MEMORANDUM HARI AMARAH RAKYAT

MEMORANDUM

HARI AMARAH RAKYAT

kepada

Majlis Raja-raja Melayu , KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG ,  Perdana Menteri , Ahli Jamaah Menteri Kabinet Malaysia ,Pengerusi  Majlis Fatwa Kebangsaan , Sohibul Fadhilah Mufti-mufti Negeri, Peguam Negara , Ketua Hakim Negara , Ketua Hakim Mahkamah Syariah Malaysia, Semua Ahli Parlimen , Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri , Semua Pengerusi Ahli Lembaga dan Ketua Pengarang Akhbar Harian , Semua CEO Stesyen TV  awam dan Swasta

LAKSANAKAN PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG ISLAM – HENTIKAN FITNAH UNTUK SELAMATKAN MARUAH RAKYAT MALAYSIA

Kami dari pelbagai lapisan rakyat  serta pertubuhan yang berkumpul pada hari ini di dataran Masjid Negara dan dihadapan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur yang kami gelar sebagai Hari Amarah Rakyat pada 2 Jamadil Akhir 1432H/6  hb Mei  2011 adalah dalam rangka menyatakan sikap dan menzahirkan perasaan marah kami terhadap perkembangan dan krisis ekonomi-sosial  budaya dan politik negara yang semakin parah  kebelakangan ini.

Kami mendapati bahawa akibat tersebarnya gejala politik yang tidak sihat budaya memfitnah dan mengaibkan seorang musuh politik telah mengakibatkan maruah masyarakat dan seluruh negara telah tercelar malah semacam dijadi tebusan untuk memenuhi nafsu serakah politik pihak tertentu.

Kami menegaskan gejala menyebar bahan lucah dalam bentuk yang sangat jijik ditambah lagi dengan tersiar dalam media massa samada dalam media cetak mahupun media eletronik dengan tujuan untuk  menjatuhkan maruah seseorang ,  sudah sampai ke tahap menjadi barah negara , jika tidak dibentaras akan mengakibat seluruh masyarakat menjunam ke gaung kehinaan .

Kami ingin menegaskan bahawa rakyat Malaysia sudah mual dan sangat tersinggung terhadap mereka yang terlibat dalam kehinaan mengaibkan kepribadian seseorang , tidak kira siapapun beliau hanya kerana bernafsu untuk mengekalkan kuasa.

Rakyat Malaysia belum pernah dihadapkan dengan politik sehina seperti yang berlaku sekarang . Malah persaingan politik sepanjang mencapai kemerdekaan 53 tahun yang lalu tidak pernah mencecah ketahap politik kotor dan jahat yang keterlaluan seperti yang berlaku dan yang dipaparkan kini.

Dengan tersebarnya secara sengaja bahan lucah bertujuan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat , rakyat terpaksa melihat bahan murahan yang menghina pemikiran dan nilai budaya keseluruhan warga Malaysia.

Seluruh institusi awam dan swasta dalam  negara termasuk  polis , Jabatan Peguam Negara, Jabatan Agama Islam , institusi Kehakiman , Menteri Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri , Perdana Menteri dan seluruh Jamaah Menteri Kabinet , Institusi Mufti , Kementerian Penerangan , Komunikasi dan Kebudayaan , Media Massa Awam dan Swasta (bercetak,eletronik dan media siber)  kini berada pada kedudukan yang sangat tercemar akibat kehilangan wibawa dan intergriti untuk bertindak menangani isu politik lucah.

Kami ingin menyatakan sikap marah kami kenapa pihak berkuasa dilihat bersekongkol dengan mereka yang terlibat dengan amalan jijik ini tanpa tindakan segera menangani isu penyebaran bahan lucah berdasarkan undang-undang yang sedia ada.

Kami menyatakan kemarahan kami lantaran pihak berkuasa yang diberi mandat menguatkuasakan undang-undang Qazaf seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 41 , Enakmen Jenayah Syariah 1997 Wilayah Persekutuan sehingga kini tidak dilaksanakan. Apakah yang menyebabkan pihak berkuasa seolah –olah tidak bermaya untuk bertindak malah hanya menjadi penonton sahaja kepada jenayah dilakukan secara jelas.

Kami merasakan kemarahan rakyat adalah wajar kerana bukan sahaja agensi yang sepatutnya menguatkuasakan  undang-undang Islam kini dilihat mandul malah intergriti dan wibawanya  turut terjejas  .

Kami menzahirkan kemarahan  kami kerana isu politik lucah ini sudah diabsahkan sebagai budaya politik yang akan diwarisi oleh generasi muda yang bakal mengambil alih kepimpinan negara.

Kami melahirkan rasa kecewa dan marah kami yang tidak boleh dibendung lagi kerana pernyataan ulama yang menegur supaya pihak yang berkenaan menghentikan amalan mengaibkan peribadi seseorang tidak diendahkan samasekali malah  disemarakkan lagi oleh media arusperdana yang bertindak biadab dan menonjolkan budaya jahiliyah kepada seluruh rakyat didalam dan diluar negara.

Kami akan melaungkan kemarahan kami secara berterusan kerana ketika rakyat perlu berfikir jernih dan matang untuk memacu pembangunan negara secara sihat dan beradab , pemimpin negara membiarkan budaya politik lucah untuk menjadi santapan rakyat setiap hari sehingga persoalan-persoalan  pokok  negara yang sepatutnya ditumpu kini berkecai oleh politik murahan dan menjijikan.

Kami menyatakan kemarahan kami , ketika semua tahu kuasa besar Barat khususnya regim Amerika adalah pelaksana keganasan yang sebenar , yang membunuh jutaan manusia di Palestin , Iraq , Somalia , Afghanistan , Pakistan , tiba-tiba pembunuhan Osama Bin Ladin oleh tentera Amerika tanpa sebarang mandat dan peruntukan undang-undang antarabangsa  didokong oleh pemimpin Malaysia.   

Kami tidak akan berdiam diri dan akan melahirkan kemarahan kami kepada pelbagai  kepincangan yang berlaku yang memberi kesan kepada kehidupan kami berkaitan dengan penyelewengan dan amalan rasuah yang berleluasa , pembaziran dan keciciran dalam perbelanjaan negara , kos hidup yang tidak terkawal , hak bersuara yang ditindas , salahguna kuasa yang menghilangkan  intergriti perkhidmatan awam , membolot kekayaan negara oleh  segelintir golongan berkepentingan peribadi , menyalahurus sistem pilihanraya yang tidak bersih dan tidak demokratik ,undang-undang yang melanggar hak asasi manusia , jurang kaya-misikin dikalangan rakyat yang semakin melebar , urustadbir projek-projek pembangunan yang penuh pincang , keselamatan awam yang semakin menurun , tahap ketelusan dan akauntabiliti yang semakin menurun , amalan kronisme dan nepotisme  yang berleluasa , pemusatan kuasa kepada eksekutif sehingga campur tangan melampau  dalam fungsi legislatif dan kehakiman dan martabat bahasa Melayu yang kini berada ditahap yang hina dan tidak berdaulat sepenuhnya mengikut peruntukan Akta Bahasa Kebangsaan.

KAMI MENUNTUT :

  1. Majlis Raja-raja Melayu campurtangan untuk menghentikan gejala menabur fitnah dan menghina undang-undang Islam berkaitan dengan sumpah laknat yang dilakukan secara  bertentangan dengan hukum syara’ dan diperalatkan untuk mempertahankan tuduhan zina yang mengaibkan keperibadian seseorang .’
  2. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melaksanakan peruntukan undang-undang Islam terhadap pelanggaran Jenayah Syariah Qazaf dalam kes tuduhan zina dan liwat yang kini sedang menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia.
  3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan  terhadap media massa yang menyiarkan bahan lucah yang membawa kepada penyebaran fitnah dan mencetuskan kekeliruan dan perpecahan dikalangan masyarakat.
  4. Pihak Mafti-mufti di negeri-negeri menyuarakan ketegasan terhadap fitnah zina dan penguatkuasaan hukum Qazaf serta menegur dengan keras mereka yang terbabit dalam penyebaran dan menyemarakkan fitnah zina.
  5. Mengusulkan Sidang parlimen akan datang membentangkan keperluan untuk mengkaji ketelusan dan intergriti Suruhanjaya Pilihan Raya  Malaysia yang dimandatkan untuk menjalankan pilihanraya secara bebas dan professional.
  6. Suruhanjaya Diraja Penambahbaik Operasi dan Pengurusan Polis yang ditubuh pada tahun 2004 untuk mengkaji tingkahlaku badan kepolisian yang ada di Negara kita yang telah menghasilkan 125 cadangan bagi pembaikan polis dilaksanakan sepenuhnya melalui penubuhan sebuah suruhanjaya bebas iaitu Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (SASP/IPCMC ).
  7. Imej Suruhanjaya Pencegah Rasuah dipulihkan segera akibat beberapa insiden yang telah mencemarkan wibawa agensi tersebut dalam melaksanakan fungsinya secara  bebas , berintegriti dan professional .
  8. Majlis Raja-raja Melayu bertindak untuk mempertahan kedudukan Islam di negara ini mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama dijamin .
  9. Agensi yang berkait dengan undang-undang iaitu polis , Peguam Negara , Ketua Hakim Mahkamah Sivil dan Ketua Hakim Mahkamah Syariah melaksanakan tugas mereka dengan telus , berintegriti dan professional .
  10. Menteri Kabinet memberi perhatian serius kepada semua suara kemarahan yang kami lafazkan pada hari ini dan meneliti setiap isu yang kami bangkitkan secara khusus mahupun secara umum dan mengambil tindakan sewajarnya.

BAHAWA KAMI MEMBERI TEMPUH SEBULAN UNTUK SEMUA TUNTUTAN KAMI INI DIAMBIL TINDAKAN . JIKA TIDAK KEMARAHAN KAMI AKAN DILANJUTKAN DENGAN PERHIMPUNAN YANG LEBIH BESAR DARI YANG DIADAKAN PADA HARI INI.

 

 

Mohd Azmi Abdul Hamid ( 2 Jamadil Akhir 1432H / 6 hb Mei 2011)

Jurucakap Hari Amarah Rakyat / Pengerusi Saf anti Fitnah (SAF)

Advertisements
Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 323,883 hits
Kalendar
Mei 2011
M T W T F S S
« Apr   Jun »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
%d bloggers like this: