“Memungkinkan yang tidak mungkin…”

Apakah yang lebih nikmat dari kehidupan yang selesa dan serba cukup. Sememangnya ini idaman semua. Namun inilah yang kian menjadi hampir mustahil bagi sebahagian besar masyarakat. Bukan kerana mereka malas dan berat tangan untuk berusaha akan tetapi kerana sememangnya keadaan yang ada tidak mengizinkan mereka mengecapi hidup seperti mereka yang sudah sedia kaya . Malah sekadar untuk hidup sahaja tidak berkemampuan.

 

Seperti persepsi biasa golongan terpinggir ini sering dijulukki dengan sikap secupak menunggu menjadi segantang. Masalahnya untuk mendapat secupak itu sendiri tidak mungkin. Kerana yang sudah menikmati segantang itupun mahu terus mendapat seguni!

 

Sebenarnya bukan kerana mereka memang kaki bermenung dan berpeluk tubuh sepanjang hari , namun kerana mereka dipaksa hidup dalam keadaan yang tidak memungkinkan mendapat peluang untuk keluar dari kemiskinan yang mencengkam.

 

Bukan juga kerena mereka hanya pasrah kepada nasib tetapi kerana akses mereka kepada sumber sering terhalang kerana ada puak yang menguasai segala-galanya.

 

Kami melihat ujudnya sebuah realiti yang memaparkan dua situasi masyarakat antara gelap dan bercahaya , antara peluang dan putus asa , antara harapan dan ketiadaan masa depan. Yang gelap terus gelap , yang putus asa bertambah merana dan tiada masa depan. Buah simiskin tiada kelihatan mereka punya kemungkinan untuk merubah keadaan.

Sementara ada golongan yang berkais pagi belum tentu makan petang , bersusah dahulu belum tentu senang kemudian, pertentangan antara yang cukup berada dan meraka yang hampir tiada apa-apa adalah sangat menyengat sanubari. Kenapakah yang kaya itu sahaja yang serba betul dalam beralasan manakala yang miskin itu selalu dipersalahkan ketika menyatakan perasaan. Tidakkah yang kaya itulah yang banyak menghambat peluang simiskin untuk menukar nasib malang yang dialami mereka selama ini.

 

Dari sebuah rumah 500 kaki persegi untuk 7 orang sekeluarga yang disara oleh situkang kebun dibanding 500 kaki persegi hanya bagi bilik air rumah seorang ahli korporat kaya, apalah yang terdaya dibuat oleh simiskin untuk mengurus rumahtangga yang cemerlang seperti yang kerap dilaungkan oleh ahli motivator tanah air . Dengan hanya bergantung air perigi dan parit untuk membasuh dan minum bagi anak cucu Pak Kasa di ulu kampong berbanding Datuk Raof di kamar mandi yang lengkap dengan alat pemanas air dan tandas curah automatik bersama pili bersalut keemasan dan “Bathtub” untuk berendam sehari suntuk dengan air sabun berbuih di mahligai 10 biliknya , apalah yang terdaya dibuat oleh generasi Pak Kasa untuk membina modal insane bagi cucu cicitnya.

 

“Bukankah semuanya diberi peluang berusaha” kata mereka yang merancang di Putrajaya , pusat pentadbiran serbamewah Negara yang ghairah dengan RMK yang sarat dengan sasaran angka pertumbuhan itu dan ini serta peruntukan berbilion ringgit. .“Bukankah ini rezeki masing-masing “ berhujah mereka lagi. “Bukankah yang berjaya akan bertambah berjaya kerana kuat berusaha dan simiskin terus terbelengu miskin kerana malas berkerja” simiskin dituding terus . “Simiskin semakasekali tidak boleh rasa marah kepada sikaya, jauh sekali menyalahkan orang lain” sikaya tetap berhujah mempertahankan status-quo.

 

Oleh yang demikian bila yang kaya semakin jauh jaraknya dengan simiskin , simiskin itu hanya harus menerima ini sebagai sebuah realiti. Jangan dipersoal. Jangan digundah-gelanakan. Betapapun simiskin merasa perit untuk menjamin sesuap nasi untuk satu hari , merasa pedih untuk mencukupkan belanja untuk anak yang sederet , merasa resah untuk memikirkan apakah salasilah keturunannya akan terus hidup sekadar cukup makan , golongan yang sedia senang dan bertambah kaya mengatakan inilah realiti dan ia adalah kelaziman sebuah hidup yang lumrah.

 

Soalnya kenapakah ini dizinkan berlaku? Kenapa yang kaya sahaja berhak untuk hidup sedemikian rupa padahal terdapat ramai golongan yang lapar dan hidup berkais pagi , dan berkais petang. Adakah adil sebuah masyarakat dibenarkan mengiakan sikaya membolot semua dan simiskin mengemis sampai bila-bila. Apakah boleh kita membenarkan ini sebagai realiti yang tidak perlu diubah?

 

Kritikan kita terhadap masyarakat yang membenarkan jurang sosial (social disparity) sebagai sebuah fenomena lumrah , dengan membiarkan golongan berada boleh sahaja hidup serba mewah mengikut sekehendak hatinya manakala majoriti yang miskin perlu bekerja sekuat mungkin untuk sampai ketaraf hidup sikaya , adalah suatu kepincangan yang perlu diperbetulkan.

 

Disamping kita tidak menafikan hak sesiapa untuk menjadi kaya , namun sistem yang membenarkan jurang sosio-ekonomi yang melebar dalam masyarakat sehingga berlaku kecemburuan sosial tidak dapat diterima.

 

Mana mungkin segelintir masyarakat enak hidup dalam kekayaan sebagai produk sebuah sistem yang pro-orang kaya manakala ujud orang kebanyakan dalam keadaan susah dan berjuang untuk menyambung hidup buat mengisi perut dari hari ke hari terus berleluasa. Adakah realiti ini boleh diterima sebagai sebuah ketentuan azali? Ataukah kita telah membenarkan keujudan sebuah sistem yang mengabsahkan ketidakadilan atas nama taqdir?

 

TERAS ingin bekerja untuk mengujudkan sebuah pemaparan dan perubahan realiti sekaligus mengutarakan kritikan sosial bertujuan untuk mencelikkan masyarakat kepada dua jenis dunia yang hidup dibawah sistem dan wilayah yang sama .

 

Kami cuba menunjukkan betapa budaya hidup golongan mewah dan atasan mengecapi segala nikmat kehidupan yang serba ada , manakala sebahagian besar masyarakat hidup sekadar untuk cukup makan , dan tidak kecil bilangan yang hidup untuk “survival”.

Setelah itu harus tercetus pula dalam benak setiap pembaca buku ini untuk melalui sebuah proses analisis sosial yang kritikal dan menggerakkan transformasi kesedaran yang total untuk menyertai sebuah perjuangan sosial untuk keadilan yang didambakan oleh rakyat tersisih dalam sesebuah Negara yang dibanggakan ini.

 

Buku ini wajar dibaca oleh semua peringkat masyarakat semada aktivis NGO , golongan berpendapatan rendah diseluruh Negara , ahli perancang pembangunan , ahli akademik , kelompok pengubal undang-undang , ahli agama , mahasiswa , peneliti dan pengkaji sosial.

 

Kami berpendapat bahawa jurang kaya-miskin , berada dan tidk punya , berkemampuan dan tidak bermaya hendaklah dihapuskan. Kerana ini akan melahirkan sebuah pengkastaan masyarakat yang tidak dibenarkan oleh Islam.

Dengan yang demikian TERAS menyeru semua Teman agar berjuang untuk mengujudkan masyarakat yang lebih adil , saksama dan berasaskan sedikit dicubit bersama dan banyak dimamah beramai-ramai.

TERAS berasa sangat tidak senang dengan kepincangan yang dijelmakan dalam bentuk ketidakadilan dalam sistem hidup sekarang . Mana mungkin kita boleh membiarkan ujud ramai manusia yang hidup berpanjangan atas belas kasihan manakala segelintir pula hidup bermewah-mewahan tanpa peduli. Mereka yang senang itu bersenang lenang di atas keringat simiskin yang menjadi kuli sampai bila-bila.

Adalah sangat tidak wajar sebuah sistem yang mengizinkan jarak kualiti hidup antara yang miskin dan yang kaya yang semakin melebar dibenarkan. Perjuangan TERAS adalah untuk merubah sistem yang ada , bukan hanya menempel ruang kerosakan yang sebenarnya berpunca dari sistem yang sememang melahirkan kerosakan itu sendiri.

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031