HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF ISLAM

Beberapa Aspek Konsep dan Perbedaan

Motto:

وَالسَّمَاء رَفَعَهَا وَوَضَعَ الْمِيزَانَ

أَلَّا تَطْغَوْا فِي الْمِيزَانِ

وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

Langit dijadikan Allah tinggi (mengawan), serta Allah menggariskan padanya neraca keadilan.

(Dengan harapan) kamu semua tidak melampaui batas neraca keadilan;

(Dalam masa yang sama) Tegakkanlah neraca sukatan dengan timbangan keadilan, dan janganlah sekali-kali kamu mengurangi timbangan (keadilan dengan mencuri timbangan)

Pengantar

Kezaliman, penindasan, penjajahan dan pencerobohan terhadap hak manusia dan bangsa-bangsa semakin terserlah kini. Kejahatan setara dengan peperangan dunia pertama, dan kedua terus dilakukan oleh manusia , bahkan dilakukan oleh negara yang dipanggil sebagai negara maju yang menghormati hak asasi manusia, seperti Amerika , Britain dan beberapa buah negara Eropah bersama negara penjajah Israel.

Bukan sedikit piagam hak asasi, Bill of Right perisytiharan hak asasi manusia yang telah disepakati dan diluluskan oleh P.B.B. dan Badan Badan Antarabangsa yang lain, namun kezaliman , penyiksaan terhadap manusia , penyeksaan tahanan di Guantanamo, Baghram, di Abu Gharib dan berbagai tempat rahsia lain tetap berlaku dengan dahsyatnya atas nama memerangi keganasan.

Atas nama pendemokrasian maka negara dunia ketiga berhadapan dengan penjajahan baru . Kedatangan penjajahan baru itu kononnya sebagai usaha menjatuhkan regim diktator dan memerdekakan rakyat negara berkenaan . Tapi sebenarnya berniat merampas kekayaan minyak, gas dan sebagainya untuk menjamin masa depan sumber tenaga di negara-negara maju. Atas nama melindungai hak asasi manusia intervensi dan masuk campur tentera asing dihalalkan untuk memecahbelahkan kesatuan negara negara umat Islam yang miskin dan lemah untuk terus berada dalam kuasa pemantauan negara tuan.

Di dalam negara kita pernyataan slogan tentang cemerlang gemilang terbilang dan sepuluh rukun Islam hadhari dipaparkan dengan begitu rupa, namun perlaksanaan yang tempang, gejala rasuah, korupsi, ketidakadilan dan amalan yang sangat bercanggah dengan nilai demokrasi dan hak hak rakyat terus membiak. Ini sangat bercanggah dengan pelbagai rumusan wacana yang muluk-muluk yang pernah diketengahkan dalam masyarakat

Sebab itu perbincangan mengenai hak asasi bukan hanya harus berpusat kepada kehebatan pernyataan dan perisytiharan semata-mata. Tapi juga harus disertai dengan semangat yang kuat dan utuh untuk menepati apa yang tersurat dalam piagam dan perisytiharan yang telah disepakati bersama. Keyakinan yang mendalam tentang hak, tentang keadilan, kewajiban politik, sosial, ekonomi di samping tekad dan azam untuk melaksanakannya tidak datang dari jiwa yang kosong dan pemikiran atau fahaman yang dangkal serta batil. Tapi tekad untuk menepati tuntutan keadilan, perisytiharan hak asasi dan sebagainya lahir dari komitmen yang tinggi kepada tuhan atau kepada agama. Justeru agama membentuk pemikiran, kecenderungan dan keinsafan hati nurani yang tinggi terhadap tuhan, terhadap nilai-nilai lohor yang disuruh, terhadap kesejahteraan insan seperti yang disuruh oleh Allah.S.W.T

Selaras dengan itu penjelasan, penataran dan pengembangan konsep hak asasi manusia dari perspektif Islam sangat releven untuk mengekang gejolak nafsu ammarah dan kecenderungan jahat manusia yang semakin bermaharajalela di segenap peringkat. Islam mampu menampilkan alternatif dalam bidang ini kepada manusia sejagat berdasarkan rekod sejarah kegemilangannya. Kuasa Barat ternyata bangkrap, tidak adil terhadap dunia Islam bahkan terhadap negara dunia ketiga dan tidak mampu untuk memimpin obor peradaban, nilai kemanusiaan untuk membangun kesejahteraan masyakarat manusia sejagat

Pengertian Hak

Hak berasal daripada kalimah Arab al Haq. Menurut pengarang Kamus al Muhit Haq adalah nama atau sifat tuhan, atau al Quran, Ia kebenaran yang menjadi lawan kebatilan. Ia juga bermakna keadilan, Islam, raja atau kerajaan yang wujud dan tetap. Perkataan jama’nya atau plural ialah al Huquq

Dari sudut bahasa ia membawa maksud lebih daripada lapan:

Pertama: Allah S.W.T sepertimana disebutkan dalam firman Allah (al Mukminun:71):

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ

Kedua :Sifat Allah (al An’am 62) :

ثُمَّ رُدُّواْ إِلَى اللّهِ مَوْلاَهُمُ الْحَقِّ

Ketiga : Bermakna keadilan (Ghafir 20)

وَاللَّهُ يَقْضِي بِالْحَقِّ

Keempat: Bermakna Islam (al Baqarah 119)

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا

Kelima: Kebenaran (Sad 84)

قَالَ فَالْحَقُّ وَالْحَقَّ أَقُولُ

Keenam: Yakin atau keyakinan yang benar (al Zariyat 23)

فَوَرَبِّ السَّمَاء وَالْأَرْضِ إِنَّهُ لَحَقٌّ مِّثْلَ مَا أَنَّكُمْ تَنطِقُونَ

Ketujuh: al Hikmah atau kebijaksanaan ( Ibrahim 19)

خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ بِالْحقِّ

Kelapan : Bermakna habuan , peruntukan iaitu sesuatu yang anda berhak mengenainya (Hud 79)

قَالُواْ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ

(al Ma’aarij 24-25)

وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ

لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ

Menurut istilah para Fuqaha mutakhir hak bermakna ; suatu hukum yang thabit utuk seseorang. Namun definisi ini dianggap tidak jami’ dan mani’ juteru semua hak adalah hukum namun bukan semua hukum boleh dikira hak. Syeikh Ali Khafif mena’rifkannya sebagai :

“انه مصلحة مستحقة شرعا”

Kepentingan yang dipunyai oleh seseorang menurut syara’.

Menurut Dr Mustafa Zarqa ia adalah wewenang yang diperakukan oleh syara’ samaada merupakan kuasa atau arahan.

“اختصاص يقرر به الشرع سلطة او تكليفا”

Pakar undang undang mendefinisikannya sebagai maslahah atau kepentingan yang dilindungi oleh undang-undang.

Jenis-Jenis Hak

Hak daripada sudut pandangan Fuqaha dikategorikan berdasarkan dua sudut; samada dari sudut tempatnya atau pemiliknya.

Hak dari sudut pemiliknya terbahagi kepada empat:

Hak mutlak Allah , hak mutlak hambanya, hak yang berkongsi antara keduanya namun hak Allah lebih besar, atau hak yang berkongsi namun hak hamba yang lebih besar atau utama.

a) Hak Allah semata-mata ialah hak yang diperakukan untuk kepentingan semua dan bukan untuk seseorang tertentu. Ia diperakukan untuk kepentingan masyarakat umum. Hak ini dihubungkaitkan dengan Allah untuk menegaskan kepentingannya. Hanya dengan kehadiran hak seperti ini masyarakat boleh kekal dan sejahtera. Pengabaiannya atau perbuatan mencerobohinya menyebabkan keruntuhan dan kemusnahan masyarakat berkenaan.

Berdasarkan pengamatan hak Allah semata-mata ini terbahagi kepada lapan:

1. Ibadah semata-mata, seperti solat, zakat dan jihad

2. Ibadah yang merangkum makna ”Ma’unah” atau sesuatu amaun (harta); seperti zakat fitrah

3. ”Ma’unah” atau amaun yang merangkum makna ibadah atau qurbah; pendekatan diri kepada Allah seperti kewajipan mengeluarkan ’Usyur.

4. ”Ma’unah” yang merangkum makna hukuman seperti al Kharaj

5. Hak yang berdiri sendiri atau thabit dengan sendirinya tanpa bergantung kepada tanggungan sesiapa seperti Khumus al Ghanaaim, al Kanz dan al Ma’aadin.

6. Hukuman sepenuhnya seperti hudud zina dan ta’zir

7. Semi hukuman, seperti mengharamkan pembunuh daripada mendapat harta pesaka orang yang dibunuhnya. Ia dinamakan ”semi hukuman” kerana hukuman berkenaan merupakan hukuman kewangan dan ia tidak menyakiti fizikal orang berkenaan atau merampas harta yang ada di bawah miliknya.

8. Hak yang merangkum makna ibadah dan hukuman ; seperti (membayar ) pelbagai jenis Kaffarah

b) Hak Mutlak Manusia. Hak kategori ini banyak; termasuk hak yang terbit kerana ’aqad atau contract , atau hak yang terbit kerana merosakkan harta orang lain dan lain-lain hak yang merangkum manfaat duniawi.

c) Hak berkongsi di mana hak Allah lebih utama iaitu apabila hak jamaah atau kolektif lebih menonjol daripada hak individu. Fuqaha menampilkan contoh hak ini seperti ”Haddul Qazf” Dari sudut ia bertujuan melindungi nama baik orang dan mencegah perkelahian di kalangan mereka maka ia merealisasi hak atau kepentingan umum. Namun dari sudut ia membersihkan nama orang yang tertuduh dari aib yang cuba dipalitkan kepadanya maka ia merealisasi kepentingan individu. Namun kepentingan masyarakat atau umum lebih penting dan utama dalam hal ini.

d) Hak yang dikongsi bersama namun hak individu lebih menonjol atau menyerlah.Para Fuqaha menampilkan contoh dengan hak Qisas; di mana hak individu lebih utama diberi perhatian memandangkan usaha menjaga perasaan keluarga mangsa yang dibunuh lebih penting daripada menjaga hak masyarakat

Kedua : Klasifikasi Hak Merujuk Kepada Tempat: Syeikh Ali al Khafif menegaskan bahawa yang kita maksudkan dengan ini ialah bagaimana hak itu dilembagakan di luar (pemikiran). Dengan perkataan lain ia adalah zat hak itu sendiri dimana ia dinisbahkan dengan yang memiliki hak tersebut, seperti hak milik. Pemilikan adalah tempat hak berpaut di alam luar.

Umumnya boleh dikatakan bahawa hak menurut tempatnya terbahagi kepada beberapa bidang. Iaitu seperti hak yang berkaitan dengan harta: seperti hak berkaitan dengan urusan keluarga, hak berkaitan dengan ibadah atau hak yang berkaitan dengan urusan masyarakat umum dan sebagainya..

Hak dalam Fiqh Islam mengandungi makna yang luas termasuk hak kebebasan. Kebebasan umum merupakan sebahagian daripada hak. Jadi kalau disebut perkataan hak dalam fiqh Islam ia mungkin bermakna hak Mal atau hak Allah, atau hak peribadi atau berbagai jenis kebebasan berdasarkan makna yang yang dimaksudkan.

Kesan Klasifikasi Hak Dalam Islam

Dari sudut implikasi pembahagian hak sedemikian rupa boleh disorot dari beberapa aspek. Antaranya dari sudut konsep dan perlindungan , dari sudut pengguguran dan pewarisannya dari sudut pembelaan dan dari sudut pendakwaan atau kuasa membuat pendakwaan..

Pertama Dari sudut konsep ; mengikut pandangan umum yang lumrah dan khalayak ahli undang-undang kepentingan umum mendahului kepentingan khusus namun dari perspektif Fiqh Islam kepentingan khusus didahulukan berbanding kepentingan umum, Ertinya hak khusus mendapat perlindungan yang lebih kuat berbanding perlindungan kepada hak umum.

Pencabulan terhadap hak khusus atau mana-mana hak hamba tidak akan diampunkan oleh Allah sehinggalah dimaafkan atau diampunkan oleh orang berkenaan, atau dipulangkan segala harta kepunyaannya yang telah dirampas.Pemerintah tidak boleh melupuskan hak khusus orang tertentu. Ia juga tidak berhak memaksa seseorang melupuskan hak khususnya

Sebenarnya Allahlah yang menganugerahkan hak-hak berkenaan kepada manusia . Hak tersebut pula di sisiNya lebih mulia daripada rumahNya sendiri. Rasulullah bersabda :

من اذى مسلما بغير حق فكانما هدم بيت الله

“Siapa yang menyakiti seorang muslim tanpa hak maka ia seolah-olah telah merobohkan rumah Allah” (Hadith riwayat Tabrani)

Kedua Dari sudut perlindungan: kewajiban menjaga , melindungi dan mempertahankan hak adalah suatu pendekatan diri kepada Allah. Malah dari perspektif Islam hak memang wajib dilindungi . Adalah suatu amalan lohor dan suci berjuang membela hak.

Perlindungan hak ini dapat dicerakinkan sebagai berikut:

a)Perlindungan Allah

Perlindungan ini dapat dirasakan oleh manusia yang beriman kepada Allah, justeru keimanannya yang kental menjadi penggerak segala kelakuannya. Ia akan merasakan keagongan Allah dan kelangsungan keperihatinannya kepada Allah serta pengawasan Allah yang berketerusan akan menghalang seseorang itu daripada menceroboh hak orang lain dan sentiasa menjaga hak diri sendiri.

b) Perlindungan Dhamir, hati nurani atau intuisi

Perlindungan ini lahir dari keinsafan batin yang tinggi dan kepekaannya terhadap kelohoran hak Allah dan kesuciannya . Dengan itu orang yang mempunyai hati nurani yang hidup akan terus menjaga dan melindungi hak diri sendiri dan juga hak orang lain.

c) Perlindungan masyarakat : perlindungan ini ujud dari amalan dan kesedaran umum hasil dari semangat integrasi dan perasaan solidariti , saling bantu membantu dari sudut ekonomi dan politik yang menjadi amalan umat Islam. Rasulullah bersabda: Sikap dan amalan hidup orang orang yang briman ini dari sudut kemesraan, kasih sayang dan simpati ibarat sebatang tubuh atau jasad. Kalau mana-mana anggota mengalami kesakitan maka anggota yang lain ikut menanggong merasa tidak sesela sehingga tak boleh tidur dan turut demam.

d) Perlindungan negara: Perlindungan negara tercerna dalam bentuk perlaksanaan hudud, qisas dan hukum ta’zir berdasarkan kriteria tertentu. Negara boleh melindungi dan mempertahankan hak-hak tersebut meskipun merentas benua melalui cara atau kaedah tertentu dan saluran pertubuhan antara bangsa.

Ketiga Dari Sudut Pengguguran Hak: Sepertimana yang lumrah diketahui bahawa hak Allah tidak boleh digugurkan oleh sesiapa , tapi hak individu maka ia memang boleh atau harus digugurkan oleh yang empunya hak tersebut. Akan tetapi hak yang dikongsi bersama antara makhlok dan khalik tapi hak Allah lebih utama maka ketegori ini tidak boleh digugurkan seperti; hukuman qazaf. Akan tetapi hak berkongsi; di mana hak hamba lebih berat atau terserlah maka ia boleh digugurkan oleh seorang yang mukallaf seperti hukuman al Qisas.

Keempat Dari Sudut Pewarisan: Ketegori hak Allah atau di mana hak Allah lebih menyerlah maka jenis ini tidak boleh diwarisi. Hak individu sebahagiannya boleh diwarisi sebagaian lagi tidak boleh. Imam al Qarafi meletakkan kriteria hak individu yang boleh dan yang tidak boleh diwarisi. Beliau menegaskan bahawa hak yang boleh diwarisi ialah hak yang berkaitan dengan harta yang diwarisinya atau yang dapat digunakan untuk meghindarkan mudharat terhadap nama baik atau mengurangkan penderitaannya.

Kelima Dari Sudut Mempertahankannya: Hak hak Allah atau yang terserlah disitu hak Allah maka ia adalah milik masyarakat. Perkara yang termasuk dalam kategori Amr Makruf dan Nahi ’anil Munkar maka Muhtasib atau pegawai Muhtasib boleh mempertahankannya secara otomatis. Ia boleh memaksa orang ramai atau individu menunaikan solat jumaat- umpamanya sekiranya hak Allah itu diabaikan. Tapi kalau dia hak khusus yang dilengahkan penunaiannya maka Muhtasib boleh memerintahkan orang berkenaan segera membayarnya seandainya ade aduan dibuat mengenainya oleh yang empunya hak .

Hak berkongsi ada yang boleh dipertahankan secara otomatis oleh Muhtasib dan ada pula yang memerlukan adanya aduan dari pehak yang berkenaan.

Keenam Dari Sudut Memulakan Proses Pendakwaan :Berkenaan dengan hak Allah maka setiap muslim yang akil balingh dan ’adl ; iaitu menghindari dosa besar, menunaikan segala yang fardhu dan kebakiannya mengatasi keburukan” bole membuat dakwaan di mahkamah untuk membela yang mutlak menjadi hak Allah atau hak yang di mana hak Allah lebih terserlah. Ini berlandaskan kewajipan menentang kemungkaranselaras dengan firman Allah dalam Surah Ali Imran 104 dan hadith; siapa diantara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia merubahnya dengan tangan dan seterusnya

Hak-Hak Manusia

Menurut Dr. Wahbah al Zuhaili: Hak hak insan ialah himpunan beberapa hak semula jadi yang dimiliki oleh seseorang yang sangat berkait rapat dengan kewujudan tabi’inya; yang diperakukan secara alami walaupun belum diiktiraf atau yang dicerobohi oleh mana-mana kuasa . Ia merangkum hak asasi seperti hak untuk hidup, persamaan, kebebasan dalam segala bentuknya, hak politik dan civil, hak bangsa-bangsa untuk menentukan nasibnya, hak mereka untuk merdeka, hak untuk mempunyai identiti bangsa, hak berpendapat, hak menyatakan pendapat , hak beragama, hak belajar dan mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak milik khusus, hak berkerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak keibubapaan, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia untuk mendapat asuhan, hak kekeluargaan , hak tempat tinggal dan lain-lain .

Beliau menegaskan ; al Karamah al Insaniah atau prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia adalah sumber hak asasi . Apabila wujudnya penghargaan terhadap Karamah Insaniah itu bermakna adanya tanda keinsanan manusia berkenaan yang membedakannya daripada binatang.

Sejarah Hak Asasi Manusia

Menurut Syaikh Al Zuhaili lagi; Islam sebagai agama yang bersumberkan kepada bimbingan ilahi adalah agama yang mula-mula mengisytiharkan prinsip-prinsip kebebasan dan hak-hak asasi manusia ; baik secara teori mahupun secara amali. Dunia baru menyedari hak-hak ini dan sebok membicarakan persoalannya dipenghujung kurun kelapan belas masihi..

Islam telah mengisytiharkan sejak awal era kemunculannya tentang prinsip melindungi maruah dan Karamah Insaniah yang membibitkan hak-hak seperti kebebasan atau kemerdekaan dan kesamarataan. Allah berfirman (Isra’ :70) Sesungguhnya Kami telah muliakan (status) anak-anak Adam. FirmanNya lagi ( al Tin:4) (Pada hakikatnya) Kami telah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Rasulullah bangun berdiri menghurmati jenazah orang kafir yang melintasi baginda. Sahabat mengatakan kepada beliau . Jenazah itu hanyalah jenazah seorang Yahudi. Baginda lantas menjawab; bukankah dia juga seorang manusia ?.

Di penghujung kurun kelapan belas mula muncul gerakan yang mendesak agar dilembagakan dalam perundangan hak-hak asasi manusia oleh golongan ahli fikir dan Philosoper seperti Jean Jauqe Roussou, Montesqieu, Didro dari kalangan penggerak revolusi Perancis. Revolusi ini akhirnya telah menggubal suatu piagam hak-hak insan dan warga negara Perancis. Piagam ini telah diluluskan dalam parlimen mereka pada 26 August 1789. Kandungannya telah dicantumkan dalam mukaddimah perlembagaan Perancis yang pertama yang telah disahkan dalam tahun 1791.

Selepas perang dunia pertama kecenderungan untuk memperkasa kehadiran pengiktirafan terhadap hak-hak manusia terserlah dalam tiga aliran tindakan:

Pertama : Mengadakan perjanjian antara bangsa untuk melindungi hak-hak manusia ; umpamanya : perjanjian membenteras perdagangan hamba sahaya , sistem dan protokol diplomatik, termasuk pembentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa.

Kedua : Pengukuhannya melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu . Pertubuhan ini akhirnya telah menampilkan The Universal Declaration of Human Rights (UDHR-1948)yang mengandungi pengantar dan 30 ceraian pasal. Ia juga telah menampilkan International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR-1976) International Covenant on Economic, Social, and Cultural Rights (ICESC-1976)

Ketiga : Terbentuknya pertubuhan Serantau yang membela hak-hak asasi manusia. Umpamanya Majis Negara-Negara Eropah telah meluluskan persefahaman mereka mengenai isu hak asasi manusia dalam bulan September 1952.

Negara-negara Islam dalam OIC di persidangan Tehran 1989 telah meluluskan perisytihan Islam Sedunia Mengenai Hak-Hak Asasi Manusia yang mengandungi 25 pasal..

Pada dasarnya banyak daripada pernyataan dan akuan yang disebutkan dalam perisytiharan hak asasi manusia sedunia itu tidak bercanggah dengan Islam kendatipun ada beberapa perkara kekecualian yang wujud kerana perbedaan agama dan sebagainya dalam negara tertentu. Islam – umpamanya – tidak memperakukan nasab keturunan melalui perzinaan, homoseksualiti , perkahwinan sejenis atau pernikahan wanita muslimah dengan lelaki kafir dan sebagainya.Kekecualian tersebut diperuntukan kerana ketentuan undang-undang setempat atau undang-undang dalaman demi ketenteraman umum dan keselamatan negara .

Pertentangan Antara Pengungkapan Theory dan Realiti.

Pernyataan tentang perlunya di hormati hak dan kebebasan manusia hampir keseluruhannya ada dalam kebanyakkan perlembagaan negara-negara di dunia ini dan piagam antara bangsa . Dasar Islam Hadhari – umpamanya -diketengahkan dengan sepuluh prinsip yang sangat muluk.Namun realitinya tidak seindah ungkapan teoritisnya . Dunia kini sedang diserang keganasan penjajahan baru yang berdalih dengan alasan memerangi keganasan. Berpuluh ribu orang Islam di seluruh dunia telah dan sedang dianiaya, di Palestin, Afghanistan, Iraq, Chechnya dan lain-lain. Dasar Pre Emptive Strike G.W Bush yang lahir daripada Dasar Pertahanan Baru Amerika dan undang-undang Patriotnya telah memangsakan dan mencabul hak asasi berbagai bangsa manusia dengan sangat nyata dan menyolok. Guantanamo adalah lambang keganasan negara yang sedang dilaksanakan oleh negara kuasa besar yang sepatutnya menjadi pembela hak asasi manusia.Israel adalah negara pengganas boneka yang terus dibantu dan mendesak Amerika untuk melakukan pencerobohan terhadap Iran sepertimana yang telah dilakukan terhadap Iraq.

Rakyat Malaysia menghadapi era kejatuhan moral politik, sosial, ekonomi dan budaya. Rasuah dan kejahatan menjadi tontonan dan ikutan. Masyarakat dilalaikan dengan faham kebendaan dan sogokan kenaikan gaji dan sebagainya untuk meneruskan kekuasaan parti yang memerintah. Perbuatan memfitnah, membunuh merampas kedaulatan rakyat dilakukan bukan oleh orang bawahan tapi oleh manusia atasan dengan kuasa eksekutifnya yang hampir mutlak. Kebebasan dan hak manusia menjadi mainan dan senda gurau. 4.9 juta warga dinafikan hak mengundi mereka melalui sistem pilihanraya dan pendaftaran nama pemilih yang menjadi alat pehak yang berkuasa. Hak –hak golongan pembangkang dinafikan dengan begitu ketara.

Negara Negara Barat dan umumnya Negara maju kini memang sibuk menggembar-gemburkan hasrat mereka untuk mempertahankan hak-hak asasi manusia dan sebagainya . Namun semua hiruk pikuk itu adalah lips service semata-mata ; jauh daripada tindakan sebenarnya. Ini berbeda dengan Islam . Islam berhak berbangga kerana telah menggagaskan hak hak asasi manusia bukan sahaja apabila ia mula menjadi anggota masyarakat yang aktif tetapi sejak ia masih bayi dalam rahim ibunya lagi. Bahkan tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa Islam telah menggariskan hak-hak itu sejak dari azali lagi. Sebelum seseorang itu berumahtangga dan melahirkan zuriat bahkan sebelum kehadiran insan di dunia ini lagi . Sebab itu Islam meletakkan syarat-syarat tertentu untuk menjadi mempelai dan membentuk keluarga. Islam menekankan perlunya aspek Mawaddah , kasih sayang , Rahmah atau perihatin dan kasihan belas serta syarat Kufu’ atau setara . Ini semua adalah bertujuaan untuk mengelakkan timbulnya krisis yang berpanjangan di samping untuk mengekalkan ikatan hidup berkeluarga.

Apabila Islam mengabadikan hak hak asasi manusia ia bukan sekadar untuk mengisi program media, meraih popularity , atau untuk merangkul harta, pangkat kebesaran dan kuasa serta menawan hati golongan massa. Sebaliknya Islam menjadikannya sebagai sebahagian daripada pola akidah , syariah dan ta’abbudiah; di mana orang Islam akan berdosa kerana mengabaikannya. . sebaliknya ia akan berpahala menunaikan . Penghayatannya membawa keberuntungan di akhirat dan menjadi tunggak dan asas kemajuan duniawi. Manusia adalah penggerak utama kehidupan ini. Setakat mana potensi kejiwaan, fizikal dan mentalnya digilap maka setakat itu pula lah kemajuan dan tamadun umat dicapai.

Perbedaan Titik Tolak dan Manhaj Hak Manusia dari perspektif Islam Berbanding Pemikiran Barat.

Konsep hak manusia dari persepektif Islam bertolak daripada pandangan positif dan luhur terhadap peranan manusia. Allah telah mencipta manusia sebagai Khalifah di dunia ini untuk tujuan memakmurkannya dan menegakkan hukum hakam syariah sebagai perundanganNya. Allah berfirman (al Baqarah :30) ::

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً

Ingatlah (peristiwa bersejarah) ketika Tuhanmu bertitah kepada para Malaikat ; bahawa Aku ingin menobatkan di dunia ini (para) Khalifah (para pelaksana amanahNya)

Islam meletakkan penghormatan yang tinggi kepada manusia kerana Allah telah membekalkan kepadanya kudrat yang istimewa. Penghormatan ini meliputi seluruh bangsa manusia tanpa mengira warna kulit, perbedaan tempat lahir atau bangsa keturunannya. Baik lelaki mahupun perempuan. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam Surah al Isra’ :70 :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً

”Sesungguhnya Kami telah memuliakan (martabat) anak Adam. Kami memudahkannya meneroka daratan dan lautan. Kami murahkan rezekinya dengan segala (nikmat anugerah ) yang baik-baik; malah Kami berikan kepadanya kelebihan yang berganda berbanding makhluk-makhluk lain yang Kami cipta.”

Dalam perspektif Islam kemuliaan manusia atau sebaliknya adalah sangat berkaitan dengan komitmennya kepada akidah. Dengan lain-lain perkataan bergantung kepada darjat taqwa dan penerimaannya terhadap hidayah Rasul dan Manhaj wahyu. Allah berfirman (al Tin :5-6)

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

Kemudian Kami kembalikan semula ( martabat manusia) ke derjat yang paling terkebawah. Kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh maka mereka akan mendapat habuan ganjaran yang tidak akan diungkit-ungkit lagi (oleh sesiapapun).

Komitmen kepada akidah dan iltizamnya kepada keyakinan tersebut dilakukan dengan kemahuan bebas dan sukarela; tanpa dipaksa atau ditindas untuk melakukannya. Penegasan hal ini dinyatakan oleh Allah (Surah Taha:123-124

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَى

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى

”Allah berfirman (kepada kedua mereka; Adam dan Hawa) turunlah kalian berdua ke bumi dengan (suratan takdir) bahawa segolongan akan memusuhi segolongan yang lain. Seandainya sampai kepada kalian nanti bimbingan hidayahKu maka barangsiapa yang mengikut petunjuk hidayahKu tidaklah dia akan sesat dan (bernasib) celaka.”

Hak asasi manusia dalam Islam bertitik tolak dari keyakinan ini. Ia berbeda dengan konsep hak asasi manusia dari perspektif Barat. Islam beranggapan manusia mendapat penghormatan Allah kerana tugas kekhalifahan. Manakala kekhalifahan ini berhubung erat dengan ketaatan atau ubudiahnya kepada tuhan. Perspektif Barat menganggap hak tersebut adalah hak tabi’i, terbit dari konsep kedaulatan mutlak manusia yang superior dan tidak ada kedaulatan lain yang mengatasinya. Penghormatan Islam kepada manusia yang bertitik tolak daripada penghormatan kerana anugerah adalah berkaitan dengan ‘ubudiah atau ketaatan. Ini bermakna ada masa dan tempoh tertentu di mana manusia akan terjejas daripada mendapat penghormatan itu. Iaitu apabila manusia bertindak bodoh; menderhakai , kufur dan menjauhi tuntutan ubudiah tersebut. Atau apabila ia menjauhi kebenaran yang menjadi nilai tambah yang penting untuk pengisian maksud kemanusiaannya. Hal ini tidak diakui oleh pemikiran perspektif Barat yang beranggapan bahawa manusia tetap memiliki hak tabi’i tersebut walaupun ia menyimpang jauh ; melakukan keganasan dan kejahatan. Sistem pemikiran Barat dalam hal ini begitu menghubungkan hak manusia dengan kedaulatan dan kebebasan individu semata-mata. Dari sini lahir system liberal demokrasi yang berteraskan kepada kontrak sosial. Sistem ini menekankan keutamaan kepentingan individu mengatasi kepentingan politik. Bertolak dari pengertian ini lahir apa yang disebut kebebasan ekonomi yang menjadi teras kepada dasar atau system ekonomi liberal; tanpa mempedulikan aspek moral atau fizikal atau yang berikatan dengannya.

Perbedaan konsep hak asasi manusia dari perpektif syariah dengan konsep Barat bukan hanya dalam peringkat wacana dan teori sahaja malah berbeda dalam aspek pendekatan dan amalan. Ini dapat kita lihat dalam aspek berikut:

Pertama : Implikasi konsep Hak Asasi Manusia dalam Manhaj Syar’i Berbanding Pemikiran Barat.

Hak manusia dalam Islam pada dasarnya lahir daripada akidah tauhid. Akidah tauhid tegak dari kesaksian bahawa tiada tuhan yang disembah kecuali Allah . Inilah sumber dan punca segala hak dan kebebasan. Oleh kerana Allah yang Maha Esa telah mencipta manusia sebagai makhluk yang merdeka dan mahu menjadikan manusia itu bebas (daripada penindasan) . Dalam masa yang sama Allah memerintahkan mereka melindungi hak-hak yang diperakukan olehNya, disamping mematuhi kewajipan yang telah dilestarikan. Demikian juga Allah memerintahkan mereka supaya berjihad dan berjuang melindungi dan mempertahankan hak tersebut daripada pencerobohan. Perkara ini ditegaskan dengan kerap dalam ayat-ayat al Quran mengenai perjuangan dan jihad.

Hak asasi manusia terbit dari penghormatan dan penghargaan Ilahi terhadap insan berdasarkan nas yang jelas. Ia adalah sebahagian daripada konsep Islam dan ‘ubudiah kepada Allah. Ia juga merupakan fitrah manusia di mana Allah jadikan manusia bersesuaian dengan fitrah.

Hak asasi manusia adalah anugerah Allah yang diberikanNya kepada manusia. Ia bukan anugerah manusia biasa di mana boleh diungkit atau ditarik semula dan dirampas apabila beralih sokongan atau pendiriannya. Dia adalah hak-hak yang direstui dan diperakukan oleh Allah untuk manusia.

Ciri khas hak-hak dalam Islam ini ialah ia bersifat menyeluruh ; merangkumi segenap hak; samada hak politik, hak ekonomi, hak sosial dan budaya.

Ia merupakan hak umum dinikmati oleh setiap orang yang tunduk kepada Islam; tanpa mengira warna kulit, bangsa atau bahasa.

Seterusnya hak tersebut ia bersifat “Kamal” atau sempurna dan tidak boleh dilupuskan sebab ia sebahagian daripada syariat..

Antara cirinya yang terpenting ialah hak tersebut tidak absolute atau mutlak. Ia terikat dengan syarat tidak bercanggah dengan Maqasid al Syari’ah. Tidak bercanggah dengan kepentingan jamaah yang dianggotai oleh seseorang insan berkenaan.

Konsep dan pendekatan hak asasi manusia dari persepektif Barat telah menelurkan beberapa versi kefahaman yang sangat merbahaya kepada peradaban manusia pada umumnya. Apabila hak manusia itu lahir dari hak tabi’i maka rujukan dalam penyelasaian pertikaian adalah kepada hukum tabi’i iaitu siapa kuat dia menang dan selamat. Apabila hukum tabi’i asas itu menjadi landasan kepada hak maka kemusnahan orang yang lemah dan miskin atau tidak berdaya sudah menjadi suatu kepastian. Mereka tidak akan berdaya mendapatkan hak-hak mereka kerana mereka tidak punya modal untuk menang. Sebab itu adalah suatu yang lumrah dan absah dari sudut pemikiran kapitalisme sekiranya terkumpul kemiskinan kemelaratan dan kemunduran di kalangan minoriti atau pembolotan kapitalisme terhadap kepimpinan politik di samping penindasan terhadap golongan rakyat miskin . Versi kefahaman yang demikian membenarkan ethnic cleansing pembunuhan beramai-ramai sesuatu bangsa dalam perang dengan senjata canggih . Justeru bangsa yang memiliki kedaulatan dan kekuatan ketenteraan dan kebendaan yang unggul berupaya merampas hak-hak tabi’i tersebut daripada musuhnya. Ini mengesahkan hak kuasa Barat yang gagah dan kuat untuk merampas, menjajah dan merompak khazanah kekayaan bangsa lain sedaya yang boleh demi kesenangan bangsa dan kuasa Barat; sebagai perlaksanaan terhadap hak tabi’i mereka.

Berbeda dengan kesan yang dihasilkan oleh persepsi syariat yang menganggap bahawa hak asasi manusia ini adalah anugerah penghormatan daripada pencipta kepada para hambanya. Hak-hak dihubungkaitkan dengan definisi dan diskripsi syara’ . Bukan kepada ketentuan hukum tabi’i atau kehendak individu dan bangsa-bangsa. Dengan itu hak bangsa-bangsa untuk menentang pemerintah yang zalim atau kezaliman politik merupakan hak yang tetap . Justeru mereka tidak boleh tunduk berubudiah kepada selain Allah atau patuh kepada undang-undang yang lain daripada syariatnya. Dengan demikian golongan yang lemah dan miskin berhak terbela dan mendapat hak syar’inya berupa pembelaan dan peruntukan sara hidup yang khusus dari harta umat. Kelemahan dan kemiskiannya tidak menghalang mereka dari mendapatkan hak mereka. Dalam masa yang sama ketika bersimpang siur tuntutan kepentingan dari berbagai pehak dengan peralihan kepimpinan, masa dan lokasi namun asas rujukan penyelesaian masalah hak tetap sama dan tidak berubah –ubah menurut selera; juteru ia adalah berasaskan syariat dan perundangan Islam.

Kedua: Hak Asasi Manusia Perspektif Islam Merangkum Semua yang Berkaitan Dengan Islamdan Tidak Bersifat Chauvinistic.

Implikasi penegasan Islam tentang hak asasi manusia berkait erat dengan kewujudannya sebagai insan yang bergantung pula kepada perlaksanaan iltizam terhadap tuntutannya maka manusia boleh meningkat kejinjang nilai yang lebih tinggi dengan ketinggian komitmen akidah dan penghayatan nilainya. Penghijarahan seseorang ke Dar al Islam menyebabkan ia akan dapat menikmati segala hak sebagai warga Negara tanpa diskriminasi. Penerimaan seorang bukan Islam menjadi Ahl al Zimmah “ berdasarkan kepada social contract khusus memungkinkan dia menikmati segala perlindungan hak, skim kebajikan, , keamanan dan hak untuk dipertahankan keselamatannya, serta hak-hak lain yang tidak diperolehi melainkan dengan kerelaan menerima perundangan setempat atau perundangan Negara Dar al Islam.

Ini kerana hak manusia menurut persepsi Islam adalah hak syumuliah; merangkum semua manusia tanpa mengira bangsa. Apabila manusia dengan sengaja memilih untuk berpegang kepada agama atau ideologi tertentu dan rela melaksanakan tuntutannya dengan itu ia telah menetapkan apakah jenis hak dan kewajipan yang akan dilaksanakannya dalam masyarakat Islam itu. Berbanding dengan hak dalam pemikiran Barat ia dihubungkaitkan dengan kebebasan individu dan dengan keupayaan individu untuk meraihnya secara reality. Sebab itu para penatar fahaman hak dalam sistem demokrasi liberal Barat – dalam rangka melindungi hak ini dalam masyarakat mereka – terpaksa menyeru agar dihalang dan disekat kuasa kerajaan sedapat mungkin; supaya jentera dan jabatannya tidak menjadi perkakas untuk menindas dan mengongkong. Selanjutnya timbul seruan dari semasa ke semasa tentang hak warga Negara dan diskriminasi hak warga Negara dengan golongan pendatang asing . Dalam masa yang sama menyebabkan para perundangan Barat sering mengabaikan hak bangsa yang bukan berasal daripada Barat. Oleh itu hak yang mereka laungkan dalam lingkungan demokrasi liberal lebih merupakan hak manusia Barat serta hak orang yang memiliki kekayaan dan kekuatan kebendaan atau kuasa ketenteraan . Ia bukan hak yang bersifat sejagat untuk manusia amnya , walaupun para penatar fahaman ini berkokok mengatakannya begitu. Realiti politik dan perlaksanaan yang tempang terhadap norma keadilan di peringkat antara bangsa jelas terpampang di hadapan kita .

Sebab itu hak manusia dari perspektif Islam berbeda dengan hak dari persepktif Barat. Dalam konteks Islam hak ini tidak dihubungkaitkan dengan konsep hak tabi’i . Sebab pegangan seperti ini akan berakhir dengan bertukarnya hak itu menjadi hak chauvinistic sesuatu kaum. Hak asasi manusia juga tidak dihubungkaitkan secara rigid kepada tanah atau bumiputera sepertimana dalam pemikiran perundangan liberal yang membedakan warga Negara dan bukan warga Negara. Oleh itu hak manusia dari perspektif Islam hak syumuliah merangkum semua manusia . Ia bukan hak yang hanya memihak kepada golongan tertentu sepertimana hak tabi’i dalam perundangan Barat.

Ketiga Hak Manusia Menurut Islam Hak yang Tetap Sejajar Dengan Fitrah Manusia dan Keperluan Peribadinya.

Perbedaan antara hak dari perspektif Islam dengan perspektif Barat terletak dalam penganalisaan teori, sumber dan motif memperakukannya. Dasi sudut sumber –umpamanya- kita dapati sumber hak dalam Islam ialah perintah dan larangan wahyu Allah yang thabit sebagai dalil syar’i dalam al Quran dan Sunnah. Perlaksanaan hak itu bergantung kepada perlaksanaan atau iltizam individu muslim berkenaan secara rela dan ikhlas terhadap tuntutan Islam itu sendiri sebagai menepati ketaatan kepada Allah dan Rasul. Walaupun bercanggah dengan kepentingan dan kehendak peribadi.

Hak-hak tersebut juga dilunaskan melalui pemerintah Islam yang sah dan diberi wewenang oleh Islam untuk menegakkan keadilan di kalangan orang ramai , mencegah kezaliman , menyampaikan hak kepada orang yang berhak di samping melunaskan kepentingan orang ramai dan kebajikan masyarakat.

Dari sudut ini ; iaitu dari sudut sumber di mana hak ini terbit di samping perlaksanaannya dalam masyarakat Islam maka ia tidak berhadapan dengan kekaburan dan kekeliruan. Tafsirannya tidak dipengaruhi oleh kepentingan subjektif. Manusia muslim sewajarnya tidak perlu menggunakan kekerasan atau paksaan untuk mendapatkan hak tersebut.

Dari sini jelas betapa Islam menampilkan konsep dan pengertian hak yang absah, standard dan realistic selaras dengan fitrah manusia . Islam mentakrifkan hak tersebut dengan titah perintah dan larangan syara’. Islam juga melakarkan kaedah dan jaminan yang mempertahankan hak tersebut dan menyerlahkannya di samping mekanisme untuk menguatkuasakannya. Senario ini berbeda dengan apa yang terserlah dalam pemikiran hak di Negara capitalist Barat yang mengikat sumber hak dan perundangan nya kepada prinsip kebebasan. Mereka membiarkan golongan yang berkuasa dan berharta atau berpengaruh mengaut hak berlandaskan kepentingan mereka. Selepas itu baru mereka sibuk mahu menyekatnya dengan beberapa garisan khayali apabila terpaksa . Umpamanya dengan menegaskan bahawa hak dan kebebasan peribadi seseorang berakhir apabila bermula tapal batas hak orang .Kadang kadang dengan penegasan bahawa kerajaan tidak akan masuk campur kecuali apabila berlaku pencerobohan terhadap hak kebebasan tersebut. Pemikiran Barat terhadap hak menjadikan tanggungjawab kerajaan yang utama adalah melindungi kebebasan perse bukannya urusan kesejahteraan mereka. Ini menyebabkan teori tentang hak terbatas dalam kandang teori semata-mata tanpa realisasi dalam alam nyata. Ini kerana persetujuan tentang maslahah atau kepentingan memang sukar kerana pengaruh kepentingan diri dan sifat egoistic yang ada dalam diri masing-masing. Keadaan ini akhirnya berakhir dengan penguasaan mutlak golongan yang kuat dan berada terhadap golongan yang lemah dan marhin Bahkan kuasa perundangan di kalangan capitalist lebih cenderung membentuk dasar dan peraturan yang menguntungkan kroni, puak dan kerabat mereka. Bukan menjaga kepentingan atau hak orang ramai.

Hasil yang ketara daripada perentangan ini dalam perundangan Barat nyata dalam sosok perundangan yang berkaitan dengan hak di Barat. Setengahnya kita lihat lebih mementingkan keselamatan pembunuh daripada hukum qisas atau hukuman bunuh (berbanding mangsa yang dibunuh). Lebih mementingkan hak pencuri dan keselamatannya daripada dipotong tangan (pencuri) kerana kononnya demi mempertahanakan hak kemanusiaannya dengan membelakangkan kesan yang begitu besar dideritai oleh orang ramai daripada rasa takut dan kecewa kerana berleluasanya kejadian jenayah mencuri dan merompak. Perundangan mereka seolah-olah membebaskan sesiapa jua bertindak , berbuat mengikut kemahuan hati, undang-undang tabi’i dan perasaan; tanpa perlu beriltizam dengan ikatan agama dan akhlak. Sebab itu riba dan monopoli adalah dibenarkan. Hubungan seks bebas dan ilhad (faham tidak bertuhan) merupakan hak individu yang perlu dipertahankan tanpa mempedulikan kesan berat yang merosak kepada kesejahteraan umat dan rakyat.

Keempat : Hak Asasi Manusia Dalam Islam Terpeinci dan dilindungi oleh Instrumen Perundangan Syara’.

Perbedaan begitu terserlah antara hak-hak syar’iah berbanding hak hak dalam pemikiran Barat. Hak-hak dalam Islam begitu dicerakinkan dengan jelas dan tidak dibiarkan kabur dalam peristilahan yang longgar. Nas-nas quran dan hadith datang menerangkan secara definitive hak tersebut dan mencegah berlakunya pencabulan dan pengabaian terhadapnya; iaitu dengan pengharam hukuman bunuh atas jenayah bunuh kerana kononnya menjaga nyawa manusia . Syariat dan perundangan Islam mewajibkan jihad untuk menghapuskan pemerintahan tirani (Tyrannic) yang membenarkan perhambaan manusia kepada manusia. Ia mengharamkan zina dan qazaf demi melindungi nama baik dan maruah . Ia mengharamkan riba dan monopoli untuk memastikan kesinambungan peluang mencari sara hidup yang halal kepada orang ramai serta menghalang pemerasan dan penindasan orang yang berkuasa, kaya dan berpengaruh terhadap golongan rakyat yang lemah dan miskin. Perundangan Islam juga mewajibkan Negara Islam yang sah agar mengurus dan menjamin kesejahteraan semua lapisan masyarakat, menghalang kezaliman dilakukan kepada rakyat; biar siapapun pelakunya. Ia memperakukan kepada umat kaedah dan manhaj keadilan yang syar’i dan absah dalam masyarakat.

Dalam konteks tindakan salah laku dan penyelewengan yang boleh mensia-siakan hak manusia, syariat menetapkan hukuman dan sanction tertentu untuk membendung gejala seperti itu.. Islam mengenakan hukuman yang setimpal kepada orang yang melakukan kesalahan berkenaan. Syariat juga melupuskan sifat keabsahan dan kedaulatan terhadap mana-mana Negara yang ingkar tunduk kepada tuntuan agama di samping menentang hukum hakam syara’ yang sebenarnya melindungi hak asasi manusia dan mengatur kewajipan dan berbagai jenis hak mereka.Umpamanya apabila kerajaan berkenaan melakukan tindakan membatalkan hukum qisas atau menghalang perlaksanaan hukum mencuri, atau menghalalkan riba . Justeru penderhakaan tersebut akan menyebabkan hak orang yang lemah terabai, terhalangnya jihad membela kaum tertindas atau berkembangnya kesesatan akidah , kezaliman perundangan dan sebagainya.

Sebenarnya boleh dikatakan bahawa dari satu sudut yang positif syariat telah memperincikan hak-hak asasi manusia dan memperuntukan istilah khusus mengenainya untuk menjamin keselamatan hak-hak tersebut. Dari sudut yang sebaliknya syariat telah menggariskan hukuman terhadap mana mana perlakuan yang menyanggahi dan menyalahinya.. Ini berbeda dengan hak dalam pemikiran Barat yang rata rata masih dituangkan atau digubal dalam bentuk ungkapan yang longgar dan umum berdasarkan prinsip kebebasan yang samar seperti; keadilan, kesamarataan, persaudaraan, kehormatan dan maruah di samping larangan penyeksaan. Hal ini dilakukan tanpa mencerakinkan perundangan yang jelas dan terperinci untuk mengatasi perbuatan mengancam keadilan atau yang boleh melindungi maruah manusia dari sebarang gugatan dan lain-lain. Sebab itu peraturan dan undang-undang yang melindungi hak hak ini di Barat agak berbeda dari satu Negara Barat ke satu Negara Barat yang lain atau berbeda berdasarkan tempoh masa. Contoh yang ketara dalam hal ini ialah laungan gerakan politik di Barat yang sibuk memperjuangkan persamaan wanita dan lelaki di samping menuntut apa yang dinamakan hak wanita dan sebagainya. Ini adalah kerana tiada kodifikasi hukum yang agak terperinci tentang apa yang dikatakan sebagai hak tersebut dalam sistem perundangan Barat.

Kelima : Perbedaan Matlamat dan Tujuan Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Syariah Berbanding Pemikiran Barat.

Perlu dinyatakan bahawa terdapat perbedaan matlamat antara hak asasi manusia ditinjau dari sudut Tasauwur Islami dan Barat. Matlamat perakuan hak dari perspektif Barat ialah untuk memperkasa nilai hidup Barat dengan penekanan kepada kepentingan hak berkenaan dan keperluan menyebarluaskannya. Termasuk dalam matlamat mereka juga ialah untuk menjadikan nilai tamadun Barat sebagai sumber sistem sosial dan pembentukan tamadun dunia ini; dengan andaian bahawa hak-hak tersebut muncul dan lahir dari tamadun Barat itu sendiri .

Lebih jauh catitan perkembangan sejarah pemikiran mengenai hak manusia di Barat menjelaskan bahawa maksud sebenar usaha mengabsahkan atau me legalize hak asasi manusia ialah untuk merealisasi menjadi kenyataan akan segala matlamat dan nilai Barat yang menjadi ciri utama bangsa serta kumpulan tertentu yang hidup di Barat.

Perisytiharan hak asasi manusia datang seiring dengan kemunculan revolusi Perancis. Perisytiharan tersebut bertujuan untuk melepaskan rakyat daripada belenggu dan kongkongan politik golongan bangsawan, raja dan pemerintah Tirani Prancis. Hak-hak ini juga muncul sejajar dengan kelahiran karya-karya pemikir Reformist Agama Protestant di Eropah. Golongan ini pula berusaha keras menentang pengaruh gereja dengan cara menegaskan bahawa manusia mempunyai hak natural atau tabi’i. Manusia –menurut mereka – memiliki kedaulatan yang tidak dibatasi oleh mana-mana kedaulatan lain baik; sebagai golongan bangsawan, golongan raja mahupun juga agama.

Sebenarnya dari sudut perkembangan sejarahnya; adalah menjadi hasrat para penatar konsep hak asasi manusia di Barat menekankan nilai dan prinsip yang digagaskan oleh para pemikir golongan Capitalist di Eropah. Matlamat ini mahu diperkasa dan dimantapkan lagi dalam perkembangan pemikiran di Barat seterusnya dalam era pertembungan pemikiran dengan prinsip dan aliran Sosialisme dan Komunisme.

Aspek ini juga sering dieksploit secara politik untuk mencorakkan hubungan antara bangsa kini antara Negara blok Barat dengan Negara blok Timur. Perkara ini juga di jadikan alasan untuk memaparkan kepincangan hak yang dinikmati oleh golongan minoriti tertentu di mana-mana Negara di dunia ini untuk mengancam dan menggugat regim pemerintah tertentu di Negara dunia ketiga.

Sebenarnya hak asasi manusia di Barat bukanlah cetusan daripada prinsip undang-undang yang tetap untuk menyelesaikan masalah realiti manusia. Bahkan ia bukan bermaksud untuk meraih matlamat lohor manusia sejagat..

Berbanding dengan konsep hak dalam syariat Islam. Hak manusia sangat berkaitan dengan tujuan pokok syariat; iaitu untuk merealisasi ‘ubudiah atau penyembahan makhluk manusia kepada Allah, melindungi Maqasid al Syariah yang tersimpul dalam perlindungan terhadap lima kepentingan asas manusia iaitu melindungi agama, nyawa, akal, harta dan nama baik. Juga untuk menyempurnakan keperluan ujud melalui penggubalan peraturan mengenai hubungan manusia dalam berbagai bidang mu’amalat.. Akhirnya ialah untuk menyempurnakan keperluan Tahsiniat yang melengkap dan meningkatkan lagi kualiti kehidupan manusia memalui keutamaan akhlak dan pengokohan budi bahasa.

Dengan penjelasan kita terhadap perbedaan antara tasauwur, susunatur dan perlaksanaan hak-hak dalam syariat Islam berbanding manhaj pemikiran Barat maka ketaralah kesilapan anggapan segolongan para pemikir dan penulis yang mengandaikan ujudnya persamaan antara hak tabi’i perspektif Barat dengan hak manusia dari perspektif syariat. Antara yang beranggapan demikian ialah Dr Ahmad Jalal Hamad.yang menegaskan:

Apa yang dipanggil oleh pemikir Barat sebagai undang-undang tabi’I sebenarnya tidak ada bedanya dengan pengertian Islam terhadap apa yang dipanggil peraturan Allah yang abadi untuk seluruh manusia dan tetap unggul mengatasi segala undang-undang lain. Ada kemungkinan besar para pemikir undang-undang tabi’I di Barat telah mencedoknya dari kalangan orang Islam ketika ujud pertemuan tamadun Bara dan Timur di Andalusia ( pada satu masa dahulu).

Pada hal yang sebenarnya titik tolak hak manusia di Barat ialah hak tabi’i yang sangat berkait dengan perihal diri dan individu subjective seseorang dari sudut tabi’inya; terlepas dari masalah konsep atau manhaj. Berbanding hak syar’i manusia dalam Islam.Ia bersandarkan kepada penghormatan dan Takrim Ilahi kepada manusia itu sendiri. Ia berhubung rapat dengan konsep ‘Ubudiah; perhambaan manusia kepada Allah dan kepatuhannya kepada syariat gubalanNya; di samping ketaatannya kepada Rasulullah S.A.W. Perbedaan ini semakin jauh apabila kita merujuk kepada penyifatan undang-undang, pencerakinannya yang terperinci, masalah Maqasid dan kesan hukum yang berkaitan dengannya.

Keseimbangan Antara Hak dan Tanggungjawab

Syariat Islam telah menyusun atur masyarakat secara yang seimbang atau berimbang . Hak yang dinikmati oleh seseorang adalah imbalan kepada perlaksanaan tanggungjawab yang disempurnakannya. Seandainya ada segolongan anggota masyarakat Islam yang mengadu kerana kezaliman yang telah menghakis hak mereka maka itu adalah kesan daripada pengabaian segolongan yang lain dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka; sepertimana yang telah diwajibkan oleh Allah. Kewajiban tersebut ialah untuk menegakkan keadilan Ilahi di mayapada ini . Manakala matlamatnya telah diungkapkan sendiri oleh Allah dalam firmannya : (Ar Rahman:7-9)

وَالسَّمَاء رَفَعَهَا وَوَضَعَ الْمِيزَانَ

أَلَّا تَطْغَوْا فِي الْمِيزَانِ

وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

Dan langit dijadikannya (berbumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,

Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;

Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.

Perlaksanaan amali terhadap tuntutan ayat ini dihuraikan oleh hadith Rasulullah, Nabi yang amanah dan maha guru agung manusia dalam hadith baginda :

Setiap orang daripada kamu adalah pengelola. Ia bertanggungjawab terhadap orang di bawah kelolaannya. Pemimpin Negara pengelola dan bertanggungjawab terhadap (rakyat ) di bawah kelolaannya . Suami pengelola keluarga. Dia bertanggungjawab mengelola keluarganya. Isteri juga pengelola di rumah suaminya. Ia bertanggungjawab terhadap apa yang di bawah kelolaannya. Pembantu rumah juga pengelola terhadap barangan rumah majikannya. Ia bertanggungjawab terhadap apa yang di bawah kelolaannya. Setiap kamu (sebenarnya) adalah pengelola dan bertanggungjawab terhadap apa yang di bawah kelolalaannya.

Hadith di atas mengungkapan kebijaksanaan mengurus di mana setiap orang dibekalkan dengan rasa tanggungjawab yang boleh melicinkan perlaksanaan tugas masing-masing. Hadith ini mengutarakan konsep atau teori sektor berjinjang. Ketetapan bermula daripada unit yang paling kecil dalam negara iaitu keluarga sehinggalah kepada unit yang paling besar iaitu pemerintah negara.

Berdasarkan rentetan tanggungjawab seperti dalam penjelasan Rasul di atas maka setiap orang dalam negara Islam mempunyai dua peranan. Sebagai pengelola atau pelaksana dan dalam masa yang sama dia juga merupakan anak buah; atas tanggungjawab orang lain pula.

Demikianlah perbincangan mengenai hak manusia merupakan suatu tema yang sulit dan sukar justeru hak-hak itu adalah merupakan sendi keseluruhan binaan syariat. Akar tunjangnya kukuh tertancap di bumi manakala pucuk dan cabangnya menggapai awan.

Memang tidak mudah hal hal seperti ini dapat digarap oleh sebarang manusia biasa; justeru syariat Islam adalah syariat yang unggul mengatasi segala sistem perundangan lain. Syariat Islam merangkum kepentingan manusia di dunia dan akhirat. Ia menyusun atur masalah sekecil-kecilnya dalam lingkaran keluarga dan individu hinggalah kepada masalah yang lebih besar seperti masalah negara dan dunia amnya.

Penutup

Perjuangan untuk memantapkan perakuan dan penghayatan terhadap hak asasi manusia adalah suatu perjuangan yang sukar dan memerlukan masa yang panjang. Ia memerlukan sistem pendidikan yang menekankan aspek ini. Ia perlu ditunjangi oleh kesedaran keagamaan yang tinggi dan rasa khasyah atau taqwa yang mendalam terhadap Allah sebagai pencipta. Ketiadaan tarbiah dan pendidikan dalam kumpulan masyarakat atau pemimpin atau parti yang berfaham kebangsaan merupakan virus dan kuman yang membiakkan sifat ganas, undemocratic dan anti kemanusiaan. Sebab itu usaha memperkasa kefahaman dan penghayatan agama melalui alat sebaran am, pendidikan dan sebagainya adalah suatu kemestian dan kewajipan demi mengelakkan perbuatan ganas oleh pehak penguasa dan juga rakyat.

Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin

Pengerusi SHURA

Meru Kelang

21 Mei 2007

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 204,452 hits
Kalendar
April 2014
I S R K J S A
« Mac    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 28 other followers

%d bloggers like this: