MASALAH SOSIO-EKONOMI ORANG MELAYU

DARI DEB KE MEB

 

Peristiwa 13 Mei

 

Pada tahun 1962, hasil Laporan Cobbold dan persetujuan semua pihak, Sabah dan Sarawak telah mencapai kemerdekaan daripada British dan bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1963, nama Malaysia diisytiharkan menggantikan nama Malaya.  Malaysia berjaya menyelesaikan masalah konfrantasi 1964-65 dengan Indonesia yang menentang penubuhannya di meja rundingan. Langkah-langkah untuk mewujudkan pentadbiran yang seragam dan integrasi kaum mula dilaksanakan.

 

Malangnya, keadaaan harmoni selepas itu tidak kekal lama. PAP (People Action Party) pimpinan Lee Kuan Yew yang tewas dalam pilihanraya umum 196 telah menubuhkan gabungan parti-parti pembangkang yang dinamakan Pertubuhan Perundingan Perpaduan Malaysia dengan slogan “Malaysia Malaysia”. PAP ternyata tidak mengakui Hak Istimewa Oragn Melayu dan ini amat mengecewakan orang Melayu. Rusuhan demi rusuhan berlaku di Singapura pada tahun 1964 dan 1965. Demi menjaga kestabilan negara, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan Singapura keluar dari Malaysia melalui persetujuan Dewan Rakyat pada 9 Ogos 1965.

 

Bagaimanapun, usaha untuk memadamkan api perkauman tidak semudah yang disangka. DAP (Democratic Action Party) telah ditubuhkan untuk meneruskan ideologi PAP dan menuntut Hak istimewa Orang Melayu dihapuskan. DAP telah bergabung dengan Parti Progresid Rakyat (PPP), Parti Buruh, Gerakan, Pekemas, PAS dan calon-calon bebas lalu membentuk barisan parti pembangkang yang kuat dan menang besar dalam pilihanraya umum yang diadakan pada 10 Mei 1969.

 

DAP dan Gerakan yang berjaya menguasai bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh dan Pulau Pinang telah mengadakan perarakan besar-besarn bagi merayakan kemenangan itu. Leon Comber dalam bukunya May 13 (Peristiwa 13 Mei) mencatatkan:

 

“Perarakan yang tidak terkawal itu perlahan-lahan telah memasuki bandarayya serta melalui Kampung Baru, sebuah kawasan Melayu yang terbesar di Kuala Lumpur. Di sini 30,000 orang Melayu tinggal dan perarakan itu telah mencaci dan menghina orang Melayu dengna mengeluarkan kara-kata seperti “Melayu sudah jatuh”, “KL sekarang Cina punya”, “ini negara bukan Cina punya”, “kita mahu halau semua orang Melayu” dan sumpamanya” (h. 87).

 

Kemarahan orang Melayu terhadap kata-kata hinaan itu tidak dapat dibendung lagi. Mereka bermesyuarat di kediaman Menteri Besar Selangor (Dato’ Harun Idris)  di Kg. Baru pada 12 Mei dan kemudian mengadakan tunjuk-tunjuk perasaan di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969. Mereka bertembung dengan perarakan orang Cina dan keadaan menjadi huru-hara. Selama dua hari itu telah berlaku keganasan, pembunuhan dan pembakaran tempat tinggal dan premis-premis perniagaan.

 

Perintah berkurung (darurat) kemudian telah diisytiharkan oleh Yang Di Pertuan Agong pada 15 Mei 1969. Rejimen Askar Melayu dikerahkan untuk menjaga keamanan, tetapi pertumpahan darah dan kejadian tembak-menembak terus berlaku sehingga 29 Mei 1969.    Bertus-ratus orang telah terkorban dan lebih 6,000 keluarga mengalami kemusnahan tempat kediaman. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman didesak meletakkan jawatan dan negara diletakkan di bawah pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak.

 

Peristiwa hitam 13 Mei itu bukan sahaja berpunca daripada sikap perkauman yang semakin menebal dan kejayaan pembangkang dalam pilihanraya, tetapi sebenarnya adalah akibat perbezaan taraf hidup dan jurang ekonomi, politik dan sosial antara orang Melayu, Cina dan India yang wujud akibat dasar pecah dan perintah penjajah Inggeris.

 

Kedudukan orang Melayu yang jauh ketinggalan berbanding dengan orang Cina khususnya dari segi ekonomi dan taraf hidup menyebab perasaan tidak puas hati di kalangan orang Melayu. Ini ditambah pula dengan gelagat sesetengah pemimpin bukan Melayu yang dianggap sombong dan tidak menghargai pengorbanan orang Melayu merelakan tanah airnya dikongsi dengan orang Cina dan India. Orang Melayu mula mempersoalkan kedudukan mereka selepas 12 tahun merdeka di bawah kerajaan Perikatan dan ini menimbulkan kegelisahan dan kesangsian terhadap masa hadapan mereka di negara sendiri.

 

Dasar Ekonomi Baru

Majlis Perundingan Negara yang diketuai oleh Tun Razak dibentuk pada tahun 1970, dengan ahli-ahlinya terdiri daripada tiga orang menteri, tujuh orang wakil kerajaan-kerajaan negeri, lima orang wakil UMNO, tiga orang wakil MCA, seorang wakil MIC, seorang wakil PPP, seorang wakil Parti Buruh, tiga orang wakil Sabah, lima orang wakil Sarawak, dua wakil agama Islam, dua wakil agama Kristian, dua wakil kesetuan sekerja, empat orang wakil wartawan, dua orang wakil persatuan guru dan dua orang wakil kumpulan minoriti.

 

Hasilnya, DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan dalam tempoh 20 tahun dilancarkan pada tahun 1971. Sepanjang tempoh tersebut, pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua hingga Rancangan Malaysia Kelima telah memberikan tumpuan terhadap pembelaan rakyat termiskin yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu di luar bandar. Lebih daripada RM400 billion telah dibelanjakan oleh kerajaan bagi memastikan matlamat penguasaan 30 peratus kek ekonomi oleh orang Melayu dapat dicapai.

 

Di samping itu, untuk mengurangkan ketegangan antara kaum, Rukunegara yang mengandungi lima prinsip yang berteraskan perpaduan kaum dan pembinaan masyarakat adil bagi pembinaan negara yang aman dan bersatu padu telah dilancarkan. Selaras dengan itu lahirlah Jabatan Perpaduan Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan.

 

Pelbagai rancangan pembangunan ekonomi telah dilaksanakan. Felcra, Felda, MARA dan UDA telah ditubuhkan bagi membantu orang Melayu di luar bandar dan bandar. Pendokong kerajaan telah melancarkan buku Revolusi Mental bagi menjawab buku Dilema Melayu tulisan Dr. Mahathir yang diharamkan itu.

 

Tun Razak berusaha gigih bagi meletakkan bangsa Melayu setanding dengan bangsa lain di negara ini, khususnya dalam membangunkan kawasan luar bandar sehingga beliau digelar sebagai “Bapa Pembangunan”. Beliau bernasib baik apabila PAS bersetuju menyertai kerajaan pada tahun 1974 dan kejayaan ini menambah kekuatan Melayu di persada politik negara.

 

Tun Hussien Onn pula berusaha mengekalkan momentum pembangunan negara dan mengukuhkan perpaduan antara kaum. Kesinambungan usaha pembangunan diteruskan oleh Dr. Mahathir yang mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada tahun 1981. Beliau melaksanakan pelbagai dasar penting bagi membangunkan negara dan membawa perubahan sikap di kalangan masyarakat seperti Dasar Pandang Ke Timur, Penswastaan, Kepimpinan Melalui Teladan, Penerapan Nilai-nilai Islam dan sebagainya.

 

Pada umumnya DEB berhasil membangunkan infrastruktur negara, meninggikan taraf ekonomi, mengurangkan kadar kemiskinan, melahirkan lebih ramai golongan terpelajar, mewujudkan integrasi nasional dan kestabilan negara. Malaysia dan orang Melayu boleh berbangga dengan terlaksananya projek besar yang dapat menaikkan imej negara dan bangsa seperti Petronas dan projek kereta nasional Proton Saga. Kuasa politik Melayu masih dapat dipertahankan dan negara berada dalam aman dan stabil.

Dilema Ekonomi Melayu

Namun, itu semua belum mencukupi. Setelah DEB berakhir pada tahun 1990, orang Melayu masih ketinggalan dalam hampir semua bidang. Orang Melayu masih terkebelakang dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kualiti hidup. Sesungguhnya Melayu selepas DEB masih berada dalam dilema.

 

Dilema Melayu dalam bidang ekonomi kini semakin ketara dan hakikat ini jelas dibuktikan oleh  data-data. Walaupun kemiskinan menurun daripada 49.3% pada tahun 1970 kepada 17.1% pada tahun 1990, namun daripada 619,400 isirumah miskin (1990), sebahagian besar daripadanya adalah orang Melayu di luar bandar yang kebanyakannya adalah golongan petani, pekebun kecil dan nelayan.

 

Kadar kemiskinan memang berkurang sepanjang tempoh DEB, tetapi jurang antra kawasan bandar dan luar bandar masih wujud. Kemiskinan masih menghantui 21.8% penduduk desa, sedangkan hanya 7.5% di bandar-bandar. Peratusan orang Melayu yang miskin pada tahun 1990 ialah 23.8%, manakala orang Cina yang miskin Cuma 5.5% dan India pula hanyalah 8.0%. Ini menunjukkan orang Melayu masih jauh ketinggalan.

 

Pencapaian KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pula berbeza dengan ketara apabila didapati negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan dan Perak yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu masih ketinggalan. Separuh daripada penduduk negeri-negeri maju seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor adalah terdiri daripada orang bukan Melayu.

 

Di kampung-kampung tradisional melayu, nasib mereka tidaklah banyak berubah. Sementara kemudahan infrastruktur seperti elektrik, bekalan air, jalanraya dan telefon diikmati oleh lebih 85% penduduk negara ini, masih terdapat segelintir orang Melayu yang ketinggalan.

 

Penanam padi di seluruh negar masih terus bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan. Di sesetengah tempat, masih terdapat banyak sawah terbiar tidak diusahakan. Generasi kedua Felda yang tinggal di tanah rancangan masih tidak pasti halatuju mereka.

 

Dari segi pekerjaan, sebahagian besar tenaga kerja Melayu masih lagi berada dalam kategori pekerjaan yang rendah pendapatannya. Sehingga tahun 1990, orang Melayu paling ramai dalam bidang pertanian (76.4%), guru dan jururawat (68.1%), perkhidmatan (61.5%), teknikal an profesional tidak berdaftar (seperti pelukis pelan, juruteknik, pembantu hospital) (60.3%), perkeranian (54%) dan bidang pengeluaran atau operator (48%).

 

Penyertaan orang Melayu dalam bidang profesional yang berdaftar masih belum memuaskan. Daripada lapan bidang yang disenaraikan iaitu arkitek, akauntan, jurutera, doktor, doktor gigi, doktor veterinar, peguam dan juruukur, orang Melayu hanya mencapai 29%, berbanding orang Cina sebanyak 55.9% dan India 13.2%. Begitu juga dengan bidang pentadbiran dan pengurusan, orang Melayu cuma mencapai 33.3%, manakala bidang pemasaran dan jualan sekitar 36%.

 

Keadaan ini amat menyedihkan kerana bidang-bidang inilah yang menghasilkan pendapat paling lumayan dan merupakan sektor yang memperngaruhi pelaksanaan dasar-dasar pembangunan dan kestabilan ekonomi negara.

 

Wajah bandar dan pekan kita adalah wajah “China town”. Hampir tidak wujud bandar atau pekan yang bercirikan Melayu. Kebanyakan pasaraya besar di negara ini adlaah milik orang Cina atau orang asing, kecuali pasaraya Mydin. Walaupun terdapat beberapa restoran Melayu di sana-sini, kebanyakan peniaga Melayu masih mengendalikan warung, berniaga di pasar malam atau pasar tani.

 

Pencapaian orang Melayu dalam keseluruhan modal saham berbayar sektor syarikat pada tahun 1990 hanyalah 20.3%. Jika ditolak agensi amanah sebanyak 6.3%, pencapaian sebenar orang Melayu hanyalah 14%, sedangkan orang Cina 44.9%, orang India 9.7% dan orang asing sebanyak 23.1%. Orang India yang hanya merupakan 6% daripada penduduk Malaysia mencapai 9.7% sedangkan orang Melayu yang merupakan penduduk 55% daripada penduduk hanya mencapai 20.3%.

 

Statistik purata pendapatan bulanan isirumah antara kaum menunjukkan orang Melayu masih ketinggalan. Pada tahun 1976, purata pendapatan bulanan isirumah orang Melayu hanyalah sebanyak EM339.00, berbanding  dengan orang Cina sebanyak RM796.00 dan orang India sebanyak RM537.00. Pada tahun 1990, purata pendapatan isirumah orang Melayu meningkat kepada RM928.00 sebulan, sedangkan orang Cina melonjak kepada RM1,631.00 dan orang India RM1,201.00.

 

Statistik terbaru menunjukkan bahawa purat pendapatan isirumah Melayu hanyalah RM2,120.00, berbanding orang Cina RM4,885 dan India RM3,805 sebulan. Hanya 20% daripada orang Melayu mempunyai pendapatan melebihi RM10,000.00 sebulan, sedangkan lebih daripada 50% orang China berpendapatan melebihi jumlah itu.

 

Tidak hairanlah jumlah tabungan orang Melayu terlalu kecil dengan purata sebanyak RM536.00. Lebih malang lagi hampir 90% Melayu tidak mempunyai sebarang simpanan! Sedangkan purata tabungan orang Cina ialah RM2,562.00 dan India RM1,457.00.

 

DPMM pernah melaporkan bahawa pendapatan  bersih lebih 80% peniaga Melayu hanyalah di bawah RM2,500.00 sebulan. Ada penyelidik menyatakan bahawa harta purata 20% Melayu termiskin hanyalah RM2,300.00, sedangkan harta purata 20% Cina termiskin adalah sebanyak RM44,000.00.

 

Bukankah ini tanda-tanda kepupusan Melayu? Apa akan jadi 50 tahun akan datang? Adakah majoriti Melayu akan merempat di negara sendiri? Orang Melayu tentulah tidak boleh menyalahkan kaum lain dalam hal ini. Soalnya apakah usaha kerajaan untuk membantu orang Melayu selama ini masih tidak mencukupi? Ataukah orang Melayu memang sudah ditakdirkan sedemikian? Atau adakah lagi cara lain yang dapat mempercepatkan peningkatan taraf hidup orang Melayu?

 

Ada pihak yang berpendapat bahawa orang Melayu yang kaya tidak membantu orang Melayu yang miskin. Contohnya para pemimpin GLC yang diamanahkan oleh kerajaan lebih mementingkan keuntungan daripada membela dan membantu usahawan Melayu. Hal ini sudah acapkali disuarakan tetapi masih tiada perubahan. Kenapakah pihak kerajaan gagal mengawal GLC?

 

Paling aneh ialah kenyataan terbaru pihak kerajaan yang membuka 40% peluang pemilikan hartanah di Kg. Baru atas nama pembangunan, sedangkan Kg. Baru adalah tanah rizab khas bagi orang Melayu di Kuala Lumpur sejak dahulu lagi. Apakah rasionalnya? Sangat pelik bin ajaib  apabila seorang menteri Melayu dengan rela hati bersetuju memberikan 40% daripada tanah Melayu di Kg. Baru kepada orang bukan Melayu, walaupun tanpa diminta atau didesak oleh sesiapa. Anehnya, UMNO parti terbesar orang Melayu langsung tidak bersuara dalam hal ini!

 

Rasuah, Penyalahgunaan Kuasa dan Penyelewengan

Rasuah adalah barah masyarakat yang boleh meruntuhkan institusi masyarakat dan negara. Malaysia menduduki tangga ke 40 daripada indeks rasuah dunia. Walaupun kedudukan itu lebih baik daripada sepuluh tahun lalu, namun ia masih pada tahap yang membimbangkan. Rasuah juga melibatkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

 

Walapun sudah wujud Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang baru-baru ini dinaikkan tarafnya menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun jenayah ini masih terus berleluasa, khususnya di kalangan ahli politik dan kakitangan kerajaan. Kita tentu terkejut dengan laporan Presiden CUEPECS, Omar Osman yang menyatakan sebanyak 418,200 atau 41% daripada penjawat awam di negara ini mengamalkan rasuah – daripada sekecil-kecil perkara seperti pemalsuan sijil cuti sakit (M.C.) hinggalah kepada kontrak-kontrak bernilai ratusan juta!

 

Seorang kawan pernah diminta “duit kopi” hanya kerana ingin mempercepatkan bayaran atas projek di sebuah kementerian. Ini berlaku apabila beliau hairan kenapa ada syarikat yang dibayar tidak sampai dua minggu daripada tarikh menghantar tuntutan (invois), sedangkan tuntutan syarikatnya tiga bulan yang lalu belum dibayar. Ini menunjukkan rasuah berlaku di kalangan pegawai kerajaan, terutama di kalangan pegawai yang mempunyai kuasa meluluskan sesuatu projek/tender/sebutharga.

 

Rasuah memang berlaku di kalangan ahli politik. Ini sudah menjadi rahsia umum (public secret). Jika tidak, mana mungkin mereka dapat mengecapi hidup yang begitu mewah – rumah besar, kereta mahal dan harta bernilai jutaan ringgit, sedangkan gaji dan elaun mereka tidak sampai RM25,000.00 sebulan. Dengan kuasa, para pemimpin Melayu tertentu memanipulasikan prosedur tertentu atau “mengarahkan” supaya tender dan projek tertentu diberikan kepada kroni mereka. Pemimpin jenis ini akan meluluskan projek kepada orang tertentu yang kemudian memberikan sejumlah besar wang sebagai balasan. Sesetengahnya menggunakan proksi yang terdiri daripada saudara-mara ataupun kawan rapat yang boleh dipercayai. Ia juga akan melibatkan pegawai tinggi kerajaan yang bersubahat. Kebanyakan mereka menyatakan bahawa jika mereka tidak buat, orang lain pun akan buat juga. Perhatikan modus operandi kes  di bawah ini.

 

Kes Satu: Seorang menteri bersetuju memberikan 100 projek latihan di sebuah agensi kerajaan yang di bawah kuasanya kepada sebuah syarikat dengan cara menaikkan keuntungan sehingga 300%. Projek yang bernilai RM25,000.00 dinaikkan menjadi RM75,000.00, tambahan margin sebanyak RM50,000.00; sedangkan projek yang asalnya bernilai RM25,000.00 itu sudah ada untuk sebanyak RM5,000.00. Menteri tersebut memberi syarat daripada keuntungan tambahan sebanyak RM50,000.00 itu, RM35,000.00 adalah bahagiannya dan RM7,500.00 lagi untuk salah seorang keluarganya. Si pemilik syarikat itu juga akan mendapat tambahan keuntungan sebanyak RM7,500.00. bayangkan jika 100 projek, sang menteri akan mendapat RM3.5 juta, ahli keluarganya akan mendapat RM750,000.00 dan si pemilik syarikat akan mendapat keuntungan sebanyak RM1.25 juta ((RM5,000.00 + RM7,500.00) x 100 projek). Kesemua mereka mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda! Ini tidak termasuk keuntungan tersembunyi yang lain. Yang rugi ialah rakyat. Wang keuntungan tambahan itu adalah wang yang sepatutnya dapat disurkan kepada projek lain yang lebih bermanfaat.

 

Kes Dua: Pemansuhan tol di kawasan-kawasan tertentu. Ada andaian kononnya pihak tertentu yang terlibat menerima 10% daripada jumlah yang dibayar oleh kerajaan kepada pihak pengendali tol. Apabila kisah ini diceritakan di kedai-kedai kopi, seorang pemimpin yang pernah rapat dengan pihak tertentu menyatakan bahawa bayaran “duit kopi” yang dibayar ialah 30%! Benarkah ini berlaku?

Wawasan 2020

Wawasan 2020 dibentangkan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991 melalui teks asalnya yang berjudul Malaysia: The Way Foward. Beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju “mengikut acuan kita sendiri” dalam semua bidang (ekonomi, politik, sosial, agama dan budaya) menjelang tahun 2020.

 

Beliau menggariskan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu-padu, masyarakat yang berjiwa merdeka dan yakin diri, demokratik, liberal, penyayang, berdaya saing, adil dan dinamik.

 

Untuk itu, orang Melayu yang merupakan umat teras di negara ini mesti berlari pantas untuk mengejar perubahan dan kemajuan, khususnya untuk bersaing dalam era IT dan globalisasi yang mencabar.

 

Dari segi ekonomi, orang Melayu mestilah mempunyai keyakinan diri dan mampu bersaing dalam pasaran terbuka. Di samping itu, usaha untuk memastikan golongan fakir (hard core poor) perlu dipergiatkan. Orang Melayu juga perlu menambah dan meningkatkan keupayaan golongan usahawan yang berjaya.

 

Untuk itu, Dr. Mahathir  berusaha untuk meneruskan DEB melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang dilancarkan pada 17 Jun 1991. Fokusnya masih sama iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

 

Namun semua usaha kerajaan itu dilihat masih samar-samar hasilnya. Petunjuk-petunjul ekonomi masih tidak memihak kepada orang Melayu. Nyatalah bahawa DEB dan DPN kurang berjaya mengangkat taraf ekonomi bangsa Melayu setaraf dengan bangsa lain di negara ini.

 

Kestabilan ekonomi amat bergantung kepada kestabilan politik negara. Malangnya, apabila berlaku krisis kepimpinan Melayu dengan penyingkiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, ekonomi negara merudum dengan teruk. Keadaan ini diburukkan lagi oleh gelombang krisis ekonomi dunia yang teruk sejak tahun 2005.

 

Senarai Orang Kaya

 

Apa yang menarik ialah apabila Malaysian Business 16 April 1992 menyenaraikan 25 pengarah syarikat paling kaya di negara ini, hanya 6 orang Melayu dengan jumlah nilai saham sebanyak RM3.99 billion (25%), manakala 19 orang Cina pula memiliki jumlah RM12.56 billion (75%).

 

Bagaimanapun pencapaian orang Melayu tidaklah banyak berubah pada tahun 2010. Senarai 40 orang paling kaya di Malaysia yang dikeluarkan oleh Malaysia Business pada 16 Februari 2010 menunjukkan hanya 9 orang Melayu dengan jumlah pemilikan sebanyak RM12.8 billion (11.37%), sedangkan terdapat 29 orang Cina menduduki senarai itu dengan jumlah pemilikan sebanyak RM72.18 billion (64.13%), manakala dua orang India menguasai sebanyak RM27.58 billion (24.5%).

 

Untuk lebih jelas, sila perhatikan senarai berikut (Malaysian Business 16 Februari 2010):

 

1.                  Robert Kuok Hock Nien, 86               RM42.76 billion, Kerry/Kuok Group

2.                  T. Ananda Krishnan, 71                     RM27 billion, Usaha Tegas

3.                  Tan Sri Lee Shin Cheng, 71                RM11.923 billion, IOI Group

4.                  Tan Sri Teh Hong Piow, 80                RM10.86 billion, Public Bank

5.                  Tan Sri Lim Kok Thay, 58                   RM10.386 billion, Genting Group

6.                  Tan Sri Quek Leng Chan, 67              RM7.095 billion, Hong Leong Group

7.                  Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary,59 RM6.01 billion, Albukhary Foundation

8.                  Puan Sri Lee Kim Hua, 81                  RM4.413 billion, Genting Group

9.                  Tan Sri Tiong Hiew King, 75              RM3.506 billion, Rimbunan Hijau

10.              Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, 58 RM3.295 billion, Berjaya Group

11.              Tan Sri Azman Hashim, 70                RM2.86 billion, Arab-Malaysian Corp

12.              Ong Beng Seng, 64                              RM2.019 billion, Hotel Properties Ltd

13.              Datuk Lee Yeow Chor, 44                  RM1.865 billion, IOI Group

14.              Lee Yeow Seng, 31                              RM1.832 billion, IOI Group

15.              Tan Sri Yeoh Tiong Lay, 80                RM1.639 billion, YTL Group

16. Dato’ Seri Lim Wee-Chai, 52              RM1.383 billion, Top Glove Corp

17.              Datuk Seri Lee Oi Hian, 60                 RM1.17 billion, Batu Kawan

18. Datuk Lee Hau Hian, 57                    RM1.168 billion, Batu Kawan

19.              Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, 56    RM1.115 billion, YTL Group

20.              Datuk Mokhzani Mahathir, 48          RM1.075 billion, Kencana Petroleum

21.              Datuk Yeoh Seok Hong, 51                RM1.016 billion, YTL Group

22.              Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling, 64 RM1.002 billion, Sunway Group

23.              Datuk Yeoh Seok Kian, 53                  RM0.996 billion, YTL Group

24.              Datuk Micheal Yeoh Sock Siong, 50 RM0.990 billion, YTL Group

25.              Datuk Mark Yeoh Seok Kah, 45         RM0.976 billion, YTL Group

26.              Datuk Yaw Teck Seng, 72                   RM0.833 billion, Samling Group

27.              Puan Sri Choong Chook Yew, 87       RM0.728 billion, Selangor Properties

28.              Lee Swee Eng, 55                                 RM0.685, KNM Group

29.              Datuk Tony Tiah Thee Kian, 63         RM 0.586 billion, TA Enterprise

30.              Datuk Tony Fernandes, 45                 RM 0.577 billion, AirAsia

31.              Datuk Seri Pg Lau Cho Kun, 74         RM 0.557 billion, Hap Seng Consolidated

32.              Datuk Shahril Shamsuddin, 49          RM0.544 billion, Sapura Group

33.              Tan Sri Kua Sian Kooi, 58                   RM0.540 billion, Kurnia Asia

34.              Shariman Shamsuddin, 41                 RM0.533 billion, Sapura Group

35.              Datuk Seri Liew Kee Sin, 51               RM0.506 billion, SP Setia

36.              Tan Sri Rozali Ismail, 54                     RM0.505 billion, Puncak Niaga Holding

37.              Datuk kamarudin Meranum, 48        RM0.473 billion, AirAsia

38.              Ong Leong Huat, 66                           RM0.445 billion, OSK holdings

39.              Raja DS Eleena Raja Azlan Shah, 49           RM0.438 billion, Puncak Niaga Holdings

40.              Dato’ Seri Nazir Razak, 43                 RM0.385 billion, CIMB Group

 

Daripada 100 pengarah syarikat yang dibayar paling tinggi, hanya 14 orang Melayu disenaraikan dalam Malaysian Business 16 Ogos 2009. Apa yang membimbangkan ialah hampir semua orang Melayu yang kaya dan dibayar paling tinggi itu kebanyakannya adalah hasil bantuan projek kerajaan atau berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan(GLC), sedangkan tokoh korporat Cina dan India yang terkaya dan dibayar paling tinggi adalah hasil usaha perniagaan milik mereka sendiri.

Model Ekonomi Baru

 

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah melancarkan MEB atau Model Ekonomi baru pada 30 Mac 2010. Beliau telah menyuntik sebanyak RM67 billion bagi mengimbangi pelaburan negara dan perbelanjaan berhemat yang diperlukan untuk mengurangkan defisit bajet. Beliau juga telah memperkenalkan rangkuman insentif dan inisiatif liberalisasi sektor perkhidmatan yang membuka peluang kepada pelaburan yang berkualiti tinggi dalam sektor utama ekonomi negara.

 

Teras utama agenda polisi jangka-panjang merupakan model ekonomi baru – yang akan disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan visi jangka masa yang lebih panjang yang akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-11. Ini disasarkan akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi satu ekonomi yang berpendapatan tinggi dan mempunyai pertumbuhan berkualiti dalam abad yang mendatang. Kerajaan mensasarkan pendapatan perkapita rakyat Malaysia sebanyak RM49,000.00 setahun menjelang tahun 2020.

 

Tentulah ini bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi ia menjanjikan pulangan yang lumayan jika ia mampu dilaksanakan. Ini kerana untuk mewujudkan negara yang berpendapatan tinggi bermakna upah pekerja yang lebih tinggi bagi keseluruhan ekonomi disebabkan pertumbuhan bukan sahaja daripada modal, tetapi juga daripada produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi.

 

Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara. Sementara terdapat di kalangan mereka masih bergelut dalam keadaan sukar dengan berpendapatan yang rendah, kita akan sentiasa memberikan sokongan khas untuk membantu mereka keluar daripada perangkap kemiskinan. Ia bergantung kepada lapan strategi MEB seperti berikut:
1)    Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
2)    Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
3)    Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
4)    Memperkukuhkan sektor awam;
5)    Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
6)    Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
7)    Meningkatkan sumber pertumbuhan ; dan
8)    Memastikan pertumbuhan yang mapan.
Namun semua ini belum terlaksana. Ia hanyalah model ekonomi yang baru dan memerlukan komitmen yang kuat khususnya dari pihak kerajaan dan masyarakat sendiri. Apakah kedudukan ekonomi orang Melayu akan bertambah kukuh dalam tempoh 10 tahun adalah sesuatu yang sukar untuk diramalkan.

 

Melihat kepada pencapaian kerajaan setelah pelbagai program dilaksanakan sepanjang hampir 53 selepas kemerdekaan dicapai, kedudukan orang Melayu dijangka akan terus ketinggalan dalam semua sektor. Apa lagi jika unsur-unsur penyelewengan dan rasuah terus berleluasa dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan masih tidak mencapai standard yang diharapkan. Ketelusan pihak kerajaan juga turut menjadi isu.

 

Walaupun MEB dikatakan cuba meneruskan semangat DEB, namun strateginya hanya menumpu di bidang ekonomi semata-mata. Strategi untuk meningkatkan kualiti hidup berasaskan budaya ilmu, pembangunan insan dan  pemupukan nilai-nilai murni seperti yang dilakukan sebelum ini nampaknya tidak menjadi keutamaan.  Tanpa unsur-unsur ini, peningkatan pendapatan rakyat tidak akan bermakna.

 

Oleh itu, gerakan peningkatan pendapatan rakyat harus diseimbangi dengan gagasan untuk pembangunan ekonomi yang adil dan saksama, supaya kek ekonomi negara dapat dinikmati oleh semua. Orang Melayu perlu terus dibela dan dibantu supaya kedudukan mereka setaraf dengan bangsa dan kaum lain di negara ini.

5 comments on “MASALAH SOSIO-EKONOMI ORANG MELAYU
  1. Syaheer berkata:

    Assalamualaikum… Bolehkah saya minta tuan empunya blog untuk berkongsi tentang dari manakah saya boleh mendapatkan sumber-sumber maklumat statistik yang dikemukakan dalam blog ini? Contohnya seperti peratusan penglibatan Melayu dalam bidang professional tadi..Saya seorang pelajar, dan saya sedang membuat kajian tentang isu ini… Saya amat memerlukan sumber-sumber statistik seperti ini..Saya harap agar Tuan dapat berkongsi maklumat dengan saya lagi dengan isu-isu yang berkaitan seperti ini.. Terima kasih..

  2. ziaulhaq berkata:

    Maafkan saya, ulasan berkaitan DEB tidak berapa tepat menggambarkan apakah yang berlaku pada 13 Mei 1969. Sebenarnya sebaik sahaja pihak pembangkang memenangi sebahagian pilihanraya mereka telah mengadakan perarakan dengan membawa penyapu ke rumah-rumah orang Melayu untuk mengusir orang Melayu keluar dari bandaraya Kuala Lumpur. Menurut mereka bandaraya tersebut adalah hak mereka sahaja. lebih memburukkan keadaan apabila Kaum Cina mula menyerang orang-orang Melayu yang berada di bandaraya. mereka menembak orang Melayu yang berada di tempat awam, terdapat juga yang mula menyerang panggung wayang dan kedai-kedai. Orang Melayu dalam keadaan huru-hara dan mula mencari tempat perlindungan. harap sesiapa yang ada maklumat lebih lanjut sila tampil dan berikan info yang betul.

  3. Radzi berkata:

    Assalamualaikum. Kalau dilihat dari senarai orang terkaya di Malaysia, kebanyakannya memang mendapat bantuan dari kerajaan pada awalnya. Bezanya, usahawan Cina dan India benar2 memanfaatkan peluang yang diterima manakala majoriti orang Melayu menyalahgunakan peluang itu. Ada yang mengalibabakan projek, menjual dan menyewakan lesen yang diterima, menjual AP, membuat pinjaman bank atas projek yang diterima dari kerajaan dan terus lenyap dan berbagai2 lagi. Ramai nelayan melayu yang menjual subsidi diesel yang diterima. Inilah mentaliti Melayu yang sukar diubah. Apa lagi yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan? Sampai bilakah orang Melayu perlu bergantung kepada kerajaan? Belum diambilkira lagi sifat dengki sesetengah orang Melayu yang tidak suka melihat orang lain berjaya.

    Satu lagi perkara penting yang perlu disentuh di sini adalah masalah pengangguran dikalangan orang Melayu. Sangat kritikal sekarang. Puluhan ribu graduan Melayu masih menganggur tetapi perkara yang sama tidak berlaku pada kaum lain. Yang nyata, peluang untuk Melayu hanyalah disektor awam terutamanya sbg guru dan juga di syarikat berkaitan kerajaan. Bayangkan jika dasar kerajaan berubah untuk mengurangkan kakitangannya. Syarikat swasta yang dipunyai bukan Melayu hanya mengambil orang Melayu bagi tujuan tertentu sahaja seperti utk mencukupkan syarat memasuki tender, memasuki pasaran bumiputra dsb. Itupun, bagi jawatan yang sama, skala gaji antara Melayu dan bukan Melayu adalah berbeza. Walaupun, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dianggap kroni dan sebagainya, tetapi semua syarikatnya hampir dipenuhi oleh pekerja Melayu.

    Hakikatnya, DEB berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan orang Melayu tetapi ianya hanyalah satu strategi yang sementara. Orang Melayu mestilah bersatu dan mengikis sikap bergantung pada bantuan kerajaan semata-mata. Kita mesti berusaha membudayakan perniagaan sebagai kareer utk orang Melayu. Pada masa yang sama, diharapkan kakitangan kerajaan benar2 ikhlas membantu menjayakan aspirasi kerajaan utk melahirkan usahawan2 Melayu yang berjaya.

    Saya ingin membetulkan fakta krisis ekonomi pada tahun 1997/98. DSAI dipecat selepas berlaku krisis ekonomi dan bukannya krisis ekonomi berlaku disebabkan pemecatan beliau.

    Maaf andai ada sebarang kesilapan.

  4. ibrahim berkata:

    Secara puratanya setiap orang cina Malaysia lima kali lebih kaya daripada setiap orang melayu berdasarkan pegangan ekuiti Negara dan jumlah penduduk. Jumlah bumiputra 65% dengan pegangan kekayaan Negara sekitar 20% dan jumlah penduduk cina 25% dengan pegangan ekuiti Negara 43%.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 234,051 hits
Kalendar
Oktober 2014
I S R K J S A
« Mac    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 29 other followers

%d bloggers like this: