 2      PELANTIKAN PENGERUSI LEMBAGA PENGELOLA DAN AHLI LEMBAGA PENGELOLA DBP

3.2.1   Lembaga Pengelola DBP telah menubuhkan Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum yang sebelum ini merupakan satu unit kecil di Jabatan Sastera. Pengangkatan unit ini kepada bahagian telah menidakkan peranan Jabatan Sastera dalam memainkan peranannya membina dan mengembangkan budaya dan sastera Melayu.

3.2.2   Lembaga Pengelola DBP dan Pengurusan DBP tidak mematuhi Akta DBP dan objektif penubuhannya. Peranan membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan penerbitan diperlekehkan.

3.2.3   Kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP tidak diisikan sejak pertengahan bulan April 2010 sehingga kini. Menteri Pelajaran hanya mengisikan jawatan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola sahaja. Ahli Lembaga Pengelola yang dilantik selama ini kebanyakannya bukan dari golongan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan.

3.3       PELANTIKAN KETUA PENGARAH DBP

3.3.1   Pelantikan Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Haji Abdul Aziz, yang umurnya melebihi 64 tahun dan bukan pula dari kalangan pakar bahasa, sasterawan mahupun budayawan sebagaimana yang dihasratkan dalam semangat dan keperluan dalam Akta DBP adalah tindakan yang bukan saja mundur tapi juga tidak strategik. Sementelahan lagi kualiti pengurusan dan pentadbirannya juga kurang cekap kerana banyak melanggar peraturan kerajaan.

3.3.2   Pelantikan Ketua Pengarah DBP tidak mematuhi peraturan yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008, iaitu berkenaan Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak. Di dalam pekeliling tersebut, penjawat awam kontrak, umur pelantikannya dihadkan kepada 60 tahun sahaja. Pematuhan prosedur ini dapat dilihat dengan nyata dalam kes-kes Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah JPA, bekas Ketua Pengarah Pelajaran dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran yang ditamatkan kontraknya menjelang usia 60 tahun. Prosedur sedia ada telah menetapkan bahawa kuasa untuk melantik dalam kes-kes begini  ialah Perdana Menteri dengan perakuan Ketua Setiausaha Negara. Di samping  faktor umurnya yang melebihi had, sayugia dijelaskan bahawa jawatan Ketua Pengarah DBP bukanlah dalam kategori kritikal, maka beliau tidak patut dilantik ke jawatan Ketua Pengarah DBP. Semasa pelantikan secara kontrak selama dua (2) tahun yang berkuatkuasa pada 1 Februari 2009, umur beliau ialah 64 tahun 2 bulan (tarikh lahir 441107-10-5245). Sekiranya dikira sehingga 31 Januari 2011, umur beliau ialah 66 tahun. Kontrak beliau disambung semula selama setahun lagi mulai 1 Februari 2011 sehingga 31 Januari 2012.

3.3.3   Dalam isu PPSMI yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 2003 itu, DBP memilih untuk membisu saja. Sebagai institusi yang menjadi benteng dalam perjuangan memperkasakan bahasa, DBP sepatutnya memberikan pandangan yang benar tentang kebaikan dan keburukan PPSMI kepada kerajaan dan bukannya mendabik dada setelah isu  yang diperjuangkan oleh GMP itu mendapat persetujuan kerajaan supaya PPSMI dihapuskan.

3.3.4   DBP juga membisu dalam isu Interlok yang hangat diperkatakan oleh orang ramai. DBP langsung tidak mempertahankan isu tersebut kerana tidak ada orang yang boleh menyanggah atau menentang pendapat umum.

3.4       PENYUSUNAN SEMULA STRUKTUR ORGANISASI (PSSO) TIDAK       MEMENUHI KEPERLUAN AKTA DBP

3.4.1   Penyusunan Semula Struktur Organisasi DBP (PSSO) bermula Ogos 2010 dulu bertentangan dan bercanggahan dengan tujuan penubuhan DBP sebagaimana termaktub di dalam Akta DBP, kerana tidak menekankan tentang kepentingan bahasa, sastera dan penerbitan.

3.4.2   Dalam pelaksanaan PSSO, Jabatan Sastera telah digabungkan dengan Jabatan Bahasa. Peranan Jabatan Sastera telah dihapuskan. Selama ini Jabatan Sastera adalah salah satu fungsi utama DBP.

3.4.3   Kewujudan Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, dan Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera seperti yang sedia ada sekarang ini semakin tidak jelas dan mengelirukan lebih-lebih lagi dari sudut peranan dan tanggungjawabnya. Peranan dan fungsi kedua-dua jabatan dicampuraduk dan disatukan. Sebelum ini kedua-dua jabatan ini diasingkan, matlamatnya lebih jelas dan banyak memainkan peranan dalam mengembangkan bahasa dan sastera Melayu.

3.4.4   Penutupan Jabatan Sastera, salah satu fungsi utama DBP banyak mendatangkan keburukan kepada perkembangan budaya dan sastera Melayu. Pembinaan dan pengembangan bakat sastera dalam kalangan penulis dan pegawai DBP tidak dapat diadakan. Dengan penutupan Jabatan Sastera, DBP dan negara akan banyak kehilangan pakar-pakar bidang sastera dalam tempoh jangka panjang.

3.4.5   Penutupan Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam (AFTI) begitu mengecewakan sekali. Peranan AFTI dikecilkan menjadi unit sahaja. AFTI yang selama ini memainkan peranan penting di dalam penerbitan buku-buku bidang agama di negara ini telah kehilangan fungsinya.

3.4.6   Pemberhentian penerbitan majalah Dewan Falsafah dan Tamadun Islam mengecilkan peranan DBP di dalam pengembangan tamadun Islam di Malaysia.

3.4.7   Kebanyakan staf bekerja dalam suasana yang tidak selesa dan kurang keceriaannya kerana wujudnya berbagai-bagai kelompok. Suasana tidakpuas hati dalam kalangan staf antara lain ialah kerana isu pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP dan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang tidak mengikut peraturan dan juga pelantikan pegawai gred N52 kepada gred N54 dan gred S41 kepada gred S44 tanpa melalui proses temuduga.

3.4.8   Ramai pakar dalam bidang bahasa dan sastera yang memiliki Ijazah  Sarjana dan Ph.D di DBP bersara awal atau beralih bekerja di tempat lain kerana kurang yakin dengan pengurusan DBP. DBP langsung tidak membina pelapis dalam pakar bidang yang ada di kalangan staf DBP.

3.5       KEGAGALAN FUNGSI DBP

3.5.1   Banyak kegiatan bahasa dan sastera seperti seminar, bengkel dan kegiatan yang berkaitan dengannya tidak dapat dilaksanakan oleh DBP. Akibat penswastaannya DBP tidak lagi mempunyai dana untuk melaksanakan kegiatan di atas. Ini menyebabkan peranan bahasa dan sastera semakin kuncup dan layu di negara kita. DBP tidak lagi dilihat sebagai pusat tumpuan kegiatan ilmu yang berkaitan dengan bahasa dan tamadun Melayu.

3.5.2   Para penulis juga sudah kurang berurusan dengan DBP kerana kecewa terhadap pengurusannya. Sebelum ini, DBP menjadi  tumpuan para penulis kerana di institusi ini terdapat begitu ramai pakar rujuk dan pakar bidang yang menjadi tempat rujukan. Kekurangan pakar ilmu dalam bidang budaya dan sastera telah menjauhkan hubungan DBP dengan para penulis. Pengurusan DBP tidak berusaha mengatasi masalah di atas.

3.5.3   DBP kurang menganjurkan majlis ilmu, seminar, konvensyen atau bengkel yang berkaitan dengan fungsi utamanya iaitu untuk memperkaya dan memperkembang bakat sastera dan mencetak atau menerbitkan penerbitan dalam bahasa Melayu. Peranan DBP dalam melaksanakan kehendak Akta DBP di Malaysia semakin malap dan obor yang menyala dari suatu zaman dahulu semakin mengecil dan hampir padam.

3.5.4   Kurangnya kegiatan bahasa dan sastera menyebabkan DBP tidak lagi gah di mata masyarakat. Usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera semakin lesu kerana pemegang amanah, perancang, penggubal dan pelaksana dasar DBP bukannya terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang bahasa dan sastera. DBP sekarang lebih menjurus dalam bidang pengurusan sahaja, bukan lagi berdasarkan fungsi dan matlamat DBP diwujudkan.

3.6       KEGAGALAN HUBUNGAN PENGURUSAN DBP DENGAN

KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DBP (KPDBP)

3.6.1   Hubungan Lembaga Pengelola dan Pengurusan DBP dengan KPDBP amat dingin. Staf gred 41 dan ke atas tidak dibenarkan bergiat dalam Kesatuan sedangkan hal ini bertentangan dengan Warta Ketua Setiausaha Negara Tahun 1981. Dato’ Johan Jaaffar dan pengurusan DBP membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tidak membenarkan staf gred berkenaan menjadi ahli Kesatuan. Staf diugut untuk dikenakan tindakan tatatertib dan tidak berpeluang naik pangkat sekiranya menjadi dan menyokong Kesatuan.

3.6.2   Ketua Pengarah tidak menghormati atau secara tidak langsung tidak mengiktiraf kewujudan KPDBP. Selama dua (2) tahun berkhidmat, beliau tidak pernah mengadakan pertemuan dengan KPDBP dan mengadakan mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ). Lebih teruk lagi pihak pengurusan DBP  telah menubuhkan MBJ yang baharu tanpa membatalkan perlembagaan yang ditandatangan oleh pengurusan DBP dengan KPDBP sebelum ini. Pihak KPDBP telah membuat bantahan penubuhan MBJ yang baharu. Penubuhan MBJ yang tidak membabitkan KPDBP adalah bertentangan dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1992 dan Surat Pekeliling Perkhdimatan Bil. 3 Tahun 2002.

4.         TUNTUTAN GERAKAN DARURAT BAHASA

4.1       Kerajaan Malaysia hendaklah memulihkan semula fungsi DBP. Menteri Pelajaran Malaysia hendaklah memberikan tumpuan yang lebih kepada DBP. Selama ini diketahui umum, DBP terbiar begitu sahaja tanpa perhatian daripada menterinya. Sekiranya Menteri Pelajaran kurang mampu atau terlalu sibuk dengan tugas lain, peranannya hendaklah diperturunkan kepada timbalannya. Sebelum ini DBP banyak diberi perhatian dan diawasi oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

4.2       Pengerusi Lembaga Pengelola DBP hendaklah dilantik segera dalam kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan kerana jawatan ini telah lama dibiarkan kosong. Ahli Lembaga Pengelola DBP hendaklah dilantik dalam kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan supaya DBP dapat melaksanakan fungsinya membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya Melayu.

4.3       Menteri Pelajaran hendaklah menamatkan segera kontrak Ketua Pengarah DBP dengan serta merta kerana pelantikannya bertentangan dengan peraturan dan kegagalan beliau mentadbir DBP dan melantik Ketua Pengarah baharu mengikut peraturan yang sedia ada. Ketua Pengarah baharu yang bakal dilantik hendaklah dari kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan.

4.4       Struktur Organisasi dan fungsi DBP dikembalikan semula kepada carta organisasi sebelum ini dengan mewujudkan semula Jabatan Bahasa dan Jabatan Sastera secara berasingan lengkap dengan bahagian-bahagian yang sedia ada seperti dahulu.

4.5       Kerajaan dengan kuasa yang ada dan atas kepentingan negara hendaklah mengembalikan semula penswastaan lima (5) bahagian dari DAWAMA kepada DBP. Pengembalian semula lima (5) bahagian tersebut kepada DBP membawa faedah dan manfaat kepada kerajaan dan staf yang ada sekarang ini. Sekiranya penswastaan berpanjangan, beban kewangan DBP bertambah parah. Pengambilan semula lima (5) bahagian tersebut daripada DAWAMA akan mengembalikan segala peranan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera sebagaimana termaktub dalam Akta 213, Akta DBP. Dengan tindakan ini, kerajaan akan membantu penerbit, pencetak dan pengedar buku bumiputera  sepertimana sebelum penswastaan. Tindakan ini dapat menghidupkan dan memulihkan perniagaan mereka.

4.6       Kerajaan hendaklah menambah peruntukan tahunan kepada DBP yang sebelum ini tidak mencukupi selaras dengan peranan dan fungsinya. Penambahan peruntukan ini amatlah perlu kerana DBP telah diamanahkan untuk membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya  Melayu.

4.7       DBP hendaklah diberikan kuasa penuh dalam penguatkuasaan bahasa Melayu sebagaimana yang disarankan oleh banyak pihak sebelum ini. DBP adalah satu-satunya institusi yang berperanan mengembang dan memperkayakan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia. Walaupun telah ditubuhkan lebih 50 tahun yang lalu, DBP kini semakin mundur dan nyata sekali tidak berupaya untuk meneruskan visi, misi, dan wawasannya. DBP haruslah diperkuatkan dan kembali kepada fungsi asalnya.

4.8       Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah membuat kajian dan  memberikan perhatian yang serius kepada segala masalah dalaman yang diadukan oleh KPDBP dan juga staf DBP, lebih-lebih lagi berhubung kemelut dan kekalutan pentadbiran dan pengurusan DBP yang sarat masalah. Menteri Pelajaran hendaklah membetulkan dahulu hal-hal dalaman DBP, yang diketahui umum – kurang berupaya membina dan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu agar tidak pupus di muka bumi ini.

4.9       Bahagian AFTI hendaklah diwujudkan semula supaya DBP sebagai sebuah badan agensi kerajaan, dapat memainkan peranan yang penting di dalam penerbitan yang berkaitan dengan Agama, Falsafah dan Tamadun Islam di Malaysia.

Dengan ini kami amat berharap kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan

kami dengan penuh hikmahnya agar tujuan kerajaan menubuhkan DBP selaras dengan tuntutan Akta DBP untuk kepentingan agama, bangsa dan negara, tidak mati di tengah jalan. DBP adalah satu-satunya institusi bahasa yang unggul di dunia. Inilah satu-satunya institusi Melayu yang boleh dibanggakan oleh bangsa Melayu di tanah air sendiri sebagaimana termaktub dalam cita-cita dan hasrat Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu lebih lima puluh (50) tahun dahulu. Pupus bahasa pupuslah bangsa Melayu. BAHASA JIWA BANGSA.

HAJI MOHD AZMI BIN ABDUL HAMID

Pengerusi Gerakan Darurat Bahasa

mewakili seluruh

Anggota dan Penyokong Gerakan ini.

Tarikh: 28 Mac 2011

About these ads
Dikirim dalam Minda Presiden
4 comments on “SELAMATKAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
  1. hasnah bitni mohamad berkata:

    Perjuangan yang murni dan wajar diteruskan sehingga mencapai matlamatnya.

  2. hasnah bitni mohamad berkata:

    Perjuangan murni yang harus diteruskan.

  3. cl berkata:

    Pada pendapat saya, dalam keadaan politik Malaysia sekarang lebih baik DBP ditukar menjadi badan bukan kerajaan supaya terlepas dari main-main politik kotor. Tapi entahlah kalau macam ni, bolehkah Akta DBP diterima pakai lagi?

  4. mizy berkata:

    Asalamualaikum…
    Bagi pendapat saya, mengembalikan semula penswastaan lima (5) bahagian dari DAWAMA kepada DBP adalah satu tindakakan yang SANGAT wajar. Ini kerana lima (5) bahagian dari DAWAMA tersebut merupakan satu “sumber kewangan lumayan” yang dapat dijana sendiri bagi pihak DBP. DAWAMA umpama hanya memonopoli “kekayaan” dari sumber buku teks sahaja yang mana judul lain seperti Judul Umum dan Majalah terbitan DBP hanya di anak tirikan. Ia lari dari rancangan sebenar DBP yang mahu menjadikan judul-judul umum serta majalah terbitan DBP setanding dengan syarikat penerbitan luar. Dari hasil pengembalian semula lima (5) bahagian tersebut kepada DBP ia akan membawa faedah dan manfaat kepada kerajaan serta staff DAWAMA sendiri (segelintir staff merupakan mantan dari DPB sebelum lima (5) bahagian DBP diswastakan). Saya juga bersetuju sekiranya penswastaan lima (5) bahagian ini berpanjangan, pasti masalah kewangan DBP akan bertambah parah serta berterusan.

    Muar, Johor..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 223,779 hits
Kalendar
Mac 2011
I S R K J S A
« Feb   Apr »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 29 other followers

%d bloggers like this: