MEMBANGUN MELAYU HIDUP BERDIKARI

 

Mesej “Hidup Merdeka Dari Kebergantungan” sebagai jalan efektif adalah bertujuan untuk mengangkat darjat dan maruah umat Melayu. Kami yakin benar setelah membuat analisa bersungguh bahawa penyakit kronik yang mencengkam nasib umat Melayu adalah sikap mental bergantung hidup kepada bantuan. Sebagai sebuah umat, bangsa Melayu masih terus dicirikan dengan bangsa subsidi.

 

Malah menambah parah dari realiti ini yang boleh mempercepat mautnya sesebuah bangsa adalah justeru budaya hidup bergantung diperkukuh oleh pihak yang berwewenang kerana mahu bangsa Melayu kekal menjadi bangsa taat dan patuh dalam sistem feudal yang sedia ada.

 

Akibatnya umat Melayu menghadapi masalah krisis karektor atau krisis sikap yang amat parah. Sesungguhnya hidup bergantung yang terus melekat kepada bangsa ini sangat genting yang akhirnya menyebabkan umat Islam tertinggal dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin peradaban dunia.

 

Karektor atau keperibadian yang lemah seperti rasa rendah diri, kurang percaya diri, tidak mandiri dan malas akan menguburkan potensi yang telah Allah S.W.T. anugerahkan kepada kita. Malah kita boleh sahaja melupakan potensi yang besar yang ada pada diri kita sehingga ia kurang berguna bagi kehidupan seharian kita untuk menempa kesejahteraan. Keperibadian yang lemah tidak akan dapat menempa kemajuan, menggalang kekuatan dan potensi umat, bahkan menjadikannya ‘pembunuh’ kepada semangat juang dan semangat maju diri. Peribadi buruk seperti angkuh, serakah, malas dan materialistik akan membenamkan potensi diri dan membuat kemampuan dan kekuatan yang tersedia menjadi tidak nampak dan terbiar.

 

Persoalan hidup berdikari merupakan intipati kepada syarat sesuatu bangsa untuk membangun dan mempertahankan survival. Pada akhir-akhir ini telah banyak idea diutarakan serta  pelbagai pandangan  dilontar mengenai ketinggalan dan kemunduran  yang masih dialami oleh bangsa Melayu walaupun segala usaha telah dilakukan sejak kemerdekaan watan dicapai.

 

Pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai skim bantuan dan subsidi untuk melonjak orang Melayu agar mampu duduk sama tinggi dan berdiri sama taraf dengan bangsa yang lain. Namun setelah tamat DEB pada tahun 1990,  ternyata ketinggalan dan kemunduran  orang Melayu masih terasa dan tidak dapat diselindungi fakta  kewujudannya.

 

Mungkin ada yang mendakwa terdapat banyak kemajuan yang telah dicapai hasil dari program yang mengutamakan orang Melayu melalui DEB. Namun yang jelas bangsa Melayu terus dilanda penyakit bergantung yang tidak dapat diatasi sehingga kini. Bermakna tanpa bantuan, orang Melayu tidak mungkin mencapai apa-apa kemajuan malah mungkin tidak mampu untuk mempertahankan survival bangsa itu sendiri.

 

Kita harus bertanya kenapa bangsa Melayu masih dijangkiti dengan budaya kebergantungan ini. Begitu juga dalam nafas yang sama kita juga harus menganalisa kenapa bangsa lain yang terus ke hadapan dalam pencapaian pelbagai bidang  walaupun tanpa bantuan dari pihak pemerintah.

 

Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah pendekatan yang digunakan oleh kerajaan  telah gagal mengatasi budaya kebergantungan malah sebaliknya telah menjadikan hidup bergantung orang Melayu semakin kukuh.

 

Segala kemajuan yang didakwa dicapai oleh orang Melayu tidak dapat dipisahkan dari unsur bantuan kerajaan. Daripada aspek pendidikan sehinggalah kepada penyediaan bantuan untuk sektor pertanian. Daripada bantuan projek-projek untuk memberi keutamaan kepada orang Melayu sehinggalah kepada persoalan bantuan mendapatkan skim buku pinjaman di sekolah. Pokoknya apa yang dapat dikaitkan dengan kemajuan orang Melayu berpunca asal daripada bantuan yang banyak oleh pihak kerajaan.

 

Pemimpin-pemimpin kerap juga kedengaran melontarkan pandangan mengenai perlunya orang Melayu berubah daripada mentaliti subsidi dan kebergantungan kepada hidup berdikari. Pemimpin-pemimpin beberapa kali pernah mengeluh dan mengungkap bahawa orang Melayu perlu membuang sikap terlalu bergantung kepada kerajaan.

 

Akan tetapi sebenarnya kerajaan agak keberatan untuk menukar pendekatan memberi bantuan ini kerana ternyata pihak kerajaan menimbangkan implikasi politik yang sukar dikawal apabila orang Melayu sudah berdikari sepenuhnya dari pemerintah. Kemandirian orang Melayu bermakna ketidakbergantungan orang Melayu kepada pemerintah dan dengan yang demikian orang Melayu   tidak akan terikat dengan pemerintah dalam membuat pilihan dan menentukan sikap politik mererka.

 

Politik pembangunan  tidak akan  lagi mengikat orang Melayu. Orang Melayu akan lebih bebas dan lebih kritikal terhadap kerajaan dan fenomena ini dianggap suatu ancaman kepada pemerintah. Orang Melayu nantinya sukar diikat dengan syarat bantuan kerajaan jika orang Melayu mula bebas dari bergantung dengan bantuan kerajaan.

 

Realitinya ialah budaya bergantung ini merupakan suatu aturcara hidup yang sengaja diprogramkan dalam kehidupan orang Melayu. Ia diperkukuhkan dalam didikan secara tidak langsung dengan menanamkan pada jiwa orang Melayu rasa kurang yakin terhadap usaha sendiri. Kesannya ialah mereka akan terus bersandar kepada bantuan kerajaan dalam apa sahaja aspek kehidupan. Ditambah lagi rasa kerdil untuk  mempersoalkan apa yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa  menjadikan orang Melayu  terus bergantung kepada kerajaan.

 

Sebenarnya sikap  mental hidup bergantung yang dibudayakan dalam jiwa orang Melayu dan seterusnya tertanam kuat dalam budaya hidup seharian  telah mematikan inisiatif dan kreativiti orang Melayu untuk memajukan diri. Dengan yang demikian sikap  cukup sekadar apa yang ada (complacent) menebal dalam diri orang Melayu.

 

Lebih parah dari itu lagi orang Melayu tidak pula mahu menghargai peluang yang disediakan dan tidak mahu mengambil kesempatan untuk memperbaiki nasib diri dengan peluang yang disediakan.

 

Sebetulnya gerakerja yang penting perlu dilancarkan oleh para pendukung perjuangan Melayu ialah untuk memerangi sikap dan budaya hidup bergantung. Orang Melayu perlu dimerdekakan dari fenomena kebergantungan ini. Hanya dengan membebaskan orang Melayu daripada kebergantungan ini mereka mampu menentukan nasib hidup dengan lebih kukuh. Selagi ini tidak boleh dijayakan segala bantuan kepada orang Melayu akan hanya menyebabkan orang Melayu terus bersandar hidup kepada kerajaan.

 

Implikasinya amat berat lantaran bukan sahaja mereka akan bergantung kepada bantuan malah mereka sebenarnya menyerahkan maruah diri untuk diperlakukan oleh pihak lain  semahunya. Bangsa yang hanya tahu menadah simpati akan mudah dieksploitasi oleh pihak yang menunggu kesempatan untuk memperbudak dan memperkudakan mereka yang hanya tahu menagih bantuan.

 

Kita melihat isu ini sebagai isu yang utama dan ingin  menjadikan ia sebagai agenda perubahan yang sentral di kalangan orang Melayu. Kekuatan dan keupayaan orang Melayu untuk berdikari merupakan benteng yang utuh untuk mengeluarkan bangsa Melayu daripada kekerdilan diri dan kemunduran. Keyakinan diri juga akan dapat berkembang dengan mengamalkan sikap hidup berdikari. Kami berpegang bahawa kemerdekaan sebenar sesebuah bangsa akan hanya dapat dicapai jika orang Melayu dapat merdeka dari hidup bersandar  dan bergantung kepada orang lain.

 

Kegagalan agensi kerajaan dalam membangunkan orang Melayu adalah kerana pendekatan yang mengikat orang Melayu kepada bantuan masih terus dilakukan sehingga sekarang. Sebenarnya pendekatan ini telah diusahakan sejak dari zaman penjajah lagi. Secara sengaja orang Melayu diikat dengan bantuan bagi memastikan kepatuhan dan kesetiaan kepada pihak pemerintah. Agenda penjajah ialah untuk menentukan orang Melayu tidak mempunyai daya  menentang penjajah. Ini dijayakan dengan memastikan  mereka  sangat bergantung kepada bantuan yang dijadikan sebagai syarat jika mereka mahu menikmati kemajuan.

 

“Rasuah pembangunan” diamalkan agar seluruh rakyat pribumi tanah Melayu ini tidak tahu berdikari dan sistem pendidikan juga digubal agar orang Melayu tidak diajar untuk hidup berdikari. Malangnya selepas merdeka pendekatan yang sama telah diteruskan. Pihak pemerintah yang sehingga ini mengekalkan kuasa ingin memastikan orang Melayu akan terus tunduk dan patuh kepada pihak pemerintah yang berkuasa.

 

Lantaran itu, hanya ada satu jalan sahaja untuk memerdekakan orang Melayu daripada sindrom bergantung iaitu membangunkan sikap berdikari yang dipupuk dengan sifat yakin dengan usaha sendiri dan mempunyai dorongan yang tinggi untuk berusaha sendiri. .

 

Untuk itu, suatu usaha revolusi sikap perlu dilancarkan di kalangan orang Melayu. Revolusi sikap yang mengikis dan memerangi segala sikap negatif yang membantutkan orang Melayu untuk hidup berdikari perlu dilancarkan. Perubahan sikap daripada malas kepada tekun, daripada hidup bersahaja kepada hidup serius dan komited, daripada sekadar cukup dengan apa yang ada kepada berusaha keras memperbaiki taraf pendapatan hidup, daripada membuang masa kepada menguruskan masa dengan rapi dan cukup cermat, daripada sikap cuai dan tidak bersungguh kepada hidup cukup berdisiplin .

 

Oleh kerana itu umat Melayu memerlukan suatu nuansa yang baru dalam pendekatan keislaman dan sistem pendidikan yang inovatif agar dapat mengubah sikap hidup bergantung yang lemah dan buruk itu kepada kehidupan yang cergas, dinamik, energik, waspada dan bervisi ke hadapan. Perlu dididik pada diri orang-orang Melayu bekal kekuatan ruhiyyah yang lebih dini untuk boleh “survive”, “fight”, bahkan muncul sebagai generasi “winner” (pemenang) dalam menghadapi tentangan dan godaan zaman di era global yang kian berat dan gawat sekarang ini.

 

Apakah kekuatan yang benar-benar perlu dipupuk di kalangan orang Melayu untuk membangun sikap dan budaya hidup berdikari. Kami menyarankan formula yang amat sederhana tetapi yakin bahawa jika ia diaplikasi boleh mengeluarkan bangsa dari jerut kebergantungan. Kami mengutamakan faktor disiplin hidup sebagai permulaan kepada segala usaha mandiri. Tanpa disiplin tidak mungkin seseorang itu boleh hidup mandiri. Setiap kerja betapa kecil sekalipun hendaklah didokongi dengan sikap disiplin yang maksimal ketika mengerjakannya.

 

Semua kerja, semua tindakan, semua tingkah laku dan semua daya usaha dilaksanakan dengan tahap kawal diri, rapi, teratur dan trampil, dan bahawa bangsa Melayu perlu menonjolkan tingkat disiplin yang cukup tinggi dan bahawa bangsa Melayu perlu berubah daripada perangai sambil lewa kepada sikap tangkas, teliti dan tekun dalam semua tingkah laku.

 

Tahap kepekaan bangsa Melayu perlu ditingkatkan. Mengambil tahu dan mengambil berat terhadap semua perkara seharusnya menjadi sikap bangsa Melayu. Orang-orang Melayu perlu sensitif kepada apa saja yang berlaku dalam masyarakat di sekitarnya, dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Bangsa Melayu hendaklah cukup sensitif apabila berlaku kepincangan, kezaliman, penindasan dan penyelewengan kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja.

 

Bangsa Melayu hendaklah mengikis dirinya dari sindrom tidak yakin dan kurang yakin dengan kebolehan sendiri. Sikap takut untuk mencuba, tidak berani untuk bercakap, malu mengutarakan idea perlu dibuang segera. Yakin melaksanakan sesuatu, berani menghadapi risiko adalah ciri Melayu yang perlu disemarakkan.

 

Orang Melayu tidak perlu takut menyatakan pendirian, tidak perlu kerdil menegur dan membahaskan sesuatu isu yang berlaku, tidak harus rasa terhalang untuk mengkritik atau menyokong sesuatu perkara. Bangsa Melayu tidak seharusnya berasa janggal atau takut berhadapan dengan mana-mana pihak sekalipun.

 

Bangsa Melayu hanya akan disegani dan dihormati jika kesungguhannya dalam apa sahaja yang dilakukan terserlah. Bersungguh-sungguh bila melaksanakan tugas, komited untuk menyempurnakan sesuatu tanggungjawab dan memberi perhatian yang serius dalam semua aspek kerja.

 

Bangsa Melayu hendaklah mempunyai tumpuan yang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita. Orang-orang Melayu tidak sepatutnya beralih tumpuan daripada matlamat oleh sebarang gangguan. Umat Melayu harus mempunyai tumpuan yang bersungguh untuk menangani sebarang cita-cita.

 

Keazaman Bangsa Melayu semestinya cukup kuat. Orang-orang Melayu perlu tonjolkan kekuatan azam untuk mencapai matlamat dalam apa kerja sekalipun. Alasan untuk berbuat sepatutnya lebih banyak dari alasan untuk tidak berbuat.

 

Budaya mengharap bantuan, menunggu subsidi, menagih simpati, mendesak peruntukkan hendaklah dikikis dari mentaliti orang-orang Melayu. Bangsa Melayu perlu menekan hidup berdikari hidup dari usaha sendiri dan hidup membangunkan kemampuan diri sendiri. Orang Melayu semestinya mengambil berat pengajaran Allah dari ayat 11 Surah Ar-Ra’d bahawa “merubah diri sendiri adalah prasyarat kepada ketentuan Allah untuk membantu merubah nasib sesuatu kaum”.

 

Hanya bangsa yang menjunjung nilai amanah sahaja layak dihormati dan disegani. Bangsa Melayu mesti memastikan agar sikap tidak bertolak-ansur dengan perilaku pecah amanah menjadi ciri yang terserlah. Bangsa Melayu perlu dan mengamalkan sifat amanah sebagai suatu ciri unggul yang mendarah daging dalam setiap insan Melayu.

 

Perlu ditegaskan bahawa orang Melayu pantang pecah amanah, tidak berkompromi dengan sikap memungkiri janji, mengambil berat terhadap mengotakan apa yang dikatakan dan berpegang teguh kepada janji, bahawa orang Melayu tidak akan mempermain-mainkan kata-kata ‘InsyaAllah’, mempersenda-senda ‘jam Melayu’, memperolok-olok ‘janji Melayu’.

 

Bangsa Melayu adalah bangsa yang berpegang teguh kepada semua janji, sekecil-kecil amanah membayar hutang kepada sebesar-besar tanggungjawab mengendalikan amanah rakyat.

 

Kita orang-orang Melayu perlu bertegas. Tidak seharusnya bertolak-ansur lagi dengan kebejatan dan penyelewengan. Orang-orang Melayu perlu berani membanteras segala bentuk kemungkaran. Perintah “nahyu anil mungkar” (mencegah kemungkaran) hendaklah hidup dalam budaya masyarakat Melayu – tidak berkompromi dengan pelanggaran hukum-hukum syara’, memastikan segala unsur yang membawa kepada mungkar dikekang, dan segala bentuk kemaksiatan dan kejelekan sosial diperangi – semuanya sepatutnya menjadi ciri yang jelas pada jiwa Melayu.

 

Insan Melayu perlu dididik dengan budaya dan tabiat hidup sederhana, baik cara berbelanja, ketika dalam majlis, berpakaian, memiliki rumah dan kenderaan, makan minum, peralatan rumah dan pejabat, penganjuran sebarang majlis, hiasan diri dan rumah. Setiap orang Melayu perlu cermat dan berhemat dalam setiap hal. Jangan ada pembaziran, tabiat menunjuk-nunjuk, berlumba-lumba dalam menggaya hidup mewah.

 

Orang-orang Melayu hendaklah memastikan bahawa pembaziran dalam apa bentuk sekalipun hendaklah dikikis dari budaya hidup Melayu.

 

Kesederhanaan yang perlu dicontohi dalam kehidupan orang Melayu adalah junjungan Rasulullah S.A.W. dalam semua hal. Orang-orang Melayu yang tenggelam dalam hidup membazir, bermewah-mewah, bergaya sebagai golongan elit hendaklah dikikis.

 

Insan hanya akan berupaya bersaing jika dirinya dibangunkan dengan daya usaha sendiri. Perlu ada dorongan yang tinggi untuk orang-orang Melayu mencari peluang mempelajari ilmu, meningkatkan daya berfikir, kemahiran dalam pelbagai bidang, berusaha meningkat kebolehan diri, memajukan kerjaya diri dalam bidang-bidang yang diminati.

 

Orang-orang Melayu tidak seharusnya bersikap jumud (beku). Usaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan peluang meningkatkan diri dalam perusahaan, dalam kemahiran dan ketrampilan tangan hendaklah dilancarkan dengan serius.

 

Secara menyeluruh , setiap dari insan Melayu hendaklah cuba menguasai pelbagai bidang yang bermanfaat bagi menyaingi kemajuan orang lain. Dorongan dan semangat untuk cemerlang dalam bidang-bidang yang penting di kalangan orang Melayu hendaklah diusahakan dengan bersungguh-sungguh, jika kita mahu melihat umat berdiri teguh sebagai bangsa yang terpercaya.

 

Kita amat prihatin dengan kegawatan politik yang nampaknya tidak kunjung selesai dihadapi oleh umat Melayu. Sementara kami akur bahawa isu perpaduan amat penting namun kami terpaksa menolak percubaan mana-mana pihak untuk menangani isu ini berlandaskan sentimen dan fahaman perkauman yang sempit. Benar perpaduan Melayu penting tetapi perpaduan yang tidak diasaskan dalam rangka menegakkan syariat bukan sahaja rapuh malah juga tersasar.

 

Kita kesal kepura-puraan yang ternyata semakin menyerlah dalam keghairahan untuk menyatukan orang Melayu di kalangan politikus semakin mempamerkan bahawa percaturan politik  tidak sihat sedang mewarnai politik negara. Perundingan adalah jalan yang wajar, namun jika perundingan menjadi medan persilatan hujah bukan untuk menegakkan syariat, kami sangsi ia tidak akan menghasilkan natijah yang diharapkan. Kami menyeru agar semua pihak tenang menghadapi kegawatan ini. Kebijaksanaan pada tahap tertinggi amat diperlukan. Sementara tanggungjawab memastikan perpaduan diwajibkan namun penafian hak dan kezaliman juga wajib dibanteras.

 

Kita turut prihatin terhadap cabaran yang sedang diasak ke atas Islam di negara ini. Nampaknya tekanan untuk tidak membenarkan hukum syariat didaulatkan di negara ini semakin ketara disuarakan oleh golongan yang amat cemburu malah memusuhi Islam secara tersirat.

 

Sudah terdapat tulisan dan suara lantang yang jelas mempersoalkan hak umat Islam melaksanakan syariat hatta ke atas orang Islam sendiri. Penghinaan dan mempersoalkan suara dan pendapat ulama bukan dibuat dengan niat jujur namun dilakukan semata-mata untuk mempersendakan dan meminggirkan ulama yang ikhlas menegur kemungkaran.

 

Hak umat Islam melaksanakan hukum Islam yang membabitkan masyarakat Islam tidak seharusnya ditimbulkan. Dalam hal ini keputusan Majlis Raja-Raja Melayu membenarkan penggunaan nama Islam pada pertubuhan amat dialu-alukan. Sementara itu, kita turut prihatin wujudnya usaha pihak tertentu menyalah tafsirkan erti Islam yang sebenar, juga mengambil perhatian bahawa usaha pihak tertentu untuk mempersoalkan perlaksanaan syariat hendaklah didedahkan dan dihadapi dengan berkesan.

 

Kita juga memantau perkembangan yang kini hangat diperkatakan mengenai hubungan antara kaum. Tuntutan-tuntutan yang disemangati oeh sentimen perkauman tidak dapat diterima malah perlu ditolak. Kita menghormati hak yang benar dan juga menghormati prinsip demokrasi yang telah kita pilih di negara ini. Akan tetapi tuntutan yang tidak menghormati sensitiviti antara kaum dan agama berlandaskan Perlembagaan Negara yang telah disepakati tidak dapat diterima.

 

Pergaduhan antara kaum  perlu dicegah. Namun dalam masa yang sama, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, merompak hak dan khazanah rakyat, juga perlu turut dibanteras. Kita amat prihatin terhadap kesenjangan atau jurang kaya miskin yang semakin ketara di negara ini. Lantaran itu adalah wajar dasar pengagihan kekayaan yang adil benar-benar diterjemahkan dengan bersungguh-sungguh.

 

Sementara itu, nampaknya pengurusan ekonomi negara masih tidak menunjukkan bahawa kerajaan telah mengambil iktibar dari krisis ekonomi yang berlaku pada 1997. Projek-projek mega kini kembali diketengahkan seolah-olah negara ini akan terus mempunyai pertumbuhan ekonomi yang tinggi secara berkekalan. Kita kesal terhadap tindakan para pemimpin yang sekali lagi menunjukkan keghairahan untuk melaksanakan projek-projek mega yang terus memunggah khazanah alam sekitar serta menghabiskan wang rakyat untuk kepentingan segelintir ahli koporat.

 

Apapun alasan yang diberi untuk melaksanakan projek-projek mega yang menghabiskan berbilion-bilion ringgit seperti Projek Penambakan Laut Dan Persisiran Pantai Kedah, Projek Bakun, Projek Lebuhraya, namun model pembangunan yang sama seperti dulu akan menyengsarakan rakyat bawahan. Jika trend ini berterusan maka fenomena pengambilan tanah rakyat akan kembali berleluasa dan rakyat bawahan akan menghadapi nasib yang tidak menentu.

 

Kami menyeru agar semua pendokong dan aktivis  Melayu cuba berusaha untuk memperkukuhkan semangat juang dan melaksanakan gerakkerja yang aktif serta berkesan untuk merubah dan mengembalikan maruah umat Melayu. Sudah sampai masanya untuk umat Melayu melonjakkan keberkesanannya dalam membina kembali maruah serta integriti umat Melayu. Yang pasti wawasan dan gagasan Melayu perlu di ketengahkan dengan berkesan sehingga ia dapat menjadi dominan dalam minda dan budaya masyarakat Melayu.

 

Kita mengenengahkan idea masyarakat Melayu mandiri sebagai jalan pembinaan keperibadian yang kukuh di kalangan orang-orang Melayu. Dengan semangat Hijrah kita harus mengerakkan tenaga dan mengembleng seluruh sumber bagi melakukan perubahan nyata.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 342,570 hits
Kalendar
Oktober 2017
I S R K J S A
« Mac    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
%d bloggers like this: