MASALAH SOSIO-BUDAYA DAN PENDIDIKAN MELAYU

 

Masalah sosial di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan. Kehidupan sosial orang Melayu, khususnya anak-anak muda hari ini begitu dipengaruhi oleh budaya Barat. Orang Melayu seakan tidak mempunyai daya tahan dalam menghadapi limpahan  budaya Barat yang semakin menggejala. Siaran tv Astro yang menyalurkan hampir semua program tv dunia tanpa tapisan sudah masuk ke rumah-rumah orang Melayu, baik di bandar mahupun di kampung-kampung.

Dunia siber telah meruntuhkan akhlak remaja Melayu. Teknologi komunikasi IT dan handphone yang sepatutnya menjadi alat bagi pembangunan bangsa sebaliknya mencetuskan budaya negatif di kalangan anak-anak Melayu. Didikan agama yang dangkal, kecuali beberapa kerat yang mendalami agama secara sepenuh masa di peringkat sekolah dan IPT, telah semakin terhakis akibat landaan pengaruh siber dan globalisasi.

 

Apa sahaja yang disajikan akan ditelan oleh orang Melayu tanpa mengunyahnya. Ada yang leka dengan dunia hiburan, dan taksub dengan program realiti atau talk show hiburan atau sukan tertentu, pornografi, chatting yang tidak berfaedah (konon sekadar menghiburkan hati) dan sibuk dengan skim cepat kaya yang menggunakan IT. Hanya ada satu dua rancangan tv atau radion yang baik dan berfaedah tetapi kurang ditonton atau didengar.

 

Akibatnya orang Melayu menjadi lesu dan malas berfikir. Tidak ada penekanan yang serius terhadap budaya ilmu. Memasuki IPT hanyalah sekadar untuk mendapatkan sekeping ijazah sebagai tiket untuk mendapat pekerjaan dan hidup senang. Universiti hanyalah kilang yang memproduksi pekerja, bukan menatang budaya ilmu dan pembangunan insan dalam erti kata yang sebenarnya. Apa yang dimaksudkan dengan pembangunan insan kini lebih menjurus kepada penyediaan sumber tenaga kerja melalui kemahiran tertentu.

 

Krisis Nilai Melayu

 

Sesungguhnya Melayu kini sedang menghadapi krisis nilai. Kita bukan sekadar menghadapi gejala sosial, tetapi masalah sosial yang real. Masalah sosial orang Melayu adalah hasil daripada krisis nilai yang begitu parah.

 

Memang dalam membicarkan masalah sosial, soal statistik harus diambilkira. Gambaran buruk moral dan akhlak orang Melayu ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Dalam apa sahaja statistik masalah sosial di negara ini, orang Melayulah yang paling ramai. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan, terdapat laporan yang menyatakan wujud 74,723 kes anak luar nikah yang membabitkan orang Melayu telah didaftarkan.

 

Kelahiran seorang anak luar nikah tentulah melibatkan dua orang dan ini bermakna seramai 149,446 orang Melayu telah terlibat dengan perzinaan, termasuk kes sumbang mahram. Itu yang didaftarkan. Mungkin jumlah ini bertambah sekali ganda kepada hampir 300,000 orang yang tidak didaftarkan.

 

Ini bermakna setiap tahun hampir 600,000 orang Melayu terlibat dalam kes zina. Bayangkan jika masalah ini tidak dapat dibendung, dalam tempoh 50 tahun lagi seramai 15 juta orang terlibat dalam kes seumpama ini.

 

Ini belum diambilkira kes pembuangan bayi di tempat pembuangan sampah atau bayi ditinggalkan begitu sahaja di depan rumah atau surau/masjid. Setiap minggu akan terpampang di media kes pembuangan bayi, terutama di kalangan orang Melayu. Masalah ini bukan tidak berlaku di kalangan bangsa lain, tetapi mungkin bilangannya lebih kecil.

 

Seks Bebas

 

Gejala hubungan seks bebas di kalangan remaja dan orang dewasa Melayu semakin meningkat. Kebanyakan pelaku seks bebas ini menyedari bahawa perbuatan mereka itu salah, tetapi akibat nafsu rela menggadaikan maruah diri hanya untuk kepuasan sementara.

 

Hubungan intim seperti berpeluk dan bercium sudah menjadi perkara biasa. Bermula di panggung wayang dan taman bunga atau pusat-pusat hiburan sehinggalah berlarutan dengan melakukan seks di hotel atau di rumah.

 

Mereka tidak mahu berkahwin kerana tidak mahu memikul tanggungjawab. Keadaan mereka sama seperti di Barat. Baru-baru ini ada orang yang mengakui tinggal serumah tanpa nikah.

 

Mengikut penyelidikan yang dijalankan oleh Pertubuhan Kebajikan Darul Islam Selangor, 25 – 30% pelajar sekolah menengah mengakui mereka pernah melakukan hubungan seks sejak daripada tingkatan satu. Peningkatan kes pelajar sekolah hamil ialah sebanyak 30% setiap tahun. 70% pelajar sekolah rendah yang berumur 9 – 12 tahun pernah membaca atau menonton bahan-bahan lucah sama ada melalui buku, novel, vcd ataupun internet.

 

Semuanya sudah dianggap perkara biasa dan mereka tidak ada rasa segan dan malu. Bahkan, sudah wujud pesta-pesta seks bertukar-tukar pasangan, bukan sahaja di bandar-bandar, tetapi sudah menular ke kawasan kampung.

 

Tidak hairanlah apabila terdapat laporan kejadian 16 pelajar perempuan tingaktan tiga dan enam di sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu didapati hamil anak luar nikah! Ini yang dilaporkan dan dikesan oleh media. Apakah kejadian ini tidak berlaku di sekolah lain?

 

Anehnya ada suara-suara yang mahuan Pendidikan Seks di ajarkan di sekolah-sekolah, meniru cara Barat menyelesaikan masalah seks bebas, walhal sejak subjek itu diperkenalkan di Barat, seks bebas bukan berkurang, tetapi bahkan meningkat dengan drastik! Kenapa tidak di cari penyelesaian cara Islam, apa lagi terhadap kes-kes yang melibatkan orang Islam sendiri?

 

Perceraian

 

Jakim melaporkan bahawa kes perceraian di kalangan orang Melayu-Islam juga semakin meningkat. Sejak tahun 1990, antara 11,000 hingga 20,000 kes perceraian berlaku setiap tahun. Tahun 1990 mencatatkan sebanyak 11,194 kes, manakala pada tahun 2008 mencatatkan sebanyak 22,289 kes perceraian.

 

Jika dijumlahkan, sebanyak  270,570 kes perceraian telah berlaku sejak tahun 1990 hingga tahun 2008. Ia merupakan 15% daripada 1,802,039 perkahwinan orang Melayu-Islam pada tahun 1990 hingga 2008.

 

Perceraian amat menakutkan kerana ia bukan sahaja melibatkan perpisahan dua insan, tetapi mungkin permusuhan dua keluarga. Tentulah kesannya melibatkan antara 2 hingga 4 orang anak yang akan mengalami trauma.

 

Lebih buruk lagi jika si bapa mengabaikan pemberian nafkah kepada anak-anak dan berlaku permusuhan atau pertelingkahan antara bekas suami isteri tersebut. Ia akan memberi kesan kepada pemikiran anak-anaknya kerana bertambahnya dengan kumpulan orang-orang yang emosinya tidak stabil dalam masyarakat.

 

Seks Songsang

 

Paling menyedihkan lagi ialah wujudnya golongan pengamal seks songsang di kalangan remaja Melayu. Tidak lama dahulu akhbar Harian Metro melaporkan tentang kegiatan lesbian dan homoseksual yang amat menjijikkan. Demi memperoleh nikmat seks luar biasa yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Mereka menyalahgunakan laman web sosial seperti facebook dan twitter untuk mengiklankan kegiatan mereka. Begitu juga dengan kegiatan lesbian di kalangan remaja Melayu. Kebanyakan mereka mula ketika tinggal di asrama sekolah.

 

Sudah wujud kumpulan Gay Malaysia yang menyalahgunakan lambing jata dan bendera negara menjadi logo kumpulan ini di internet. Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan Malaysia (SIDIM) melaporkan memang ramai yang terlibat dengan kegiatan terkutuk ini. SIDIM sendiri dikatakan sedang merawat berpuluh-puluh pelatih yang ingin kembali ke pangkal jalan.

 

Di samping itu juga, wujud kumpulan lembut atau pondan di kalangan lelaki Melayu. Kebanyakan mereka bekerja di salon kecantikan, menjadi jurusolek artis dan jurujual atau pelayan di restoren atau di hotel-hotel. Ada yang sudah melakukan pembedahan untuk menukar jantina dan mengubah bentuk wajah dan bahagian tertentu tubuh badan mereka.

 

Kes-kes seumpama ini akan memberi kesan buruk kepada pembinaan bangsa Melayu. Ia memberikan kesan berganda. Tidak pelik jika ibu bapa yang tidak bermoral dan tidak berpegang kepada agama akan melahirkan anak-anak yang lebih buruk akhlaknya. Apa lagi jika mereka dan anak-anak mereka tidak mendapat bimbingan dan pendidikan agama yang secukupnya. Bayangkan akhlak dan moral generasi Melayu 50 tahun akan datang. Tidakkah ini menandakan jati diri Melayu semakin pupus.

 

Dadah, HIV dan Arak

 

Seiring dengan pemodenan negara, gelaja dadah turut melanda dan memusnahkan masa depan sebahagian orang Melayu. Walaupun pelbagai usaha dilancarkan untuk membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini, termasuk penubuhan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan, PEMADAM, Pengasih, Pendamai dan Majlis Anti-Dadah Kebangsaan, gerakan kempen kesedaran secara besar-besaran dan usaha pembanterasan dadah oleh pihak polis dan Rela, namun masalah dadah semakin serius.

 

Kes penyalahgunaan dadah di negara ini mula dikesan sejak awal tahun 1970-an lagi. Data PEMADAM menyatakan bahawa sejak tahun 1988 hingga 2005, sebanyak 32,808 kes penagihan dadah telah direkodkan. 68% atau 22,344 daripada penagih dadah itu adalah orang Melayu. Kebanyakan mereka berumur antara 12 hingga 40 tahun.

 

Bagaimanapun, menurut satu kajian, jumlah itu jauh leboh besar. Daripada tahun 1998 hingga 2006, terdapat sebanyak 296,898 orang penagih dadah yang didaftarkan. 66% atau sebanyak 194,630 adalah Melayu.

 

Alangkah ruginya apabila anak-anak muda Melayu, khususnya lelaki terlibat dalam masalah yang amat rumit untuk diselesaikan ini. Sebahagian besar daripada mereka akan terus menagih dadah walaupun sudah menjalani pemulihan di 28 pusat serenti. Paling membimbangkan ialah wujudnya andaian bahawa seorang penagih ditangkap, tiga orang lagi dikatakan masih bebas di luar.

 

Setiap tahun kerajaan terpaksa membelanjakan RM200 juta setahun untuk menangani masalah dadah. Purata RM29,000.00 dibelanjakan untuk program pemulihan seorang penagih dadah dalam tempoh dua tahun. Selepas menjalani program pemulihan selama dua tahun, ada yang ditangkap kembali setelah dibebaskan. Ada yang tinggal sehingga 20 tahun di pusat serenti.

 

Biasanya penagihan dadah berpunca daripada ketagihan rokok. Terdapat lebih 4.6 juta perokok tegar di Malaysia hari ini. Masalah ini berpunca sejak daripada sekolah rendah lagi. Tabiat merokok di kalangan remaja di bawah umur 18 tahun meningkat setiap tahun. Pada tahun 2003 sahaja, 25.3% remaja Malaysia merokok, sabahagian besarnya adalah remaja melayu.

 

Kerajaan terpaksa membelanjakan RM7 juta setahun untuk kempen anti-merokok setiap tahun. Walaupun diketahui bahawa lebih daripada 10,000 orang meninggal dunia akibat penyakit yang berkaitan dengan rokok seperti kanser paru-paru dan sakit jantung, namun usaha untuk mengurangkan perokok masih tidak berkesan.

 

Dalam kes HIV pula, pada tahun 1985 hanya didapati 3 orang penghidap penyakit ini. Dua orang daripadanya adalah Melayu. Namun pada tahun 2008 jumlah ini telah mencecah 100,000 orang dan 80% adalah orang Melayu, terutama daripada suntikan dadah akibat bertukar jarum. Ada juga kes yang melibatkan hubungan seks rambang. Kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM2o billion setahun untuk merewat pesakit HIV dan Aids.

 

Kes penagihan arak tidaklah terlalu besar di kalangan orang Melayu. Bagaimanapun daripada 2.1 juta peminum arak di negara ini, 20% daripadanya adalah Melayu. Rakyat Malaysia berbelanja lebih RM2 billion untuk membeli arak setiap tahun.  Ketagihan arak berpunca dripada masalah rumahtangga. Di kalangan remaja pula, ia menjadi trend baru kerana cara hidup bebas yang mereka amalkan. Ia berkaitan dengan masalah jenayah, judi dan keganasan rumahtangga.

 

Dari Ponteng Sekolah ke Jenayah

 

Pada tahun 2005, seramai 7,000 pelajar telah dibuang sekolah manakala 15,000 pelajar pula digantung persekolahan. Mereka berpeleseran di pusat-pusat hiburan dan cyber cafe. Kes pergaduhan di kalangan pelajar juga amat merunsingkan. Mereka juga terlibat dalam kes buli, kes juvana dan gansterisme. Terdapat pelajar yang mati dipukul oleh sekumpulan pelajar lain. Sebanyak 4,844 kes juvana dikesan pada tahun 2006. Ia meningkat setiap tahun.

 

Kes keciciran juga turut merunsingkan. Pada tahun 2006, sejumlah 20,293 pelajar gagal menamatkan persekolah di peringkat menengah. Ada juga laporan yang mengatakan sebanyak 242,195 orang pelajar telah tercicir sejak tahun 1990. Semua ini menyumbang kepada masalah sosial, terutama perlakuan jenayah.

 

Remaja ini membesar dengan seribu satu masalah sehingga akhirnya menjadi penjenayah. Tidak hairanlah masalah rempit, ragut, rompak, rogol dan pembunuhan berleluasa hari ini. Statistik PDRM mendedahkan bahawa pada tahun 2004 berlaku perkara-perkara berikut:

 

1.5 kes orang dibunuh setiap hari

4.7 kes orang dirogol setiap hari

68.2 kes pecah rumah setiap hari

23.6 kereta di curi setiap hari

141.3 kes motorsikal dicuri setiap hari

41.9 kes rompakan setiap hari

 

Kadar jenayah di seluruh negara meningkat sehingga 15% setahun. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia menjejaskan keamanan dan kestabilan hidup. Jenayah dan maksiat terus bertambah setiap tahun. Lebih separuh daripadanya melibatkan orang Melayu. Ini ditambah pula dengan statistic bahawa 5,000 kes jenayah melibatkan warga asing di Malaysia.

 

Tidak kurang merunsingkan kita ialah kes-kes pelacuran. Ada data yang menunjukkan terdapat sehingga 142,000 orang wanita dan pondan hidup sebagai pelacur sejak 10 tahun lalu. Walaupun lebih ramai yang ditangkap terdiri daripada warga asing dari China, Indonesia, Thailand, Vietnam, Russia dan beberapa Negara Barat, sebahagian besar pelanggannya adalah orang Melayu.

 

Gaya Hidup dan Bebanan Hutang

 

Orang Melayu boleh dibahagikan kepada lima kumpulan penempatan. Pertama ialah Melayu kampung yang masih tinggal di rumah-rumah tradisional, termasuk di Felda. Sebahagiannya sudah didirikan rumah batu, sebahagiannya masih rumah kayu. Gaya hidup mereka masih tradisional dengan semangat kerjasama dan gotong-royong masih ada, walaupun sudah mula terhakis. 30% daripada orang Melayu digolongkan dalam kategori ini.

 

Kedua ialah rumah murah, sama ada teres setingkat atau rumah pangsa atau flet.  Kebanyakannya adalah hasil penempatan semula setinggan di pinggir Bandar. Kehidupan mereka agak sederhana dengan pendapatan cukup makan. Ada yang bekerja kilang, pemandu, kerja kontrak, kerani, buruh dan peniaga kecil-kecilan. Jumlah ini agak besar, mungkin di sekitar 30% daripada jumlah orang Melayu.

 

Ketiga ialah penempatan taman, biasanya rumah teres dua tingkat yang mewakili 20% penduduk Melayu di negara ini. Hidup mereka agak selesa, tetapi semangat kejiranan mulai renggang, terutama di taman-taman yang turut dihuni oleh kaum-kaum lain. Mereka mungkin kakitangan kerajaan dan swasta peringkat pertengahan yang berpendapatan agak baik.

 

Keempat ialah Melayu yang tinggal di rumah mewah seperti banglo, semi-detached, rumah teres di kawasan mewah ataupun kondominium. Mereka mewakili 10% daripada jumlah orang Melayu di negara ini. Kehidupan mereka adalah mewah, namun hubungan kejiranan memang kurang dititikberatkan dan sikap individualistik yang menebal. Mereka kononnya lebih mementingkan privasi, status dan keselamatan. Jika kenduri mereka biasanya akan menempah catering. Biasanya mereka terdiri daripada pegawai tinggi kerajaan dan swasta, ahli politik dan usahawan yang berjaya.

 

Kumpulan kelima ialah Melayu yang masih menghuni kawasan setinggan atau kawasan rumah-rumah lot yang sempit dan tidak teratur. Semangat kejiranan masih wujud tetapi sikap individualistik tetap ada.

 

Kebanyakan Melayu bandar dan pinggir bandar sudah dibudayakan dengan kehidupan moden. Mereka lebih gemar berbelanja di supermarket. Gaya hidup mereka juga jauh berbeza daripada Melayu di kampung atau Melayu tradisional. Bagi mereka kehidupan Melayu kampung sudah ketinggalan zaman. Kebanyakan mereka mementingkan status dan penampilan dari segi pakaian, perhiasan, kereta dan lebih terpengaruh dengan jenama, walaupun kadangkala berbelanja melebihi pendapatan. Sesetengahnya pula lebih suka mengunjungi restoren mewah seperti Starbuck atau Kopitiam demi status dan gaya hidup mewah.

 

Budaya makan makanan ringan seperti KFC, McDonald, Pizza Hut dan seumpamanya juga sudah sebati dengan sebahagian besar orang Melayu  di bandar. Kalau satu ketika dulu kedai makanan segera ini dianggap mewah, tetapi hari ini ia sudah dianggap makanan biasa, walaupun mereka terpaksa membayar harga yang jauh lebih mahal daripada makanan di warung atau restoran biasa.

 

Lebih parah lagi ialah adanya Melayu yang tidak memperdulikan halal-haram dalam hal makanan dan berpakaian. Mereka sanggup mengunjungi restoren tertentu yang makanannya belum tentu halalnya, termasuk kedai yang menyediakan minuman keras. Dari segi kesihatan, majority penghidap sakit jantung dan diebetis adalah orang Melayu.

 

Dari segi berpakaian, sebahagian besar anak-anak muda lebih terikut-ikut dengan trend. Lambakan pakaian mendedahkan aurat dari China, Hongkong dan Barat di supermarket menjadi kegilaan generasi muda Melayu. Walaupun sebahagiannya mengenakan tudung, tetapi mereka masih memakai pakaian yang ketat, pendek dan tidak menutup aurat sepenuhnya.

 

Masalah dunia hiburan paling berat ialah komersialisasi berlebihan. Bidang ini bukan lagi dianggap sebagai seni fitrah dan seni beradabtetpai telah diganti dengan hiburan yang komersial yang keterlaluan, hedonistik, dunia gossip, bidang memperaga diri menjadi glamor. Walhal bidang hiburan yang ditampilkan tidaklah mencapai kualiti yang diharapkan. Kita terlalu banyak didedahkan dengan program hiburan yang ditiru daripada orang lain. Isinya kosong dan merosakkan pemikiran generasi muda, khususnya orang Melayu. Ia semakin parah dari sehari ke sehari dan akhirnya mencabut generasi muda dari akar jati diri Melayu yang berteraskan agama.

 

Gaya hidup mewah juga semakin berleluasa. Akibatnya semakin ramai Melayu hidup dihimpit hutang. Hampir semua yang mereka miliki adalah dengan cara berhutang, sama ada hutang/pinjaman bank atau kad kredit. Tidak kurang juga yang menghadapi masalah black listed dan bangkrup. Ada pula yang dikejar along kerana gagal melangsaikan hutang sejak sekian lama.

 

Pendidikan Melayu Ke Arah Mana?

 

Bukan tidak ada Melayu yang baik dan bagus. Bukan tidak ada Melayu yang sedar, Islamik, intelek dan professional. Namun jumlahnya tidak dominan. Hatta kita mempunyai lebih 60,000 pensyarah universiti dan kolej universiti, sebahagian besar daripada mereka hanyalah pekerja biasa-biasa yang tidak menyumbang sebarang pengaruh pembaharuan dalam masyarakat. Mereka hidup sama sahaja dengan pekerja atau kakitangan kerajaan dan swasta yang lain – untuk cari makan.

 

Fenomena brain drain Melayu yang berhijrah dan tinggal di luar negara juga amat membimbangkan. Mereka lebih selesa bekerja di negara luar dengan pendapatan yang lumayan daripada bekerja di negara ini. Akibatnyanya semakin ramai professional asing yang datang berkerja dan menetap di sini. Di samping itu sejumlah 2 juta pekerja asing datang ke Malaysia sebagai pekerja mahir dan separuh mahir sehingga mengurangkan peluang kerja di kalangan anak tempatan.

 

Bidang pendidikan tidak dinafikan merupakan penyumbang penting kepada perubahan nasib dan taraf hidup orang Melayu. Dengan pendidikanlah orang Melayu mampu menjadi peguam, doktor, arkitek, pendidik dan usahawan yang berjaya. Melalui kemajuan dalam bidang pendidikanlah orang Melayu mampu mendapat pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik berbanding semasa sebelum kita mencapai kemerdekaan.

 

Namun persoalan utama ialah sistem pendidikan yang kita dokong selama ini yang gagal mencernakan watak-watak Melayu yang diharapkan. Sistem pendidikan nasional gagal membentuk sahsiah dan keperibadian bangsa kerana terlalu mementingkan peperiksaan. Falsafah Pendidikan Negara yang bermatlamatkan pembangunan insan yang seimbang masih gagal melahirkan Melayu yang berfikir kreatif dan kritis serta mempunyai yang betul dan jati diri yang kukuh sebagai bangsa teras di negara ini.

 

Pendidikan Islam yang diharapkan untuk membentuk sahsiah dan keperibadian bangsa Melayu indah khabar dari rupa. Kesannya tidak menyeluruh. Sistem pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan mungkin merupakan punca pendidikan Islam tidak dihayati oleh para pelajar. Pengajian Islam yang sepatutnya diwajibkan di semua peringkat tidak berlaku. Akibatnya, ada pelajar yang langsung tidak mengambil mata pelajaran agama Islam dan ini berterusan sehingga mereka memasuki IPT.

 

Setiap kali bertukarnya tampuk kepemimpinan pula, akan ada sahaja dasar baru diwujudkan, yang tidak berkesinambungan daripada dasar yang sebelumnya. Pegawai, pensyarah, guru dan pelajar semakin keliru. Tahap komitmen guru mendidikan anak bangsa tidak 100%. Segelintir saja yang betul-betul menjiwai profesyen perguruan dengan ikhlas.

 

Dasar baru seperti PPSMI pula menghambat dan menghakis Dasar Bahasa Kebangsaan yang dilaksanakan sebelum ini. Ia seolah-olah membantutkan proses memperkukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahkan ada pemimpinan kenan universiti sendiri yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa sendiri. Akibatnya, semakin banyak university di negara ini yang sudah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar atas alas an untuk mewujudkan kebolehpasaran graduan.

 

Proses meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi terbantut. Penguatkuasaannya seperti dalam iklan masih belum menyeluruh. DBP yang menjadi lambing kemegahan bahasa Melayu hanya gah pada bangunan tingginya sahaja, sedangkan penerbitan dan pemasaran buku-buku berbahasa Melayu tidak sehebat yang disangka. Kempen-kempen bahasa lebih bersifat superficial dan bermusim. Di manakah silapnya?

 

Walaupun sejak merdeka negara kita telah melahirkan lebih dua juta golongan cerdik pandai khususnya di kalangan orang Melayu, kepandaian mereka hanya digunakan untuk mendapatkan pekerjaan yang bergaji lumayan, tetapi tidak untuk membangunkan anak bangsa supaya mempunyai jati diri yang kuat. Yang lahir adalah individu Melayu yang berpendidikan tinggi tetapi hidup secara invidualistik dan materialistic, mementingkan diri sendiri dan kebendaan semata-mata.

 

Generasi bijak pandai Melayu tewas dengan cabaran pemodenan khususnya dunia IT dan penyiaran. Yang lahir ialah anak-anak yang lemah berfikir akibat terpesona dengan “didikan” video game, calculator dan penggunaan sms melalui handphone. Ramai yang lebih leka dengan bercit-cat berjam-jam, melayari facebook dan benda-benda yang lebih kepada hiburan dan seks. Melayu semakin leka dan tidak lagi memikirkan nasib dan masa depan bangsanya.

 

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kadar celik huruf di kalangan orang Melayu meningkat tahun demi tahun. Bilangan pelajar Melayu yang lulus dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM semakin bertambah. Lulusan institut perguruan, kolej dan universiti juga semakin ramai. Tetapi kualiti yang dicapai oleh pelajar-pelajar Melayu di semua peringkat masih ketinggalan di belakang kaum lain. Data-data mutakhir menunjukkan bahawa pencapaian pelajar-pelajar Melayu membuktikan dakwaan ini.

 

Pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan juga agak ketinggalan berbanding dengan kaum lain. Perhatikan senarai pelajar terbaik SPM 2009 di  bawah ini sebagai contoh:

1.                  Gladys Tan Yee Kim SMK  – Green Road, Kuching, Sarawak

2.                  Grace Kiew Sze-Ern – SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor

3.                  Khadijah Ahmad Jais – SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan

4.                  Akmal Hidayat Sabri – SMK Derma, Kangar, Perlis

5.                  Syamilah Mahali – Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan

6.                  Lee Wei Ling – SMK Taman Melawati, Selangor

7.                  Nur Syuhadah Muhamad – SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan

8.                  Lai Yin Kwin – SMK Tinggi Melaka, Melaka

9.                  Corinne Gunn Huey Min – SMK Taman Melawati, Selangor

10.              Hu May Khei – SMK Convent, Taiping, Perak

Hanya 4 daripada 10 pelajar terbaik SPM ini terdiri daripada orang Melayu, itupun dua orang daripadanya bersekolah di sekolah berasrama penuh tajaan kerajaan, sedangkan kesemua enam pelajar Cina hanya bersekolah di sekolah harian. Ini jelas menunjukkan perbezaan yang ketara antara pencapaian anak Melayu berbanding dengan anak orang Cina. Di manakah silapnya?

 

Ini belum diambilkira pencapaian pelajar Melayu di peringkat IPT atau university-universiti tempatan dan luar negara. Kebanyakannya hanya lulus cukup makan dan tidak hairanlah setiap kali diumumkan graduan terbaik dalam bidang penting/kritikal, pemenangnya adalah bukan Melayu.

One comment on “MASALAH SOSIO-BUDAYA DAN PENDIDIKAN MELAYU
  1. As berkata:

    Artikel yang sangat baik.. banyak info dan manfaat..
    bagaimana situasi generasi anak cucu kita masa hadapan sekiranya situasi hari ini sedemikian..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 218,807 hits
Kalendar
Julai 2014
I S R K J S A
« Mac    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 29 other followers

%d bloggers like this: