MEMARTABAT BAHASA & MENDAULAT BUDAYA BANGSA

 

Oleh

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden

TERAS Pengupayaan Melayu

 

Ucapan Bertindak

PERHIMPUNAN PENGGERAK MELAYU KEBANGSAAAN KE 7 (PPMK-7)

 

1 Muharram 1426H / 10 hb Februari 2005

Masjid Jami’ Seberang Jaya,Pulau Pinang

 

Segala pujian adalah untuk Allah Rabul Jalil. Yang berkuasa ke atas segala.Yang menentukan KehendakNya. Yang menetapkan segala Taqdir. Yang memberi Petunjuk kepada siapa yangDia kehendakki dan Mengelapkan hati siapa yang Dikehendakkinya.

Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah s.a.w. yang berjuang dan berda’wah seluruh tenaganya , yang mencintai umatnya di atas segala yang lain , yang mendidik para keluarga dan sahabatnya menjadi manusia kamil untuk diteladani oleh semua umat selepasnya.Muga-muga Allah merahmati dan memberkati ruh segala pejuang dan para shuhada dan solehin dari dahulu hingga mendatang.

 

Dengan nama Allah kami mengalu-alukan kehadhiran dan penyertaan saudara-saudari dalam Perhimpunan TERAS kali ke 7 ini atau sudah diperkenalkan dengan tajuk Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan sejak ianya lahir pada 1 Muharram 1418 Hijrah yang lalu.Umur tujuh tahun yang telah begitu cepat berlalu mengajar kami untuk lebih cermat dan berhati-hati dalam setiap langkah bagi memastikan perjuangan ini tidak berlalu bagaikan angin yang dirasa nikmatnya namun tidak dapat meninggal kesan yang diharapkan.

 

Sememangnya Hijrahlah semangat inti yang ingin dibawa kepada khalayak oleh TERAS Bukan maksud hijrah yang lazim difahami malah hijrah dalam erti membela mereka yang terrtindas , menggerak mereka yang lena dan merubah mereka yang tersasar. Dalam ertikata yang lain TERAS ingin mengembalikan bangsa ini kepada pengkalan hidup Islam sebagaimana asalnya , bukan membawa kepada yang baru yang tidak tentu arahtujunya.Sesungguhnya kita tidak harus terperangkap dengan sindrom mencari kerana inilah trajidi yang dilanda ke atas bangsa ini.Tatkala yang murni dan yang benar dibuang dan disingkir lantas kononnya kita harus turut bersaing dan sama taraf dengan ukuran dunia dan dengan itu kita mencari suatu erti kejayaan bersandarkan kepada ukuran itu yang tidak tentu apa sifat dan asalpuncanya maka bangsa ini akan terheret ke dalam gaung zulumah yang tidak bertepi.

TERAS kini maseh terus meneroka dan mencari pendekatan , membina kader dan aktivis untuk mengembangkan idea dan melontar keprihatinan dan dengan itu menarik penyertaan masyarakat dalam usaha membawa mesej pengupayaan dan transformasi bangsa yang sangat penting ini.

 

Kami mengingatkan diri kami betapa perjuangan ini bukan hanya selesai dengan berslogan tetapi harus terbukti dibumi nyata yang kesan langsungnya dirasai oleh semua sasaran yang menjadi mad’u TERAS. Sebab itu setiap kali kita berhimpun membawa gagasan baru , kekhuatiran kami ialah sejauh mana ia boleh diterjemahkan dalam tindakan nyata untuk membawa kesan yang nyata jua kepada masyarakat.

.

Sepanjang pengelaman inilah kami menilek dan membuat permerhatian seadanya untuk mengukur kejayaan , mengenal kelemahan dan memeta langkah seterusnya untuk menghitung prospek masa depan.

 

Bangsa Melayu kini sekali lagi dilontarkan dengan mencari makna diri dalam simpang siur krisis yang berlaku di pelbagi aspek hidup yang semakin kronik.Apakah pencarian ini suatu petanda bahawa kita benar-benar serius untuk merubah nasib bangsa. Ataukah ia suatu petanda kita sudah kehilangan arah dan kita tidak tahu dari titik mana yang harus kita bergerak dan dari tapak mana harus kita berpijak. Ataupun adakah ini bermakna seolah-olah kita mengatakan bahawa Melayu tdak punyai asal diri sehingga meraba-raba dan mencari sesuatu yang belum tentu. Sementara kita rasa lega kerana terpancar sekilas keprihatinan untuk mengungkap kata-kata pentingnya bangsa ini memilikki kepribadian tinggi , kita juga terus resah apakah kita jujur untuk mengakui betapa kita jugalah yang maseh mendedahkan bangsa ini kepada pelbagai kerosakan yang diabsahkan dengan beralaskan kata-kata kita perlu liberal , progressif , moderat , dan global.

 

Jika ini yang berlaku kami rasa amat malang kerana ternyata kita sedang menjalani sindrom yang sama dengan nasib bangsa lain yang meletakkan pencarian dan meraba-raba mencari yang tidak tahu apa falsafah dan matlamatnya sebagai suatu keperluan untuk maju. Walaupun apa yang dicari itu jika menepati kehendak yang telah dirangka oleh Islam sebenarnya telah ada pada diri orang Melayu itu sendiri sebelum ini , namun akibat dari ghairahnya pemimpin-pemimpin kita untuk ‘maju’ seperti mereka , ‘progressif’ laksana mereka dan ‘bertaraf dunia’ mengikut ukuran mereka maka kita terperangkap dalam jangkitan segala penyakit sejenis mereka tetapi cuba mencari ubat yang sama seperti mereka. Natijahnya kita terus meraba-raba , ubat yang tampak mujarab untuk seketika akan tetapi barahnya tetap memamah setiap sendi bangsa sehingga bertukar menjadi wabak yang tidak dapat dibendung lagi. Sebagai realiti kita mengelami sindrom meratah ni’mat tetapi sesaat , merasai ta’jub tetapi hanya sekilas , mendakwa bahagia tetapi hanya sekejap , nampak waras tetapi sebenarnya gila. Nilai hidup bangsa kita terus dirobek.

 

Kini bangsa Melayu sekali lagi dilontar dengan hal yang sudah lama diresahkan namun tidak pernah mendapat kesan tindakan yang bersungguh.Baru-baru ini pemimpin negara mengingatkan nasib bangsa kita tidak boleh diubah jika sikap bergantunghidup kepada bantuan , terlalu berpolitik dan rosak peribadi tidak dikikis . Maka bersahut-sahutanlah segala pemimpin-pemimpin politik yang lain mengiakan pernyataan pemimpin itu yang sebenarnya mereka itu jugalah bergantunghidup politik mereka kepadanya , mereka itu jugalah yang beramal dengan politik wang untuk kepentingan diri lalu sanggup menggadai prinsip , dan mereka jugalah yang bergelumang dengan keruntuhan moral yang menjijikkan . Ditambah lagi kemeriah acara sahut-sahutan itu dengan berkata segala pemikir dan pemimpin-pemimpin NGO Melayu dengan mengalu-alukan seruan pemimpin itu. Soalnya pemimpin itu dan segala yang lain tidak pula mahu menghuraikan dari punca mana semua perangai buruk bangsa Melayu ini berlaku. Tidak pula disyarahkan apakah kerjabuat pihak yang berwewenang yang selama ini telah menghumban bangsa ini ke kancah kerosakan segala yang dikesalkan itu.Jika tidak pihak pemerintah yang diterajui oleh bangsa kita sendiri yang meluluskan segala lesen judi dan arak , pesta dan konsert liar dan karnival berheboh-hebohan , iklan lucah dan acara memperaga fesyen dan memperniaga tubuh kaum hawa , meluluskan kegilaan anak muda untuk turut bergaya seperti keghairahan yang ditonjolkan oleh gayahidup generasi muda Barat lalu diciplak segala acara seiras mereka dengan judul Malaysian Idol (plagiat dari American idol) , ………

 

Kami merasa semacam kita ini bermain-main kata dan bersandiwara untuk resah dengan kerosakan budaya bangsa , namun pada hakikatnya kita tetap rasa selesa dengan apa yang ada dan kita puas dengan hanya menampal disana-sini kudis-kudis yang kelihatan pada kulit akan tetapi tidak mahu mengubati punca penyakit yang menjadi isu yang sebenar. Walhasil kita merana dngan jangkitan penyakit namun selesa dengan amalan yang menambahparahkan penyakit itu sendiri. Inilah yang dinamakan kontradiksi hidup.

Kita mengungkap soal institusi keluarga yang semakin longgar namun kita juga yang tidak mahu mengakui bagaimana dan rasional apa kita terus memperhebatkan kaum wanita untuk meningkatkan kerjaya diluar rumah .

 

Kita cemas dengan gelagat anak muda yang semakin liar , akan tetapi kita juga merasa bangga dan meluluskan permit kerana dapat menjadi tuan rumah kepada penghibur terkenal dunia yang lucah untuk memilih Malaysia sebagai destinasi ‘roadshow’ mereka.

Kita runsing dengan budaya generasi muda yang hilang jati diri , namun kita jugalah yang merubah dasar dari memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu kepada penggunaan Bahasa Inggeris atas alasan kita perlu maju dan bersaing dengan dunia . Malah kita jugalah yang merasa tidak bersalah bila melazimkan bercakap bahasa Inggeris dalam ucapan dan pergaulan lebih dari bahasa Melayu sehingga bahasa Melayu hanya menjadi bahasa sisipan semata-mata.

 

Kita mencanang-canangkan soal memperkuatkan ekonomi Melayu , tetapi kita jugalah yang memporak-perandakan ekonomi bangsa dengan amalan kronisme dan nespotisme dan dasar pilih buluh sehingga kita selesa dengan sistem ekonomi riba yang tidak mungkin akan menyelesaikan kemelut hidup kita bangsa kita mahupun krisis ekonomi negara keseluruhan .

 

Kita berseminar bertalu-talu mengenai aset bangsa Melayu , akan tetapi kita jugalah yang menyalahuruskan tanah milik bangsa sehingga aset tanah kita tergadai , dirampas atas nama pembangunan , perkampungan Melayu dilenyapkan atas nama projek untuk kepentingan negara.

 

Kita risau dengan keadaan prestasi pelajaran anak-anak kita di IPT , namun kita jugalah yang membuka pagar masuk kepada semua kaum atas nama meritokrasi sehingga kita kini berdilema kenapa pengajian tertentu di IPT kini kekeringan anak-anak Melayu.

 

Kita khuatir dengan keadaan ekonomi kita yang lebih memihak kepada mereka yang sedia kuat , namun kita jugalah yang melaksanakan projek pengswastaan dan bergantung kepada pembekalan dari bangsa lain . Sebagai akibatnya hampir semua aliran wang dari atas mengalir ke tangan orang lain dari sekecil-kecil barangan hatta kelip kertas sehingga ke bekalan khidmat yang besar seperti telekomunikasi.

 

Kita tertanya-tanya kenapa pendidikan Islam kita tidak berkesan , namun kita jugalah yang senang bila sekolah-sekolah agama rakyat dibiar merangkak malah dinafikan haknya untuk ujud dengan memfitnah institusi itu dengan segala tohmahan yang palsu padahal sekolah jenis kebangsaan disokong , berkembang dan kian mengukuh.

 

Kita melaung-laungkan orang Melayu mesti bersatu dan jangan banyak berpolitik , tetapi kita jugalah yang saling menyembelih , berkonspirasi , mencantas , memaksa dan mengugut bangsa kita sendiri dengan mengguna kuasa untuk memastikan kesetiaan , jika tidak akan di sembelih hidup-hidup dan dinafikan hak untuk mendapat bantuan kemiskinan sehingga peluang perniagaan hanya atas meritokrasi politik parti bukan meritokrasi kebolehan dan kemahiran.

 

Demikian parahnya sindrom kontradiksi yang kita alami . Bangsa ini bagaikan bola sepak yang harganya sudah sedemikian murah untuk diperlakukan sekehendak hati oleh mereka yang berkuasa. Mengatasnamakan Melayu dan bumiputra mereka kini berhelah untuk mengauk keuntungan lumayan dari bangsa yang nampak kian mengharap pertolongan akibat kontradiksi yang diamalkan selama ini.Memperjuangkan nasib bangsa hanya menjadi kata-kata ungkapan penyedap telinga dan penonjolan imej. Apabila kembali ke bilik tidur mewah di hotel berbintang lima , menghuni di mahligai serbah mewah , bersedap-sedap di atas kerusi empuk di kamar pejabat yang berperabut mahal , bercuti di luar negara di destinasi berpristej seperti London , Paris , Las Vegas , berkhayal di padang golf di kelab eksklusif bersama teman-teman berpangkat Tan Sri , Datuk Seri dan Tun , ….. apalah isu Melayu yang hendak dikenangkan sangat. Apakah nasib Melayu petani , Melayu nelayan , Melayu buruh-kasar , Melayu pekerja kiang , Melayu peneroka , Melayu setinggan , Melayu peniaga kecil akan menjadi tajuk perbualan ? Jangankan didiskusikan , mencadangkan ia sebagai tajuk itupun dianggap janggal.

 

Untuk itu TERAS membawa untuk sekian kalinya isu bahasa dan budaya bangsa dalam perhimpunan kali ke 7 ini kerana hal ini yang menjadi watak dan identiti dan jati diri kita yang kini diungkap oleh pemimpin negara. Jika gagal kita angkat hal ini apalagi persoalan lain yang sudah cukup parah maka laungan mahu “orang Melayu berpersonaliti yang tinggi hemahnya , tinggi budinya , tinggi pengajiannya , tinggi kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi , hatta menjadi seorang yang gemilang” akan sekali lagi menjadi lafaz bernas akan tetapi yang tiada makna.

 

Seperti yang tadinya diungkapkan kami berpendirian kenapa kita seolah-olah berada dalam sindrom pencarian padahal yang sudah utuh ada pada diri kita telah kita lontarkan. Bahasa dan budaya bangsa yang melalui proses Islamisasi telah begitu mendarah daging namun kita singkirkan dengan berbagai alasan. Pentakrifan yang diabadikan sebagai keunikan sebuah bangsa yang dipanggil Melayu ini dari sudut Agama ,Bahasa dan Adat tidak dijadi tonggak dan paksi untuk kembali membangkitkan suatu pemulihan bangsa. Malah ada yang sanggup meremehkan persoalan bahasa dan budaya Melayu.Tidak sedikit yang memandang sepi persoalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan . Kini Bahasa Melayu tidak menjadi agenda pengukuh dalam proses membina negara-bangsa.Malah menonjolkannya diingatkan tidak harus melebihi dari apa yang dibenarkan oleh keghairahan pemimpin negara untuk mencapai status negara “maju”. Mereka yang tenggelam dalam pemikiran ini tidak menunggu lama untuk menggembleng seluruh aparatus kerajaan dan media perdana membidas sesiapa sahaja yang menyanggah pendapat mereka walaupun dengan bukti kajian yang nyata.

 

Lantaran itu bahasa sebagai jiwa bangsa dan budaya sebagai watak dan keperibadian bangsa tidak diangap penting dibanding dengan pertumbuhan ekonomi dan penguasaan teknologi.

 

Kami melihat telah berlaku dua proses penghakisan bahasa dan budaya bangsa . Pertama ialah proses menceraikan bahasa dan budaya bangsa dari kaitan dengan sejarah keIslaman bangsa Melayu dan kemerdekaan negara.Peminggiran sejarah Islam yang membina dan mencorakkan bahasa Melayu ini malah disengajakan sehingga pengajian dan penggunaan bahasa Melayu tidak dianggap sebagai suatu amanah penting untuk kelanjutan Islam sebagai asas terpenting bagi meneruskan pembinaan bahasa sebagai pengantara dan medium penting .

 

Akibatnya berlaku suatu penghakisan yang mempengaruhi secara langsung corak aliran berfikir bangsa Melayu terutama dikalangan golongan kelas menengah dan elit.Tidak sedikit pula golongan penggubal dasar dan undang-undang di Parlimen berbangsa Melayu yang tidak mengendahkan kepentingan mengangkat persoalan memperkasa bahasa Melayu dalam urustadbir dan kehidupan seharian bangsa.

 

Dari persoalan pendidikan formal mahupun bukan formal bahasa Melayu hanya menjadi bahasa yang lesu penggunaannya. Segala bukti bahawa ada penurunan prestasi pelajar dalam menguasai matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda tidak di endahkan oleh pimpinan negara . Bukan sahaja golongan cendikiawan yang cuba bersusah payah membuat kajian ilmiah secara inisiatif sendiri mengeluarkan bukti kesan negatif dari perubahan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris diketepikan begitu sahaja malah teguran mereka yang secara langsung berada digelanggang dunia pendidikan yang tahu benar natijah yang akan berlaku , diberi amaran supaya tutup mulut.

 

Kedua ialah proses penghakisan akibat didominasi oleh perbahasan mengenai persaingan global. Keperluan dan dasar pragmatik pemerintah kini yang berhujah bahawa kita perlu meningkatkan penguasaan sains dan teknologi , bersaing dalam ekonomi dijadi alasan untuk mencapai taraf dunia diasak sebegitu rupa sehingga kita tidak lagi perlu mementingkan sangat soal indentiti dan jati diri kita. Yang penting dan menjadi keutamaan ialah bersaing atau akan ditinggalkan. Kebudayaan Melayu kini semakin menyingkir sehingga watak Melayu sebagai sebuah bangsa tidak dipentingkan lagi malah dipersetujui agar bangsa Melayu menerima rasional ungkapan bangsa Malaysia. Melayu yang tadinya mempunyai kekuatan budaya Islam yang mewarnai hampir semua aspek kehidupan kini sehingga diterima sebagai teras pembinan negara bangsa oleh kaum pendatang, dan yang dulunya benar-benar menjadi paksi penting dalam mengolah budaya bangsa kini dianggap sekunder dalam pembangunan negara. Pemimpin-pemimpin negara berpendapat aspek bahasa dan budaya harus memberi laluan kepada perbahasan mengenai persaingan dunia.

 

Kami meneliti realiti bahasa dan budaya bangsa Melayu sebagai paksi membangkitkan bangsa Melayu kerana ia menjadi inti kepada kesinambungan perjuangan bangsa ini. Lantaran ekonomi dan politik kini sangat bersifat pragmatik dan ia meruapakan sistem yang bertelur dari pandangan dan nilai hidup yang dicorak oleh budaya individualisme , materialisme , komersialisme dan konsumerisme maka memulihkan kembali budaya bangsa sebagai agenda penting perjuangan bangsa amat penting.

 

Kekhuatiran kita yang semakin menipis terhadap penghakisan bahasa dan budaya bangsa akibat terjangan budaya asing dan menyepinya masyarakat terhadap kepentingan meningkatkan rasa kepekaan dan daya menolak serangan ini lantaran bangsa yang sudah dimanglikan dengan “keni’matan’ budaya asing ini menyebabkan TERAS terpaksa mengambil peranan yang menonjol dalam isu ini.

 

Sebagai titik tolak pertama kita perlu menginsafi segala realiti keruntuhan budaya bangsa dan menganalisanya dengan menelitinya dengan halusi. Setiap penyakit yang tertonjol itu dapat dilihat secara nyata dan kesemuanya ada faktor utama dan penyebab sampingan yang perlu kita fahami. Sementara faktor utama memerlukan masa yang panjang untuk diaplikasi namun sebab sampingan boleh diambil tindakan dan pengemblengan masyarakat yang sangat perlu disegera.

 

Dengan yang demikian TERAS mengambil dua arah tindakan iaitu pertama menggerakkan proses penyedaran masyarakat untuk benar-benar prihatin terhadap masalah sosio-budaya yang dapat dilihat secara nyata semada dari laporan media mahupun dari pengamatan langsung terhadap masyarakat seperti penglibatan orang Melayu dalam penagihan dadah , sumbang mahram , rasuah , salahlaku disekolah , jenayah , lepak , lumba haram , judi , arak , pelacuran , gansterism , pergaulan bebas , keruntuhan keluarga , zina , merokok , pesta liar , budayahidup artis , rogol , budaya berhutang , pakaian tidak senonoh …..

 

Kedua ialah dengan memberantas sebab-sebab sampingan yang membawa kepada lahirnya masalah-masalah berkenaan disamping melakukan program pendidikan jangkapanjang untuk mengatasi faktor utama yang menyumbang kepada masalah tersebut berlarutan. Dalam hal ini kami bergerak untuk melibatsertakan semua peringkat masyarakat agar berperanan memerangi segala unsur negatif yang berlaku dikalangan bangsa Melayu serta mendesak pihak pemerintah bertindak tegas dengan mengguna kuasa undang-undang untuk memastikan ruang dan peluang masyarakat dipengaruhi oleh budaya liar dikenkang. Sementara TERAS akan mengembleng masyarakat melalui penggeraknya pihak pemerintah akan digesa berperanan memperbaikki program pembangunan yang perlu diubah dasar dan pendekatannya.

 

Diperingkat ini izinkan kami merangsang seluruh aktivis TERAS iaitu TEMAN (Tenaga Penggerak Masyarakat) untuk melancarkan Gerakan Transformasi Budaya untuk memulihkan penyakit sosial Melayu. Tahun 1426 Hijrah ini harus dijadikan Tahun Kebangkitan Budaya Bangsa bukan hanya dalam bentuk kosmetik berunsur kesenian semata akan tetapi penyerlahan semula kemurniaan nilai dan amalan hidup bangsa Melayu yang bermaruah dan Islami dalam seluruh aspek kehidupan.Ertinya TERAS ingin memperkasakan bangsa Melayu lewat pengukuhan dan penghayatan hidup Islam seluruhnya. Bahawa budaya bangsa akan hanya mampu membawa kesan yang bererti jika bangsa ini kembali sepenuhnya dengan amalan hidup Qurani berteladankan kehidupan Rasullulah s.a.w.

 

TERAS juga bekerja untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kerangka hidup budaya Islam kerana tidak mungkin ia dapat dipisahkan lantaran bahasa Melayu itu jugalah yang telah menjadi pilihan panda’wah dirantau ini untuk membawa bangsa ini keluar dari alam jahiliyah kuno berteraskan unsur khurafat dan animisme ke alam ilmu yang benar berteraskan nur Tauhid.Melalui pengantara bahasa Melayu , Islam telah merubah jiwa dan budaya hidup bangsa ini yang mundur kepada sistem hidup yang dicatat sebagai Tamadun Melayu yang unggul di rantau ini seperti yang ujud dalam Kerajaan Islam Pattani , Aceh , Riau , Champa , Banjarmasin dan Melaka. Menghidupkan dan mengukuhkan bahasa Melayu di rantau ini adalah sederap dengan mengembalikan jiwa budaya Islam pada bangsa ini. Oleh yang demikian menyalurkan gesaan kepada pemerintah untuk kembali kepada pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan seutuhnya adalah sebahgian dari mesej yang penting yang akan dibawa oleh TERAS.

 

Kami menegaskan bahawa bangsa Melayu perlu kepada pengupayaan yang besar dalam merealisasikan perubahan . TERAS cuba memperkenalkan konsep pengupayaan ini sebagai suatu lonjakkan dan anjakan untuk memulih daya tahan dan daya tindak bangsa ini.Upaya untuk bertindak membentaras segala yang jelek pada diri bangsa ini disamping memperkukuhkan daya tahan dari asakan budaya luar yang meruntuh nilai dan jati diri bangsa Melayu tidak dapat ditunda lagi . Gerakerja TERAS akan melibatkan cendikiawan , ulama , pemimpin akar umbi , ahli professional , golongan sasterawan , pentadbir dan pengurus , ahli media dan seniman , mahasisiwa dan pendidik , ahli politik dan pemikir dan mereka ini hendaklah bergabung tenaga untuk menjayakan proses transformasi budaya ini yang dihajati oleh TERAS .Kami menyenaraikan dengan jelas pengukuhan budaya dan bahasa yang bagaimana yang diinginkan oleh TERAS untuk didokong bersama oleh pihak-pihak yang lain:

  • Budaya bekerja yang bersungguh dan komited
  • Budaya berkorban dan kerja sukarela yang tinggi
  • Budaya berinisiatif untuk berusaha tanpa banyak alasan
  • Budaya tidak toleran dengan kemungkaran dan kepalsuan
  • Budaya disiplin dalam apa sahaja amanah yang diberikan.
  • Budaya hidup sederhana sehingga sanggup menolak kesenangan yang melekakan.
  • Budaya kerja yang rapi dan sistematik
  • Budaya hidup bangsa Melayu yang kaya dengan tradisi sendiri
  • Budaya yang murni didasari oleh falsafah dan konsep hidup Islam berteraskan Tauhid
  • Kesungguhan terlibat memartabatkan bahasa Melayu ke status yang bermaruah.
  • Bersungguh memperjuangkan bahasa Melayu sebagai agenda penting dalam proses binaan negara.
  • Keterlibatan yang istiqamah untuk memprjuangkan nasib bangsa yang terpinggir untuk mengujudkan keadilan sosial yang praktis

 

Lantaran itu apa yang hendak digerakkan oleh TERAS dalam bentuk program nyata ? . Kami kini sedang meransangkan gerakan penyedaran dan pengupayaan yang merentas segala aspek pembangunan bangsa. Dari program bersifat turun ke lapangan umat sehinggalah mendidik masyarakat untuk bertindak.

 

Dalam jangka masa panjang kami memperkenalkan suatu kempen menjamin masa depan generasi tunas iaitu Kempen Selamatkan Zuriat Kita dan Program Masa Depan Penuh Harapan. Diharapkan pendekatan mendidik setiap pasangan ibubapa Melayu untuk memberi perhatian kepada generasi muda dari dirosakkan oleh pelbagai unsur yang melingkari kehidupan dapat disegarkan.Sebagai kemuncaknya kami akan cuba menggerakkan sebuah Gerakan Pemulihan Keluarga Melayu..

 

Dalam hal pendidikan kami akan menghidupkan kecintaan remaja kepada budaya ilmu melalui Kempen besar-besaran bersama sebuah NGO rangkaian TERAS bergelar IMPAK iaitu program ‘Malaysia Membaca’ .

 

Dalam hal pembinaan generasi belia kami menggerakkan beberapa wadah yang akan membina keyakinan mereka untuk menyumbang dan berbakti kepada masyarakat iaitu program Angkatan Remaja TERAS (ARUS), Angkatan Remaja Alam Sekitar (ARAS), Gabungan Remaja Wanita Islam Dinamis (GADIS).

 

Khusus untuk membantu dan membimbing golongan pekerja kami mengujudkan Unit Bimbingan Pekerja (UBP) dan Perkumpulan Tenaga Pekerja Wanita Indonesia (PERTIWI) .

 

Sebagai usha membenteras tabiat yang merugikan bangsa kami mengujudkan Rangkaian Qariah tanpa Rokok (RQTR) , Kempen Membenteras Arak ,Judi dan Pornografi.

 

Untuk menyelamatkan sekolah agama rakyat kami mengemblengkan terus wadah Gerakan Bertindak Umat Selamatkan SAR (GEGAR) dan demi mempertahankan tanah milik Melayu kami ketengahkan Kempen Selamatkan Tanah Melayu melalui Majlis Bertindak Tanah Melayu.

 

Kerihatinan TERAS kepada pentingnya pendidikan undang-undang Syariah merangsang kami untuk mengenengahkan Institiut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia.

 

Manakala fokus khusus kepada kaum wanita mencetuskan idea untuk kami mengujudkan Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia dan membantu HalEhwal Wanita Merbok.

Untuk memperjuangkan konsep pembangunan mapan kami membina beberapa fron untuk menyuarakan persoalan alam sekitar iaitu Angkatan Sahabat Alam Sekitar (ASAS) , Sustainable Pendang (SUSPEN) dan Kumpulan Prihatin Alam Sekiatar Darul Aman (ALAM).

 

Untuk memastikan TERAS tidak ketinggalan dalam berperanan di arena antarabangsa kami mengambil insiatif untuk menubuhkan Malaysia-Thailand Action Committee for Peace , Justice and Democracy , Humanitarian and Environmental Disaster Fund (HELP International) , Asian Muslim Action Network (AMIN).

 

Kami juga terlibat untuk membantu beberapa NGO antarabangsa di rantau ini iaitu Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) , Asia Pacific Research Network , Social Watch Asia , Global Alcohol Policy Alliance , South East Asia Tobacco Control Alliance dan Citizens International.

 

Dengan itu kami merasakan sudah sampai masanya TERAS didokong oleh semua pihak yang bercita-cita untuk mengujudkan dunia dan masyarakat yang lebih adil berteras nilai dan ajaran Islam spenuhnya.

 

Kepada TEMAN-TEMAN yang sudahpun berkecimpung dengan TERAS kami rakamkan “Allah sahaja yang layak mengganjari jasa kalian”. Kepada yang baru hendak berjinak-jinak dengan TERAS “ayuh marilah kita bergabung tenaga menyinsing lengan , sesungguhnya. lautan perjuangan ini tersedia untuk kalian berenang , berjuang atau tenggelam dalam arus ombak yang lebih parah dari fenomena tsunami.

 

Allahu Akhbar

 

1 Muharram 1426 H / 10 hb Feb.2005

Merbok

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 345,566 hits
Kalendar
November 2017
I S R K J S A
« Mac    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  
%d bloggers like this: