GERAKAN DARURAT BAHASA

 

GERAKAN DARURAT  BAHASA

d/a Sekretariat SHURA , Seksyen 14 Petaling Jaya , Selangor Darul Ehsan Tel:0194744856/0126412305/0124753516/0136362408

Kenyataan Media

29hb Mac 2011

GESA SELAMATKAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

Gerakan Darurat Bahasa(GDB) adalah inisiatif yang dimulakan pada 6 Mac 2011 oleh beberapa NGO (antaranya:TERAS,PAKSI,SHURA,BUDAYAWAN BERTINDAK,PUM,SALIMAH,KALAM,KPDBP,WEHDAH, JAMA’IY,PKPIM,ISRA,IMPAK, IMAD , PUK , UMMAH AID ,PRIHATIN, KELAB PENULIS SG.PETANI,MBWIM ) yang disepakati oleh 60 NGO  yang prihatin terhadap kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekaligus terhadap kedaulatan bahasa dan keutuhan budaya.

Kami telah berrmuafakat untuk mengesa kerajaan mengembalikan semula peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kami dapati telah  menyimpang daripada fungsi asalnya – membina dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara berdasarkan  Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta 213, Akta DBP.

Mengambil  perhatian serius  bahawa DBP adalah sebuah institusi yang sangat penting dan didirikan berdasarkan sebuah akta yang khusus , maka kami merumuskan bahawa kedudukan DBP sangat perlu dikaji semula secara kritikal.

Bukan sahaja DBP berstatus sebagai intitusi tunggak pembangunan , pengembangan dan pengkayaan bahasa , sastera dan budaya negara , ia juga menjadi benteng kepada martabat dan kedaulatan bahasa itu sendiri dan juga maruah bangsa Melayu yang merdeka.

Namun semenjak beberapa perubahan, khususnya pengswastaan beberapa bahagian penting,  yang telah dilakukan ke atas struktur dan perjawatan serta fungsi DBP , ternyata DBP menghadapi keadaan yang mengkhuatirkan.

Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (KPDBP) dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan telah sekian lama berusaha untuk menyelamat dan mengembalikan semula peranan DBP, namun sehingga kini tiada langkah pembaikan yang telah diambil untuk menyelamatkan keadaan.

Secara rengkas Memorandum yang secara resmi kami serahkan pada hari ini kepada PM , TPM ( Menteri Pelajaran ) , Ketua Pembangkang , Presiden parti-parti politik pada hari ini menyatakan hal-hal  berikut yang perlu diambil perhatian segera:

 

1.  PENSWASTAAN

DBP telah menswastakan lima (5) bahagian iaitu Bahagian Perniagaan, Bahagian Percetakan, Bahagian Pracetak, Bahagian Reka Bentuk dan Bahagian Stor pada 1 September 2002 sehingga tahun 2014 secara konsesi kepada syarikat DAWAMA Sdn. Bhd. (Dawama).

 

Sejak penswastaannya, iaitu mulai tahun 2002, DBP telah kerugian di antara RM20 hingga RM40 juta setiap tahun. Sebab utama kerugian  adalah kerana formula pengagihan hasil pendapatan penjualan buku umum dan majalah yang tempang,  iaitu nisbah 20:80. Di bawah formula tersebut, DBP mendapat 20 peratus sementara Dawama pula mengaut sebanyak 80 peratus daripada hasil jualan bukan buku teks. Manakala dari hasil jualan  buku teks sekolah pula, formula pengagihan pendapatan persetujui ialah DBP mendapat bayaran 30 peratus dan Dawama sebanyak 70 peratus. Sebagaimana terkandung dalam Laporan Tahunan DBP, kerugian DBP adalah seperti berikut:

 

2001                            (RM17 juta)

2002                            (RM8 juta)

2003                            (RM23 juta)

2004                            (RM22 juta)

2005                            (RM16 juta)

2006                            (RM16 juta)

2008                            (RM7 juta)

 

Sebelum penswastaan dilakukan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun.

 

Buku-buku umum, ilmiah dan majalah-majalah kurang di pasaran dan tidak terjual kerana tidak ada kesungguhan untuk menyebarluaskannya dan kurangnya promosi yang sepatutnya dilakukan .Akibatnya puluhan ribu naskah buku bernilai puluhan juta ringgit tidak terjual dalam simpanan DBP.

 

.     DAWAMA lebih menumpukan usahanya dalam penerbitan buku-buku teks sekolah. Akibatnya buku umum, ilmiah dan majalah menjadi mangsa pengabaian yang disengajakan.

 

Banyak penerbit, pencetak dan pengedar buku bumiputera yang selama ini bernaung atau berpayung di bawah DBP telah  gulung tikar kerana tidak mendapat kerja-kerja pencetakan dan pengedaran buku-buku  DBP.

 

2.ROMBAKAN STRUKTUR DBP

Lembaga Pengelola DBP telah menubuhkan Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum yang sebelum ini merupakan satu unit kecil di Jabatan Sastera. Pengangkatan unit ini kepada bahagian telah menidakkan peranan Jabatan Sastera dalam memainkan peranannya membina dan mengembangkan budaya dan sastera Melayu.

 

Lembaga Pengelola DBP dan Pengurusan DBP tidak mematuhi Akta DBP dan objektif penubuhannya. Peranan membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan penerbitan menjadi terpinggir dan  diperlekehkan.

 

3.PELANTIKAN PENGERUSI LEMBAGA PENGELOLA DAN AHLI   LEMBAGA PENGELOLA DBP

 

Kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP tidak diisikan sejak pertengahan bulan April 2010 sehingga kini. Menteri Pelajaran hanya mengisikan jawatan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola sahaja. Ahli Lembaga Pengelola yang dilantik selama ini kebanyakannya bukan dari golongan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan.

 

4. PELANTIKAN KETUA PENGARAH DBP DAN PEGAWAI

Pelantikan Ketua Pengarah DBP yang melebihi 64 tahun dan bukan pula dari kalangan pakar bahasa, sasterawan mahupun budayawan .Di dalam pekeliling penjawat awam kontrak, umur pelantikannya dihadkan kepada 60 tahun sahaja.

 

Isu pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP dan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang tidak mengikut peraturan dan juga pelantikan pegawai gred N52 kepada gred N54 dan gred S41 kepada gred S44 tanpa melalui proses temuduga.

 

Ramai pakar dalam bidang bahasa dan sastera yang memiliki Ijazah  Sarjana dan Ph.D di DBP bersara awal atau beralih bekerja di tempat lain kerana kurang yakin dengan pengurusan DBP. DBP langsung tidak membina pelapis dalam pakar bidang yang ada di kalangan staf DBP.

 

5.ISU PPSMI

Dalam isu PPSMI yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 2003 itu, DBP memilih untuk membisu saja. Sebagai institusi yang menjadi benteng dalam perjuangan memperkasakan bahasa, DBP sepatutnya memberikan pandangan yang benar tentang kebaikan dan keburukan PPSMI .

 

DBP juga membisu dalam isu Interlok yang hangat diperkatakan oleh orang ramai. DBP langsung tidak mempertahankan isu tersebut kerana tidak ada orang yang boleh menyanggah atau menentang pendapat umum.

 

6. PENYUSUNAN SEMULA STRUKTUR ORGANISASI (PSSO) TIDAK MEMENUHI   KEPERLUAN AKTA DBP

Penyusunan Semula Struktur Organisasi DBP (PSSO) bermula Ogos 2010 dulu bertentangan dan bercanggahan dengan tujuan penubuhan DBP.

 

Jabatan Sastera telah digabungkan dengan Jabatan Bahasa. Peranan Jabatan Sastera telah dihapuskan. Selama ini Jabatan Sastera adalah salah satu fungsi utama DBP.

 

Penutupan Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam (AFTI) begitu mengecewakan sekali. Peranan AFTI dikecilkan menjadi unit sahaja. AFTI yang selama ini memainkan peranan penting di dalam penerbitan buku-buku bidang agama di negara ini telah kehilangan fungsinya.

 

TUNTUTAN

1              Kerajaan  hendaklah memulihkan semula fungsi DBP dengan memberi peranan juga kepada Timbalan Menteri Pelajaran memandangkan Menteri Pelajaran adalah juga TPM yang tidak dapat memberi tumpuan penuh kepada kedudukan DBP .

 

2              Pengerusi Lembaga Pengelola DBP hendaklah dilantik segera dari kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan kerana jawatan ini amat penting kerana menjadi teraju kepada DBP.

 

3              Menteri Pelajaran hendaklah memperbetulkan semula perlantikan  Ketua Pengarah DBP kerana pelantikannya bertentangan dengan peraturan dan melantik Ketua Pengarah yang baharu mengikut peraturan yang sedia ada di kalangan pakar bahasa, budayawan dan sasterawan.

 

4              Struktur Organisasi dan fungsi DBP dikembalikan semula kepada carta organisasi sebelum ini dengan mewujudkan semula Jabatan Bahasa dan Jabatan Sastera secara berasingan lengkap dengan bahagian-bahagian yang sedia ada seperti dahulu.

 

5              Membatalkkan penswastaan yang telah dilaksanakan keatas (5) bahagian dan dikembalikan semula kepada  kepada DBP.

 

6              Kerajaan hendaklah menambah peruntukan tahunan kepada DBP yang sebelum ini tidak mencukupi selaras dengan peranan dan fungsinya.

 

7              DBP hendaklah diberikan kuasa undang-undang dalam penguatkuasaan bahasa Melayu sebagaimana yang disarankan oleh banyak pihak sebelum ini.

 

8              Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah membuat kajian dan  memberikan perhatian yang serius kepada segala masalah dalaman yang diadukan oleh KPDBP dan juga staf DBP.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

9              Bahagian AFTI hendaklah diwujudkan semula supaya DBP sebagai sebuah badan agensi kerajaan, dapat memainkan peranan yang penting di dalam penerbitan yang berkaitan dengan Agama, Falsafah dan Tamadun Islam di Malaysia.

 

10.        Sidang parlimen membahasakan kedudukan DBP dengan tujuan untuk menilai prestasinya sekaligus untuk menuntukan langkah yang perlu diambil dengan mempertimbangkan maklumat yang telah didedahkan  oleh Memorandum ini.

 

MOHD AZMI BIN ABDUL HAMID

Pengerusi Gerakan Darurat Bahasa

mewakili seluruh

Anggota dan Penyokong Gerakan ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements
Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 324,181 hits
Kalendar
Mac 2011
M T W T F S S
« Feb   Apr »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
%d bloggers like this: