Raja dan Hubungannya dengan Islam-Sorotan Sejarah Kesultanan Melayu Menuju Era Masa Depan

oleh

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS Pengupayaan Melayu

*Kertas ini dibentang sempena Muzakarah Ulama 2009  anjuran jabatan Mufti Perak Darul Redhuan

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan , serta memberi bantuan kepada kaum kerabat , melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.( An nahl : 90)

Membicarakan sejarah raja dan Islam di tanah Melayu merupakan sebuah sejarah besar. Bukan sahaja kedatangan Islam dan perkembangannya berkait rapat antara istana dan pewartaan Islam sebagai “ law of the land” malah ia juga mengkisahkan istana dan segala kebesarannya telah beraleh paksinya dari bersifat pemujaan yang sarat dengan nilai keberhalaan dan ketahyulan dewa-dewa  kepada institusi yang menjadi pelindung kepada agama Islam berdasarkan pemikiran dan pegangan hidup yang murni dan rasional .

Lantaran itu perhatian  perlu diberi kepada bagaimana raja-raja menjadi pendorong kepada pengislaman seluruh warga di bawah pemerintahannya bermula dari da’wah yang disampaikan oleh ulama dan para mubaligh kepada rakyat sehinggalah memasukki pintu gerbang istana.

Mengikut sebuah teori pengislaman yang menyatakan ia datang dari Semenanjung Arab , pengislaman raja-raja Melayu oleh syeikh dari Arab tercatat dalam Hikayat Raja-Raja Pasai. – Keturunan sufi. Malah pengembangan Islam bertambah luas bila da’wah oleh mubaligh dari Semenanjung Arab berjaya  mengislamkan Merah Silu ( Malik al-Salih. ) Raja Pattani – Phaya Tu Nakpa – yang diislamkan Syeikh Said

Yang nyata penarikan kepada Islam oleh raja-raja dan pembesar istana Melayu adalah kerana nilai Islam yang murni ,amalan pendakwah Islam yang mengamalkan nilai Islam yang murni , kejujuran bila berdagang , mementingkan kebersihan dan berhemah tinggi.

Demikian catatan tentang pengislaman Raja-raja Melayu terdapat di dalam  , Hikayat Raja-Raja Pasai ,Hikayat Merong Mahawangsa – Raja Kedah diislamkan oleh Syeikh Abdullah al-Yamani, Hikayat Acheh – Syed Abdullah Ariff berusaha kembangkan Islam. , Sejarah Kepulauan Sulu – Sharif Hassan dan Awlia sebar Islam di Sulu.

Oleh yang demikian dalam konteks sejarah Islam di Tanah Melayu , peranan raja  dalam memartabatkan Islam  sangat signifikan . Ketika sekitar abad ke 14 kedatangan Islam ke tanah Melayu diterokai oleh seorang ulama bernama Sidi Abdul Aziz dari Jeddah .

Kerajaan Kesultanan Melayu Islam Melaka

Pada tahun 1414 , Islamnya Parameswara dengan mengambil nama Sultan Megat Iskandar Shah, merupakan peristiwa penting dalam pemelukan Islam oleh orang-orang Melayu di tanah Melayu. Baginda telah memeluk Islam selepas perkahwinannya dengan seorang puteri dari Pasai.

Hanya bila Sultan Melayu Melaka ke IV iaitu Sultan Muzaffar Shah (1445-1459) menaiki takhta Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu.

Bukan sahaja Kesultanan Melayu Melaka ketika itu amat gagah dari sudut militeri yang dapat menangkis serangan Siam dan juga sebagai pusat perdagangan rantau Melayu paling tersohor , malah ia menjadi pusat da’wah Islam yang sangat dipesat. Zaman kegemilangan kesultanan Melaka malah berpanjangan hingga  Sultan Melaka ke V iaitu Sultan Mansur Shah (1459-1477). Sultan Mansur Shah telah menyambung tali persahabatan dengan kerajaan sehingga ke Syam, Majapahit, dan Tiongkok.

Hanya bila Sultan Melaka ke VII iaitu Sultan Mahmud Shah (1488-1511) kekuatan Kesultanan Melayu Melaka mula merosot.

Pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar “Benggali Putih” oleh orang tempatan. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri, disamping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan.

Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka. Albuquerque membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Shah. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos 1511. Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negera China.

Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura), beliau terus menerima ufti dan kesetiaan dari kawasan-kawasan sekeliling yang diberinya sewaktu beliau masih menjadi Sultan Melaka. Sultan Mahmud Shah menjadi ketua gabungan Melayu dan berkali-kali menyerang Melaka. Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.

Pada 1526, pihak Portugis membalas dengan seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dan memusnahkan ibu kota Bentan. Sultan Mahmud Shah melarikannya ke Kampar, Sumatera tetapi anakandanya, Tengku Alauddin Shah tinggal dan mengembangkan Johor sebagai sebuah empayar yang berkuasa dan yang mencapai keunggulannya pada abad ke-18 dan ke-19. Lagi seorang anakanda Sultan Mahmud Shah, Tengku Muzaffar Shah, dijemput oleh orang-orang utara untuk menjadi sultan mereka dan beliau mengasaskan Kesultanan Perak.

Sultan Mahmud Shah mangkat dua tahun kemudian di Kampar pada tahun 1526.

Kerajaan Raja Melayu Islam Mataram (1584-1677)

Kesultanan mataram memiliki peranan yang cukup penting dalam perjalanan secara kerajaan-kerajaan islam di Nusantara (indonesia). Hal ini terlihat dari semangat raja-raja untuk memperluas daerah kekuasaan dan mengislamkan para penduduk daerah kekuasaannya, keterlibatan para pemuka agama, hingga pengembangan kebudayaan yang bercorak islam di jawa.

Kerajaan Raja Melayu Islam  Demak Bintara

Demak adalah kesultanan atau kerajaan islam pertama di pulau jawa. Kerajaan ini didirikan oleh Raden Patah (1478-1518) pada tahun 1478, Raden patah adalah bangsawan kerajaan Majapahit yang menjabat sebagai adipati kadipaten Bintara, Demak. Pamor kesultanan ini didapatkan dari Walisanga, yang terdiri atas sembilan orang ulama besar, pendakwah islam paling awal di pulau jawa.

Atas bantuan daerah-daerah lain yang sudah lebih dahulu menganut islam seperti Jepara, Tuban dan Gresik, Raden patah sebagai adipati Islam di Demak memutuskan ikatan dengan Majapahit saat itu, Majapahit memang tengah berada dalam kondisi yang sangat lemah. Dengan proklamasi itu, Radeh Patah menyatakan kemandirian Demak dan mengambil gelar Sultan Syah Alam Akbar.

Pada awal abad ke 14, Kaisar Yan Lu dari Dinasti Ming di China mengirimkan seorang putri kepada raja Brawijaya V di Majapahit, sebagai tanda persahabatan kedua negara. Putri yang cantik jelita dan pintar ini segera mendapat tempat istimewa di hati raja. Raja brawijaya sangat tunduk kepada semua kemauan sang putri jelita, hingga membawa banyak pertentangan dalam istana majapahit. Pasalnya sang putri telah berakidah tauhid. Saat itu, Brawijaya sudah memiliki permaisuri yang berasal dari Champa (sekarang bernama kamboja), masih kerabat Raja Champa.

Kerajaan Raja  Melayu Islam Aceh Darussalam

Sejarah Islam, Kesultanan aceh berdiri pada tahun 1514, terletak di ujung utara pulau Sumatra. Pendirinya adalah sultan Ali Mughayat Syah yang bertakhta dari tahun 1514 – 1530. Pada tahun 1520, beliau memulai gerakan militernya untuk menguasai bagian utara Sumatra. Dalam sejarah ini Operasi pertamanya dilakukan di Daya, di sebelah barat laut, yang menurut Time Pires belum mengenal islam. Selanjutnya, Ali mughayat Syah melebarkan sayap sampai ke pantai timur yang terkenal kaya akan rempah-rempah dan emas.

Untuk memperkuat perekonomian rakyat dan kekuatan militeri laut, didirikannya banyak pelabuhan. Penyeberangan ke Deli dan Aru adalah perluasan daerah terakhir yang dilakukan oleh sultan Ali Mughayat. Sultan juga mampu mengusir garnisun Portugis dari daerah Deli, yang meliputi Pedir dan Pasai. Namun saat penyeberangan terhadap Aru (1824), tentara Ali Mughayat dapat dikalahkan oleh Armada Portugis.

Selain mengancam portugis sebagai pemilik kekuatan militer laut di kawasan itu, tindakan militeri Sultan Ali Mughayat Syah ternyata juga mengancam Kesultanan Johor. Pada tahun 1521 kesultanan Aceh diperluas sampai Pidie, dan pada tahun 1524 ke pasai dan Aru, kemudian menyusul Perlak, Tamiang, dan Lamuri. Kesultanan Aceh Darusalam merupakan kelanjutan dari kesultanan Samudra pasai yang hancur pada abad ke 14.

Kemuncak pemerintahan Aceh ialah ketika zaman Sultan Iskandar Muda (1607 – 1636). Ketika zaman beliau, Aceh berjaya melemahkan Portugis di Melaka dan meluaskan pengaruhnya di Sumatera dan Semenanjung Melayu. Selain itu, Aceh juga turut mengadakan hubungan diplomasi dengan negeri-negeri di sekitar Lautan Hindi dan juga berjaya mendominasi perdagangan di Selat Melaka.

Dalam lapangan pembinaan kesusasteraan dan ilmu agama, Aceh telah melahirkan beberapa ulama ternama, yang karangan mereka menjadi rujukan utama dalam bidang masing-masing, seperti Hamzah Fansuri dalam bukunya Tabyan Fi Ma’rifati al-U Adyan, Syamsuddin al-Sumatrani dalam bukunya Mi’raj al-Muhakikin al-Iman, Nuruddin ar-Raniry dalam bukunya Sirat al-Mustaqim, dan Syekh Abdul Rauf Singkili dalam bukunya Mi’raj al-Tulabb Fi Fashil.

Kesultanan Melayu Islam Pattani

Kesultanan Melayu islam Pattani tidak dapat dinafikan adalah keSultanan Melayu Islam tertua dan paling unggul di seawal abad ke 13.  Institusi Kesultanan Raja Melayu Islam Pattani telah berjaya menjadikan wilayah Pattani sebagai pusat perdagangan , pusat ilmu , pusat da’wah serta pusat politik yang sangat disegani. Ia melahirkan cendikiawan dan ulama Islam yang sangat akrab dengan pemerintahan sehingga perjalanan Kesultanan Melayu Islam Pattani sangat dicorak oleh panduan Islam . Kejatuhan Pattani Darus Salam sangat malang akibat dari penjajahn Siam yang telah dipermudahkan oleh British. Perjanjian Bangkok 1909 telah melenyapkan Pattani sebgai sebuah negara berdaulat sehingga mencetuskan gerakan pembebasan Pattani sampai sekarang. Yang jelas ialah Raja-raja Melayu telah  menumpang kekuatan Pattani berkurun-kurun lamanya. Malah Islam terserlah di rantau ini juga adalah dari kegemilangan Kesulatan Pattani.

RAJA SEBAGAI KETUA AGAMA  DALAM PERLEMBAGAAN.

Dalam Perlembagaan Raja-raja diperundangkan sebagai Ketua Agama Islam. Kecuali negeri yang tidak mempunyai Raja maka Yang diPertuan Agong dimandatkan untuk menjadi Ketua Agama . Demikian diperuntukkan dalam Perlembagaan :

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

Wibawa raja sebagai Ketua Agama diperkukuhkan lagi dalam bidangkuasa yang dicatat  dalam perkara 38 (2) diperincikan peranan dan tugas-tugas Majlis Raja-Raja iaitu :

b. mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau acara ugama meliputi seluruh Persekutuan;

Bermakna kalau ditinjau di dalam lebih mendalam institusi ini berperanan sebagai satu institusi tertinggi dan rasmi di peringkat persekutuan mengenai hal-hal pentadbiran agama dan agama Islam.

Roh kepada perhubungan kedudukan Raja dengan Islam semakin terserlah jika diperhatikan watikah ikrar dalam majlis pertabalan DYMM YangdiPertuan Agong:

Jadual Keempat

(Perkara 37)

Bahagian I

SUMPAH JAWATAN BAGI RAJA YANG MENJALANKAN TUGAS-TUGAS YANG DI-PERTUAN AGONG

Kami ……………………………………. ibni ……………………………………. Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan: Wallahi; Wabillahi; Watallahi; Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang dan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhorkan dan yang akan disah dan dimasyhorkan di masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Ugama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

Jadual Keempat

(Perkara 37)

Bahagian II

SUMPAH JAWATAN BAGI TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG

Kami ……………………………………. ibni ……………………………………. yang telah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan: Wallahi; Wabillahi; Watallahi; dan dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan tanggungan kami yang telah ditetapkan dan yang akan ditetapkan pada suatu masa ke suatu masa yang ke hadapan ini oleh Undang-undang dan Perlembagaan Negeri Malaysia.

Sebagai Ketua Negara, baginda mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang dikanunkan dalam Perlembagaan. Baginda juga mempunyai peranan dan fungsi dalam tiga cabang Kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

MAJLIS RAJA-RAJA.

Majlis Raja-raja bermula dengan apa yang dinamakan sebagai Persidangan Durbar Raja-Raja dari empat buah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu  ( Perak , Pahang , Selangor dan Negeri Sembilan) dengan kehadhiran  pegawai-pegawai Inggeris pada tahun 1896. Raja-raja dari Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Kedah , Kelantan , Trengganu dan Johor kemudiannya diundang namun mereka enggan kerana dianggap layanan dan kehadhiran pegawai Inggeris menghina kedudukan Raja Melayu sebagai pemerintah di negeri masing-masing. Secara formal Majlis Raja-Raja yang ada sekarang bermula  pada tahun 1946, di bawah gagasan Malayan Union. Ia pertamakalinya disertai oleh semua sembilan orang Baginda Raja-Raja Melayu dengan peranan dan kuasa yang terhad.

Bila orang Melayu bangkit menentang gagasan Malayan Union yang ditaja Inggeris , sebuah perlembagaan baru dirangka pada tahun 1948.

Setelah Suruhanjaya Reid ditubuhkan dan memulakan tugas mengumpulkan cadangan ia (Suruhanjaya Reid ) tidak membuat apa-apa syor atapun memberikan apa-apa peranan penting kapada Majlis Raja-Raja. Ia sekadar menyebut kuasa Majlis Raja-Raja hanyalah melantik BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGUNG .

Namun didalam peruntukan perkara 38 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan “Maka hendaklah ada suatu Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan mengikut jadual kelima. “ dan menjelaskan  Majlis Raja-raja mempunyai kedudukan , wibawa , kuasa yang formal dalam perlembagaan.

Kedudukan tinggi ahli-ahli majlis, iaitu raja-raja Melayu , turut memberikan sumbangan meneguhkan kewibawaan majlis dalam perjalanan pentadbiran di Persekutuan.

Di dalam perkara 38 (2) diperincikan peranan dan tugas-tugas Majlis Raja-Raja mengenai soal agama iaitu :

b. mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau acara ugama meliputi seluruh Persekutuan;

Malah dalam soal dasar negara Majlis Raja-raja juga mempunyai kuasa yang dicatat dalam perkara 38 (2) (c) seperti berikut:

c. mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki di buat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;

Ditambah lagi mengenai dasar negara  Perlembagaan ada menyebutkan mengenai tugas, kuasa dan peranan Majlis Raja-Raja. dalam Perkara 38 (3):

“ Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain dan Gabenor-Gabenor disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri mereka; dan pertimbangan-pertimba-ngan itu adalah antara tugas-tugas yang dijalan-kan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri Dan oleh Raja-Raja yang lain dan Gabenor-Gabenor mengikut Nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan mereka.”

Kalau ditinjau di dalam lebih mendalam institusi ini berperanan sebagai satu institusi tertinggi dan rasmi di peringkat persekutuan mengenai hal-hal pentadbiran agama dan agama Islam. Sedutan klausa-klausa berikut menunjukkan peranan dan kuasa Majlis Raja-raja yang maseh luas :

“- perkara 38 (2) (b) – mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan.

– perkara 38(2) (c) – mempersetujui atau tidak persetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan……………

– perkara 38 (2)(e)- memberi ampun……………..meringankan hukuman……… .

– perkara 38(5) – …….hendaklah diminta fikirannya……ibuat apa-apa perubahan…..perkara dibawah perkara 153.

-perkara 38(6) -……boleh bertindak mengikut budibicara……….dalam tugas-tugas:

a……pilih dan pecat Yang di-Pertuan Agong……

b……memberi nasihat atas apa-apa perlantikan… .

c……mempersetujui atau tidak atas pengubahan sempadan negeri-negeri……

d……setuju atau tidak…amalan,perbuatan..seluruh Persekutuan……..

e.……penubuhan Mahkamah Khas….

f……memberi pengampunan….ringan hukuman… .

Kalau dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam perkara 38 keseluruhanya ianya mempunyai martabat dan kedudukan serta keistimewaan yang boleh dikatakan tinggi kalau dilihat dari sudut pemerintahan kerajaan Malaysia iaitu DEMOKRASI DAN RAJA BERPELEMBAGAAN ( CONSTITUTIONAL MONARCHY). Tinggi di sini merujuk kapada komposisi ahli, kuasa, peranan, kedudukan dan martabat serta kekebalan YMM Baginda Raja-Raja sebagai ahli, dan lain–lain kuatkuasa undang-undang/perlembagaan dimana fikiran dan pandangan Majlis Raja-Raja hendaklah diminta selain dari kuasa budi bicara Majlis ini dan YMM Baginda Raja-Raja.

Sebagai langkah berjaga-jaga, semasa draf Perlembagaan negara digubal iaitu mungkin pemerintahan negara tidak diperintah oleh orang Melayu maka wakil-wakil kaum bersetuju dimasukkan peruntukan bahawa dalam perkara 153, kerajaan yang memerintah tidak mempunyai kuasa mutlak dalam melaksanakan peruntukan berkenaan. Ini selaras dengan semangat peruntukan itu sendiri yang memberi keistimewaan kapada orang-orang Melayu itu sendiri .

Dari satu segi kelihatan negara tidak begitu demokratik kerana kuasa kerajaan terbatas dalam meluluskan beberapa undang-undang kerana terpaksa mendapat pandangan Majlis Raja-Raja. Contohnya seperti soal mengubah sempadan Negeri.-Negeri di mana pandangan YMM Raja-Raja melalui Majlis Raja-Raja perlu mendapat fikiran YMM Raja-Raja dahulu walaupun kerajaan dipilih oleh rakyat dan dalam hal ini sepatutnya parlimen adalah kuasa tertinggi dalam penggubalan apa-apa undang dan dasar negara.

Walaubagaimana pun ini perlu dilihat dari sudut yang lain bukan dari sudut politik atau tidak demokratik semata-mata. Ia tidak semestinya buruk dari segi demokrasi terutamanya jika alasan YMM Raja-Raja mempunyai kuasa menyemak dan mengimbang kuasa kerajaan yang memerintah.

Kalau dilihat pada perkara 159 Perlembagaan Persekutuan soal-soal mengenai Majlis Raja-Raja dan institusinya seperti diperkara 38 Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan kuasa Majlis Raja-Raja di mana setiap pindaan yang menyentuh kedua-dua perkara di atas , persetujuan adalah diperlukan dari Majlis Raja-Raja.

Ia juga meliputi peruntukkan-peruntukkan mengenai Bahasa Melayu dan Agama Islam, perlindungan terhadap kedudukan YMM Baginda Raja-Raja Melayu di bawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Sementara kuasa di bawah perkara 159 secara sepintas lalu jika di perhatikan jelas menunjukkan kedudukan Majlis Raja-Raja kelihatannya mengatasi Parlimen.

Dalam hal bertindak mengikut NASIHAT Jamaah Menteri khususnya Perdana Menteri, dalam setengah perkara DYMM Yang DiPertuan Agong  serta Majlis Raja-Raja bertindak mengikut NASIHAT ( selepas pindaan pada tahun 1996 ) perkataan NASIHAT diperjelaskan yang mana nasihat yang wajib dipatuhi .

Majlis ini seterusnya diberi satu kedudukan yang amat tinggi dalam perkara-perkara yang disebutkan secara khusus iaitu mesti mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja jika kerajaan berhasrat mengubah sempadan negeri , keahlian dalam beberapa majlis seperti Majlis Angkatan Tentera kerana semua kesembilan (9) orang YMM Baginda Raja-Raja Melayu termasuk DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGUNG yang merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia sementara YMM Baginda Raja-Raja Melayu mejadi Pegawai Pemerintah dalam setiap Division Tentera Melayu Di Raja yang terdapat diseluruh negara ,  dirundingi dalam perlantikan-perlantikan penting hakim-hakim, ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya dan beberapa perlantikan lagi.

Dengan lain perkataan selain dari faktor di atas ianya dibuat sedemikian bagi mengujudkan ( (sekurang-kurangnya didalam dokumen resmi Perlembagaan dan secara fizikalnya) bahawa badan legislatif iaitu satu cabang yang bebas dan berasingan dalam struktur pemerintahan Negara dirasa bebas atau kelihatan bebas atau kurang campurtangan eksekutif supaya institusi ini dihormati dan mendapat kepercayaan rakyat untuk memperolehi keadilan.

Ini kerana Majlis Raja-Raja dan Ahli-ahlinya mempunyai kedudukan yang tinggi secara tradisi iaitu sebagai Raja mutlak di negeri sebelum kedatangan Penjajah dan institusi tertinggi pada budaya, pandangan dan kuasa DAULATNYA di kalangan orang Melayu . Kemulian peranan, kuasa dan kedudukannya mengikut Perlembagaan dipelihara serta boleh ditegaskan sebagai sebuah badan yang lebih bebas dan dipercayai serta mempunyai keabsahan dan kedaulatan. Dengan lain kata, Majlis ini juga sebagai pengimbang antara tiga cabang pemerintahan Negara serta rakyat.

Sepintas lalunya bagi mengelakkan kerajaan yang memerintah berkuasa penuh dan berlaku penindasan. Ia juga menerangkan tentang budi dan budaya yang begitu halus bangsa Melayu dalam memelihara semua asset bangsa . Ia mengisyaratkan bahawa konsep musyawarah adalah penting dan terbaik dalam membuat keputusan oleh kerajaan bagi satu-satu perkara penting .

Dari aspek agama Islam, Majlis Raja-Raja mewakilkan Yang di-Pertuan Agong dari segi kuasa ini , contohnya dalam menentukan atau bersetuju atau sebaliknya sebarang sambutan keagamaan peringkat Persekutuan. Yand DiPertuan Agong bertindak sebagai ketua agama Islam bagi melengkapkan maksud agama Islam adalah Agama rasmi Persekutuan. Dalam hal ini ia tidak menyentuh kuasa YM Baginda Raja-Raja di Peringkat Negeri . Tambahan pula YM Baginda Raja-Raja amat berat hati untuk melepas atau meminda kuasa mereka yang tinggal sedikit iaitu dalam bidang agama .

Beberapa peristiwa menarik dan ad juga dipanggil krisis berkaitan Perlembagaan Pesekutuan yang terjadi beberapa kali. Ia terjadi atas beberapa fakta tetapi apa yang jelas, ia terjadi di era pemerintahan Dato Sri DR Mahathir Mohamed dan semua krisis ini akhirnya telah memperjelaskan lagi kuasa, peranan dan kedudukan Majlis Raja-Raja.

Pada tahun 1983 berlaku satu krisis, di dalam apa yang dikenali sebagai krisis pindaan perlembagaan. Di dalam krisis ini ia melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal memperkenankan satu-satu rang undang-undang dan juga soal mengisyitiharkan darurat. Dalam hal ini diperjelaskan bahawa satu-satu rang undang-undang akan menjadi undang-undang dan boleh dikuatkuasakan setelah diwartakan walaupun tanpa memdapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong setelah melalui beberapa proses. Di dalam soal pengistiharan darurat, diperjelasakan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh mengistiharkan darurat setelah mendapat nasihat dari Perdana Menteri dan nasihat ini mesti dipatuhi.

Pada tahun 1984 pula berlaku pergeseran yang begitu hebat di antara dua parti politik Melayu iaitu antara UMNO dan PAS; hingga membawa kapada hasrat untk memgadakan debat terbuka antara keduanya. Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong dengan resolusi dari Majlis Raja-Raja telah membatalkan debat terbuka yang ingin diadakan. Kedua parti politik tersebut akur dengan perintah dari Yang di-Pertuan Agong.

Pada tahun 1988 apabila krisis badan kehakiman berlaku Majlis Raja-Raja turut memainkan peranan sehingga krisis tersebut selesai dan dalam krisis ini Ketua Hakim Negara telah dipecat melalui satu tribunal kerana salahlaku. Dalam krisis dengan pihak istana di mana imuniti YM Baginda Raja-Raja telah dipinda dimana kekebalan YM Baginda Raja-Raja atas sifat dirinya sendiri sahaja. Ini berlaku apabila satu lapuran polis telah dibuat oleh seorang jurulatih hoki Negara yang mana mendakwa ia telah dipukul dan dkasari oleh YM Baginda Sultan Johor. Dalam hal ini Majlis Raja-Raja telah memainkan peranan yang penting sehingga membawa kapada pindaan perlembagaan berkaitan imuniti YM Baginda Raja-Raja diperkenankan.

Dari perbincangan di atas jelaslah Majlis Raja-Raja telah diberi peranan , kuasa dan kedudukan yang jelas mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun berlaku sedikit sebanak krisis dan kekurangan dapat disimpulkan Majlis Raja-Raja telah diberi satu kedudukan yang istimewa. Dengan lain perkataan ia lebih tinggi dari Parlimen dari segi kedudukannya dan mungkin dari segi kuasa ia masih boleh diperbahaskan.

Ini berlaku tidak lain adalah bagaimana Perlembagaan itu ditafsirkan. Perlembagaan negara perlu diingat digubalkan berdasarkan tolakansur dan permaufakatan antara beberapa bangsa yang berada di negara ini. Ia sudah tentu tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Selain itu keberkesanan Majls ini bukan sahaja terletak kapada kuasa, peranan dan kedudukannya yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan sahaja tetapi Majlis Raja-Raja terus relatif dan dan berjaya memainkan peranannya diluar dari kuasa, peranan dan kedudukan yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Oleh yang demikian walaupun Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa formal tetapi Majlis Raja-Raja masih lagi boleh memainkan peranan yang lebih aktif ( tanpa kuasa formal ) dalam apa bentuk masalah dan kegiatan di dalam negara dengan syarat ia mempunyai karisma, keperibadian, dan kesungguhan untuk mengatasi satu-satu masalah. Ketinggian peribadi dan komitmen kapada keadilan dan demokrasi di pihak YM Baginda Raja-Raja amat penting untuk keutuhan dan kedaulatan serta masih dan terus releven untuk masa dan bagi abad yang akan datang.

Kesimpulan – Harapan Masa Depan Melayu

Yang menjadi harapan rakyat sebenarnya adalah untuk melihat negara diperintah berdasarkan keadilan dan kebenaran. Semada pemerintahan melalui jalur Raja-raja ataupun institusi demokrasi iaitu Parlimen atau Dewan Undang negeri , yang pasti didambakan ialah agar perjalanan negara berlandaskan prinsip keadilan dan kebenaran itu jua.

Apatahlagi hasrat dan hajat kaum Muslimin keseluruhannya  mahu daulah tanah Melayu ini di pimpin dan ditadbir berdasarkan prinsip Islam. Bukan sahaja secara tertulis tetapi hendaklah secara praktis . Bukan sahaja pada yang tersurat tetapi juga pada yang tersirat.

Kami berpendirian bahawa kita telah  melalui suatu sejarah penjajahan yang akhirnya meninggalkan kita dengan suatu sistem demokrasi  Parlimen ala Barat . Suatu sistem yang bukan lahir dari sebuah tradisi perjuangan untuk menegakkan sistem pemerintahan Islam. Akan tetapi sistem yang bertumpu kepada perebutan kuasa legislatif , penyalahgunaan kuasa eksekutif dan keterikatan kuasa kehakiman. Akibatnya ialah pemerintahan bukan atas prinsip-prinsip dan pedoman Islam yang jelas tetapi atas manipulasi , salahguna kuasa , perlanggaran hak , membolot kekayaan dan penggunaan undang-undang untuk mengekalkan atau merampas kuasa.

Oleh kerana itulah harapan yang selama ini didambakan oleh rakyat terhadap institusi Raja menjadi semakin meningkat. Raja sebagai ketua Agama Islam diharapkan benar-benar menjadi paksi kepada menegakkan dan memelihara Islam bukan sahaja pada simbol dan lambang kemegahan tetapi hendaklah pada penghayatan serta teladan kehidupan Raja yang Islamik dalam seluruh aspek.

Masyarakat Islam Melayu sememangnya maseh bergantung harap kepada Raja sebagai sandaran. Namun kaum Muslimin juga sangat merindukan institusi Raja yang menunjukkan keperihatinan yang bersungguh dalam meneggakan kebenaran dan keadilan untuk rakyat.

Sistem demokrasi ala Barat yang penuh kepincangan didunia kini maseh sarat dengan penyelewengan dan penindasan rakyat atas nama suara majoriti. Tatkala rakyat diberi kuasa untuk mengundi bagi menentukan pemimpin dan kerajaan secara demokratik , tidak sedikit pula yang lahir ialah pemimpin-pemimpin yang “draconian” . Bukankah atas nama demokrasi Barat lahir watak seperti George W.Bush dan Tony Blair yang telah membunuh jutaan rakyat di negara-negara yang dituduh menyimpan pengganas dinegara-negara Muslim ? Bukankah atas nama demokrasi telah lahir pelbagai pemimpin diktator di negara-negara Asia Barat , benua Afrika  dan benua Asia?

Sementara rakyat menerima jaluran sejarah institusi Raja Berperlembagaan sebagai suatu realiti negara, akan tetapi masyarakat Melayu-Islam sudah pasti mengharapkan agar institusi Raja bukan sebagai lambang kemewahan dan feudal yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Keyakinan kita semakin mantap bahawa tidak ada pilehan lain . Hanya dengan institusi Raja yang berpaksikan Islam secara kaffah itulah yang perlu ditegakkan. Penyatuan ini pada hakikatnya bukan ganjil dan tidak pula pelik. Sudah tercatat dalam kegemilangan Kesultanan Melayu islam di  Aceh , Pasai , Melaka , Banten , Banjar , Pattani , Sulu dan Campa bahawa Islamlah yang menjadi tunjang kepada pemerintahan beraja Melayu. Tatkala Raja Melayu berenggang dari Islam maka kehancuran akan turut menimpang seluruh umat bangsa Melayu.

Kami berpendirian bahawa apa yang perlu diharapkan untuk menempa sejarah baru untuk orang Melayu adalah untuk kembali kepada Islam seluruhnya. Bukan sahaja rakyat jelata sahaja yang harus dididik untuk menghayati Islam seutuhnya , malah seluruh institusi pemimpin Melayu : istana , politik , birokrasi , pendidikan , sosial , ekonomi  hendaklah kembali memperharui penghayatan Islam secara kaffah tanpa kecuali.

Segala cabaran yang kini menunjukkan potensi untuk melenyapkan bangsa Melayu dari persada Tanah Melayu ini bermula tidak lain tidak bukan adalah dari kegagalan seluruh pemimpin-pemimpin Melayu menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Lahir pemimpin-pemimpin Melayu yang tamak , lupa daratan , hidup mewah yang melampau , berbudaya elitis dan feudal , menggadai khazanah umat adalah “milestone” kehancuran yang sedang kita saksikan.

Kami berpendapat bahawa institusi Raja perlu memainkan peranannya dengan benar-benar merealisasikan kehadhirannya sebagai Ketua Agama Islam dalam ertikata sebenar. Tidak memada keketuaan kepada agama Allah ini hanya disambut secara simbol semata-mata . Seluruh kehidupan peribadi dan gaya hidup para bangsawan istana perlu dikondisikan semula agar menjadi Islamik selengkapnya. Peruntukkan dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan keistimewaan Raja-raja Melayu perlulah diterjemahkan dengan bersungguh agar Islam sebagai tunjang pemerintahan negara menjadi suatu realiti yang nyata.

Hanya dengan demikian era masa depan  Melayu akan terlihat punya harapan untuk kembali unggul.

Advertisements
Perihal

TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan agenda melayu

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 323,876 hits
Kalendar
Julai 2009
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
%d bloggers like this: