Apabila Haji kehilangan roh penyatuan dan pengemblengan Ummah

Adalah dianggarkan dua juta umat Islam di seluruh dunia memenuhi kota Mekah untuk menunaikan haji pada setiap tahun. Terdapat banyak dimensi di dalam ibadat yang paling mencabar ini. Zafar Bangash, Pengarah Institut Pemikiran Islam Kontemporari mengemukakan beberapa aspek yang dilupakan sebagai sebahagian daripada ritual dan dengan itu meremehkan Haji.

Melaksanakan Ibadah Haji adalah suatu tuntutan Islam yang paling banyak menggunakan tenaga fizikal. Bukan sahaja ia melibatkan perlaksanaan rukun-rukunnya sahaja, bahkan seorang ahli jamaah Haji terpaksa meninggalkan untuk sementara waktu kerabat keluarga dan harta bendanya.

Pada hakikatnya ia bukan hanya satu perlakuan ibadah ketaatan tetapi juga  aksi dan sikap politik penuh kesedaran menentang ‘toghut’ (penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang berkuasa). Ia suatu perjuangan berpanjangan , menolak godaan  nafsu duniawi ,  hanya kerana inginkan rasa dekat dengan Allah dengan penuh pasrah kepadaNya.

Gajarannya juga besar. Rasulullah SAW menyatakan jika ibadat haji diterima, seseorang itu bagaikan bayi yang baru dilahirkan, bersih dari noda. Untuk mencapai tahap ini, seseorang Muslim perlu menyerah dirinya tanpa syarat kepada Allah, bersih dari sebarang rasa takut selain Allah dan bersih dari segala dorongan nafsu duniawi.

Lantaran itu diperintahkan para jemaah haji menyatakan secara beramai-ramai dengan suara yang kuat kalimah ‘talbiyah’ ; ‘LabbaikAllahumma labbaik, labbaika laa syariika laka labbaik, innalhamda, wani’mata, laka wal mulk, laa syariika lak’.

(Ya Allah, hari ini kami datang kepadaMu, menyahut panggilanMu, Kami datang kepadaMu. Segala puji bagiMu dan nikmatMu, dan Engkau pemilik kerajaan ini. Tiada syirik bagiMu)

“Talbiyyah” bukan hanya pernyataan lisan. Ianya komitmen bulat kepada Allah, menolak segala kuasa dunia yang menghalang perjalanan seorang insan menuju Allah.

“Ihram” – dua pakaian tanpa jahitan – pakaian wajib untuk kaum lelaki, bila meninggalkan Mekah ke Mina dan Arafah, iaitu Hari Wuquf. Hari Wuquf adalah peringatan yang kuat mengenai Hari Hisab dan Hari Hukuman terhadap setiap perbuatan manusia di muka bumi.

Perhimpunan di Padang Arafah itu adalah imbasan kepada Hari Pembalasan dan pakaian ‘ihram’ adalah simbol untuk mengingatkan bahawa bila seseorang itu menjadi mayat, pakaian sejenis itulah yang akan membaluti tubuh badannya.

Lantaran itu di Arafah, manusia diminta menumpukan sepenuh perhatian secara langsung kepada Allah. Yang diharapkan dan dipohon hanyalah rahmatNya dan keampunanNya.

Ini hanya dapat dirasai dan direalisasikan bila seseorang ahli jamaah Haji itu meletakkan dalam sanubarinya bahawa Allah sahaja yang menjadi Tuhan yang ditaati dan disembah , Dia sahaja yang diterima sebagai Tuhan yang  berkuasa mutlaq dan hanya hukum-hukumNya sahaja yang perlu di tegakkan di muka bumi ini. Inilah intisari pernyataan aqidah Tauhid kepada Allah S.W.T

Kesedaran ini, sayangnya , sangat lesu pada kaum Muslimin sekarang ini. Ini adalah sebahagiannya akibat dari sejarah Muslim yang lampau dan dorongan yang disengajakan untuk mengalihkan kaum Muslimin dari erti Islam sebagai Ad Deen yang sebenar kepada  Islam hanya sebagai agama ritual (adat resam) semata-mata.

Dalam sejarah , bila Islam adalah kuasa yang dominan, para penguasa tidak lagi memberi perhatian mengenai perlunya kaum Muslim menegaskan soal aqidah .Iaitu pernyataan yang tegas pemisahan antara kaum Muslimin dengan kaum Musyrikin yang terkandung dalam Syahadah “La ila ha illah” dan lafaz “La syarika lak”

Penegasan keTauhidan Allah dianggap tidak lagi perlu dinyatakan kerana kaum Muslimin sudah memegang kuasa.

Ini adalah tafsiran yang salah. Sementara setiap Muslim perlu memulihara dirinya dari sebarang serangan dan kesesatan yang melibatkan aqidah. , kaum Muslimin juga secara faktanya sekarang ini tidak memilikki kuasa lagi.

Malah kaum musyrikin dan pendokong sistem taoghut itulah yang kini berkuasa memanipulasi dan mencengkam kaum Muslimin dari menegakkan tuntutan Allah.

Lebih menyedihkan lagi penguasa yang menjaga Mekah dan Madinah (Haramain) yang ada masakini itulah yang nampaknya tidak mahu kaum Muslimin menyatakan penentangan terhadap sistem toghut dan menentang kemusyrikan.

Menjadikan Islam hanya dalam bentuk adat resam (ritual) telah menyebabkan  kedudukan kaum Muslimin sangat lemah. Dengan menumpukan kepada peribadatan ritual telah menyebabkan umat Islam merasa bahawa itu sahajalah yang perlu mereka lakukan.

Mereka terlalu menumpukan kepada segala persoalan mengenai fiqh Solat dan ia hanya dilakukan sebagai amalan ritual semata-mata. Padahal pengertian dan implikasi solah itu sangat mendalam namun  sering dilupakan.

Solat datang dari istilah “sila” yang bererti hubungan iaitu hubungan dengan Allah S.W.T. Bermakna Solat sepatutnya berperanan mengangkat darjat  insan mendekati Penciptanya. Ketika solah dilakukan secara berjamaah ia memberi makna yang lebih jauh iaitu hamba-hamba Allah menyatakan sikap politik dalam bentuk kolektif  ; iaitu semua manusia adalah sama disisi Allah S.W.T.  Dari kacamata Islam , harta dan pangkat tidak relevan.

Aspek solat seperti yang dinyatakan ini telah tersisih dalam persepsi kaum Muslimin.Dalam Al Quran solat di institusi dan dipiawaikan. ( Surah Baqarah : 03).

Solat sebagai penyegar hubungan insan dengan Allah sangat besar kesannya kepada kehidupan bermasyarakat. Bila ia menjadi institusi yang diseragamkan sebagai perintah Allah yang mesti dipatuhi oleh seluruh warga Muslimin , impak sosialnya sangat besar sekali.

. ….(surah 29.45).

Bermakna setiap perintah Allah bila dilakukan oleh seorang insan , jika tidak membawa kesan sosial iaitu tercetusnya kegiatan sosial yang aktif ,  maka ia tidak mencapai tujuannya yang sebenar. Setiap ibadah yang diperintah berfungsi memulihara masyarakat dari kesesatan , maka amalan itu  akan menjadi lompong , hanya bersifat satu dimensi dan hanya menjadi adat resam semata-mata.

Sebenarnya setiap ibadat khas yang ritual dalam Islam seperti solat mempunyai komponen sosial dan politik. Setiap amalan ibadat yang mengkondisikan kehendak manusia agar selari dengan kehendak Allah yang dilakukan oleh seorang Muslim  perlu berakhir dengan kesan sosial yang lebih luas.Jika tidak , tujuan ibadah itu akan terhenti hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Seorang insan mudah terheret kepada tumpuan mengumpul kesenangan dunia. Dengan sebab itu perhubungannya dengan Allah melalui amalan solat adalah sangat penting dan sangat kuat pengaruhnya. Akan tetapi solat bukan hanya bertujuan untuk  mengumpul pahala buat diri sendiri dalam maksud yang sempit. Akan tetapi tujuan sosial yang sangat mendalam ketika melakukan rukun fi’li (perbuatan) dan qauli (perkataan) dalam solat sangat perlu dihayati.

Secara bandingan ibadah Haji adalah jauh lebih kuat perhubungannya dengan Allah S.W.T. Allah sendiri telah menentukan perbuatan dan perkataan serta masa dan tempat yang perlu dilakukan ketika menunaikan Haji. Ia adalah jemputan khas dari Allah kepada hambaNya agar mengembara menuju ke RumahNya. …(3:97).

Akan tetapi jemputan khas ini telah dihalang oleh penguasa rumah Haramain – iaitu keluarga yang berada di rumah Saud. Mereka yang menetapkan hanya bilangan tertentu sahaja (satu peratus daripada setiap penduduk negara Islam) yang boleh menyahut panggilan ini kerana mereka mendakwa tidak punya keupayaaan untuk mengendalikan lautan manusia yang mengunjunginya setiap tahun.

Ternyata ketidakupayaan mereka telah menghalang umat Islam untuk menyahut panggilan Illahi ini.Pengakuan ini menunjukkan mereka sangat lemah dalam merancang ketibaan tetamu-tetamu Allah. Namun dalam masa yang sama mereka  ingin terus menguasai rumah Allah ini .

Pada hakikatnya mereka itu , yang sebenarnya mewakili bekas penjajah iaitu British , ingin meneruskan kuasa penjajahan mereka ke atas umat Islam.Padahal mereka tidak mempunyai hak untuk mengawal kemasukan umat Islam ke tanah suci ini dan tidak berhak mendakwa mempunyai kuasa mutlak ke atas Mekah dan Madinah.

Ini adalah isu yang sangat penting perlu dibicarakan oleh seluruh umat Islam.

Sebenarnya keadaan umat Islam yang sudah hilang kefahaman terhadap falsafah Haji punya sebabnya. Sebabnya bukan hanya datang dari pengetahuan yang cetek tetapi juga dari perancangan yang disengajakan oleh pihak yang berkuasa.

Sangat mengecewakan ialah  umat Islam tidak memahami untuk apa Allah memanggil mereka untuk menunaikan Haji. Kenapa mereka perlu berjalan jauh dan berbelanja wang mereka untuk  amalan ini juga tidak difahami sebabnya. Adakah hanya kerana mahu menziarah Ka’bah dan berkhemah di Mina ?

Sememangnya kedua perbuatan ini sarat dengan pengelaman yang sangat istimewa. Malah berapakah orang dari 1.8 bilion Muslimin di dunia ini yang dapat berkesempatan melakukan ibadat ini ?

Akan tetapi adakah ini sahaja yang perlu dilakukan oleh kaum Muslimin?

Kita harus bertanya : apa tujuan sebenar Haji dan adakah tujuan itu terealisasi pada sekarang ini.? Jika tidak , apa faktor-faktor yang menghalang kaum Muslimin mencapai tuntutan Al Quran dan ajaran Rasul dalam menunaikan Haji? Apakah tidak memadai hanya diwakilkan seorang insan sahaja menunaikan Haji bagi semua pihak yang lain?

Haji adalah menegakkan kembali perjuangan para Rasul iaitu bermula dari  Nabi  Ibrahim dan Nabi Ismail. Tetapi kita mesti ingat bahawa Nabi Ibrahim adalah penentang toghut di tanah airnya sendiri. Dengan menolak Tuhan-tuhan palsu yang disembah oleh kaumnya sendiri dan beliau menentang kuasa yang tidak sah dan kerana itu ia telah dilabelkan sebagai penentang sistem jahiliyyah yang berleluasa ketika itu , maka Nabi Ibrahim telah dihumban kedalam api namrud – api yang telah disejukkan dengan izin Allah.

Ini bermakna sesiapa yang berjuang menentang institusi yang zalim seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan komunti para Nabi , maka akan mendapat bantuan Allah seperti umat sebelumnya.

Adakah kita bersedia menentang toghut zaman moden ini , adakah memadai kita hanya melaksanakan ritual biasa dalam Haji tanpa memahami perjuangan  Nabi Ibrahim dan tanpa berusaha untuk menghidupkan ruh perjuangannya itu dalam diri kita?

Haji juga adalah perhimpunan  tahunan  umat Islam. Tujuannya adalah untuk mengujudkan kesatuan ummah. Ketika menunaikan Haji seharusnya ahli jamaah Haji saling mengenali dan mengambil tahu antara satu sama lain . Kehadhiran umat Islam dari seluruh pelusuk dunia tiada tandingnya dengan mana-mana perhimpunan dunia. Sayangnya ketika umat Islam selesai menunaikan segala rukun Haji , nyata sekali ramai yang tidak mengambil tahu nasib dan keadaan saudara-saudaranya yang tertindas di negara yang lain. Haji merupakan kesempatan yang terbaik untuk umat berbincang mengenai nasib dan penderitaan saudara-saudaranya. Namun ternyata ini tidak berlaku.

Ini berlaku  bukanlah secara kebetulan. Sikap ini sebenarnya sengaja ditanam.

Oleh itu untuk memahami bagaimana umat Islam berada dalam keadaan ini maka kita perlu memahami sejarah.

Pada akhir abad lalu British dan Perancis bersaing untuk menguasai Timur Tengah. Pihak British menyedari akan kepentingan Hijaz terutama sekali Mekah dan Madinah yang ditadbir oleh Khalifah Uthmani (Empayar Uthmaniah). Dengan kepintaran politik, mereka mengetahui bahawa dua kota ini adalah tempat penting bagi menggerakkan umat Islam.

Seorang Pegawai British, Kapten R. F. Burton, yang terkenal sebagai Richard burton menyuarakan kebimbangan seawal 1850-an bahawa Mekah dan Madinah boleh digunakan untuk menyebarkan idea yang boleh menjejaskan Britain, yang ketika itu sudahpun menjajah sebahagian besar negara Islam. Perkara ini dinyatakan dengan lebih jelas oleh Konsul British di Jeddah, yang bernama Zohrab. Dalam mesejnya kepada Pejabat Luar di London pada 1902, beliau menulis, “Perkara yang paling penting kepada politik England, saya percaya bahawa Hijaz adalah tumpuan utama pemikiran umat Islam dan nukleus yang mengeluarkan idea, nasihat, arahan dan implikasi dogmatik… Hijaz juga merupakan titik penting kepada England dan hubungannya dengan India… [Orang tertentu] saya mempercayai menunaikan haji atas alasan politik. Mekah adalah bebas daripada pencerobohan Eropah menjadi tempat selamat untuk mengadakan perhimpunan dan pertukaran idea. Hingga ke masa ini kita tidak pernah melihat siapa yang datang dan pergi… Oleh itu pertemuan boleh diadakan di Mekah untuk menentang kita mungkin dibentuk tanpa pengetahuan kita sehinggalah ia meletup…Jika Konsulat ini boleh mempercayai (menghantar dan ditugaskan)  ejen Mussalman di Mekah, saya percaya sumber intelegen yang amat bernilai boleh diperolehi” (al-Amr, Saleh Muhammad: The Hijaz under Ottoman Rule: 1869-1914: Riyadh, 1978).

Amaran Konsul British ini dipandang begitu serius di London sehingga Britain dengan segera melantik dua ejen “Mussalman” berkhidmat di Semenanjung Arab. Salah seorang darinya ialah Sharif Husain ibn Ali dari Mekah, yang dilantik oleh orang Turki sebagai Gabenor Hijaz pada November 1908; seorang lagi ialah Abdul Aziz ibn Saud, bapa kepada kerajaan Arab Saudi pada hari ini. Keduanya dibayar ₤5,000 sterling sebulan dan bayaran sekali gus berjumlah ₤20,000 setahun, menurut kenyataan 2 Mac 1922 oleh Winston Churchill, Setiausaha British bagi tanah jajahan ketika itu di Dewan Rakyat.

Dua ejen British itu pada mulanya melemahkan pemerintahan Turki di Semenanjung Arab, dan kemudiannya berperang antara satu sama lain untuk mengawal Hijaz. Abdul Aziz ibn Saud berjaya menjatuhkan Sharif Husain dan diusir keluar dari Hijaz.

Dalam usaha untuk menenangkan Sharif Husain, British membentuk Trans-Jordan dari wilayah Palestin yang berada di bawah penguasaan Turki (yang dikuasai oleh mereka pada 1918) dan meletakkan salah seorang anak Sharif Husain, Abdullah untuk menduduki takhta. Seorang lagi anaknya, Faisal, diserahkan untuk mengawal Syria. Faisal kemudiannya dihalau keluar tetapi British menjadikannya Raja Iraq, yang juga dikawal oleh mereka. Malah beliau tidak bertahan lama; nasionalis Baath Iraq membunuh cucunya Faisal II dan harapan keluarga Husain untuk memerintah seluruh Semenanjung Arab berkecai. Mereka hanya mengawal Jordan sahaja, di mana ia berterusan sehingga ke hari ini dengan gelaran “Kerajaan Hashimiyah Jordan” walaupun ia tidak lebih dari koloni Zionis-AS yang menjaga kepentingan musuh Islam.

Perompak Abdul Aziz ibn Saud, yang menyamun rombongan haji, meneruskan cengkamannya ke atas seluruh Semenanjung Arab termasuk Hijaz sehingga 1932, dengan  bantuan ketenteraan dan kewangan British. Beliau menamakan Arab “Saudi” yang mencabuli sepenuhnya Sunah Nabi (SAW) yang menamakan tanah yang dirahmati ini sebagai Semenanjung Arab. Abdul Aziz dan Aal-Saud terus bertindak sebagai ejen British sehingga Perang Dunia Kedua dan kemudiannya memindahkan kesetiaan mereka kepada Washington apabila AS muncul sebagai kuasa utama di pentas dunia. Sebagai sebahagian daripada tugasnya, keluarga Saud mencegah sebarang aktiviti pada musim haji yang boleh membawa kepada kritikan terhadap dasar AS. Keluarga Saudi lebih patuh kepada Amerika daripada Allah (SWT).

Inilah yang menjelaskan kenapa umat Islam dicegah daripada menggunakan haji sebagai tenaga penyatu bagi ummah atau sebagai kesempatan  untuk mencari penyelesaian kepada masalah mereka yang begitu banyak.

Kita juga harus ingat bahawa Keluarga Saud menganggap Semenanjung Arab termasuk Mekah dan Madinah sebagai harta keluarga mereka sendiri. Mereka enggan  mematuhi tuntutan  umat Islam berhubung status dan pentadbiran Haramain, sehingga 1957 , bila Nawab dari Hyderabad Deccan membayar subsidi tahunan £25 juta untuk penyelenggaraan kota Mekah dan Madinah dan untuk menguruskan perkhidmatan haji.

Minyak ditemui di Semenanjung Arab lebih awal tetapi syarikat minyak Barat membayar sedikit sahaja sehingga Keluarga Saud tidak mampu menyelenggara dengan sempurna kota Haramain tanpa bantuan luar. Hanyalah selepas 1957 mereka mula menanggung kos  penyelenggaraan itu sendiri. Ini menunjukkan bahawa ummah tidak pernah mengiktiraf Haramain sebagai harta persendirian Al-Saud; mereka adalah pemilik tidak sah tempat suci itu dan telah menyebabkan banyak kerosakan kepadanya.

Dengan dalih untuk menyediakan “perkhidmatan yang lebih baik” kepada para jemaah haji, tempat bersejarah Mekah dan Madinah secara sistematik diubah dan dimusnahkan.

Di kota itu telah muncul pusat perdagangan gaya Barat seakan-akan seperti mengkomersialkan secara berlebihan Krismas yang disambut di Amerika. Terdapat hotel lima bintang dan pusat membeli belah dengan rangkaian restoran makanan Amerika seperti Pizza Hut, Kentucky Fried Chicken, Starbucks (dengan logo dewi pujaan dan boleh dilihat secara langsung daripada Masjidil Haram!) dan McDonald’s yang menjual makanan segera “halal” kepada umat Islam yang bercita rasa Barat yang secara tidak langsung memusnahkan persekitaran rohaniah Mekah dan Madinah.

Mekah telah mengalami kemusnahan yang besar; bukan hanya bangunan tetapi seluruh pergunungan juga turut dimusnahkan.

Pemusnahan Madinah juga akan turut menyusul.Di seluruh dunia penduduknya memulihara tapak sejarah mereka sebagai monumen yang dihargai; namun Keluarga Saud pula sibuk memusnahkan tapak bersejarah Islam. Kini tiada lagi kesan rumah di mana Nabi (SAW) dilahirkan atau rumah di mana beliau tinggal bersama dengan Umu Mukminin Siti Khadijah (RA) di Mekah. Akhirnya tempat itu telah ditukarkan menjadi tandas. Tapak bersejarah Madinah telah mengalami pemusnahan yang sama. Sebaliknya bahan bersejarah yang mempromosikan sejarah Keluarga Saud telah dipulihara dengan baik sekali.

Sebagai tambahan kepada pemusnahan fizikal Mekah dan Madinah, terdapat usaha tersembunyi untuk mengosongkan ibadah haji daripada kandungan dan maknanya yang sebenar. Allah (SWT) berfirman di dalam al-Quran bahawa sewaktu haji umat Islam mestilah mengisytiharkan pemisahan mereka, baraa’a, daripada musyrik.

Firman Allah s.w.t  dalam surah At Taubah:3: “Dan inilah suatu pemakluman dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia pada hari haji akbar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir bahawa mereka akan mendapat siksa yang pedih.” .

Ayat ini diturunkan dalam tahun kesembilan Hijrah apabila umat Islam diketuai oleh Saidina Abu Bakar (ra), telah meninggalkan Madinah untuk mengerjakan Haji. Nabi (SAW) dengan segera mengutuskan Imam Ali (ra) untuk mengisytiharkan ayat ini pada musim Haji.

Pemisahan yang jelas dan terbuka daripada musyrik adalah perintah dari Al-Quran, di bawah dogma rasmi dan sejarah. Malangnya ia telah ditinggalkan dan hampir dilupakan sepenuhnya. Seseorang itu mestilah bertanyakan kenapa begitu sedikit ulama menarik perhatian kepada perintah penting daripada al-Quran ini. Pada hakikatnya ayat ini jarang atau tidak pernah disebut dalam konteks Haji. Kenapa? Adakah umat Islam tidak menderita di tangan golongan musyrik pada hari ini – pemerintah Amerika, Britain, Perancis, Israel, India dan lain-lain? Jika jawapannya ya (dan tidak terdapat jawapan lain), kenapakah musim Haji tidak digunakan untuk mengerakkan ummah untuk mempertahankan umat Islam daripada jenayah musuh Islam?

Berapa banyakkah lagi penderitaan yang mesti ditanggung oleh umat Islam sebelum Haji boleh dikembalikan kepada peranannya yang sebenar: iaitu sebagai titik permulaan tahunan yang unik untuk mengembalikan perpaduan ummah, komitmen kepada Allah dan penegasan kita untuk berdiri mempertahankan diri terhadap semua kuasa penindas di dunia selaras dengan perintah Tuhan dan memenuhi contoh yang telah ditunjukkan oleh pesuruh Allah (SAW).

Kesengsaraan penduduk Palestin dan pendudukan al-Quds yang berterusan oleh Zionis, jenayah kejam di Iraq, Afrghanistan, Kashmir dan Chechnya, dan kezaliman lain di mana-mana sahaja, adalah alasan yang kuat kenapa menjadikan Haji  sebagai pertemuan untuk menggerakkan umat Islam menentang musuh Islam dan ummah.

Seterusnya dalam tahun ke sepuluh Hijrah, apabila Nabi (SAW) memberikan kuthbah perpisahan, ia memberikan satu kesan yang nyata bahawa beliau menyampaikan kepada umat Islam yang berhimpun itu hujah utama Ad-Deen mereka. Hujah ini mereka perlu bawa untuk semua manusia, ketika mereka menunaikan Haji – satu-satunya Haji selepas baginda  berhijrah ke Madinah. Baginda bercakap dalam istilah yang khusus dan luas mengenai sahsiyyah Islam, dan mengenai makna keadilan ekonomi dan sosial. Mesej perpisahan ini adalah sebahagian dan merupakan ritual Haji pada awalnya; bermakna bahawa Haji tidak akan lengkap tanpa doa ini – doa yang diikrarkan dengan kenyataan, “Aku telah meninggalkan dalam kalangan kamu yang mana jika kamu berpegang teguh kepadanya kamu tidak akan berada di jalan yang salah: Al-Quran kitab suci Allah dan sunahku.”

Golongan intelektual di Semenanjung Arab begitu menyanjung Sunnah sehingga mengangkatnya lebih penting dari , malah mengatasi Al-Quran itu sendiri.

Jika begitu , apakah Sunnah berikut tidak penting ? : bercakap mengenai keadilan sosial ketika haji, menghukum mereka yang menjadi hamba ekonomi dengan menginstitusikan riba, mengesahkan demokrasi sebagai sebagai alasan itu melakukan pembunuhan beramai-ramai, menyerahkan pemilikan harta kepada mereka yang berhak ke atasnya , menggerakkan separuh daripada penduduk dunia yang kini dinafikan hak mereka , malah  terus dicabuli dan menentang barah  rasisme dan militarisme yang disemai oleh golongan penindas.

Apakah salahnya  pemimpin dan  umat Islam mengerjakan Haji bersama-sama? Apakah salahnya pemimpin ini yang menyediakan panduan dan menyampaikan kata-kata hikmah, tanggungjawab, inspirasi dan motivasi kepada umat Islam apabila mereka berkumpul beramai-ramai di musin Haji? Siapa lagi selain daripada Allah (SWT) yang menciptakan sebuah forum sedemikian unik untuk membolehkan pemimpin-pemimpin bercakap demi menangani masalah umat Islam?

Adakah sesiapa terfikir bagaimana sukarnya untuk mengumpulkan begitu ramai orang untuk membangunkan  kesedaran sosial dalam suatu peristiwa sehebat ibadat Haji?

Ini adalah kerana mereka yang memerintah di tanah suci umat Islam ini tidak berhajat samasekali untuk memberi panduan kepada ummah. Sebab itulah mereka bersembunyi di dalam istana mewah mereka atau bercuti sewaktu musim Haji di villa mereka yang terletak di tepi sungai yang indah . Sebab itulah juga mereka pada waktu yang lain melakukan Haji eksekutif dengan memastikan Baitul Haram disunyikan dari masyarakat  supaya mereka dapat melakukan tawaf dan sa’i jauh daripada pemandangan orang ramai dan jauh daripada kutukan dan rasa meluat  umat Islam yang menderita di dunia ini.

Haji menuntut mereka untuk berdiri samarata dengan semua kaum Muslimin yang lain . Ia membangkit keinsafan kepada semua bahawa setiap orang bertanggungjawab ke atas setiap perlakuan masing-masing.

Soalnya , siapa dikalangan kita yang sanggup menyatakan pemimpin-pemimpin kitalah yang bertangungjawab keatas kesengsaraan kaum Muslimin di merata dunia? Siapa yang sangup menyatakan ini semasa Haji? Siapa yang sanggup menegaskan bahawa  pemimpin-pemimpin Islam  seharusnya bersama menunaikan Haji sebagai sebahagian dari Sunnah yang perlu dilaksanakan?

Jawabnya tiada yang sanggup.

Pertimbangkan contoh berikut: Sesudah Rasulullah s.a.w wafat , bila kaum Muslimin berada dalam keadaan krisis politik pada zaman khalifah ketiga iaitu dihujung pemerintahan Uthmaniyyah , 600 orang wakil tiap satu dari Kufa , Basra dan Mesir semasa Haji berkumpul untuk membincangkan maslahah ummah secara berdepan dengan pemimpin-pemimpin Islam.

Bilakah zaman terakhir yang dapat kita lihat  pengikut berani dan tahu menegur golongan  pemimpin tanpa rasa takut diugut atau dipenjara oleh pihak yang berkuasa? Bilakah Haji terakhir yang memberi peluang kepada kaum Muslimin berbincang mengenai hal ehwal Islam tanpa diambil tindakan oleh pihak militari dibawah regim zalim? Bilakah yang terakhir kita dapat melihat ketua-ketua negara  bebas dari kawalan keselamatan bila berada dikhalayak ramai? Bilakah pernah diadakan perbincangan mengenai nasib umat Islam tertindas diseluruh dunia dan menggariskan strategi yang perlu diambil?

Jawabnya sudah tidak berlaku lagi sehingga hari ini.

Ini adalah kerana hubungan antara umat Islam dan pemimpin-pemimpin Islam sudah tidak ujud lagi. Haji sepatutnya melambangkan hal itu.

Allah menegaskan mengenai tujuan rumah pertama , Baitullah dibina……… ( 3:96)

Apa yang bermula dengan niat hanya kerana Allah harus berakhir dengan rahmat dan petunjuk untuk seluruh alam ; bermakna hubungan antara saudara Muslim ( pemimpin dan yang dipimpin) perlu mengujudkan hubungan yang harmonis pula dengan  semua ciptaan Allah yang lain pula.

Semenjak beberapa dekad yang lalu jumlah jamaah Haji bertambah dari ratusan ribu kepada jutaan orang. Dengan jumlah yang bertambah untuk menyahut panggilan Allah , sudahkah dunia melihat kebuluran dan kemiskinan berkurangan , bilangan pelarian dan mereka yang semakin terhimpit dan berada dalam keadaan menderita juga semakin menurun?

Jawabnya tidak.

Kenapa jumlah Haji bertambah namun yang menderita di dunia tidak pula berkurangan malah semakin bertambah? Bukankah yang sepatutnya berlaku adalah disebaliknya?

Jadi apakah bezanya antara Haji jutaan umat dengan Haji Rasulullah s.a.w atau Haji para Khalifah?

Apa yang jelas kehilangan ialah ketiadaan mobilisasi dan aktivisme massa untuk mengembalikan keadilan sosial dalam dunia agar memberi rahmat kepada sekalian alam.

Ini memerlukan para pemimpin yang cergas , peka dan dinamik untuk  menyusun program. Kita memerlukan pemimpin bersama sebaris dengan umat yang tertindas . Hanya dengan ini sahaja , Haji boleh menjadi sebuah konferensi dunia  selayaknya untuk umat Islam.

Lihat ayat Ali Imran …..(9:104)

Juga “……(3:97)

Setiap Muslim seharusnya berada dalam keadaan sihat , secara kewangan mahupun fizikal untuk melaksanakan tanggungjawab Haji iaitu ” perjalanan sekali seumur hidup ini”. Mereka perlu melunaskan segala hutang dan bersiap dengan kekuatan fizikal untuk melaksanakan upacara Haji. Adakah kehendak Rasulullah s.a.w ini hanya bermaksud untuk seorang ahli Haji hanya bersegera melaksanakan  segala rukun Haji yang ritual itu dan pulang tanpa ada rasa tanggungjawab sosial? Adakah Haji hanya sebuah perhimpunan sosial ataukah hanya 2 juta individu manusia yang berkumpul setiap tahun?

Nyata dalam ayat yang diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa terdapat dua syarat terpenting iaitu melunaskan hutang dan tubuh badan yang sihat . Nampaknya dalam dunia sekarang mereka yang muda dan kuat tubuh badan ramai pula yang tersangkut dengan hutang , manakala yang telah dapat melunaskan hutang adalah mereka yang berada dalam usia yang tua , tidak punya kekuatan fizikal dan uzur. Kedua-duanya nampak tidak memenuhi syarat yang dikehendakki untuk menunaikan segala rukun Haji jika hanya ritual itu sahaja yang ada dalam minda seorang yang berniat untuk menunaikan Haji.

Hutang dan berpenyakit atau uzur adalah sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku dikalangan orang Islam secara berterusan. Namun kenapa ini pula yang berlaku ?

Allah memberi jawapan kepada persoalan ini :………. (3:98-99)

Perkataan Kufr dalam ayat ini merujuk semula kepada ayat 3:97 menjelaskan sesuatu yang sudah jelas. Kenapa kamu , Ahl Kitab , menghalang mereka yang mahu ke rumah Allah untuk menyahut panggilanNya?

Apakah halangan-halangan itu?

Kita tahu tentang krisis kewangan global sekarang : kaum Muslimin menerima kesan lebih parah dari yang lain. Jika anda tidak mampu membeli makanan sendiri anda tidak akan terfikir untuk pergi menunaikan Haji.

Terdapat juga isu keselamatan di kawasan Semenanjung Arab. Di sebelah Barat ada Somalia dan Sudan , ke utara ada Palestin dan Iraq yang diceroboh dan dijajah, demikian juga ugutan terus-menerus terhadap Lebanon , Jordan dan Syria . Disebelah Timur

terdapat sekatan ekonomi yang berterusan terhadap Republik Islam, dan juga pencerobohan di Afghanistan  bersama dengan ketidakstabilan di Pakistan; dan ke selatan terdapat ancaman baru daripada lanun di kawasan perairan itu.

Kemudian sudah tentu terdapat penjajahan yang masih berkekalan yang kini dilakukan oleh Amerika dan Eropah iaitu memaksakan ujudnya model negara bangsa dan menguatkuasakan visa terhad dan kuota yang dikenakan terhadap umat Islam  untuk menunaikan Haji.

Semua ini  menunjukkan  cara Ahl al-Kitab menguruskan dunia selama empat abad yang lalu. Adakah semua ini satu kebetulan? Atau adakah ini cara budaya kuasa Judeo-Christian di dunia ini mahukan?

Bolehkah hutang yang telah mengikat  banyak negara dan penduduk dunia, ditambah dengan situasi keselamatan yang tidak stabil di Negara-negara Islam membolehkan umat Islam yang sihat dan penuh bertenaga  menyahut  arahan pembebasan dan kebebasan daripada Allah (SWT) ketika mengerjakan Haji?

Bebas dari hutang dan tubuh badan yang sihat diperlukan untuk menunaikan Haji  kerana hanya mereka yang berada dalam kedudukan yang baik sahaja boleh  kembali dan membuat perubahan yang diperlukan. Mereka inilah yang mampu dari segi fizikal untuk mempertahankan dan menegakkan kebenaran dan keadilan; mereka inilah yang bertenaga dan tidak disibukkan untuk bekerja untuk melunaskan hutang. Mereka  bebas dan membebaskan nurani mereka agar dapat menumpukan kepada kerja yang lebih besar untuk menstabilkan dunia di sekeliling mereka. Mereka inilah  yang diperlukan menunaikan Haji dan menerima arahan untuk bertindak, mengembalikan kedaulatan Islam dan melancarkan  revolusi ummah. Mereka inilah jua yang perlu melaksanakan perintah suci apabila mereka kembali semula ke kediaman mereka masing-masing.

Mekah adalah enjin, Al-Quran dan Sunnah adalah cetusan api, dan umat Islam yang menunaikan haji merupakan piston yang mencetuskan api dalam bentuk gerakan menentang kuasa rasuah, penindasan, penjajahan, zionisme, materialisme, militarisme, korporatisme, atheisme dan segala jenayah terancang yang berleluasa sekarang ini.

Penjajaran dan pengharmonian semula semua ini untuk mengujudkan  keseimbangan kehidupan perlu diterjemahkan setahun sekali di markaz besar  Ummah iaitu di Mekah .Umat Islam yang kukuh dan kuat dan bersemangat sahaja yang dapat merealisasikan tugas yang maha berat ini.

Sedar tidak sedar terdapat hubungan saling mempengaruhi antara perlaksanaan amalan rukun Haji yang hanya dilakukan secara ritual dengan pengolahan fizikal gaya Barat yang diujudkan di persekitaran kota suci Haramain oleh keluarga Saud. Keduanya adalah untuk memastikan umat Islam tertumpu atau tertarik kepada  perkara keduniaan. Amalan ritual Haji dan budaya kepenggunaan yang paling jelik dalam pasaran disatukan . Ini dengan sengaja diolah supaya umat Islam tidak mempunyai masa untuk memberi  perhatian kepada berfikir , merancang dan melaksana penyelesaian terhadap pebagai masalah yang dihadapi oleh Ummah.

Mendedahkan siapa musuh Islam juga akan mendedahkan keluarga Saud sebagai ejen mereka. Inilah yang hendak mereka elakkan kerana ini akan menyukarkan mereka untuk terus mengawal Haramain.

Halangan mereka untuk umat melaksanakan perintah suci Haji dan segala tuntutan dan ertinya yang sebenar  adalah pencabulan sepenuhnya terhadap Islam dan adalah bid’ah yang paling buruk.

Adakah umat Islam sanggup untuk mengubah semua ini atau adakah mereka mahu terus berpuas hati dengan tidak mempedulikan aspek Haji yang paling penting ini. Jika ya , maka umat Islam akan mendedahkan diri mereka sendiri kepada  kesan yang tidak dapat dielakkan lagi apabila mereka turut merestui pencabulan ke atas perintah Allah (SWT)?

Sumber: Crescent International, Disember 2008

Advertisements
Perihal

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan agenda melayu

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 347,365 hits
Kalendar
April 2009
I S R K J S A
« Mac   Mei »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  
%d bloggers like this: