Reaksi TERAS terhadap ucapan dasar DS Abdullah Ahmad Badawi

Dengan peringatan dan pengakuan terbuka dalam ucapan presiden UMNO (bekas presiden)  Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi  bahawa  UMNO telah ditolak oleh rakyat  , jelas parti itu kini bagaikan berada dalam wad ICU. Sejujurnya tajuk Ucapan Dasar Masa Depan dan Survival Parti itu sendiri  menandakan seolah-olah  ia suatu surat wasiat terakhir sebelum keranda parti dibawa ke pusara.

Diagnosis ketua doktornya mengatakan ada virus maut yang sudah menjalar dalam tubuh UMNO menunggu saat dikuburkan , manakala attenden-attendennya pula mengatakan  UMNO maseh kuat tetapi sedang digugat oleh orang lain yang kini jauh lebih kuat !

Nampaknya pemimpin-pemimpin UMNO kehilangan punca . Menerima kekalahan bukan semakin membuat mereka menjadi lebih insaf malah bertambah angkuh. Lalu ungkapan-ungkapan akan menggunakan kekerasan untuk berperang habis-habisan dengan pihak lawan PRK  di Bukit Gantang dan Bukit Selambau adalah petanda virus yang sudah menguasai tubuh badan UMNO kini menyebabkan  mereka sudah semacam hilang kewarasan dan mengistiharkan penggunaan  politik tidak  siuman bila berdepan dengan pihak lawan..

Jika benar 5 faktor  (virus) yang didedahkan oleh Pak Lah adalah  penyumbang kepada penolakkan UMNO oleh rakyat maka ,apa yang disuarakan dengan sangat emosional oleh bekas Ketua Pergerakan Pemuda , Hishamuddin Hussein kelmarin dan digaungkan pula oleh wakil-wakil pemuda dalam persidangan tersebut  adalah samasekali bertentangan pada lafaz dan pada ruhnya.

DS Abdullah menjelaskan kerosakkan dalaman yang sedang menjangkiti ahli-ahli UMNO terutama dikalangan pemimpin-pemimpin UMNO dalam semua sayapnya , manakala  Hishamuddin dan  gerombolan pemudanya pula menyerang habis-habisan apa yang dikatakan sebagai ujudnya petualang bangsa.

TERAS berpendapat  menuduh orang lain sebagai petualang tidak akan merubah sentimen rakyat terhadap UMNO yang sudah tercemar itu. Soalnya rakyat juga boleh menempelak dengan pertanyaan  siapakah yang lebih petualang dari mereka yang sudah menjadi korup dan merosakkan UMNO dari dalam.

Dengan rekod 900 lebih aduan politik wang dalam UMNO dilapurkan kepada Lembaga Disiplin UMNO sepanjang kempen merebut jawatan dalam persidangan ini , bukankah bermakna petualang itu sebenarnya sudah bersarang  dalam UMNO itu sendiri , bukan di luar UMNO.

Sejujurnya pemuda-pemuda UMNO harus insaf dengan soalan parti dan pemimpin-pemimpin parti mana yang paling sarat dengan kerja petualangan yang  merosakkan bangsa Melayu ini dalam pelbagai aspek ekonomi , agama , sosio-budaya , bahasa  dan aset bangsa.

Jika pemimpin-pemimpin UMNO mendabik dada bahawa selama ini ia sudah  menjadi parti paling dominan  dalam kerajaan , maka apa yang menghalang mereka untuk memperbetulkan segala kepincangan dan realiti bahawa bangsa Melayu majoriti maseh terpinggir , tertinggal dan terkebelakang. Apakah dengan marah-marah mengecam orang lain boleh menyelesaikan masalah sedangkan ditangan mereka sendiri ada kuasa yang dimandatkan oleh rakyat selama lebih 52 tahun ini?

Jika sipetualang yang dituduh sepatutnya tidak dilepas dari penjara itu menjadi punca UMNO menjadi lemah , Pak Lah dengan jelas menerangkan bahawa watak-watak Melayu dalam UMNO itu sendirilah yang menyebabkan UMNO ditolak.

Apakah UMNO sudah menjadi sedemikian lemah sehingga hujah tidak boleh dipatahkan dengan hujah?

Untuk apa ucapan berapi-api tanpa isi dan huraian yang matang dilontarkan dalam persidangan UMNO 2009 ini ? . Sepatutnya mereka menunjukkan hujah dan ucapan  berkualiti tinggi , bukan melampiaskan ungkapan-ungkapan yang semakin mendedahkan  penyakit mereka yang meluap-luap bercambur sombong.

TERAS mengalu-alukan pengakuan Pak Lah bahawa  ” setelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin Umno tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan Umno”. Kami berpendapat sememangnya penyakit terpisah dari rakyat itulah yang menjadi karaktor pemimpin-pemimpin UMNO. Malah yang lebih parah lagi rakyat bawahan sering dijadikan alat oleh pemimpin UMNO untuk mendapat undi. Acara mengumpulkan rakyat kampong untuk mera’i kehadhiran pemimpin lebih bersifat sandiwara politik dari kejujuran sebenar untuk mendampingi rakyat.

Pandangan  Pak Lah juga bahawa UMNO mengamalkan  “tumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global” mendedahkan penyakit ujudnya jurang  maju-mundur , kaya-miskin yang melahirkan masyarakat berkasta. Pada pendapat TERAS , UMNO adalah parti yang sangat “Berjaya” mengujud dan mengukuhkan  sindrom feudal dan budaya elit antara pemimpin dan rakyat.

Dalam hujah Pak Lah mengenai “program-program politik Umno yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan” , TERAS berkomentar bahawa budaya politik UMNO itulah yang telah merosakkan generasi muda. Anak muda hanya menjadi alat dan perkakas meraka yang gila kuasa. Tidak ada program yang benar-benar memberi pengkayaan intelektual  dan penghayatan Islam yang jitu selain hanya mengindoktrinasi secara membuta-tuli agar anak muda hanya menerima UMNO tanpa soal. Lihat sahaja program BTN yang kononnya membina sikap dan nilai patriotism , namun pada hakikatnya menanam sikap perkauman chauvinisnistik dan benih kebencian kepada siapa dan pihak mana sahaja yang membangkang kerajaan.

Demikian juga soal “perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan didalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.” Ini bukan rahsia lagi. Fenomena  dan amalan politik cantas-mencantas , fitnah-menfitnah , beli-membeli , ugut-mengugut adalah asam garam dan rencah politik dalam UMNO. Tidak ada pihak yang boleh menghancurkan keluarga UMNO selain dari ahli-ahlinya sendiri. Siapa yang berani menafikan ujudnya  pelbagai sandiwara yang ada dalam UMNO dalam hal merebut kuasa. Lihat sahaja perebutan di peringkat UMNO Bahagian . Jika tidak dibiaya dengan ratusan ribu ringgit , mana mungkin seseorang Ketua Bahagian dapat mengekalkan jawatannya.  Oleh yang demikian , gara-gara apa yang mencetuskan gejala konspirasi politik sesama UMNO jika tidak dari godfather dan godmother  politik yang ada dalam UMNO.

TERAS menilai suasana bagaikan pasar di PWTC bila agen-agen calon bertempik-tempik dan menjerit-jerit untuk “menjual dan membeli” undi adalah gambaran UMNO yang sebenar. Tidak ada parti bukan  Melayu yang mempamirkan tabiat sebegini bila berkempen dalam parti .

Inilah yang mendedahkan UMNO sebagai parti politik yang paling ” mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak – bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negatif bahawa Umno adalah parti yang korup”. Realiti dalam UMNO ialah tiada wang tiada sokongan , tiada ganjaran tiada undi adalah “rule of the game”. Tiada yang dapat menafikan faktor wang adalah faktor paling utama dalam sepak teranjang politik UMNO.

TERAS berpandangan bukan faktor-faktor dalaman tersebut yang telah memberikan modal besar kepada musuh-musuh Umno untuk memburukkan Umno. Sebenarnya ahli-ahli UMNOlah yang saling memburukkan sesama mereka. Lantaran gelagat pemimpin-pemimpin UMNO yang boleh mengadai bangsa itulah yang menyebabkan pihak yang kritikal terhadap parti itu yang tidak dapat menerima UMNO lagi. Bukan kerana hendak memburuk-burukkan UMNO semata-mata.

Pak Lah mengungkit soal bola tanggung . TERAS berpendapat bola tanggung bukan suatu yang boleh diujudkan untuk memburukkan UMNO sahaja , malah polisi kerajaan dan cara UMNO memperalat pihak keselamatan , menyekat akses pihak  pembangkang  menyebar  maklumat dan  menghalang rakyat untuk mendapat  maklumat itulah yang banyak menjadi bola tanggung untuk rakyat semakin marah dan benci dengan UMNO.

Rakyat kini sudah semakin mangli alias lali  dengan hujah pemimpin-pemimpin UMNO. Yang meracuni minda rakyat adalah UMNO,  bukan sangat dari pihak lawan. Kenyataan yang bercanggah , mengguna kuasa sesuka hati sehingga hilang pertimbangan kemanusiaan serta memaksa rakyat membuta-tuli menyokong apa sahaja dari kerajaan walaupun salah adalah racun yang sebenarnya yang sedang disebarkan kepada rakyat.

Aneh lagi bila Pak Lah mengingatkan  Umno dan BN akan terkubur dalam pilihanraya umum akan datang jika semua peringkat kepemimpinan parti itu tidak  segera berubah dan bukannya mengulang langkah “order lama” yang mengekang kebebasan rakyat. Bukankah hanya beberapa hari yang lalu kekerasan dari pihak polis yang diarah oleh pihak kerajaan dibawah UMNO/BN telah menembak gas pemedih mata dan pancutan air beracun kepada wanita , kanak-kanak dan orang tua di Kuala Kangsar , KL dan Sg.Petani ? Tidakkah hanya tiga hari yang lalu pengantungan Harakah dan Suara Keadilan telah dikuatkuasakan oleh kerajaan UMNO/BN itu sendiri? Apakah isu penggulingan kerajaan Perak yang dikritik secara meluas bukan sahaja dari kalangan rakyat tetapi juga oleh golongan professional dan ahli akademik  , direst oleh Pak Lah sendiri.

“Order lama” yang mana yang dimaksudkan oleh Pak Lah? Yang rakyat tahu ialah “Order Lama” yang berkulit baru itu jualah yang kini terus berkuatkuasa.

Rasa meluat dan bertambah marah rakyat tidak akan dapat dibendung bila pemimpin-pemimpin mengucapkan hal-hal yang samasekali bertentangan dengan realiti. Seolah-olah rakyat ini bodoh . TERAS berpendapat memperbodohkan rakyat dengan ucapan beginilah yang akan menambahkan ammarah rakyat untuk menolak UMNO kini dan selamanya .

Kami merumuskan memang talian hayat UMNO sudah sangat menipis. Laluan lama yang dimaksudkan Pak Lah itu kami jangka akan kekal  jika dilihat fe’el lama yang maseh terus ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO kini.

MOhd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

Advertisements
Perihal

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan agenda melayu

Dikirim dalam Minda Presiden
One comment on “Reaksi TERAS terhadap ucapan dasar DS Abdullah Ahmad Badawi
  1. awang kata berkata:

    Kalau dah melampau begitulah jadinya. Mana konsep sederhana yang diwarwarkan selama ini. PPSMI melampau. UMNO melampau. Malaysia melampau. Apa salahnya mansuhkan PPSMI, Pekembar dikekalkan dan Tanah Melayu dikembalikan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 347,367 hits
Kalendar
Mac 2009
I S R K J S A
« Feb   Apr »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
%d bloggers like this: