MANDAT RAKYAT KEPADA PEMIMPIN

Lintasan fikiran
Cikgu Azmi
23 hb Januari 2013
dalam perjalanan ke KL menyampaikan ceramah Maulidur Rasul 1434 H

Membicarakan kuasa rakyat punya pelbagai dimensi. Kuasa rakyat ada yang tertera dalam dokumen perlembagaan , ada yang diterjemah dalam Pilihanraya Umum (Pemilu).  Ada yang dibayangkan dalam perhimpunan , ada pula dalam komiti bertindak . Kerap juga yang dizahirkan dalam aksi dijalanan.

Kuat atau tidak kuasa rakyat diterjahkan , tergantung kepada sekuat mana tuntutan disuarakan . Jika rakyat nekad berhadapan dengan aparatus penguasa dan bertegas mendesak apa yang dikatakan hak rakyat , mungkin sahaja kuasa rakyat akan diperhitungkan .

pemimpin-1

Memang rakyat ada kuasa memberi mandat kepada pemimpin . Begitulah selama inipun apabila demokrasi dijadi pilihan menubuh kerajaan. Hakikatnya, memberi mandat adalah menyerahkan kuasa . Tapi menyerahkan kuasa itu bertempoh dan bersyarat.

Dalam demokrasi ala Barat , hanya dengan coretan kertas , itu sudah cukup menyerahkan kuasa buat tempoh tertentu dan dengan syarat yang disepakati  . Keputusan untuk mencoret itulah yang diburu oleh pemimpin yang mahu merebut kuasa. Ditagihlah daripada rakyat dengan rayuan dan janji. Dihimpun rakyat seramai mungkin. Dipancing dengan wang dan hadiah. “Beli undi” pastinya. Dalam bahasa halus “kerajaan berjasa , rakyat membelas budi” melalui peti undi.

Yang baru masuk gelanggang nampak ghairahnya . Memang amat teruja dan terliur dengan glamor politik yang diidamkan selama ini. Politik kuasa tanpa kejujuran sangat terdedah kepada penyelewengan . Politik , jika dimanipulasi menjanjikan peluang lumayan. Sangat bernafsu jika sudah merasa nikmatnya. Mendapat status istimewa bila di pilih. Nama melonjak naik. Jika cerdik , kerap muncul didada media. Pintar lagi , bakal menerajui kedudukan penting dalam hiraki pemerintahan.

Malangnya mendapatkan kuasa dari mandat rakyat dalam demokrasi jenis ini menjadi satu percaturan. Namanya “grand game” . Bukan persaingan politik bernas dan sihat. Bukan peragaan idea matang dan objektif. Jauh sekali jadi wacana beradab dan penyatuan pemikiran merentas kepentingan. Semuanya berbobot politik angka. Yang penting berapa undi dapat diraih.

Politik dan kuasa memang sekandung. Dengan kuasa datang politik. Dengan politik timbul kuasa. Tapi bolak-balik antara kuasa dan politik itu ada harga. Malangnya harga itulah yang akhirnya ditanggung oleh rakyat. Politikus berkonspirasi dengan niagawan memang lumayan hadiahnya. Barang jualnya kuasa. Wadah membelinya partai. Transaksi jual beli yang berlaku ditentukan oleh pemodal. Rakyat dimana dalam urus jualbeli ini? Jawabnya rakyat hanya jadi alat. Rakyat hanya jadi penonton tukang sorak , tukang meramaikan majlis. Dibekalkan pengangkutan percuma , duit saku, makan percuma , kadang-kadang tidur di hotel ditanggung semua.

Tapi rakyat tidak sedar , yang diserah adalah kuasa. Lebih besar dari harga makan , lebih berharga dari tidur dihotel. Kuasa yang asalnya milik rakyat di serah kepada pengemar kuasa. Bayar balas untuk rakyat hanya serangkai manifesto. Dan rakyat perlu lakukan hanya satu. Undi. Yang dijamin dengan janji. Janji bahawa rakyat akan lebih senang dibawah kuasa yang diserah kepada mereka. Dalilnya , bahawa mereka sudah berkuasa lama , sejak kemerdekaan dicapai. Oleh itu logik yang dipakai ialah mandat kuasa rakyat mesti kekal diberi kepada penguasa yang sedia ada.

Sayangnya ada janji yang ditunaikan , tapi sering banyak janji yang tidak dipenuhi. Rakyat kembali menerima janji dan ditabur segala habuan bila tiba musim pilihanraya lagi. Kuasa rakyat sekali lagi ditagih. Bila sudah sedemikian lama mendapat mandat rakyat , dan telah menikmati kuasa zaman-berzaman , meraih mandat rakyat menjadi suatu  ketagihan. Bagaikan gila meroyan. Ibu dalam pantang yang melahirkan , berada dalam stres. Penguasa yang ketagihan kuasa , stres kerana tak tentu akan diberi mandat oleh rakyat lagi.

Dalam “ibu segala pilihanraya” hanya satu pilihan sahaja kata mereka. Kuasa mesti dipertahankan dalam apa cara sekalipun. Walaupun diisyaratkan rakyat sudah bosan dan sudah tidak kerasan lagi dengan penguasa yang ada , pemimpin politik tetap berazam. “At all cost , by hook or by crook” kuasa jangan terlepas tangan.

Rakyat juga termakan janji. Bila sudah diserah kuasa pikirnya selesai sudah tanggungjawab mereka. Padahal dalam demokrasi mandat kuasa boleh dibatalkan jika penguasa mengkhianati amanah. Hanya rakyat yang nekad boleh melakukan ini. Hanya rakyat yang ‘arif makna “kuasa rakyat adalah kuasa keramat” , boleh melakukan sergahan terhadap penguasa yang lupa daratan.

Sebab itu memberi mandat kuasa rakyat sangat besar ertinya. Jangan difikir ia hanya bertempoh cuma sepenggal tidak membawa erti apa-apa. Kuasa yang diserah kepada orang yang punya tabiat meraut untung peribadi , akan punah Negara . Akan hancur bangsa. Setelah sedemikian lama berkuasa merasa diri benar belaka. Rakyat hanya diperlukan untuk mengesahkan sahaja. Walau yang dilakukan adalah salah. Walau yang diputuskan akan merosakkan. Rakyat sudahnya dijadi alas kaki untuk dipijak bagi menaikkan orang yang bercita-cita dan bernafsu untuk mengengam kuasa.

Inilah yang menjadi punca kerosakan . Bila kuasa diserah kepada orang yang bukan ahli. Yang bukan layak. Akibatnya bencana yang parah ditanggung rakyat. Khazanah rakyat dirompak . Perbendaharan Negara disonglap. Warisan bangsa dihancurkan. Yang tinggal hanya sisa-sisa untuk ditabur kepada rakyat. Tapi itupun didakwa ini adalah bukti sayang mereka kepada rakyat. Rakyat didahulukan , jadi slogan mereka. Walhal mereka telah pun meraih segala kekayaan negara semahunya , rakyat hanya terlintas semula buat dipujuk agar mandat kuasa dikekalkan kepada mereka lagi.

Rakyat harus segera sedar . Dari pelbagai  latar organisasi bersifat kedaerahan dan kesukuan perlu ada kesepakatan . Yaitu kesepakatan untuk mengusung satu suara . Negara ini milik rakyat . Kuasa rakyat hanya untuk pemimpin yang menjaga kepentingan rakyat.

Sekalipun  berasal dari beragam suku, agama, dan aliran politik, namun ada hal yang mempersatukan rakyat: kesamaan nasib. Sama-sama melalui sejarah ditindas ratusan tahun oleh kolonialisme. Lantaran itu, apa yang dimahukan ialah sebuah komuniti  bersama yang merdeka. Komuniti  di dalamnya boleh hidup adil dan makmur.

Sesungguhnya rakyat perlu difahamkan bahawa kemerdekaan adalah jambatan emas untuk menyeberang me­nyem­purnakan masyarakat yang sempurna. Artinya, kemerdekaan alias berdirinya “nation” merdeka bukanlah tujuan akhir. Tujuan pergerakan nasional kita mestilah mengarah pada pencapaian masyarakat adil dan sempurna, yang di dalamnya tidak ada lagi saling menindas.

Dengan demikian, mewarisi semangat rakyat yang asal berarti melanjutkan perjuangan pergerakan nasional oleh pejuang tulin yang dulu. Rakyat menggunakan kuasa kemandirian untuk mewujudkan cita-cita utama mendirikan watan ini.  Yaitu mewujudkan masyarakat adil dan makmur.

Akhir-akhir ini, kita melihat, kehidupan rakyat makin susah. Ubat berupa bantuan segera persis ” ubat tahan sakit “. Rakyat terlali. Ubat hanya bertujuan meraih undi rakyat seketika untuk kemudian mendapat mandat sekali lagi. Dari dulu hingga sekarang. Menabur wang semahunya bagaikan ubat pelali . Rakyat tidak tahu kondisi sebenar negara ini. Bila ubat pelali hilang kesannya , realiti derita menjenguk semula. Rakyat menggelupur dan sesak nafas sekali lagi. Berputar dan berkitar lagi derita – ubat – lali – derita .

Maseh ramai rakyat kita terjerembab dalam kemiskinan. Masalah rakyat tak bertanah , tak berumah , tak berbelanja , tak berpendidikan ,  tak kalah menyedihkan ,Tak sedikit pula rakyat yang semakin kesulitan mengendali hidup harian .

Hak-hak asas rakyat jadi mangsa. Akibat gelojoh para penyelenggara negara. Menukar keperluan asas rakyat menjadi komoditi yang boleh diperjual-belikan. Pengswastaan lebih efisien , hujah mereka. Pengkopratan lebih menguntungkan , alasan mereka. Akhirnya, pendidikan, kesihatan, air bersih, perumahan dan lain-lain diperlakukan tak ubahnya dengan membeli kereta,  pesawat pribadi, dan lain-lain. Berlakulah hukum: ada wang , ada barang!

Ekonomi nasional juga tak memerdekakan rakyat sepenuhnya. Pasalnya , para ahli ekonomi dan ahli politik dan penguasa  terlalu ghairah dengan globalisasi ekonomi. Rakyat tak ada pilihan , kata mereka. Celakenya ,  ekonomi nasional  terjerat oleh tali-tali neokolonialisme dan imperialisme. Lebih berat lagi rakyat terheret menjadi mangsa. Awalnya , kesihatan , pendidikan , dan makanan jadi keperluan asas , kini jadi barang jualan. Akibatnya, sebahgian besar aset ekonomi nasional dan sumber daya alam dijarah habis oleh konglomerat multinasional asing.

Ironinya, tali jerat itu dipasang sendiri oleh mereka yang diberi kuasa. Tanpa restu , tanpa dimaklumkan kepada rakyat. Kesannya , baik sekarang maupun akan datang , tidak diduga. Hanya orang yang dikatakan pakar sahaja yang tahu. Orang politik yang diberi kuasa pun tak tahu semua. Ahli birokrat hanya akur sahaja.  “Yang menurut perintah” , itulah bahasa yang mereka tahu. Malang sekali , penguasa yang diberi mandat oleh rakyat lebih rapat dengan pembekal modal . Lebih akrab dengan pemain dunia korporat , berunding dikamar privat . Malah ada juga keputusan dimeteri di padang golf. Rakyat tak tahu menahu.

Maka dengan kuasa yang dimandatkan itulah pemerintah memeteri  serangkaian perjanjian . Ada yang diikat dengan undang-undang . Terjeratlah siapa sahaja yang akan diberi kuasa. Rakyat yang mengharapkan pembebasan , terkena lagi.

Penyakit lebih parah ditengah-tengah penguasa , ada pula yang mengguna kuasa yang dimandatkan rakyat untuk berkorupsi . Tak kalah juga mengganasnya penyakit ini .Hampir setiap hari rakyat dijamu berita tentang korupsi. Bahkan, pelaku korupsi sekarang sudah jadi lebih terkenal. Jadi selebriti politik pun tak kurang hebatnya. Bahkan diberi anugerah dan jawatan besar lagi.  Tak punya rasa malu sama sekali. Jauh sekali rasa bersalah. Sudah jelas korupsi, malah bertindak bak selebritis di layar kaca. Ada yang berpura-pura menangis seolah-olah dizalimi. Mencemaskan juga . Tapi benak rakyat tahu. Koruptor memang begitu. Sudah wang disapu semua , rakyat dipujuk lagi. Mandat kuasa ditagih lagi.

Praktik korupsi ini makin halus bertopengkan bakti untuk rakyat. Ada yang kata hadiah , malah ada yang berani mengatakan itu adalah sedeqah !

Puncanya jelas . Bila penguasa membajai budaya “berkonsumsi” , korupsi adalah natijah yang pasti muncul. Bila hidup rakyat tak terkendala. Belanja hidup terjurus kepada bersaing untuk saling berkonsumsi , akibatnya masing-masing memburu wang tambah. Yang halal direbut , yang haram disapu.

Sangat menyakitkan rakyat. Korupsi subur gara-gara mereka yang dimandatkan kuasa itu jugalah. Sehingga daya agama untuk menumpas korupsi pun lumpuh juga. Bahkan, yang terjadi kemudian, tidak ada yang terhindar dari pengaruh korupsi. Mahu berniaga , mahu dapat kontrak , mahu mendapat gelaran , mahu menang pemilihan jawatan , mahu naik pangkat , mahu menjual khidmat . Mahu bantuan beras , pembangunan rumah orang miskin , subsidi . Semua terpalit dengan korupsi. Tidak besar , kecil.  Kerana apa ? Jawabnya kerana model pembangunan menyuburkan hidup bersaing untuk berkonsumsi. Bila model pembangunan memang mengalakkan persaingan dan konsumsi tanpa batas , tidak ada yang akan puas. Jalan pintas ? Hanya satu : korupsi !

Dan, di atas singgasana kekuasaan, para pemimpin hanya pandai bersolek. Maklum, mereka bukan lahir dari alam perjuangan, melainkan dari “berkarier”. Mereka melihat jawatan politik sebagai karier pribadi, bukan sebagai “mandat rakyat”. Alhasil, mereka pun memilih kehidupan yang sangat berjarak dengan rakyat. Melihat kehidupan para penguasa dan wakil rakyat dengan rakyat terbanyak itu bagaikan langit dan bumi.

Rakyat hidup di tengah keadaan itu. Dengan gaya kuasa yang dimandat rakyat diguna seperti ini , seolah rakyat tidak boleh menabalikkan realiti alias tidak boleh merubah keadaan . Bukan manusia namanya jikalau para penguasa yang mendapat kuasa dari rakyat tetap mengabaikan jeritan massa-rakyat itu.

Karena itu, sehubungan dengan itu rakyat harus siap . Harus segera paham untuk menjadi rakyat yang tahu kepada siapa mandat kuasa harus diberikan.

Celaka besar jika mandat diberi kepada mereka yang tidak punya niat membebaskan ekonomi dari jeratan imperialisme dan neokolonialisme. Rakyat harus terjun ke dalam politik dan mengubahnya agar kekuasaan politik mengabdi kepada rakyat.

Wassalam

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 315,048 hits
Kalendar
Januari 2013
M T W T F S S
« Dec   Feb »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
%d bloggers like this: