AGENDA ” ALIF , BA , TA “

 

 “MENEGAKKAN AGAMA , MEMBANGUNKAN BANGSA , MENDAULATKAN NEGARA”

 

Mohd Azmi Abdul Hamid

 

Ucapan Bertindak Sanawi

TERAS Pengupayaan Melayu

ke 15

1 Muharram 1435 H / 5 hb Novemebr 2013

 

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهْ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ.

 

وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

 

Dengan inayah Allah Rabbul Jalil kita bersua lagi dengan gerbang Hijrah , iaitu Hijrah 1435 dan melihat Hijrah 1434 melabuhkan tirainya. Perkiraan ke Seribu Empat Ratus Tiga Puluh Lima tahun itu bukan sekadar suatu catatan taqwim . Jauh sekali hanya sekadar sebuah catatan untuk merayakan suatu ritual tahunan.

 

Sesungguhnya Hijrah punya pesan besar dari sebuah sejarah agung perjuangan da’wah Nubuwwah. Hijrah adalah risalah dan marhalah sekaligus. Hijrah membawa pesan perjuangan dan pengorbanan. Hijrah melonjak semangat ribath dan jihad , demikian ia juga mendidik jiwa istiqamah dan ukhuwwah.

 

Kita hadhir bersama kehadhiran Hijrah bukan pada setakat kata dan kalimah . Malah Hijrah adalah suatu semboyan yang menyatu dalam sejarah umat . Umat mendewasa dalam perjalanan Hijrah penuh bererti ,  melangkah dibelantara kemanusiaan penuh ranjau  , memeta sejarah dalam simpang siur pergelutan da’wah yang sarat mehnah dan fitnah .

 

Kita tidak harus hanya menyambut tersingkapnya gerbang baru Hijrah setakat pada hitungan waktu dalam taqwim yang terus berlalu semata-mata . Kerna  ia bukan sekadar sebuah peristiwa , sesungguhnya . Akan tetapi ia suatu marhalah da’wah , yang merupakan rencana Illahy tersendiri dalam menentukan Episod perjuangan menegakkan Dinullah. Namun , kita harus sadar kita tetap berada dimedan yang sama , yakni dunia dengan segala pergolakkannya , manusia dengan segala kemelutnya .

 

Dalam perjalanan waktu , kita  bukan terhenti hanya sebagai penonton sorak sorai manusia yang menyertai arus dengan judul memukau iaitu hidup  mengglobal dan mensejagat  semata-mata.

 

Dari semangat Hijrah inilah kita seharusnya menyuluh diri bagi mengukur prestasi diri pada garis yang lebih murni dan suci . Yaitu kita dinilai pada kerja dan kata , pada bergerak dan berdiam , sejauhmana kita melalui hidup memenuhi tuntutan yang hakiki iaitu lafaz sumpah dalam doa iftitah yang diulang saban waktu dalam solat ,

 

 ” Sesungguhnya solatku , ibadatku , hidupku dan matiku adalah hanya untuk Rabbul Alamin”

 

Kami mengajak seluruh warga umat yang prihatin dan sadar diri bahawa kita sememangnya akan diperhitung mengikut darjah kedekatan kita kepada Pencipta atau sebaliknya pada kejauhan kita dari Dia.

 

Dalam perjuangan yang lazim diretorikkan kepada slogan ” alif , ba , ta ” ( agama , bangsa dan tanah air ) , ada kecuaian kita untuk menterjemahkan  apa yang dikata kepada yang dikota. Inilah kata-kata pendorong rasa cinta sesama , rasa senasib seberuntungan , rasa kesatuan dan kesetian.

 

Pejuang tulin terdahulu telah meninggalkan pesaka besar kepada kita dengan lafaz ini .

 

Sebab itu Hijrah yang pertama  menuntut kepada keazaman untuk setia kepada agama . Setia kepada tuntutan dan kesediaan untuk menegakkan agama seutuh dan selengkapnya.

 

Tuntutan iqamatuddin adalah kewajipan pertama yang menjadi janji yang dilafazkan dalam syahadah  pada diri dan kerabat keluarga dan selanjutnya kepada masyarakat. Hijrah membebankan kita dengan tanggungjawab memperjuangkan iqamatuddin dengan segala maknanya yang merangkum. Menegakkan agama menjadi karier awal yang melepasi segala karier yang lain.

 

” Menegakkan agama ” bermuara dari Al Quran . Ia menuntut kewajipan utama dalam Islam iaitu menterjemahkan agama sebagai realiti sejarah. Al Quran dan sumber Hadith  sarat dengan semboyan ini . Sesungguhnya agama perlu ditegakkan sebagai nizam al hayah  , sistem hidup yang menyeluruh , hidup bermasyarakat dan bernegara,  tidak terbatas hanya kepada hidup peribadi atau keluarga semata.

 

Sememangnya Islam berdimensi sosial dan sarat dengan sejumlah etika dan peraturan yang menyentuh persoalan hidup bermasyarakat dan bernegara . Hatta persoalan moral dalam Islam tidak terbatas kepada soal hidup peribadi , akan tetapi sangat bernuansa aktualisasi sosial , politik dan ekonomi untuk menegakkan agama dalam persada sejarah manusia.

 

 

 “Iqamatuddin” menekankan penjelmaan dalam realiti , seluruh nilai Islam dalam kehidupan publik . Tidak ada nilai yang lebih jelas ditekankan selain nilai keadilan . Ertinya menegakkan agama pada hakikatnya adalah menegakkan keadilan dalam kehidupan sosial , ekonomi dan politik .

 

Bermakna umat diingatkan terhadap tanggungjawab mendirikan tatakelola sosial, ekonomi dan politik yang adil sebagai realisasi iqamatuddin.  Bermakna juga memerangi sistem yang tiranikal , menindas dan eskploitatif juga termasuk penterjemahan iqamatuddin .

 

Jelas kita berhadapan dengan realiti yang sangat ironis. Di satu sudut kita punya pernyataan Islam sebagai agama persekutuan namun disudut yang lain kita berwajah sekularis  dalam dasar dan realiti sosial-politik negara.

 

Menjadi suatu kepincangan yang amat mengelirukan tatkala ada pihak bermatian  mempertahankan negara ini Islam pada pernyataannya akan tetapi tidak dapat dinafikan betapa percanggahan ujud pada sedemikian banyak peruntukkan undang-undang dan dasar yang menghadkan peranan agama dalam urustadbir negara.

 

Isu mempertahankan Kalimah Allah yang sedemikian panas diangkat seolah masyarakat Islam benar-benar sensitif mempertahan  Kalimah Allah pada lafaz dan penggunaannya . Akan tetapi ia tidak samasekali nampak berimbang dengan keutamaan menegakkan Rubbiyyah dan Uluhiyyah Allah. Sehingga , ketika ghairah mempertahankan kalimah Allah , sejumlah undang-undang Alllah dinafikan tempatnya dalam sistem perundangan negara. Ketika kalimah Allah menimbulkan polimik hangat sehingga mengambil perhatian media luar , tidak ada pula kehangatan yang sama diperlihatkan dalam soal melaksanakan hukum Allah dalam setiap urusan pentadbiran negara.

 

Kes percanggahan antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah sangat ketara dalam sistem perundangan negara.  Bila bertembung , sering yang dimenangkan undang-undang sivil atas nama perlembagaan negara. Anihnya tidak pula hal ini menarik perhatian yang bersungguh dari mereka yang dikatakan amat sensitif dengan kesucian agama . Tidak dizahirkan pula amukkan unjuk rasa untuk mendesak Islam diletakkan pada tingkat mengatasi perlembagaan negara.

 

Lebih parah lagi tidak kurang kepimpinan negara turut mengumandangkan hujah yang mempersoalkan status agama dalam urustadbir negara. Bukan suatu yang asing mendengar pelampiasan kelompok penguasa negara yang mempersoal relevennya Islam dalam pemerintahan.

 

Inilah percanggahan yang menambahkan ketidakyakinan kelompok non Muslim yang mahu berjinak untuk mendekati Islam. Ketika Risalah Islam merentas persoalan bangsa dan bahasa , Islam diketengahkan dalam wajah yang penuh konflik. Islam yang bersifat rahmatan lil alamin dan terpakai sebagai addin yang bersifat syumuliyatul makan , syumuliyatul zaman dan syumuliyatul manhaj ternyata tidak dapat diterjemahkan dalam realiti umat.

 

Pertelingkahan soal iqamatuddin yang melanjut dalam medan politik merumitkan lagi.  Jelas pihak berwewenang tidak memberi ruang secukupnya untuk meletakkan peranan agama dalam agenda urustadbir negara.

 

Akhirnya polar politik menjadi semakin tajam kerana ujudnya penolakkan dan ketidakpercayaan pemerintah untuk merealisasikan Islam sepenuhnya dalam tatakelola kerajaan. Sayangnya umat yang mendambakan keindahan syariat dalam kehidupan terhalang hanya kerana pemerintahan selesa menyudutkan agama hanya kepada persoalan peribadi , dihadnya hanya soal pentadbiran agama yang melibatkan keluarga , zakat dan urusan baitul mal.

 

Langkah terdekat ketika merealisasikan iqamatuddin ialah membasmi korupsi , mengislahkan pemerintah dan menegakkan keadilan. Namun inilah yang nampaknya sangat berat diterima oleh pemerintah. Keghairahan mempertahankan kuasa nampaknya mengatasi kepentingan syariat . Sebaliknya kuasa yang dipertahankan itu pula diguna untuk menyekat syariat.

 

Sayangnya tuntutan untuk melaksanakan undang-undang Islam ada yang dibatas oleh institusi Islam sendiri . Bermakna ada gejala ketidaksediaan atas pertimbangan politik hatta dikalangan agensi yang sepatutnya dimandat untuk mengelolalkan perundangan Islam.

 

Kami melanjutkan lagi persoalan kita kepada agenda membangun bangsa. Terlepas dari isu mempertahankan hak Melayu , yang pada hakikatnya tinggal slogan tanpa isi , kami mengenengahkan persoalan kenapa agenda membangun bangsa merupakan agenda terkait dengan persoalan iqamatuddin.

 

Membangunkan bangsa adalah berdasarkan seruan Illahi dalam Surah Ar Raad 111.

 

 

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

 

 

 Ini jelas merupakan perintah memastikan bangsa tidak terperangkap dalam keadaaan kemunduran dan kegelapan.

 

Sesungguhnya merubah realiti bangsa sangat seiring dengan tadbir dan taqdir Allah lantaran taghyir ( perubahan ) yang didambakan oleh sesuatu bangsa itu hanya mendapat  dorongan Illahi dengan bersyarat. Yaitu syarat ikhtiari yang memerlukan usaha lebih dahulu oleh bangsa itu sendiri. Pra syarat ini bermakna perubahan yang dikehendakki dalam kerangka syariat Allah sahajalah yang layak mendapat bantuan Allah.

 

Bangsa Melayu tersenarai antara sejumlah bangsa didunia. Sejarah keIslamannya amat menarik , dilatari oleh da’wah yang teduh , lunak dan serba damai. Sedemikian lunaknya bangsa ini menerima dan menyebati dengan Islam , demikian juga ia melalui perkembangan yang aman juga.

 

Ternyata anjakan yang didorong oleh da’wah telah merubah wajah dan watak bangsa.

 

Dari pandangan hidup animis dan sarat dengan unsur kesyirikan kepada pegangan hidup tauhid . Dari kekaburan hidup bercorak pemujaan dan adat resam mengenepikan pemikiran yang jernih kepada kehidupan berpandukan Kitabullah.

 

Dari adat yang terikat kepada kepercayaan serba jahiliyyah kepada peraturan syariat Islam yang beradab dan sangat tertib berasaskan ilmu. Dari corak kehidupan yang serba gelap kepada tamaddun yang penuh gemilang.

 

Demikian yang diusahakan oleh para pendahulu da’wah dirantau nusantara ini. Sedikit demi sedikit bangsa Melayu terangkat sebagai bangsa berwatak Islam yang sebati sehingga sekarang . Ternyata  , tidak tertanggal Islam dari Melayu melainkan kegelinciran segelintir mereka yang terpengaruh dengan aliran pemikiran sekular liberal akibat terpukau dengan fahaman bebas yang terbabas.

 

Membangun bangsa memerlukan keutuhan daya intelektual yang tinggi dan kejernihan pemikiran . Sepanjang kemerdekaan watan ini , perubahan nasib bangsa kelihatan nyata.

 

Namun kerana hegemoni kuasa penjajah , sebelum nusa ini dilepaskan,  bangsa terbiar terpinggir dalam arus pembangunan. Pendidikan bangsa berkembang pesat akan tetapi ekonomi bangsa tersisih jauh sehingga ujud keadaan kesenjangan ekonomi antara kaum.

 

Pengenalan bangsa dengan kemiskinan hampir sebati. Sementara pejuang Islam dikalangan ulama menjadi pendorong kuat memperjuangkan kemerdekaan , bangsa Melayu terasuh oleh gelombang pembangunan  untuk mengejar tempo kemajuan Barat.

 

Sememangnya penjajah Barat mengkondisikan anak didiknya dengan sikap memuja penjajah dengan segala sistem yang dibawanya. Lantaran itu pemikiran bangsa , terutama golongan kelas menengah  tercorak oleh minda kolonial . Sedangkan identiti Islamnya mulai goyah oleh keghairahan untuk ” mengejar pembangunan” seperti kemajuan tuan yang menjajahnya.

 

Kini bangsa Melayu melonjakkan dirinya dalam pelbagai bidang apabila sokongan dan dokongan kuat dari pemerintah memberi peluang kepada anak bangsa menguasai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran.

 

Akan tetapi pencapaiannya maseh belum terhasil menjadi bangsa unggul kerana berlaku persoalan dalaman diri bangsa itu sendiri yang tidak terbangun. Ditambah buruk lagi pelbagai peringkat kepimpinan bangsa yang sepatutnya megeluarkan kaumnya dari pelbagai himpitan , malah menyebabkan ia maseh terus tertinggal.

 

Maka akibat kepincangan kepimpinan dalam pelbagai bidang dalam kerajaan mahupun swasta , bangsa Melayu nampaknya terus menjadi mangsa kepada kecuaian dan penting diri segelintir pemimpin.

 

Sedemikian banyak agensi yang didirikan untuk membantu bangsa Melayu , namun mereka terheret kepada sejumlah isu yang melelahkan. Sindrom perebutan jawatan , budaya hidup keBaratan , penghakisan jati diri , perpecahan , kepincangan pentadbiran , kelunturan akhlaq adalah antara beban yang terpaksa dipikul oleh kaum Melayu .

 

Natijahnya bangsa Melayu maseh ketinggalan dan maseh menghadapi kemelut yang menghambat kemajuan. Beban yang menarik kaum Melayu ke bawah sehingga terus bergelut dengan masalah dalaman yang tidak berkesudahan.

 

Maseh kuat sindrom kebergantungan yang dipupuk oleh segelintir kepimpinan Melayu yang penting diri . Akibatnya insan Melayu dikondisi dan disogok dengan mentaliliti bersandar kepada pelbagai skima bantuan kerajaan. Kegagalan membangunkan daya hidup mandiri , bergiat untuk mengusahakan kemajuan diri terbantut.

 

Walhasil bangsa Melayu mujur melarat dengan penyakit gersang cita-cita.Kami rakam kata-kata pujangga Hamka mengenai hal ini ;

 

Bangsa yang tidak bercita-cita akan berkata:”Biar tidak merdeka asal cukup makan”. Hidup yang begini sama harga hidupnya dengan binatang. Tetapi bangsa yang subur rohaninya akan berkata: ” Biar kurang makan asal tetap meredeka”.

 

Ditambah parah lagi politik sempit kini menjangkiti bangsa sehingga terhasil sindrom politik cantas dan politik nista. Bangsa Melayu dilelahkan dengan politik keterlaluan sehingga kuasa yang sepatutnya dijadi amanah untuk mengangkat martabat bangsa kini bertukar menjadi kesempatan untuk meraih kekayaan.

 

TERAS menegaskan faham memperjuangkan Melayu perlu diperbetulkan oleh pihak tertentu yang ghairah dengan slogan membela nasib orang Melayu.

 

Teras menolak faham bahawa Islam boleh diperjuangkan melalui slogan bangsa kerana kemuliaan Islam tidak terikat dengan bangsa. Malah sebaliknya bangsalah yang terpaksa bersandar kepada Islam jika nasibnya mahu diperjuangkan.

 

Islam membawa konsep rahmatan lil alamin , bermakna Islam adalah untuk semua kaum dan semua makhluq. Memperjuangkan keMelayuan berdasarkan sikap dan faham assobiyah  melulu akan merosakkan asas perjuangan Islam peninggalan para pejuang Islam terdahulu.

 

Teras menegaskan apa yang perlu ditekankan ialah mengukuhkan keIslaman orang Melayu dan bukan menyemarakkan semangat meMelayukan Islam .

 

Wujudnya kelompok yang ghairah menekankan kepentingan bangsa diluar batas syariat adalah tertolak dan tidak dapat diterima . Malah kami berpendapat bahawa jika kelompok yang hanya melihat persoalan bangsa dari kacamata bangsa semata-mata adalah perjuangan yang batil dariq sisi Islam.

 

Teras menyatakan bahawa perjuangan Umno yang dipersoalkan sekarang adalah lantaran perjuangannya tidak berdasarkan Islam malah telah sarat  diserap dengan faham sekularisme yang ditolak oleh Islam.

 

Tatkala perjuangannya adalah atas nama bangsa semata-mata akhirnya nasib bangsa Melayu tidak dapat ditingkat secara hakiki lantaran fahama assobiyah yang tebal.

 

Sebab itulah bangsa lain tidak dapat melihat keindahan atau konsep yang boleh diyakini dan dipercayai yang dibawa oleh Umno  kerana setiap kali timbul isu mengenai hak bangsa hujah yang diketengahkan ialah kedudukan istimewa orang Melayu.

 

Sementara Teras tidak menolak peruntukan Perlembagaan , namun sepatutnya yang diperjuangkan ialah sejauhmana Islam menjadi dasar untuk mempertahankan kedudukan bangsa dan bagaimana bangsa Melayu berhak untuk melaksanakan Islam dalam kehidupannya berlandaskan kewajipan agamanya.

 

Teras khuatir dengan slogan yang terlampau mengenengahkan persoalan bangsa Melayu yang lebih ketara dari persoalan mengeakkan Islam pada diri bangsa Melayu itu sendiri.

 

Nasib bangsa Melayu hanya dapat dipertahankan dengan penerimaan Islam sepenuhnya tanpa sebarang penolakkan aspek Islam berdasarkan kepentingan assobiyah.

 

Manakala tuntutan Melayu dijadi agenda yang lebih diutamakan manakala agenda Islam dinomborduakan , maka asas perjuangan akan tersasar dari apa yang dituntut oleh Islam itu sendiri.

 

Teras khuatir dikebelakangan ini kelompok yang ingin menjadi penyuara lantang kepada hak orang Melayu akhirnya menjadi fitnah kepada Islam kerana apa yang diangkat adalah diatas pertimbangan politik perkauman bukan atas dasar kebenaran dan keadialan seperti yang dituntutan oleh Islam.

 

Sebagai akibat orang Melayu yang sehausnya menjadi pembawa kepada risalah Islam dilihat sebagai kaum yang tidak mempunyai keperihatinan lebih dari kepentingan kaumnya sahaja.

 

Untuk menjadi lebih buruk , golongan elit bangsa Melayu yang berkepentingan mengambil peranan mencatur orang Melayu bawahan sehingga menjadi alat untuk meraih kuasa dan kekayaan walaupun melalui cara yang tidak diterima oleh Islam.

 

Teras dengan itu mengesa pihak yang lantang menyuarakan nasib orang Melayu menilai dengan kritikal slogan dan pendekatan yang diguna untuk mempoertahankan hak orang Melayu.

 

Kami menuntut agar yang didahulukan ialah hak dan kedudukan Islam itu yang harus diperkukuhkan kerana jika Islam dilaksana dan dihayati sepenuhnya oleh bangsa Melayu , pasti kemuliaan dan masa depannya akan terjamin.

 

 

Selanjutnya kami mengupas persoalan memperkukuh tanah air. Keutamaan membela tanah air dan mengangkat maruah watan menjadi semboyan yang tidak kurang penting. Sudah menjadi lazim bagi seluruh pencinta negara mengingatkan rakyat agar memilikki semangat patriotisme yang tinggi. Diulang semangat kekitaan yang merangsang warga mencintai tanah air dengan sesungguhnya.

 

Kami tidak menyangkal hal ini. Tetapi  patriotisme yang gersang isi , kesetiaan yang tidak bermuara dari ruh Islam yang mendidik, mencintai tanah air yang membuta tuli , bukan memenuhi erti patriotisme yang benar.

 

Kecintaan kepada watan yang disebut sebagai sebahgian dari iman bukan bermaksud mengiakan kebatilan , kemungkaran dan kezaliman . Tanah air adalah  tapak mendiri dan membangun tamadun. Untuk yang demikian tidak mungkin boleh dipisah antara mencintai tanah air dan membangunkan izzah watan bermisikan  ” baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur “. Negara yang aman , makmur dan adil hanya boleh direalisasikan dengan kekuatan tamadun ilmu dan kekuatan politik yang utuh dikalangan ulama , umara dan rakyat jelata.

 

Tanpa latar dan syarat ini , kecintaan tanah air  akan berakhir dengan kesetiaan yang rapuh.

 

Tanah air yang tayyib harus meliputi segala erti yang merangkumi kehidupan  yang sempurna.  Tidak terhenti kepada persoalan kemajuan fizikal semata kerana ia berkait dengan keampunan Allah.

 

Natijahnya bukan sedikit mereka yang lebih cenderung untuk mengikut aliran ekonomi lebih subur dan mendatangkan pendapatan yang lebih lumayan ” greener truf”  lalu memilih negara lain untuk bermastautin.

 

Kerajaan terpaksa mengujudkan pelbagai insentif untuk mengekang “brain drain”, lantaran kesetiaan rakyat nampaknya didorong oleh keselesaan ekonomi.

 

Kecintaan tanah air juga menggalas tanggungjawab mendaulatkan negara . Tidak juga memberi kesan yang besar jika mencintai tanah air namun mendahulukan kepentingan diri di atas tanggungjawab membela bumi  yang dicerobohi.

 

Kita semua harus prihatin situasi fizikal dan kekuatan generasi muda yang tersia-sia oleh pelbagai gejala. Kerapuhan jiwa , kekerdilan  kekuatan fizikal seharusnya mengkhuatirkan semua . Pencerobohan ke atas negara bukan suatu kemustahilan . Namun dengan terheretnya generasi muda ke gaung kerosakan moral dan kekotoran jiwa , kedaulatan negara akan terdedah kepada segala kemungkinan yang tidak terjamin.

 

Kedaulatan negara juga merangkumi persoalan kedaulatan kuasa rakyat. Kecintaan rakyat kepada tanah air tidak harus dibeli dengan sogokkan murahan oleh politik bejat . Tanah air dibela atas rasa tanggungjawab untuk memindahkan khazanah yang dimilikki negara kepada generasi mendatang. Dengan menggadai apa yang ada dibumi ini , kita mengkhianati bangsa dan negara sekaligus.

 

Betapa negara kini terdedah kepada pelbagai asakkan globalisasi yang memerangkap. Betapa pelbagai perjanjian negara diperingkat antarabangsa boleh menjual negara. Atas nama perdagangan antarabangsa , kedaulatan negara boleh digadai dengan hanya satu tandatangan oleh seorang penguasa negara.

 

Akan terungkai semua kuasa dan kedaulatan negara jika pemerintah terlalu ghairah mengikut rentak dunia . Dikala rakyat mendambakan negara berdaulat dan tidak mahu ditundukkan kepada kuasa luar , malangnya pemimpin pemerintah berahsia menjalinkan hubungan yang mengikat dalam pelbagai perjanjian antarabangsa diluar pengetahuan rakyat.

 

Soalnya apa erti kedaulatan negara selepas kemerdekaan dicapai 56 tahun , sedangkan negara didedahkan kepada risiko perjanjian yang boleh menghancurkan kemerdekaan itu sendiri. Untuk apa pemerintah menyeru rakyat menunjukkan kesetiaan dengan mengibar panji gemilang , padahal kerajaan sendiri yang menunjukkan kesediaannya terlibat dengan perjanjian perdagangan yang boleh menggadai kedaulatan negara.

 

Kami juga tidak lepas dari mengingatkan kepada semua penggerak bahawa perjuangan ” alif , ba , ta ” yang dihurai sebelum ini tertakluk kepada kesiapan kita melahirkan kepimpinan politik yang jernih dan istiqamah.

 

Menentukan kepimpinan Negara adalah perkara rukun dalam menentukan masa depan bangsa. Selepas mempertahankan agama , menjaga kedaulatan Negara adalah hal yang wajib. Bermakna menentukan siapa yang menjadi kepimpinan pemerintah adalah wajib yang diharapkan akan menerima mandat untuk menjaga kepentingan rakyat dan kedaulatan Negara.

 

Sayangnya umat Melayu Islam di negara ini sering terperangkap dengan pergelutan politik yang tidak terfokus untuk menumpu  benar- benar kepada mengukuhkan kedudukan umat dan bangsa . Akibat politik penuh simpang siur dengan korupsi dan budaya fitnah yang sangat jelek dalam pertempuran merebut kuasa , telah meletakkan orang Melayu ke dalam situasi yang sangat sukar untuk menjangkakan masa depannya

 

Sementara kami amat prihatin dengan nasib bangsa Melayu terbanyak yang tergolong dikalangan mereka yang berpendapat sederhana dan rendah , kami juga khuatir dengan sikap bersahaja dan naif politik yang menjangkiti bangsa Melayu. Akibatnya bangsa Melayu-lah yang paling terdedah kepada pecaturan dan manipulasi politik yang sangat merosakkan.

 

Kini pelbagai isu sedang diketengahkan untuk menarik perhatian orang Melayu. namun tidak banyak yang benar-benar menonjolkan perubahan yang perlu di gerakan pada diri orang Melayu itu sendiri.

 

Di satu sudut , yang dirangsang untuk orang Melayu  ialah budaya hiburan yang berterusan , sarat dengan pelbagai cerita para selebriti , namun di satu sudut yang lain pula , kerenah politik yang penuh dengan isu fitnah berlegar dengan kencang sehingga hilang fokus membincangkan perubahan sebenar yang sepatutnya dilakukan ke atas bangsa Melayu.

 

Kami berpendapat agak malang sekali bila ahli politik yang menyuarakan perjuangan bangsa tidak menunjukkan kesungguhan menjiwai perjuangan Islam yang sepatutnya menjadi asas dan teras kepada perubahan yang seharusnya diperjuangkan oleh bangsa Melayu.

 

Akibatnya berlaku pertentangan yang sangat ketara antara pernyataan dan tindakan. Ketika pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan mengumumkan slogan “rakyat didahulukan” namun , di sudut yang lain pula  pelbagai sikap yang menunjukkan mereka tidak mempunyai kesungguhan untuk mengenepikan sentimen politik bagi membenteras penyelewengan yang merugikan berbilion ringgit wang rakyat.

 

Ketika nasib orang Melayu dikata dibela oleh kerajaan , ternyata ekonomi orang Melayu maseh tidak dipulih terutama dikawasan bandar dan kawasan Melayu

 

Kami mendapati kesilapan dan pengkhianatan kepada nasib Melayu tidak boleh diletakkan kepada pihak lain melainkan kepada kepimpinan Melayu sendiri. Sebabnya , jelas , jika kepimpinan sebuah parti Melayu terbesar mempunyai segala kuasa dan jentera untuk melonjak bangsa kepada tahap kehidupan yang lebih baik , gagal mengatasi pelbagai masalah sosio-ekonomi dan politik bangsa , maka yang bertanggungjawab adalah parti dan seluruh kepimpinannya.

 

Jika ternyata ia telah tersasar jauh dari perjuangan , dan menjadi sebuah wadah yang sebenarnya berlegar hanya dikalangan segelintir politikus elit yang membolot dan mengkayakan diri masing-masing , maka kelayakan untuk ia menjadi parti sandaran untuk bangsa telah berakhir.

 

Kami senaraikan 16 isu besar yang perlu dinilai oleh kepimpinan Melayu yang semakin rumit dirongkai akibat kepimpinan yang pincang :

 

Isu Tanah

Isu status dan penghayatan Islam

Isu Pendidikan

Isu Kebajikan

Isu Pembangunan ekonomi

Isu intelektualisme dan ilmuan Melayu

Isu media Melayu

Isu professionalisme Melayu

Isu aset ekonomi orang Melayu

Isu bahasa

Isu sosial budaya

Isu perumahan orang Melayu

Isu kemiskinan Melayu bandar

Isu nasib golongan petani , nelayan dan buruh

Isu perlaksanaan syariah

Isu prestasi  agensi dan institusi-institusi Melayu

 

 

Ternyata isu-Isu tersebut adalah persoalan yang memerlukan perbincangan yang mendalam serta tindakan yang konkrit.Sehingga ini isu-isu yang dinyatakan ini tidak mendapat ditangani oleh pemimpin Melayu .

 

Penyakit yang jelas ialah pemimpin  Melayu selesa  dengan sindrom kebergantungan yang menjadi budaya hidup bangsanya sendiri. Persoalan membentuk sebuah bangsa yang berciri mandiri dan mempunyai daya dan usaha yang tinggi nampaknya tidak menjadi agenda penting dikalangan pemimpin Melayu . Lantaran itu dapat dilihat cara berfikir dan tuntutan politik yang matang dikalangan orang Melayu amat rendah.

 

Teras berpendapat perubahan politik bukan satu-satunya perubahan yang akan mengubah nasib bangsa Melayu. Perubahan pemikiran , sikap , budaya hidup serta kepimpinan perlu diusahakan serentak.

 

Kelalaian pemimpin bangsa Melayu selama lebih 50 tahun telah menyebabkan orang Melayu telah terperangkap dalam sindrom kebergantungan , budaya feudal , kehilangan tanah Rizab Melayu , penghakisan bahasa , kerosakan akhlaq , gugatan Aqidah , pelenyapan perkampungan tradisional , gejala amalan rasuah , krisis sosial yang parah.

 

Teras mendapati aliran masalah-masalah ini terus berlaku malah dengan lebih meruncing. Kerajaan kini nampaknya meneruskan pendekatan menyogok wang dan melekakan orang Melayu dengan pelbagai acara yang mengalih perhatian bangsa dari isu-isu besar dan serius .

 

Akibatnya penyakit sosial terus menjadi wajah bangsa Melayu seolah menyebati sebagai budaya yang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan orang Melayu. Kenapakah setelah 55 tahun kes penagihan dadah dikalangan orang Melayu yang tertinggi di Negara ini tidak dapat dibenteras. Kenapakah kes mat rempit anak Melayu tidak dapat diatasi . Kenapakah gejala buang anak menjadi fenomena yang ketara dikalangan orang Melayu di sebagai

 

Apa yang menyedihkan semua ini berlaku ditengah-tengah realiti betapa banyak institusi Melayu diujudkan , namun kesan dan gambaran hasil yang diusahakan sangat menyedihkan.

 

Tidak terdapat kesungguhan dari sejumlah institusi Melayu yang diwujudkan oleh kerajaan selain hanya menjadi wadah untuk dieksploitasi oleh ahli politik berkepentingan. Sindrom menganugerah ahli politik untuk mengetuai sesebuah agensi yang diujudkan kononnya untuk kepentingan orang Melayu ternyata hanya menjadi agensi untuk mengukuhkan kedudukan politik individu tertentu dan sekaligus membuka peluang membolot kekayaan melalui projek-projek kerajaan.

 

Inilah nasib orang Melayu. Terlalu bergantung harap kepada parti Melayu yang berideologi nasionalis sekular menyebabkan orang Melayu kebanyakan maseh terus dibelungi krisis.

 

Dengan yang demikian kami menegaskan perlunya kepimpinan Melayu memberi perhatian kepada sejumlah agenda yang perlu digerakkan dengan bersungguh :

 

1.Mengujudkan polisi yang jelas mengenai status dan pembangunan Tanah Rizab Melayu dan melaksanakan dasar yang tegas untuk mengembalikan semula semua Tanah Rizab Melayu yang telah hilang.

 

2.Merangka dasar sosial yang jelas mengenai masalah keruntuhan akhlaq bangsa Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk menangani pelbagai gejala sosial bangsa Melayu dapat dikekang.

 

3.Memberi keutamaan kepada mengatasi masalah perumahan mampu milik yang berkualiti mesra keluarga dan mengutamakan kesihatan sosial agar kehidupan orang Melayu berpendapatan rendah dan sederhana tidak berada seperti yang berlaku sekarang.

 

4.Mengujudkan kerangka pendidikan Islam formal dan non formal yang jelas dan mantap yang dilaksanakan dengan berkesan dan efisien untuk mengangkat penghayatan Islam secara menyeluruh dikalangan orang Melayu. Fokus harus diberi kepada penambahbaikan semua institusi pendidikan Islam terkini dan tradisional.

 

5. Melaksanakan penilaian menyeluruh kepada semua agensi yang khusus untuk orang Melayu dan menentukan penyelerasan  dan  arahtuju yang jelas untuk merancang pendekatan yang paling berksesan untuk mengangkat taraf hidup orang Melayu.

 

6. Menetapkan dasar pengekalan perkampungan orang Melayu agar pembangunan yang diperkenalkan tidak menjejaskan kualiti kehiduapan kampung tradisional orang Melayu.

 

7. Mengukuhkan kedudukan syariah dalam kehidupan masyarakat Melayu semada dalam konteks budaya hidup dan mahupun dari segi perundangan. Suatu polisi memperkasa institusi masjid agar menjadi institusi yang berkesan untuk membangun masyarakat Islam yang berkesan perlu dirangka dan dilaksana dengan sistematis.

 

8. Dasar Nasional  dan mekanisme perlaksanaan untuk mengukuhkan institusi keluarga Islam dikalangan orang Melayu  khususnya dan rakyat amnya hendaklah diujudkan.

 

9.Peranan kaum wanita Melayu dalam pelbagai sektor perlu disemak semula.Akibat terlalu mengikut budaya hidup wanita bekerja dalam pasaran kerja ,ia telah menjelaskan kualiti kehidupan berkeluarga. Kami menuntut kepincangan ini diperbetulkan melalui polisi pengukuhkan peranan wanita dalam keluarga diujudkan.

 

 

10.Semua agensi agama Islam hendaklah dipantau secara dekat untuk menilai sejauhmana pelbagai institusi yang diujudkan itu telah mencapai matlamat yang ditetapkan . Sumber yang diperuntukan untuk institusi yang diwujudkan sejak beberapa tahun yang lalu sehingga masakini perlu disemak agar penambahbaikkan dilakukan dengan berkesan.

 

11. Sistem meritokrasi dikalangan bangsa Melayu itu sendiri perlu diujudkan dan dilaksana dengan bijak supaya tidak berlaku salahguna kuasa dan meminggirkan mereka yang layak untuk mendapat manfaat dalam pelbagai sektor pembangunan negara seperti peluang perniagaan , peluang pendidikan serta peluang kenaikan dalam sektor awam.

 

12. Polisi yang jelas mengenai kemiskinan bandar, nelayan , pekebun dan petani kecil dikalangan orang Melayu perlu dirangka kerana persoalan kemisikinan tegar yang maseh ujud sangat jelas maseh gagal diatasi  akibat mekanisme yang tidak telus dan sangat cenderung bersifat feudal dalam pengagihan peruntukan. Jelas mekanisme yang diguna belum mengeluarkan orang Melayu miskin dari putaran kemiskinan sehingga sekarang.

 

13. Semua institusi latihan kemahiran yang memberi latihan knisus untuk kaum bumiputera hendaklah menilai sejauhmana ia berkesan untuk mengujudkan peluang keusahawanan dikalangan penuntut lepasan institusi berkenaan.

 

14. Sebuah polisi mengenai pemberian subsidi dan rasionalisasi subsidi untuk orang Melayu perlu disemaksemula untuk tidak membiarkan orang Melayu terlalu bergantung kepada kerajaan. Apa yang perlu digubal ialah skima pemberian subsidi yahg lebih berkesan disalurkan  dengan pendekatan mengutamakan orang Melayu yang miskin khususnya dan kaum yang lain yang miskin amnya.

 

15. Menggariskan dasar yang jelas untuk mengembalikan kedudukan institusi bahasa Melayu iaitu Dewan Bahasa Dan Pustaka sebagai institusi untuk memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa yang benar menjadi bahasa Negara .

 

16. Memberi kepentingan semula kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah dipinggirkan bertahun-tahun dan mengangkat dasar tersebut kepada tingkat yang lebih dominan untuk membentuk perwatakan rakyat .

 

Moga agenda ” alif , ba , ta ” diterjemahkan dalam gerakerja semua penggerak , semua aktivis , semua pencinta Islam.

 

Kita bangunkan kekuatan , kita kukuhkan saf dan kita perkemaskan tanzim Teras serta seluruh kerabatnya . Tiba masanya gerakan 15 tahun ini direalisasikan diperingkat marhalah ta’rif , marhalah takwin dan marhalah tanfiz secara serentak.

 

Dalam hal ini kami kutip kata-kata Imam As-Syahid Hassan Al-Banna  :

 

“Sesungguhnya pembentukan ummah, pendidikan bangsa-bangsa, merealisasikan cita-cita dan mendokong pendirian (pegangan hidup) memerlukan ummah yang berusaha ke arah itu atau dari golongan yang menyeru kepadanya. Ini sekurang-kurangnya memerlukan kekuatan jiwa yang terhimpun di dalamnya beberapa perkara:

 

Yaitu, kemahuan yang tidak mengenal lemah, kesetiaan yang tetap yang tidak disaduri oleh kepura-puraan dan khianat, pengorbanan yang banyak yang tidak dihalang oleh tamak dan haloba serta kebakhilan, dan makrifah (mengenalpasti) dasar pegangan hidup, beriman kepadanya dan menghargainya sungguh-sungguh.

 

Semuanya itulah yang memelihara (kita) dari kesalahan dan penyelewengan daripadanya (pembentukan) dan tawar-menawar (apologetik) di atas perkara dasar dan tidak terdaya dengan yang lainnya”.

 

Dengan kehendak dan izin Allah, kita kini hidup di masa-masa yang penting dan genting di dalam usia dakwah Islam ini dengan segala tuntutan dan cabarannya. Allah telah memudahkan kita untuk mengetahui cara-cara dan kaedah-kaedah yang sahih dan benar untuk beramal dan berusaha di dalam dakwah Islam.

 

Kita berharap dan memohon kepada Allah supaya Dia memberi taufik dan hidayahNya kepada kita untuk mendokong amanah agung dan mulia ini, setelah ditinggalkan oleh kebanyakan manusia. Kita benar-benar berharap semoga kita layak menjadi ahli dan layak menerima pilihan itu dari Allah Taala hingga kita mampu mendokong dakwah Islam ini dengan penuh keazaman, ketangkasan dan ketegasan sekalipun tugas ini sangat besar dan berat.

 

Wallahutaufiq Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Dikirim dalam Minda Presiden

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 315,048 hits
Kalendar
November 2013
M T W T F S S
« Oct   Dec »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  
%d bloggers like this: