PEMERKASAAN ISLAM DALAM MASYARAKAT MELAYU MELALUI TEORI PENGISLAMAN MENGIKUT PEMIKIRAN HAMKA

Pengenalan

Alam Melayu pernah melahirkan ramai ulama yang disegani, sasterawan yang prolifik, penulis yang kreatif dan aktivis masyarakat yang dihormati. Namun begitu, tidak ramai tokoh-tokoh yang dilahirkan memenuhi kesemua ciri-ciri istimewa ini untuk dicatatkan dalam sejarah sebagai tokoh yang sumbangannya dimanfaatkan sepanjang zaman. Dalam konteks inilah terletaknya keistimewaan HAMKA kerana sepanjang hayatnya beliau telah memberikan sumbangan dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Kebolehan HAMKA sebagai seorang penulis yang menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan membolehkan idea dan perjuangannya terus dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat hingga ke hari ini.

Kewujudan manusia HAMKA juga amat penting sebagai penyambung kepada hubungan sesama umat di Alam Melayu. Melalui perantaraan Bahasa Melayu HAMKA akan terus dikenang sebagai seorang yang berjuang dengan menjadi bahasa, budaya dan agama Islam sebagai unsur penyatuan bagi bangsa serumpun. Walaupun sudah lebih dua dekad meninggal dunia, namun khazanah pemikiran HAMKA masih boleh dibaca dan difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat yang dipisahkan oleh batas geografi. Khazanah ini akan terus menjadi sumbangan berguna pada masa-masa akan datang bagi generasi yang ingin menelusuri pemikiran lampau bagi membuat perancangan pada masa akan datang.

Sejarah Hidup HAMKA

HAMKA atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah dilahirkan pada 17 Februari 1908 bersamaan 14 Muharram 1326 Hijrah di Sungai Batang, di pinggir Tasik Maninjau, Sumatra Barat, Indonesia. Ayahnya Haji Rasul amat dikenali sebagai seorang pemimpin Kaum Muda di tanah Minangkabau. Pada tahun 1918 ketika berusia sepuluh tahun ayahnya telah mendirikan sebuah pesantren di Padang Panjang yang diberi nama Sumatera Thawalib. Ketika berusia 21 tahun setelah kembali dari Makkah, HAMKA telah berkahwin dengan Siti Raham binti Endah Sutan dan dikurniakan dengan sepuluh orang anak.[1]

HAMKA mendapat pendidikan awal daripada ayahnya. Walaupun mendapat pendidikan yang agak asas, namun beliau berjaya menguasai bahasa Melayu dan bahasa Arab dengan baik. Sepanjang hayatnya pembelajaran yang diterima oleh HAMKA lebih merupakan tidak formal, termasuklah melalui pengalamannya melawat seluruh dunia. Dalam dunia pembelajarannya, HAMKA juga banyak menimba ilmu daripada abang iparnya, iaitu A.R Sutan Mansur, dan ketika berada selama Makkkah selama enam bulan pada tahun 1927.

Sebagai seorang pemikir dan penulis yang prolifik, sepanjang hayatnya HAMKA telah menulis sebanyak 118 buah buku. Ini tidak termasuk tulisan-tulisannya yang diterbitkan di dalam akhbar dan majalah seperti majalah Panji Masyarakat yang dipimpinnya sehingga ke akhir hayatnya.[2] Karya terbesar yang dihasilkan oleh HAMKA ialah tafsir al-Quran yang diberi nama Tafsir Azhar. Selain tafsir ini, HAMKA juga telah menghasilkan karya dalam pelbagai disiplin, merangkumi tulisannya yang berkaitan dengan persoalan agama, tafsir, falsafah, novel, biografi dan sejarah. Sumbangan HAMKA dalam bidang ilmu pengetahuan telah diberikan pengiktirafan apabila dianugerahkan dengan Doktor Honororis Causa oleh Universiti al-Azhar Mesir pada 10 Mac 1958 dan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 8 Jun 1974.[3]

HAMKA juga merupakan seorang aktivis masyarakat yang tidak pernah mengenal penat lelah dalam usahanya membangunkan masyarakat. HAMKA sudah terlibat dengan perjuangan menentang Belanda sejak berusia 16 tahun apabila pidatonya yang berkobar-kobar sering mengisi pentas gerakan anti penjajah di daerah kelahirannya. HAMKA juga merupakan seorang aktivis gerakan Islam dengan terlibat dalam gerakan Muhammadiyah sejak tahun 1930. HAMKA merupakan antara penggerak utama gerakan tersebut di Sumatera Barat dan Sumatera Tengah.[4]

Berikutan meletusnya revolusi menentang penjajah Belanda, HAMKA telah melibatkan diri sebagai pemimpin Front Pertahanan Nasional di Minangkabau. Pada tahun 1955 HAMKA telah dipilih menjadi anggota Konstituante mewakili Parti Masyumi. Pada 27 Februari 1964 HAMKA telah ditahan oleh rejim Sukarno kerana dituduh bersekongkol dengan agen kerajaan Melaysia bagi mengguling pemerintahan Republik Indonesia. Berikutan kegagalan Gerakan 30 September 1965 yang didalangi oleh Partai Komunis Indonesia (PKI) dan perletakan jawatan Sukarno, HAMKA telah dibebaskan pada 21 Januari 1966[5] Pada tahun 1975 HAMKA telah dilantik menjadi Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia (MUI), tetapi meletak jawatan pada bulan Mei 1981. HAMKA meninggal dunia pada 24 Julai 1981 ketika berusia 73 tahun. Sehingga ke akhir hayatnya HAMKA memegang jawatan sebagai Penasihat Pimpinan Pusat Muhammadiyah.[6]

Penerokaan Kajian Proses Pengislaman Orang Melayu

Kertas kerja ini akan membincangkan satu daripada aspek sumbangan pemikiran HAMKA dalam satu cabang ilmu, iaitu dalam ilmu sejarah. Seperti juga dengan bidang-bidang keilmuan lain yang pernah diterokainya, HAMKA sebenarnya bukanlah seorang yang dididik sebagai seorang sejarawan dalam ertikata menerima ijazah atau dilatih dalam bidang tersebut. Walaupun demikian, penelitian ke atas tulisan HAMKA dalam bidang ini menunjukkan bahawa beliau mampu menguasai bidang ilmu ini apabila berjaya menepati kehendak disiplin ilmu tersebut. Ini membolehkan karyanya dijadikan rujukan dan menjadikan beliau sebagai seorang yang dihormati oleh para ilmuan sejarah.

Karya sejarah terbesar yang dihasilkan oleh HAMKA ialah Sejarah Umat Islam. Bagi menghasilkan buku ini HAMKA telah mengambil masa selama 22 tahun dari tahun 1939 hingga tahun 1961 untuk membuat kajian dan menulisnya buku ini.[7] Kesulitan dan ketabahan HAMKA menghasilkan buku ini diluahkan oleh HAMKA dalam “Pengantar” bagi jilid I Sejarah Umat Islam, sebagaimana yang diungkapkan:

“Berkali-kali kita telah pindah, sejak dari Medan sampai Padang Panjang, sampai Maninjau dengan isteri dan tujuh anak. Kadang-kadang berciciranlah barang kecil-kecil dan kitab-kitab tetapi naskhah ‘Sejarah Umat Islam’ tetap dipelihara baik dan dijaga rapi, sehingga selamat tidak kurang sehelai jua pun.”[8]

Selain Sejarah Umat Islam, HAMKA juga menghasilkan beberapa buah buku lain yang berkaitan dengan sejarah. Ini termasuklah Sejarah Islam di Sumatera (1950), Dari Perbendaharaan Lama (1963), Ayahku (1967), Tunku Rao. Antara Fakta dan Khayal (1970) dan Sejarah Muhammadiyah di Minangkabau (1967).[9] Selain buku-buku sejarah ini HAMKA juga turut menulis beberapa buah buku tentang pemimpin gerakan pembaharuan. Ini termasuklah buku-bukunya yang berjudul Kjai Ahmad Dahlan,[10] Pengaruh Muhannad Abduh di Indonesia,[11] dan Said Djamaluddin Al-Afghany Pelopor Kebangkitan Muslimin.[12]

Tulisan HAMKA dalam bidang sejarah yang akan dibincangkan dalam kertas kerja ini adalah yang berkaitan dengan sumbangan pemikirannya dalam penulisan sejarah Islam di Alam Melayu. Tulisan HAMKA berkaitan dengan sejarah Islam di Alam Melayu ini merupakan antara tulisan terawal tentang persoalan ini yang ditulis oleh seorang pengkaji Melayu. Sebagai sebuah kajian awal, tidak dapat dinafikan tulisan ini mempunyai beberapa kelemahan, tetapi buah fikiran yang dikemukakan oleh HAMKA dalam tulisannya itu telah memberikan sumbangan yang besar bagi pengkaji terkemudian yang membuat kajian tentang persoalan ini. Walaupun tidak menyebut sumber rujukannya, tetapi tulisan Syed Naguib Al-Attas dalam buku yang diterbitkan pada tahun 1969, iaitu Preliminary Statement, on the General Theory of Islamization of the Malay-Indonesia Archipelago, jelas memperlihatkan terdapat beberapa persamaan dari segi hujah tentang teori pengislaman di Alam Melayu dengan tulisan HAMKA yang ditulis pada tahun 1961.[13]

Dalam bukunya tentang Sejarah Umat Islam yang ditulis dalam empat jilid, HAMKA telah menjadikan jilid keempat secara khusus membincangkan tentang, “Perkembangan Islam Di Nusantara”.[14] Dalam kata pengantarnya tentang jilid keempat ini HAMKA menyatakan bahawa jilid inilah yang paling sukar untuk beliau siapkan kerana terpaksa berhadapan dengan masalah kekangan masa dan masalah mendapatkan sumber rujukan yang diperlukan. Disebabkan masalah yang dihadapi ini HAMKA terpaksa mengambil masa selama lima belas tahun bagi menyiapkan tulisannya yang mengandungi sebanyak 283 muka surat sebelum berjaya diterbitkan pertama kalinnya pada tahun tahun 1961.[15]

Tulisan HAMKA tentang sejarah “Perkembangan Agama Islam di Nusantara” dimulakan dengan menghuraikan tentang asal-usul bangsa, bahasa dan agama orang Melayu sejak zaman purbakala sehinggalah kedatangan agama Hindu dan Buddha. Walaupun HAMKA menyedari tentang pengaruh kedua-dua agama ini dalam masyarakat di Nusantara, namun beliau tidak mengagungkannya sebagai satu tinggalan agama-budaya yang terlalu berpengaruh di dalam masyarakat.[16] Seterusnya HAMKA menghuraikan pula dengan panjang lebar tentang penyebaran agama Islam ke Alam Melayu, termasuklah proses, pembentukan kerajaan Islam di Samudera-Pasai, kerajaan Islam Melaka dan perluasan pengaruh Islam di Pulau Jawa, Aceh, Johor, Maluku serta Banten. Dalam perbincangannya HAMKA turut menghuraikan pengaruh dan kesan mendalam agama Islam ke atas masyarakat Melayu. Bagi melengkapkan huraianya tentang perkembangan Islam di Alam Melayu HAMKA juga menghuraikan pertembungan yang berlaku di antara Islam dengan penjajah Barat di rantau ini pada abad ke-16 dan ke-17.

Kertas kerja ini akan memberikan tumpuan yang khusus kepada proses penyebaran agama Islam ke Alam Melayu dengan merujuk kepada Bahagian Ketujuh Sejarah Umat Islam. Proses ini penting kerana pada hari ini Alam Melayu merupakan rantau yang mempunyai penganut agama Islam yang teramai di dunia. Hakikat ini menyebabkan proses yang merubah sama sekali perjalanan sejarah rantau ini mendapat perhatian para orientalis dan pengkaji Barat. Minat ini ditambah pula dengan kedudukan geografi Alam Melayu yang jauh dari Timur Tengah, iaitu sumber tersebarnya agama Islam. Di samping itu tidak terdapat bukti yang kukuh yang menunjukkan bahawa terdapat sebarang ekspedisi ketenteraan atau misi dakwah yang terancang yang dilakukan oleh pemimpin Islam dari Timur Tengah atau Benua Kecil India yang dihantar bagi menyebarkan Islam ke rantau ini. Disebabkan banyak persoalan sejarah tentang proses ini yang tidak terjawab menyebabkan proses yang membawa kepada pengislaman orang Melayu terus menjadi tumpuan kajian dan sering mencetuskan polemik hingga kini.[17]

Kritikan HAMKA Terhadap Penulis Barat

Dalam tulisannya tentang proses yang membawa kepada tersebarnya Islam ke Alam Melayu HAMKA telah memberikan perspektif yang agak berbeza dengan pandangan yang sering dikemukakan oleh sarjana dan orientalis Barat. HAMKA dengan tegas menjelaskan bahawa penerimaan orang Melayu terhadap agama Islam adalah berkait erat dengan keluhuran agama tersebut. Pandangan beliau ini adalah bagi menyanggah pendapat yang diberikan oleh sarjana dan orientalis Barat sebelum ini yang seolah-olah sudah diterima secara mutlak bahawa penyebaran agama Islam ke rantau ini berlaku secara kebetulan, kerana faktor persaingan pengaruh dan sebagainya.

Disebabkan usaha yang dlakukan oleh HAMKA menulis “Perkembangan Islam di Nusantara” merupakan satu usaha penerokaan, beliau terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mencabar, terutamanya bagi mendapatkan bahan-bahan rujukan yang diperlukan bagi menghasilkan tulisan yang meyakinkan. Ketika HAMKA menerokai bidang ini sebahagian besar tulisan tentang penyebaran Islam ke Alam Melayu dilakukan oleh penulis Barat. Lantaran itu, dalam tulisannya HAMKA mengakui bahawa beliau tidak dapat lari daripada merujuk bahan-bahan yang diperoleh dari sumber penulis Barat ini. Namun begitu, HAMKA amat berhati-hati dalam menerima pandangan yang dikemukakan oleh penulis-penulis ini kerana tulisan mereka ini sering tidak dapat lari daripada motif ‘tersembunyi’ iaitu untuk memenuhi kepentingan kolonial dan usaha menyebarkan agama Kristian.[18]

Bagi mengimbangi pandangan yang diberikan oleh penulis Barat dan bagi membolehkan tulisannya memberi perspektif baru tentang penyebaran Islam ke Alam Melayu, dalam tulisannya HAMKA banyak menjadikan sumber-sumber tradisional Melayu sebagai sumber rujukan yang penting. Walaupun begitu, penggunaan sumber-sumber tempatan ini tidak menjadikan HAMKA tidak rasional dalam tulisannya kerana sumber-sumber tempatan ini juga dianalisis dengan kritikal kerana HAMKA sendiri turut meragui kebenaran sebahagian sumber-sumber tersebut kerana sering bercampur aduk antara fakta dan mitos.[19]

Tulisannya yang menggabungkan sumber barat, tempatan dan juga Arab menjadikan karya HAMKA ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana berjaya memberikan perspektif yang seimbang dalam huraiannya tentang proses tersebarnya Islam ke Alam Melayu. Sebelumnya isu ini secara eksklusif diterokai dan diwarnai oleh para sarjana dan orientalis barat yang menulis berdasarkan persepsi dan interpretasi mereka sendiri yang kadang-kadang bercanggah dengan perspektif tempatan. Walaupun begitu, HAMKA tidak menolak bulat-bulat tulisan yang dilakukan oleh sarjana Barat kerana terdapat di kalangan mereka bersungguh-sungguh membuat kajian tentang penyebaran Islam di rantau ini dan menerbitkanya untuk tatapan umum.[20]

Walaupun tulisan HAMKA cuba memberikan perspektif baru tentang proses penyebaran Islam ke Alam Melayu, namun tulisan beliau masih mempunyai ruang untuk pengkaji yang terkemudian membuat penelitian lanjut dan memberikan perspektif baru yang lebih komprehensif bagi isu yang akan secara berterusan dipolemikkan ini. Dengan penemuan pelbagai maklumat baru seperti wang syiling, batu nesan dan lain-lain sumber sejarah dan akeologi membolehkan pandangan yang pernah dikemukakan oleh HAMKA diperkukuhkan. Penerokaan tulisan yang dibuat oleh HAMKA membolehkan penulisan tentang proses yang membawa kepada pengislaman orang Melayu berada di landasan yang betul dan mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan yang bertujuan merendah-rendah proses yang telah merubah arah tuju perjalanan sejarah rantau ini dan dunia umumnya.

Teori HAMKA Tentang Pengislaman Orang Melayu

Dalam tulisanya HAMKA merujuk rantau ini sebagai “Nusantara” iaitu satu istilah Jawa kuno yang kemudiannya dipopularkan oleh Vlekke untuk rantau yang identiti politiknya yang terbesar kini dikenali sebagai Indonesia dan Malaysia.[21] Sebenarnya penggunaan ungkapan “Nusantara” dalam konteks pengkajian tentang penyebaran Islam ke rantau ini bukan sahaja tidak tepat dan malahan boleh menimbulkan kekeliruan. Lantaran itu bagi mengelakkan daripada timbulnya kekeliruan ini, dalam tulisannya tentang pengislaman orang Melayu Syed Muhammad Naguib al-Attas lebih cenderung menggunakan nama rantau ini sebagai Kepulauan Melayu-Indonesia.[22] Kini istilah yang semakin popular digunakan bagi merujuk rantau yang didiami oleh orang Melayu yang beragama Islam ini ialah Alam Melayu atau Dunia Melayu.

Walaupun HAMKA menggunakan istilah Nusantara, namun ini tidaklah sampai mencacatkan tulisannya tentang penyebaran agama Islam ke Alam Melayu. Dalam tulisannya HAMKA telah mengetengahkan pandangan yang kemudiannya turut dipegang oleh sarjana-sarjana tempatan yang lain, seperti S.Q. Fatimi dan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Ini khususnya yang berkaitan dengan perspektif murni yang diberikan yang membawa kepada tersebarnya Islam di kalangan orang Melayu. Dalam konteks ini perbincangan yang dibuat HAMKA telah mengemukakan hujah bagi menyokong bahawa proses pengislaman orang Melayu berlaku melalui peranan penting unsur yang datang langsung dari sumbernya yang asal, iaitu dari Timur Tengah. Dengan mengetengahkan pendapat ini HAMKA telah memasukkan unsur-unsur kerohaniannya yang melambangkan kesucian dan keaslian Islam yang disebarkan ke Alam Melayu.

Perbincangan tentang proses yang membawa kepada penyebaran Islam ke Alam Melayu akan melibatkan perbincangan yang membabitkan tiga isu. Isu-isu tersebut ialah bila tarikh sebenar Islam diperkenalkan kepada orang Melayu, dari manakah asal-usul pendakwah yang menyebarkan agama tersebut dan bagaimanakah proses ini boleh berlaku dengan begitu berkesan sekali. Dalam menghuraikan ketiga-tiga isu ini kelebihan yang terdapat dalam hujah yang diberikan oleh HAMKA ialah beliau telah mempelopori pendekatan yang memberikan perspektif tempatan tentang proses yang membawa kepada penyebaran Islam ke Alam Melayu.

Isu pertama yang menimbulkan perbincangan tentang penyebaran Islam di Alam Melayu adalah berkaitan dengan bilakah tarikh tepat agama Islam mula disebarkan di rantau ini. Dalam tulisannya HAMKA cenderung berpendapat bahawa agama Islam telah diperkenalkan di rantau ini pada awal abad Hijrah (abad ketujuh Masihi). Pendapat yang beliau kemukakan ini adalah berdasarkan kajian yang lakukan dengan merujuk sumber Cina.[23] Pendapat yang dikemukakan juga adalah dengan bersandar kepada tulisan oleh seorang sarjana Barat, iaitu T.W. Arnold yang mengaitkan penyebaran agama Islam dengan peranan yang dimainkan oleh pedagang-pedagang Arab. Dalam kajiannya T.W. Arnold mendapati bahawa pedagang-pedagang Arab telahpun menjalin hubungan perdagangan dengan rantau sebelah timur sejak sebelum abad Masihi lagi. Pada abad kedua Sebelum Masihi hampir keseluruhannya perdagangan di Ceylon berada di tangan orang Arab. Menjelang abad kesembilan Masihi kegiatan perdagangan orang Arab dengan Ceylon semakin meningkat apabila meningkatnya hubungan perdagangan antara orang Arab dengan China. Menurut rekod sejarah, menjelang pertengahan abad kelapan Masihi pedagang-pedagang Arab dapat ditemui dengan ramainya di Canton. Dari abad ke-10 hingga abad ke-15, sebelum kedatangan Portugis, orang Arab merupakan pedagang yang unggul dan hampir tidak tercabar dalam menjalankan kegiatan perdagangan dengan timur,[24]

Berdasarkan pandangan yang diberikan oleh T.W Arnold ini HAMKA berpendapat bahawa sudah semestinya apabila orang Arab memeluk agama Islam mereka akan berusaha mernyebarkan agama tersebut di kawasan-kawasan di mana mereka menjalankan kegiatan perdagangan. Namun begitu, hujah yang dikemukan ini sukar untuk dibuktikan kerana ketiadaan maklumat bertulis yang konklusif bagi menyokong pendapat yang diberikan. Lantaran itu, dari segi rekod HAMKA bersetuju dengan pandangan yang umumnya disepakati, termasuklah oleh sarjana Barat bahawa Samudera-Pasai (abad ke-13-14) adalah merupakan kerajaan Melayu-Islam yang pertama yang diwujudkan di rantau ini.[25]

Sama seperti pengkaji-pengkaji yang lain HAMKA hujah yang beliau berikan ini adalah dengan merujuk kepada maklumat yang ditulis oleh pengembara Venice, iaitu Marco Polo. Dalam perjalanannya pulang dari lawatan ke China, Marco Polo telah melawat Perlak pada tahun 1292 Masihi. Dalam tulisannya Marco Polo melaporkan bahawa pada waktu itu Perlak diperintah oleh seorang pemimpin yang dikenali sebagai Al-Malikus Saleh. Dalam catatan perjalanannya ketika singgah di kerajaan Islam di Sumatera Utara ini Marco Polo melaporkan bahawa beliau tidak melihat orang Islam di kawasan lain, kecuali di Perlak. Dalam tulisannya juga Marco Polo turut membandingkan keadaan hidup penduduk yang telah memeluk Islam dengan mereka yang masih mengekalkan cara hidup tradisi. Penduduk yang telah memeluk agama Islam digambarkan hidup sebagai manusia bertamadun dan hidup dalam keadaan teratur sedangkan penduduk yang tinggal di kawasan pergunungan disifatkan sebagai masih hidup dalam keadaan liar, dan malahan masih terdapat di kalangan mereka yang memakan daging manusia.[26]

Setelah beberapa dekad pengkajian tentang kedatangan agama Islam ke Alam Melayu dilakukan, penemuan-penemuan baru ternyata membuktikan bahawa pendapat yang diberikan oleh HAMKA tentang Islam disebarkan ke rantau ini beberapa dekad sebelum pembentukan kerajaan Samudera Pasai mempunyai asas yang kukuh. Ini termasuklah kajian yang dibuat ke atas batu nesan dengan tulisan Arab bertarikh 419H/1028M yang ditemui di Teluk Cik Munah, Pekan, Pahang.[27] Berdasarkan kepada tahun yang dicatatkan pada batu nesan tersebut menunjukkan bahawa Islam telah disebarkan di situ selewat-lewatnya pada abad ke-11. Penemuan batu nesan Shaykh Abdul Kadir Ibn Husayn Shah Alirah bertarikh 290H/902M di Tanjung Aris (Inggeris), Alor Setar pula menunjukkan bahawa Islam telah tersebar lebih awal dfi rantau ini. Berdasarkan tahun yang dicatatkan, Islam berkemungkinan telah diperkenalkan di kawasan tersebut sewal-awalnya pada abad ke-10.[28]

Selain penemuan-penemuan ini terdapat juga penemuan lain yang menunjukkan bahawa Islam telah diperkenalkan di rantau ini jauh lebih awal daripada pembentukan kerajaan Perlak. Penemuan dinar Kelantan yang bertarikh 577H/1181M menunjukkan bahawa Islam telah diamalkan dan berpengaruh di negeri tersebut menjelang abad ke-12.[29] Kesemua penemuan ini menunjukkan bahawa Islam telah diperkenalkan di rantau ini jauh lebih awal daripada kewujudan kerajaan Perlak sebagaimanan yang dilapor oleh Marco Polo. Laporan Marco Polo bolehlah disimpulkan sebagai satu pembuktian bahawa menjelang abad ke-13 Islam telah bertapak kukuh dan berkembang pesat di rantau ini.

Penyebaran agama Islam ke Alam Melayu tidak dapat dipisahkan daripada peranan yang dimainkan olerh bahasa Melayu dan tulisan Arab, Dalam huraiannnya tentang tarikh bila Islam diperkenalkan ke Alam Melayu HAMKA tidak melanjutkan huraiannya yang berkaitan dengan pengenalan huruf-huruf Arab dan hubungannya dengan penyebaran agama Islam, walaupun beliau ada menyebut tentang kepentingan batu bersurat Trengganu.[30] Terdapat kemungkinan ketika HAMKA membuat kajian tentang penyebaran Islam ke Alam Melayu kajian tentang batu bersurat Terengganu ini masih belum dibuat secara terperinci. Walau bagaimanapun, kajian terperinci tentang batu bersurat ini telah dilakukan oleh Syed Muhammad Naguib al-Attas. Hasil penyelidikannya, batu bersurat yang ditemui di Kuala Brang, Trengganu ini adalah bertarikh 1302 Masihi.[31] Penemuan batu bersurat ini amat signifikan dalam kajian sejarah penyebaran Islam ke rantau ini kerana penemuannya melengkapkan maklumat yang diberikan oleh Marco Polo, iaitu terdapatnya penempatan umat Islam yang awal di kawasan tersebut, lebih awal dari tarikh yang tercatat pada batu bersurat tersebut.

Walaupun secara muktamad tarikh sebenar Islam disebarkan ke Alam Melayu sukar ditentukan oleh HAMKA dan para sarjana yang lain, namun dengan wujudnya kerajaan Islam menjelang abad ke-13 membolehkan Islam berkembang dengan pesat ke kawasan-kawasan di sekitarnya pada abad-abad berikutnya.[32] Maklumat ini amat penting bagi menangkis hujah dan putar belit fakta sejarah yang dikemukakan oleh orientalis Barat yang yang cuba menyimpulkan bahawa penerimaan agama Islam oleh orang Melayu adalah fenomena menjelang kedatangan kuasa Barat dan Kristian pada abad ke-16. Ini termasuklah pandangan popular yang dikemukakan oleh seorang sarjana Belanda yang mengkaji tentang penyebaran Islam di Alam Melayu, iaitu, B. Schrieke yang mengatakan bahawa pengislaman yang berlaku di Alam Melayu hanya berkembang pesat menjelang abad ini berikutan berlakunya persaingan antara pedagang Islam dengan orang Portugis yang sampai ke kemuncaknya dengan penaklukan ke atas Melaka pada tahun 1511.[33]

Isu kedua yang mencetuskan polemik tentang penyebaran Islam di Alam Melayu yang dibincangkan dengan ilmiah oleh HAMKA adalah berkaitan dengan asal-usul pendakwah yang menyebarkan ajaran Islam kepada orang Melayu. HAMKA dengan tegas menyanggah pandangan yang dikemukakan oleh para sarjana dan orientalis Barat tentang asal-usul pendakwah ini dengan bersandarkan kepada sumber rujukan bagi kajian penyebaran Islam ke Alam Melayu. Walaupun pelbagai teori tentang asal-usul pendakwah ini telah dikemukakan oleh para sarjana, termasuklah pendakwah yang berasal dari Champa dan China, namun yang paling jelas penumpuan lebih diberikan kepada pendakwah yang berasal dari India dan Semenanjung Tanah Arab. Sebahagian besar para orientalis dan sarjana Barat yang mengkaji tentang penyebaran Islam ke Alam Melayu bersepakat membuat kesimpulan bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini adalah dibawa dari Benua Kecil India bukan dari tempat-tempat lain, termasuklah dari Semenanjung Tanah Arab atau Parsi.[34]

Dalam tulisannya HAMKA menolak sama-sekali pendapat yang dikemukakan oleh para orientalis dan sarjana Barat ini. Beliau berpendapat bahawa pandangan yang dikemukakan oleh mereka ini adalah tidak bersikap jujur dan merupakan pandangan yang mempunyai motifnya yang tersendiri sebagaimana yang diungkapkan:

“…nampaknya adalah sebagai satu percubaan yang amat teratur untuk menghilangkan keyakinan negeri-negeri Melayu tadi tentang hubungan rohani yang mesra antara mereka dengan Tanah Arab sebagai sumber pertama dari Islam”[35]

HAMKA menyanggah pandangan yang diberikan oleh sarjana dan orientalis Barat kerana mereka menolak teori yang mengatakan bahawa Islam yang disebarkan ke Alam Melayu dibawa langsung dari Semenanjung Tanah Arab, Sebaliknya, fakta yang seolah-olah diterima secara mutlak mengatakan bahawa Islam dibawa ke rantau ini adalah dari Benua Kecil India. Sebenarnya teori yang mengatakan bahawa pendakwah yang memainkan peranan mengislamkan orang Melayu berasal dari India pada mulanya telah dikemukakan oleh seorang sarjana Belanda bernama Pijnappel. Beliau adalah seorang profesor Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda yang banyak membuat kajian tentang agama Islam di Alam Melayu. Walaupun dalam kajiannya Pijnappel tidak menolak kemungkinan bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini diperkenalkan oleh orang Arab, namun beliau berpendapat mereka ini tidak datang terus dari Semenanjung Tanah Arab, tetapi sebaliknya datang melalui Gujerat dan Malabar.[36]

Teori tentang Islam yang berasal dari India ini kemudiannya diperkukuhkan lagi oleh kajian pada tahun 1912 yang dibuat oleh seorang lagi sarjana Belanda, iaitu J.P. Moquette. Beliau mengukuhkan hujahnya dengan merujuk kepada gaya batu nesan yang ditemui di Pasai pada tahun 1428 (17 Dhul Hijjah 831H) yang didapati sama seperti gaya batu nesan yang ditemui di makam Maulana Malik Ibrahim (m. 1419) di Grisik. Berdasarkan penemuan ini Moquette membuat kesimpulan bahawa batu nesan yang ditemui di kedua-dua tempat ini, iaitu di Pasai dan di Grisik adalah sama dengan batu nesan yang ditemui di Cambay dan di Gujerat.[37]

Dengan menjadikan penemuan ini sebagai bukti, beberapa orang sarjana yang terkemudian yang mengkaji tentang proses pengislaman orang Melayu seperti R.A. Kern, B. Schrieke, G.H. Bousquet, B.H.M. Vlekke, J. Gonda, T.W. Arnold, R.O Winstedt, Brian Harrison dan lain-lain juga membuat kesimpulan bahawa Islam diperkenalkan ke Alam Melayu adalah berasal dari Benua Kecil India. Penekanan yang mereka berikan kepada teori ini juga disokong oleh hakikat bahawa pelabuhan-pelabuhan di Gujerat merupakan bandar pelabuhan yang menjadi pusat kepada pembuatan kapal. Menjelang abad ke-15 pedagang-pedagang di sini yang ramai terdiri daripada mereka yang beragama Islam sudah agak biasa dengan orang Melayu melalui hubungan dagangan dengan pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu.[38]

Teori yang dikemukakan yang mengatakan bahawa Islam yang disebarkan ke Alam Melayu berasal dari India mendorong orientalis yang lain untuk menerima teori yang sama, dan malahan menambah dengan hujah-hujah-hujah lain. Antara orientalis penting yang berpegang kepada teori ini termasuklah seorang sarjana Belanda yang boleh berbahasa Arab dan mengkaji tentang Islam di Indonesia, iaitu Snouck Hurgronje.[39] Sebagai hujah lanjut Hurgronje bukan setakat menerima pendapat bahawa Islam yang diperkenalkan ke Alam Melayu dibawa dari benua kecil India, dan malahan menambah dengan berpendapat bahawa Islam yang dibawa itu secara khusus datangnya dari India Selatan.[40]

Seorang lagi sarjana Belanda iaitu G.E. Marrison yang mengkaji tentang pengenalan Islam ke Samudera-Pasai, juga menyimpulkan bahawa Islam yang diperkenalkan di Alam Melayu adalah berasal dari India. Pandangan yang beliau berikan ini bersandarkan kepada hakikat wujudnya hubungan yang erat antara rantau ini dengan India sejak zaman pra Islam lagi. Kajiannya tentang Hikayat Raja-Raja Pasai meyakinkan Marrison bahawa Islam di rantau ini dibawa dari India berdasarkan pewarnaan latar belakang India Selatan yang kuat di Pasai, sebagaimana yang diceritakan oleh hikayat tersebut.[41]

Seorang sejarawan Barat, iaitu Kenneth Hall, yang membuat “penilaian kembali” tentang kajian pengenalan Islam ke Alam Melayu juga membuat kesimpulan yang sama, iaitu agama Islam yang diperkenalkan di rantau ini adalah di bawa dari India Selatan.[42] Seorang lagi sejarawan Barat, iaitu A.H. Hill juga menerima teori bahawa Islam yang dibawa ke Alam Melayu ini berasal dari India, bukan dibawa secara langsung dari Semenanjung Tanah Arab. Beliau malahan turut mempercayai bahawa kedua-dua bahagian India, iaitu India Utara dan India Selatan telah memainkan peranan penting dalam proses pengislaman orang Melayu.[43] Begitu juga dengan T.W. Arnold yang mengkaji tentang penyebaran ajaran Islam, termasuklah ke Alam Melayu turut berpendapat bahawa agama Islam yang diperkenalkan di rantau ini dibawa dari India Selatan, walaupun beliau tidak menolak sama sekali pendapat yang mengaitkan peranan dakwah yang dimainkan oleh orang Arab.[44]

R.O Winstedt pula yang banyak mengkaji tentang sejarah dan kebudayaan Melayu juga cenderung menerima teori peranan pendakwah yang berasal dari Benua Kecil India dalam proses pengislaman orang Melayu. Walaupun dalam tulisannya Winstedt tidak menolak peranan penting yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses pengislaman orang Melayu yang sebahagiannya disumbangkan melalui proses perkahwinan dengan wanita tempatan, namun beliau tidak yakin bahawa orang Arab mempunyai pengaruh yang besar dalam proses tersebut.[45] Pada pendapat beliau peranan penting yang dimainkan oleh orang Arab hanyalah dalam mempercepatkan proses ini dan hanya berlaku selepas penggunaan kapal asap. Orang Arab yang memainkan peranan ini pula datangnya dari Hadhramaut.[46]

Dalam beberapa tulisannya juga Winstedt juga mengemukakan pandangan bahawa orang Melayu tidak begitu terbuka menerima agama Islam yang dibawa oleh orang Arab sebagai kepercayaan mereka. Bagi menyokong pandangannya, Winstedt telah memberikan beberapa contoh yang agak melucukan tentang perkara tersebut. Ini termasuklah dengan merujuk kepada buku Sejarah Melayu tentang kesulitan yang dialami oleh pendakwah Arab apabila mengajar agama tersebut kepada orang Melayu.[47] Sebagai contoh, Winstedt telah menjadikan peristiwa Makdum Sadar Jahan mengajar Tun Mai Ulat Bulu atau nama asalnya Tun Muyiddin anak kepada Tun Zanul Abidin sebagai contoh. Dalam peristiwa tersebut Tun Mai Ulat Bulu dikatakan menghadapi kesulitan membunyikan perkataan-perkataan Arab yang diajar oleh Makdum Sadar Jahan. Apabila ditegur kelemahannya itu Tun Mai Ulat Bulu menjawab dengan mengatakan bahawa bahasa Arab bukan bahasa pertuturannya dan Makdum juga berhadapan masalah yang sama apabila menyebut perkataan dalam bahasa Melayu. Hujah Tun Mai Ulat Bulu ini menimbulkan kemarahan Makdum Sadar Jahan sehingga menyebabkan beliau enggan mengajar beliau lagi.[48]

Walaupun dengan pelbagai teori yang dikemukakan oleh para orientalis, namun terdapat juga beberapa orang sarjana yang secara jujur menyedari bahawa terdapatnya “faktor Arab” dalam proses penyebaran Islam ke Alam Melayu. Salah seorang sarjana yang mula-mula mencetuskan teori ini ialah Professor Keyzer dari Delft Academy, Belanda. Beliau merupakan salah seorang sarjana Belanda yang awal yang mendalami ilmu tentang Perundangan Islam. Pada pandangan beliau Islam yang disebarkan ke Alam Melayu ini dibawa dari Mesir dan pandangannya itu dikukuhkan dengan Mazhab Syafii yang disebarkan dirantau ini.[49] Sarjana Belanda yang lain seperti Niemann dan De Hollander, yang juga mengkaji tentang pengislaman orang Melayu juga turut memperkatakan tentang peranan yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses ini. Pendapat ini juga turut dikemukakan oleh beberapa orang sarjana yang lain. termasuklah John Crawfurd, William Marsden dan sejarawan Portugis iaitu Diego de Couto.[50] Walaupun terdapat pandangan yang dikemukakan yang cuba menonjolkan peranan yang dimainkan oleh orang Arab sebagai faktor penting dalam proses penyebaran Islam ke Alam Melayu, namun pandangan ini seolah-olah tenggelam oleh hujah yang mengatakan bahawa Islam yang tersebar ke Alam Melayu yang bersumber dari India.

Walaupun dengan pandangan yang diberikan oleh sarjana dan orientalis Barat ini, namun HAMKA berpendapat bahawa terdapat bukti yang kukuh bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini datang terus dari Semenanjung Tanah Arab. Peranan menyebarkan Islam ini dimainkan oleh orang Arab yang bergelar Shaykh, Sayyid atau Waliullah.[51] Dengan merujuk kepada karya sastera Melayu tradisional seperti Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu, HAMKA dengan jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses pengislaman orang Melayu. Dengan merujuk kepada Hikayat Raja-Raja Pasai HAMKA menulis tentang kisah bagaimana pengasas kerajaan Pasai, iaitu Merah Silu bermimpi bertemu dengan Rasulullah dan ketibaan Shaykh Ismail di pelabuhan yang dihantar oleh pemerintah Makkah bagi menyebarkan agama Islam kepada penduduknya. Turut dinyatakan bahawa dalam perjalanannya ke Samudera-Pasai Shaykh Ismail telah singgah di Mu’tabar (Malabar) dan bertemu dengan Sultan Muhammad yang berketurunan Sayidina Abu Bakar.[52]

Peranan orang Arab yang memainkan peranan dalam pengislaman Sultan Melaka juga dirujuk oleh HAMKA dalam peristiwa kedatangan Sayyid Abdul Aziz ke pelabuhan Melaka.[53] Walaupun HAMKA tidak menyebut sumber tentang peristiwa tersebut, sebenarnya beliau merujuk kepada satu peristiwa dalam Sejarah Melayu. Dalam peristiwa ini sultan Melaka, iaitu Sultan Muhammad Shah, dikatakan bermimpi bertemu dengan Rasulullah, mengajarnya syahadah dan memintanya menjemput pada keesokan harinya di pelabuhan Sayyid Abdul Aziz, iaitu seorang pendakwah Arab yang datang dari Jeddah.[54]

Dalam peristiwa pengislaman sultan Kedah pula, HAMKA merujuk Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan tentang seorang pendakwah Arab bernama Shaykh Abdullah al-Yamani yang dikatakan datang langsung dari Semenanjung Tanah Arab. Beliau telah menukarkan agama sultan Kedah kepada Islam dan seterusnya dikenali sebagai Sultan Muzaffar Shah.[55] Kisah-kisah lain yang dipaparkan oleh HAMKA dengan merujuk kepada karya Melayu tradisonal, termasuklah peristiwa pengislaman yang berlaku di Aceh. Menurut sumber ini Islam telah diperkenalkan di kawasan tersebut pada sekitar tahun 1112M oleh seorang pendakwah Arab bernama Shaykh Abdullah Arif. Salah seorang daripada pengikutnya iaitu Shaykh Burhanuddin, kemudiannya meneruskan misi dakwah Shaykh Arif jauh sehingga ke Priaman di pantai Sumatera barat.[56]

Sebenarnya masalah yang timbul dari segi interpretasi proses yang membawa kapada pengislaman orang Melayu berkait erat dengan penggunaan sumber. Pengkajian tentang proses pengislaman orang Melayu tidak lengkap jika sumber-sumber sejarah tempatan tidak dianggap penting sebagaimana juga pentingnya sumber-sumber lain. Kegagalan merujuk dan mengiktiraf sumber-sumber tempatan sebagai bahan rujukan yang penting dalam mengkaji sejarah penyebaran Islam ke Alam Melayu merupakan kelemahan utama yang terdapat dalam tulisan yang dibuat oleh penulis-penulis dan sarjana Barat. Ini menyebabkan tulisan mereka menyimpang jauh daripada realiti sebenar menurut perspektif tempatan. Dalam konteks inilah kajian yang dibuat oleh HAMKA dianggap jauh ke hadapan dan lebih lengkap kerana menepati disiplin ilmu Sejarah apabila semua sumber diambil perhatian dan dianalisis secara kritikal.

Hakikat sebenar menunjukkan bahawa pelbagai maklumat sejarah tempatan baik yang berupa rekod-rekod bertulis mahupun tradisi lisan mempunyai signifikannya sebagai sumber rujukan kerana memaparkan peninggalan sejarah silam. Walaupun kadang-kadang sumber ini mengandungi unsur-unsur yang tidak masuk akal, tetapi sebenarnya di sebalik unsur-unsur tersebut terkandung rekod lampau dan sejarah sosio-masyarakat rantau ini.[57] Walau bagaimanapun, penggunaan sumber-sumber tempatan ini dalam pengkajian pengenalan Islam ke Alam Melayu ditolak oleh sebahagian besar para orientalis dan sarjana Barat. Salah seorang daripada mereka ini ialah J.C Bottom yang meremehkan sejarah yang bersumberkan daripada orang Melayu. Beliau pernah menyatakan bahawa, “Sehinggalah akhir-akhir ini sejarah bagi orang Melayu bukanlah merupakan satu sains atau seni. tetapi lebih merupakan satu hiburan. Ketepatan, kelengkapan dan penyampaian yang tersusun tidak dijadikan prinsip penting; apa yang ditekankan ialah lagenda, fantasi dan umpatan di istana serta pelabuhan”.[58]

Disebab para sarjana dan orientalis Barat menolak penggunaan maklumat yang diberikan oleh sumber-sumber sejarah tempatan mereka menolak sama sekali hujah yang mengatakan bahawa Islam diperkenalkan ke rantau ini dari Semenanjung Tanah Arab. Sebaliknya, mereka secara tegasnya percaya bahawa semua bukti yang ada menunjukkan ke arah India sebagai sumber di mana orang Melayu menerima kepercayaan agama mereka.[59]

Isu ketiga yang mendominasikan perbincangan tentang pengislaman orang Melayu ialah bagaimana proses ini berlaku dan apakah faktor yang menyebabkan proses ini berlaku dengan begitu berkesan sekali. Para sarjana sepakat berpendapat bahawa perdagangan merupakan faktor terpenting yang membawa kepada berlakunya proses ini. Teori tentang faktor perdagangan yang membawa kepada tersebarnya Islam ke Alam Melayu ini pada mulanya dikemukakan oleh seorang sejarawan Portugis, iaitu Tome Pires yang menulis pada sekitar tahun 1515 Masihi.[60] Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa melalui perdagangan Islam telah diperkenalkan ke Alam Melayu, namun satu persoalan timbul adakah pemelukan agama Islam secara besar-besaran oleh umat Melayu pada abad ke-13 dan abad ke-14 boleh dijelaskan dengan meyakinkan sekadar melalui kegiatan perdagangan semata-mata.[61] Dalam konteks inilah HAMKA berpendapat bahawa perdagangan dengan semangat “laba-rugi” tidak mungkin menjadi satu-satunya penyumbang utama kepada penyebaran pesat agama Islam di Alam Melayu.[62]

Dalam membincangkan isu ini sekali lagi perspektif tempatan perlu diberikan perhatian dengan tidak menafikan teori yang yang menyatakan tentang peranan yang dimainkan oleh para pedagang dalam membawa kepada berlakunya proses tersebut. Dengan merujuk kepada sumber-sumber tempatan jelas menunjukkan bahawa proses yang membawa kepada penyebaran Islam ke Alam Melayu berlaku dari atas ke bawah. Proses ini berlaku apabila pendakwah Arab yang datang langsung dari Semenanjung Tanah Arab telah menukarkan agama pemimpin Melayu tempatan kepada agama Islam. langkah ini kemudiannya dikuti oleh rakyat jelata yang memeluk agama Islam secara besar-besaran. Sumber tempatan yang berupa karya istana jelas menunjukkan bahawa orang Arab yang datang ini bukanlah pedagang, tetapi merupakan pendakwah yang datang secara khusus bagi menyebarkan agama Islam.[63] Dalam huraiannya dengan merujuk kepada sumber-sumber tempatan HAMKA menyenaraikan peranan pendakwah Arab yang mengislamkan raja-raja Melayu di Samudera Pasai, Aceh, Tanah Jawa, Kedah, Maluku, Tidore, Kalimantan, Brunei, Mindanao, Sulu dan Pontianak.[64]

Di samping peranan yang dimainkan oleh pendakwah Arab, faktor-faktor lain turut dikemukakan oleh para pengkaji yang terkemudian bagi melengkapkan teori yang pernah di kemukakan oleh HAMKA. A.H Johns umpamanya, berpendapat bahawa terdapat bukti yang kukuh untuk mengatakan bahawa terdapatnya peranan penting yang dimainkan oleh shaykh-shaykh sufi dari Timur Tengah yang melalui Alam Melayu dalam perjalanan mereka ke Cina dalam menukarkan agama penduduk tempatan secara beramai-ramai kepada agama Islam.[65] Syed Muahmamd Naguib al-Attas pula selain menerima teori ini, menekankan tentang kepentingan metafizik ajaran sufi di mana pemikiran rasional agama dan nilai intelektual yang tinggi diterima secara terbuka oleh orang Melayu. Kepentingan fenomena ini telah mencetuskan rasionalisme dan intelektualisme dalam pemikiran masyarakat Melayu yang tidak pernah wujud pada zaman pra Islam.[66]

S.Q. Fatimi yang menerbitkan bukunya Islam Comes To Malaysia dua tahun selepas HAMKA menerbitkan Sejarah Umat Islam pula memasukkan satu lagi faktor penting mengapa berlakunya proses yang pesat yang membawa kepada pemelukan Islam oleh orang Melayu. S.Q. Fatimi meletakkan kejayaan tersebut kepada peranan yang dimainkan oleh para pendakwah yang pendekatan mereka berjaya meyakinkan orang Melayu untuk menerima agama Islam. Sikap yang mereka tunjukkan sama sekali berbeza dengan sikap yang dipamerkan oleh pengembang agama Kristian yang datang bersama-sama dengan penjajahan sehingga menyebabkan berlakunya penolakan yang agresif oleh orang Melayu terhadap agama tersebut. Dalam usaha menyebarkan agama Islam di kalangan orang Melayu para pendakwah ini bersikap terbuka dalam hubungan mereka dengan penduduk tempatan. Mereka mempelajari bahasa serta budaya Melayu dan berkahwin dengan wanita tempatan serta menjadi sebahagian daripada masyarakat. Melalui proses ini mereka tidak menonjolkan diri sebagai golongan atasan atau pada waktu yang sama merendahkan kedudukan masyarakat tempatan kepada kasta yang lebih rendah.[67]

Satu lagi faktor yang semakin dipopularkan, tetapi masih memerlukan pembuktian yang konkrit, sebab yang membawa kepada berlakunya perkembangan pesat agama Islam di Alam Melayu ialah kejatuhan Baghdad ke tangan penakluk Mongol pada tahun 1258. Orang Arab yang telah mengetahui tentang Alam Melayu dan potensi dakwah yang wujud di rantau tersebut telah mengambil keputusan berhijrah secara beramai-ramai dari bumi yang dijajah bagi mengekalkan akidah mereka. Tindak tanduk penakluk Mongol yang memaksa pemelukan ke atas agama Buddha mendorong penduduk Arab ini meninggalkan negara mereka dan tidak berhasrat untuk pulang ke tanah leluhur mereka. Melalui penghijrahan dan komitmen untuk menyebarkan agama Islam mereka hidup bersama-sama masyarakat Melayu dan ini membolehkan proses penyebaran agama Islam berjalan dengan pesat dan berkesan.

Hakikat yang menunjukkan bahawa majoriti penduduk di Alam Melayu beragama Islam membuktikan bahawa agama tersebut dialu-alukan dan diterima dengan penuh minat oleh orang Melayu, jika dibandingkan dengan bahagian-bahagian lain di Asia Tenggara. Hakikat yang berlaku juga menunjukkan bahawa penyebaran agama Islam ke Alam Melayu berlaku secara sukarela bukan dengan menggunakan paksaan atau ekspedisi ketenteraan yang dihantar ke Asia Tenggara oleh mana-mana pemerintah Islam yang sedang berkuasa, baik di Timur Tengah mahupun di Benua Kecil India.[68] Dalam konteks Alam Melayu jelas sekali menunjukkan bahawa hujah yang sering dijadikan propaganda oleh Barat bahawa Islam disebar melalui “mata pedang” ternyata tidak mempunyai asas sama sekali.

Penutup

Jumlah umat Islam yang ramai dan penerimaan agama tersebut yang dianggap unik, menjadikan pengkajian tentang proses yang membawa kepada pengislaman orang Melayu akan terus dikaji dan dipolemikkan baik oleh pengkaji tempatan mahupun sarjana Barat. HAMKA telah memberikan sumbangan yang besar kepada penulisan sejarah tentang proses ini dengan memberikan perspektif yang betul bagi menghalang penyelewengan sejarah daripada terus berlaku dan merendahkan mertabat umat Islam di Alam Melayu.

Persoalan terpenting yang dikemukakan oleh HAMKA dalam penulisannya tentang proses yang telah merubah sama sekali perwatakan Melayu rantau ini setelah memeluk agama Islam ialah proses tersebut berlaku melalui komitmen yang amat tinggi dan Islam yang disebarkan di Alam Melayu ini adalah Islam yang murni yang datang dari sumbernya yang asal, iaitu Tanah Arab. Tulisan HAMKA tentang pengislaman orang Melayu merupakan tulisan awal terlengkap yang pernah dihasilkan dan mewakili pandangan seorang sarjana tempatan.

Bingkisan kenang-kenangan HAMKA Sejarah Umat Islam merupakan buah tangan berkekalan yang ditinggalkan oleh HAMKA yang memberikan kesan besar kepada pembinaan jatidiri umat Islam di Alam Melayu. Melalui perspektif yang diberikan orang Melayu tidak perlu merasakan diri mereka terpinggir atau rendah diri kerana sebenarnya mereka tergolong kepada peradaban ummah yang lebih besar yang pernah mencatatkan sejarah gemilang. Penggunaan dua unsur terpenting iaitu Bahasa Melayu yang mudah difahami dan unsur Islam yang tebal dalam karya-karyanya membuktikan HAMKA berrcita-cita menjadikan kedua-dua unsur sebagai warisan sejarah gemilang yang menyatukan masyarakat di rantau Alam Melayu.

NOTA HUJUNG


[1] Lihat H. Rusydi HAMKA, “Kenangan Pribadi Tentang Ayahku”, dalam Md. Sidin Ahmad Ishak, Pemikiran dan Perjuangan HAMKA, Bangi: Angkatan Belia Islam Malaysia, 2001, hlm. 1.

[2] Lihat Mestika Zed, “HAMKA dan Studi Sejarah Islam di Indonesia”, Kertaskerja Seminar Serantau Aktualisasi Pemikiran dan Perjuangan HAMKA Dalam Kebangkitan Umat Islam Asia Tenggara, Anjuran Angkatan Belia Islam Malysia (ABIM), Pemuda Kabupaten Agam-Sumbar dan Harian Umum Mimbar Minang, di Mesjid Raya Syeikh Amrullah, Dusun Nagari Sungai Batang, Maninjau, Kabupaten Agam, Sumatera Barat, Indonesia, pada 24 Julai 2000. hlm. 3.

[3] Ahmad Kamil Haji Abdullah dan Muhammad Nazri Ahmad, Mengenal Tokoh Pemikir Islam HAMKA & Sayyid Qutb, Kuala Lumpur: Kor Agama Angkatan Tentera, 2003, hlm. 7.

[4] H. Rusydi Hamka, HAMKA Pujangga Islam Kebangggan Rumpun Melayui, Shah Alam: Pustaka Dini, 2002, hlm. 4.

[5] Lihat M. Yunan Yusuf, Corak Pemikiran Kalam Tafsir al-Azhar, Jakarta: Penerbit Pustaka Panjimas, 1990, hlm. 41-50.

[6] H. Rusydi Hamka, HAMKA Pujangga Islam, hlm. 8.

[7] Lihat “Prakata”, HAMKA, Sejarah Umat Islam, (edisi baru), Singapura: Pustaka Nasional PTE Ltd, 1997.

[8] Ibid., hlm. 1.

[9] Lihat Mestika Zed, “HAMKA dan Studi Sejarah Islam di Indonesia”, hlm. 4

[10] Lihat HAMKA, Kjai Ahmad Dahlan, Djakarta: Sinar Pudjangga, 1952.

[11] Lihat HAMKA, Pengaruh Muhannad Abduh di Indonesia, Djakarta: Tintamas, 1959.

[12] Lihat HAMKA, Said Djamaluddin Al-Afghany. Pelopor Kebangkitan Muslimin, Djakarta:, Penerbit Bulan Bintang, 1970.

[13] Lihat Syed Naguib Al-Attas, Preliminary Statement, on the General Theory of Islamization of the Malay-Indonesia Archipelago, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969.

[14] Untuk tujuan perbincangan dalam kertaskerja ini naskhah yang digunakan ialah HAMKA

Sejarah Umat Islam (edisi baru), Singapura: Pustaka Nasional 1997.

[15] Ibid., hlm. 4.

[16] Lihat Deliar Noer, “Yamin and HAMKA. Two Routes to an Indonesian Identity”, dlm. Anthony Reid and David Marr (eds), Perceptions of the Past in Southeast Asia, Kuala Lumpur: Heinemann Education Books (Asia) Ltd, 1970, hlm. 256.

[17] Untuk perbincangan lanjut tentang kepentingan Islam dalam mencorakkan sejarah orang Melayu dan pandangan orientalis Barat yang menolak kepentingan ini, lihat Syed Hussein Alatas, “Reconstruction of Malaysian History”, Revue du sud-est Asiatique, Vol. III, 1962, hlm. 219-245.

[18] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 5.

[19] Ibid., hlm. 4-5.

[20] Ibid., hlm. 5.

[21] Salah seorang sarjana yang awal yang menggunakan ungkapan “Nusantara “ yang secara longgar merujuk kepada rantau yang didiami oleh orang Melayu, terutamanya pada zaman awal ialah Vlekke, Lihat Bernard H.M. Vlekke, Nusantara. A History of East Indian Archipelago, Massachusetts: Harvard University Press, 1944; Ungkapan yang sama juga turut digunakan oleh beberapa orang sarjana barat dan tempatan dalam tulisan-tulisan mereka berkaitan dengan rantau ini. Mereka ini termasuklah D.G.E. Hall, “On the Study of Southeast Asian History”, Pacific Affairs, Vol. XXXII, No. 3, September 1960, hlm. 273; Slamet Muljana, Runtuhnya Keradjaan Hindu-Djawa dan Timbulnya Negara2 Islam di Nusantara, Djakarta: Penerbit Bhratara, 1968 dan Dahlan Mansoer, Pengantar Sejarah Nusantara Awal, Kuala Lumpur: Deawan Bahasa dan Pustka, 1979.

[22] Syed Muhammad Naguib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: ABIM, 1984, hlm. 12.

[23] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 670.

[24] Lihat T.W. Arnold, The Preaching of Islam, A History of the Propagation of the Muslim Faith, Lahore: Sh. Muhammad Ashraf, 1979, hlm. 367-368.

[25] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 702.

[26] Henry Yule (Trans. and edited with Notes), The Book of Ser Marco Polo the Venetian Concerning the Kingdoms and Marvels of the East, London: John Murray, 1926, hlm. 284. Lihat juga HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 703.

[27] Lihat perbincangan tentang penemuan ini oleh Mohd. Mokhtar bin Shafii, “Batu Nesan Kurun ke-5H/10M Di Pekan Pahang”, dlm. Khoo Kay Kim, et al. Tamadun Islam Di Malaysia, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1980, hlm. 13-28.

[28] Hj. Abdullah Hj. Ishak, “Kedah Dahului Melaka Terima Islam Di Tanah Melayu”, Al-Islam, Jilid 15, No. 10, 1988, hlm. 28-30.

[29] Wan Hussein Azmi, “Islam Di Malaysia: Kedatangan dan Perkembangan (Abad 7-20M)”, dlm. Khoo Kay Kim, et al., Tamadun Islam Di Malaysia: Kuala Lumpur, Persatuan Sejarah Malaysia, 1980, hlm. 135.

[30] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 661.

[31] Syed Naguib Al-Attas, Preliminary Statement, hlm. 12. Lihat juga huraian tentang Batu Bersurat Terenggau ini dalam “The Stone Inscription of Terengganu”, dlm. Alijah Gordon (edited & Annotated), The Propagation of Islam in the Indonesian–Malay Archipelago, Kuala Lumpur: MSRI, 2001, hlm. 35-37.

[32] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 689.

[33] Lihat B. Schrieke, Indonesian Sociological Studies, Part Two, The Hague and Bandung: W. van Hoeve Ltd., 1957, hlm. 231-237.

[34] Ismail Hamid, “A Survey of Theories on the Introduction of Islam in the Malay Archipelago”, Islamic Studies, Vol. XX1, No. 3, 1982, hlm. 89. Teori yang mempercayai bahawa Islam yang disebarkan ke rantau ini datangnya dari Parsi bersandar kepada hujah bahawa terdapat pengaruh kebudayaan Parsi yang mendalam dalam masyarakat Melayu. Antara mereka yang mendukung pandangan ini ialah P.A. Hoesein Djajadinigrat. Pada pandangan beliau terdapat beberapa pengaruh Parsi dalam masyarakat Melayu seperti pengaruh mistik, bahasa dan upacara Syiah yang menunjukkan bahawa orang Parsi pernah memainkan peranan dalam penyebaran Islam di rantau ini. Lihat NorHuda, Islam Nusantara. Sejarah Sosial Intelektual Islam Di Indonesia, Jokjakarta: Ar-Ruzz Media, 2007, hlm. 37-38.

[35] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 675.

[36] G.W.J. Drewes, “New Light on the Coming of Islam to Indonesia?”, Bijdragen Tot de Taal-,Land- en Volkenkunde, Vol. 124, 1968, hlm. 440.

[37] Ibid., hlm. 443-444. Lihat juga S.Q. Fatimi, Islam Comes to Malaysia, Singapore: Malaysian Sociological Research Institute Ltd., 1963, hlm. 5-6.

[38] S. Arasaratnam, Islamic Merchant Communities of the Indian Subcontinent in Southeast Asia, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1989, hlm. 5.

[39] G.W.J. Drewes, “New Light”, hlm. 440-441; C.C. Berg, “The Islamization of Java”, Studia Islamica, Vol. 1V, 1955, hlm. 111.

[40] G.W.J. Drewes, “New Light”, hlm. 440-441.

[41] Lihat G.E. Marrison, “The Coming of Islam to the East Indies”, JMBRAS, Vol. XX1V, 1951, hlm. 28-37.

[42] Kenneth R. Hall, “The Coming of Islam to the Archipelago: A Re-Assessment”, dlm. Karl L. Hutterer (ed), Economic Change and Social Interaction in Southeast Asia: Prehistory, History, and Ethnography, The University of Michigan: Center for South and Southeast Asian Studies, 1977, hlm. 221.

[43] Lihat A.H. Hill, “The Coming of Islam to North Sumatra”, Journal of Southeast Asian History, Vol. 4, No. 1, 1963, hlm. 16-17.

[44] Lihat T.W. Arnold, The Preaching of Islam, hlm. 368-369.

[45] R.O. Winstedt, “The Advent of Muhammadanism in the Malay Peninsula and Archipelago”, JSBRAS, December 1917, hlm. 171.

[46] R.O. Winstedt, “The Early Muhammadan Missionaries”, JSBRAS, March 1920, hlm. 5-6.

[47] Ibid., hlm. 172.

[48] Lihat W.G. Shellabear (cetakan ke-17), Sejarah Melayu, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984, hlm. 186.

[49] Nor Huda, Islam Nusantara, hlm. 37.

[50] Ismail Hamid, “A Survey of Theories”, hlm. 93.

[51] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 675.

[52] Ibid., hlm. 675-676.

[53] Ibid., hlm. 676.

[54] W.G. Shellabear, Sejarah Melayu, hlm. 41-42.

[55] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 677. Lihat juga Ismail Hamid, “A Survey of Theories”, hlm. 95.

[56] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 676. Lihat juga Syed Naguib Al-Attas, Preliminary Statement, hlm. 11.

[57] Ismail Hamid, “A Survey of Theories”, hlm. 94-95.

[58] Lihat J.C. Bottom, “Malay Historical Works”, dlm. K.G. Tregonning (ed), Malaysian Historical Sources, Singapore: Department of History University of Singapore, 1962, hlm. 38.

[59] Lihat T.W Arnold, The Preaching of Islam, hlm. 370.

[60] Ismail Hamid, “A Survey of Theories”, hlm. 97; Lihat juga Raymond Leroy Archer, “Muhammadan Mysticism in Sumatra”, The Moslem World, Vol. XXVIII, No. 3, July 1938, hlm. 231.

[61] Syed Farid Alatas, “Notes on Various Theories Regarding the Islamization of the Malay Archipelago”, The Muslim World, Vol. LXXV, No. 3-4, July-October 1985″, hlm. 165.

[62] HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm. 691.

[63] Walau bagaimanapun, penggunaan hasil karya sastera Melayu lama bagi menyokong hujah bahawa Islam diperkenalkan di rantau ini dari Semenanjung Tanah Arab ditolak oleh antara lain termasuklah T.W. Arnold yang berhujah bahawa tidak ada asas sejarah untuk mempercayainya. Lihat T. W. Arnold, The Preaching of Islam, hlm. 370.

[64] Lihat HAMKA, Sejarah Umat Islam, hlm.675-679.

[65] A.H. Johns, “The Role of Sufism in the Spread of Islam to Malaya and Indonesia”, Pakistan Historical Society Journal, Vol. 9, 1961, hlm. 146. Lihat juga Syed Naguib al-Attas, Some Aspects of Sufism as Understood and Practiced Among the Malays, Singapore: Malaysian Sociological Research Institute Ltd., 1963, hlm. 21; Osman bin Bakar, “Sufism in the Malay-Indonesian World”, dlm. Seyyed Hossein Nasr (ed), Islamic Spirituality. Manifestations, New York: SCM Press Ltd., 1991, hlm. 260-270.

[66] Syed Naguib Al-Attas, Preliminary Statement, hlm. 5.

[67] S.Q. Fatimi, Islam Comes To Malaysia, hlm. 83; Lihat juga S.M. Imamuddin, “Islam in Malaysia. Impact of Bengal, the Deccan, Gujerat dan Persia in the Early Middle Ages”, Journal of Pakistan Historical Society ,Vol. XXIX, Part IV, October 1981,, hlm. 278.

[68] Muhammad Saleem Ahmad, “Islam in Southeast Asia: A Study of the Emergence and Growth in Malaysia and Indonesia”, Islamic Studies, Vol. X1X, No. 2, 1980, hlm. 134-135. Menurut S.Q. Fatimi yang merujuk sumber dari Groeneveldt, menyatakan bahawa sumber China ada menyebut tentang Mucawiyah, iaitu pengasas kepada Dinasti Umayyah dan angkatan laut Islam merancang untuk menakluki kawasan rantau Melayu pada tahun 674. Walau bagaimanapun, rancangan ini dibatalkan apabila beliau mendapat laporan bahawa terdapatnya keamanan, keadilan dan ketenteraman di bawah pemerintahan Pemaisuri Sima yang adil. Lihat S.Q. Fatimi, Islam Comes to Malaysia, hlm. 69.

Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman

Jabatan Sejarah, Universiti Malaya,

Kuala Lumpur.

Emel: redz8182@gmail.com

15 Mei 2007.

Advertisements
Perihal

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan agenda melayu

Dikirim dalam Minda Presiden
2 comments on “PEMERKASAAN ISLAM DALAM MASYARAKAT MELAYU MELALUI TEORI PENGISLAMAN MENGIKUT PEMIKIRAN HAMKA
  1. irusa berkata:

    Good.Very useful

  2. roni berkata:

    We can arrange all tour about HAMKA, if you need, we can help that :
    PT. MUHIBBAH MULIA WISATA Tour & Travel
    Jl. Urip Sumoharjo No.3 Bukittinggi – West Sumatera
    Telp. / Fax. : +62 752 32999
    Mobile : +62 81363408670 ( Roni )
    E mail / YM : muhibbahbkt@yahoo.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 342,507 hits
Kalendar
Mei 2008
I S R K J S A
« Apr   Jun »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  
%d bloggers like this: