CABARAN DAN TANTANGAN MEMARTABATKAN SYARIAH DI MALAYSIA

  – GAGASAN GERAKAN SOKONG SYARIAH  MAPIM-

oleh

Mohd Azmi Abdul Hamid ,Setiausaha Agong MAPIM

Ucaputama Persidangan MAPIM ke 3 , 1433H

5 Rabiulawal 1433H / 29hb Januari 1202 ,Pusat Latihan JPS Malaysia Cawangan Ampang KL ,

 Keputusan (Hukum ) itu hanyalah kepunyaan Allah. dia Telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” Surah Yusof : 40

Kami alu-alukan kehadhiran saudara di Persidangan MAPIM buat kali ke 3 dengan ucapan ahlan wa sahlan wa marhaban bikum , moga pertemuan kita akan diberkahi Allah dengan niat kita setulusnya untuk menegakkan kalam Allah dalam seluruh dimensi kehidupan umat.

Setelah lebih 54 tahun merdeka belum ada penilaian yang dilakukan untuk mengukur kedudukan Islam dan umat Islam di negara ini secara terperinci sektor per sektor.

Walaupun terjadi beberapa episod dan ledakan sepanjang era pasca kemerdekaan yang membangkitkan soal kedudukan Islam   dalam pentadbiran negara , yang jelas maju atau tidak Islam di negara ini ,  belum ada yang menganalisanya dengan ilmiah.

Jika dilihat secara umum , Islam dinegara ini maseh tersudut sebagai agama ritual . Sungguhpun terdapat kemajuan dalam penerapan dan penggubalan komponen Islam dalam beberapa sektor seperti perbankan , namun belum ada usaha untuk melihat perlaksanaan syariah secara lebih menyeluruh.

Tidak keterlaluan untuk dirumuskan bahawa  agenda Islamisasi yang merangkumi dan meliputi kehidupan umat dalam seluruh aspek kehidupan bermasyarakat  dan bernegara , setakat ini belum menjadi usaha yang tersusun dan berstrategik.

Akibatnya Islam maseh berada diruang yang maseh terbatas dalam urustadbir dan ketatanegaraan yang tidak merangkumi dan tidak menyeluruh.

Sebab itu Kongres Umat Islam seMalaysia yang pertama (KUISMA 1) pada 2-3 Zulhijjah 1427H / 23-24hb Disember 2006 telah cuba membentangkan semacam sebuah manifesto atau dokumen kad laporan prestasi Islam di Malaysia sepanjang 50 tahun merdeka berkaitan dengan status Islam dan umat Islam secara menyeluruh.

Kami gelar acara kongres tersebut sebagai Muhasabah Nasional . Kami mengusulkan bahwa suatu audit yang jujur terhadap kondisi umat Islam dan status Islam di negara ini perlu diadakan. Semak realiti (reality check) terhadap 17 agenda telah kami gunakan sebagai suatu wasilah untuk  meneliti prestasi umat Islam bertujuan merangka rencana jangka panjang yang lebih realistik dan berpijak dibumi nyata. Hasrat kami event sulung tersebut seharusnya diuruti dengan tindaklanjut yang berkesinambungan.

Tujuannya jelas. Padat. Langsung. Kita memerlukan sebuah kebangkitan umat dan lonjakan yang cukup kuat. Dari sekadar sebuah acara harus berurutan kepada aksi. Dari cuma retorik harus melahirkan tindakan. Bukan sekadar untuk kepuasan beraktiviti , akan tetapi untuk meninggalkan bekas dan mencipta sejarah.

Semangat yang cuba dibawa ialah Kongres umat Islam itu digerakkan dengan semboyan , dari umat , kepada umat oleh umat.

Kini usia dokumen yang terhasil dari Kongres itu sudah berusia lebih 5 tahun. Ternyata geraktindak belum bermula untuk melancarkan transformasi yang diharapkan. Kami dapati belum ujud sinergi yang diperlukan untuk menggerakkan upaya memulahkan proses perubahan yang sepatutnya. Pun begitu keinginan untuk bergerak dan menjayakan proses Islamisasi dalam semua aspek kehidupan umat Islam sangat didambakan.

Sementara kami insaf bahawa gerakan mengembalikan sistem hidup Islam menjadi sistem arusperdana adalah kewajipan syar’i , kami juga sedar keterbatasan perancangan dan sumber serta kurang kesungguhan organisasi Islam untuk berusaha secara strategik melancarkan gerakan nasional , telah menghambat cita-cita ini. Oleh itu MAPIM terpanggil untuk kali ini menggerakkan upaya yang serius sebagai suatu permulaan menyiapkan umat untuk turut bersama menyokong dan mendokong syariat di negara ini.

Secara umum sememangnya persoalan syariat maseh terbatas kepada persoalan perundangan. Akan tetapi syariat Islam sebagai kerangka pengawalan kehidupan umat sebenarnya meliputi seluruh aspek kehidupan yang lain iaitu sosio-budaya , ekonomi dan politik , pendidikan , pengurusan sumber alam , pertahanan , urustadbir , hak asasi manusia , kebajikan  dan kebebasan sivil.

Islam adalah sekaligus syariat yang dalam dirinya terkandung kepedulian sangat tinggi dengan masalah sosial budaya dan pendidikan. Keharusan melaksanakan Islam secara kaffah, niscaya menjadi asas yang sangat kokoh akan keharusan keberadaan syariat pada lapangan sosial budaya dan pendidikan. Lebih dari itu sejarah umat yang telah terukir berabad-abad lamanya, baik pada skala lokal, nasional maupun global, ternyata juga membuktikan bahwa syariat Islam itu memang rahmatan lil alamin dan karenanya pastilah ia dapat dan perlu terwujud juga pada tataran sosial budaya dan pendidikan.

Lantaran kami melihat realiti kini jelas menjadi peluang terbaik untuk syariat diketengahkan memandangkan  keboborokan sistem dan peraturan masakini yang berinti  falsafah hidup Barat , gagal menyelesaikan krisis yang bertali arus menimpa dunia.

Pecah amanah , kerosakan alam sekitar , peningkatan jenayah , salahguna kuasa , keruntuhan akhlaq  dan institusi keluarga , penindasan , peminggiran golongan dhuafa , salahguna undang-undang , penyelewengan institusi kehakiman adalah rentetan antara krisis dunia yang bergantung kepada sistem diluar syariat.

Implikasi dan peringatan tuntas Allah terhadap keangkuhan manusia mengkufuri peraturan Allah di tegaskan:
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya Telah beriman kepada apa yang diturunkan kepada mu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka Telah diperintah mengingkari taghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”. Surahal-Nisā:60

Kami berpendirian bahawa syariat yang berteraskan keadilan sebagai tunggak , bertujuan menerangkan kebenaran dan mengharmoniskan kehidupan pada dasarnya  mempunyai ruang lingkup yang luas dalam pelbagai aspek hidup untuk menguruskelola umat bermasyarakat dan bernegara secara harmonis antara insan dengan Khaliqnya , insan dengan insan , insan dengan alam lingkungannya dan insan dengan dirinya sendiri.

Dalam hasrat murni kami untuk menegakkan syariat dalam ketatanegaraan ,kami juga tidak naïf terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang kini dicabar oleh golongan tertentu yang ingin mempersoalkan  peruntukan istimewa yang diberi kepada Islam dalam negara ini . Padahal peruntukan itu memberi hak kepada umat Islam menuntut supaya syariat ditegakkan dalam seluruh kehidupan umat tanpa menafikan hak warga non Muslim.

Sayangnya peruntukan yang sedia ada tidak dimanfaatkan sebaiknya untuk perlaksanaan syariat agar dapat direalisasikan .

Inilah yang sedang dijadikan perbahasan. Kenapa mereka yang telah diberi mandat berkuasa selama lebih 54 tahun ini tidak berusaha mengembangkan ruang lingkup syariat agar peraturannya terpakai dalam pelbagai aspek kehidupan umat selain dari ruang yang sedia ada.

Betapa pelbagai institusi Islam yang diujudkan nampaknya maseh lesu ketika bertindak  untuk menjadikan peraturan syariat Islam  mengambil tempat utama dalam perundangan negara.

Kedudukan agensi-agensi yang menguruskan hal ehwal Islam belum cukup berkesan untuk membangun dan memperkukuhkan status umat Islam diperingkat bawah dan menjaga kesucian Islam di negara ini ditingkat dasar. Walhasil undang-undang syariah tidak berkembang malah menjadi terpinggir.

Malah pernah ujud percubaan untuk mengembalikan kedudukan dan bidangkuasa Mahkamah Syariah seperti sebelum 1988 iaitu bidangkuasa Mahkamah Syariah boleh dicabar oleh Mahkamah Sivil.  Kesannya berlaku insiden mempersoalkan keIslaman anak-anak bawah umur 18 tahun kepada seorang mualaf Riduan Abdullah yang kini diheret ke Mahkamah Tinggi setelah keputusan Mahkamah Syariah diketepikan.

Kedudukan syariat terus dilemahkan ketika ada negeri yang belum menggubal enakmen agama Islam yang bersangkutan dengan Perkara 11 (4) yang menyebabkan rebutan dan tuntutan berlaku dalam isu status keIslaman seseorang. Kalaupun ada , banyak negeri yang tidak menguatkuasakan enakmen yang telah digubal.

Ini menunjukkan banyak lagi persoalan undang-undang berkaitan dengan hak golongan bukan Islam serta golongan mualaf yang belum cukup sempurna dalam perundangan yang sedia ada.

Gagasan MAPIM

Pada persidangan ini kami memutuskan untuk menggerakkan  agenda syariat dan mengenengahkannya untuk dijadi kempen nasional.

Agenda Mengarusperdanakan Syariah menjadi tema yang dipileh untuk diutarakan sebagai  gagasan dalam Gerakan Sokong Syariah yang ingin dilancarkan oleh MAPIM . Upaya ini adalah sebagai satu agenda membina gelombang menanam kecintaan dan komitmen umat untuk menjadikan syariat Islam sebagai landasan hidup bermasyarakat dan bernegara.

MAPIM mengambil inisiatif untuk berusaha menyediakan segala syarat yang diperlukan untuk syariat dilaksanakan di negara ini. Seperti yang diungkap oleh Dr Syeikh Yusuf al Qaradawi 3 prasyarat untuk melaksanakan syariat perlu diusahakan :

 

1.Perlaksanaan Islam secara menyeluruh. Ini adalah pandangan yang melihat persoalan hukum Islam tidak berfungsi secara berkesan dalam bentuk yang terpisah-pisah. Kaedah takaluf ijtima’i diambilkira dalam perlaksanaan syariat seperti hukum hudud zina dan mencuri. Bahawa prasyarat untuk bernikah terbuka luas barulah hukum hudud zina boleh dilaksanakan. Demikian juga hukum potong tangan untuk mencuri , tetapi pengedaran zakat terabai atau kezaliman berterusan , tidak akan memungkinkan hukum hudud atas kesalahan mencuri dapat dilaksanakan.

2.Perbersihan masyarakat dari sebarang unsur yang bertentangan dengan Islam. Mengikut Qaradawi ini adalah salah satu daripada keperluan asasi yang perlu dilakukan bagi melaksanakan syariat Islam. Ia meliputi soal sosio-ekonomi , budaya dan pemikiran . Segala kemungkaran dalam definasi syariat seperti riba , arak , pelacuran , judi , hiburan  liar , budaya mungkar dan penguatkuasaan undang-undang yang bertentangan dengan syara’ hendaklah diusahakan agar dapat dibentaras .

 

Namun Qaradawi jga menekan soal keutamaan dan keperluan ketika melaksanakan syariat seperti yang ditulis oleh beliau   dalam Fi Fiqh al-Awlawiyyat, dan al-Qaradawi (1992) dalam Awlawiyyat al-Harakat al-Islamiyyah fi Marhalah al-Qadimah.

 

Dengan demikian, beliau menyenaraikan beberapa fiqh yang perlu diberi perhatian iaitu fiqh alawlawiyyat (fiqh keutamaan) yang juga dikenali sebagai fiqh maratib al-camal, fiqh al-muwazanat (fiqh pertimbangan), fiqh al-maqasid (fiqh bagi mengetahui maksud syariat) dan fiqh al-nusus (fiqh nas-nas al-Quran dan al-Sunnah).

 

Disamping tu, perlu juga ditekankan fiqh al-waqi’ iaitu kefahaman mengenai realiti manusia dan kehidupan sekitarnya.  Penerapan fiqh al-waqi’ ini dalam memahami dan melaksanakan syariat sangat perlu ke arah pertimbangan (almuwazanah) yang betul dan jauh daripada unsur-unsur melampau.

 

Pertimbangan yang dimaksudkan oleh al-Qaradawi  di sini ialah pertimbangan antara sesama al-masalih (kebaikan), antara sesama al-mafasid (keburukan dan kerosakan) dan pertimbangan antara al-masalih dan al-mafasid.

 

 

3. Keperluan untuk melakukan ijtihad semasa. Keperluan kepada ijtihad semasa menjadi syarat penting bagi pelaksanaan syariat Islam. Al-Qaradawi (2002), dalam bahagian pendahuluan bukunya, al-Ijtihad fi al-shari’ah al-Islamiyyah ma’a Nazarat Tahliliyyah fi al-Ijtihad al-Mu’asir, menyatakan bahawa ijtihadlah yang menjadikan syariat Islam ini subur dan mampu untuk menghadapi permasalahan

baru, seterusnya sesuai dipraktikkan pada setiap masa dan tempat.

 

Sementara itu kami menuntut beberapa langkah diambil oleh pihak pemerintah dalam rangka melaksanakan syariat di negara ini.

 

Tuntutan kami adalah agar pihak berkuasa agama iaitu Majlis raja-raja Melayu , Majlis Fatwa Kebangsaan , JAKIM , Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan Jabatan Agama Islam negeri hendaklah mempertingkatkan keberkesanan agensi berkaitan  untuk memguatkuasakan semua peruntukan undang-undang yang sedia ada demi menjaga kesucian dan martabat agama Islam terutama persoalan menghina agama Islam dan istitusi agama Islam.

 

Kami juga amat prihatin bahawa kedudukan bidangkuasa Mahkamah Syariah mengikut Perkara 121 (1a) maseh  boleh disemak oleh Mahkamah Sivil seperti yang berlaku ke atas kes anak-anak Riduan Abdullah . Lantaran itu tidak boleh diambil ringan kes-kes prisiden mengenai taraf keIslaman seseorang dicabar seperti kes-kes yang sedang berlangsung di Mahkamah Sivil setakat ini.

 

Kami mendapati peruntukan undang-undang khusus yang berkaitan dengan menjaga dan mengawal  aqidah Islam belum diujudkan sedangkan isu aqidah adalah tunjang dalam menentukan kedudukan dan wibawa umat Islam itu sendiri.

 

Dalam isu pertembungan antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berkaitan dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan kami berpendapat harus  disegerakan  penubuhan Mahkamah Perlembagaan seperti di beberapa negeri Asia Barat yang sudah siap menghadapi gejala memurtadkan orang Islam. Mahkamah At Tamyiz diujudkan untuk menangani persoalan tersebut bila berlaku isu mengenai pentafsiran Perlembagaan .

 

Kami juga sedar betapa memasyarakatkan syariat dalam kehidupan sosial sangat penting jika usaha ini mahu dilihat membekas langsung dalam peribadi umat.

Kehidupan sosial umat Islam  pasti bermatlamat untuk mengharmoniskan kehidupan  untuk menjaganya agar tidak lepas kendali sehingga hubungan sosial tidak menjadi kontra produktif tetapi semakin memunculkan makna kebahagiaan dan kemakmuran.

Demikian umat Islam perlu dicorakkan oleh tatanan syariat dalam pola hubungan sosial mereka, baik dengan sesama muslim maupun dengan non-muslim demi merealisasikan kemaslahatan bersama. Begitulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w pada awal kedatangan baginda  di Madinah ketika baginda mempersaudarakan Muhajirin dengan Ansor dan ketika merealisasikan Piagam Madinah.

Demikian itu jugalah makna syariat dalam konteks sosial. Para ulama fiqih dan usul fiqih dimulai oleh Imam asy-Syafi’i dan kemudian juga tampil dalam kajian-kajian fiqih kontemporer, telah memunculkan berbagai kaedah yang mereka rumuskan dari dalil-dalil Al-Qur`an, Sunnah, ijma’ dan qiyas. Kaedah-kaedah yang sangat menerangkan makna syariat dalam konteks sosial misalnya:

1. Kaedah  tentang lima prinsip, yaitu prinsip keharusan menjaga agama, akal, jiwa, keturunan dan harta.

2. Kaedah hukum taklifi itu bukan dua saja halal dan haram, melainkan ada juga yang sunah, makruh bahkan ada yang mubah

3. Anjuran untuk terus dapat berijtihad dan mentajdid

4. Prinsip tentang kesesuaian syariat dengan realiti, juga bahwa syariat itu berdiri atas bangunan kemudahan dan mementingkan pentahapan

5. Kaedah tentang urf (adat) sebagai rujukan syariat.

6. Kaedah tentang amal dan atau perbuatan penduduk Madinah, seperti dipergunakan oleh Imam Malik.

7. Kaedah tentang mempertimbangkan kedaruratan dan mementingkan kemaslahatan

8. Kaedah tentang syura (bermusyawarah)

9. Kaedah tentang amr ma’ruf nahyi munkar

10. Kaedah tentang tolong menolong dalam kebajikan dan taqwa dan bukan dalam dosa dan melanggar hukum

11. Kaedah tentang fiqih da’wah

12. Kaedah tentang fiqih muamalah (hubungan sosial)

13. Kaedah tentang rabbaniyah dan syumuliyah syariat Islamiah

14. Kaedah tentang menegakkan keadilan dan egalitarianisme dihadapan hukum.

Dengan pendekatan sosial ini, syariat dapat semakin membuktikan makna bahwa keberadaannya adalah sebagai rahmat bagi kehidupan (al-Anbiya: 107), bahwa syariat itu bahkan dapat “membuat hidup jadi lebih hidup” (al-Anfal: 24, al-Baqarah: 179), bahwa syariat adalah bukan makhluk asing di tengah kehidupan manusia, tetapi merupakan bagian tidak terpisahkan dari kemanusiaan untuk kemajuan dan kemaslahatan mereka (al-Jum’ah: 2), bahkan ia sangat peduli dan bersimpati dengan kemanusiaan (at-Taubah: 128), sehingga karena demikian positifnya syariat bagi kehidupan sosial masyarakat manusia, logik saja bila kemudian Allah “Zat yang Maha Rahman dan Rahim itu”, meminta ketaatan umat manusia untuk melaksanakan syariat-Nya (al-Ahzab: 36) bukan dalam konteks pemaksaan apalagi pendekatan teror, sebab memang telah nyata perbedaan antara yang baik dan benar dengan yang salah, buruk dan tidak bermanfaat (al-Baqarah: 256).

Dengan pendekatan ini, syariat akan merealisasikan bukan saja kesolehan verbal, formal, atau individual melainkan akan memunculkan kesolehan esensial, eksistensial dan sosial sekaligus. Bahkan kepedulian realisasi tentang masalah sosial oleh Rasulullah s.a.w dijadikan sebagai tolok ukur adanya kesolehan individual.

Dan dengan pendekatan seperti di atas, kita mempunyai pedoman dasar, bahwa syariat memang sangat berhubungan dengan faktor sosial budaya, ia berhubungan dengannya dengan sangat erat, bahkan ia pro-aktif berinteraksi dengan budaya manusia, bahkan ia pun menciptakan kebudayaan baru di atas bingkai dan landasan syariat. Sehingga dahulu para ulama memunculkan suatu ungkapan yang sangat berarti: “Bila di situ ada kemaslahatan, maka di situ pulalah letak syariat.”

Kami merumuskan bahawa jika kita maseh berlengah dan berdegil untuk mengembleng seluruh tenaga  melaksanakan syariat sepenuhnya , dikhuatiri amaran Allah akan terpakai ke atas kita,
“Maka demi Tuhan mu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.al-Nisā’:65 

 

Wallahu’alam

 

 

Advertisements
Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 335,432 hits
Kalendar
Januari 2012
I S R K J S A
« Dis   Feb »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
%d bloggers like this: