HALATUJU KEPEMIMPINAN POLITIK MELAYU ABAD 21

 

Tidak dapat dinafikan bahawa politik memainkan peranan sejarah yang amat signifikan dalam proses kebangkitan sebuah negara-bangsa. Jatuh-bangun sesebuah negara-bangsa amat bergantung kepada halatuju kepemimpinan dan politik semasa.

 

Malangnya, perkembangan dan pergolakan politik negara secara langsung menunjukkan kepimpinan Melayu  sentiasa berhadapan dengan konflik dalaman yang tidak kunjung padam.

 

Politik Melayu Abad 21

 

Politik Melayu abad 21 tidaklah banyak berbeza daripada abad ke-20, bahkan semakin parah. Dari segi politik, Melayu kini sekurang-kurangnya terbelah tiga. Kalau dahulu politik Melayu hanya diwakili oleh UMNO dan PAS, kini muncul PKR sebagai alternatif. Melayu yang sudah bosan dengan UMNO dan kurang cocok dengan PAS telah memilih PKR sebagai alternatif.

 

Tahun 1998 adalah titik-tolak yang paling tragis dalam sejarah kepemimpinan politik Melayu. Pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu amat mengejutkan. Kalau dahulu kemelut politik melayu hanya berkisar di sekitar masalah kepemimpinan dalam UMNO, tetapi sejak tahun 1998, corak politik Melayu berubah dengan begitu drastik.

 

Walaupun sudah berlaku perpecahan di kalangan Melayu pada tahun 1987 apabila berlaku pertandingan jawatan Presiden UMNO di antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh sehingga membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46, namun keadaan itu reda pada tahun 1995 apabila UMNO dan BN menang besar dalam PRU ke-9. Tetapi perkembangan politik pada tahun 1998 dan PRU 1999 memberi kesan yang besar. Kemenangan BN dan UMNO yang dilihat telah memadamkan gerakan REFORMASI yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim pada tahun 2004, namun realiti politik 2008 telah bertukar corak dan mewarnai senario politik Melayu di abad ke-21 ini.

 

UMNO dan BN  yang telah memerintah negara sejak kemerdekaan 1957 telah gagal mempertahankan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Politik baru menuntut ketelusan dan keadilan yang mementingkan rakyat dan pengundi mendapat tempat.

 

Akibat kekecohan yang ketara di saf kepimpinan Melayu dalam pelbagai bidang sama ada kepimpinan politik, ekonomi, sosial, budaya, korporat dan birokrat serta intelektual, kepemimpinan bangsa Melayu telah kehilangan tumpuan dalam memperbaiki nasib bangsa.

 

Di samping banyak retorik politik dilaungkan, kita juga menyaksikan tabiat bergimik dalam kepemimpinan yang tidak menguntungkan bangsa Melayu sendiri. Dengan aksi menghunus keris dan bertempik untuk mengisytihar perang ke atas bangsa sendiri, ternyata kepimpinan Melayu mudah dibuai emosi yang tidak terkendali.

 

Menghulur bantuan kepada bangsa yang terpinggir bukan dilihat sebagai sebuah amanah tetapi sekadar propaganda politik dan pembinaan imej untuk diperaga. Menjelajah di kawasan Melayu terlantar bukan kerana mahu merasai penderitaan dan mencari jalan mengatasi kenapa derita itu berlaku, akan tetapi kerana mahu dilihat merakyat dan prihatin kepada rakyat. Anehnya rakyat itu jualah yang sering dijadi bahan media untuk menunjukkan kononnya keprihatinan pemimpin yang beraspirasi tinggi bagi memudahkannya mendaki puncak kedudukan yang menawarkan keselesaan.

 

Pernyataan-pernyataan yang nampaknya lebih untuk menonjolkan diri dari benar-benar mengatasi masalah bangsa menyebabkan mada depan Melayu terus menghadapi ketidaktentuan.

 

Nampaknya masyarakat Melayu terbanyak sudah tidak lagi menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada kepemimpinan Melayu yang sedia ada, lantaran yang disaksikan dan dipekikkan ialah laungan dan retorik besar tanpa komitmen bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib bangsa.

 

Yang nyata ialah persoalan bangsa Melayu dalam pelbagai sektor kini sangat rapuh bila berhadapan dengan persaingan dan rempuhan global, sehingga banyak kepentingan bangsa  terpaksa diperjudikan hanya kerana pemimpin-pemimpin mencanangkan agenda peribadi dalam perlumbaan di pentas politik.

 

Pemikiran dangkal sesetengah pemimpin telah meletakkan bangsa Melayu dalam keadaan yang merugikan. Bukan kerana bangsa Melayu tidak mahu dan tidak mampu bersaing, akan tetapi akibat pemimpin yang tidak jujur dan hanya mementingkan kuasa dan kedudukan daripada soal memperbaiki nasib bangsa  Melayu terbanyak, telah menjadikan bangsa Melayu terus berada di pihak yang tersudut.

 

Sikap mabuk jawatan dan gila kuasa sering diperlihatkan dalam kelompok kepimpinan bangsa Melayu. Bukan asing lagi cerita politik wang, politik cantas-mencatas dan politik bunuh-membunuh,  menjadi watak politik bangsa melayu. Bahasa politik nampaknya mempunyai kamusnya sendiri yang tidak  mempunyai kaitan samasekali dengan nasib rakyat. Politik dianggap sebuah permainan, berparti politik dilihat sebagai medan bertarung merebut pengaruh.

 

Golongan kepemimpinan elit bangsa Melayu masih mempamerkan watak feudal yang sangat ketara sehingga yang menjadi keutamaan ialah untuk mendapat tempat di hati mereka yang berkuasa dan berharap akan membuka peluang untuk melanjutkan  cita-cita naik ke atas. Soal hak dan batil bukan menjadi pantang larang dalam kepimpinan bangsa. Awlawiyat siyasi (keutamaan politik) mereka bukan untuk perubahan tetapi untuk kantong masing-masing, bukan untuk transformasi bangsa tetapi untuk tengkorok peribadi.

 

Retorik Murahan?

Kini 2008 berlalu dengan sejumlah isu bangsa yang masih terus berpanjangan. Dengan kepimpinan Melayu di peringkat negara yang silih berganti dari peringkat negeri dan pusat, dari peringkat akar umbi sehingga korporat, yang nyata isu-isu yang mendepani bangsa Melayu semacam tidak berkesudahan. Apakah kita menghadapi suatu laknat bangsa yang tidak terawat lagi?

 

Perhatikan ketika mana bangsa Melayu melihat kampung halaman serta tanah milik Melayu ditelan pembangunan tahun demi tahun. Kepimpinan Melayu terus beretorik dengan pelbagai pengumuman. Malangnya penguncupan tanah milik Melayu terus meruncing.

 

Kini pembangunan terus dipacu yang melibatkan pengambilan tanah rakyat terus menerus di beberapa negeri melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Atas nama pembangunan projek mega, kawasan pertumbuhan ekonomi yang digelar pembangunan koridor ekonomi dijangka akan menelan lagi tanah yang umumnya akan melibatkan tanah milik Melayu. Dasar Tanah Negara masih belum mampu menyelesaikan masalah pembangunan tanah termasuk soal tanah wakaf Melayu.

Kes penyelewengan dan salahguna kuasa yang mengakibatkan tanah Melayu tergadai dan pindah tangan  kepada bukan cerita baru. Bertahun-tahun isu tanah Melayu diungkap dalam pelbagai forum dan persidangan namun ia terus tidak menunjukkan tanda yang menyakinkan bahawa orang Melayu akhirnya tidak akan merempat di negara sendiri. Sejauhmanakah peninggalan Tanah Rizab Melayu sehingga ke saat ini dan apakah ia benar-benar masih wujud seperti yang direkodkan?

 

Namun dari hari ke hari kita membaca berita projek-projek yang diumumkan untuk akhirnya mengambil tanah Melayu. Adakah pemimpin Melayu mengambil tahu dan secara serius menangani isu ini ? Dari apa yang kita ikuti , perbahasan di DUN dan Parlimen jarang kedengaran hal ini diungkit.

 

Demikian juga persoalan gejala sosial bangsa Melayu yang  bertalu-talu berlaku seolah-olah bangsa ini tidak mampu mengatasi masalah yang sangat jelas boleh di atasi, hanya jika pemimpin-pemimpin  Melayu bertegas.

 

Siapakah jika tidak pemimpin-pemimpin birokrat dan politik Melayulah yang mengeluarkan keizinan  KDN kepada majalah-majalah hiburan dan novel murahan, kebenaran menyiarkan acara hiburan yang tidak sesuai dengan budaya bangsa, keizinan rasmi untuk terus mengganjurkan konsert yang tidak habis-habis merosakkan adab pergaulan generasi muda, kelulusan siaran drama, filem dan acara TV  yang meninggalkan kesan negatif kepada nilai dan budaya hidup bangsa adalah sederet isu yang sebenarnya boleh diatasi dengan ketegasan pemimpin.

Akan tetapi sikap pemimpin Melayu yang umumnya bermahzab liberal dan berfikah plural inilah telah menggadai akhlak anak bangsa sehingga Melayu tidak lagi dihormati sebagai bangsa berbudi dan bersantun tinggi. Akibatnya perpsepsi bangsa lain terhadap bangsa Melayu pasti buruk dan tidak dihormati. Bercakap sahaja persoalan anak muda Melayu, bangsa lain akan mencemuh bahawa biarlah bangsa Melayu  terus bergelut dengan isu dadah, mat rempit, lepak, buang anak, penceraian, jenayah, maksiat, sumbang mahram, hiburan liar, pengangguran dan seribu satu masalah sosial.

 

Kelekaan Pemimpin

 

Ditambah semangkok lagi pemimpin-pemimpin media Melayu ternyata bukan sahaja berkesan dalam mendedahkan keruntuhan-keruntuhan sosial bangsa malah turut tidak rasa bersalah mempromosi gelagat budaya tidak beradab di kalangan golongan budayawan dan seniman Melayu.  Akibat kelekaan dan sikap tidak peduli pemimpin-pemimpin Melayu  dengan barah bangsa  ini, kita sudah mencapai peringkat kronik menunggu maut. Di tangan pemimpin Melayu jugalah lessen judi dan arak dilulus, konsert artis Barat  menggila diizinkan, filem budaya ganas dan lucah dipermisikan,  pusat hiburan dan segala khidmat social escort dibenarkan.

 

Sementara itu, bangsa lain termasuk pendatang asing  bertungkus lumus menguasai apa sahaja ruang  yang diperolehi untuk bertapak kukuh di tanah air ini. Statistik terbaru melaporkan 50% dari 200,000 hingga 300,000 pekerjaan baru yang dikatakan diwujudkan di negara ini dikuasai oleh pendatang asing. Apa sahaja pekerjaan yang ditolak bangsa Melayu akan  dikerumuni bangsa lain, apa sahaja kemahiran yang tidak diendah bangsa Melayu akan dikuasai bangsa lain.

 

Kini peruntukan kuota Melayu untuk institusi-institusi tertentu sudah mula didesak untuk dibuka atas nama meritokrasi. Atas alasan orang Melayu sendiri tidak dapat memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang diperlukan semada dalam institusi awam, professional atau  teknologi,  malah termasuk perjawatan tinggi dan khusus dalam bilang keselamatan dan ketenteraan, maka bangsa ini akan melalui peminggiran-sendiri (self alienation) dalam tanah air sendiri.

 

Siapakah yang menggubal dasar ini, siapa yang merombak peraturan ini, jika tidak pemimpin politik dan birokrat Melayu itu jugalah!

 

Maka natijahnya sangat merunsingkan  kita, jika dihitung implikasinya dalam jangka masa panjang. Sepintas lalu sahaja kita dapat melihat kesannya sehingga ke peringkat sektor  kecil seperti kedai gunting rambut, tukang kasut, kedai bakeri,  bengkel basikal dan motor, pembuat kunci, pembuat bingkai dan pemotong cermin, memperbaiki tayar kereta, kedai foto dan fotostat, pembaik jam, pembuat pembalut kerusi kereta, bengkel besi dan lain-lain telah jauh dikuasai bangsa lain.

 

Adakah  boleh kita persalahkan  bangsa lain ketika pemimpin bangsa  Melayu sendiri tidak serius untuk memastikan generasi mudanya boleh hidup berdikari? Bolehkah kita menuding jari kepada orang lain jika ibu bapa Melayu sendiri yang membiarkan anaknya merempit pada malam hari, pemimpin Melayu pula bercakaran sesama sendiri (dari merebut jawatan ketua bahagian sehingga bercita-cita menjadi menteri), profesional dan korporat Melayu pula mengkhayalkan hidup mewah sementara anak-anak bangsa sendiri merempat sana ke mari mencari kerja di syarikat bangsa lain?

 

Keputusan Pilihan Raya Ke-12 baru-baru ini mempunyai seribu erti yang perlu difikirkan dengan sedalam-dalamnya oleh orang Melayu khususnya. Kita sudah kehilangan Singapura 45 tahun dahulu, dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung tertindas tanpa disedari. Tidak ada kuota menteri penuh Melayu, azan tidak boleh dilaungkan di luar masjid, bahasa Melayu menjadi bahasa
ketiga, orang Melayu tidak dibenarkan memegang jawatan tertinggi dalam tentera dan polis, mereka menuntut Pulau Batu Putih sebagai milik mereka dan pelbagai
lagi milik bangsa Melayu yang sudah lenyap di tanah Singapura.

 

Apabila sudah hilang, tiada harapan lagi untuk kita mendapatkannya semula. Dalam tempoh akan datang, jika orang-orang Melayu tidak juga sedar bahawa mereka sekarang sudah hilang kuasa politik. Melayu sudah kehilangan kuasa tawar-menawar  (bargaining power) di tanah air sendiri.

 

Kedudukan Kerusi Dewan Rakyat Yang Dimenangi

(Setelah Berlaku Pilihanraya Kecil Dan Peristiwa Lompat

Parti, Sehingga 1 Mei 2010)

 

NEGERI JUMLAH KERUSI BN PAS DAP PKR BEBAS
  CLN MTB CLN MTB CLN MTB CLN MTB CLN
PERLIS 3 3 0 0 0 0 0 0 0 0
KEDAH 15 4 0 6 0 0 0 4 0 1
KELANTAN 14 2 0 8 0 0 0 3 0 1
TERENGGANU 8 6 0 2 0 0 0 0 0 0
PULAU PINANG 13 2 0 0 0 7 0 2 0 2
PERAK 24 13 0 2 0 5 0 2 0 2
PAHANG 14 12 0 0 0 0 0 2 0 0
SELANGOR 22 6 0 4 0 4 0 8 0 0
W.P. KUALA LUMPUR 11 1 0 1 0 5 0 4 0 0
W.P. PUTRAJAYA 1 1 0 0 0 0 0 0 0 0
NEGERI SEMBILAN 8 5 0 0 0 2 0 1 0 0
MELAKA 6 5 0 0 0 1 0 0 0 0
JOHOR 26 24 1 0 0 1 0 0 0 0
W.P. LABUAN 1 1 0 0 0 0 0 0 0 0
SABAH 25 22 2 0 0 1 0 0 0 0
SARAWAK 31 25 5 0 0 1 0 0 0 0
JUMLAH 222 132 8 23 0 28 0 26 0 6

 

CLN - Calon Yang Menang
MTB - Menang tanpa bertanding

 

 

Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 130 sahaja yang dikuasai oleh orang Melayu/islam. Ini bermakna bakinya sebanyak 92 kerusi lagi dikuasai oleh orang bukan Melayu. Sayugia diingatkan bahawa UMNO hanya menguasai 85 kerusi, PAS 23 kerusi, PKR 18 kerusi dan Bebas 4 kerusi Melayu.

 

Jika ada isu-isu yang memang melibatkan Melayu seperti hal agama Islam misalnya, sekiranya semua Ahli Parlimen Melayu bersatupun, jumlah 130 tidak mencukupi untuk menggubal atau mengubah undang-undang baru kerana Melayu tidak menguasasi 2/3 Parlimen. Jika dikira blok BN sahaja, jumlah Melayu yang diwakili oleh UMNO tidaklah sekuat mana. Sebab itulah orang bukan Melayu dikatakan mempunyai bargaining power yang lebih di Parlimen.

 

Tidakkah kita belajar pengalaman di Palestin, bahawa pada tahun 1947 Israel hanya menduduki kurang 10 peratus tanah orang-orang Palestin, tetapi pada tahun 2000, 80 peratus tanah orang Palestin sudahpun dikuasai oleh bangsa Israel. Di keliling Semenanjung Gaza telah dipasang tembok dan pagar berduri menyebabkan kebebasan hak asasi umat Islam Palestin terikat. Elektrik dicatu, hendak solat Jumaat berdepan dengan muncung senjata malah keperluan makanan dan pakaian menjadi amat sukar.

 

Sebab itulah orang-orang Melayu perlu sedar dan bangun dari tidur dengan kesilapan memberi undi kepada pembangkang terutamanya DAP. Mungkin ada pihak berkata kenyataan ini berbau perkauman, tetapi kita tidak sedar kain rentang parti DAP menyatakan “Undi MCA bermakna Undi UMNO/Melayu”, atau dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina mereka menulis “Undilah calon-calon Cina sahaja”.

 

Kita orang Melayu terlalu bertolak-ansur dan terlalu berlembut sehingga kempen-kempen seperti di atas walaupun berbau perkauman tetapi tidak ada tindakan diambil. Apabila orang Melayu menyatakan perkara yang sama, kita pula dituduh sebagai memainkan api perkauman dan dianggap racist, sedangkan semua itu permainan mereka untuk menjatuhkan kita orang Melayu.

 

Apabila mereka memainkan isu hak ketuanan bangsa Melayu dan umat Islam, pernahkah mereka memikirkan perasaan kita umat Islam. Mereka tidak pernah peduli apa itu OSA, ISA, ataupun Akta Hasutan sebab itu akhbar mereka bebas dan berani.

 

Fikir-fikirkanlah betapa ironisnya peribahasa lama yang menceritakan tentang kebebalan dan kedangkalan mentaliti seorang yang bernama Pak Pandir atau Lebai Malang dalam kisah persabungan ayam. Ayamnya menang tetapi kampungnya pula yang tergadai. Begitu juga dengan peribahasa lama yang menceritakan tentang kemarahan seorang yang bodoh sombong kerana marahkan nyamuk habis semua kelambunya dibakar.

 

Begitulah putaran hidup di dunia ini. Sketsa daripada cerita dan peribahasa
lama banyak membawa dan menterjemahkan kisah daripada kehidupan sebenar, Cuma kita tidak pernah mahu mengambil iktibar daripadanya. Yang lebih tragisnya ialah Melayu mudah lupa apa yang telah berlaku sepanjang sejarah.

 

Wahai saudara-saudaraku umat Islam dan Melayu, bangkitlah kamu semua daripada tidurmu yang diulit mimpi-mimpi yang lama. Bukalah mata kalian, lihatlah di sekelilingmu betapa selama 53 tahun ketuanan Melayu telah menjadi teras pemerintahan tanah warisan Melayu di Malaysia ini. Kini semuanya telah terhakis sedikit demi sedikit dan lama-kelamaan akan hilang terus ditelan oleh kerakusan tangan-tangan Islam dan Melayu sendiri. Islam dan Melayu adalah satu golongan yang menguasai majoriti populasi rakyat di Malaysia ini tetapi kerana perbezaan wadah perjuangan politik kita menjadi berpecah-belah.

 

Perpecahan Melayu: Apa Kesudahannya?

 

Orang Melayu kini saling bermusuhan dari segi politik dan paling tragis lagi kita sanggup bersekongkol dengan kaum dan penganut agama lain bagi menjatuhkan saudara seagama dan sebangsa. Alangkah sedihnya umat Islam dan Melayu berpecah. Apakah puncanya?

 

Sekurang-kurangnya ada tiga punca utama perpecahan Melayu. Pertama, kepemimpinan yang menerajui parti yang diwakili oleh Melayu gagal mencapai kata sepakat dalam hal-hal penting. Ada penulis yang menganggap orang Melayu tidak bijak berpolitik. Bahkan ada penulis blog yang menyatakan “Melayu itu bodoh politik”. Tidak seperti orang Cina dan India, orang Melayu berpecah sehingga ke peringkat akar-umbi, termasuk di kampung-kampung.

 

Peluang perniagaan juga dimonopoli oleh pihak tertentu. Jika bukan dari parti politik yang sama, walaupun sesama Melayu, peluang mendapat projek amat tipis. Ini sudah diamalkan sejak sekian lama. Parti pemerintah dikatakan lebih suka bersekongkol dengan peniaga bukan Melayu daripada orang Melayu sendiri.

 

Kedua, perpecahan Melayu dimulakan oleh para pemimpin Melayu sendiri. Para pemimpin amat mementingkan kedudukan masing-masing. Terdapat perebutan jawatan hatta di peringkat pemilihan ketua cawangan sekalipun. Mereka menggunakan apa sahaja, termasuk politik wang, untuk memenangi sesuatu jawatan. Akibatnya apabila mereka sudah berada di puncak kuasa, para pemimpin seperti ini akan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk kepentingan diri sendiri.

 

Rasuah sudah menjadi barah. Kalau dahulu rasuah hanya berlaku di kalangan orang politik, tetapi hari ini rasuah sudah diamalkan oleh sesetengah pegawai kerajaan. Paling malang, rasuah ini bukan sahaja dilakukan oleh pentadbir peringkat tinggi, tetapi sudah menular di kalangan pegawai dan kakitangan biasa. Untuk mempermudahkan sesuatu urusan, apalagi untuk mempercepatkan bayaran tertentu, sesetengah pegawai tanpa segan silu meminta habuan mereka. Bagi mereka wang RM500 atau seribu ringgit sudah memadai untuk menampung duit minyak atau insuran kereta.

 

Ketiga, perpecahan Melayu paling banyak disebabkan oleh ketidakpuasan hati terhadap seseorang pemimpin atau parti, selain melibatkan faktor ideologi parti. Para pemimpin parti dianggap mewakili parti masing-masing. Tuduh-menuduh akan berlaku. Di pihak kerajaan, semua yang dibuat oleh pembangkang adalah salah. Di pihak pembangkang, semua yang dibuat oleh parti pemerintah tidak betul.

 

Pertikaian politik ini merebak ke peringkat akar-umbi. Disebabkan perkara ini, masing-masing menjadi renggang. Orang parti A tidak berminat dan bbiasanya mengelak untuk berkawan dengan orang parti B. Begitu juga sebaliknya. Mereka hidup dalam kelompok dan cara masing-masing. Masing-masing akan mencari alasan tersendiri. Faktor pegangan agama, ideologi parti, sikap terhadap orang lain dan kepentingan diri menjadi asas kepada hubungan sesama sendiri.

 

Perpecahan ini biasanya sampai ke peringkat keluarga. Ada yang isterinya menyokong parti A dan suaminya menyokong parti B. Ada juga keluarga A tidak sehaluan dengan keluarga B. Begitu juga juga dengan jiran tetangga.  Perpecahan bangsa Melayu telah melampaui bidang politik. Ia sudah masuk ke sempadan perniagaan, pentadbiran, pendidikan dan sosio-budaya.

 

Apakah senario politik negara ini dapat diharmonikan semula? Tentulah ia tidak semudah yang difikirkan. Malang sekali, jika ada satu pihak cuba untuk berbaik-baik dengan pihak yang lain, ia ditentang habis-habisan. Semua isu telah dipolitikkan. Hatta isu kemalangan jalanrayapun menjadi isu politik.

 

Malang sekali Melayu seakan takut dengan bangsa lain. Pernah satu ketika heboh dikatakan pihak polis telah mendera seorang tahanan perempuan Cina dengan  menyuruhnya melakukan ketuk-ketampi sambil berbogel. Hal ini mendapat bantahan keras orang Cina. Apabila dikatakan perempuan Cina itu seorang warganegara China, kerajaan terpaksa meminta maaf kepada kerajaan China di Beijing. Tiba-tiba seorang pemimpin kerajaan membuat pengakuan bahawa perempuan itu bukan perempuan Cina, tetapi seorang perempuan Melayu. Isu ini ditutup oleh media begitu sahaja. Tiada bantahan dibuat oleh orang Melayu, sedangkan isunya sama.

 

Sampai bilakah Melayu akan bersikap apologetik seperti ini? Apakah ini bukan petanda Melayu akan pupus 50 tahun daripada sekarang?

 

Akhir kata,  wahai saudara-saudaraku umat Islam dan Melayu, bangunlah dan fikirkan nasib yang bakal diharungi oleh anak-anak dan cucu-cucu kita di kemudian hari. Jangan sampai mereka menyumpah di kuburan kita kerana kesilapan yang kita lakukan hari ini.

4 comments on “HALATUJU KEPEMIMPINAN POLITIK MELAYU ABAD 21
  1. Wan Norasyikin Wan Ismail berkata:

    Amat menarik artikel saudara. Saya juga bersetuju dengan pandangan yang saudara lontarkan. Dari pengamatan saya orang Melayu sekarang berada dalam zon selesa. Mereka malas berusaha dan terima apa sahaja. Tetapi cepat melenting apabila dicuit. Tiada lagi pengukuhan jati diri bangsa dari sudut bahasa dan jiwa. Orang Melayu makin lesu, sedangkan bangsa lain berpusu-pusu merebut peluang. Sebagai perumpamaan mereka seperti ayam yang berebut makanan yang ditaburkan oleh tuan mereka, dan orang Melayu seperti burung murai di atas dahan yang hanya memandang sahaja tanpa berbuat apa-apa atau turut sama berebut makanan. Jangan kita jadi seperti Palestin. Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin dan UKM pernah bercerta kepada saya tentang hasil kajian yang beliau pernah buat tentang semangat juang remaja Melayu jika negara kita mengalami masalah seperti dadurat. Keputusannya hanya 20 peratus sahaja yang berkata saya akan berjuang untuk mempertahankan tanah air ini. Selebihnya akan meneyerahkan kepada polis dan tentera dan melarikan diri ke luar negara. Inilah nilai remaja Melayu kita pada hari ini. Amat meyedihkan. Saya menyeru kepada orang Melayu jika sayangkan bangsamu bakitlah bersatu atas nama Islam dan Melayu.

  2. Hasnizali KSB Melaka berkata:

    bila sy baca tulisan anda, sy tersentak…..kerna ada melayu yg sedar prkara ini brlaku, tapi apakah pemimpin kita samaada umno,pas,pkr atau parti yg sayangkn negara ini sedar….bhwasenye….kuasa politik orgmelayu terhakis….pelahan lahan…..bangsa lain akn brtindak apabila kita sudah lemah bolih dibaham dilenyek olih sbb kelemahan org melayu sendiri. sebenarnye melayu yg benar2 ikhlas n sayangkn bangsa n ugama….mesti bersama2. ….mencari formula yg bolih dterima semua bangsa, tidak menggugat keamanan, keselamatan, semua pihak….. menerima bangsa m elayu adalah kelompok terbesar dinegara ini yg mnjadi tungjang kekuatan politik mahupun ekonomi. yg pnting melayu mesti berubah…..sikap cemburu,dengki,khianat, n sikap negative mesti di hapuskn dlm diri masing2.tq….hasnizali ksb,melaka.
    d

  3. sobiribuman berkata:

    wahai pakar-pakar mata bangsaku tolonglah rawatkan mata-mata mereka ini agar mereka tidak menjadi buta pada suatu hari nanti

  4. hj yamin berkata:

    Pohon bantu kami di Pulau Pinang

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 232,522 hits
Kalendar
Oktober 2014
I S R K J S A
« Mac    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 29 other followers

%d bloggers like this: