TANAH RUNTUH DAN BANJIR – EGO KITA TELAH MENKHIANATI TANGGUNGJAWAB KITA UNTUK MELINDUNGI ALAM

Surat/ Pendapat
Sahabat Alam Malaysia

3 hb Januari 2013

Insiden tanah runtuh dilereng bukit yang dibina bangunan dan banjir besar yang melanda kawasan yang tidak dijangka bukan satu perkara yang baru di Negara ini.

Dari peristiwa paling ngeri iaitu Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 1993 sehingga tragedi tanah runtuh di Genting Highlands pada 1995 yang meragut 20 nyawa, tanah runtuh di Pos Dipang yang juga mengorbankan 39  nyawa pada  1996, tanah runtuh bukit di Putrajaya yang menimbus 23 kenderaan pada 2007 , tanah runtuh lagi pada 2008 di Bukit Antarabangsa , Ulu Klang yang menimbuskan 14 rumah dan mengorbankan 3 nyawa , sehinggalah  lereng bukit runtuh yang juga mengorbankan 24 nyawa pelajar disebuah madrasah  dan rumah Anak yatim di Hulu Langat di Selangor pada 2011.

tanah runtuh

Demikian juga banjir besar yang “diluar jangka” berlaku di Kuantan hujung tahun 2012  menjelang 2013 .Dikatakan banjir berskala besar yang paling buruk sejak 1971 telah melumpuhkan seluruh bandar Kuantan . Seperti banjir besar berlaku di bandar Kota Tinggi , Johor sebanyak 2 gelombang yang mengejutkan pada 2006-2007 dan juga banjir yang menengelamkan Jitra pada 2010, banjir kilat yang dikatakan akibat musim tengkujuh (cyclical monsoon) yang berkitar setiap tahun bukan satu alasan yang boleh diterima lagi.

Kita boleh memanjangkan lagi senarai tragedi dan insiden seperti ini. Semua ini adalah rentetan peristiwa yang menandakan kedegilan kita mengawal nafsu sarakah kita mengeksploitasi bumi dikepil dengan kecuaian kita sendiri.

Kekerapan , intensiti , dan keluasan kawasan yang terlibat , bukan lagi boleh disifatkan sebagai banjir kilat seolah ia tidak boleh dielakkan. Begitu juga tanah runtuh bukan lagi patut diistilahkan sebagai bencana alam ,akan tetapi adalah keruntuhan rasa tanggungjawab kita terhadap alam. Malah tanah runtuh dan banjir yang boleh disebabkan oleh punca dari kecuaian , kesombongan , penyelewengan pelbagai pihak yang leka dengan pembangunan untuk mencapai taraf Negara maju.

Sementara pihak berkuasa bergegas mencari kata-kata bagaimana hendak menenangkan keadaan agar maklumat kenapa tanah runtuh dan banjir berlaku agar tidak disalahkan kepada kecacatan dalam perancangan pembangunan, manakala ahli politik berkejar ke lokasi banjir dan cepat menunjukkan mereka sedang membahagi-bahagi bantuan yang sering diambil foto buat membina imej bahawa mereka prihatin , manakala pemimpin kerajaan pula mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan senantiasa memantau keadaan , namun semua ini tidak dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah yang berulang-ulang ini.

Pihak Jabatan yang berkenaan hanya mampu mengumumkan seluruh pegawainya di kerah untuk membantu mangsa di lokasi kejadian. Namun tidak ada yang berani mendedahkan kesilapan yang telah berlaku dalam pentadbiran dan model perancangan pembangunan yang diluluskan oleh pihak atasan , walaupun mereka telah mengeluarkan laporan teknikal bahawa sesuatu projek itu dibantah oleh Jabatan sendiri.

Dalam kekalutan semua pihak cuba melindungi kepentingan masing-masing , malangnya tidak ada yang menyentuh persoalan asas bahawa punca semua ini adalah kepada kegelojohan kita mengeskploitasi alam sekitar , ketamakan kita meraih keuntungan untuk membolot kekayaan dan pengkhianatan kita terhadap kuasa yang diamanahkan kepada kita. Ini adalah intisari punca kenapa bencana berlaku yang berlanjutan kepada punca seterusnya iaitu kesalahan dalam merancang dan dasar yang tidak mesra alam sekitar.

Sejak insiden dan tragedi bersiri tanah runtuh yang meragut puluhan nyawa di negara ini , nampaknya kita tidak semakin insaf ,  malah terus bersahaja dalam mengeksploitasi alam .

Mungkin sebenarnya kita semakin bertambah  ganas . Belum nampak sebarang tanda-tanda bahawa kita , kerajaan , rakyat mahupun pihak swasta akan insaf , betapa harga yang terpaksa dibayar akibat  merosakkan alam adalah sangat tinggi.

Peristiwa keruntuhan Bukit Setiawangsa yang sedang dilihat sekarang , walaupun kita sempat bertindak untuk menyelamatkan penduduk yang menghuni rumah-rumah di atas bukit itu, jelas bukanlah satu kemujuran yang kita harus  berasa lega. Pada hakikatnya perlu dipersoalkan dengan serius kenapa ini boleh berlaku.

Ada soalan penting yang perlu dijawab dengan jujur. Kenapa pembinaan bangunan di kawasan bukit dan lereng bukit maseh dibenarkan ? Apakah peraturan yang ada berkaitan dengan pembangunan yang berkait dengan bukit tidak diendahkan samasekali ? Kenapa kawalan keatas pembangunan dikawasan bukit dinegara ini maseh tidak di kuatkuasakan seperti sepatutnya.

Kita sering mendengar bahawa kerajaan akan memantau perkembangan hanya setelah tragedi berlaku. Tidak mengejutkan pihak berkuasa dan pemimpin negara selalu mengeluarkan kenyataan untuk melegakan masyarakat hanya setelah tragedi berlaku. Pihak berkuasa selalu mengeluarkan ingatan bahawa semua pihak pemaju di hendakki mematuhi peraturan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Tanah dan Survei .

Malah dikatakan pihak kerajaan sudah pun mengenalpasti beberapa zon yang melindungi kawasan bukit . Sebarang pembangunan dikatakan perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri mengeluar kenyataan setelah berlaku tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2008 menegaskan tidak akan dibenarkan lagi pembangunan di kawasan bukit dan mengingatkan pemaju jangan melobi kerajaan untuk mendapat kelulusan.

Namun semua ingatan ini bagaikan udara panas yang akhirnya menjadi sejuk sehingga berulang lagi tragedi yang baru.

Jika negara ini dikatakan terhindar dari malapetaka besar seperti gempa bumi dan gunung berapi serta taufan besar , kenapa kita harus bersikap sangat longgar dalam hal menjaga alam sekitar. Adakah kerana kita terlalu yakin bahawa Malaysia berada di zon selamat dari malapetaka alam?

Kami berpendapat sangat besar kesilapan yang kita lakukan ketika kita beranggapan bahawa bencana alam di negara ini tidak perlu diberi perhatian terlalu serius berbanding negara lain yang dikatakan berada di “lengkari api”.

Sebenarnya dengan melihat kepada pelbagai bencana yang semakin kerap dan diluar jangka seperti banjir besar , tanah runtuh dan kemarau yang berpanjangan , kita harus bingkas dari kelalaian dan memperbetulkan sikap kita yang tidak bertanggungjawab terhadap alam.

Kini tanah runtuh yang kerap menandakan kestabilan tanah dan bumi di negara ini benar-benar harus diberi perhatian. Kita mungkin rasa selamat dengan kemampuan kita membina konkrit ke atas tanah kononnya untuk mengukuhkan tanah. Namun semua pakar geologi tahu bahawa teknik itu samasekali tidak menjamin tanah runtuh tidak akan berlaku.

Sekarang pihak kajibumi sempat mengesan pergerakkan bumi berlaku di Bukit Setiawangsa. Namun skala pergerakkan bumi dalam jangka panjangnya belum lagi diketahui . Kebarangkalian ia hanya sebahgian dari pergerakkan bumi yang mungkin lebih besar  bakal muncul tanpa disangka ,  tidak boleh diperkecilkan .

Betapa canggih sekalipun alat pengesan dapat disediakan oleh ahli geologi namun semua tahu pergerakkan bumi sangat dirangsang oleh pelbagai pembangunan yang kita benarkan berlaku diatas permukaaan bumi.

Bermakna apa yang kita lihat sekarang , dari tanah runtuh hingga banjir besar adalah sangat berkait. Apakah kita tidak mahu menerima hakikat bahawa segala kepesatan pembangunan yang kita lakukan ini ada kaitan dengan bencana alam yang semakin kerap berlaku.

Bukit yang digondolkan , hutan yang dibersihkan , pembalakkan yang dibenarkan , hutan bakau yang kita musnahkan ,kawasan tadahan air yang dikeluarkan dari warta tanah simpanan , lereng bukit dan gunung yang dibangunkan untuk pelancongan. Semua ini sememangnya menyumbang kepada bencana. Semua ini pasti menggugat kesimbangan alam.

Lantaran itu bencana alam yang sering kita fahami sebagai “semula jadi” sebenarnya adalah bencana buatan manusia.

Bumi asalnya berfungsi dalam sebuah ekosistem yang sangat seimbang. Bumi ini dengan segala apa yang hidup diatasnya berfungsi dalam satu sistem yang saling mempengaruhi . Jika satu elemen diganggu , akan ada natijah yang akan menyebabkan komponen yang lain juga akan terjejas.

Hakikat inilah yang kita telah nafikan dan telah menutup bukan sahaja mata zahir kita malah membutakan mata batin kita.

Apakah kita terus mahu bersikap kita lebih tahu dari orang lain untuk menjaga dan melindungi alam sekitar dan bongkak dengan teknologi pembangunan yang kita bangga sebagai sempurna , sehingga kita tidak mahu insaf bahawa alam boleh bertindakbalas ke atas keangkuhan kita dan berakhir dengan membayar harga yang sangat mahal iaitu nyawa manusia.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Ahli Majlis Sahabat Alam Malaysia
No 10, Jalan Masjid Negeri , 11600 , Penang , Malaysia

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 317,613 hits
Kalendar
Januari 2013
M T W T F S S
« Dec   Feb »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
%d bloggers like this: