MENCETAK AKTIVIS RAKYAT

Nukilan Cikgu Azmi
Seusai ceramah di KL, menunggu masa berangkat pulang ke Kedah.
Jam 11.30 malam , 21 hb Januari 2013 ,

Rakyat sering disinonim dengan akar rumput atau akar umbi (grass root) . Namun akar umbi perlu tanah. Ketika akar tunjang mengukuh ditanah yang subur , natijahnya sangat hebat. Rakyat dan tanah bila ia terjalin kuat ia boleh menghasilkan sebuah tamadun. Jika penguasa cuba memisahkan keduanya ia boleh menyimpan amarah yang terpendam. Bila ia bergabung ia boleh jadi mimpi buruk untuk penguasa yang khianat. Kerana akar rumput dan tanah punya kekuatan tersendiri bila ia bergabung.

Rakyat mendambakan penggerak kepada kekuatan ini . Rakyat dan tanah. Teringat kita kepada puisi dari seorang aktivis rakyat dengan puisinya  ”Hanya ada satu kata: Lawan!” yang memberi gelora rasa bagi kalangan rakyat kecil. Aktivis itu dikenali sebagai aktivis dan seniman rakyat yang tergabung bersama buruh dan kaum miskin yang dalam semangatnya dan yang sentiasa menguat. Sentiasa penuh harapan.

Sosok seorang aktivis rakyat bernama Wiji Thukul dalam puisinya ini juga banyak mewacanakan tanah sebagai kehidupan: tempat manusia menata segala aktiviti, juga akhirnya sebagai liang kubur (akhir kehidupan).

Kita sedar betapa seorang aktivis rakyat itu perlu membicarakan tentang potret orang kecil yang dilayan sebagai rumput , diinjak-injak sesudah kuasa berada ditangan ,  yang tersisih oleh pembangunan . Padahal rakyat kecil itulah yang menjadi rakyat terbanyak. Malang akibat sikaya , yang sebenarnya hanya bilangan terkecil ,  bernafsu besar untuk membolot tanah , rakyat sering jadi warga kelas kedua.  Bila keperluan tanah sangat didambakan rakyat kecil untuk hidup dan tumbuh, rakyat jadi sesak nafas juga untuk mendapatkannya.

Sebab itu maudhu’ tanah bagi rakyat sangat akrab.  Seorang aktivis harus siap jadi ”pahlawan memperjuangkan nasib rakyat kecil yang tak bertanah”.

Ketika aktivis bersuara , suaranya pasti perlu mewakili realiti sosial . ekonomi dan politik rakyat.  Aktivis  menghadirkan pengalaman dan  melafazkan semangat dari  degup jantung dan nafas rakyat. Dalam hal ini rakyat kecil yang dirampas tanahnya , menuntut aktivis agar tidak sepi. Bahawa harus disuarakan ini adalah sebesar-besar dosa pemerintah. Kerana tanpa tanah kehidupan rakyat terbantut. Nyawa rakyat akan seolah tergantung dihujung tanduk.Yang lain berikutnya juga akan menambahkan lagi derita. Sehingga rakyat kecil tidak bertanah akan terus berada dalam putaran ganas kemiskinan. Maka aktivis rakyat perlu faham derita rakyat kecil yang hidup menumpang dan terus hidup miskin , tidak mungkin didiamkan.

Orang kecil selalu dianggap ”seperti rumput”. Namun, ada kesadaran yang kuat dan begitu bergema bahwa rakyat sekecil apa pun—sekalipun ia rumput—juga perlu pembelaan . Disamping mereka perlu tanah tapi mereka juga punya maruah. Tanah bukan  hanya untuk memperhitungkan pada untung dan rugi secara ekonomis saja, tetapi tanah sebagai lapangan untuk membina hidup yang terhormat. Yang harus selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan. Selaras dengan maruah dirinya agar jangan menjadi hamba kepada yang lain.

Rakyat adalah manusia yang hidup dalam suatu ruang. Ruang untuk orang kecil bukan sebatas objek untuk dijadi modal pengeluaran bagi golongan kapitalis. Dia ada harga diri sekaligus punya rasa. Juga ada potensi , jika dia diberi peluang.

Aktivis rakyat seharusnya bijak menerjahkan potensi rakyat . Bermula daya survival rakyat untuk hidup dalam sampah sarap kota sehingga bernafas dalam lumpur ditengah-tengah pembangunan yang hilang kemanusiaan.

Ada rakyat yang tidak punya apa-apa . Sehingga ada rakyat yang bergelandangan tanpa bumbung. Namun semua punya kekuatan tersendiri bila keadaan menjadi semakin terdesak. Sehingga potensi akal budi yang tersimpan pada rakyat boleh sahaja bangkit jika jalan keluar untuk menyambung hidup sudah menemui jalan buntu.

Sangat mengkagumkan , melihat dalam himpunan sampah , rakyat boleh mencari sumber hidup. Dalam kesempitan kota dia boleh mencari celah untuk melanjutkan nyawanya. Seluruh potensi daya survivalnya diguna semaksima mungkin.

Tapi seorang aktivis tidak mungkin menerima realiti seadanya. Jika miskin , kenapa terjadi kemiskinan ? Jika berhimpit dikawasan setinggan , kenapa harus jadi begitu.? Jika tidak berdaya menampung perbelanjaan hidup , apa puncanya ? jika tidak bertanah dan terus ditindas oleh pemodal , dari sebab apa ia boleh berlaku?

Fikiran aktivis tidak terhenti melihat natijah sebuah kemelut rakyat. Dia sangat cakna mencari punca. Menggali sebab musabab. Kerana hanya mengubat kudis tidak menghilangkan kudisnya.Tapi yang perlu ialah merawat punca kudis. Faktor apa yang menyebab kudis itu menjelma.

Rakyat sering tunduk sambil berdoa akan datang pemimpin adil atau paling-paling pemimpin yang tawadhu dan hidup penuh sadar terhadap amanah rakyat. Tidak sedikit rakyat yang hampa kerana tidak didatangi pemimpin . Kerana hidup di daerah terpencil tanpa dapat dijangkau oleh aparatus kerajaan. Disinilah medan kerja aktivis rakyat. Meninjau , mendengar , meneliti , mengurai dan cuba merongkai terus . Walaupun dicerok pendalaman.

Ketika rakyat ditekan , aktivis harus tajam memerhati reaksi mereka. Seorang aktivis rakyat tahu bahwa perjuangan untuk melawan pengkhianatan sentiasa  bergelora dalam benak rakyat . Rakyat bersedia mengorbankan nyawa, hanya untuk hidup: untuk kehidupan anak cucu di masa sekarang dan mendatang. Menjalani hidup itu berbagai lubuk dan lorongnya. Rakyat selalu mencari akal. Ada yang nekad , Ada yang berfikir panjang , menanti peluang. Namun resahnya sama.

Semua ini sebenarnya punya latarbelakang. Tidak silap kalau ada yang mengatakan ia bermula dari pendidikan yang salah. Benar juga sebab uruskelola roda pemerintah sarat dengan korupsi sehingga bernanah . Mengeluarkan kehanyiran yang jijik dan busuk hingga menikam kerongkong semua. Juga betul jika ada yang mengatakan seluruh sistem telah rosak , tidak lagi boleh merawat krisis demi krisis yang melanda. Namun semua ini ada sejarahnya.

Sebab itu gerakerja aktivis selalu berlatarbelakang faham sejarah yang mendalam. Sejarah betapa rakyat diperbodohkan oleh penjajah yang lalu dan diperbodohkan lagi oleh mereka yang menyambung legasi penjajah .

Aktivis rakyat melata bersama rakyat . Dimana ada suara rakyat kecil menghembuskan nafas penderitaan , disitu ada aktivis. Dimana ada tanah rakyat yang diambil tanpa kerelaan rakyat , disitu ada aktivis. Dimana ada rumah rakyat digusur tanpa sebab yang munasabah , disitu hadhir aktivis. Kerana seorang aktivis rakyat sentiasa mendahului dalam membela. Sentiasa pantas hadhir mendengar dan mengesat air mata rakyat.

Sememangnya berat mendahului ketika mana banyak yang menjadi penonton. Beban sangat rumit mengendalikan urusan rakyat ketika rakyat sudah terlalu lama dikondisikan dengan kebergantungan , dengan sindrom menadah tangan. Sementara seorang aktivis setia mendengar , ia juga harus siap menghadapi risiko berpaling tadah. Tidak mudah mengendalikan berbagai kerenah rakyat . Sungguh , rakyat itu mendambakan pembelaan. Tapi penguasa juga suka mencatur . Pemodal pun begitu. Rakyat mengharapkan agar ada pembelaan yang tulin. Namun rakyat boleh saja dilaga-lagakan untuk akhirnya aktivis terjerat dan tersepit.

Inilah realitinya. Siap tidak siap , aktivis rakyat perlu stamina mental dan jiwa yang ampuh. Kejelasan matlamat dan kejujuran. Ketelusan dan intergriti. Penguasaan maklumat dan fikiran yang lapang. Semua ini membikin watak seorang aktivis rakyat punya daya tahan.

Demikian keperluan mencetak aktivis rakyat. Kebenaran dan keadilan yang menjadi kemudi untuk berlayar dalam lautan yang bergelora jangan dilepas walau apapun terjadi. Kerana ini saja modal yang boleh dipertahankan. Gagal menyelesaikan kemelut rakyat bukan satu kegagalan hakiki. Gagal yang sebenar ialah bila mengadai maruah , kebenaran dan keadilan.Kerana seorang aktivis yang menjiwai persoalan rakyat harus menyatu diri dengan kebenaran dan keadilan . Harus mempertahankan integriti dirinya. Selebih dari itu tidak ada. Hidup matinya kerana dua prinsip itulah , kebenaran dan keadilan. Aktivis hanya tahu erti ikhtiar dan puas apabila ia telah berbuat. Dan berbuat itu adalah yang terbaik dan maksimal. Kebenaran dan keadilan adalah puncak segalanya. Maruah diri adalah bentengnya.

Rakyat punya harapan besar kepada aktivis yang bersedia jujur memperjuangkan nasibnya. Memang rumit dan sulit. Karenah rakyat dan penguasa sentiasa bersimpang-siur. Rakyat yang hilang sabar dan penguasa yang angkuh boleh sahaja bertembung. Di persada belahan dunia yang menyaksikan rakyat beraksi dijalanan kerana menolak pemimpinnya sudah menjadi fenomena dimana-mana. Aktivis rakyat bergabung dari berbagai bidang. Ketika berhimpun , aktivis bersama rakyat. Ketika berarak , aktivis sebaris dengan rakyat. Kebersamaan ini sering dan biasa. Akan tetapi aktivislah yang akan selalunya menjadi sasaran. Berdepan belantan , tembakan air pancutan kimia penyurai demo , semboyan gas pemedih mata,  ditangkap dan didakwa , dibelasah oleh media pro penguasa. Semua atas nama melanggar undang-undang Negara .

Aktivis bakal  tahu akhirnya.  Betapa memperjuangkan nasib rakyat membawa akibat yang bukan kepalang. Boleh mengecewakan . Boleh juga meransangkan. Pokoknya aktivis siap menghadapi natijah yang tidak terduga. Mengikut tilek orang , aktivis boleh menang , boleh kalah. Tapi kamus aktivis tidak pernah tersenarai kalimah kalah. Yang ada hanya berbakti dan terus berbakti.

Ada lagi persoalan asas yang lain yang perlu difahami aktivis rakyat. Bahawa yang perlu diusahakan bukan hanya membela rakyat. Tetapi mengupayakan rakyat. Menjadikan rakyat berdaya upaya . Lepas dari sindrom hanya menadah dan menagih. Musibah besar yang membebani rakyat adalah kebergantungan kepada penguasa. Jangan pula berpindah kepada kebergantungan kepada aktivis. Sesungguhnya kebergantungan adalah penyakit. Iaitu penyakit yang disemai oleh penjajah dan pelanjut penjajah. Aktivis harus ‘arif betapa rakyat telah lama dikekalkan dengan jiwa dan mentaliti bergantung. Sekaligus menanam benih feudal. Tidak bijak jika penyakit ini menjalar pula kepada aktivis.

Yang perlu selain mengesat air mata rakyat ialah menjernihkan pandangan mata batin rakyat. Yaitu mata batin rakyat yang telah diseliputi kekaburan.

Wassalam.

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 314,586 hits
Kalendar
Januari 2013
M T W T F S S
« Dec   Feb »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
%d bloggers like this: