PERGINYA SEORANG ULAMA’ , MUROBBI DAN SAHABAT

Ketika melihatnya maseh mahu bergurau di Anjung Rahmat , Kuala Lumpur pada 2 hb Muharram 1429H , saya merasa lega . Tidak ada saat yang menunjukkan beliau tidak mengukir senyumannya kepada kami. Selain menerangkan apa yang beliau deritai dan menyatakan harapannya untuk pulih , beliau merakamkan sedikit persoalan semasa , ketika saya menyatakan kepadanya kami baru usai Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan Kali ke 10 TERAS . Sememangnya jika bersua muka dengan beliau , beliau paling mengikuti perbincangan mengenai kerja saya dalam menangani masalah umat . Itulah Dato’ Syeikh Azmi Hj Ahmad yang saya kenal sejak 20 tahun.

Pemergiannya pada 23 hb Safar 1429 bersamaan 1 Mac 2008 jam 6.40 pagi akibat pembedahan kakinya dan jangkitan jantung , saya terima lewat SMS dengan sangat mengejutkan. Lebih menyedihkan saya tidak sempat menziarahi beliau sebelum beliau di kebumikan pada jam 12 tgh pada hari yang sama di Taman Tun Dr, Ismail , Shah Alam, Selangor. Yang meredakan perasaan saya sedikit ialah kerana saya sempat menziarahnya 4 kali . Kali pertama di Anjung Rahmat ,2 kali di KBMC dan sekali di IJN.

Pak Syeikh Azmi , begitu nama mesra dikalangan kami anak didiknya , akan menjadi kenangan kami yang berpanjangan Al Marhum bukan sekadar seorang ulama’ dan murobbi tetapi seorang sahabat yang saya kenal dengan sangat mesra. Dalam kenangan saya , seawal saya terjun dalam medan da’wah sebaik selesai kuliyah , Pak Syeikh Azmi merupakan seorang pembimbing fikrah Islamiyyah yang sangat prolifik ( cerdas melahirkan buah fikiran) dengan ilmu seerahnya yang sungguh mendalam.

Ungkap sahaja suatu persoalan , beliau mampu menangkap pemikiran kami . Yang lebih unik beliau menarik kami untuk menyelami peristiwa kehidupan Rasulullah s.a.w mahupun para sahabat baginda dan dalam ketika tertentu menyampaikan pelajaran yang boleh kami rumuskan dari peristiwa kehidupan dan pendapat imam-imam besar Islam lewat kitab-kita mu’tabar mereka. Apa yang mena’jubkan kami ialah keilmuannya yang luas terhadap persoalan siasah Islam dan bagaimana kami boleh menarik kesimpulan yang memandu kami untuk membuat pendirian dan bertindak.

Suatu ketika yang tidak dapat saya lupa , pada 1980 ialah ketika kami mengadakan Tamrin Du’at di Madrasah Sik , Kedah . Beliau dijangka mengisi program pada hari kedua waktu subuh. Rupa-rupanya beliau memandu sendiri dari Kuala Lumpur (ketika itu mengambil masa tidak kurang dari 7 jam ) dan sampai di tempat kami jam 5 pagi. Begitu selesai solat subuh dan wirid Al Ma’thurat , beliau langsung meminta papan tulis dan mula menyampaikan isi kuliahnya dengan sebuah lakaran yang sangat jelas mengenai apakah isi da’wah Islamiyyah dan bagaimana kami harus bergerak dalam harakah Islamiyyah secara kemas dan efektif. Beliau begitu serius tanpa banyak gurauan seperti lazim kami kenali beliau. Saya sangat terkesan dengan fikrah harakah yang beliau sampaikan sehingga kekal dalam diri saya pelbagai kamus harakah Islamiyyah sehingga ke saat ini. Demikian itu adalah cuma satu episod yang berlalu dalam interaksi kami dengan beliau. Sememangnya banyak ketika kami bersama beliau dalam usrah dan halaqah ilmu yang beliau turut mengisi , kami telah menggali keilmuannya yang sangat luas mengenai perjuangan Islam.

Ketika mengundang beliau memulakan majlis ilmu di rumah saya , di Merbok , seperti biasa beliau telah mengolah pelbagai sedutan peristiwa Seerah Nabawiyyah yang menarik. Saya berasa bertuah dapat menghadhirkan seorang ulama’ harakiah di rumah saya . Terasa betapa barakah dan rahmat mengalir terus dalam majlis itu yang saya turut memnfaatkannya dengan bertukar fikiran dengan beliau.

Pengalaman saya dengan beliau sangat terisi dengan pemikiran mu’assir melihat kepada perkembangan semasa dan bagaimana kami merumuskan strategi . Sementara beliau kerap memberi perhatian kepada gerakerja TERAS yang telah saya cetuskan sebagai pelengkap kepada gerakan Islam tanah air , saya juga banyak mendapatkan pandangannya mengenai persoalan semasa. Ternyata beliau sangat senang bertukar fikiran dengan saya bukan sahaja sebagai anak didiknya tetapi juga sebagai rakan seperjuangan.

Saya merasa dekat dengan beliau ketika beliau menjawat kedudukan Mufti Pulau Pinang pada pertengahan 1990an. Pelbagai tajribah da’wah telah saya gerakan melalui Jabatan Mufti yang beliau manfaatkan untuk bersama dengan saya. Pernah beliau membantu saya untuk mengerakkan Persidangan Masjid serta Perhimpunan Nasional Aktivis Penyertaan dan Pembangunan Komuniti di Pulau Pinang kerana minatnya yang tinggi untuk membina da’wah bil hal yang dirasa penting untuk menangani persoalan umat Islam Pulau Pinang.

Saat yang juga saya anggap istimewa ialah bila saya mengundang beliau bersama dengan saya dalam Perhimpunan Sejuta Umat di Masjid Wilayah Persekutuan pada 2006 iaitu isu cabaran golongan yang mahu menuntut hak untuk murtad di Negara ini melalui penubuhan IFC. Puluhan ribu umat Islam hadhir ketika saya menjadi pengendali perhimpunan itu. Beliau telah dapat mengusik perhatian mereka yang hadhir ketika beliau mengungkap bahawa jika umat Islam gagal menghalang tekanan golongan yang memusuhi peruntukan syariah dalam Negara , kita akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar di masa depan. Lantaran itu katanya umat Islam harus bersatu menghadapi tantangan kelompok ini terutama dari kalangan pengamal undang-undang yang sekular di Negara ini.

Ekoran dari itu saya melihat beliau belum cukup dimanfaat oleh gerakan Islam untuk menghadapi cabaran golongan sekular yang memusuhi syariat Islam. Lantaran itu saya mengambil keputusan untuk mengusahakan penubuhan sebuah NGO bergelar Institusi Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia (ISRA’) pada 2006 yang saya pohon di ketuai oleh beliau. Dengan penuh rasa bertanggungjawab beliau menerimanya dengan persepakatan dengan saya bahawa pandangan beliau akan saya ketengahkan setiap kali merespon kepada sebarang cabaran yang ditimbulkan oleh golongan sekular mengenai isu syariah di Negara ini. Kecuali melalui beberapa pertemuan dan satu seminar , malangnya ISRA’ belum dapat dijadikan sebuah NGO yang menonjol kerana kesihatannya sering terganggu.

Saya tidak dapat mengungkapkan semua saat-saat manis saya bersama beliau. Namun yang dapat saya rumuskan bahawa umat Islam kehilangan seorang tokoh gerakan Islam yang sangat kontemporer dan sukar dicari ganti. Beliau telah menjadi orang tua kami dalam jamaah gerakan Islam tanah air. Dan lebih-lebih lagi beliau adalah sahabat tua saya yang sangat saya sayangi dan hormati. Perginya beliau akan menjadi kerja saya lebih berat lagi kerana kata-kata harapan beliau untuk saya bergerak melaksanakan agenda perjuangan ini akan terus berada diingatan saya . Hanya kali ini saya kehilangan seorang guru yang menjadi sandaran saya untuk menumpang ilmu dan nasihat ketika mengharungi onak dan duri sebuah perjuangan Nubuwwah yang sangat berat ini.

Moga-moga roh beliau diangkat bersama para solehin dan mujahidin . Saya mengharapkan agar pemergian beliau akan menjadikan kami semakin tersuntik dengan momentum perjuangan yang lebih cerdas kerana inilah peninggalan beliau yang ingin kami warisi dan inilah jua yang kami pasti dihasratkan oleh beliau kepada semua anak didiknya

Mohd Azmi Abdul Hamid

23 Safar 1429 H / 1 Hb Mac 2008

12.17 tgh Merbok , Kedah

Perihal

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan agenda melayu

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 317,654 hits
Kalendar
Mac 2008
M T W T F S S
« Feb   Apr »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  
%d bloggers like this: