MENANGANI KEMELUT UMAT MELALUI TRANSFORMASI BANGSA MELAYU

 

Mohd Azmi Abdul Hamid

Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan TERAS Ke 8

1 Muharram 1427

Sg.Petani, Kedah

Dengan penuh kesedaran dan rasa sangat peka akan kedatangan 1427 Hijriah pada saat ini, kami menyambut kehadhiran suadara-saudara kaum Muslimin bangsa Melayu di Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan buat kali ke 8. Penghargaan dari kami yang tidak terhingga di atas segala sokongan dan dorongan yang diberi oleh teman-teman aktivis dan para simpatisan  TERAS dari seluruh Negara yang telah berkorban masa dan tenaga untuk bersama-sama sebagai sebuah  saf dalam gerakan TERAS bagi  merealisasikan sebuah perjuangan yang tidak mungkin punya titik hentinya.

 

Sememangnya 7 tahun yang lalu dengan sengaja kami memileh 1 Muharram  sebagai tarikh lahir TERAS sebagai menyemangati mesejnya yang sangat luar biasa kesannya kepada proses transformasi dan destinasi kehidupan manusia. Pengajaran Hijrah itu sangat revolusioner dan sarat dengan kesan dan pesan yang boleh diambil untuk memulihkan kemelut bangsa dan umat yang sedang dialami waktu ini. Hijratur Rasul bukan sebuah perjalanan biasa, jauh sekali sebuah pelarian. Akan tetapi sebuah kelahiran dan sebuah pembinaan. Oleh sebab itu TERAS telah melalui waktu hamilnya yang agak lama iaitu hampir 8 tahun sehinggalah ia lahir secara formal tepat 1 Muharram 1419H.

 

Selayaknya kita menyambut hari Hijratur Rasul ini sebagai  hari penggerak, hari muhasabah dan hari mencatat amal yang lalu, hari menyemat azam dan memeta langkah untuk hari mendatang. Sebagai seorang Muslim-mu’min kita sering dingatkan akan tanggungjawab kita yang berat sementara hari-hari menuju penghisaban sudah semakin dekat. Beruntunglah orang-orang  yang punya kesedaran yang dengannya akan mencermati kehidupan dengan ingatan bahawa amanah Allah S.W.T. perlu segera diselesaikan sebelum sampai masanya ketika setiap orang itu akan melafazkan “Ya Tuhan kami, kini telah kami lihat dan telah kami dengar, maka kembalikan kami ( ke dunia), untuk kami beramal soleh, sesungguhnya kami kini baru yakin (dengan apa yang telah dijanjikan oleh Allah )”, padahal peluang kedua tidak mungkin ada.

 

Setelah 1,427 tahun berlalu kita menyaksikan zaman kegemilangan kaum Muslimin yang kini  semakin pudar nurnya dan pada saat ini sedang sirna. Keadaan umat Islam yang sangat mencemaskan tidak dapat dielak dari diperakui oleh semua kelompok yang maseh lagi ada rasa cinta kepada Islam. Bukan sahaja  kita sedang menyaksikan umat Islam kini semakin menjarak dari panduan hidup Islam akan tetapi, sebagai akibatnya, kita sedang melihat tamadun umat yang pernah menjadi guru dunia sedang menggelungsur ke juram kehinaan yang sangat parah.

 

Bermula dari ujudnya kelemahan ekonomi sehinggalah pemerintahan yang tidak menyuburkan penyertaan aktif golongan awam untuk membina kemajuan bersama, umat dikebanyakkan Negara-negara umat Islam sering menghadapi peminggiran dan penyisihan oleh golongan elit pemerintah yang autokratik dan kuku besi. Malah lebih menyayatkan hati lagi ramai kelompok aktivis Islam yang ditahan  tanpa bicara, sehingga ada yang diseksa dan dibunuh. Sementara itu rasuah yang menggejala dikalangan pemerintah umat sedang menunjukkan kesan sosio-ekonominya yang semakin parah. Jurang kaya miskin akibat pembolotan dan penyaluran kekayaan Negara kepada meraka yang berkuasa dan yang sedia kaya adalah natijah dari kepincangan ini. Di kebanyakan kerajaan umat Islam kita melihat status pembangunan manusia yang diperlihatkan dalam UN Human Developemnt Report sangat tidak selesa. Keperluan asasi seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, makanan dan kemudahan asas tidak terpenuhi lantaran sistem pemerintahan yang tidak mesra rakyat. Sebarang suara protes sering berhadapan dengan kekerasan pihak keselamatan dan srategi memburuk-burukkan penentang digembar-gemburkan lewat media.

 

Manakala dikalangan Negara Muslim yang dicerobohi seperti Palestin, Checnya, Kashmir, Afghanistan dan Iraq kesemuanya berhadapan dengan perlanggaran hak asasi manusia yang sangat kejam. Jutaan umat Islam di negara-negara ini sedang berada dalam keadaan yang sangat tenat. Rumah mereka dihancurkan, kebun dimusnah, bekalan makanan dan ubatan disekat, kanak-kanak dan orang tua dan wanita dibunuh. Fenomena panahanan, penyeksaan dan pembunuhan adalah antara berita yang lazim didengari.

 

Manakala di Thailand Selantan, Mindanoa, Myanmar, Kemboj, Cina, malah di Eropah umat Islam yang minoriti sedang ditindas dan diskriminasi serta ditekan oleh pihak keselamatan. Penahanan dan penculikan pejuang-pejuang Islam adalah operasi biasa yang didengari.

 

Lebih menyedihkan lagi ialah keadaan kaum Melayu yang diberi amanah Islam yang sangat besar di rantau ini juga memperlihatkan kemelut yang bukan alang kepalang. Keterbelakang dalam status ekonomi, kerosakan akhlaq anak muda, kelunturan instusi keluarga, penghakisan tanah milik Melayu, peminggiran dan pencemaran budaya bangsa, pelemahan dan penyisihan kedudukan bahasa Melayu, kepincangan kepimpinan, ketidakberkesanan agensi Melayu, kelesuan organisasi masyarakat, perebutan kuasa politik, pengukuhan sindrom kebergantungan dan feudalisme, kehilangan motivasi diri, ketidakyakinan kepada Islam dan kesesatan faham-faham serta pemikiran Islam yang dibawa oleh golongan sekularis dan liberalis adalah antara kepincangan bangsa ynag sedang disaksikan.

 

 

Apakah dari sudut ekonomi mahupun sosial dan politik, kualiti kehidupan bangsa Melayu pada keseluruhannya sedang mengggambarkan  kelunturan kekuatan yang semakin meresahkan.

 

Kemelut yang sedang kita saksikan kelihatan merentas hampir semua aspek sehingga bangsa ini semacam tidak bermaya untuk mengatasi masalah dari dalam dirinya. Sementara kita sering mengungkap akan kepincangan dari sistem yang sedang mengepung diri dan masyarakat Melayu, namun kita tidak dapat menafikan kelemahan dan kealpaan bangsa ini yang berpunca dari dalam diri bangsa itu sendiri. Sebab itu TERAS menjadikan ayat ke 11 dalam Surah Ar-Raad  sebagai peringatan sekaligus kesedaran yang penting untuk kita melihat diri kita dari bola mata yang menyuluh ke dalam agar dapat kita memeta langkah pemulihan yang lebih berkesan bagi membentaras kepincangan yang datang dari luar.

 

Demikianlah pertemuan kali ini kami memutuskan untuk menyampaikan mesej yang bertumpu kepada persoalan bagaimana kemelut bangsa dan umat ini perlu diusahakan dengan mengembalikan kekuatannya dari dalam. Dengan tidak menafikan kita tetap akan terus sensitif dan akan bersikap siapsiaga untuk bertindak bila umat dan bangsa kita di perlakukan secara zalim dan apa sahaja tindakan yang  memperlakukan kita secara tidak layak dan mendatangkan kerugian serta melemahkan kita , maka kita pasti akan bangkit dan memberi respon sewajarnya. Kami ingin menyatakan ini kerana sememangnya sebagai sebuah bangsa yang bermaruah kita tidak akan membiarkan diri kita diperbodoh dan diperguna orang semahunya.

 

Akan tetapi diri kita juga sewajarnya insaf betapa diri kita yang sudah  dijangkiti penyakit yang menghinggap dari luar yang kini menjalar ke dalam yang bersifat kekacauan dalam nilai , kekeliruan dalam pemikiran , kelesuan dalam sikap , kelunturan dalam disiplin dan pencemaran dalam spiritual , semuanya bergabung dan bernatijah dalam bentuk kelemahan dan kepincangan sebuah bangsa yang sangat gawat.

 

Soalnya bagaimana seharusnya kita bermula dan dimana sewajarnya kita bertolak. Kami tidak mencari jawapan seolah-olah kita sedang mengalami tragedi meraba-raba persis penyakit orang Barat yang telah dan terus mengalami keadaan yang sesat tak berhujung. Kami yakin benar bahawa walau apapun disifatkan manusia kini sedang berada dikemuncak kemodenannya sehingga ada lagi yang menyatakan kita sedang melalui era pasca modernisme , kami semakin tahu dan insaf bahawa kita bukanlah sebuah kaum yang tiada petunjuk penyelesaian. Sebagai sebuah bangsa yang sudah serasi dengan nilai dan petunjuk Islam , kita pasti berpendirian bahawa kita harus bermula dengan mengembalikan diri kepada Islam dan harus bertolak dari menyegarkan semula keIslaman kita jua. Yang sepatutnya menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana kita bergerak menuju dan mengikut tabiat dan sifat perubahan yang dibawa oleh Rasullulah s.a.w sebagai guru insan yang dipandu oleh petunjuk Illahy itu.

 

Kami senaraikan 12 langkah untuk merealisasikan usaha ini yang diharap memberi sebuah rangsangan yang diperlukan oleh setiap aktivis yang memerlukan penyegaran untuk melaksanakan amanah besar ini.

 

1.Pembentukan karaktor diri bangsa.

 

Sebagai permulaan yang jelas semakin terhakis ialah karaktor KeIslaman kita sebagai sebuah bangsa yang terjalin dalam keluarga besar umat Islam.Yang berlaku ialah pudarnya watak KeIslaman kita dalam kehidupan seharian sehingga yang cuma tinggal hanya watak minimal seorang Muslim iatu nama. Dengan yang demikan kita seharusnya bekerja untuk membina semula dan memperkukuhkan aspek keperibadian kita yang meliputi soal cara bergaul , cara bertutur , cara mengurus kehidupan , cara bersosial , cara berpakaian dan semua yang mengambarkan secara murni akan jati diri kita sebagai seorang yang berbangsa Melayu beragama Islam.

 

2.Membangun daya intelektual

 

Kita seharusnya bekerja untuk membina kekuatan daya intelektual kita kerana inilah yang melambangkan kita sebagai umat yang hidup berteraskan ilmu yang benar dan tepat. Sebagai sebuah bangsa  kita perlu memberi kepentingan yang utama kepada soal keilmuan. Budaya ilmu yang menjadi asas kegemilangan umat yang lalu sewajarnya disegar dan disebatikan semula dalam proses pemulihan bangsa dan umat ini. Lantaran itu kita tidak punya pilihan selain dari menggerakkan kembali keghairahan kepada ilmu semurni dan setulinnya. Disamping itu gerakkan menyekat aliran dan budaya yang mencemar dan melekakan bangsa dengan bahan murahan seperti yang dapat dilihat dipasaran harus diperangi. Golongan ilmuan Islam dalam pelbagai bidang perlu meningkatkan kecenderungan dan keghairahan  untuk mahu menguasai ilmu . Keghairahan untuk menyuburkan budaya ilmu disemua peringkat bangsa dan umat perlu disegerakan.

 

3.Memerdeka bangsa dari kerosakan sosial

Hambatan besar yang sedang terbeban ke atas bangsa dan umat sehingga tidak mampu melonjak naik ialah kerana faktor yang meruntunkannya ke bawah dengan segala penyakit sosial yang sedang mendominasi hidup bangsa dan umat ini. Kita harus peka dengan pelbagai gejala negatif sosial yang melemahkan pemacuan untuk umat membangun. Kita tidak ada pilihan melainkan kita perlu mengembleng seluruh tenaga memerdekakan diri kita dari kepincangan dan kebejatan ini. Apakah ia gejala yang berkait dengan dadah atau  judi , pelacuran , bahan porno , berpeleseran , rasuah , arak , sumbang mahram , jenayah , bersekudukan , budaya berhutang , tabiat berbelanja , budaya konsumerisme …semua ini perlu diperangi habis-habisan. Hanya dengan memerdekakan bangsa dari penyakit-penyakit ini kita dapat menyuntik motivasi dan keghairahan mencapai al falah dan menyertai proses al-islah sehingga bangsa ini dapat memacu ke arah kegemilangan dan keunggulan.

 

4.Memperkasa organisasi masyarakat

 

Suatu kelemahan yang nyata ialah wujud suatu penyakit keorganisasian masyarakat yang lemah dikalangan umat Melayu. Kelemahan ini tidak  memungkinkan kita menyusun gerakerja pemulihan yang berkesan. Faktor kurang tersusun dan lemah daya usaha dari masyarakat itu sendiri menyebabkan umat Melayu tidak mampu melonjak sebagai bangsa yang berjaya. Sindrom menunggu semuanya dari pemerintah dan semuanya dari orang lain adalah sangat melemahkan. Berbanding dengan komuniti kaum Cina yang tidak bergantung kepada bantuan pemerintah , masyarakatnya  sangat berinisiatif dan penuh daya bergerak sendiri untuk memajukan kaumnya.Lihatlah pelbagai institusi dan organisasi masyarakatnya yang diujud dan dibiayai oleh masyarakatnya sendiri. Dari hospital , sekolah , kolej, perumahan , institusi kebajikan , rangkaian ushawan sehingga persoalan kebudayaan , mereka nampak berdikari dan mandiri. Dengan yang demikian bangsa ini perlu digembleng untuk menilai dan memperkemaskan gerakan keorganisasiannya dalam semua bidang. Segala syarat kejayaan sebuah bangsa yang bebas dari bergantung kepada bantuan dan sokongan pemerintah perlu dibina jika kita mahu berjaya melepaskan diri dari diperalat oleh orang lain.

 

5.Ketrampilan Ekonomi mandiri

 

Kekuatan yang tidak kurang penting yang perlu diberi perhatian serius ialah kekuatan ekonomi. Lantaran kebergantungan umat Melayu kepada ekonomi orang lain menyebabkan umat Melayu tidak berdaya mempertahankan haknya. Kelemahan seperti ketidakdispilinan pengurusan kewangan , perpecahan ekonomi antara umat Melayu , tiada kerjasama dan tidak saling membantu sesama bangsa Melayu dalam hal ekonomi, menyebabkan umat Melayu terus lemah dan tidak terdaya meningkatkan martabat ekonominya. Bukan sahaja soal kecekapan pengurusannya yang perlu diperbaikki malah budaya menguruskan kewangan diperingkat peribadi dan keluarganya juga perlu diperkemaskan. Ertinya bangsa ini perlu dibudayakan dengan disiplin meningkatkan kemahiran hidup untuk menyara diri sekaligus melazimkan diri dengan displin hidup yang cermat dan sangat berhati-hati dalam berbelanja. Tidak membazir , kuat menyimpan , berhati-berhati dalam membeli , hidup dengan keperluan yang sangat sederhana adalah antara tabiat yang akan memberi kesan ekonomi yang sangat besar.  Tatkala orang Melayu  berjimat dan sederhana dalam kehidupannya yang ada kaitan dengan kewangan , kemandirian ekonomi akan tercapai. Sementara itu semangat untuk meningkatkan kemahiran menyara diri dalam sebanyak mungkin bidang perlu dikembangkan. Jangan ada dan sebenarnya tidak patut ada , pengganguran orang Melayu . Mana mungkin yang dikatakan ini adalah tanah tumpah darah kita  , ini adalah tanah air kita , tiba-tiba orang lain yang menguasai sumber ekonomi , orang lain yang lebih mampu menyara hidup sendiri , orang lain yang dapat menghidupkan tanah yang terbiar yang asalnya kepunyai kita.

 

6.Mengukuhkan budaya kerja

 

Suatu aspek yang perlu kepada pembaikan yang serius ialah dalam hal budaya kerja. Sesungguhnya intergriti umat Melayu dalam hal disiplin dan etika bekerja sering direndah-rendahkan oleh pihak lain.Sementera ada kes-kes diskriminasi yang sengaja dikenakan oleh pihak-pihak yang cemburu dan menyimpan perasaan perkauman chauvionis terhadap bangsa Melayu , kita juga tidak harus menolak bahawa ada kelemahan yang perlu diperbaikki pada diri umat Melayu itu sendiri. Kesungguhan , ketekunan , ketelitian dan kedisplinan , kejujuran  adalah antara budaya kerja yang sangat diperlukan jika umat Melayu mahu maju ke hadapan. Kita perlu menekankan nilai etika kerja Islam dalam semua gerakerja kita dan  dalam semua bidang dan pada setiap masa. Kecuaian , budaya kerja bersahaja , tidak serius , kurang amanah , khianat , leka , tidak teliti , mengelak tanggungjawab , sombong dan angkuh , tidak bekerjasama , asal buat , menyalahguna kemudahan …. semua ini perlu dikikis dari menjangkiti petugas dikalangan umat Melayu. Hanya dengan meningkatkan etika , akhlaq dan rasa hadhir Allah dalam setiap tingkah laku kita , bangsa Melayu dapat dipulihkan dari sebarang sindrom yang melemahkan ini.

 

7.Memurnikan kepimpinan bangsa.

 

Persoalan kepimpinan adalah rukunnya keselamatan dan kesejahteraan sebuah bahtera bergelar Negara. Manakala kepimpinan rosak maka akan rosaklah umat yang menumpang bahtera itu.Ternyata kepimpinan umat Melayu kini sedang menghadapi kepincangan yang merbahaya. Nakhodanya tidak menunjukkan kekuatan daya kepimpinan yang dapat dicontohi. Bukan sahaja ciri-ciri seorang pemimpin itu yang menanggung beban berat untuk menghayati kepribadian Islam semurninya tidak dapat diterjemahkan malah kepimpinan bangsa ini maseh belum menyerlahkan halatuju dan matlamat kepimpinan yang murni. Jelas kerja berat bangsa ini adalah untuk melahirkan kepimpinan yang berjiwa dan berkeperibadian murni. Bahawa kita tidak punya pilehan melainkan kita seharusnya berusaha kuat agar kepimpinan Melayu benar-benar bercirikan kepimpinan Islam seutuhnya. Kepimpinan umat Melayu semestinya mempunyai kewibawaan dan reputasi sebagai kepimpinan yang bersih dari penyakit paling berat yang sering menguji kepimpinan Melayu iaitu korupsi , salahguna kuasa , mengelompok kekayaan untuk keluarga sendiri dan amalan kronisme serta menindas pihak lawan untuk mengekalkan kuasa.Kepimpinan umat Melayu diberbagai peringkat semada dikalangan yang memegang kuasa esksekutif  legislative mahu judikatif kini nampaknya menjadi kerasahan dan  sering menjadi penyebab kepada tersisih dan menderitanya umat Melayu. Oleh itu kita harus bekerja keras agar dapat memperbetulkan keadaan kepimpinan yang sedia ada semada dengan menegur dan berani menyatakan yang salah itu salah atau menyingkirkan mereka dari tampok pemerintah sekaligus menjana kepimpinan umat Melayu yang lebih siap memikul amanah kepimpinan yang lebih jernih dan murni.

 

8.Mencemerlangkan pendidikan bangsa

 

Aspek pendidikan adalah terasnya kepada usaha melonjakkan martabat bangsa. Namun persoalannya adalah , pendidikan yang  jenis dan bercorak apa yang boleh menjayakan matlamat kita? Kita melihat , yang dikatakan pendidikan moden kini tidak melahirkan insan   Melayu yang benar-benar akan menjadi warga yang berguna dalam ertikata setepatnya. Selain hanya menjadi manusia karieris kebanyakan graduan ratusan ribu anak bangsa maseh hanya mampu menjadi manusia untuk manfaat dirinya sahaja tetapi tidak berjiwa sosial yang tinggi. Bukan sahaja bangsa ini ketandusan manusia yang keluar dari  pendidikan yang boleh melahirkan umat yang boleh berfungsi memimpin dan mengasuh bangsa , malah pendidikan yang ada maseh gagal meningkatkan kualiti ilmu dan terjemahan ilmu itu sendiri untuk dimanfaat oleh masyarakat. Oleh yang demikan kita perlu memberi kesan kepada jenis dan bentuk pendidikan yang benar-benar dapat menjana kualiti Melayu dan umat yang lebih unggul. Sementara sistem pendidikan perlu kita perbetulkan , kita juga secara praktikal perlu memastikan kualiti pembelajaran dan disiplin belajar  dikalangan anak-anak dan para pendidik  Melayu disemai dengan bersungguh-sungguh. Adalah amanah yang sangat besar kepada kita untuk memastikan anak-anak bangsa ini mampu menguasai ilmu di peringkat apapun dan kita harus bekerja keras lagi agar semua pihak termasuk ibubapa dan masyarakat berperanan supaya anak bangsa kita menelurkan kecermelangan yang kita idamkan.

 

9.Memperkukuh kesatuan bangsa

 

Sebagai suatu kekuatan umat Melayu perlu disatukan dalam kerangka sebagai umat Islam seluruhnya. Sementara kita perlu meruntuhkan dinding sempadan yang memisahkan sesama kita dikalangan orang Islam , kita juga perlu menyatukan bangsa Melayu di rantau ini atas nama Islam.Sudah sedemikian meruncing perpecahan yang dinatijahkan dari semangat kekelompokan yang sempit sehingga umat Melayu kelihatan tidak bermaya untuk menghadapi cabaran dari luar dengan semangat bersatu. Kita kesal hal ini kerana ia akan melumpuhkan umat Melayu akibat dari kesempitan dan keangkuhan yang tidak terkawal. Kita harus mengusahakan agar perlakuan yang memecahkan antara umat Melayu ini diatasi dengan melalui semangat Islam yang jernih dan mulia. Kita harus menasihati semua aktivis kita supaya kembali kepada Islam sebagai satu-satunya jalan keluar kepada perpecahan yang melebar ini. Anak-anak bangsa ini perlu diakrabkan dengan memastikan mereka menghormati perjuangan bangsanya. Mereka perlu diasuh untuk menghayati sejarah perjuangan untuk membolehkan mereka faham betapa kesatuan umat Melayu dirantau ini amat perlu.

 

10.Mengukuhkan institusi keluarga.

 

Asas kesejahteraan kehidupan insan adalah pada tapak semainya. Demikian tapak semai kita adalah berada di institusi keluarga. Kepincangan dan kebejatan keluarga sering sudah mewajahi bangsa ini. Keruntuhan dan rosak akhlaq dalam keluarga semacam menebar luas bagaikan wabak yang tidak terkawal. Kemahiran mendidik anak-anak nampaknya luntur dikalangan keluarga Melayu. Lantaran itu kita harus memberi tumpuan untuk menyelamatkan institusi keluarga Melayu. Kita harus mendekati sebanyak mungkin keluarga Melayu agar dapat memastikan iklim yang sihat dapat diujudkan untuk melahirkan keluarga sakinah yang diharapkan. Kita perlu mencari jalan dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak semua proses pengukuhan institusi keluarga Melayu diusahakan.

 

11.Mengasuh generasi pewaris masa depan

 

Generasi pewaris dikalangan kelompok muda adalah aset besar buat mana-mana bangsa . Gagal kelompok ini adalah alamat bencana buat bangsa yang berkenaan . Lantaran itu kita semestinya perlu memastikan agar usaha bersungguh mendidik genarsi pewaris benar-benar dibentuk supaya generasi penyambung ini akan dapat dijana buat masa depan . Segala ciri-ciri yang perlu ditanam dalam pemikiran dan jiwa yang dapat diterjemah dalam kehidupan seharian dikalangan mereka perlu dilakukan. Kita perlu memastikan generasi muda kita tidak dirosakkan terus oleh arus tamadun syaitaniyyah yang semakin bergelombang yang  akan menghancurkan masa depan bangsa. Sementara pendidikan formal di institusi sekolah perlu diperkemaskan , pendidikan diluar sistem persekolahan seharusnya juga diperkukuhkan. Oleh kerana itu institusi keluarga dan organsiasi masyarakat perlu berusaha bersungguh-sungguh emndidik kelompok ini  agar arah tuju anak-anak baangsa dapat dijamin boleh mengambil tempat dan menyambung perjuangan ini. Kita semestinya  perlu bekerja keras membanteras kebejatan dan keliaran yang sedang melanda gaya hidup anak muda sekarang. Gagal kita melakukan ini akan menandakan bangsa ini tidak punya harapan untuk dipulihkan lagi.

 

12.Memerangi budaya feudal dan hidup bergantung.

 

Suatu sikap dan kecenderungan yang mewabak dikalangan umat Melayu ini adalah budaya feudal dan hidup bergantung yang sangat parah. Harus ada usaha yang bersungguh untuk memecah persoalan ini  agar umat Melayu benar-benar merdeka dari cenkaman yang merantai umat dari menjadi manusia yang bebas dan merdeka dalam erti sebenarnya. Budaya feudal kini meruntun umat Melayu sehingga ia terus terperangkap dalam budaya patuh dan takut. Inilah yang akan diraih kesempatan oleh orang lain yang akhirnya menyebabkan orang Melayu terus berada dalam kepompong yang sempit dan tidak bebas membuat keputusan sendiri. Kami menggesa agar keyakinan diri dan kesedaran yang tinggi dibina dikalangan orang Melayu . Orang Melayu perlu disedarkan mengenai hak dan tanggungjawabnya. Mereka perlu diingatkan bahawa orang Melayu seharusnya mampu tampil menyuarakan haknya dan boleh bersuara untuk memprotes yang salah. Kebergantungan yang keterlaluan akan menyebabkan orang Melayu sering diperkudakan. Kita perlu menanam bibit kemandirian dan semangat berusaha sendiri sehingga tidak terikat dengan segala yang rasa terikat kepada pihak-pihak yang punya kepentingan.

 

Demikianlah transformasi yang diharapkan dapat dibawa oleh setiap aktivis dikalangan umat Melayu.Menjayakan proses ini dengan usaha yang bersungguh akan memberi harapan yang tinggi bahawa umat Melayu dapat dipulihkan.Untuk itu kami menyeru semua umat Melayu agar dapat mengambil semangat Hijrah 1427 kali ini dengan keazaman yang kuat untuk berperanan bertindak memperbaikki keadaan umat .

1 comments on “MENANGANI KEMELUT UMAT MELALUI TRANSFORMASI BANGSA MELAYU
  1. NURUL SYUHADA BINTI ARIFIN . berkata:

    saya suka membaca post ini..sdikit sbyk myedarkan saya selaku ank muda..saya bertrima ksh kpd penulis ini..ilmu dlm diri sy tdk sbyk umur saya lg..insyaallah akn sy usha kn untuk mjdi penyumbang y baik kpd negara.

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031