MENGHADHIRKAN PEMIMPIN YANG SIDDIQ DAN PENEGAK UGAMA

Siri Transformasi Bangsa dan Umat – TERAS Pengupayaan Melayu

 oleh : Mohd Azmi Abdul Hamid

Amat mengesankan . Itulah ungkapan pendek yang dapat saya ungkapkan bila membaca riwayat mengenai Rasulullah s.a.w. Ia menyentuh persoalan kepimpinan . Sebab itu saya bermenung panjang melihat gelagat para aktor politik di bumi ini yang pernah suatu ketika dahulu bergelar Tanah Melayu .

Ghairah menjadi kandidat PRU adalah selera semasa.

Kami menampilkan rencana ini memandangkan kini musim panas politik memperaga diri untuk layak dan menonjolkan rasa layak diri untuk disaring menjadi calon wakil rkayat dalam PRU 13 sudah bermula.

Apalagi bila PRU kali ini sudah disensasikan dengan gelaran “the mother of all elections”. Ertinya ada pihak yang memutuskan butang jentera pilhanraya yang mengoperasikan kaedah Micheaveli iaitu “matlamat menghalalkan cara” sudahpun ditekan.

Kehangatan, memperaga  diri dan melobi melalui pelbagai taktik dan strategi sedang dikerah. Predikat  “winnable candidate” dilontarkan walaupun istilah tersebut lebih bersifat retorik kerana faktor “inner circle candidate” juga memainkan peranan. Dalam erti lain siapa yang paling dekat dengan pucuk pimpinan atau orang yang dekat dengan yang dekat dengan pucuk pimpinan akan lebih berkemungkinan masuk senarai.

Matlamat akhir ialah tersenarai nama sebagai calon. Selebihnya akan difikirkan kemudian kerana soal kos jentera pilihanraya akan diperturunkan oleh pusat.

Bagi jiwa yang murni hanya mereka yang sedar diri dan faham betapa berat amanah yang bakal dipikul berfikir seribu kali untuk menerima tawaran bertanding.

Suasana diperhangatkan lagi apabila nampaknya semua aktor politik dalam semua partai kelihatan sedang bergelut dengan masalah dalaman . Media semada yang pro atau sebaliknya kepada satu-satu gabungan politik berkeliaran mencari “scoop” untuk menjadi berita yang bernuansa sensasi politik.

Kini mileage politik mengatasi mileage kebenaran. Jika satu kenyataan atau reaksi boleh mengujudkan debat yang mengempitakan berita politik , wartawan dan jurnalis politik akan segera mengolahkannya untuk menjadi “news of the week”.

Disini saya berfikir keras apakah mereka tidak pernah merenung akibat yang bakal berlaku dengan kenyataan dan tulisan melaga-lagakan antara politikus sekaligus antara masyarakat?

Mencari pemimpin bukan urusan kecil. Malah Rasulullah s.a.w. sampai memberi isyarat ketika Baginda membayangkan bumi turut menzahirkan sikapnya ketika pemimin yang terangkat ialah pemimpin yang zalim.

Dulu , semasa Baginda hidup , pernah berlaku gempa bumi . Ketika itu bersama Baginda ialah Abu Bakar , Umar dan Usman di bukit Uhud. Lalu Rasulullah s.a.w berkata “Tenanglah wahai Uhud , yang di atasmu tiada lain kecuali Nabi , Siddiq dan dua orang Syahid”. Kemudian getaran bumi berhenti. Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dari Anas bin Malik.

Amat menarik bila mengamati hadith ini. Ada yang cuba memahami kenapa Rasulullah s.a.w sebutkan hanya predikat , bukan nama penuh sahabat-sahabat Baginda itu. Siddiq adalah Abu Bakar r.a  dan dua syahid itu adalah Umar Al Khattab dan Uthman bin Affan. Siddiq adalah orang yang terpecaya alias sangat benar dan syahid adalah mereka yang mati kerana membela agama.

Demikian juga dizaman Khalifah Umar bin Khattab , pernah gempa berlaku di Madinah. Beliau telah menempelkan telinganya ke bumi sambil berkata “Ada apa denganmu?”.Pertanyaan itu ditujukan kepada bumi yang sedang bergetar . Dalam riwayat lain , sang khalifah sedang memegang susu dalam gelasnya. Lalu susu berguncang kerana gempa bumi dan beliau mengajukan soalan kepada bumi “ Apakah aku tidak cukup adil memerintah , sehingga engkau berguncang?’. Diriwayatkan bumi berhenti berguncang selepas itu.

 

Bahkan dalam Manaqib Umar , Ibnu Abi Dunya mencatat pernyataan Umar bin Khattab “ Wahai manusia , tidaklah gempa ini berlaku kecuali kerana ada sesuatu yang kalian lakukan. Alangkah cepat kalian melakukan dosa . Demi jiwaku yang ada di tanganNya , jika jadi gempa susulan , aku tidak mahu tinggal bersama kalian selamanya”

 

Jelas , Nabi tidak ada bersama kita lagi. Oleh itu tidak ada lagi yang akan berkata untuk menenangkan bumi dan gunung. Tetapi adakah orang dapat dipercayai (Siddiq) juga sudah tidak ada dikalangan kita? Begitu juga dengan pembela agama. Sudah ketandusankah pembela agama dikalangan kita?Apakah yang tinggal ialah mereka yang mata , telinga dan hati telah digelapkan oleh harta. Semoga ini tidak.

Apa yang diungkap sang Khalifah Umar Al Khattab pada bumi yang berguncang punya mesej yang sangat mengesankan kepada mereka yang ghairah untuk menjadi pemimpin atau calon wakil rakyat. “Apakah aku tidak cukup adil dalam memerintah sehingga engkau berguncang?” Apakah pemimpin-pemimpin yang ada hari ini berani mengulangi kembali pertanyaan Umar bin Khattab ra, memujuk atau mengulas bumi bila bumi berguncang dengan menempelkan telinga mereka ke bumi?

 

Sesungguhnya banyak musibah yang sedang melanda masyarakat kita. Yang melibatkan kehilangan harta benda tidak kecil.Ada yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran , banjir , tanah runtuh , ribut . Malah ada yang kehilangan nyawa. Tetapi itu semua jadi kecil berbanding musibah yang berkaitan dengan hancurnya agama dan rosaknya akhlaq manusia.

 

Umar Al Khattab ra menegaskan seorang pemimpin adalah penjaga ugama.”Pemimpin diangkat adalah untuk menegakkan agama” kata Umar bin Khattab ra . Namun bagaimana  jika pemimpin kita yang ada bukan menegakkan agama , berlaku zalim , menyalahguna kuasa , rasuah dan menjauhkan umat dari aqidah yang benar?

 

Imam al Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin pernah memberi nasihat tentang cara berinteraksi dengan pemimpin yang zalim. “ Jangan bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim , bahkan jangan menemuinya. Berjumpa dan bergaul dengan mereka hanya membawa petaka. Dan sekiranya kamu terpaksa bertemu , jangan memuji-muji mereka , kerana Allah sangat murka ketika orang fasik dan zalim dipuji. Dan barangsiapa mendoakan mereka panjang umur , maka sesungguhnya dia suka agar Allah didurhakai di muka bumi.”

 

Bukan hanya mengenai pertemuan , Imam Al Ghazali mengeluarkan larangan menerima pemberian dari penguasa yang zalim.”Jangan menerima apa-apa pemberian dari golongan pembesar , meski kamu tahu pemberian itu bersumber dari yang halal. Sebab , sikap tamak mereka akan merosakkan agama. Pemberian itu akan menimbulkan rasa simpati (jika diterima).Lalu kamu mulai menjaga kepentingan mereka dan berdiam diri atas kezaliman yang mereka lakukan. Dan itu semua telah merosakkan agama.”

 

Peringatan susulan juga diungkapkan. Sekecil-kecilnya mudharat ketika seseorang menerima hadiah dari penguasa adalah , akan muncul rasa sayang terhadap mereka. “Seterusnya kamu akan mendoakan mereka kekal dan lama di atas kedudukkannya. Mengharapkan orang yang zalim lama berkuasa sama seperti mengharapkan kezaliman berkepanjangan atas hamba-hamba Allah dan alam akan musnah binasa.”

Jika sudah demikian Imam Al Ghazali mengajukan pertanyaan yang luar biasa  menyeramkan ,“Apa lagi yang lebih buruk dibanding dengan kerosakkan agama?

Setiap penguasa, selalu memilikki kemungkinan untuk berbuat zalim kecuali penguasa yang beriman kepada Allah , berteman dan dikeliling orang-orang beriman pula. Mereka saling mengingatkan dan memberi nasihat hanya demi kebaikan dan bukan untuk kepentingan diri.

 

Ketika  seorang pemimpin zalim berkuasa , maka yang bertanggungjawab bukan hanya para pelaku kekuasaan ; raja , kaisar , presiden , perdana menteri , ketua menteri , menteri bahkan penghulu mahupun ketua kampong. Umat dan rakyatpun akan bertangggungawab memikul beban penguasa yang zalim.

Ibnu Taimiyyah dalam Siasah Syari’iyah mengutip sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad “Barangsiapa yang mengangkat seorang ( pemimpin) untuk menguruskan perkara kaum Muslimin sementara dia mendapati ada seseorang yang lebih layak daripada orang yang diangkatnya , maka dia telah berkhianat kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya.”

Pengkhianatan pada Allah dan RasulNya itulah yang paling ditakutkan oleh Nabis.a.w “Yang aku takuti pada umat  adalah pemimpin-pemimpin yang menyesatkan.” sabda Rasulullah (HR Abu Dawud)

Jika pemimpin-pemimpin sesat telah memimpin , maka manusia akan berada pada penyelesalan yang tiada tara seperti yang digambarkan Allah dalam firmanNya “ Pada hari ketika muka mereka dibolak-balik dalam neraka , mereka berkata “ Alangkah baiknya , andaikata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul” ( Al Ahzab :66)

 

*Mohd Azmi Abdul Hamid adalah Presiden TERAS dan Setiausaha Agung Majils Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia

 

 

 

 

 

 

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 317,682 hits
Kalendar
Disember 2011
M T W T F S S
« Nov   Jan »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  
%d bloggers like this: