ANTARA KEPIMPINAN DAN KEPEDULIAN RAKYAT MENCARI PEMIMPIN SEJATI

Oleh :

Mohd Azmi Abdul Hamid

TERAS Pengupayaan Melayu,

 

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang”

MUQADDIMAH

Pemimpin lahir dari rakyat. Semada pemimpin kecil mahupun besar , bertaraf lokal mahupun nasional dan internasional , semua lahir dari rakyat. Kepmimpinan dari rakyat dan merakyat dikunci dengan satu nilai hubung yang terpenting iaitu kepedulian.Ertinya pemimpin tanpa kepedulian adalah pemimpin palsu dan kepimpinan  palsu akan memporak-perandakan masyarakat.

Nilai kepimpinan bukan sahaja bertunjangkan penerimaan majoriti seperti dalam sistem demokrasi yang diagungkan sekarang. Kepimpinan tertampil pada hakikatnya daripada sifat dan ciri keperibadiannya. Betapapun  kepimpinan adalah berkait dengan pangkat dan jawatan , namun sebenarnya kepimpinan sangat terkesan dengan karektor peribadi yang dimilikki. Selebihnya seorang pemimpin itu dinilai dari segi wawasan dan gagasan serta misi yang hendak dibawa.

KEPIMPINAN

Rakyat sememangnya mengharapkan lahirnya pemimpin bangsa yang sejati. TERAS bermaksud seorang pemimpin sejati ialah seorang yang sama ada menjawat suatu jawatan atau tidak, apakah ia masih hidup atau sudahpun almarhum, rekod jawatannya masih disimpan dan dikenang atau tidak, potretnya dilukis atau tidak, riwayat hidupnya dibukukan atau tidak – namun  masyarakat tetap menerimanya sebagai pemimpin umat dan bangsa.

Mengapa? Kerana dia menjadi pemimpin bukan disebabkan ia memegang jawatan disesuatu posisi dalam sebuah jabatan malah dia adalah pemimpin kerana dia tetap teguh dan konsisten antara visinya dan tingkah lakunya yang jelas jujur, keselarasan antara apa yang ia kata dan apa yang ia kotakan.

Sifat yang sedemikianlah yang mengesahkan ia sebagai seorang pemimpin yang sejati. Maksudnya ketika tokoh-tokoh jenis ini sudah meninggal dunia dan sudah tamat pergelutannya dalam hidup – mati memperjuangkan kemerdekaan bangsa, mereka tetap dikenang dan dihormati sebagai pemimpin yang tulen.

Terdapat perbezaan yang ketara antara pemimpin dan jawatan dalam kepimpinan. Seorang pemimpin yang memegang suatu jawatan, sebaik sahaja selesai samada terlepas atau dipaksa untuk melepaskannya, seperti wayang yang sudah masuk kotak, tiada siapa yang ingin mengenangnya lagi. Apatah lagi jika ketika memegang jawatan itu dia telah menggunakan kedudukannya untuk mengembangkan egonya atau mengamalkan nepotisme keluarganya sendiri.

Meskipun ketika ia menjawat jawatan itu, berbuih-buih mulutnya mendakwa dirinya sebagai pemimpin sejati dan pejuang sejati, rakyat akan menguji ketulusannya, sejauh mana ia konsisten menyatakan antara kata-kata dan tindakan serta bagaimana ia benar-benar tulus memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak.

Bukan mengelembungkan nepotisme keluarganya dan memperkayakan dirinya sendiri ketika ia memegang kuasa dengan cara berselindung dan bertopeng disebalik jawatannya. Pemimpin jenis ini bila selesai ia melepaskan jawatannya itu rakyat tidak akan menghormatinya sebagai orang lagi.

Banyak orang mengira bahawa memegang jawatan sama dengan menjadi pemimpin. Namun, nurani rakyat akan menilai secara jujur apakah seseorang itu pemimpin sejati ataukah pemimpin oportunis yang hanya meraih peluang untuk memperkayakan diri ketika menduduki sesuatu jawatan.

Sebab itu terdapat perbezaan yang ketara antara makna kepimpinan secara abadi dan makna jawatan dalam kepimpinan yang bersifat sementara. Betapa banyak orang yang mengalami ‘post power sindrome’ dimana ketika menjadi bekas penjawat sesuatu jawatan, mereka sudah tidak dihormati rakyat manapun kerana harga diri mereka selama menjawat jawatan sesungguhnya hanyalah harga diri yang palsu. Iaitu harga diri yang diraihnya bersama jawatannya serta kekayaan yang dikumpulkannya pada kesempatan yang diperolehinya selama memegang jawatan tersebut.

Selebihnya dia sebenarnya bukan pemimpin yang sejati malah pemimpin yang hanya bersandar pada jawatan semata-mata.

Pengesahan seseorang pemimpin pada hakikatnya ialah pengesahan moral. Ertinya, ia dinobatkan oleh rakyat kerana sumbangan dan perjuangan moralnya. Mungkin secara formal dia tidak memegang jawatan seorang menteri, atau seorang ketua kampung atau seorang jeneral dalam tentera.

Ia dihargai kerana idea dan visinya untuk memperjuangkan martabat umat dan bangsanya agar bebas dari ketakutan dan tampil dengan kepercayaan terhadap diri, berpegang teguh kepada suara nurani untuk mengatakan yang benar adalah benar dan yang batil adalah batil.

Inilah yang menjadi sumber kepada kualiti kepimpinannya serta juga  sebagai sumber makna hidupnya. Dengan yang demikian itu juga membuatnya menjadi pemimpin yang benar dari segi kata maupun tindakan. Pada dirinya sarat dengan keteladanan, tidak pasrah dirayu rasuah, tidak mengalah dipujuk kolusi, tidak berkompromi untuk melakukan dusta, tidak murah mempergadai prinsip dan melacur martabat diri. Pemimpin seperti inilah yang tetap dihayati dan diterima dari generasi ke generasi sebagai pemimpin dan bukan sekadar penjawat jawatan Presiden atau Perdana Menteri. Pengesahan seorang pemimpin juga berasal dari ketulusan penerimaan rakyat terbanyak terhadap kepimpinannya. Pengesahan kepimpinan tidak boleh diganti dengan sekian banyak gelaran, ‘Datuk’, ‘Tan Sri’, ‘Tun’, ‘Datuk Seri’. Ia juga tidak boleh diganti dengan sekian longgokan kekayaan yang menggunung.

Pengesahan pemimpin sejati ialah dengan warisan keteguhannya ketika terpaksa menderita dalam penjara, menjalani hukuman pembuangan, ketekunan dan kesabaran mendidik umat dan bangsa dan pengorbanan sejati dalam hal waktu, wang, tenaga, fikiran dan keringat. Semua ini dicurahkannya dengan penuh tulus, tidak menagih habuan apapun, tidak terlintas untuk mendapat sanjungan sedikitpun, malah secara konsisten ia meneruskan perjuangannya untuk melihat martabat umat terpelihara dan memperolehi redha Allah S.W.T. sebagai puncak idamannya.

Tekadnya jelas untuk mengangkat potensi dari sebuah umat dan bangsa yang merdeka, tidak mahu menyerah apalagi tunduk takut kepada penjajah baik dalam apa bentuk sekalipun.

Pengesahannya sebagai pemimpin sesungguhnya adalah bersumber dari rasa nurani jutaan rakyat yang mengakunya sebagai pemimpin. Mereka mengenang perjuangannya dari khazanah sejarah yang lalu hingga kini.

Rakyat mengesahkan pemimpin ini kerana dia tidak pernah memikirkan dirinya sendiri atau keluarganya sendiri melainkan kerana dia berani mengorbankan hidupnya untuk kemerdekaan bangsa ini.

Lain kedudukannya seorang pemimpin yang bersandarkan kepimpinannya kepada jawatan yang dipegangnya. Sebaik sahaja selesai dan tamat tempoh jawatannya tiada siapa lagi yang mahu menyapanya jauh sekali dipuja, apa lagi di –ABC- kan dengan gelaran-gelaran yang diperolehinya dahulu. Kalau dahulu pujaan yang diungkap oleh orang-orang bawahannya adalah lantaran mahu meraih habuan dan  kedudukannya.

Kewujudan dirinya sebagai pemegang jawatan itupun hanyalah baju rasmi, pakaian seragam pejabat, tag nama disaluti hiasan indah dan pangkat-pangkat serta gelaran yang bergayutan.

Bila tamat sahaja jawatannya, hilanglah segala makna pada semua itu. Dalam perkataan lain kita dapati banyak pemegang jawatan sebagai pemimpin mengira bahawa jawatan rasminya itu adalah kekuasaan yang boleh dipakai untuk memperkayakan egonya sebagai caranya untuk menampilkan dirinya sebagai pemimpin. Padahal penampilannya hanyalah penampilan baju, penampilan rasmi penuh upacara kosong dan ‘gincu-gincu’ kekuasaan yang sementara sifatnya.

Namun dia mengira semua itu seolah-olah abadi dan kekal dengan hiasan kosmetik sebagai topeng untuk memperlihatkan kehebatan dan kekuasaannya. Ditonjolkanlah dirinya dengan gaya pakaian, kereta rasmi yang mewah, diiringi sederet pembantu dan pengawal, ditempatkan dirinya di barisan depan, berkerusikan kerusi empok yang lebih istimewa dari rakyat biasa, dijaga segala protokol untuk dirinya dan berpidato dengan ucapan yang penuh melambangkan otoritinya. Walhal dia tahu betul sebenarnya semua itu hanya wayang yang cuba di layarkan dihadapan rakyat seolah-olah dia benar-benar berwibawa.

Pemimpin sejati lain wataknya. Dia tidak menghiraukan sama sekali gelaran dan hiasan-hiasan semacam itu. Dikala pemimpin ‘kosmetik’ dan pemimpin ‘opotunis’ akan mengumpul segala alasan ,untuk tidak mahu bertanggungjawab terhadap krisis yang menimpa rakyat, pemimpin sejati akan berani tampil dan amat terbuka untuk mengakui dengan rendah diri kesilapannya atau amalan korup, nepotisme dan dibiarkannya semua itu berlaku dengan berleluasa dan semua krisis itu sebenarnya berasal sumber dan dirinya sebagai pemimpin.

Dalam kemelut dan dilema rakyat mencari pemimpin sejati yang diharap dapat benar-benar memperjuangkan kebenaran dan keadilan sekaligus dapat mengangkat martabat umat dan bangsa, kita harus membimbing rakyat agar dapat mengukur sang pemimpin mengenai visinya dalam melahirkan masyarakat yang lebih demokratis, yang tidak dikuasai oleh ketakutan dan dibelengui oleh kebisuan serta tidak dilumpuhkan oleh birokrasi pemimpin yang hanya sibuk menjaga protokol dan pangkat. Pemimpin yang sudah dijangkiti dengan kuman gelembung ego diri, ego kelompok dan sudah tidak jernih untuk kembali ke visi luhur membentuk masyarakat yang beradab dan mendokong idealisme kebenaran dan keadilan hendaklah diberi isyarat tegas dan jelas agar berundur segera.

Antara jawatan dan pemimpin terdapat jurang perbezaannya. Akan tetapi budaya hedonistik, mabuk kuasa dan berlumba untuk memperkayakan diri dan keluarga akan memudarkan malah menggelapkan kejernihan rakyat untuk melancarkan dialog nasional bagi mencari pemimpin sejati.

KEPEDULIAN

TERAS juga mengambil perhatian terhadap pemimpin yang mempunyai kepedulian kepada rakyat yang rendah. Jika kehadhiran pemimpin itu adalah untuk membimbing , mengasuh  berkhidmat dan menyelesaikan kerumitan yang dihadapi rakyat , maka ketidakpedulian adalah tabiat yang janggal bagi seorang pemimpin.

Kepedulian bermula dengan mengambil tahu apakah masalah yang sedang dihadapi rakyat. Mengambil tahu pula bertitik tolak dari mendengar dengan baik-baik rintihan rakyat. Rakyat mempunyai rintihan yang pelbagai. Bersedia mendengar adalah sifat pertama seorang pemimpin . Rintihan adalah akibat dan natijah dan ia hanya sebuah akibat dari masalah yang tidak diambil peduli oleh pemimpin bila rakyat mengadu.  Lantaran itulah seorang yang pemimpin yang berkesan ialah bersedia mendengar. Untuk mendengar jangan tunggu sehingga rakyat terpaksa mengharungi pelbagai protokol . Menyediakan ruang dan kemudahan untuk rakyat bertemu pemimpin adalah pra-syarat pertama  menjadi pemimpin mesra rakyat. Bersedia untuk melayani resah dan tangis masyarakat adalah titik pertama membina jalinan antara pemimpin dan rakyat.

Pun begitu , tidak cuma untuk mendengar semata-mata. Harus ada kesungguhan untuk memahami rintihan yang diutara rakyat. Memahami aduan dan resah masyarakat menuntut untuk pemimpin mengambil tindakan setelah mendapat maklumat. Apakah isu yang diadu adalah berkaitan dengan soal kemiskinan , kos kehidupan yang meningkat , kemudahan asa yang tidak diperolehi , perbelanjaan pendidikan yang membebankan , khidmat kesihatan yang tidak mencukupi , pengangkutan awam yang tidak efektif , gejala sosial yang semakin meningkat… semua ini bukan hanya perlu didengar malah perlu diambil tindakan . Setiap warga masyarakat akan mendambakan perhatian memimpin terhadap keresahan yang dialami rakyat. Senbab itu seorang pemimpin yang tulin akan hanya boleh menjadi berkesan dalam kepemimpinannya jika ia menjadi seorang yang bertindak dan tidak hanya memahmi ma salah.

Kepedulian pemimpin perlu merentas bidang , kawasan dan sektor. Ketika pemimpin gagal menangkap apakah resah rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan ataupun meneliti dan berusaha memahami keresahan tersebut dengan baik , rakyat akan hilang keyakinan. Dari kehilangan keyakinan itulah rakyat akan menuntut  pemimpin diubah.

Oleh itu keprihatinan pemimpin terhadap isu-isu rakyat harus tulin dan konsisten.Hanya dengan syarat ini baru pemimpin akan dilihat jujur dan bersungguh dan komited.

 

 

GAGASAN KEPEDULIAN PEMIMPIN KEATAS KESEJHATERAAN RAKYAT

TERAS menegaskan tunjang kesejahteraan rakyat adalah terletak kepada keupayaan setiap warga insan dalam masyarakat mencapai kesejahteraan dalam dirinya sendiri . Setelah setiap insan berada dalam persekitaran yang membenarkannya mengenali siapa dirinya dan untuk apa hajat ia didatangkan ke dunia ini maka arah perjalanan untuk mencapai kesejahteraan akan menjadi tepat dan murni.

 

Selanjutnya , menghubungkan kesejahteraan dirinya kepada PenciptaNya yang menjadi punca segala kesejahteraan akan meletakkan matlamat kehidupan warga itu menjadi lebih unggul  .Sehingga tercapainya titik temu antara diri setiap warga masyarakat dengan kehendak dan perintah Pencipta segala makhluq , kesejahteraan dalam ertikata sebenar tidak mungkin terjelma. Yang lahir nantinya ialah kepalsuan dan kebiadaban atas nama kesejahteraan ekonomi dan kemakmuran kebendaan.

 

Bermula dari konsep pokok ini TERAS mengutarakan Manifesto  Sembilan Kesejahteraan Rakyat untuk dijadikan gagasan semua pemimpin rakyat seperti beirkut:

 

KESEJAHTERAAN PERTAMA

”Menyediakan peluang kerja dan kondisi pekerjaan yang memuaskan”.

 

TERAS berpandangan bahawa menyediakan kerja untuk rakyat adalah penting. Pengganguran adalah merbahaya dari segi kestabilan sosial. Mengalakkan rakyat bekerja adalah penting untuk kesejahteraan ekonomi dan kestabilan keluarga . Ruang dan peluang untuk bekerja perlu dibuka seluasnya oleh kerajaan.

 

Akan tetapi menyediakan suasana kerja yang memuaskan adalah jauh lebih penting..Pekerjaan dan suasana kerja yang menekan bukan sahaja menimbulkan ketegangan tetapi juga akan lama kelamaan mengakibatkan produktiviti yang semakin menurun. Sebaliknya suasana yang mengembirakan akan meningkatkan rasa kebersamaan , rasa bertanggungjawab dan amanah serta merangsang untuk berkreativi dalam bekerja. Oleh itu jaminan kerja dan sistem ganjaran yang memuaskan akan mengujudkan semangat bekerja yang tinggi sekaligus mencetuskan kesejahteraan yang diidamkan.

 

TERAS yakin kepuasan bekerja dapat mengembangkan kapasiti dan potensi seseorang pekerja. Fleksibiliti ditempat kerja termasuk soal ”part-time” yang berkualiti akan meningkatkan rasa selesa dan ingin mengembangkan kebolehan diri Kepuasan kerja adalah asas kepada pekerjaan yang produktif.

 

TERAS mempunyai hasrat untuk membina hubungan yang sihat antara pekerja , majikan dan kerajaan . Pekerja yang amanah dan bertanggungjawab , bersama majikan yang sangat prihatin dan menjamin hak pekerja serta  didokong oleh agensi kerajaan yang memastikan perhubungan yang sinergik (saling mengukuh)  antara majikan dan pekerja akan membawa kepada kemakmuran yang bertambah untuk rakyat.

 

Pihak kerajaan perlu menjamin hak pekerja dan majikan harus meningkatkan rasa keperihatinan terhadap realiti kesejahteraan kehidupan berkeluarga untuk pekerja. Bersifat ehsan kepada pekerja dalam soal cuti bersalin , cuti untuk suami yang baru menimang anak , cuti penjagaan dan cuti sakit bukanlah beban kepada majikan tetapi adalah penambahan rasa semangat dan kasih pekerja terhadap pekerjaan sekaligus kemakmuran serta kesejahteraan kepada negara.

 

KESEJAHTERAAN KEDUA

”Menebuskan semula masa kita”.

Kesejahteraan negara jangan hanya diukur dari sudut pertumbuhan ekonomi. Masa yang dikerah untuk rakyat bekerja menambahkan pendapatan perlu diganti/ditebus dengan memberi  mereka peluang  mengguna masa secara berkualiti dalam hubungan kekeluargaan , bermasyarakat , berinteraksi , berakan-tetangga dan berteman  serta berekreasi .

 

TERAS percaya bahawa ukuran kemakmuran rakyat tidak harus  hanya dibatasi melalui angka ekonomi ,  akan tetapi perlu juga diukur oleh jaminan rasa selesa dan tidak tertekan oleh pekerjaan untuk bersaing dan merebut keuntungan . Rakyat yang dapat diprogramkan dengan penggunaan masa secara berkualiti semada untuk pekerjaan mahupun untuk diri dan keluarga akan mengujudkan kesejahteraan yang lebih murni dan manusiawi.

 

TERAS mahu melihat persaingan , perebutan dan saling kejar-mengejar untuk mendahului sesama sendiri untuk mencapai status sosial dikikis. Hidup dalam suasana tegang untuk mengejar masa sehingga ujud feneomena ” rat race”  akan mengadaikan masa kita dari memberi perhatian kepada kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat yang lebih bermakna.

KESEJAHTERAAN KETIGA

”Melindungi alam sekitar”

Kedamaian bukan sahaja perlu dilihat dari sudut kedamaian dalaman tetapi juga kedamaian dengan alam persekitaran . Terlalu ghairah dengan Keluaran Negara Kasar (KNK) melalui eksploitasi sumber alam tanpa batas akan berakhir dengan kehancuran dan kegelisahan kehidupan rakyat. Rasa serba sempurna untuk mengatasi semua masalah melalui teknogi setelah merosakan alam sekitar akan meningkatkan kos untuk memulihkannya. Sebuah kehidupan rakyat yang sejahtera akan hanya tercapai jika ia berjalan harmoni dengan alam bukan sahaja bila memanfaatkan sumber alam untuk generasi masakini tetapi juga melindunginya untuk generasi mendatang.

 

TERAS menyarankan isu kepupusan , pencemaran dan penimbunan sisa sebagai isu pokok . Bilamana pihak berkuasa dan rakyat gagal menangani 3 persoalan ini , kita akan menempa malapetaka buatan manusia sendiri. Isu perubahan cuaca , pemanasan bumi , keracunan tanah , makanan dan udara , banjir  besar , kepupusan bekalan protin dari sumber marin adalah alamat-alamat mengundang kiamat yang lebih pantas.

 

TERAS menyarankan kenaikkan cukai untuk aktiviti yang membabitkan sebarang eksploitasi alam sekitar terutama yang merosakkan seperti pembakaran minyak fosil , penebangan hutan , perlombongan basir , kuari batu dan pemumusan sampah toksid. Disamping  itu sekaligus mengurang cukai serta memberi insentif kepada sebarang aktiviti dan projek yang menyelamat dan memperkayakan alam sekitar.

 

Kita perlu menjadikan pencemaran dan kerosakan alam sekitar sebagai jenayah yang mahal harganya untuk sesiapa yang tidak bertanggungjawab.

 

KESEJAHTERAAN KEEMPAT

”Menyemak semula system pendidikan dan budaya ilmu”.

Jika ada penentu kepada kesejahteraan yang tulin , TERAS berpendapat  ia adalah pendidikan. Namun pendidikan yang diperlukan bukan yang bersifat persaingan merebut gred tertinggi atau pensijilan yang cemerlang. Pendidikan juga bukan jenis mengejar kecemerlangan akademik yang keterlaluan.

 

Kita jangan berpura-pura dalam pendidikan yang bertaraf dunia. Mengujudkan Universiti yang hanya bermegah dengan budaya ghairah kepada sijil bukan teruja untuk menghayati ilmu.Melahirkan remaja yang tidak punya idealisme melainkan hanya untuk mengejar kerjaya mudah. Mencetuskan generasi pelajar yang tidak punya kepedulian kepada keadaan masyarakat . Pendidikan yang mengeluarkan generasi tempang akhlaq dan lesu jatidiri. Pendidikan yang mengujudkan pengajaran dan pembelajaran sebagai suatu yang membebankan bukan suatu yang mengembirakan.

 

TERAS berpendirian bahawa pendidikan yang kita perlukan ialah sebuah pendidikan yang membina manusia seutuhnya dari segenap segi : ilmu , emosi , akhlaq dan kemahiran. Pendidikan yang mampu membentuk remaja yang berupaya dari sudut ketrampilan diri, matang dari segi emosi dan berfikir serta bersedia berhadapan dengan cabaran semasa. Kita mahu pendidikan yang melahirkan kanak-kanak dan remaja yang sihat mental , cergas fizikal , kukuh rohani dan matang emosi.

 

Kita mahu berusaha untuk melancarkan reformasi pendidikan yang membina potensi insan untuk mencapai kecemerlangan yang menyeluruh sebagai khalifah yang bertanggungjawab dan mengamalkan gaya hidup yang berintegriti dan bermoral mulia.

 

Untuk itu TERAS bekerja untuk membina warga pendidik yang membina teladan dalam sahsiah dan penuntut yang menyerap teladan sehingga menjadi insan mithali dalam berilmu dan beramal.

 

Kita mahu mengujudkan institusi pendidikan tinggi yang melahirkan graduan lepasan universiti yang menjadi pengkritik sosial yang sihat yang mengutamakan kebajikan masyarakat , keadilan sosial , integriti kepimpinan yang murni dan  keluhuran moral masyarakat.

 

Kita mahu mengujudkan universiti yang menjadi tapak berkembang intelektual kritikal , terhimpunnya ilmuan yang merasa bebas untuk mempersoalkan institusi berkuasa tanpa bimbang dimangsakan.

 

KESEJAHTERAAN KELIMA

“Melabur , Melabur dan Melabur untuk Pembangunan Insan ”.

Setiap ringgit yang disimpan untuk memberi tumpuan kepada anak-anak akan menyelamatkan jutaan ringgit yang perlu dibelanjakan untuk merawat penyakit , mengendali kes jenayah dan menjaga keselamatan awam, menguruskan pengangguran dan menampung kebocoran perbelanjaan negara akibat  salahlaku sosial .

 

Jika budaya melabur untuk tujuan yang betul diserapkan dalam masyarakat sejak generasi tunas , ditambah dengan polisi pelaburan yang tinggi oleh pemerintah untuk membangun sumber manusia , TERAS percaya kita ada harapan cerah untuk menjadi negara yang terbaik dalam pengurusan manusia.

 

TERAS berusaha untuk membentuk  kerajaan dan masyarakat  yang menghindar dari tabiat pelaburan yang salah apatahlagi pelaburan yang  mengikis kewangan awam untuk projek yang membazir. Kita perlu kepada dasar pelaburan yang menumpu kepada  keperluan asas untuk kesejahteraan manusia. Bukan kepada pelaburan untuk bermegah dengan pembangunan kosmetik dan hanya bersifat simbol.

 

Kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada pelaburan membina institusi keluarga yang menjadi tapak semai untuk menumbuhkan kesejahteraan yang berpanjangan.

 

KESEJAHTERAAN KEENAM.

“Jangan galakkan materialisme tetapi galakkan promosi gaya hidup yang  sederhana dan bertanggungjawab”.

Alamat kehancuran bermula dengan tamadun yang berpusat kepada nilai hidup kebendaan yang melampau. Tatkala segala ukuran bertumpu kepada pemilikkan benda dan seluruh hidup menuju kepada mengejar benda , maka masyarakat akan meluncur ke gaung kemusnahan.

 

TERAS melihat tamadun kebendaan kini didokong oleh promosi yang sangat agresif untuk merebut status melalui pemilikkan  benda. Bukan sahaja dunia iklan komersial dan komunikasi  pemujukkan digembleng semaksimanya untuk menjebak pengguna dewasa untuk mengejar benda , malah generasi tunas dari golongan kanak-kanak sekalipun telah diasak dengan keghairahan kepada  benda.

 

Seluruh kecanggihan dunia iklan dikerah untuk mendidik masyarakat kepada nilai hidup materialstik. Akibatnya masyarakat dijangkiti dengan virus indivualisme , bersaing dan berkejaran untuk memilikki , murung ,stress , menyendiri dan hilang erti bahagia yang sebenar.

 

Seluruh budaya dan tradisi masyarakat dicorak untuk mengenepikan kebudayaan sendiri dan diheret untuk menjadi lebih global dan lebih “trendy”. Masyarakat hilang timbang tara antara fakta dan fiksyen. Arah yang merbahaya ini membuat Sweden cuba melancarkan undang-undang khas mengharamkan iklan yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun. Malah masyarakat diserang dari segenap arah sehingga tidak ada zon bebas dari pengaruh komersial.

 

Manifesto TERAS ialah masyarakat perlu dididik dengan nilai yang lebih unggul iaitu tamadun ilmu dan tamadun sahsiah mulia. Kami melihat ini akan hanya boleh tercapai melalui pendidikan dan promosi gaya hidup sederhana dan falsafah hidup yang bergerak kepada memenuhi tanggungjawab dan menunaikan hak antara sesama warga masyarakat.. Budaya dan gaya hidup yang lebih rasional untuk memberi tumpuan kepada keperluaran asasi lebih dari kehidupan bermewah-mewahan perlu disemai bukan sahaj melalui pendidikan awam malah diserasikan dalam polisi resmi kerajaan. Untuk yang demikian TERAS berpegang kepada prinsip Hidup Sederhana dan Hidup Waras sebagai slogan penting untuk mencapai kesejahteraan rakyat.

 

KESEJAHTERAAN KETUJUH

”Bangunkan Masyarakat Bersilaturrahmi”

TERAS berpegang kepada kehidupan insan sebagai makhluq berjamaah dan bersaudara. Prinsip saling berkenalan antara pelbagai qabilah berbangsa adalah prinsip pokok untuk hidup bersama. Persaudaraan dalam ertikata hidup dalam  keluarga besar kemanusiaan memerlukan penghayatan nilai  berkongsi dan berkerjasama sebagai prinsip penting yang mengikat masyarakat untuk mencapai kesejahteraan kolektif.

 

Komuniti yang teguh berdiri atas landasan kebenaran dan keadilan akan boleh hidup dalam keadaan yang kondusif untuk mengujudkan suasana aman dan damai.

 

Lantaran itu TERAS berusaha untuk bekerjasama dengan pemerintah yang memastikan nilai tali persaudaraan dalam masyarakat dijadikan ruh pembangunan. Bahawa kehidupan antara manusia bertujuan untuk saling memenuhi hak dan tanggungjawab.

 

Maka nilai bersaudara dan nilai keinsanan perlu dijadi nilai unggul yang dipupuk dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

 

Harus dipupuk ciri masyarakat yang menghayati sifat Ar-Rahmah dan Ar-Rahim yang mendalam sehingga tidak dibenarkan ada peminggiran dan penyisihan dalam masyarakat. Golongan yang lemah seperti mereka yang cacat anggota , terlantar kerana kemiskinan dan menderitai sakit kronik , tersepit kerana tidak dapat memenuhi keperluan asas , orang tua yang hidup tersiseh , ibu dan bapa yang mengurus keluarga secara bersendirian ,  golongan yang berkelana menagih simpati dan bantuan …perlu dikendalikan dengan sebaik mungkin.

 

Lantaran itu TERAS memberi penekanan kepada kerajaan untuk memberi ruang dan peluang yang luas untuk gerakan dan kerja sosial disuburkan dalam masayarkat. Budaya kesukarelaan perlu disegarkan disemua peringkat.

KESEJAHTERAAN KELAPAN

”Tegakkan keadilan dalam masyarakat”

Sememangnya pengurusan ekonomi yang kukuh sentiasa diperlukan.Namun hanya bersandar kepada KDNK sebagai ukuran tidak cukup membantu.

 

TERAS mahu melihat objektif pertumbuhan ekonomi lebih mengutamakan pengagihan yang saksama untuk rakyat melalui penyediaan kemudahan dan perkhidmatan asas yang sempurna untuk semua.

 

Perbezaan dalam kualiti perkhidmatan dan kemudahan asas antara rakyat akan menimbulkan kecemburuan sosial yang merbahaya.

 

Akibat terlalu bergantung kepada pasaran bebas untuk mengatur sendiri keseimbangan sosio-ekonomi , telah melahirkan jurang antara golongan  yang berada dengan rakyat yang tersiseh yang  semakin melebar.

 

Kesejahteraan rakyat akan hanya tercapai jika kerajaan mengamalkan polisi yang lebih menjaga keadilan untuk golongan yang lemah sementara mengujudkan polisi percukaian yang munasabah untuk golongan yang berada.

 

Oleh itu meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dan memberi sokongan untuk mereka yang lemah ekonomi adalah sangat penting jika kesejahteraan rakyat dalam ertikata sebenar hendak dicapai.

 

Gelaran yang mengkastakan masyarakat tidak harus diteruskan. Tradisi feudal yang merengangkan antara rakyat dengan kelompok elit akan menimbulkan ketidakadilan yang berpanjangan.

 

TERAS percaya kepada masyarakat yang lebih bersifat egalitarian seperti yang diperlihatkan dalam masyarakat generasi pertama yang dipupuk oleh  Rasulullah s,.a.w. iaitu masyarakat yang tidak membedakan darjat sesama insan , tidak memberi keistimewaan yang keterlaluan kepada golongan berpangkat , tidak menjunjung manusia berkuasa berlebihan dan mengutamakan hanya nilai ketaqwaan dan keilmuan yang benar semata-mata sebagai kayu ukuran martabat insan.

KESEJAHTERAAN KESEMBILAN

”Kenali apa yang penting”.

Pertumbuhan ekonomi nampaknya disangka sebagai ubat segalanya. Namun kebahagiaan rakyat tidak semestinya berkorelasi dengan peningkatan pendapatan. TERAS berpandangan KDNK yang sering ditonjolkan sekarang bercampur dengan pelbagai faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan yang palsu . Iaitu pertumbuhan ekonomi yang bercampur dengan kos merawat mangsa kemalangan jalan raya yang bertambah , komersialisasi kesihatan yang  meningkat , kos memelihara  keselamatan akibat kes jenayah yang melonjak , kos memulih alam sekitar yang semakin musnah ….Semua perbelanjaan ini tidak sebenarnya menambah kebahagiaan rakyat. Malah dengan adanya semua masalah ini telah mengakibatkan ada pihak yang meraih keuntungan besar yang telah menambahkan pendapat per kapita segolongan rakyat.

 

TERAS melihat jika kesejahteraan hendak dicapai maka menyemak semula keutamaan kita perlu dilakukan. ”Wrong priorities leads to false decisions” itulah yang sering berlaku. Maka kami berusaha untuk mengembalikan kewarasan dan rasional pemerintah dalam mengerakkan jentera  dan roda pembangunan.

 

Keutamaan sepatutnya kepada tahap kesejahteraan rakyat bukan hanya tahap pertumbuhan ekonomi. Perdebatan mengenai konsep Gross National Happiness berbanding Gross National Product seharusnya dilihat secara serius oleh semua kerajaan.

 

.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 340,686 hits
Kalendar
September 2017
I S R K J S A
« Mac    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  
%d bloggers like this: