MELAYU DALAM KRISIS ?

BICARA DARI HATI KE HATI

Kami bermula dengan persoalan ini ketika merenung nasib bangsa. Bukan kerana ia tidak pernah diperkatakan. Bukan kerana kami bersikap pesimis terhadap masa depan bangsa.Bukan kerana kami berpemikiran bebal tentang bangsa ini. Akan tetapi ia terbit dari rasa prihatin yang sangat mendalam , bahawa ada suatu anjakan besar yang perlu diusahakan jika bangsa ini tidak mahu terus meluncur jatuh ke gaung yang lebih dalam. Sejujurnya kami perlu bermula dengan  menginsafi semememangnya kita ada masalah. Bersikap menafikan ujud masalah adalah menipu diri. Jadi kami membuka lebaran perbahasan dengan mengajak semua yang prihatin  mari kita berpijak dibumi yang nyata.

 

Pada satu peringkat dahulu Melayu dikatakan berada dalam dilema, tetapi sekarang nampaknya semakin parah. Tidak keterlaluan untuk kami mangatakan bahawa  Melayu kini sudah berada dalam krisis. Kini semacam wujudnya fenomena Melayu sedang mencari-cari jalan keluar dari kemelut yang sudah bertahap krisis. Namun realitinya  seolah-olah jalan keluar itu tidak ditemui sehingga ke hari ini, baik daripada sudut jatidiri, ekonomi, budaya, pendidikan mahupun politik. Topik-topik ini sering dibahaskan tetapi tidak berkesudahan dengan jawaban yang tuntas , berkesan dan menyeluruh.

 

Andaian Melayu dalam krisis ini diperkukuhkan dengan statistik yang berkaitan dengan kedudukan orang Melayu hari ini. Lihatlah aset orang Melayu seperti harta tanah . Data pemilikan perumahan, penempatan di bandar  dan perkampungan sudah semakin terhakis, tanah rezab Melayu yang semakin mengincup, tanah milik bebas orang Melayu yang sudah tergadai. Ini sedang menjurus kepada  krisis yang serius. Apabila “tapak”bangsa  sudah terhakis, tidakkah ia petanda Melayu beransur-ansur akan pupus.

 

Ditambah lagi jika kita lihat peranan golongan intelektual Melayu dan kepimpinan politik Melayu yang sepatutnya menjadi tiang seri bangsa. Ternyata ia  sudah goyang dan  tidak lagi boleh jadi penyangga kepada  rumah  bangsa yang sudah goyah.Kualiti intelektual Melayu nampaknya tidak berkesinambungan.Sementara segelintir yang ada tidak dapat membawa pengaruh kepada arus perdana , mereka yang melalui pengajian tinggi pula tidak lahir sebagai golongan yang dapt mengambil alih kekosongan intelektual Melayu yang berlaku. Ertinya kita bakal berhadapan dengan “intellectual vacuum”.

 

Apabila kita berada dalam krisis, ertinya kita bercakap soal kemampuan  survival bangsa Melayu akibat dari krisis yang berlaku. Survival bangsa pasti tergugat tatkala kita berhadapan dengan kegersangan ilmuan dan kepimpinan yang berkualiti.

 

Malangnya realiti ini tidak diendahkan .Ternyata retorik dan gagasan yang dikumandangkan di pelbagai pentas seminar dan persidangan selama ini tidak menghasilkan penyelesaian yang konkrit.

 

Bangsa Melayu sudah semakin rapuh. Asakan cabaran dari luar yang melemahkan bangsa Melayu kini kebetulan “dibantu” oleh faktor dalaman, iaitu jati diri yang semakin reput.

 

Ini gambaran bangsa Melayu sekarang.

 

Persoalan orang Melayu yang menjadi keprihatinan kita ialah persoalan survival masa hadapan. Apa harapan kita?

 

Untuk melihat persoalan survival bangsa ini kami menyarankan agar kita  berfikir dua aras. Aras pertama ialah melihat  kehidupan orang Melayu sekarang diperingkat seharian. Ia termasuk cara orang Melayu mengorganisasikan hidup dirinya dan kelompoknya, cara mereka mengendali keperluan hidup sehariannya , cara mereka  memaju dan membangunkan diri sendiri,  corak berfikir mereka, cara menganalisa dan menyusun atur kehidupan mereka. Ini adalah analisa horizontal-kultural namanya.

 

Aras kedua ialah melihat kepada  sistem yang menjadi latar kepada kehidupan bangsa . Pada aras ini ia melibatkan polisi pemerintah , sistem pengurusan segala aspek pembangunan yang diputuskan melalui dasar dan implimenatasi dasar , segala urusan mengendalikan agensi yang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan dan fasiliti yang perlu untuk orang Melayu membangun . Ini adalah analisas vertikal-struktural namanya.

 

Kebangkitan semula bangsa Melayu ini tidaklah mustahil asalkan kedua-dua perubahan  gabungan aras pertama yang berbentuk  horizontal-kultural, daripada sekecil-kecil perkara seperti mengurus masa; dengan aras kedua yang berbentuk vertikal-struktural seperti bagaimana orang Melayu memilih pemimpin.

 

Secara perbandingan, kita juga harus melihat bagaimana kaum lain membangun diri mereka.Lihatlah  komuniti Benggali  yang beragama Sikh. Jumlah mereka hanya 20,000 – 30,000 orang sahaja. Dahulu mereka lebih dikenali  sebagai jaga dan pengembala lembu, tetapi kini sudah menjadi peguam terkenal, professional dan ahli perniagaan.  Tidak kedengaran atau jarang isu gejala sosial atau imej negatif di kalangan mereka. Ini contoh satu komuniti minoriti yang hidup tanpa publisiti, retorik atau slogan-slogan yang gah, sekarang maju dan dapat survive dengan cemerlang. Kita kena belajar buat perbandingan.

 

Lihatlah pula nasib minoriti orang  Melayu di Pulau Pinang. Walaupun wujud agensi-agensi besar seperti Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera, UDA, MARA dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang, akan tetapi kebanyakan orang Melayu kebanyakannya tetap hidup merempat.  Kenapa? Secara perbandingan, orang Melayu dengan pelbagai bantuan tidak berjaya, tetapi orang Sikh hidup berjaya dan cemerlang tanpa bantuan . Kita mesti ada kerangka analisa yang mendalam untuk melihat ini semua.

 

Kita bukan tidak berbangga adanya statistic kelompok middle class Melayu yang semakin membesar di bandar-bandar besar, tetapi itu tidaklah merupakan gambaran kedudukan orang Melayu secara keseluruhannya. Melayu memang kuat dengan sentimen, tetapi apabila hendak bertindak kita masih lemah dan tidak teratur. Maknanya, setimen atau semangat kekitaan Melayu semata tanpa  diterjemahkan dalam bentuk tindakan tidak akan membawa erti apa-apa.

 

Bagi saya, orang Melayu sekarang ibarat cerita penjual belon. Secara tabiinya, belon itu walau apapun warnanya, apabila dipam udara (gas hidrogen) ke dalamnya, ia patut boleh terbang ke udara. Tetapi malangnya belon Melayu ini tidak naik, walaupun dipam gas yang lebih dari memadai. Jawapannya kerana ada bebanan, ada benda yang menariknya kebawah. Bebanan itulah yang menjadi realiti yang harus ditangani. Jika tidak , belon Melayu akan hanya hebat pada warna dan membesar pada kulit tetapi tidak mampu naik dan terbang ke angkasa lepas. Malah yang lebih mengerikan lagi ialah bila belon Melayu terlalu sarat dengan gas manakala bebanan pula terlalu berat , ia akan pecah dan terburai bagaikan serpihan belon yang tidak berguna lagi. Potensi Melayu sebenarnya sama dengan bangsa lain. Akan tetapi kerana bebanan itulah potensinya tertekan.

 

Lantaran itu orang Melayu perlu memerdekakan diri mereka daripada segala bebanan yang wujud. Kami melihat pelbagai bebanan yang mengikat bangsa ini iaitu bebanan politik, bebanan sosial, bebanan budaya, bebanan ekonomi dan bebanan lain-lain lagi. Bebanan-bebanan yang meruntun bangsa Melayu ke bawah itu harus dibuang, dan pada masa yang sama usaha untuk melonjakkan potensi Melayu mesti diteruskan. Kalau itu dapat dibuat, potensi dan kehebatan Melayu pasti boleh diserlahkan.

 

Sememangnya kalau kita terlalu bercerita tentang masalah saja, secara psikologinya seolah-olah kita sudah mengalah. Makanya, selari dengan itu kita harus membina yang segala langkah yang positif untuk bangsa Melayu bangkit semula ketika mana kita berbicara soal masalah.

 

Sejarah bangsa Melayu sarat dengan kecemerlangan dan kegemilangan. Bangsa Melayu pernah hebat, sama ada sebagai pelayar, pejuang dan peneroka belantara. Sebagai peneroka belantara, orang Melayu dahulu membina perkampungan dan kemudian menjadi pekan dan bandar. Namun malangnya sekarang, semuanya sudah diambil-alih oleh bangsa lain.

 

Selepas zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, sejak 1511 penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun silih-berganti menguasai Tanah Melayu. Kita dijajah selama 446 tahun. Hampir seluruh infrastruktur bangsa Melayu seperti sistem pentadbiran, sistem pendidikan, sistem politik, perdagangan dan perundangan Melayu diruntuhkan satu persatu. Yang tinggal bertahan dan menjadi benteng terakhir bangsa Melayu hanyalah Islam yang bersifat urusan peribadi dan kekeluargaan sahaja .

 

Kemerdekaan yang kita capai pada tahun 1957 sepatutnya mengembalikan zaman kegemilangan bangsa Melayu. Ternyata pada 50 tahun pertama kita hanya mampu menyusun bangsa ini  sebagai satu komponen warganegara di negara yang kita cintai, yang kita dakwa kita sebagai tuan.

 

Malangnya , kita tidak membina kekuatan asal bangsa Melayu, yang jatidirinya bertunjang dan berakarkan Islam. Yang kita lebih utamakan ialah nilai-nilai asing baik dari Barat atau Timur. Kita seolah-olah kehilangan diri kita sendiri di tengah-tengah arus kemajuan dan pemodenan. Bagi saya 50 tahun akan datang hanyalah lanjutan proses modenisasi dan sekularisasi yang diwarisi sekarang, atau sekadar untuk menyelesaikan “penyakit-penyakit” yang dibiar menjalar  pada fasa 50 tahun pertama.

 

Sebahagian besar penyakit ini datangnya daripada sistem politik dan kepemimpinan yang diambil dari luar.Walaupun ada juga bidang lain yang menyumbang kepada masalah bangsa Melayu , politik dan kepimpinan menjadi sumber utama kepada krisis bangsa ini. Politik dan kepemimpinan negara yang sepatutnya berperanan mengangkat martabat bangsa Melayu ternyata kecundang dan  realitinya indah khabar dari rupa.

 

British sengaja merancang agar kemerdekaan negara ini diberi kepada kumpulan yang  mendokong ideologi sekular yang diindoktrinasi kepada golongan bangsawan Melayu. Hal yang sama berlaku di India. Kata-kata “biarlah mereka memounyai warna kulit yang berbeza, tetapi darah yang mengalir di tubuh mereka adalah darah Ingeris, cita rasa dan pemikirannya Inggeris “. Inilah yang tejadi kepada bangsa Melayu.

 

British sengaja memberi ruang kepada kumpulan berpendidikan Inggeris untuk menerajui kepimpinan politik negara. Nama-nama pejuang sejati seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestaman, Ishak Haji Muhammad, Ibrahim Yaakob dan lain-lain sengaja dipinggir atau dipadamkan dari sejarah. Di tangan tokoh-tokoh seperti Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang berpendidikan Barat inilah yang digahkan sebagai pejuang bangsa. Padahal pembinaan semula bangsa Melayu yang dipelopori oleh tokoh-tokoh sekular ini tidak bersandarkan kepada pegangan agama, tetapi hanya dalam kerangka nasionalisme Barat.

 

Aspek yang juga tidak kurang penting dalam  mengukuhkan ideologi penjajah ialah sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang diarus pedanakan ialah sistem pendidikan yang mementingkan kebendaan yang zahir yang sekular, dan meminggirkan tunjang agama Islam. Sistem pendidikan sekular ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, sedangkan sekolah-sekolah agama rakyat dibiarkan berjalan sendiri tanpa bantuan.

 

Akhirnya siapa sahaja yang melalui proses ini akan melanjutkan pemikiran dan kepimpinan yang berkiblatkan Barat. Baik kepimpinan politik, kepimpian korporat, kepimpinan budaya, kepimpinan intelektual dan kepimpinan agama, semuanya semacam berada dalam acuan Barat.

 

Pada fikiran saya, kejayaan British bukanlah kejayaan mereka mengawal sistem ekonomi, politik, pengurusan atau tentera kita semata-mata, tetapi kejayaan penjajah yang paling utama ialah kejayaan membunuh keyakinan diri bangsa Melayu terhadap dirinya sendiri. Minda Melayu diracuni sebegitu rupa sehingga lahir sikap terlalu mengagungkan Barat. Apa sahaja yang datang dari Barat dilihat sebagai hebat, unggul, berkualiti, profesional dan menjadi standard dalam kehidupan bangsa Melayu.

 

Walhasil krisis Melayu kini semakin rawan.  Melayu tidak lagi yakin dengan bahasanya sendiri, tidak yakin dengan budaya, dengan tradisi pakaiannya sendiri, cara bermasyarakatnya sendiri. Inilah kejayaan besar Inggeris terhadap bangsa Melayu sehingga akhirnya segala yang datang dari penjajah diambil bulat-bulat, dan lebih parah lagi dianggap sebagai budayanya sendiri.

 

Memang ada usaha kepimpinan negara seperti yang dilakukan oleh Dr. Mahathir, iaitu Wawasan 2020 untuk kononnya membangun melalui acuan sendiri. Tetapi itu lebih kepada kulit dan retorik, bukan isinya. Dr. Mahathir konon sudah buat segala-galanya. Tetapi pernahkah  kita bertanya apa yang telah dibuat sebenarnya? Adakah sejujurnya beliau membina bangsa dan negara ini dengan kerangka yang betul atau tidak? Pengamatan saya ialah beliau hanya membina infrasturktur mega dan cuba mempercepatkan orang Melayu menjadi kaya dengan mengkayakan orang yang sudah sedia kaya dengan harapan berlaku limpahan. Rasionalnya ialah kita tidak boleh menumpu kepada golongan Melayu terbanyak kerana proses ini dianggap lambat. Beliau memilih yang terdekat bukan sahaja dikalangan korporat Melayu malah juga dikalangan yang bukan Melayu. Namun akhirnya yang jelas limpahan itu tidak menjadi. Tanpa mengkaji kemampuan dan keahlian golongan Melayu, pendekatan beliau berakhir dengan melebarkan jurang kaya-miskin bukan sahaja antara etnik malah juga intra etnik.

 

Sebelum itu, Tun Razak juga sudah membina bermacam-macam institusi untuk memajukan orang Melayu, khususnya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kini terdapat lebih kurang 80 institusi di peringkat negeri dan persekutuan kononnya untuk membantu orang Melayu, tetapi soalnya  kenapa masih tidak berkesan.

 

Puncanya ialah pihak pemerintah tidak memperhatikan tentang masalah pertindanan peranan antara agensi, pengawalan fungsi, koordinasi antara satu sama agensi dengan yang lain dan bagaimana sesuatu kementerian dan jabatan itu diurus dengan amanah dan bertanggungjawab. Termasuk juga  soal menempatkan individu yang mempimpin sesebuah agensi.

 

Contohnya UDA  ditubuhkan untuk  membantu orang Melayu di bandar . Peruntukan  disuntik dengan skala berbillion ringgit. Dalam bidang perbankan pula, kerajaan juga mewujudkan Bank Bumiputera bertujuan untuk mengoptimakan modal pelaburan untuk membantu kaum bumiputera. Tetapi ternyata kedua-agensi gergasi ini tidak mencapai hasil yang sepatutnya. UDA sudah beraleh fungsi menjadi sebuah badan korporat untuk meraih untung , manakala Bank Bumiputera pula kini telah diambil alih. Krisis kepimpinan dan wujudnya campurtangan politik dalam proses membuat keputusan menyebabkan agensi-agensi ini gagal berfungsi melonjak kedudukan bangsa Melayu.

 

Akhirnya, penyelewengan berlaku dihampir semua agensi yang diitubuhkan untuk membantu orang Melayu. Kuasa yang diberi tidak lagi menjadi amanah, tetapi sebaliknya menjadi batu loncatan untuk kekayaan diri sendiri. Kuasa sudah jadi komoditi untuk  dijual beli.

 

Kalau kita bincang cara mendalam setiap institusi, ternyata bukan meningkatkan imej dan martabat bangsa Melayu dan menjadi aset bangsa, tetapi sebaliknya ada yang menjadi bebanan atau liability. Agensi-agensi yang sedemikian banyak hanya menjadi tempat menyediakan kerjaya kepada anak-anak Melayu untuk makan gaji. Yang berlaku ialah membesarkan prasarana agensi , bukan menumpukan kepada fungsi sebenar yang sepatutnya menjadi ukuran relevan atau tidaknya agensi tersebut untuk membangun bangsa Melayu.

 

Saya menyatakan banyak agensi-agensi tersebut bagaikan ibu yang berselerakkan didalam pentabiran kerajaan tetapi ia tidak siap untuk melahirkan anak-anak yang bernas dan dididik dengan betul. Berlakulah  “kehamilan” secara salah, dan sebab itu kuasa yang dipegang juga akhirnya berada dikalangan orang yang salah yang tidak berupaya dan tidak berminat untuk membantu Melayu terbanyak melainkan hanya untuk melahirkan “anak-anak yang tidak sah” lantaran ia bukan hasil dari keringat yang benar tetapi dari kaedah “anak segera” yang dhaif , tidak bermaya dan tidak berupaya.

 

Kini kekecewaan di peringkat akar-umbi (grassroot)  sangat mendalam. Lihatlah kehidupan nelayan Melayu selepas 30 atau 50 tahun. Yang besar dan kelihatan gagah ialah pejabat LKIM, tetapi nasib nelayan tidak banyak berubah . Samalah juga dengan pekebun kecil, pegawai dan kemudahan  Risda dan Felcra bertambah, pejabat semakin besar, tetapi penoreh getah masih di takuk lama, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang!

 

Kekecewaan itu adalah kekecewaan yang terpendam, dan menunggu masa untuk meledak. Kalau meledak 50 tahun akan datang, ia mungkin akan meledak sebagai satu “amukan”, kerana sudah tidak tahan lagi menanggung maruah bangsa yang semakin dihakiskan .       Golongan atasan hidup senang-lenang, tetapi  70% golongan Melayu bawahan masih hidup melata dan sekadar menjadi bahan media dalam rancangan “Bersamamu”. Kemiskinan bangsa Melayu kini hanya menjadi bahan media. Orang korporat pula sekadar mahu menjadi jaguh anugerah CSR (Corporate Social Responsibility). Lebih parah kini ia sudah menjadi bahan kempen politik.

 

Peliknya bangsa lain tidak pula seghairah begitu untuk membangun kaumnya sendiri.

 

Kekecewaan bangsa Melayu terhadap kepimpinan bukan lagi hanya dilihat diperingkat kolektif, tetapi sudah sampai ke peringkat melihat kualiti peribadi secara individu. Rakyat Melayu sudah mulai menyuluh sampai kepada kualiti keperibadian pemimpin-pemimpinnya yang ada kini. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh dipercayai sejujurnya. Rakyat sudah bersikap sinis kerana ketua-ketua politik semada berpangkat  YB , Dato,Ketua Pengarah dalam mentadbir urusan bangsa  seolah-olah tidak  boleh dipercayai lagi sebagai pembela nasib bangsa Melayu.

 

Bebalnya orang Melayu kini sudah sampai ke peringkat “berakit-rakit kehulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, tidak pernah senang sampai sekarang !!”

Bermastautin di bandar tertindas, bermukim di kampung terpinggir.

 

Psychy Melayu sampai ke tahap itu. Istilah ketuanan Melayu tinggal suatu retorik, slogan yang akan diketawakan orang. Dalam demonstrasi  di Penang ada poster yang tertulis  “jangan cabar kesabaran kami, kami tuan di tanah ini”.

 

Kita harus bertanya seikhlasnya , Tuan apa?  Tuan Tanah?  Padahal tanah Melayu banyak yang tergadai. Tuan Bandar ? Walhal Melayu di bandar menjadi bangsa minoriti. Tuan Kampung ? Sedangkan Kampung Melayu juga banyak yang ditelan pembangunan.

 

Bangsa lain ketawa melihat gelagat orang Melayu hari ini dengan slogan keTuanannya.

 

Malangnya ahli politik suka slogan seperti ini. Tidak ada ide yang segar dan nampak bersungguh dan serius.

 

Akhirnya kita perlu jujur dan bertanya , untuk apa kita mencetuskan  jeritan sebegitu? Ada yang bebal lalu kerana tidak dapat serah memorandum, dibakar pula!

 

Melayu kini berada dalam krisis kerana  jatidiri lesu, pemikiran lemah dan sistem pengurusan pembangunan yang salah dan pincang. Saya namakan ini sebagai fenomena “gempita dari dalam” – gempita dalam hati, gempita dalam jatidiri dan gempita dalam sitem.. Maksudnya bangsa ini mengalami ledakan dalam dirinya akibat kekecewaan yang tidak terkendali.

 

Apa penyelesaiannya?

 

Saya menggagaskan kekuatan Melayu perlu dibangun pada 4K.

 

K pertama ialah “Keislaman” sebagai pengkalan. Jika kita hanyut dalam arus kehidupan ini, tidak kiralah siapapun, baik pemimpin atau rakyat biasa, dia harus kembali ke pengkalan, iaitu Islam. Jika Islam ditinggalkan, orang Melayu akan kehilangan jatidirinya dan kehilangan sumber kemuliaan .

 

K kedua ialah “Ke’bangsa’an” – bahawa Allah mentakdirkan kita sebagai satu bangsa dan secara antropologis kita digelar bangsa Melayu. Oleh itu  tidak layak kita menafikan bangsa yang dianugerah oleh Allah kepada kita. Seperti Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rad: 11 – “Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum selagi kaum itu sendiri tidak mengubah nasib mereka sendiri”.Al-Qur’an bicara soal kaum. Bangsa Melayu adalah kaum  yang diamanahkan Islam padanya. Jika Melayu rosak dan jatuh, yang akan terfitnah ialah Islam. Bangsa Melayu ini menanggung amanah Islam di Nusantara ini. Jika akhlak tidak perkuatkan, ekonomi tidak pulih, kepimpinan tidak dibersihkan, imej Islam dipandang rendah. Melayu itu berjatidirikan Islam dan  Islam itu yang mewarnai Melayu. Walaupun kata-kata itu tidaklah tepat sepenuhnya, tetapi itulah imej Islam yang dilihat pada orang Melayu.

 

K ketiga ialah “Ke’watan’an” – bahawa kita mesti akur,  inilah watan kita , inilah  tanahair kita. Walau apapun  yang berlaku, inilah tempat dan tanahair kita. Jika kita tidak pertahankan, kita akan jadi tidak releven lagi. Alif Ba Ta perjuangan kita itu ialah Agama, Bangsa dan Tanahair. Ini adalah tanda kesedaran kita sebagai bangsa yang berdaulat . Jika tanahair ini tidak dijaga dan tidak diurus dan dipertahankan, kita akan hilang asas kekuatan bangsa Melayu.

 

Akhir sekali ialah K keempat iaitu “Ke’umat’an”, iaitu keberadaan Melayu dalam suatu ummah, iaitu ummah Muslimin . Melayu adalah sebahagian daripada ummah Muslimin . Apa sahaja yang berlaku ke atas umat Islam di tempat lain, sepatutnya turut dirasai oleh orang Melayu. Malangnya kini sudah tidak lagi. Nasib umat Melayu-Islam di Patani, di Mindanao dan di Acheh sekadar menjadi berita panas sementara, sama seperti berita panas terhadap orang lain atau di tempat lain. Ternyata generasi sekarang tidak lagi mempunyai perasaaan kenusantaraan. Nusa antara bangsa sesama Melayu dan sesama Islam perlu dihidupkan kembali.

 

Sayangnya rumpun Melayu pula kini tidak membantu dan bahkan masing-masing sedang bergelut dengan masalah sendiri-sendiri. Imej Melayu sudah kabur. Seorang pujangga Islam pernah berkata “Allah mencipta bumi, syaitan mencipta sempadan” (Allah created the Earth, syaitan created the nations)”. Perasaan keummatan Melayu kini sudah terhakis dan terasing disebabkan penjajahan dan wujudnya sempadan politik yang berteraskan nasionalisme sempit.

 

Kita semakin terpisah mengikut kelompok, etnik atau kabilah kecil – Minang, Bugis, Banjar, Jawa, Melayu Riau, Melayu Brunei, Melayu Patani, Melayu Champa dan Melayu Filipina . Kita menjadi lebih cair kerana unsur kebersamaan sudah dibuang. Contohnya, tulisan jawi yang dahulu merupakan medium kesatuan Melayu telah semakin pupus. Yang tinggal ialah akidah. Itu pun sedang digugat. Sempadan politik menyebabkan perasaan keummatan (esprit decorp) tidak lagi wujud. Dahulu semangat persaudaraan Melayu  begitu kuat kerana kita ada ikatan kekeluargaan di seluruh Nusantara, tetapi sekarang sudah tidak  wujud lagi, sudah pupus.

 

Keempat-empat K inilah yang ingin kami gagaskan sebagai jalan keluar dari kemelut ini.

 

Memang sebagai seorang Muslim kita tidak boleh berputus asa. Harapan tetap ada, dan jalan keluar tidaklah mustahil. Kita perlu yakin  masih ada “light at the end of the tunnel”. Tetapi harapan itu  akan menjadi cerah asalkan kita memenuhi syarat-syarat yang tersirat dalam 4 K itu.

 

Syarat inilah menyebabkan tercetusnya idea kami untuk berbicara  “Melayu akan pupus” kerana fasa 50 tahun kedua akan menentukan nasib bangsa Melayu. Alaf baru sudah berlalu 10 tahun dan fasa kedua 50 tahun sudah berlalu tiga tahun, namun syarat-syarat kebangkitan bangsa itu maseh belum dipenuhi . Sementara kita yakin kita boleh bangkit sebagai bangsa yang memenuhi ciri-ciri “khoiro ummah” namun kita perlu insaf selagi syarat-syarat itu tidak diberi perhatian selagi itu kami yakin kepupusan bangsa Melayu akan menjadi realiti.

 

Apa yang paling menakutkan kita ialah tidak wujudnya watak-watak Melayu di kalangan generasi baru buat menyambung dan mewarisi keunggulan bangsa Melayu ini. Jika kita dihinggapi penyakit kurang yakin hendak menyerahkan “baton” menyambung pecutan bangsa ini kepada generasi muda Melayu masa depan , maka kepupusan ini bakal lebih awal dari 50 tahun yang saya jangkakan !!

One comment on “MELAYU DALAM KRISIS ?
  1. kosana berkata:

    I’m very surprise none of your solution asked the Malays to work hard, study hard, embrace competition & think global. All your solutions are skewed to spiritual and cultural. What is that fails? We will have nothing else. I will not choose to think your way neither will I educate my children to think like that.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 317,737 hits
Kalendar
Januari 2017
M T W T F S S
« Mar    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
%d bloggers like this: