ADAKAH PERJUANGAN PEMBANGKANG KONTEMPORARI TIDAK MENURUT SUNNAH?

 

Muhammad Nuruddin bin Bashah

Bc Hons Eng UM

A-     Muqaddimah

Kerap kali penulis melihat wacana berkaitan kewajipan taat kepada pemimpin memerlukan sentuhan yang lebih meluas. Golongan ulama’ salafi baik di peringkat antarabangsa atau tempatan kini giat mempromosi semula dalil-dalil tuntas berkenaan kewajipan taat serta haram menentang kepimpinan sesebuah daulah kerana sabit dalam beberapa dalil hadis yang sahih.

Tulisan ini digarap dengan lapang dada untuk sebarang kritikan dan sumbangsaran. Semoga usaha kita mencari pencerahan dan usaha menegakkan keadilan berlaku secara aman dan sejajar dengan dalil-dalil nas yang sahih.

Penulis mengakui bidang ini bukanlah suatu yang cocok dengan bidang pengajian sedari sekolah hingga ke peringkat kampus, namun penulis melihat perlunya satu obligasi untuk melakukan pencerahan dalam beberapa pemahaman dalil berkenaan agar proses pembaharuan, keadilan dan usaha menentang kemungkaran di negara ini tidak tergencat semata-mata kerana wacana yang sebenarnya masih luas pintu ijtihadnya.

Dalam tulisan penulis yang lalu bertajuk ‘Himpunan Rakyat; Bukti Agen Perubahan Masyarakat’ (boleh diakses melalui internet[1]), penulis ada menyenaraikan hujah mengapa ijtihad ulama’ aliran salaf seperti Ibnu Taimiyah dan Sheikh Muhammad Abdul Wahab meletakkan hukum haram berjuang menentang kerajaan. Perlu pembaca perhalusi, maksud  sebenar, istilah ‘menentang’ yang ulama’ salaf  maksudkan berdasarkan pemahaman dalil serta nas ialah tindakan ‘bughah’ atau pemberontakan bersenjata.

Persoalan besar yang juga perlu diperhatikan adakah pesaing politik dalam sistem demokrasi atau pembangkang bagi satu-satu sistem demokrasi secara semberono boleh dikaitkan dengan label bughah[2]?

Ibnu Taimiyah dan lain-lain ulama’ memang memberi fatwa haram menggulingkan kerajaan kerana sistem kerajaan Khalifah al Muluk beraja tidak mudah untuk diubah kepimpinan malah akan memberi mudharat kepada keamanan dalaman negara. Musuh luar akan membuat strategi untuk menghancurkan sesebuah negara dari dalam sementara serangan balas dinasti lama yang dijatuhkan ke atas dinasti baru akan berlanjutan (sila baca sejarah kejatuhan dinasti-dinasti mana-mana tamadun). Inilah mudharat yang cuba dielak oleh ulama’ silam.

Penulis juga mengkaji isu ini dalam keadaan penulis amat menghormati, menghargai serta kagum dengan ijtihad, kesungguhan Sheikh Muhammad Abdul Wahab, Shekhul Islam Ibnu Tamiyah serta beberapa kesungguhan ulama’ salafi kontemporari seperti Sheikh Salim Ibnu ‘Ied Al Hilali, Sheikh Abdul Aziz Bin Baz, Sheikh Muhammad ibn Saalih al-Uthaimin dan lain-lain dalam usaha mempertahan nas sahih sebagai pegangan umat akhir zaman. Malah ijtihad mereka dalam memberi makna kepada nas berkenaan adalah ijtihad yang mulia.

Mungkin istilah guling kelihatan keras dan radikal. Istilah yang lebih lunak adalah pemilihan pemimpin baharu mengantikan yang lama. Istilah yang kerap penulis gunakan adalah istilah Indonesia iaitu ‘makzul’. Makzul adalah kata serapan yang berasal dari Bahasa Arab yang ertinya turun. Jadi dalam Bahasa Indonesia dikatakan menurunkan daripada takhta; memberhentikan dari jabatan; meletakkan jabatannya (sendiri) sebagai raja (presiden, pemimpin); berhenti sebagai raja (pemimpin). Pemakzulan pula bererti sebuah proses memecat seorang pegawai tinggi negara (sumber wikipedia.org).

Sebagai contoh perhatikan dalil di bawah.

 

Kata Imam an-Nawawi RH (Wafat: 676H):

 

Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram menurut kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasik.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229)

 

 

Daripada Junadah B. Abi Umayyah, beliau berkata,

Kami masuk menemui ‘Ubadah B. ash-Shomit (ketika beliau terlantar sakit), lalu kami pun berkata, “Semoga Allah memulihkan keadaan kamu, khabarkanlah kepada kami satu hadis yang dengannya Allah memberi manfaat kepadamu, yang telah engkau dengar daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” Beliau pun berkata, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajak kami dan kami pun membai’atnya.” Kemudian beliau berkata, “Di antara perjanjian yang diambil dari kami adalah supaya kami membai’atnya untuk mendengar dan taat di ketika senang dan ketika susah, ketika sukar dan ketika mudah, mengutamakan beliau (Nabi) berbanding ke atas diri kami sendiri, tidak berebut (atau mempersoalkan) urusan kepimpinan daripada para pemiliknya melainkan sekiranya melihat kekufuran yang nyata, di mana ada bukti (yang boleh dipertanggungjawabkan) untuk kamu kemukakan kepada Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/444, no. 6532. Shahih Muslim, Kitab al-Imarah, 9/374, no. 3427)

 

Imam ash-Shan’ani menyebutkan perkara yang sama dengan katanya:

Hadis di atas dengan pelbagai bentuk lafaz dan susunannya telah menunjukkan bahawa sesiapa yang keluar (istilah khuruj iaitu tidak mentaati) seseorang pemimpin yang telah disepakati oleh umat Islam dalam sesebuah wilayah (kawasan/negara), maka dia berhak dibunuh kerana akan menimbulkan kerosakan kepada manusia sama ada pemimpin tersebut seorang yang adil ataupun yang zalim selagi mana mereka masih menegakkan solat sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis atau dalam hadis yang lain disebutkan, “Selagi kamu tidak melihat kekufuran yang nyata”. (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3/261)

  1. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menukil perkataan Ibnu Baththal dalam Fathul Bari,

Telah berkata Ibnu Baththal dalam hadis yang menjadi hujjah untuk meninggalkan sikap keluar(khuruj) dari ketaatan kepada sultan (pemerintah) walaupun pemerintah tersebut seorang yang jahat, (katanya) “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan (mutaghalib) dan berjihad bersama-samanya. Ini adalah kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)

  1. Kata Sheikh Ibnu Taimiyah pula,

Apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya dengannya, iaitu mentaati pemimpin dan menasihati mereka adalah wajib ke atas umat Islam, walaupun mereka mementingkan diri mereka. Menentang (memaksiati) mereka (ulil Amri) yang mana dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya adalah haram atasnya. Dan aku membencinya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/9).

Sila perhatikan pula hadis ini.

  1. Daripada Ummu Salamah, Rasulullah s.a.w bersabda:

Akan diangkat para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian engkau mengingkarinya (kerana ia telah melakukan maksiat). Sesiapa yang benci, maka ia telah berlepas tangan. Sesiapa yang mengingkarinya, benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan patuh terhadap pemimpin tersebut”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh memeranginya?”.( afala nuqatiluhum?) Beliau menjawab: “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solah”. ( La, ma sollu) Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim hadis no.1854)

 

Sesiapa yang melihat pada amirnya (pemimpin) suatu yang dibencinya, hendaklah dia tetap bersabar dengan sebab tersebut. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari al-Jama’ah (tidak mentaati pemerintahnya) walaupun sejengkal lalu ia mati dalam keadaan tersebut (keluar dari ketaatan terhadap pemimpin), maka matinya itu adalah mati dalam keadaan jahiliyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, 22/51, no. 6610)

Dalil-dalil di atas banyak dimanfaatkan oleh ulama’-ulama’ salafi kontemporari dan semestinya ia digali daripada sumber dalil yang absah iaitu Al Quran dan Al Hadis yang sahih.

Namun begitu, sejauhmana ia dijadikan sabit kepada hukum? Istilah yang digunakan oleh Al Qaradhawi adalah qatie as subut dan qatie ad dalalah [3] iaitu tuntas dari aspek sabit dalil berkenaan sebagai hukum.

B-      Istilah bunuh pemimpin

Dari nas-nas kita boleh perhatikan istilah yang Sahabat-sahabat gunakan apabila menyebut cara menghadapi pimpinan zalim adalah ‘nuqatiluhum’ iaitu ‘kami bunuh mereka’. Sudah tentu Rasulullah menolak malah Islam mengharamkan kita menumpahkan darah mana-mana muslim yang mengucap kalimah syahadah.

Persoalannya, dalam konteks politik hari ini, adakah boleh dikaitkan sesuatu parti politik pembangkang dengan tindakan membunuh atau menumpahkan darah pemimpin yang memerintah? Sungguh tidak logik dan jauh daripada kebenaran.

Sistem demokrasi dipilih bukan kerana beriman dengan sistem Yunani, tetapi ia jalan paling aman tanpa perlu bunuh membunuh, tiada serangan berdarah balas parti yang kalah (kecuali regim tentera yang zalim) serta tiada langsung kerosakan harta awam selepas tamat pilihanraya (kecuali sabotaj pihak yang tidak berakhlak).

Disebabkan demokrasi dipilih sebagai jalan makzul pemimpin, ia tidak memerlukan kekerasan malah ia dilakukan secara aman dan tenteram serta jauh lebih aman berbanding peperangan zaman silam kerana demokrasi langsung tidak memerlukan pedang.

Bagi dalil hadis bernombor 6 di atas, Sheikh Salim Al Hilali meletakkannya di bawah Kitab Ensiklopedi Larangan bab Larangan Keluar daripada Jamaah dan membatalkan Baiah (kepada pemimpin daulah)[4]. Syarah beliau bahawa hadis ini mengharamkan sebarang pemberontakan terhadap pemimpin Islam serta membatalkan Baiah terhadap pemimpin yang zalim dan jahat selagi mana mereka masih Muslim. Hal ini tiada masalah hari ini kerana tiada istilah pemberontakan berlaku sepanjang perjalanan pilihanraya demokrasi di Malaysia malah ia berjalan secara aman tanpa menumpahkan darah seperti yang dilarang dalam hadis sahih di atas.

C-      Istilah khuruj yang memerlukan pendefinasian semula

Beberapa ulama’ menggunakan istilah khuruj (keluar) sebagai manifestasi penentangan terhadap pemimpin Islam. Khuruj bererti keluar daripada pemerintahan Islam tersebut. Hal ini berlaku secara berleluasa sejak zaman Saidina Ali dan berlanjutan sehingga zaman daulah-daulah selepas itu atas nama gerakan Khawarij[5]. Khawarij bukan sekadar tidak bersetuju dengan kerajaan malah merancang untuk membunuh penyokong kerajaan, menolak 100% undang-undang kerajaan dan peraturan negara. Adakah dalil ini sesuai dikenakan kepada pembangkang atau rakyat yang menyertai parti pembangkang? Adakah parti pembangkang khuruj daripada sistem pemerintahan negara ini? Jika khuruj, mereka sudah pasti menetap di balik-balik gunung membuat sistem kehidupan terisolasi daripada massa kerajaan.

Berapakah jumlah anggota pembangkang yang tidak membayar cukai, menolak undang-undang tort, tidak mengikut peraturan jalanraya atau peraturan jabatan-jabatan kerajaan?

Malah lebih daripada itu, penulis juga ingin bertanya, berapa ramaikah penyokong kerajaan yang dibunuh oleh pembangkang jika ‘statement’ khuruj dikenakan terhadap mereka?

Ulama’ mensyarah maksud taat kepada pemerintah adalah wajib walaupun dalam perkara mubah, harus dan urusan duniawi juga.

Janganlah kamu mentaati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah di dalam perkara yang ma’ruf.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/218, no. 6716)

Perkara ma’ruf di sini adalah merujuk kepada urusan yang bukan maksiat dan bukan kemungkaran. Sama ada ianya perkara yang diwajibkan agama, yang disunnahkan, ataupun yang diharuskan. Sekiranya masyarakat diperintahkan supaya melaksanakan perkara-perkara yang diharuskan (tidak dilarang agama), maka hukum mentaatinya adalah wajib. Sebagai contoh, hukum mematuhi undang-undang jalan-raya yang digubal oleh pihak berkuasa adalah wajib selagi mana ianya bukan maksiat walaupun ianya tidak pernah diwajibkan oleh syara’ secara khusus.

Jika ini pertimbangan ketaatan, jelasnya rakyat Malaysia yang menyertai parti pembangkang juga taat kepada kerajaan dalam segala hal pengurusan negara.

Imam al-Mubarakfuri rahimahullah berkata,

Apabila seseorang pemimpin memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (harus), maka hukumnya menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)

D-     Adakah rakyat Malaysia tidak bersabar?

Rasulullah juga menegaskan kewajipan rakyat bersabar dengan tindakan pemimpin yang jahat. Persoalannya apakah yang Sahabat akan lakukan jika Nabi tidak mengarahkan tindakan bersabar? Para pengkaji sirah akan memahami betapa sahabat akan segera menghunus pedang kepada pemimpin yang jahat sekiranya Rasulullah tidak meletak tanda aras kepada mereka iaitu bersabar.

Bersabar bukan bererti berfahaman jabbariyah dan meletak nasib 100% kepada Allah semata-mata. Dengan bersabarlah tiada pertumpahan darah berlaku antara pemimpin pembangkang dan pemimpin kerajaan.

Namun begitu, mengeluarkan kenyataan keras atau memberi amaran kepada kerajaan bukanlah petanda bahawa pihak pembangkang sudah hilang sabar sebagaimana amaran Rasulullah. Sabar adalah sikap yang ada di medan demokrasi walaupun kini padang gelanggang demokrasi telah dikotorkan dan dicemar oleh pemerintah yang tidak mahu kehilangan kuasa mereka.

Lihat sahaja bagaimana sabarnya Asma’ Binti Abu Bakar tatkala menyaksikan anak beliau Abdullah bin Zubair dipancung oleh Hajjaj As Saqafi. Walaupun Asma’ tidak memberontak menentang Hajjaj tetapi beliau tetap memarahi dan menghembur amaran keras kepada Hajjaj walaupun Hajjaj memaki Asma’ sebagai perempuan tua yang nyanyuk. Begitu juga makian Hajjaj pada Abdullah bin Umar. Ibnu Umar tidak memberontak sebaliknya terus menegur Hajjaj atas kesombongan dan kezalimannya. Inilah erti sabar yang Rasulullah nyatakan dalam beberapa potong hadis sahih.

E-      Ijtihad dan penafsiran dalil berdasarkan waqi’ zaman dan waqi’ makan

Apabila Nabi ditanya adakah kami (Sahabat) boleh memerangi pemimpin yang jahat (afala tuqatiluhum) segera Nabi menjawab ‘La ma sollu’ (tidak selagi mana mereka solat).

Nabi tidak benarkan kita membunuh pemimpin zalim dan ini jelas dan konsensus tanpa perlu dipertikaikan lagi.

Tetapi adakah terdapat nas di mana Nabi menghalang kita menukar (makzul) pemimpin secara aman apatah lagi jalan pilihanraya?

Majoriti ulama’ salafi berpegang zahir hadis dan melarang menentang pemimpin kerana majoriti ulama’ salafi berasal daripada suasana politik Arab Saudi (Amir Saud). Ia cocok dengan waqi’ zaman (keadaan setempat) ulama’ di tanah Hijaz.

Sejarah bagaimana Sheikh Muhammad Ibnu Abdul Wahab bekerjasama dengan pemimpin Bani Saud di Hijaz untuk memerangi amalan khurafat menunjukkan kerjasama erat antara Sheikh Muhammad serta pengikutnya dengan kepimpinan Bani Saud. Tiada suasana demokrasi atau sistem makzul yang ada di tanah Hijaz melainkan ketaatan kepada sistem pemerintahan monarki. Ijtihad hubungan kerjasama antara Sheikh Muhammad dengan pemimpin Bani Saud tidak perlu kita pertikaikan kerana ia cocok dengan suasana dan senario politik di sana.

Dalam hadis-hadis yang sahih, istilah qital (bunuh) digunakan sebagai istilah lawan atau menentang, sedangkan perang demokrasi/pilihanraya bukan suatu perang berbentuk qital.

Imam Nawawi yang berada dalam suasana politik monarki pemerintahan Mamluk di Damsyik juga sama seperti zaman kehidupan Ibnu Taimiyah yang hidup di zaman pemerintahan monarki Mamluk walaupun pada tahun yang berbeza.

Tiada parti politik atau sistem pemilihan raja, khalifah atau presiden di zaman itu. Rata-rata pemberontak atau pihak pembangkang zaman itu menggunakan pedang membunuh pihak kerajaan yang zalim. Akibatnya raja yang zalim terus menerus memerangi rakyatnya serta pertumpahan darah tidak lagi mampu dielakkan. Malah walau Khalifah tidak zalim sekalipun, kita menyaksikan gerakan ‘underground’ hasyashin, gerakan alawiyyah dan sebagainya menjadi tulang belakang pemberontakan bersenjata dalam negara Daulat Abbasiyah[6].  Hal inilah yang cuba dielak oleh ulama’-ulama’ berkenaan.

Sebagai contoh, mengapa ulama’ salafi kontemporari yang berpusat di Arab Saudi tidak bersetuju dengan jalan demokrasi atau mencela sebarang usaha membangkang raja yang zalim?

Lihat sahaja fakta Wikipedia berkenaan politik di Arab Saudi: Pembentukan parti politik adalah dilarang dan pilihan raya umum tidak boleh diadakan. Kuasa raja secara teorinya adalah terhad dalam lingkungan Shari’ah dan tradisi Saudi lain. Beliau juga harus mengekalkan konsensus keluarga diraja Saud. Keadaan inilah yang mempengaruhi ijtihad Ibnu Baz, Sheikh Uthaimin, Sheikh Salim dan majoriti ulama’ salafi.

Malah jika ulama’ salafi di Malaysia juga berpandangan usaha pembangkang menyertai pilihanraya sebagai usaha menentang raja atau pemerintah Islam, mereka boleh dikatakan bertaqlid dengan ijtihad ulama’ salafi Hijaz sedangkan madrasah salafi menentang sebarang sikap taqlid!

F-      Mendoakan pemimpin bukan mencela

Suatu ketika Imam Ahmad Ibnu Hanbal pernah berada dalam pemerintahan Khalifah Al Makmun yang zalim malah mengadakan bidaah memakhlukkan Al Quran. Kata Imam Ahmad,

Sesungguhnya aku mendoakan untuk pemerintah agar diberi kebaikan dan a’fiyah. Jika terjadi peristiwa pemberontakan kepada pemerintah, kamu benar-benar akan melihat keburukan yang menimpa Islam” (Kitab As Sunnah oleh Al Khallal mukasurat 84).

Imam Barbahari juga pernah menegaskan bahawa kita dilarang mendoakan kecelakaan pada pemimpin yang zalim sebaliknya digesa mendokan hidayah dan taufik kepada mereka.

Persoalannya apakah amalan kita dalam politik Malaysia? Secara umum kita mengetahui, semua rakyat Malaysia mendoakan Raja-raja Melayu Islam dalam setiap kali solat Jumaat dan tiada khutbah yang mencela Raja-raja Melayu. Malah dalam solat hajat, hanya qunut nazilah dibacakan iaitu suatu doa menghancurkan pakatan jahat musuh Islam secara umum tanpa menyebut nama raja atau pemimpin tertentu. Bacaan qunut nazilah adalah amalan Rasulullah[7]. Jelas politik demokrasi di Malaysia tidak bercanggah dengan aspirasi Imam Ahmad yang mendoakan pemimpin.

Raja-raja Melayu tidak terlibat dalam amalan politik berpilihanraya dan mereka tidak akan dimakzulkan sepertimana pemimpin eksekutif. Jika dalil-dalil di atas diungkap oleh ulama’ dalam suasana politik monarki, hakikatnya rakyat Malaysia juga tidak pernah melancarkan sebarang kempen menentang raja Melayu Islam.

Mengapa pula parti politik pembangkang menentang kerajaan? Jawapannya mudah, kerana pemimpin yang disokong oleh ulama’ salafi tertentu di Malaysia ini juga bermain di gelanggang demokrasi dan jalan pilihanraya yang membenarkan penubuhan parti politik[8]. Apabila ada parti politik, maka dibenarkan bersaing untuk menubuhkan kerajaan berdasarkan aspirasi politik parti masing-masing. Tiada istilah bughah atau keluar daripada Baiah. Malah sistem demokrasi yang cuba diislamisasikan dengan mengambil amalan mengundi sebagai mendekati amalan baiah dan ianya bukanlah baiah yang sejati sepertimana yang dilakukan di zaman Rasulullah[9]. Jika baiah yang ada di Malaysia juga tidak hakiki, bagaimana pula tindakan bersaing dalam pilihanraya dikatakan tindakan bughah? Definasi bughah iaitu menentang kerajaan yang melaksanakan syariat islam juga menggugurkan tuduhan ini kerana perlaksanaan syariat di Malaysia masih jauh daripada kesempurnaan.

Tidak ada klausa atau istilah pembangkang memerangi pemimpin atau pembangkang tidak mentaati pemimpin. Dalam hal undang-undang awam, jalanraya, undang-undang sivil dan peraturan negara, pembangkang adalah seperti rakyat biasa yang taat dan patuh kepada peraturan kerajaan. Tidak ada mana-mana parti pembangkang mengeluarkan arahan melarang ahlinya tidak membayar cukai atau menolak sistem kad pengenalan. Inilah bukti tiada keengkaran rakyat terhadap kerajaan di Malaysia. Cuma apabila ada isu yang tidak dipersetujui, rakyat melalui saluran sah iaitu parti politik menyalurkan suara ke jalan yang aman tanpa ada pertumpahan darah sebagaimana istilah bughah yang ada dalam kitab fiqh apabila menghurai pemberontakan di zaman daulah-daulah silam.

Penulis tidak menolak langsung ijtihad para ulama’ yang menafsirkan nas dalam konteks politik semasa mereka malah bagi penulis, hadis-hadis di atas menjadi timbang tara kepada masyarakat kita hari ini dalam berpolitik secara sihat, mahabbah dan bertujuan menjulang syariah Islam.

G-     Pandangan Abu A’la Al Maududi

Menurut Al Maududi jelas ulama’ ahli sunnah berbeza pandangan dalam isu pemberontakan bersenjata terhadap pemerintah yang zalim. Menurut beliau ulama’ hadis membolehkan protes melalui ucapan kebenaran di hadapan pemerintah tetapi tidak dibenarkan pemerontakan menumpahkan darah selagi pemimpin itu Islam.

Namun menurut beliau, Imam Abu Hanifah berbeza pula pandangan dalam hal ini kerana menurut Imam Abu Hanifah, kepimpinan akan terlucut ke rana kezaliman itu adalah maksiat sedangkan Rasulullah memang melarang rakyat menuruti maksiat pemerintah. Imam Al Auzai’ berkata : kita telah cukup menahan diri dan dapat menerima seluruh pendapat Abu Hanifah sampai ketika ia datang kepada kita dengan membawa pedang maka hal itu tidak dapat kami terima. Hal ini kerana pada pandangan Imam Abu Hanifah langkah mencegah kemungkaran perlu dilakukan dengan tangan dan pedang (bil-yad) selepas gagal melalui lidah (bil-lisan).

Al Maududi juga menceritakan sebenarnya Al Hajjaj memang diperangi oleh pemberontak ahli sunnah iaitu Abdul Rahman Asya’t dengan mendapat sokongan ulama’ seperti Sai’d bin Jubair, As Sya’bi, Abu Al Bukhturi dan sebagainya. Imam Hassan Al Basri sebagai contoh walaupun menekankan nas haram menentang pemerintah zalim, beliau secara jelas menafikan kepimpinan Hajjaj dengan katanya “ demi Allah sesungguh hajjaj tidak diberi kekuasaan (mandat) oleh Allah ke atas kalian melainkan sebagai hukuman.  Maka jangan menentang hukuman Allah dengan pedang tetapi hendaklah kalian berdoa dengan khusyuk memohon kepada Allah[10].

Menurut Hassan Al Basri kezaliman dan kejahatan pemimpin adalah ibtila’ dan bencana kepada diri mereka sendiri. Kesabaran kita akan menyebabkan seksa terhadap mereka bertambah di akhirat kelak.

H-     Rasulullah melarang pembangkang menjadi Bughah

Apa takrifan Ulama Mengenai Al-Bughah yang dilarang oleh Al Qura dan As Sunnah[11]?

  • Mazhab Hanafi mentafrifkan al-Bughah sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’ (Hasyiyah Ibn `Abidin &  Syarhu Fath al-Qadir)
  • Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’ (Syarhu al-Zurqani)
  • Al-Bughah pada mazhab Syafie pula bermaksud ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ (Nihayah al-Muhtaj)
  • Manakala mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.’ (Asna al-Matolib)
  • Menurut mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’ (al-Muhalla)
  • Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.’ (al-Rawdh al-Nadhir)
  • Dr. Abdul Qadir `Awdah berkata, “para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat bahawa sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah, namun bukanlah berselisih pada rukun-rukunnya.
  • Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrifan yang disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan.’

Dari sini bolehlah dikeluarkan tiga rukun asasi terhadap jenayah al-Bughah iaitu[12];

(1) menentang pemerintah,  (2) penentangan secara kekerasan atau bersenjata, (3) ada niat melakukan jenayah.” (atau dalam istilah undang-undang barat disebut mens rea)

 

I-        Pandangan Al Qaradhawi tentang kemungkaran pemimpin

Apakah yang mampu dibuat oleh rakyat apabila kemungkaran dilakukan oleh pemerintah? Al Qaradhawi menjelaskan dalam bukunya, Fiqh Ad Daulah, bahawa kelompok rakyat yang mahu mengubahnya perlu memiliki kekuatan dan kemampuan mengubahnya. Antara kemampuan yang kita ada di Malaysia ialah kekuatan mengundi untuk mengubah kedudukan pemimpin tanpa perlu membunuh atau mencederakan mereka[13].

Antara kekuatan yang Al Qaradhawi nyatakan adalah kemampuan parlimen yang menggubal undang-undang. Rakyat boleh menegur pemimpin secara umum dan terbuka melalui wakil mereka yang ada dalam parlimen.

Kekuatan rakyat apabila bersatu juga diiktiraf oleh Al Qaradhawi. Rakyat yang bersatu mampu menjadikan pemimpin meletak jawatan secara terhormat dan inilah yang berlaku di Mesir.

Mana-mana rakyat yang tidak memiliki kekuatan mengundi, parlimen, tentera atau kesatuan rakyat, mereka haruslah bersabar sebagaimana majoriti hadis nyatakan dan berusaha mengubah kemungkaran menggunakan mata pena, dakwah fardi mahupun nasihat berterusan sebagaimana amalan Imam Al Ghazali dan Imam An Nawawi.

Al Qaradhawi juga menggesa rakyat agar bersabar jika didapati sebarang kempen mendedah kemungkaran akan membawa kepada kemudharatan yang lebih besar. Mungkin inilah yang terjadi apabila Dr Said Ramadhan al Buti mengeluarkan fatwa agar rakyat bersabar dan taat di bawah pemerintahan Basyar Al Asad. Fatwa ini bukan kerana Al Buti menjadi kakitangan Syiah Nusairiyah atau bersekongkol dengan kerajaan yang zalim. Berlainan dengan ulama’ yang jauh dari Syria seperti Al Qaradhawi dan Munir Al Qatbhan yang mengeluarkan fatwa keras menentang pemerintahan Basyar.

J-       Kecaman nas-nas sahih terhadap pemerintah yang zalim

Jika pemerintah zalim hari ini cuba menangguk manfaat daripada hujah-hujah ulama’ salafi berkenaan isu ketaatan, bagaimana pula nas-nas yang mencela kezaliman mereka? Nas inilah yang amat penting untuk dijadikan ‘nazirah’ kepada mereka.

tA$s% ÓyqçR Éb>§‘ öNåk¨XÎ) ’ÎTöq|Átã (#qãèt7¨?$#ur `tB óO©9 çn÷ŠÌ“tƒ ¼çmä9$tB ÿ¼çnà$s!urur žwÎ) #Y‘$|¡yz ÇËÊÈ

21. Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang Yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

 

(Nuh: 21)

y7ù=Ï?ur ׊%tæ ( (#r߉ysy_ ÏM»tƒ$t«Î/ öNÍkÍh5u‘ (#öq|Átãur ¼ã&s#ߙ①(#þqãèt7¨?$#ur zöDr& Èe@ä. A‘$¬7y_ 7‰ŠÏZtã ÇÎÒÈ

59. dan itulah peristiwa kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulNya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua Yang bermaharajalela, lagi degil Dalam keingkarannya.

(Hud : 59)

£#y‚tGó™$$sù ¼çmtBöqs% çnqãã$sÛr’sù 4 öNßg¯RÎ) (#qçR%x. $YBöqs% tûüÉ)Å¡»sù ÇÎÍÈ

54. (dengan Yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum Yang fasik – derhaka.

(Zukhruf : 54)

Muawwiyah meriwayatkan daripada Rasulullah bersabda;

Akan berlaku selepas aku pemimpin-pemimpin yang mengeluarkan kenyataan dan tiada siapa pun yang berani membantahnya mereka akan dihalau di dalam neraka seperti dihalaunya kera. ( Riwayat Abu Ya’la dan At Tabroni dan juga termuat dalam kitab Sahih Al Jami’ As Soghir)

 

K-      Pandangan  mengapa memilih jalan demokrasi dan bukannya monarki

  • Kenyataan Presiden PAS Dataran Bukit Sentosa, Batang Kali  21 April 2010 “Walaupun sistem demokrasi ini datangnya dari Eropah[14], Islam mengiktiraf (sistem) demokrasi kerana kepimpinan yang adil itu datangnya daripada rakyat dan mesti dipilih (melalui) proses pilihanraya yang adil dan bebas. “(Maka), menjadi suatu tanggungjawab bagi rakyat (dan) amanah yang paling besar bagi kita semua (rakyat) adalah (untuk) pilih pemimpin yang adil”.
  • Menurut Presiden PAS, demokrasi diterima oleh jumhur ulama’ Islam kerana ia diiktiraf sebagai perkara baik yang wujud walaupun sebelum Islam. Ianya sama seperti amalan cop mohor pada surat yang juga diamalkan oleh Rasulullah walaupun ia amalan kerajaan kafir sebelum islam. Begitu juga sistem penggajian pegawai pos, tentera dan pegawai kerajaan sama seperti amalan sistem Parsi dan Rom yang diambil oleh Saidina Umar Al Khattab. Namun begitu, Tuan Guru Abdul Hadi mengakui bahawa sistem amalan demokrasi yang diasas oleh Yunani memilki banyak kelemahan kerana ia sistem ciptaan manusia. Ia diterima kerana memudahkan urusan pemilihan pemerintah yang memerlukan baiah dan persetujuan rakyat yang semakin ramai dan rencam latar belakangnya[15].
  • Kata Al Qaradhawi dalam Fiqh ad-Daulah;
    • Tiada dalil melarang mengambil taktik dan hikmah atau teori ilmiah kaum bukan Islam untuk dimanfaatkan dalam sistem kehidupan masyarakat Islam.
    • Kaedah perang ala Parsi yang digunakan semasa Perang Ahzab adalah contoh asimilasi teknik bukan Islam.
  • Al Qaradhawi juga menolak sikap pihak yang taksub dengan demokrasi sehingga menganggap demokrasi sinonim dengan Islam tanpa melihat perbezaan langsung. Golongan ini akan selesa meresap sistem kapitalis, sosialis dan sekular barat melalui bagasi demokrasi yang dianuti secara semberono[16].
  • Mesir telah hampir melaksanakan 100% syariah apabila Ikhwanul Muslimin berjaya berkongsi kuasa dengan tentera dan kaum Kristian. Fareed Abb Al Khaleq, 97, iaitu bekas setiausaha peribadi kepada Imam As-Syahid Hassan Al Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin yang syahid pada tahun 1949, berkata kesabaran anggota Ikhwan Muslimin didikan Al-Banna membuahkan hasil dan pemilihan Dr Morsi ini adalah satu kemuncak impian Ikhwan Muslimin walaupun beliau mengakui Dr Morsi perlu berkongsi kuasa dengan majlis pemerintah tentera (SCAF) yang mentadbir dengan tidak sepenuhnya mengikut aturan parlimen atau cuba mengekalkan perlembagaan yang sedia ada.Al Khaleq tahu bahawa Mesir masih lagi jauh dari negara bercirikan Khalifah Islamiyah sebagimana impian yang dinyatakan oleh mentornya (Al-Banna). Bagi Khaleq, ia tidak menjadi masalah kerana sekurang-kurangnya bermula hari ini, beliau berkata, Mesir berada dalam perjalanan yang betul menuju matlamat[17].
  • Rakyat Mesir yang boleh dikatakan hampir separuh menerima dakwah Ikhwan memilih demokrasi berpilihanraya atas dasar tadrij dalam melaksanakan Islam. Walaupun begitu Hizbut Tahrir mengkritik tindakan Revolusi Arab yang dikatakan hanya mengubah pemimpin tetapi mengekalkan sistem kufur yang sama. HT lupa bahawa angan-angan merombak sistem kufur dalam sekelip mata sudah ditegur oleh Syed Qutb dalam bukunya Maalim Fi At Toriq puluhan tahun sebelum senario Mesir hari ini[18].
  • Ketegasan Al Maududi berkenaan demokrasi yang kerap disalahgunakan pelru diberi perhatian. Sebagai contoh, demokrasi yang kerap melaungkan slogan kepimpinan rakyat akhirnya hanya dikuasai oleh segelintir manusia yang mewakili parti kerana pilihanraya hanya memerlukan suara rakyat 5 tahun sekali[19].


[2] Penulis memetik laman  http://www.islam.gov.my/konsep-bughah-dalam-islam pengertian bughah mengikut istilah syara` adalah “ segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka terhadap Ulil Amri (imam) iaitu pemerintah atau kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.’ (Kifayah al-Akhyar, jild 2 hal 122),  Bughah mengikut istilah ilmu tata negara adalah “perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri yang dinamakan jarimah siyasah( iaitu suatu kesalahan dalam politik)”.( Qanun Jinayah Syariyyah, hal 129). Topik seteruskan akan membincangkan hal ini.

[3] Al Qatie adalah dalil syara’ yang pasti tetap daripada Allah. Qatie As Thubut adalah dalil yang pasti sahih daripada Allah dan Rasul. Qatie ad Dalalah pula bermakna dalil sahih tadi pasti dan sabit makna pada sesuatu perkara yang ingin dihukumnya. (rujuk Fiqh Al Awlawiyat Keutamaan Tugas-tugas Muslimin karya Dr Yusuf Al Qaradhawi)

[4] Sheikh Salim Ibnu ‘Ied Al Hilali, Ensiklopedi Larangan, Pustaka Imam As Syafie’

[5] Ramai yang simplistik melabelkan semua pembangkang seluruh dunia sebagai pembawa simptom gerakan Khawarij. Apakah makna sebenar gerakan ini dan sejarahnya? Golongan Khawarij menentang khalifah secara kekerasan. Antara tindakan kejam yang mereka lakukan adalah membunuh Ali bin Abu Talib. Ali dibunuh oleh seorang pengikut Khawarij yang bernama Abdul Rahman bin Muljim. Seterusnya mereka berpecah kepada lapan golongan yang besar dan berpecah pula daripadanya beberapa kumpulan kecil yang mempunyai pegangan yang berbeza antara satu sama lain. Mereka memiliki madrasah aqidah tersendiri, takfir (mengkafirkan) sebahagian sahabat serta saki baki gerakan masih ada di di Oman, dan kelompok kecil di Zanzibar, Algeria, Tunisia dan Libya.

[6] Hassyasyin, bahasa Arab الحشاشين, adalah salah satu cabang dari  Syi’ah Ismailiyah. Mereka bermukim di Iran, Iraq, Syam dan Lubnan di bawah pemimpin karismatik Hasan-i Sabbah. Mereka membunuh pemimpin penting Sunni, yang dianggap mereka sebagai “kaum kafir perebut takhta dan mereka  dihancurkan oleh bangsa Mongol Hulagu Khan pada  tahun 1272.

[7] Rasulullah menyebut nama pihak yang didoakan kecelakaan dan mereka bukanlah pemimpin umat Islam seperti yang diwacanakan oleh kita. Kata  Abu Hurairah r.a Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah saw selesai membaca (al-Fatihah dan surah), baginda bertakbir (untuk rukuk) dan mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: “Sami’allahu liman hamidahu, rabbana walaka al-hamdu”. Kemudian, baginda membaca doa dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisham, ‘Iyash bin Abi Rabia’h dan semua golongan yang tertindas dari kaum mukminin. Wahai Allah, hancur dan musnahkanlah kaum kafir yang memberi mudharat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun yang sengsara seperti yang berlaku pada zaman nabi Yusuf” . (Riwayat al-Bukhari (no.2600) dan Ahmad 2/239, 396).

Di dalam riwayat Imam Muslim (no. terdapat tambahan doa seperti berikut: “Ya Allah, laknatilah kabilah Lihyan, Ri’l, Zakwan dan ‘Usaiyah yang telah menderhakai Allah dan juga RasulNya”.

[8] UMNO menubuhkan Sekreteriat Ulama’ Muda (ILMU) yang terdiri daripada kalangan ulama’ salafi yang tegar mempertahankan sunnah. Usaha ini mulia sekiranya benar UMNO ikhlas ingin melaksanakan sunnah di Malaysia.

[9] Menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia perlu mendapat suara majority di dalam Dewan Rakyat atau di Dewan Undangan Negeri. Untuk itu  sesebuah parti itu mestilah memenangi kerusi-kerusi terbanyak di dewan-dewan tersebut. Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya, mestilah perlu mendapat sokongan pengundi yang lebih ramai (majority). Para pencinta Islam layak menjadi pengundi dan mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu, berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kita bincangkan di atas dan berdasarkan kaedah fiqh:

 

بما لا يتم الواجب ألا به فهو واج

Maksudnya:“Sesuatu itu tidak sempurna yang wajib melainkan dengannay maka ia menjadi wajib.” Maka dengan itu, mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syarak.

 

[10] Al Maududi memetik daripada Tabaqat Ibnu Sa’d Jilid 7.

[12] Dr. `Awdah, al-Tasyri` al-Jinai al-Islami, 2/674

[13] Dr. Yusuf Al Qaradhawi, Fiqh daulah menurut Perspektif Islam, Maktabah Al Qaradhawi 1998

[14] Dari suatu sudut, sistem syura dan demokrasi  dilihat mempunyai persamaan dalam beberapa aspek. Antaranya ialah:

1.Sebagai suatu sistem pentadbiran dalam mencapai matlamat untuk melaksanakan beberapa tuntutan kemanusiaan. Ianya berjalan di atas dasar kewarasan akal fikiran manusia tetapi bukanlah merupakan suatu sistem yang tetap. Demokrasi mengalami perubahan berdasarkan perubahan zaman sebagaimana  juga syura.

2. Rakyat adalah sebagai pelaksana kepada ketetapan ataupun perundangan yang dibuat melalui perbincangan. Selain itu juga rakyat memiliki kekuasaan untuk berijtihad terhadap perkara-perkara yang  tidak diturunkan nas di dalam agama samawi. Di sana perlulah dijelaskan bahawa perlaksanaan sesetengah pentadbiran yang menjalankan sistem pilihanraya bukanlah menunjukkan bahawa ie’tikad kepada sistem barat, sebaliknya ia hanyalah merupakan wasilah dan bukanlah merupakan maksud ataupun matlamat. Wasilah hanyalah perkara-perkara yang berhubung dengan perlaksanaan  sedangkan maqasid ialah  matlamat yang terhasil daripada perlaksanaan. Walaupun syura kadang-kadang mempunyai persamaan dengan beberapa sistem lain tetapi hakikatnya ia adalah berbeza sebagaimana yang dinyatakan dalam ciri-ciri syura dan demokrasi.7

[15] Abdul Hadi Awang, Islam Adil Untuk Semua, PTS 2009.

[16] Dr Yusuf Al Qaradhawi, Agama dan Politik Wawasan ideal dan menyanggah kekeliruan pemikiran Sekular-Liberal, Alam Raya Enterprise 2009

[17] Rujuk http://www.miamiherald.com/2012/06/30/2876140/onetime-aide-to-muslim-brotherhood.html . Terbukti istilah sabar yang digesa oleh Rasulullah telah diamalkan oleh penggerak jamaah Ikhwan lebih 80 tahun lamanya. Kini mereka Berjaya memakzulkan pemimpin yang zalim tanpa memerlukan senjata atau qital seperti yang ditegah oleh Rasulullah. Selepas 83 tahun Asyahid Hassan Al-Banna meninggal dunia setelah ditembak di siang hari sehingga tidak ada orang yang berani mengangkat mayatnya ketika itu, akhirnya perjuangan itu menang juga. Dan media seperti CNN, Reuters, bekerja keras untuk menangk an calon sekular akhirnya tewas juga.

[19] Abu A’la Al Maududi, Khilafah dan Kerajaan, Dewan Pustaka Fajar 1986. (lihat bahagian muqaddimah)

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 330,991 hits
Kalendar
Ogos 2012
I S R K J S A
« Jul   Sep »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
%d bloggers like this: