HALATUJU MELAYU-ISLAM DAN PENYELESAIANNYA

 

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah Ibrahim ayat 4).

 

Meneliti dengan halus kedudukan bangsa Melayu seolah-olah semakin menggambarkan satu kaum yang sedang menderita sakit barah dan menunggu saat maut. Mungkin kenyataan ini keterlaluan, namun kita ingin jujur dan tidak berselindung.

 

Walaupun berulang kali disahkan bahawa sudah ada pencapaian yang boleh dibanggakan  namun yang nyata pada tubuh badan bangsa Melayu itu dipenuhi kudis-kudis yang masih belum boleh dirawati sehingga hari ini. Mungkin yang tinggal hanyalah beberapa bahagian dari tubuh itu yang masih tidak berkesan dengan kudis yang kian merebak.

 

Demikianlah kita merenung dengan mendalam nasib bangsa Melayu ini. Pada keseluruhannya tubuh manusia Melayu itu semacam tidak terdaya untuk pulih, kerana sakit kudis yang terus berulang. Sering juga ia terus berpenyakit kerana diagnosis yang salah dan rawatan yang silap. Lain yang sakit lain pula yang diubati.

 

Kita mengutarakan anologi ini kerana jika tidak ada proses pemulihan segera, survival bangsa Melayu ini pasti akan tamat usianya. Akhirnya Melayu itu sendiri akan pupus, atau menjadi bangsa yang “minoriti”, bukan dari segi jumlahnya, tetapi dari segi kualiti dan keberkesanan pengaruh dan kekuatannya sebagai satu bangsa.

 

Melayu kini sudah melahirkan generasi muda yang hilang jati diri, Melayu yang lupa akan budaya dan tamadunnya selain hanya saki baki peninggalan datuk moyangnya yang bersifat kosmetik untuk kajian para ahli antropologi.

 

Sebahagian besar generasi Melayu muda kini dilihat sudah hilang akar budaya dan pengkalan hidupnya sebagai insan Muslim. Melayu yang sudah tidak lagi menghargai perjuangan bahasa dan tanah airnya sendiri.

 

Sesungguhnya telah berlaku kerosakan manusia Melayu itu dari dalam dan luar dirinya. Cara berfikir dan nilai dirinya sekaligus semakin bercelaru. Tidak dapat dinafikan ketahanan diri Melayu semakin runtuh dan seolah-olah benteng agamanya sedang  lerai sama sekali.

 

Bukanlah maksud kita untuk menafikan wujudnya pencapaian dan peningkatan sejak bangsa ini dikatakan mencapai kemerdekaan dari penjajah. Namun dengan berkembangnya krisis sosio-budaya, pemikiran, dan sosio-politik yang sangat meruncing ternyata tidak dapat dinagikan bahawa manusia Melayu perlu kepaa agenda pemulihan yang menyeluruh.

 

Apa yang dapat diperhatikan ialah berlaku suatu keruntuhan yang tidak dapat diselindung lagi. Bagaikan asas-asas budaya Melayu yang memegang  tapak bangunan bangsa sudah lemah mengakibatkan lapisan atas berbentuk manifestasi hidup seharian bangsa itu  menunggu masa untuk runtuh persis fenomena tanah runtuh yang berlaku di mana-mana.

 

Bukan sahaja soal akhlaknya yang telah luntur malah terdapat juga kelunturan dalam jati diri masyarakat Melayu itu sendiri. Sesiapa yang masih menyatakan bahawa jati diri bangsa ini tetap utuh dan ketahanan dirinya masih kuat sebenarnya hanyalah membohongi diri sendiri.

 

MENGINSAFI DAN MENELITI REALITI KEMELUT BANGSA

 

Realiti bangsa Melayu kini ibarat wajah yang dilukis dengan coretan kabur yang serba kontradiktori. Sementara Melayu dikatakan sinonim dengan Islam namun berlaku juga perilaku Melayu yang amat berlawanan dengan sifat Islam itu sendiri. Pada satu masa kita nampak mewarisi kesopanan dan kehalusan budi akan tetapi  Melayu semakin dijangkiti budaya biadab dan liar.

 

Kita sering dikenali sebagai bangsa bermoral dan sensitif pada agama namun dalam masa yang sama kita juga sarat dengan kejelekan nilai dan kehodohan perilaku yang bersifat anti-agama. Pada suatu ketika dahulu kita berbangga dengan sifat Melayu yang eksploratif dan berciri kepenerokaan namun kini kita juga menjadi bangsa yang terperangkap dengan budaya ciplak dan meniru.

 

Sebagai permulaan mahu tidak mahu yang perlu segera dilakukan ialah memperbetulkan semula pemikiran dan nilai hidup orang Melayu. Bangsa yang sedang menunjukkan tanda-tanda lunturnya pegangan hidup Islam yang selama ini menjadi tunjang kekuatannya.

 

Sepintas lalu kita ingin mencatat secara ringkas beberapa penyakit yang sedang menimpa umat Melayu. Pembedahan untuk mencari punca penyakit perlu selanjutnya dilakukan oleh setiap tenaga penggerak yang komited untuk memulih masyarakat Melayu.

 

Kerapuhan Institusi Keluarga

 

Kita bermula dari institusi keluarga Melayu. Kita meneliti bahawa kadar perceraian dan keruntuhan keluarga semakin ketara. Di beberapa negeri telah dicatat ribuan kes perceraian setahun yang menunjukkan kadar yang meningkat dalam rekod Jabatan Agama. Walaupun kursus praperkahwinan menjadi syarat untuk  melanjutkan alam rumahtangga sejak lebih 10 tahun yang lalu, namun kes-kes perceraian terus meningkat.

 

Kita juga mengamati betapa pemuliharaan  rumahtangga orang Melayu kini amat rapuh dengan pengaruh luar yang sering merosakkan anak-anak Melayu yang  berleluasa di mana-mana. Dengan demikian kes-kes mendera, sumbang mahram, lari dari rumah adalah antara wajah institusi keluarga Melayu yang ada hari ini.

 

Zuriat Melayu Yang Sedang Digugat

 

Kerosakan anak muda  Melayu kini juga merebak dan sudah sampai ke peringkat sangat mencemaskan. Sudah menjadi maklumat biasa untuk meneliti berita mengenai golongan remaja dan belia Melayu yang terlibat dengan pelbagai kerosakan sosial.

 

Dadah, arak, judi, zina, pornografi, hiburan liar, gangsterism, ponteng sekolah, buang bayi, jenayah berat (rogol, merompak, bunuh, sindiket haram),  kes-kes juvenil, lepak, bohsia, lumba haram, merokok dan pelacuran  adalah antara kemungkaran sosial yang sedang merebak bukan sahaja di kota malah juga di desa.

 

Generasi kedua FELDA yang 100% Melayu sering diungkap sebagai golongan yang banyak terbabit dengan dadah.Gelagat remaja dan belia di kota-kota besar yang dipenuhi dengan pusat-pusat membeli-belah, pusat hiburan dan kawasan rekreasi menunjukkan sifat malu dan bersantun di kalangan anak muda Melayu hampir pupus sama sekali.

 

Dari gaya bergaul, berpakaian, berbahasa, berjalan berpasangan sehinggalah bersantai dan perempuan muda Melayu yang merokok, golongan belia Melayu kini mempamerkan gelagat yang sudah hilang hampir semua ciri-ciri ketimuran, kemelayuan, apatah lagi keIslaman. Jelas skandal Melayu di kalangan generasi muda amat ketara bagaikan sebuah bangunan yang nampak indah di luar akan tetapi rosak dan busuk di dalam.

 

 

 

 

Kerosakan Bangsa Yang Merentas Umur

 

Menyentuh persoalan generasi muda Melayu yang sarat dengan pelbagai kepincangan sosial tidak pula mengenepikan gejala yang sama jelek malah lebih hodoh berlaku di kalangan Melayu dewasa dan tua.

 

Bukan lagi suatu kejutan membaca berita kes-kes anak dirogol bapa dan datuk, orang tua memperkosa gadis sunti, Melayu tua bersekudukan di uar nikah, orang tua Melayu  mengunjungi sarang pelacuran dan ditangkap kerana tidak berpuasa, minum arak serta berjudi.

 

Kes orang dewasa Melayu yang terlibat dengan dadah dan kini menjuarai pula pengidap HIV dan AIDS di negara ini bukan sedikit. Pokoknya kebejatan sosial di kalangan orang Melayu merentas hampir semua peringkat umur.

 

Ekonomi Bangsa Yang Masih Menagih Bantuan dan Subsidi

 

Demikian juga ekonomi orang Melayu terus diselaputi dengan ciri kebergantungan dan sarat dengan masalah salah pengurusan. Dari peniaga kecil sehinggalah korporat gergasi, ekonomi Melayu dilambang oleh ketindaktentuan, sentiasa bergantung kepada perlindungan kerajaan dan hampir semua menghadapi masalah kesuntukan modal.

 

Tatkala pelbagai skim pinjaman dan latihan diwujudkan untuk memberi peluang melonjakkan ekonomi orang Melayu, gejala penyelewengan, salahguna kuasa, penipuan, kronisme, nepotisme dan rasuah membantut hampir seluruh usaha membina ekonomi Melayu.

 

Daripada mesyuarat Lembaga Pengarah hinggalah ke Konvensyen Ekonomi Melayu, daripada institusi latihan kemahiran hinggalah Dewan Perniagaan Melayu ,termasuk agensi kerajaan yang diswasta dan dikorporatkan, hampir kebanyakannya diselaputi dengan krisis pengurusan. Begitu banyak agensi kerajaand an GLC  Melayu yang menghadapi pelbagai kemelut penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang malangnya tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.

 

Aset ekonomi orang Melayu juga didapati sangat kecil. Premis perniagaan yang hanya meliputi sekitar 6% sahaja dari keseluruhan kawasan perniagaan, pemilikan perumahan kos rendah yang masih melambangkan tahap kuasa beli orang Melayu yang rendah dan terbatas, aset tanah orang Melayu yang semakin mengecil akibat dijual, tergadai atau diambil alih oleh kerajaan atas nama pembangunan, semua ini menambah rumitkan lagi pengupayaan ekonomi Melayu.

 

Ditambah pula peniaga-peniaga kecil Melayu di serata bandar sentiasa terdedah kepada pengusiran akibat pihak kerajaan dan pemaju yang sentiasa mengutamakan pembangunan pusat-pusat komersial yang berskala mega.

 

Sementara itu ekonomi petani dan nelayan kecil, pekebun kecil getah dan peneroka tanah terus terpinggir. Kemiskinan di desa dan di bandar dipenuhi dengan wajah Melayu hidup “kais pagi makan pagi” bukan suatu fenomena yang sudah berlalu malah terus wujud dan merata.

 

Kelunturan Dalam Penghayatan Islam

 

Kita juga meneliti persoalan penghayatan Islam di kalangan orang Melayu yang sangat merunsingkan. Sementara berlaku perkembangan positif di awal tahun 1970-an ketika orang Melayu mendapat hembusan angin kencang kebangkitan Islam dari gerakan Islam di Timur Tengah sehingga merentas ke Indonesia, namun tanda-tanda orang Melayu terdedah kepada unsur anti Islam masih kuat.

 

Kini kita dapat merasa dan menyaksikan kelunturan penghayatan Islam masih ramai dikalangan bangsa ini. Secara zahir mungkin dapat disenangi beberapa isyarat seperti wujudnya fenomena wanita menutup aurat, ramai yang berjamaah di masjid dan musolla, ramai ibubapa yang cenderung untuk menghantar anak untuk mengikuti pengajian Islam dan betapa banyaknya masjid dan surau di mana-mana.

 

Akan tetapi masih terlalu ramai lagi orang Melayu yang hidup dalam dunia dan faham sekular-Barat, mengamal dan terpengaruh dengan budaya hidup yang permissif dari Barat, terbelenggu oleh adat resam dan tradisi sesat jahiliah, terpesona dengan kemodenan dan liberalisme agama mengikut pemikiran Barat. Ditambah lagi yang lebih mencemaskan ialah fenomena orang Melayu terjebak dengan gejala riddah.

 

Kita juga meneliti masih terlalu ramai orang Melayu yang meninggalkan solat, tidak mengutamakan solat berjamaah di masjid,  mencuaikan puasa, lalai dalam mengeluarkan zakat, terlibat dengan ekonomi riba, hidup dalam kemewahan di luar batasan, buta al-Quran, cetek dalam ilmu Fardhu Ain,  mengambil mudah dengan hukum agama, merendah-rendahkan kewajiban menutup aurat, terpengaruh dengan hidup ala Barat jahiliyyah dalam kehidupan sosial.

 

Hal ini belaku sama ada dalam majlis perkahwinan, acara harijadi, berpesta, berkonsert, berkarnival, menyambut hari raya, berkongsi raya, ghairah dengan pertunjukan fesyen dan terlibat dengan acara-acara agama lain yang menjejaskan aqidah.

 

 

 

Bahasa dan Budaya Bangsa Tersisih

 

Tidak kurang kronik ialah proses penyisihan bahasa dan budaya yang melanda bangsa Melayu. Sementera segala usaha sedang digerakkan untuk mempertahankan bahasa Melayu, keghairahan sesetengah pihak untuk mengutamakan bahasa Inggereis sebagai bahasa perantaraan dalam pendidikan telah memutarbalikkan semula status  kedudukan bahasa Melayu ke belakang.

Akibatnya ternyata bangsa Melayu terutama di kalangan golongan muda dan elit (sama ada golongan birokrat, professional maupun teknokrat, korporat dan ahli politik) yang ghairah menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian. Masih banyak acara-acara rasmi seperti mesyuarat dan seminar yang mengutamakan bahas aInggeri berbanding bahasa Melayu. Begitulah juga halnya dalam dunia seni, bahasa Inggeris dan bahasa campuran (bahasa rojak) telah menjadi norma.

Malangnya dan sangat memalukan tidak ada bangsa lain yang mengamalkan bahasa rojak seperti orang Melayu kini. Sementara itu, penggunaan bahasa Melayu di peringkat sektor swasta, dalam perundangan dan dalam bidang professional sememangnya sudah lama tersisih.

 

Bangsa Melayu juga berhadapan dengan penghakisan budaya yang sangat ketara. Budaya berpakaian mengikut resam Melayu semakin menjadi ganjil. Malah budaya harian seperti makan, tabiat dalam bergaul, acara sosial, hiasan tempat tinggal dan tempat kerja semakin menjadikan budaya Melayu jauh terpinggir.

 

Isu PPSMI yang semakin bercelaru gagal dirungkai oleh kerajaan walaupun sudah terbukti ia satu projek yang akan meluntur dan melebur bahasa ibunda kepada generasi akan datang. Ia juga adalah satu imperialisme bahasa yang amat berbahaya kepada bahasa dan bangsa kita yang sentiasa berpegang kepada kekuatan ‘bahasa jiwa bangsa’. Hanya setelah desakan demi desakan baharulah nampaknya kerajaan akur dengan tuntutan supaya subjek matematik dan sains diajar semula dalam bahasa Melayu.

 

Pendidikan Bangsa Yang Masih Memerlukan Pengukuhan

 

Kita juga amat prihatin dengan persoalan pendidikan orang Melayu yang tidak berjaya menghasilkan anak bangsa  yang berkualiti terutama dari segi kefahaman dan penghayatan Islam. Bukan sahaja penguasaan ilmu masih tidak boleh dirasa selesa malah kita terpaksa menerima kenyataan betapa masalah disiplin anak-anak Melayu di sekolah terus  merunsingkan.

 

Termasuk dalam masalah ini belum ada tanda-tanda  yang meluas wujudnya ibubapa Melayu yang bekerja keras memastikan kecemerlangan dicapai. Kenyataan bahawa ibubapa Melayu yang ramai membiarkan anak-anak berfoya-foya dan melepak di pusat-pusat membeli-belah adalah sangat ketara.

 

Walaupun sudah ada kesedaran yang bertambah, namun tidak dapat dirasa mencukupi jika dibanding dengan apa yang diusahakan oleh ibubapa dari kaum lain. Daripada jumlah yang dapat menjalani pengajian di institusi pengajian tinggi, masih terlalu ramai lagi anak Melayu yang tidak berjaya mencapai tahap pendidikan yang tinggi dan mencapai kecemerlangan yang diharapkan.

 

Aset Tanah Bangsa Melayu Mengecil

 

Demikian juga masalah aset tanah orang Melayu yang semakin mengecil. Bukan sahaja tanah Rizab Melayu yang banyak tidak terganti dan terlepas kepada pihak  bukan Melayu, ternyata umat Melayu tidak mampu mempertahankan hak milik tanahnya. Ditambah lagi pula masalah orang Melayu tidak dapat menjadikan tanah mereka lebih produktif lantaran kesuntukan modal.

 

Tanah orang Melayu juga sering berhadapan dengan masalah penyelewengan dalam pentadbiran yang menyebabkan tanah Melayu terlepas kepada mereka yang hanya memikirkan keuntungan. Kampung Melayu juga kini semakain terhapus akibat kepesatan pembangunan yang mengambil tanah Melayu dari kawasan desa.

 

Politik Bangsa Yang Tergugat

 

Krisis Melayu juga terbelit dengan persoalan politik yang sangat tidak bermoral. Tatkala sebahagian pemimpin-pemimpin politik Melayu terus menjadikan politik itu sebagai tapak mengumpul kekayaan, budaya politik Melayu  sarat dengan manipulasi kotor sehingga bangsa Melayu menjadi mangsa kepada politik wang,  politik kepentingan diri  dan politik mengadai kepentingan Melayu.

 

Bukan sedikit kes yang memalukan apa kita mengamati  gelagat orang Melayu dalam berpolitik yang mengejar pangkat, gelaran, publisiti murahan dan hidup glamor. Sementara politik menjadi sedemikian jijik, bangsa Melayu mengalami fenomena orang politik mengenepikan kepentingan dan hak bangsa hanya kerana ingin meraih undi bukan kerana hak dan perjuangan bangsa Melayu. Atas nama mempertahankan kuasa politik mereka sanggup menggadai hak Melayu yang menjadi sangat meruncing sekarang ini.

 

MENGGERAK PEMULIHAN KEMELUT BANGSA

 

Dengan segala persoalan yang hanya dapat dicatat secara umum di atas dan boleh disenarai lagi, namun perkara yang paling mendesak ialah bagaimana kita hendak menangani semua isu ini dengan konkrit dan berkesan. Yang lebih penting ialah apa yang mampu kita lakukan untuk memulihkan keadaan yang parah ini

 

Apa yang perlu digerakkan ialah suatu perubahan sikap untuk membawa bangsa Melayu kembali kepada nilai dan budaya hidup Islam yang dinamik  demi menyelamatkan keadaan yang sudah semakin parah. Pokoknya kita tidak harus hanya mengamati dan mengeluh. Kita perlu melaksanakan suatu kebangkitan baru bangsa Melayu berteraskan Islam.

 

Kita perlu mengajak seluruh tenaga setiap insan Melayu yang punya keperihatinan yang mendalam terhadap nasib bangsa ini untuk sama-sama memulihkan semula kelesuan dan kealpaan yang sedang melanda. Kita ingin mencipta kegemilangan bangsa dan terus melanjut kepada membina generasi mendatang yang lebih berkualiti dan lebih Islamik.

 

Kita perlu serius dalam mengajak setiap penggerak perubahan bangsa agar diwujudkan suatu penggemblengan tenaga sehingga bangsa Melayu ini terangkat dari kemelutnya yang sedang mencengkam dan membeban dirinya.

 

Suatu gerakan pembebasan bangsa dari krisis dalaman dan juga merawat  penyakit yang melingkarinya dari luar harus dilancarkan. Oleh itu suatu kejujuran didambakan untuk semua pihak menerima realiti yang amat meruncing pada bangsa ini.

 

Kita harus menghentikan gambaran yang mulus-mulus  tetapi tidak signifikan, jauh sekali dari menyumbang kepada mengembalikan kegemilangan tamadun Melayu. Kehebatan yang dicanang bahawa Melayu sudah melakukan sesuatu yang luar biasa seperti mendaki gunung Everest, berenang Selat Inggeris, menjelajah ke Kutub Utara atau berlayar di lautan Pasifik tidak menggambarkan pencapaian apa-apa selain bermegah dengan catatan dalam daftar “Malaysian Guiness “Book of Records”.

 

Sudah cukuplah kita dianak-anakkan dengan keberanian-keberanian yang dianggapkan luar biasa seperti itu.  Kita harus kembali ke dunia realiti iaitu bangsa ini masih tidak terlepas daripada ketinggalan dalam ekonomi berbanding kaum lain, kerjaya orang Melayu kebanyakannya masih bertaraf rendah, pencapaian pendidikan masih terus perlu disokong, sosial Melayu dijangkiti pelbagai penyakit yang kronik, aset tanah Melayu sedang mengecil, budaya ilmu di kalangan orang Melayu masih sangat rendah, anak muda Melayu yang sudah dirosak oleh budaya permisif Barat yang menggila.

 

Pusat serenti serta penjara-penjara yang masih majoritinya dihuni oleh muka-muka Melayu dan orang Melayu yang sudah berani menayangkan skandal lucah bangsa ini melalui layar internet yang kini sudah mencecah hampir 20,000 laman web.

 

Kita bermula dengan menegaskan bahawa pemulihan bangsa tidak boleh mencapai kesan jika kita gagal meneliti terlebih dahulu segala penyakit yang melanda tubuh badan, pemikiran dan jiwa bangsa itu senidiri. Bermakna selagi mana kita tidak mendalami krisis dan kemelut yang berlaku kita akan gagal merungkai masalah yang sedang melanda.

 

Setelah meneliti segala masalah yang berlaku kita perlu pula membuat analisis dari mana punca semua ini. Untuk itu semua aktivis Melayu yang merasa prihatin terhadap nasib bangsa perlu menggerakkan usaha bagi melakukan suatu pembedahan yang teliti dan seterusnya pendedahan yang jujur terhadap realiti bangsa.

 

Segala masalah yang dikenalpasti hendaklah dibedah untuk mencari puncanya dan selepas itu segera didedah dan diketengahkan dengan tujuan setiap warga bangsa ini disedarkan dengan kesedaran yang kritikal bahawa keadaan yang berlaku tidak boleh dibiar begitu sahaja.

 

Kesedaran bahawa bangsa Melayu memerlukan perubahan besar perlu disemarakkan, bukan sahaja di peringkat pengetahuan dan maklumat  sahaja, tetapi juga menyentuh sanubari setiap diri Melayu untuk bertindak dan berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini.

 

Kita mencadangkan agar semua tenaga penggerak perubahan menjelajah ke seluruh pelosok tanah air dan membawa angin kesedaran dan perubahan kepada setiap insan Melayu, mengetuk pintu setiap rumah Melayu, membangkitkan setiap pemimpin Melayu, menggegarkan setiap organisasi Melayu dan mengejutkan setiap cendikiawan Melayu untuk bangkit dari kelalaian dan keselesaan.

 

Kita tidak mungkin boleh membiarkan kesedaran mengenai kemelut ini hanya berlegar di kalangan golongan elit pemikir Melayu semata-mata. Ini kerana kita sedar bahawa golongan yang kurang berkesempatan dan agak keberatan untuk turun ke lapangan menggerakkan perubahan tidak mungkin dapat membawa kesan yang diharapkan.

 

Lantaran itu tidak dapat dielakkan bahawa jika perubahan bangsa dan pembebasan bangsa daripada segala kemelut ini hendak dijayakan maka perlu dilancarkan suatu usaha yang lebih drastik yang membabitkan secara langsung setiap penggerak di tengah-tengah masyarakat di medan gelanggang hidup orang Melayu itu sendiri.

 

Kita tegaskan sekali lagi bahawa membina semula bangsa harus bertitik tolak dengan meneliti segala punca masalah hingga ke akarnya. Dari mana penyakit itu timbul dan dari situlah perubahan perlu dimulakan.

 

Bangsa ini memerlukan kesedaran yang cukup mendalam dan suatu jenis kesedaran yang dapat menggerakkan tindakan. Setiap insan Melayu perlu disedarkan dengan realiti yang sedang dihadapi bangsa.

 

Hanya dengan yang demikian bangsa ini boleh dianjak dari keadaan penuh kelesuan dan sikap puas dengan apa yang diperolehi di peringkat peribadi.

 

Perubahan setiap insan Melayu dari segi pemikiran dan sikap amat diperlukan. Dengan yang demikian jiwa Melayu yang berada dalam kepompong menyerah kalah kepada realiti perlu dipecah dari terus membelenggui jiwa Melayu.

 

Perangi Segala Kemungkaran

 

Harus ada suatu kebangkitan yang lebih konkrit untuk bertindak dengan tegas bagi membersihkan orang Melayu dari persekitaran yang merosakkan. Oleh itu suatu usaha memastikan segala unsur yang selama ini mengheret bangsa Melayu ke lembah kerosakan dibasmi perlu dilancarkan dengan tegas. Sifat toleransi dengan kemungkaran dan budaya hanya menjaga tepi kain sendiri hendaklah dikikis dari minda dan jiwa Melayu.

 

Hendaklah ada suatu keupayaan yang maksima dan bertenaga untuk memastikan orang Melayu mampu melawan dan menentang segala jenis kemungkaran samada yang datang dari luar mahupun dari dalam.

 

Untuk itu,setiap fenomena dan tabiat Melayu yang merosakkan perlu diperangi habis-habisan. Kita perlu menggerakkan suatu anjakan yang lebih besar dan bersifat transformasional dalam semua aspek jika kita mahu membawa perubahan besar kepada bangsa ini.

 

Bangsa ini akan hanya dapat dipulih jika persekitaran yang sakit dan merosakkan itu juga dapat dipulihkan juga.

 

Secara umum kita ingin menegaskan bahawa misi dan visi kita adalah untuk mengembalikan bangsa Melayu kepada Islam secara menyentuh keseluruhan dalam semua aspek kehidupan umat. Islam pada bangsa Melayu perlu diserlahkan semurninya tanpa rasa kerdil dan takut. Keyakinan bangsa Melayu kepada sistem hidup Islam perlu ditanam dan disuburkan tanpa was-was.

 

Kerahkan Seluruh Tenaga Bangsa

 

Untuk bergerak kepada proses ini maka setiap penggerak Melayu perlu berusaha terlebih dahulu untuk memerdekakan bangsa Melayu daripada segala penyakit yang sedang menjangkitinya. Usaha keras untuk memulihkan masyarakat Melayu, dari ibubapa kepada anak-anak, dari pemimpin kepada pengikut, dari perseorangan kepada organisasi, dari sebuah kampung kepada sebuah kota, sama ada ia Melayu desa mahupun Melayu kota, Melayu petani mahupun ahli akademik, Melayu pemimpin mahupun orang kebiasaan.

 

Setiap insan Melayu perlu dibersihkan daripada semua jenis penyakit yang bertentangan dengan Islam. Untuk itu, mengenalpasti dan memahami setiap jenis kemungkaran sosial, kepincangan ekonomi, manipulasi politik, keruntuhan budaya, korupsi intelektual, penyelewengan pengurusan, ketidakadilan dalam pembangunan adalah tanggungjawab penting yang perlu dianalisa dan ditangani oleh setiap aktivis penggerak Melayu.

 

Ini juga bermakna kerja turun ke padang, mendatangi umat Melayu di pelbagai gelanggang dan medan sangat diperlukan. Pembasmian setiap jenis budaya mungkar dan unsur jahiliyyah yang membelit bangsa Melayu perlu dipergiatkan, sama ada ia bertapak pada pemikiran dan sikap, mahupun bersarang dalam sistem dan dasar pemerintahan.

 

Kerja memerdekakan orang Melayu daripada segenap kuman perosak bangsa hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Sikap tegas dan tidak toleransi dengan sebarang kemungkaran perlu disematkan dalam setiap sanubari orang Melayu. Dengan yang demikian sikap membasmi mungkar perlu menjadi sikap yang konsisten diamalkan oleh setiap pemimpin, setiap pendidik, setiap ulama’, setiap ibubapa, setiap pentadbir Melayu dan setiap pemimpin Melayu di semua peringkat.

 

Bangunkan Kekuatan  Sahsiah Bangsa

 

Sementara itu, gerakan pemulihan bangsa Melayu perlu diiringi dengan pembangunan semula corak hidup masyarakat yang gemilang pada diri bangsa ini. Dalam hal ini segala sifat-sifat kecemerlangan sebuah masyarakat Islam perlu dibangunkan, diterapkan, disuburkan dan diperkukuhkan pada komuniti Melayu itu sendiri.

 

Dengan ini kita mencadangkan gerakan pendidikan al-Qur’an perlu diintensifkan. Segala ajaran yang terkandung dalam Kitabullah itu hendaklah difahami dengan betul dan terus diterjemahkan dalam kehidupan harian. Sebanyak mungkin kelas dan pengajian al-Qur’an di seluruh pelusuk negara ini hendaklah diwujudkan dengan kaedah yang memungkinkan al-Qur’an benar-benar menjadi petunjuk untuk kehidupan bangsa Melayu semurni dan seutuhnya.

 

Sekali gus dengan itu pengajian al-Sunnah perlu diprogramkan untuk pendidikan orang Melayu sehingga peribadi Rasullulah S.A.W. benar-benar menjadi contoh teladan terunggul bukan sahaja untuk diingati tetapi yang lebih penting untuk dihayati dalam amalan hidup setiap hari.

 

Dalam hal ini pembangunan semula insan Melayu hendaklah diperkukuhkan dengan segala ilmu Islam yang wajib dipelajari dan diamalkan. Gerakan sosialisasi segala aspek syariat Islam dalam kehidupan bangsa Melayu sama ada di kalangan individu mahupun di kalangan masyarakat hendaklah digiatkan.

 

Adalah disarankan agar semua penggerak Melayu melancarkan gerakan penggemblengan masyarakat Melayu ke arah pembentukan kualiti keperibadian yang kukuh. Program membina karakter Muslim pada bangsa Melayu harus benar-benar aktif dan berkesan di semua kawasan.

 

Semua sifat Muslim yang mulia seperti berdisiplin, berkasih sayang, berakhlak unggul, berkeyakinan, beriltizam, sedia berkorban, bekerjasama, bersatu-padu, kuat berusaha, bersungguh dalam menuntut ilmu, sedia berjihad dengan harta dan jiwa raga, dan berjamaah setiap masa adalah antara pembinaan yang tidak boleh dicuaikan sama sekali. Ini bermakna program pembentukan sahsiah adalah program yang terpenting untuk membina semula bangsa ini.

Bina Keupayaan Ekonomi Bangsa

 

Kegiatan perekonomian yang berkesan perlu dilaksanakan sehingga bangsa Melayu mampu berdikari dengan kekuatan ekonomi yang ampuh. Segala aset ekonomi orang Melayu seperti tanah, kebun dan sawah, bangunan, rumah  perlu diurus dengan sebaik mungkin sehingga ia tetap kekal di tangan orang Melayu.

 

Masyarakat Melayu perlu diprogramkan dengan segala bentuk kemahiran ekonomi yang perlu agar sumber bangsa tidak banyak mengalir ke tangan orang lain. Ertinya sikap berbelanja mesti dikawal, tabiat berhutang dielakkan, hidup bermewahan dikikis dan mengeluarkan wang yang banyak untuk segala bentuk perayaan dan pelbagai jenis kenduri perlu dibendung.

 

Di samping itu masyarakat Melayu perlu kembali mengusahakan tanah dengan produktif. Tanah terbiar milik orang Melayu mesti diusahakan. Usaha menghidupkan  tanah perlu dijadikan agenda bertindak yang penting untuk memastikan aset tanah Melayu seluruhnya menjadi produktif.

 

Sementara itu, mengwujudkan perniagaan dalam pelbagai aspek keperluan harian orang Melayu hendaklah dilancarkan. Dari sektor pemakanan, pakaian, bekalan alatan rumah, binaan, perkhidmatan sehinggalah kepada perusahaan Melayu mesti diperbanyakkan untuk meliputi semua aspek.

 

Semarakkan Budaya Membaca dan Pengukuhan Ilmu

 

Penggerak Melayu juga perlu menyuburkan budaya membaca serta berusaha untuk mencemerlangkan bangsa Melayu dalam bidang  pendidikan. Usaha menanam budaya cinta ilmu yang tinggi, bersungguh dalam menguasai sesuatu bidang ilmu, memperbanyakkan bilik atau pusat membaca disetiap penempatan orang Melayu perlu dipergiat.

 

Daya keintelektualan Melayu harus dibangunkan dengan bersungguh-sungguh melalui program wacana ilmu dan berkarya, penerbitan buku, majalah dan risalah yang membina daya berfikir bangsa perlu diperluaskan. Kegiatan pendidikan dewasa secara formal dan non-formal mesti diperbanyakkan di seluruh negara untuk memungkinkan orang Melayu terus meningkat kemahiran dan ilmunya.

 

Institusi-institusi pendidikan Melayu yang ada hendaklah diaktifkan untuk melahirkan anak dan graduan Melayu yang berkualiti. Ini bermakna kerja kuat di kalangan para guru dan pensyarah Melayu harus diserlahkan untuk  membantu pelajar-pelajar Melayu mencapai kecemerlangan.

 

Mencerdaskan Institusi Masjid

 

Institusi masjid semesti juga menjadi tapak membina semula bangsa Melayu yang berkesan. Sebagai tapak yang penting dalam pembinaan sebuah masyarakat bertamadun tinggi, mendekat dan mengakrabkan umat Melayu dengan masjid adalah pendekatan yang amat tepat diusahakan.

 

Kesatuan spiritual (rohani) melalui masjid yang menjadi asas ikatan yang sejati adalah ikatan paling berkesan untuk menyatukan umat Melayu. Ini akan hanya dapat direalisasi dengan memanfaatkan institusi masjid dengan segala gerak aktivitinya. Untuk yang demikian program penggerak Melayu yang perlu diberi keutamaan ialah menyemarakkan penyertaan umat dalam kegiatan di institusi ini.

 

Menggerakkan Dayausaha Desa

 

Kita ingin menyeru juga semua penggerak Melayu agar mencetuskan sebuah usaha yang kita gelar sebagai Gerakan Pengupayaan Desa (GPD). Pengamatan kita ialah terdapat suatu sindrom yang sudah lama membelenggui masyarakat desa, iaitu masyarakat desa ditanggapi sebagai masyarakat yang tidak berupaya, orang kampung yang tiada berkemampuan dan desa yang hanya dikekalkan sekadar untuk tujuan sentimental. Pada hal desa dalam konteks pembangunan mapan jauh lebih selesa dan mampu menyumbang kepada mempertahankan hak orang Melayu dan seterusnya  membina semula tamadun Melayu yang tinggi.

 

Cadangan untuk memecahkan “sindrom lesu dan pasrah” bangsa Melayu di kawasan desa untuk mengubah keadaan desa menjadi penempatan bangsa Melayu yang dinamik, berdikari, cergas, maju dan berpotensi besar membangun sumber manusia Melayu. Adalah dicadangkan agar beberapa hambatan desa perlu diatasi melalui proses pengupayaan bangsa Melayu untuk menentukan nasib sendiri.

 

Antara hambatan yang perlu diatasi ialah persoalan budaya feudal yang membelit orang kampung. Minda dan jiwa feudal ini perlu diatasi dengan segera agar bangsa Melayu ini tidak terus diperbudak dan diperalat oleh pihak wewenang yang terus ingin memastikan bangsa ini tunduk kepada kehendak mereka.

 

Sistem kawalan politik kampung yang mencengkam gerakan masyarakat, yang mendiskriminasi kelompok bukan penyokong kerajaan, yang menyeleweng peruntukan pembangunan, yang saling melabelkan  antara parti politik secara tidak sihat akan dipecahkan melalui program pengupayaan masyarakat desa. NGO perlu berganding bahu dengan NGO atau kumpulan lain dalam usaha ini supaya mencapai kesan yang diharapkan.

 

Hasrat kita hanyalah untuk sekali lagi menyemarakkan daya usaha yang berterusan bagi memastikan semua penggerak dan penyokong gerakan membangunkan bangsa Melayu memperkukuhkan keiltizaman dan mempertingkatkan daya bertindak.

 

Apa yang didambakan ialah penyelesaian praktis bukan terhenti kepada perbicaraan ilmiah semata-mata.  Sokongan dan penglibatan yang aktif daripada semua demi memastikan bangsa Melayu kembali gemilang sebagai bangsa yang berjaya menterjemahkan Islam dalam setiap sendi kehidupannya amat diperlukan.

 

 

One comment on “HALATUJU MELAYU-ISLAM DAN PENYELESAIANNYA
  1. khairulorama berkata:

    bangsa melayu di’tembak’, di’templak’ dan hilang dalam globalisasi..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 218,694 hits
Kalendar
Julai 2014
I S R K J S A
« Mac    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 29 other followers

%d bloggers like this: