Ucapan Bertindak PPMK 11 oleh Presiden TERAS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

Segala puji hanya untuk Allah Azzawajalla , segala pengabdian hanya layak untukNya , segala kepatuhan hanya tertumpu kepadaNya. Dia yang mengajar manusia erti Petunjuk dan Nur Illahiy dan Dia sahaja yang memileh siapa yang akan diberi Petunjuk dan Nur itu jua. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w , insan Mustafa serta sekian ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya yang mulia.

Dengan ungkapan ahlan wa sahlan bikum kami mengalu-alukan kehadhiran dan penyertaan saudara-saudara di perhimpunan milad TERAS ke 11 yang sejak penubuhan TERAS  diberi gelar Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan (PPMK). Bertepatan 1 Muharram setiap tahun Hijriah sehingga kini Alhamdulillah kami maseh tidak lengah dari mengadakan perhimpunan demi menjadi wadah untuk bermuhasabah dan berharakah.

Semangat Hijrah menjadi pendorong kepada TERAS untuk mengerakkan transformasi  umat. Perjuangan Rasullullah s.a.w dengan segala hikmah dan jihadnya adalah pedoman kami . Hijrah baginda adalah semangat harakah kami. Menegakkan qiyadah melalui qudwah hasanah adalah pendekatan kami.

Dengan yang demikian kami mengungkap empat prinsip perjuangan kami iaitu KeIslaman , KeBangsaan , KeNegaraan dan KeUmatan. KeIslaman bermakna tiada perjuangan tanpa Islam , KeBangsaan bermaksud bangsa Melayu memegang amanah besar menjunjung kedaulatan Islam , KeNegaraan bererti wilayah Negara ini perlu dipertahan dari kuasa musuh , dan KeUmatan membawa faham bahawa perjuangan ini merangkai kepada seluruh umat Islam sedunia.

Ikhwah sekalian ,

Kita sedang melalui suatu zaman fitnah luar biasa. Dari satu sudut persoalan jatidiri bangsa sedang terhakis dengan  sangat pentas , di sudut yang lain pula  kita juga menyaksikan kemerosotan yang sangat mengerikan dalam krisis kepimpinan bangsa. Jika kedua-dua ini “sempurna” maka ia bakal mencukupkan syarat untuk kita hancur seluruhnya !!.

Sangat aneh dikala pemimpin-pemimpin yang memegang kuasa cuba memberi gambaran bahawa semuanya dalam keadaan serba baik , stabil dan terkawal ,  namun realiti dari apa yang dipaparkan dalam media dan yang berlaku dilapangan ,  menunjukkan kenyataan yang jauh berbeda. Suhu percakaran untuk merebut jawatan sudah memuncuk kepada tahap yang memalu dan  menjijikkan. Dari politik wang@rasuah politik kita sedang menyaksikan mereka yang mengidam untuk naik dalam tangga kuasa dengan menjadi kepimpinan sebagai barang dagangan yang kadangkala dengan harga yang sangat murah ; semurah hanya pembiayaan untuk menginap di hotel ! sudah cukup untuk membeli undi yang akan menjahanamkan kepimpinan bangsa.

Setelah 11 tahun usia TERAS cuba mengushakan perubahan bangsa , nampaknya keadaan tidak semakin membaik malah terus meruncing. Kami mencari punca kepada situasi yang parah ini. Parahnya bukan kepalang . Gejala keruntuhan akhlaq meningkat. Pencapaian ekonomi maseh bergantung kepada dokongan pemerintah . Keutuhan politik digugat dengan pengkhianatan amanah dan salahguna kuasa.  Kerosakan budaya yang ditunjangi oleh asakkan industri hiburan dari dalam mahupun luar Negara yang  melampau. Liberalisasi agama yang di dalangi oleh golongan yang mempunya agenda untuk menyisehkan agama dari lapangan hidup.

Dari semua realiti ini , yang jelas dapat diketengahkan ialah  rupa-rupanya bangsa ini maseh belum cukup beranjak dari sindrom  perhambaan . Maseh terbelengu dengan jiwa hamba dan akal hamba yang mendalam. Sebagai sebuah bangsa yang telah melalui proses transformasi total sejak  mendapat sentuhan Islam pada abad ke 14 lagi ,  rupa-rupanya ciri sebuah bangsa merdeka belum dapat dizahirkan sepenuhnya. Sesudah merdeka 51 tahun dari penjajahan yang mencengkam selama 446 tahun  , bangsa Melayu maseh tidak menampakkan terbebas dari  sindrom jiwa hamba .

Manusia Melayu yang maseh memanifestasikan pemikiran dan jiwa hamba yang menjadi jatidirinya telah melahirkan pelbagai penyakit kekerdilan yang merugikan . Malah akibat merasa diri kerdil dan bermartabat hamba itulah yang melahirkan gejala bangsa yang mudah diperkuda dan diperalatkan .

Natijahnya , bangsa ini sarat dengan  segala unsur-unsur kehambaan. Benar mengikut pernyataan buku Jiwa Hamba karya Azizi Abdullah . Dalam prakatanya dicatat ;

” Dari pakaian hamba , bahasa hamba , persekitaran hamba , budaya hamba sehingga perlakuan hamba , semuanya  menjadi sebahgian ciri yang mengekal dan mengukuhkan perangai hamba , mentaliti hamba dan sikap hamba.

Pelbagai perhambaan yang dapat dilihat sosoknya terjelma dalam kehidupan manusia zaman ini. Bermula dari perhambaan pemikiran sehinggalah perhambaan bahasa dan budaya.

Kami turut mengambilkira bahawa sebenarnya persoalan yang tidak cukup difahami selepas kemerdekaan ialah ujudnya gejala jiwa hamba yang tidak dapat dikikis dari masyarakat Melayu sehingga sekarang.

Anggapan bahawa kita sudah merdeka rupa-rupanya maseh dijangkiti dengan sebuah penjajahan yang lebih mengakar iaitu penjajahan jiwa dan mental. Lalu , mahu tidak mahu , suka tidak suka , sebenarnya kita terpaksa akur bahawa penyakit yang nyata menguasai sebahgian besar rakyat sekarang  ialah penyakit “jiwa hamba”.

Rakyat berjiwa hamba tidak mungkin meni’mati erti merdeka sesungguhnya. Malah berjiwa hamba itu adalah intipati kepada erti penjajahan.

Walaupun tidak ada yang mahu digelar dan dilabel hamba dizaman ini. Akan tetapi jika dilihat kenyataan yang ada dalam  hidup ini , sememangnya perhambaan itulah yang mengekalkan sistem  pemerintahan yang ada dimana-mana.

Penindasan , peminggiran dan penyisihan itu adalah natijah dari sistem yang bersifat perhambaan dalam bentuknya yang berbeza-beza. Akan kita lihat perhambaan ekonomi , perhambaan sosial, perhambaan budaya dan perhambaan politik adalah sistem yang kini berjalan dalam mekanisme yang telah dirangka dengan sengaja dan penuh kesedaran.

Dengan adanya sistem yang mengukuhkan ciri-ciri perhambaan itulah,  mereka yang berkuasa terus berkuasa , mereka yang kuat terus gagah dan mereka yang memegang autoriti terus dengan kuasa mengawas dan mengawal rakyat yang berjiwa dan bermentaliti hamba.

Dalam strata masyarakat yang dapat kita lihat sekarang golongan yang dianggap tidak berpelajaran dikalangan petani kecil , pekebun , nelayan serta buruh adalah golongan hamba yang dilabel berjiwa hamba. Mereka tidak mungkin bersatu dengan kemerdekaan. Lantaran itu mereka tidak boleh menentukan nasib mereka sendiri kerana berjiwa hamba itu juga bermakna berjiwa terjajah.

Kami memerhatikan persoalan jiwa hamba ini bukan sekadar suatu penyakit yang dampak sosialnya sangat nyata , akan tetapi betapa ia membawa kepada penyakit yang lebih besar iaitu bermaharajalelanya penguasa dan golongan penindas .

Jika jiwa hamba ini tidak dikikis hatta dikalangan golongan berpelajaran sekalipun , tidak ada kebangkitan yang dapat diharapkan. Golongan penindas dan penzalim akan terus menguasai sampai bila-bila selagi rakyat yang punya hak dan kuasa untuk menentukan nasib sendiri tidak mencapai kemerdekaan yang sebenar.”

Sebenarnya penyakit jiwa hamba ini bukan sahaja dikaitkan dengan golongan tersisih , miskin dan rendah pendidikan. Sesungguhnya  mereka yang telah melalui pendidikan tinggi yang dicelup dengan pemikiran Barat itu pada hakikatnya jauh lebih parah dijangkiti perhambaan. Golongan elit yang ghairah dan menjadi pengkagum budaya dan segala isi  tamadun Barat dengan segala sifatnya itu adalah berjiwa hamba lebih berat berbanding golongan bawahan. Mereka menerima dan menyerap pemikiran , nilai , pandangan hidup , konsep dan budaya hidup yang memperhambakan diri kepada tamaduan Barat bagaikan kesempurnaan yang tidak boleh dipersoal lagi. Akibatnya  sebagai pengguna mereka menjadi hamba kepada budaya konsumerisme Barat , sebagai ahli professional mereka menjadi hamba kepada konsep dan segala teori Barat , sebagai sarjana mereka patut kepada disiplinan ilmu Barat ,  sebagai ahli seniman dan budayawan mereka adalah hamba kepada gaya seni Barat , sebagai elit mereka hamba kepada budaya dan gaya hidup Barat.

TERAS melihat hal ini sebagai punca besar kemerosotan bangsa . Sementara ada yang menafikan ujudnya sindrom ini , namun realitinya tidak dapat diselindung sebagai kenyataan yang menjadi wajah harian bangsa ini.

Fenomena jiwa hamba amat mengesankan sehingga implikasinya  merentas generasi . Ia juga merentas segala lapisan masyarakat Melayu. Semada yang miskin dan jahil mahupun yang berpendidikan tinggi dan dikalangan golongan elit Melayu . Jiwa hamba bukan sekadar sebuah nilai abstrak tetapi adalah belenggu yang mengongkong dan memenjara setiap insan Melayu yang terperangkap dalam kepompong penjajah.

Dengan sebab itu kami mengenengahkan bahawa Hijrah bangsa yang perlu direalisasikan segera ialah membawa transformasi besar kepada jiwa dan pemikiran bangsa. Bahawa dengan berhijrah dari jiwa hamba kepada jiwa merdeka  , bangsa ini akan dapat bangkit sebagai sebuah kekuatan.

Dengan jiwa merdeka kita bangunkan keberanian dan keyakinan. Keberanian untuk merubah dengan tegas segala kepincangan yang melanda bangsa dan keyakinan bahawa bangsa ini boleh naik ke mercu kegemilangan sebagai “khairah ummah” bersama Izzah Islam usaha gigih dan beriltizam dari masyarakat itu sendiri. Kita perlu mengusahakan kemerdekaan yang sejati sehingga dapat merongkai belengu pelbagai masalah yang terbeban ke atas bangsa ini. Dengan jiwa merdeka bangsa ini boleh meneroka kegemilangan sebagai bangsa yang tidak diperalatkan oleh sesiapa samada oleh kuasa luar mahupun oleh golongan elit dari bangsanya sendiri. Bangsa yang merdeka hanya bertaut kepada Islam. Bangsa yang merdeka hanya tunduk dan patuh kepada Sang Pencipta. Bangsa merdeka bergerak dengan kekuatan sendiri tanpa takut dan terikat kepada mana-mana kuasa selaian kuasa Allah S.W.T.

Bagi kami persoalan memulihkan bangsa memerlukan perbincangan bukan lagi yang bersifat akademik. Akan tetapi ia menuntut kepada perbahasan yang menjurus kepada tindakan yang dapat merungkai kemelut dan kekusutan secara tuntas.

Untuk yang demikian TERAS ingin berganjak dari sekadar membicara persoalan abstrak yang belum jelas penyelesaian dan kepentingannya. Akan tetapi kami berpandangan yang lebih segera dan lebih mendesak ialah menangani persoalan-persoalan secara zahir yang sedang berlaku dan sedang mengikis jatidiri bangsa sekaligus melesukan sendi kekuatan bangsa.

Sememangnya juga kami tidak menafikan bahawa punca asal dari kekusutan bangsa yang berlaku kini bermula awal dari persoalan rosak pemikiran dan ini pula bercambah dari dasar dan konsep ilmu yang salah. Sememangnya juga menghurai dari dasar masalah bangsa yang bersifat konsep itu sangat penting untuk mencernakan penyelesaian yang lebih mapan. Lantaran , dari konsep ilmu yang salah itu jualah yang membenihkan kerosakan yang berentetan .

Namun begitu , sementara persoalan pemikiran  serta pandangan alam bangsa perlu disejahterakan semula, kami berpandangan masalah perlakuan dan tabiat seharian bangsa juga perlu  segera dirubah. Kami berpandangan bahawa sudah terlalu berlarutan kita dikusutkan dengan isu-isu yang jelas belum diselesai dengan muktamad.

Bahawa ada isu yang tidak memerlukan perbahasan yang berpanjangan. Bahawa jika bangsa ini dapat digembleng dan dikerah untuk dimerdekakan dari segala kebejatan,maka bangsa Melayu akan lebih berupaya untuk dibangkitkan.

Jika pelbagai gejala yang membebankan bangsa , baik keruntuhan akhlaq mahupun kepincangan kepimpinan , yang  menyebabkan daya maju dan daya membangun bangsa terbantut ,  maka  proses memperkasakan bangsa akan menjadi lebih berjaya. Selagi bangsa ini terus diheret dengan kepincangan yang menarik potensinya ke bawah , selagi itu bangsa Melayu tidak dapat keluar dari lubuk puaka  yang merosak dan menghinakan ini.

Bagi TERAS pendekatannya jelas ; perangi yang fasad dan mungkar  dalam kehidupan bangsa dan suburkan yang membina dan yang soleh dalam seluruh amalan kehidupan.

Lantaran itu, kami merasakan  selain membicarakan persoalan pemikiran , masalah umat Melayu yang terus melata dan bergelumang dengan pelbagai krisis perlu diatasi segera. Sebagai contoh ditengah-tengah kita memperkatakan  soal kemajuan ,  bukankah bangsa ini yang mempunyai rekod paling tinggi terlibat dengan gejala dadah di Negara ini? Tidakkah bangsa kita yang menjuarai hampir semua gejala sosial yang kini menjadi seolah – olah watak bangsa yang serasi.

Ketika mana kita sedang bergelut dan bersimpang siur membahas masalah isu simbol ketuanan, bangsa ini jualah yang ramai berada di bawah paras kemiskinan dan dihimpit dalam insiden kes miskin tegar.

Di saat media ghairah memperkatakan soal kontrak sosial yang dipolemikkan, bangsa ini jugalah yang tidak berdaya memastikan kehidupan di kawasan desa dapat dipertahankan dan  tanah milik bangsa ini tidak lenyap ditelan pembangunan.

Ironinya , bangsa Melayu masih terus berada dipinggir walaupun sebuah kebijaksanaan bernama DEB dijadikan pendekatan untuk menyelamatkan status bangsa dalam proses kemajuan pasca merdeka. Malangnya, atas nama DEB inilah golongan elit Melayu menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk membolot kekayaan.

Sementara bangsa Melayu terbanyak masih berada dipinggir arus pembangunan, segelintir golongan elit Melayu merampas hak Melayu terbanyak yang maseh terlantar dalam kemiskinan.

Kami menjadi semakin yakin bahawa kerja penting yang perlu digerakkan untuk mengembalikan bangsa Melayu kepada martabat yang mulia dan dihormati adalah dengan memberi fokus kepada soal membenteras segala unsur yang fasad yang membebani bangsa ini.

Sudah tiba masanya   kesedaran kita merentas  semua sempadan dan petak politik parti  dalam soal merawat penyakit yang menjangkit jiwa dan perilaku bangsa Melayu.

TERAS yakin  benar bahawa dengan pengemblengan bersungguh semua kelompok masyarakat serta agensi dan institusi bangsa Melayu , kita berpotensi untuk keluar dari kekusutan dan kemelut bangsa yang sudah sekian lama berlanjutan.

Secara realistik gerakan kita perlu menangani hal-hal yang jelas tidak perlu berpolemik panjang.

Mari kita kerah habis-habisan tenaga seluruh masyarakat kita untuk menghapuskan gajala dadah hingga ke akar umbinya. Sudah jutaan wang dihabiskan untuk mengatasi sindiket dadah yang membunuh ini. Seluruh masyarakat perlu digemblengkan sebagai laskar jihad untuk memerangi penyalahgunaan dadah “once and for all”.

Demikianlah juga ketika kita masih melihat adanya kecenderungan segelintir bangsa Melayu berjinak-jinak dengan arak. Industri syaitan yang dibenarkan berada di tengah-tengah masyarakat ini tidak harus dikompromi. Apakah susah benar untuk kita mengatasi isu arak ini walaupun ia nyata sebuah industri yang beroperasi dengan lesen yang dilulus oleh pihak kerajaan sendiri. Sementara isu arak dianggap terkecuali dari isu orang  bukan Islam. Akan tetapi sebenarnya kita tidak berusaha secara agresif untuk memastikan air syaitan ini dibasmi dari bumi Malaysia seperti yang dapat dilakukan di Brunei Darussalam.

Begitulah juga , kita tidak harus berpanjangan membicarakan soal keruntuhan akhlaq , melainkan kita harus berkerja keras membanteras gejala lepak , bohsia , rempit , berpoya-poya dan maksiat. Kita harus bertindak bersama dengan pihak berkuasa untuk membersihkan masyarakat dari kepincangan yang berlarutan bertahun-tahun itu. Anak-anak muda bangsa ini perlu menjalani pelbagai pendedahan untuk mengikiskan segala kebejatan yang akan menghancurkan masa depan mereka.

Dari seremeh bersembang kosong di warong kopi sehingga soal anak-anak bangsa dihanyut oleh industri hiburan yang keterlaluan , kami menyarankan kempen memerdekan diri bangsa yang menyeluruh sangat diperlukan dengan kadar segera.

Dalam beberapa isu kebelakangan ini ternyata kedudukan bangsa Melayu terus menjadi persoalan bukan sahaja oleh kaum lain malah dikalangan sebangsa sendiri. Lihat sebaris isu-isu yang meletus diakhir-akhir ini yang kami anggap cuba membawa polemik yang mengundang kontraversi.:

  1. Ketuanan dan Kontrak sosial

Isu ini dipolemikkan sebagai suatu percubaan  mempersoalkan status bangsa Melayu disamping melaungkan hak bukan Melayu. TERAS tidak melihat kenapa hal ini perlu dibangkitkan sedangkan tidak ada hak bukan Melayu yang dinafikan. Sementara status sosio-ekonomi kaum bukan Melayu jauh lebih kukuh , kebanyakan kaum Melayu bawahan dikalangan kaum petani , nelayan , pekebun kecil , buruh dan pekerja  maseh ramai yang terpinggir.  Selain peruntukan memberi keistimewaan kepada kaum bumiputera dalam Perlembagaan tidak harus dinafikan , TERAS berpendapat adalah berniat serong jika ada pihak yang menjadikan isu ini untuk mempersoalkan kontrak sosial yang telah dipersetujui dalam kesepakatan mencapai kemerdekaan. Soalnya kami lebih mementingkan bagaimana kaum Melayu yang terpinggir harus diberi peluang dan ruang untuk meningkat sama tinggi. Kami juga menegaskan persoalannya bukan ketuanan Melayu yang harus diungkit tetapi bagaimana kaum Melayu terbanyak telah jauh ketinggalan akibat peminggiran yang sekian lama ujud dalam sistem peninggalan penjajah.  Soalnya ialah ketuanan yang sudah diseliputi kepincangan , dan ketuanan yang sudah tidak relevan pada realiti  sebenar. Kami persoalkan. Jika benar ketuanan Melayu itu dirisaukan , kami ingin bertanya. Siapa yang menguasai ekonomi Negara ini , siapa yang memonopoli kawasan Bandar diseluruh Negara , siapa yang menguasai IPTS , siapa memilikki dan menguasai asset di kawasan-kawasan segi tiga emas di ibukota Kuala Lumpur,  siapa 10 orang terkaya di Negara ini , siapa yang menguasai pelbagai sektor strategik seperti pembuatan , pengangkutan , perladangan , kesihatan , pertanian dan pemakanan , pengeluaran , pemborongan dan peruncitan , siapa yang menerajui bilangan golongan iktisas yang teramai seperti doktor perubatan , jurutera ,  akauntan , peguam , juru-ukur?

  1. Kedaulatan Bahasa Melayu

Pengkhianatan terhadap kedaulatan bahasa sejak 2003 kini terus menjadi keresahan . Segala hujah untuk mengukuhkan alasan kenapa PPSMI sepatutnya dihentikan tiada diendah oleh pemerintah. Sejak peristiwa keranda 152 , penubuhan DBP , perlaksanaan bahasa Melayu baku ,  penggubalan Akta Bahasa 1996 dan Dasar Bahasa Kebangsaan , penghapusan tulisan jawi , perlaksanaan PPSMI 2003 , nampaknya perjuangan mendaulatkan bahasa menjadi polemik bermula bukan dari orang bukan Melayu tetapi oleh pemimpin Melayu yang memegang kuasa itu sendiri. Akibatnya gerakan pencinta bahasa terpaksa bergelut mengeluarkan hujah ilmiah , hujah budaya , jati diri dan tamadun bangsa , hujah kesan pendidikan di sekolah kawasan desa , hujah perundangan , hujah politik , hujah  sejarah ,hujah perbandingan dengan Negara-negara lain. Akan tetapi akibat keterlanjuran yang diseliputi dengan keangkuhan , perlaksanaan PPSMI yang telah menelan belanja puluhan juta ringgit , menyebabkan  pemerintah maseh berdegil untuk tunduk kepada tuntutan rakyat terbanyak yang mahu PPSMI dibatalkan. Padahal pengecualian diberi terus kepada sekolah vernakular yang melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka. Kami tidak dapat mengelak dari merumuskan bahawa pertimbangan pemerintah nampaknya hanya mahu tunduk kepada tekanan politik kaum lain tetapi tidak kepada desakan kaum Melayu yang sebenarnya adalah desakan demi kepentingan kedaulatan Negara jua. TERAS bersama semua kelompok yang memperjuangkan pendaulatan dan memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu , bahasa Tamadun  dan bahasa pembangunan Negara. Pengemblengan massa rakyat dan desakan kepada pemerintah lewat saluran undang-undang , politik dan Istana akan dikerah oleh TERAS sehingga bahasa Melayu benar-benar ditempatkan dipersada tanah air ini sebagai bahasa unggul Pembina Tamadun Umat.

  1. Status perundangan dan fatwa Islam

Kita juga tidak sunyi menghadapi herdikkan dan tekanan terhadap status Islam dalam pembangunan Negara. Sementara umat Islam terpaksa menerima hakikat betapa perlaksanaan syariat Islam dalam Negara ini memerlukan pentahapan yang lama, namun serangan terhadap usaha melaksanakan sistem Islam sepenuhnya kini semakin lantang. Bukan sahaja kuasa undang-undang agensi Islam kini dicabar malah status dan wibawa Majlis Fatwa juga berani dikritik oleh golongan bukan Islam dan dikalangan mereka yang berfaham liberal dan sekular. TERAS bertegas bahawa adalah menjadi hak umat Islam untuk melaksanakan Islam sepenuhnya untuk masyarakatnya sendiri. Orang bukan Islam tidak berhak mempersoalkan urusan umat Islam. Kami tidak boleh berkompromi terhadap mereka yang beragenda  untuk membawa faham agama lain ke dalam Islam  serta cuba  menyamaratakan taraf Islam dengan agama lain. Pendirian TERAS adalah jelas. Terima Islam seutuh dan selengkapnya , bina umat Islam dan negara berteraskan prinsip keadilan dan kebenaran Islam dan laksanakan syariat berdasar keupayaan dan kemampuan secara strategik dan bertahap. Orang bukan Islam hanya akan yakin dengan alternatif kita jika umat Islam sendiri menunjukkan keiltizaman untuk  melaksana dan menghayati hukum Allah yang maha Pemurah dan Penyayang itu.

  1. Gejala sosial dan peningkatan jenayah

Kami tidak dapat menerima realiti kepincangan sosial bangsa Melayu yang kini tidak menunjukkan tanda mereda. Ditambah dengan krisis ekonomi global , implikasi sosialnya akan bertambah buruk. Nampaknya pemerintah dan masyarakat keseluruhannya maseh tidak memahami bahawa penguatkuasaan dan mengujudkan persekitaran yang soleh adalah dua pendekatan yang tidak boleh dipisahkan. Ironinya pada satu sudut kita meningkatkan aparatus keselamatan dan mengetatkan undang-undang namun pada masa yang sama kita membiarkan persekitaran mungkar berleluasa malah dilindungi dengan lesen untuk “menghalalkan” yang mungkar. Apakah dengan melesenkan kemungkaran kita dapat mengatasi kemungkaran? TERAS berpendirian bahawa penyakit gejala sosial  dan jenayah adalah kudis dari persekitaran yang berkuman. Sepatutnya membenteras dan menyekat sebarang laluan untuk membiaknya kemungkaran dilaksanakan dengan tegas. Sementara itu acara yang boleh membibitkan kemungkaran hendaklah juga disekat. Kami tidak bersikap fanatik dalam isu hiburan ini akan tetapi kami tidak akan berasa bersalah untuk mendesak supaya kawalan yang bersungguh dilakukan oleh pihak yang berwewenang dan masyarakat mengambil inisiatif membendung kemungkaran.

  1. Dasar Ekonomi Melayu.

Tatkala diperkenalkan pada tahun 1970 , DEB disasarkan akan mencapai hasratnya iaitu 30% kekayaan Negara berada dikalangan kaum bumiputera. Berakhirnya tempoh 20 tahun perlaksanaan dasar ini pada tahun 1990 , kenyataannya ia gagal . Yang benar-benar mengecapi ni’mat DEB hanya segelintir Melayu elit yang mendokong parti pemerintah. Akan tetapi nasib Melayu kebanyakan tidak banyak berubah. Sindrom kebergantungan terus menjadi nyawa bangsa Melayu , sistem “kenal siapa”, bukan ” tahu apa” dijadi “delivery system” sebenar , meritokrasi “siapa penyokong” dan “siap pembangkang”  menjadi kriteria survival Melayu.

Kini semangat DEB diteruskan oleh penggantinya iaitu DPN. Hakikatnya penyakit perlaksanaan melalui mekanisme yang pincang itulah yang  tetap diteruskan. Akhirnya hak keistimewaan bangsa Melayu hanya ujud pada kertas semata , tidak pada kenyataan. Mekanisme yang berpenyakit itulah diharapkan untuk meneruskan dasar yang semakin lesu ini. Bukankah melalui perlaksanaan pelbagai projek pembangunan atas nama DEB , banyak tanah milik Melayu telah tergadai dan diambilalih?. Bukankah atas nama DEB banyak kawasan desa lenyap ditelan pembangunan Bandar yang akhirnya dimonopoli oleh orang lain?

TERAS menegaskan rombakan besar perlu di lakukan. Persoalan pokok ialah memastikan bangsa Melayu terbanyak tidak terus menagih bantuan. Namun agensi-agensi yang sepatutnya membantu mereka pula tidak diganggu oleh hegemoni antara politik parti. Sindrom bergantung kepada “Godfather  politik” hendaklah dikikis dan orang Melayu hendaklah  dibangunkan diatas kekuatan mandiri.

  1. Krisis kepimpinan Melayu.

Sangat menjijikkan bila kepimpinan menjadi barangan dagangan . Prinsip kepimpinan adalah amanah dan bertanggungjawab  langsung kepada Sang Pencipta , kini menjadi rebutan untuk mengumpul kemewahan. Siapa berjaya naik ke mercu singgahsana kepimpinan tertinggi , dijadi idaman yang cukup menghairahkan. Walaupun dengan cara yang sungguh tidak berbakhlaq. Siapa yang cuba menyaingi perebutan itu akan dijadi musuh yang perlu disekat habis-habisan. Inilah wajah yang sedang ditonjolkan oleh perebutan jawatan  menjelang Mac 2009. Kita menjadi khuatir bukan hanya kerana hilang keyakinan bangsa ini kepada kepimpinan bangsanya yang sejenis itu semata-mata , akan tetapi yang sangat dicemaskan ialah juga budaya kepimpinan bobrok ini yang semakin menjadi sejati sejak 51 tahun yang lalu dan tidak nampak peluang untuk berubah. TERAS melihat cita-cita untuk mengembalikan kepimpinan Melayu yang bermaruah mesti diusahakan juga diluar medan politik. Sementara krisis kepimpinan politik menjunam nilai moralnya , kepimpinan Melayu dalam medan lain perlu diperkukuhkan wibawa dan intergritinya. Kami berpendapat kepimpinan politik yang mudah terdedah kepada kepincangan mesti diimbangi dengan suara kepimpinan luar politik yang jujur dan tidak berkepentingan.

  1. Perpaduan bangsa dan perpaduan antara kaum

Kini kekhuatiran ditambah lagi dengan isu ketegangan antara sesama bangsa sendiri dan antara kaum. Sesungguhnya ini bukan isu yang terlalu baru lantaran sejak semangat asobiyyah yang ditanam oleh pemimpin-pemimpin , ia telah mencetuskan kesangsian yang semakin menajam. Pokoknya isu ketegangan antara kaum bermula bila ada lontaran dari pemimpin yang meraih sokongan dari slogan “my race , rightly or wrongly” , padahal yang paling ampuh mampu menyatukan umat Melayu adalah hanya dengan semangat Islam yang jitu. Serta yang paling mapan untuk menjaga hubungan yang harmonis antara kaum ialah juga dengan prinsip keadilan Islam. TERAS berpendirian bahawa isu perpecahan dikalangan bangsa Melayu adalah bermula dari hilang kejujuran untuk menerima formula Islam dikalangan pemimpin Melayu. Perpaduan bersifat kosmetik seperti yang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin yang bersaing merebut kuasa tidak akan bertahan lama. Kami menuntut semua pemimpin semua organisasi , orpol ( organisasi politik ) mahupun ormas ( organisasi masyarakat)  mendalami dan menghayati kemurnian mesej Islam dalam mencapai perpaduan dan saling menghormati untuk hidup bersama  dengan semangat persepakatan Islam sebagai tunjung dan jatidiri pembangunan Negara.

  1. Integriti dan pencegahan rasuah

Penyakit yang sudah membarah yang boleh membawa maut kepada sebuah Negara ialah rasuah. Akan tetapi inilah penyakit yang nampaknya tidak terdaya dihapuskan oleh pemerintah yang ada. Selain menubuhkan sebuah institusi bernama Institut Integriti Nasional ,kini Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia ditampilkan. Namun dengan agensi penguatkuasa yang sedia ujud  seperti BPR , Polis dan Jabatan Peguan Negara , isu rasuah belum menunjukkan akan reda. Lebih banyak kepelikan dan tandatanya dari jawapan yang masyarakat terima. Bukan sahaja analisis demi analisis maseh belum mampu menemui punca untuk menghapuskan gejala ini namun  keyakinan rakyat terhadap pemerintah untuk melenyapkan gejala rasuah kini juga sangat rendah. TERAS mendapati “political will” yang ditunjukkan oleh pemerintah tidak digabungkan dengan “political honesty” dan “political courage” yang mencukupi. Lantaran itu SPRM yang ditubuh maseh penuh tandatanya . sejauhmanakah ia bebas berfungsi untuk melaksanakan pendakwaan ke atas kes-kes terdahulu yang telah dilengkapi bukti tetapi tidak didakwa.

Kami juga tidak dapat menyepikan diri untuk turut memperkatakan persoalan umat Islam antarabangsa. TERAS tidak dapat mengecualikan diri dari turut terlibat dengan mengambil berat persoalan umat Islam yang dirundung malang di mana-mana.

Untuk persoalan Umat Islam Bangsamoro di Mindanao. kami menuntut operasi tentera kerajaan Filipina di Mindanao yang diarah  Presiden Gloria Macapagal Aroyo dihentikan segera. Hak memerintah sendiri yang dituntut umat Islam Bangsamoro sejak lebih 300 tahun adalah hak mutlaq yang tidak boleh dinafikan oleh kerajaan Filipina. Hakikat bahawa kerajaan Filipina adalah penjajah kepada umat islam Mindanao adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan. Dengan kesengsaraan lebih 700,000 umat Islam yang kini menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri , TERAS menyeru semua yang hadhir memberi sokongan dan bantuan dana untuk dihantar kepada mangsa awam yang sudah menderita sejak 4 bulan yang lalu. Perjuangan MILF adalah sah dan TERAS mengesa kerajaan Malaysia menggerakkan usaha atas semangat ASEAN dan anggota OIC , beri tekanan kepada kerajaan Filipina agar proses perdamaian dengan MILF dimulakan kembali. Kita telahpun mengutus surat kepada Pope Benedict di Vatican , Rome untuk memberi tekanan kepada kerajaan Filipina.

Mengenai isu Thailand Selatan , TERAS mengaskan Perdana Menteri terbaru yang dipileh , Abhsit ,  mesti melakukan suatu anjakan serius menyelesaikan koflik di 3 wilayah. Kami menegaskan bahawa beliau perlu memansuhkan pemerintahan dharurat di 3 wilayah konflik ,mengeluarkan  tentera dari wilayah tersebut , menghukum pegawai-pegawai yang terlibat dalam tragedi  Masjid Kerisik dan Tak Bai pada 2004 dan merombak pentadbiran wilayah selatan yang mesti menggambarkan komposisi orang Islam yang manasabah serta mengadakan rundingan bagaimana kepentingandan hak  umat Islam dipelihara.

Dalam isu wilayah Gaza di Palestin , kami tidak melihat cara lain untuk menyelesaikan kesengsaraan 1.2 juta umat Islam Palestin yang dikepung oleh regim Israel serta dibantu oleh sektan sempadan Mesir. Umat Islam Malaysia mesti bangkit menyatakan kemarahan dan bantahan kita  . TERAS mengutuk penolakan usul mengenai Gaza di Parlimen Malaysia baru-baru ini oleh Timbalan Speaker walaupun disokong oleh majoriti ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Keputusan yang tidak diendah oleh pemimpin Negara itu sangat memalukan dan mengecewakan bukan sahaja rakyat Malaysia malah seluruh rakyat Palestin.

Menarik perhatian kita juga ialah isu kesengsaraan pelarian Palestin di sempadan Syrai-Iraq. Penyertaan TERAS untuk mendesak Negara-negara Islam memberi perhatian untuk menyelamatkan lebih 1500 pelarian yang terdampar di padang pasir telah disuarakan kepada Perdana Menteri. Kita bersedia membantu untuk mengambil sebahagian dari pelarian itu untuk ditempatkan di Malaysia sebagai penyelesaian sementera sebelum mereka boleh pulang ke Palestin. Malangnya sehingga ini tiada satupun Negara Islam yang tampil menawarkan diri untuk membantu . Sangat memalukan sehingga ini Negara yang telah menempat semula pelarian Palestin tersebut ialah N.Zealand , Australia , Kanada , Sweden , Netherland , Iceland , Chile , USA dan Brazil.

Kita juga sangat prihatin terhadap nasib umat Islam yang kini dibawah cengkaman tentera asing seperti di Iraq dan Afghanistan. Tidak cukup jutaan umat Islam yang telah terbunuh akibat serangan bertalu-talu oleh tentera asing sejak 2001 , pemimpin-pemimpin boneka yang dilantik oleh Amerika di Negara-negara tersebut telah turut menindas rakyatnya sendiri atas nama memerangi pengganas. Soalnya bukan teroris yang kononya menjadi buruan tetapi kepentingan Amerika yang hendak dijaga. Demikian jugalah umat Islam yang terhimpit di Myanmar , Sri Langkah , Gujurat , Kashmir , Chechnya , Somalia sangat memprihatinkan.

Sementara itu TERAS turut mengambil bahagain aktif dengan SHURA untuk mengujudkan CIMMA – Center for International Muslim Minority Affairs bagi memberi perhatian kepada nasib umat Islam di minority di 112 negara. TERAS sedang mengusahakan kordinasi dengan semua badan-badan Islam untuk memungkinkan kerja-kerja antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ikhwah sekalian ,

MARI KITA BERTINDAK

Dengan serangkai persoalan yang sedang dihadapi umat ini kami tidak mempunyai pilihan melainkan mengajak seluruh penggerak perubahan dengan seruan mari kita pertingkat dan percepatkan usaha. Bukan masanya lagi untuk kita berlengah-lengah , bukan masanya lagi untuk kita bertatih dan menunda-nunda usaha kini ini. Hakikatnya persoalan dan krisis yang melanda kita sudah sangat luar biasa lantaran itu memerlukan usaha yang juga luar biasa. Dengan yang demikian kami menyeru saudara-saudara sekalian  mengabung tenaga untuk segera mempercepatkan kepantasan bertindak untuk melakukan transformasi umat dengan tindakan berikut:

  1. Bertindak membenteras semua gejala sosial sehingga ke akarnya. Kita mesti bekerja keras dan tidak berkompromi lagi dengan fenomena gejala dadah , judi , arak , rokok , pronografi , lepak , mat rempit , pelacuran , hiburan liar.
  2. Menjadikan semua qariah kita sebagai tapak  yang bersih dari segala gejala sosial  dan membangunkan program-program yang membina kekuatan umat dalam pendidikan , ekonomi , pengurusan alam sekitar , budaya yang murni , keushawanan , kekeluargaan dan kepenggunaan yang bijak.
  3. Membangunkan kekuatan gerakan Muslimah yang aktif dan berkesan untuk menjadi tonggak membina semula masyarakat. Peranan mereka perlu diserlahkan melalui pembinaan kepimpinan yang berkualiti dan beriltizam dalam gerakerja kemasyarakatan.
  4. Membina gerakan pemuda dan remaja yang berkesan di semua kawasan Bandar dan desa dalam rangka merubah senario gejala sosial  anak muda kepada generasi pelapis yang utuh untuk melanjutkan perjuangan Isslam.
  5. Membangkitkan semua budaya yang membina bagi mengujudkan masyarakat Melayu Islam yang kuat iaitu Budaya Membaca , Budaya Berdikari , Budaya Hidup Sederhana , Budaya Menjaga Masa , Budaya  Berorganisasi ,  Budaya Sukarela , Budaya Keushawanan , Budaya Pemakanan Sihat , Budaya Berbelanja Cermat.
  6. Menghimpun profail masyarakat disemua kawasan untuk mengenal pasti isu-isu setempat seperti kemiskinan ,  pengganguran , kesihatan , gejala sosial , pertanian , khidmat agensi-agensi , isu-isu pengguna , kerosakan alam sekitar … dan bertindak untuk mencari penyelesaian melalui partisipasi masyarakat.
  7. Melakukan kajian mengenai masalah-masalah golongan khusus seperti nelayan , pekebun kecil , peladang , petani sawah , pekerja ladang , peneroka tanah , pekerja kilang dan mengusahakan tindakan yang boleh meningkatkan taraf hidup mereka.
  8. Mengadakan diskusi aktif dalam masyarakat mengenai pelbagai masalah kehidupan dengan tujuan menyedarkan mereka mengenai keperluan bersikap peka dan bertanggungjawab untuk membuat perubahan dan mengatasi masalah.
  9. Sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai hal ehwal umat Islam antarabangsa melalui pelbagai program setempat.

Demikian sebaris agenda bertindak yang kami ingin sarankan untuk semua penggerak perubahan. Moga-moga  Allah memberi kekuatan kepada kita untuk merealisasikannya . Marilah kita bermula sekarang dan disini .        Allahu Akbar Walilahil Hamd.

Perihal

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan agenda melayu

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 317,688 hits
Kalendar
Januari 2009
M T W T F S S
« Dec   Feb »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  
%d bloggers like this: