Pendirian Terhadap Isu Semasa Dalam Negara

Kenyataan Media

21 Ramdhan 1429H / 21 hb Spetember 2008

PENDIRIAN TERHADAP ISU SEMASA DALAM NEGARA

Kami mengambil perhatian serius terhadap perkembangan politik semasa dalam Negara . Dengan percaturan dan persaingan yang sangat sengit diantara parti politik sekarang  kami sangat prihatin terhadap masa depan dan prospek perubahan yang diinginkan oleh rakyat jelata yang semakin menyerlah.

Kami menginsafi betapa sistem pemerintahan yang sedia berjalan di Negara ini  adalah sistem yang sedemikian lama berlanjutan dari peninggalan penjajah sejak 51 tahun yang lalu.

Sistem pemerintahan ini telah mengekalkan model yang diperkenalkan oleh penjajah. Ia telah meliputi berbagai aspek ketatanegaraan dalam hampir semua bidang kehidupan rakyat : pendidikan , ekonomi , sosial , budaya , politik , undang-undang  dan sistem kehakiman , pentadbiran , teknologi dan pembangunan.

Berasaskan  corak dan jenis pembangunan yang digunapakai di Negara ini termasuk soal penggubalan dasar dan mekanisme perlaksanaan dasar Negara , kami merumuskan sistem pemerintahan sekarang  sejak 51 tahun yang lalu adalah sistem yang maseh menggunakan paradigma yang sama seperti yang diujudkan bermula zaman kolonial lagi.

Menggunakan premis ini  kami meneliti perjalanan pembangunan dan pemerintahan  Negara . Jelas  dalam banyak hal ia telah diwarnai dan dicorakkan oleh sebuah sistem politik berdasarkan kepentingan kaum yang sempit , terpisah dari asas dan nilai kebenaran dan keadilan dalam Islam . Pada realitinya sistem ini hanya menguntungkan segelintir golongan elit berkepentingan dikalangan kaum masing-masing .

Sementara itu sistem pemerintahan yang lebih bersifat sekular iaitu pemisahan antara negara dan syariat Islam menjadi ciri yang dominan dan  dikekalkan sehingga hari ini.

Sejak dari 1957 kewujudan parti politik berdasarkan kaum telah memberi pengaruh kepada corak dan dasar pemerintahan yang diamalkan dalam berbagai aspek pembangunan.

Namun walaupun acuan perpaduan antara kaum cuba dipupuk ,  sikap chauvinis melampau yang sempit dan berakar lama dalam sistem politik yang ada sering mendedahkan negara kepada potensi pertembungan dan konflik  antara ras dan antara agama.

Kami juga meneliti bahawa  berdasarkan perkembangan dan perubahan besar yang telah berlaku pada pilihanraya ke 12 yang lalu , jelas menunjukkan semakin ketara angin perubahan untuk menuntut reformasi sistem politik yang sedia ada di Negara ini.

Dengan kesedaran , bahawa sementara kejayaan yang dicapai dalam Negara berbilang kaum dan agama ini secara relatifnya boleh dibanggakan  , namun berbagai kepincangan yang telah berlaku terlalu lama dalam sistem  pemerintahan yang sedia ada telah menghakiskan keyakinan rakyat. .

Kepincangan itu termasuk soal penyelewengan dalam guna kuasa , monopoli kekayaan , pembangunan yang tidak seimbang , politik sogok dan opportunisme , salahguna sumber dan khazanah Negara , dasar pengswastaan yang mengkayakan kroni dan penggunaan kuasa keselamatan untuk menyekatkan kerasahan rakyat .

Kepincangan tersebut pada hakikatnya adalah berpunca dari amalan  budaya feudal dan patronisme yang dijadi asas pencaturan dikalangan politik elit dalam Negara ini. Lebih parah lagi ia  yang membiakkan amalan rasuah , kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran negara.

Kesan yang parah kini ditambah burukkan lagi dengan terheretnya Negara dalam kancah krisis ekonomi yang menyebabkan rakyat bawahan sedang melalui kehidupan yang perit dan semakin tertekan.. Salah urus dan lemah dalam menggariskan ekonomi  untuk manfaat rakyat terbanyak , telah menghumban Negara kepada kelesuan dan porak-peranda ekonomi

Dipihak yang lain pula polisi yang digubal dan dilaksanakan oleh pemerintah kelihatan terus memburukkan lagi keadaan sehingga implikasi negatif mulai dirasai oleh rakyat .

Dampak sosial akibat kepincangan ini semakin kelihatan dalam bentuk penambahan kadar jenayah yang meningkat terus-menerus dan gejala sosial yang meruncing. Ini  mengakibatkan Negara berhadapan bukan sahaja dengan krisis ekonomi malah krisis juga kepimpinan  yang serius. .

Berlanjutan dari itu , pemerintahan yang ada kini dijangkiti dengan berbagai penyakit ketidaktelusan serta penyalahgunaan kuasa yang melibatkan salahguna wang rakyat , pencerobohan kepada institusi kehakiman  , pengkhianatan kepada budaya dan bahasa bangsa , keruntuhan akhlaq dan terongkainya sosio-budaya umat termasuk semakin terjejasnya penghayatan Islam dan syariah dikalangan masyarakat Muslimin.

Sebagai akibat jangka panjang ,  kedudukan agama dan bangsa kini sering berada dalam keadaan tidak menentu dan terdedah kepada tekanan dan cabaran dari pihak  yang mahu  mengikis dan mempersoalkan  hak dan wibawa umat Islam itu sendiri.

Semua hal ini telah menyebabkan kami merumuskan bahawa sebuah perubahan besar dan holistik perlu dilakukan segera jika rakyat mahu menyelamatkan dan menjadikan Negara ini sebagai Negara  contoh dan disegani.

Kami berpendapat perubahan yang mendesak yang perlu segera dilakukan ialah perubahan dalam sistem pemerintahan. Ini bukan semata-mata  dalam isu peralihan kuasa akan tetapi juga suatu anjakan yang jelas dalam tadbirurus (governance) yang menetapkan pembangunan negara berlandaskan kebenaran dan keadilan mengikut Islam.

Dalam hal ini  kecenderungan pemikiran dan sikap politik rakyat kini jelas menunjukkan kesedian untuk menerima dan menyambut perubahan. Desakan kepada perubahan ini menjadi sangat ketara bila majoriti rakyat mengikut survei sebuah badan kajian bebas , Merdeka Center bersetuju supaya peralihan kuasa dilaksanakan.

Akibat dari kehilangan keyakinan yang semakin menonjol terhadap kepimpinan  maka kami berpendapat demi kepentingan Negara ,  sudah tiba masanya untuk pemerintahan yang sedia ada menghormati kehendak rakyat yang menuntut kepada perubahan yang lebih murni dan tulin.

Kami merumuskan bahawa sebarang peralihan kuasa yang mungkin dan bakal berlaku tidak boleh dilihat sebagai suatu petaka dan gugatan kepada keamanan dan keselamatan Negara. Asalkan perubahan itu dapat menjaminkan segala prinsip kebenaran dan keadilan berdasarkan tuntutan Islam sebagai dasar tidak dikompromikan .

Kemelut politik dalam parti dan antara parti yang kini semakin tegang perlu segera diredakan dengan mengujudkan kembali kesepakatan nasional berdasarkan tuntutan Islam. Kami tidak akan bertolak ansur dengan  politik opportunis dikalangan ahli politik yang hanya mementingkan diri untuk mengaut keuntungan dan kesenangan atas penderitaan rakyat.

Kami percaya jalan keluar kepada kemelut politik yang ada kini hanya boleh dirongkai dengan meletakkan asas yang betul dan tepat berteraskan formula Islam  untuk semua pihak yang berkenaan mencapai suatu kesepakatan yang murni.

Pendekatan formula  Islam  dalam semua aspek berasaskan   maqasid syar’iyyah untuk menjaga agama , akal , nyawa  , harta dan keturunan perlu diaplikasikan jika hak rakjyat hendak diperjuangkan.. Jika parti-parti politik merujuk kepada kuasa  sebagai sebuah amanah untuk menegakkan agama dan menguruskan politik didunia ini kami yakin kemelut yang berlaku dapat diselesaikan.

Untuk itu kami menggesa supaya pemimpin-pemimpin politik dikalangan umat Islam memberi perhatian kepada pendirian dan tuntutan kami seperti berikut:

  1. Kami mengesa semua pihak bersikap rasional dan menerima baik perubahan yang dituntut oleh rakyat agar ketelusan , intergriti serta hak dan tanggungjawab bersama untuk membangunkan Negara ini tidak tergadai oleh kepentingan peribadi.
  1. Kami juga menuntut supaya peralihan dan perubahan pemerintahan yang kini menjadi isu besar Negara ini hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat dan berhemat demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
  1. Persetujuan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan  yang disepakati sebagai kerangka membentuk dan membangunkan negara ini hendaklah dihormati . Tindakan mencabar dan mempersoalkan hak dan kedudukan kaum pribumi dan umat Islam di Negara ini perlu dihindari.Kami juga mengingatkan bahawa berasaskan komposisi pendudukan negara ini bahawa majoritinya adalah Islam maka perwakilan yang menganggotai Dewan Rakyat serta barisan kabinet kerajaan hendaklah terus menggambarkan komposisi tersebut demi menjaga kestabilan dan keharmonian negara ini.
  1. Penggunaan kuasa dan undang-undang hanya untuk mempertahankan kedudukan dan kepentingan peribadi dan kelompok hendaklah ditolak. Kami tidak dapat menerima sebarang pendekatan menggunakan kuasa untuk menyekat hak individu dan kelompok diluar yang dibenarkan undang-undang yang sah dan adil. Kami menolak ugutan mengguna kuasa dan memprovokasi rakyat yang menimbulkan tindakan diluar batas undang-undang.
  1. Kami berpendapat bahawa  kepimpinan parti politik pemerintah di negara ini tidak harus terlalu ghairah untuk mempertahankan kuasa secara tidak demokratik sehingga menyebabkan rakyat kehilangan fokus dan keyakinan terhadap agenda yang hendak dibawa untuk membela nasib rakyat. Pihak yang mahu mendapatkan kuasa dan pihak yang ingin terus kekal berkuasa perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama.
  1. Kami menolak pihak yang menggunakan politik fitnah dan politik wang untuk merebut jawatan. Kami juga menuntut mereka yang telah berkuasa selama 51 tahun menerima dengan jujur  kemahuan yang kuat dikalangan rakyat untuk menuntut perubahan pemerintahan .
  1. Kami mengesa agar semua pemimpin Islam dikalangan organisasi politik dan NGO bersedia mengujudkan kesepakatan yang murni untuk menghadapi cabaran yang sedang mendepani umat . Perselisihan pendapat dan pegangan pemikiran politik antara pemimpin hendaklah tidak sampai merosakkan keutuhan kesatuan umat yang sangat perlu diperkukuhkan.
  1. Kami menekankan bahawa perhubungan kaum di negara ini hendaklah berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan yang dituntut oleh Islam  berasaskan panduan Al Quran ” Wahai manusia sesungguhnya kami ciptakan kamu dari jenis lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berpuak-puak untuk saling berkenalan . Sesungguhnya yang paling mulia dikalangan kamu adalah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui ( Al Hujurat : 13) . Kami mengesa agar sikap fanatik dan chauvinis kaum hendaklah ditolak.
  1. Kami menuntut agar seluruh sistem perundangan yang telus dan adil hendaklah ditegakkan. Institusi kehakiman yang berintegriti dan bebas dari campurtangan kuasa Eksekutif hendaklah dijamin untuk memastikan keadilan dipertahankan. Kezaliman atas nama keselamatan yang diguna untuk mempertahankan kuasa hendaklah ditolak samasekali.
  1. Kami mendesak semua pihak media massa memberhentikan pelaporan yang semakin menegangkan suasana politik negara bila terdapat media arusperdana yang cenderung  menyiarkan kenyataan-kenyataan yang menambah-burukkan lagi krisis yang sedia ada dan terus mengadu-domba antara parti politik yang mengakibatkan  rakyat semakin keliru..
  1. Untuk menghadapi gejala fitnah-menfitnah yang kini sangat berleluasa kami mengingatkan seluruh umat Islam kembali kepada pedoman Al Quran “Wahai orang-orang yang beriman , sekiranya datang kepada kamu orang-orang yang fasiq membawa berita maka selidikilah agar kamu tidak akan mencelakakan sesuatu kaum kerana kejahilan yang akhirnya kamu akan menyesal diatas perbuatan kamu tersebut” ( Al Hujurat : 6)
  1. Disamping itu  kami menuntut agar semua pemimpin-pemimpin politik mengelakkan diri dari membuat kenyataan-kenyataan yang saling menuduh yang boleh memburukkan lagi konflik antara umat Islam.
  1. Kami berpendapat bahawa krisis ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara sekarang harus dianalisa secara objektif dan ilmiah , bukan dengan menuding jari  dengan melulu kepada seteru politik. Seluruh pengurusan ekonomi dan dasar ekonomi yang digunapakai selama 51 tahun itu perlu dikaji semula kerana secara jelas Malaysia sememangnya mengamalkan ekonomi pasaran bebas dan liberal yang bersifat kapitalistik. Analisis terperinci (melibatkan semua dasar fiskal iaitu penentuan kadar faedah , asas perbelanjaan dan dasar pertukaran matawang )  untuk membentuk sistem ekonomi alternatif yang lebih manusiawi yang berpaksikan keadilan menurut kehendak Islam perlu dibangunkan.
  1. Kami mengharapkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Pertuan Agung segera campur tangan dalam krisis politik yang meruncing ini dan menggerakkan usaha untuk mempertemukan semua pemimpin-pemimpin politik agar mencari jalan keluar yang terbaik demi kemuliaan agama dan kelangsungan survival  bangsa.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

Disokong oleh :

Syeikh Abu Bakar Awang

YDP Persatuan Ulama Kedah

Hafiz Mustaffa Lubis

YDP ABIM Kedah

Ahmad Tarmizi Sulaiman

Setiausaha Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah (ISRA)

Dr. Hasbullah

Jamaah Islah Malaysia , Kedah

Dr. Abdul Rahman Ahmad

Wadah Kecerdasan Umat , Kedah

Ust Aizuddin

Pengerusi Badan Bertindak Menangani Gejala Sosial , Sg.Petani (TEGAS)

Shahrizan Sazali

Pengerusi Ummah Aid

Aziz Man

Persatuan Warga Desa Kedah

Masadah Sajadi

Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia

Advertisements
Perihal

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan agenda melayu

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 335,922 hits
Kalendar
September 2008
I S R K J S A
« Ogo   Okt »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  
%d bloggers like this: