MENCETUSKAN KEBANGKITAN BANGSA

 

-SUATU PERNYATAAN TERAS

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS Pengupayaan Melayu


Segala puji buat Allah Rabbul Jalil , Yang menetapkan Islam sebagai nur petunjuk buat segala bangsa , mengatur manhaj hidup yang lengkap dan sempurna , sebagai ad-din yang menjamin kesejahteraan dan keselamatan umat manusia  di dunia dan di akhirat.

Selawat dan salam buat junjungan insan terpileh Muhammad Rasulullah s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya yang solehin ,  yang menterjemahkan nur Illahy dalam kehidupan insan untuk memandu umatnya menterjemahkan amanah kekhalifahan.

 

TERAS ingin menyatakan  suatu upaya untuk memperbaikki nasib bangsa. Niat dan iltizam kita sejak asal adalah jelas. Bangsa Melayu perlu segera diperbaikki . Kepincangan bangsa harus terus dirawati . Martabat bangsa harus kembali kepada titik kecemerlangannya yang asal iaitu Islam. Bahawa kita telah bersepakat iaitu yang hendak kita gapai ialah KeIslaman bangsa Melayu didaulat dan diperkukuhkan , Kebangsaan Melayu dimurni dan disemarakkan , Kenegaraan Melayu dipertahan dan dimajukan dan Keumatan Muslimin Melayu dimantap dan dibangkitkan.

 

Berasaskan hajat besar ini , kami menyerankan agar kita melangkah dan memulakan amal memikul amanah bangsa dan umat.  Untuk inilah asas kekuatan kita amat bergantung kepada keupayaan kita melahirkan sebilangan pencinta bangsa dan agama , disusun atur sebagai saf penggerak yang lurus dan kemas , untuk menjayakan sebuah inqalab ( kebangkitan) dan taghir (perubahan)  yang mampu bekerja dengan penuh iltizam merealisasikan hasrat menyelamatkan bangsa dan memertabatkan agama .

 

Mengambil semangat dan jiwa itu maka kami berpendapat perlu dicetuskan sejumlah Penggerak Melayu  sebagai pra syarat meelongjakkan sebuah kebangiktan bangsa. Kami menggelar katakunci “penggerak Melayu” lantaran inilah yang sangat diperlukan jika kita amati nasib dan perjalanan hidup bangsa Melayu masakini. Bagi kami membina sejumlah penggerak Bangsa menjadi prasyarat penting yang tidak boleh diperkecilkan. Bahawa kerja yang sangat berat ini memerlukan kekuatan mental , keutuhan emosi , keampuhan rohani dan ketahanan fizikal yang bukan calang-calang.

 

Kami sedar betapa menjadi seorang  Penggerak Melayu tidak akan disediakan sambutan permaidani merah , hidup santai dengan kesenangan dan keselesaan. Sesungguhnya seorang penggerak kepada sebuah  bangsa yang sedang tenat ini perlu kepada sifat , fe’el dan tabiat yang luar biasa. Sanggup mencekang mata , bersedia berkeringat , mampu berjaga malam , tiada bermasalah hanya hidup dengan sesuap nasi atau berpuasa terus , cukup berkenderaan seadanya dan berumah sekadarnya , tiada selera kepada kesedapan dan kemewahan yang melekakan , siapsaga dipanggil kapan saja dan ke mana saja bila bangsanya dihina dan dikhianati , bila agamanya disakiti dan dicemohi.

 

Dikala kita sedang menyaksikan kemelut bangsa yang semakin meruncing kami  merakamkan keprihatinan terhadap faktor terpenting untuk memperjuangkan masa depan bangsa dan martabat agama iaitu persoalan kepimpinan bangsa.

 

Sejarah Melayu pra penjajah telah merakam  kegemilangan kepimpinan Melayu lewat sejumlah empayar kesultanan Melayu. Keagungan Kesultanan Melayu Islam di Pasai Acheh , Patani , Kedah , Melaka , Riau , Benteng  tidak dapat diperkecilkan. Kerajaan-kerajaan Melayu telah menjulang martabat bangsa sebagai bangsa yang dapat mengenengahkan peradaban tinggi dan menjadi mercu tanda rujukan bangsa lain dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan , pendidikan dan keilmuan, perundangan dan kehakiman , pentadbiran dan sistem pemerintahan.

 

Sementara kita membaca sejarah pemerintahan 7 keSultanan  Melayu yang memerintah selama 111 tahun yang sarat dengan kegemilangan , kita juga tidak dapat memadamkan sejarah konflik dikalangan kerabat penguasa Melayu yang telah mengakibatkan penjajah mendapat kesempatan untuk menjajah tanah Melayu dengan mudah.

 

Tidak dapat dinafikan juga kepimpinan Melayu tercatat dengan zaman perebutan kuasa dikalangan penguasa-penguasa Melayu yang juga  menjadi sebab kejatuhan  orang Melayu sendiri. Persengketaan golongan kraton di Perak , Selangor , Negeri Sembilan dan Pahang di abad ke 19 berakhir dengan British berjaya menguatkuasakan sistem residen dan menyebabkan kuasa raja Melayu tersudut hanya kepada persoalan adat pepatih sahaja. Demikian juga konflik antara Kesultanan Brunei dengan penguasa-penguasa Melayu di Sarawak telah mengakibatkan James Brook mencari kesempatan dan berjaya mengambil kuasa pemerintahan di negeri kenyalang itu  .

 

Jika difikir secara logik tidak masuk akal Negara kecil seperti Portugal dan Belanda yang berbekal hanya beberapa armada boleh  merentas 3 lautan besar dan dapat menawan nusantara Melayu dengan beberapa empayar keSultanan Melayu yang sangat gagah .

 

Sejarah tidak dapat memadamkan catatan tahun 1511 ketika Kesultanan Melaka ditawan oleh Portugal dan kemudian pada 1641 oleh Belanda dan 1874 oleh Inggeris.

 

Barangkali elok kita bermuhasabah  sesudah 50 tahun terlepas dari penjajahan yang memakan masa 446 tahun. Apakah yang menyebabkan bangsa ini kalah kepada kuasa imperialis Barat dalam masa sedemikian lama? Kondisi apakah yang memungkinkan sesebuah pemerintah itu ditawan oleh kuasa lain?

 

Kami dengan ini mengajak semua penggerak bangsa  akur kepada hakikat bahawa jatuh bangunnya bangsa Melayu terletak kepada kualiti kepimpinan yang ditampilkan. Tidak dapat dinafikan bahawa goyah pemimpin , lumpuhlah bangsa . Pincang pemimpin , runtuhlah ummah. Hakikat bahawa kualiti kepimpinan semada bersifat infiraadiyah ( individual) mahupun yang bersifat jamaiyyah (kolektif) menjadi penentu kepada  keutuhan sebuah bangsa tidak dapat diketepikan.

 

Maka  kami membawa judul mencari kepimpinan bangsa berkualiti menjadi sangat mendesak oleh bangsa Melayu abad ke 21 ini apatahlagi jika kita berhasrat memenuhi amanah umat untuk menyerlahkan ‘izzah Islam. Menjadi lebih urgent lagi tatkala wujud semacam suatu kemelut yang kelihatan sangat meruncing dikalangan pencinta bangsa Melayu ini..

 

Dalam persekitaran yang semakin mencabar kami melihat faktor yang akan menjadikan survival bangsa Melayu boleh tergugat atau tidak ialah tatkala kita gagal melahirkan kepimpinan yang sejati. Ertinya sejati dalam akhlaq , sejati dalam berwawasan  dan menjadi teladan dalam semua hal buat diikuti bangsa sendiri mahupun bangsa lain. Ciri ini nampaknya maseh gersang pada bangsa ini setelah diterajui oleh kepimpinan 5 Perdana Menteri. Sungguhpun terdapat beberapa kelebihan dan kelaianan dalam saf kepimpinan mereka , namun yang jelas proses pengukuhan dalaman sebagai sebuah kepimpinan yang sepatutnya menjadi semakin kuat , kelihatan terhakis menjadi kepimpinan yang membuka selera kepada golongan oportunis yang bernafsu materealistik dan individualistik.

 

Oleh itu kami merasakan bahawa tidak ada jalan keluar kepada kucar-kacir kepimpinan bangsa ini melainkan membangkitkan azam untuk menjuruskan semua pihak kepada usaha membina semula dan melahirkan kepimpinan Melayu yang transformasional. Iaitu kepimpinan yang secara murni melihat perjuangan dan pengorbanan sebagai syarat utama untuk memulihkan dengan berbekalkan sifat unggul seoarang pemimpin Muslim sejati sebagai  landasan

 

Sepanjang 2007 negara diwarnai oleh pelbagai peristiwa yang memberi kesan kepada bangsa Melayu . Malah di permulaan 2008 inipun kita digemparkan oleh kejutan politk dan pengakuan-pengakuan kepincangan dikalangan pemimpin Melayu yang menyentak seluruh perasaan bangsa. Rupa-rupanya bila terlepas sedikit kuasa memerintah dan gagal mempertahankan status yang  begitu serasi dan selesa selama ini  dianggap ’malapetaka besar’ ,  ’ kegawatan ngeri’ dan ’gempita tidak terperi’. Demikian parah suasana kelang-kabut ini sehingga bangsa dipaksa terheret semuanya dalam krisis yang dianggap tidak terurus lagi. Apakah benar ini sebagai suatu kemelut bangsa seleuruhnya? Sungguhkah bangsa Melayu semuanya tersepit dan menjadi bagaikan ’nyawa-nyawa ikan’?

 

Padahal perkembangan dan pergolakan politik Negara  secara langsung pada hakikatnya menunjukkan kepimpinan Melayu begitu rapuh bila berhadapan dengan konflik dalaman. Konflik yang sesungguhnya mempamirkan betapa bangsa ini akan terus berhadapan dengan krisis yang tidak kunjung selesai. Akibat kekecohan yang ketara di saf kepimpinan Melayu dalam pelbagai bidang semada kepimpinan politik , ekonomi , sosial , budaya , korporat dan birokrat serta intelektual , kami mendapati kepimpinan bangsa Melayu kehilangan tumpuan untuk memperbaikki nasib bangsa.  Seluruh kemelut kepimpinan yang berlarutan ini seolah-olah mahu mengheret bahtera bangsa semada karam ditengah lautan bergelora atau dhanyut dibawa gelombang yang tidak menetu arah tujuannya. Lantaran golongan elit kepimpinan Melayu berada dalam persimpangan , antara keselesan yang sedemikian melekakan dengan kedudukan yang tidak terjamin lagi untuk mempertahankan status quo. Yang pasti nasib bangsa terbanyak tidak juga menjadi

Inti perjuangan.

 

Disamping banyak retorik politik dilaungkan , kita juga menyaksikan tabiat bergimik dalam kepimpinan yang tidak menguntungkan bangsa. Dengan aksi menghunus keris dan bertempik untuk mengistihar perang ke atas bangsa sendiri , ternyata kepimpinan Melayu mudah dibuai emosi yang tidak terkendali. Menghulur bantuan kepada bangsa yang terpinggir bukan dilihat sebagai sebuah amanah tetapi sebagai sebuah PR dan pembinaan imej untuk diperaga. Menjelajah di kawasan Melayu terlantar bukan kerana mahu merasai penderitaan dan mencari jalan mengatasi kenapa derita itu berlaku , akan tetapi kerana mahu dilihat merakyat dan perihatin kepada rakyat. Anehnya rakyat itu jualah yang sering dijadi bahan foto untuk disiar didada akhbar untuk menunjukkan pelayanan pemimpin yang dikata berjiwa rakyat padahal beraspirasi tinggi untuk memudahkannya mendaki puncak perjawatan yang lebih menawarkan keselesaan.

 

Pernyataan-pernyataan yang nampaknya lebih untuk menonjolkan diri dari benar-benar mengatasi masalah bangsa menyebabkan orang Melayu terus menghadapi ketidaktentuan masa depan.

 

Nampaknya masyarakat Melayu terbanyak tidak dapat menaruh harapan yang terlalu besar kepada kepimpinan Melayu yang sedia ada , lantaran yang disaksikan dan dipekikkan ialah laungan dan retorik besar tanpa komitmen bersungguh untuk merubah nasib bangsa..

 

Yang nyata ialah persoalan bangsa Melayu dalam pelbagai sektor kini sangat rapuh bila berhadapan dengan persaingan dan rempuhan global sehingga banyak kepentingan bangsa  terpaksa diperjudikan hanya kerana pemimpin-pemimpin mencanangkan agenda berlumba di pentas dunia. Apakah persaingan itu cocok dengan agenda bangsa , betulkah perlumbaan global itu suatu yang sesuai dengan kerangka hidup bangsa , tidak dipersoalkan. Yang ghairah nampaknya ialah semua diasak untuk masuk dalam agenda kejar-mengejar , lomba-berlomba , sehingga akhirnya yang dikejar tak dapat dan dikendong keciciran. Maka atas nama bersaing kita meminggirkan bahasa sendiri , atas nama berlomba kita mempersetankan budaya sendiri , atas nama kemajuan kita menggadai tanah sendiri dan atas nama turutserta dalam globalisasi kita menghakiskan jati diri sendiri.

 

Pemikiran dangkal para pemimpin bangsa telah meletakkan bangsa Melayu dalam keadaan yang merugikan. Bukan kerana bangsa Melayu tidak mahu dan tidak mampu bersaing , akan tetapi akibat pemimpin yang tidak jujur dan hanya mementingkan kuasa dan kedudukan daripada soal memperbaikki nasib bangsa  Melayu terbanyak , telah menjadikan bangsa Melayu terus berada dipihak yang tersudut.

 

Sikap mabuk jawatan dan gila kuasa sering diperlihatkan dalam kelompok kepimpinan bangsa.ini. Bukan asing lagi cerita politik wang , politik cantas-mencatas dan politik bunuh,  menjadi watak politik bangsa. Bahasa politik nampaknya mempunyai kamusnya sendiri yang tidak  mempunyai kaitan samasekali dengan nasib rakyat. Politik dianggap sebuah permainan , berparti politik dilihat sebagai medan bertarung merebut pengaruh.

 

Golongan kepimpinan elit bangsa ini mempamirkan watak feudal yang sangat ketara sehingga yang menjadi keutamaan ialah untuk mendapat tempat dihati mereka yang berkuasa dan berharap akan membuka peluang untuk melanjutkan cita-cita naik ke atas.. Soal haq dan batil bukan menjadi pantang larang dalam kepimpinan bangsa. Awlawiyat siyasi (keutamaan politik) mereka bukan untuk perubahan tetapi untuk kantong masing-masing , bukan untuk transformasi bangsa tetapi untuk tengkorok peribadi.

 

Kini pada 2008 , bangsa ini berhadapan dengan sejumlah isu-isu bangsa yang maseh terus berpanjangan. Dengan kepimpinan Melayu diperingkat Negara yang sileh berganti dari peringkat negeri dan pusat , dari peringkat akar umbi sehingga korporat, yang nyata isu-isu yang mendepani bangsa semacam tidak berkesudahan. Apakah kita menghadapi suatu laknat bangsa yang tidak terawat lagi?

 

Perhatikan ketika mana bangsa Melayu melihat kampong halaman seta tanah milik Melayu ditelan pembangunan tahun demi tahun .Kepimpinan Melayu terus beretorika dengan pelbagai pengumuman .Malangnya pengincupan tanah milik Melayu terus meruncing. Kini pembangunan terus dipacu yang melibatkan pengambilan tanah rakyat terus menerus di beberapa negeri melalui Akta Pengambilan Tanah 1960  . Atas nama pembangunan projek mega , kawasan pertumbuhan ekonomi yang digelar pembangunan koridor ekonomi dijangka akan menelan lagi tanah yang umumnya akan melibatkan tanah milek Melayu. Dasar Tanah Negara maseh belum mampu menyelesaikan masalah pembangunan tanah termasuk soal tanah wakaf Melayu . Kes penyelewengan dan salahguna kuasa yang mengakibatkan tanah Melayu tergadai dan pindah tangan  kepada bukan cerita baru. Bertahun-tahun isu tanah Melayu diungkap dalam pelbagai forum dan persidangan namun ia terus tidak menunjukkan tanda yang menyakinkan bahawa orang Melayu tidak akhirnya merempat di Negara sendiri. Sejauhmanakah peninggalan Tanah Rizab Melayu sehingga ke saat ini dan apakah ia benar-benar maseh ujud seperti yang direkodkan , Allah sahaja yang Maga Mengetahui. Namun dari hari ke hari kita membaca berita projek-projek yang diumumkan untuk akhirnya mengambil tanah Melayu. Adakah pemimpin Melayu mengambil tahu dan secara serius menangani isu ini ? Dari apa yang kita ikuti , perbahasan di DUN dan Parlimen jarang kedengaran hal ini diungkit.

 

Demikian juga persoalan gejala soal bangsa Melayu yang  bertalu-talu berlaku seolah-olah bangsa ini tidak mampu mengatasi masalah yang sangat jelas boleh di atasi , hanya jika pemimpin-pemimpin  Melayu bertegas . Siapakah jika tidak pemimpin-pemimpin birokrat dan politik Melayulah yang mengeluarkan keizinan  KDN kepada majalah-majalah hiburan dan novel murahan , kebenaran menyiarkan acara hiburan yang tidak sesuai dengan budaya bangsa , keizinan resmi untuk terus mengganjurkan konsert yang tidak habis-habis merosakkan adab pergaulan generasi muda , kelulusan siaran drama , filem dan acara TV  yang meninggalkan kesan negatif kepada nilai dan budaya hidup bangsa adalah sederet isu yang sebenarnya boleh diatasi dengan ketegasan pemimpin .

 

Akan tetapi sikap pemimpin Melayu yang umumnya bermahzab liberal dan berfiqah plural inilah telah mengadai akhlaq anak bangsa sehingga Melayu tidak lagi dihormati sebagai bangsa berbudi dan bersantun tinggi. Akibatnya perpsepsi bangsa lain terhadap bangsa Melayu pasti buruk dan tidak dihormati. Bercakap sahaja persoalan anak muda Melayu , bangsa lain akan mencemuh bahawa biarlah bangsa Melayu  terus bergelut dengan isu dadah , mat rempit , lepak , buang anak , penceraian , jenayah , maksiat , sumbang mahram , hiburan liar , pengangguran dan seribu satu masalah sosial. Ditambah semangkok lagi pemimpin-pemimpin media Melayu ternyata bukan sahaja berkesan dalam mendedahkan keruntuhan-keruntuhan sosial bangsa malah turut tidak rasa bersalah mempromosi gelagat budaya tidak beradab dikalangan golongan budayawan dan seniman Melayu .  Akibat kelekaan dan sikap tidak peduli pemimpin-pemimpin Melayu  dengan barah bangsa  ini , kita sudah mencapai peringkat kronik tunggu maut. Di tangan pemimpin Melayu jugalah lessen judi dan arak dilulus , konsert artis Barat  menggila diizinkan , filem budaya ganas dan lucah dipermisikan ,  pusat hiburan dan segala khidmat sosial ascort dibenarkan.

 

Sementara itu bangsa lain termasuk pendatang asing  bertungkus lumus menguasai apa sahaja ruang  yang diperolehi untuk bertapak kukuh di tanah air ini. Statistik terbaru melaporkan 20% dari 200,000 hingga 300,000 pekerjaan baru yang dikatakan diujudkan di Negara ini dikuasai oleh pendatang asing. Apa sahaja pekerjaan yang ditolak bangsa Melayu akan  dikerumuni bangsa lain , apa sahaja kemahiran yang tidak diendah bangsa Melayu akan dikuasai bangsa lain. Kini peruntukan kuota Melayu untuk institusi-institusi tertentu sudah mula didesak untuk dibuka atas nama meritokrasi. Atas alasan orang Melayu sendiri tidak dapat memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang diperlukan semada dalam institusi awam , professional atau  teknologi ,  malah termasuk perjawatan tinggi dan khusus dalam bilang keselamatan dan ketenteraan , maka bangsa ini akan melalui peminggiran- sendiri ( self alienation) dalam tanah air sendiri. Siapakah yang menggubal dasar ini , siapa yang merombak peraturan ini , jika tidak pemimpin politik dan birokrat Melayu itu jualah.!

 

Maka natijahnya sangat merunsingkan  kita , jika dihitung implikasinya dalam jangka masa panjang. Sepintas lalu sahaja kita dapat melihat kesannya sehingga ke peringkat sektor  kecil seperti kedai gunting rambut , tukang kasut , kedai bakeri ,  bengkel basikal dan motor , pembuat kunci , pembuat bingkai dan potong cermin , memperbaikki tayar kereta , kedai foto dan fotostat , pembaik jam , pembuat pembalut kerusi kereta , bengkel besi dan lain-lain …… telah jauh dikuasai bangsa lain. Adakah  boleh kita persalahkan  bangsa lain ketika pemimpin bangsa  Melayu sendiri tidak serius untuk memastikan generasi mudanya boleh hidup berdikari  Bolehkah kita menuding jari kepada orang lain jika ibubapa Melayu sendiri yang membiarkan anaknya merempit di malam hari , pemimpin Melayu pula bercakaran sesama sendiri ( dari merebut jawatan Ketua Bahagian sehingga bercita-cita menjadi Menteri.) , professional dan korporat Melayu pula mengkhayalkan hidup mewah sementara anak-anak bangsa sendiri merempat sana kemari mencari kerja di syarikat bangsa lain ?.

 

Sementara pelbagai agensi  mengujudkan ratusan jenis kursus kemahiran yang disediakan untuk bangsa Melayu , anak-anak Melayu ramai pula yang memileh terlibat dengan gejala sosial dan menganggur di bandar  dan desa. Pemimpin Melayu bermegah dengan melihat anak Melayu dihimpun untuk berkawat di acara resmi , bermotosikal riuh rendah kesana kemari membawa bendera kerana menyambut hari kemerdekaan dan tahun baru , merasa kagum melihat anak Melayu hebat menjadi peserta di acara One in a Million , Anugerah Hiburan , Gang Staz dan entah apalagi.

 

Secara demografi pula , kita sudah menyaksikan secara jelas perubahan wajah kependudukan di kawasan tertentu yang tidak mempunyai lagi wajah Melayu melainkan sebagai bangsa minoriti.Lihat sahaja di kotaraya Kuala Lumpur dan kotaraya yang lain , wajah Little India ,  China Town dan Little Jakarta sehingga kepada ujudnya kawasan-kawasan  rakyat Indonesia , Bangladesh , Vietnam , Nepal , Filipina , Pakistan   yang telah bertapak sehingga anak watan dari bangsa Melayu sendiri terpaksa  meiminggirkan diri.. Bagaimana ini boleh berlaku ?. Siapa yang membenarkan ini berlaku? Kita mengeluh  anak bangsa menganggur tetapi sudah lebih 2 juta pendatang asing menggangkut keluar berbilion ringgit dihantar pulang ke Negara masing-masing dari pekerjaan yang mereka kuasai di Negara ini. Siapa yang membawa dan membenarkan dasar pekerja luar dimasukkan? Siapa dan kenapa corak pembangunan sebegini yang dijalankan? Bukankah dasarnya , peraturannya , sistemnya digubal , dikawal dan dikuatkuasa oleh pemimpin-pemimpin politik dan birokrat Melayu juga?

 

Kami  meneliti persoalan kepimpinan Melayu yang tidak cukup memberi perhatian kepada sejumlah masalah-masalah bangsa Melayu . Sesudah 50 tahun merdeka  wajah bangsa Melayu yang maseh terlantar dalam kemiskinan maseh terus ditemui. Pemimpin Melayu hanya berebut peluang untuk membantu ketika mana mereka mendapat publisiti dan menonjol imej . Bangsa Melayu yang miskin akhirnya menjadi alat publisiti buat pemimpin yang mahu dilihat berjiwa rakyat.

 

Kita juga maseh terus menyaksikan kualiti kepimpinan Melayu yang dirosakkan dengan kepincangan dan salahgunakuasa. Maklumat mengenai pelbagai cerita yang ada pada pemimpin Melayu sudah tidak asing lagi . Sudah jamak diketahui kes-kes rasuah , berkonspirasi politik untuk merebut jawatan , mengejar gelaran , menompok kekayaan , berkolusi dengan perasuah , amalan kronisme dan nepotisme  dalam kehidupan sebahagian pemimpin Melayu.. Apa yang tidak lagi tercatat mengenai kebusukan dalam kepimpinan bangsa ini  ; dari merebut kedudukan jawatankuasa masjid , surau dan JKKK sehingga bertelingkah dalam persatuan bola sepak , dari mencatur dalam jawatan PIBG sehingga berkrisis dalam menentukan siapa harus memimpin mahasiswa , dari melobi untuk menjadi calon piliharanraya hingga bertelagah dan berjual beli siapa akan menjadi hakim.

 

Dengan semua gejala kepimpinan yang tidak mampu membangkitkan sebuah citra bangsa yang diharapkan  , kami mengusulkan agenda REMENSI iaitu revolusi mental dan sikap  yang sangat besar dikalangan semua lapisan bangsa  untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari kepincangan yang berpanjangan ini. Dan revolusi ini kami usulkan sebagai suatu keperluan yang menjadi pra syarat melonjakkan bangsa untuk keluar dari kemelut yang sedang melanda.

 

Walaupun revolusi mental pernah cuba di popularkan oleh Senu Abdul Rahman suatu ketika dahulu , kami berpendapat revolusi mental plus revolusi sikap perlu diadunkan dalam sebuah acuan yang betul. Iaitu revolusi yang bertitik tolak dari asas ketaqwaan kepada Allah S.W.T. dan tunduk dan patuh kepada seluruh manhaj Islami dalam seluruh skima kehidupan bangsa.

 

Kami menghuraikan agenda Remensi ini dalam konteks dan kerangka Islam yang menjadi pendorong dan pewarna kepada watak bangsa. Dengan agenda Remensi yang digerakkan dalam kerangka pengabdian diri secara total kepada Allah , kita boleh melahirkan ciri dan watak kepimpinan bangsa bertamadun tinggi untuk melayakkan kita menempatkan diri sebagai pemimpin umat .

 

Kami ingin menghuraikan beberapa persoalan pokok yang berkait dengan status mental dan sikap bangsa Melayu masakini.

 

Dari sudut  mental , disatu segi  bangsa kita masakini terkondisi oleh fenomena berada dalam bingkai mental yang jumud yang kami gelar sebagai “minda beku”. (mind set). Ujud senario kebanyakan bangsa kita berpuas dengan suasana yang ada , senang dengan persekitaran yang berlaku , selesa dengan pemikiran yang sedia berkembang . Meneliti semula dan menyemak kembali senario serta realiti dan keadaan bangsa tidak menjadi keperluan buat  bangsa Melayu terbanyak. Bahawa ada anggapan semuanya akan diurus oleh pihak berkuasa , segalanya akan dikendali oleh pihak lain dan apa sahaja masalah akan diatasi oleh pihak berwewenang . Ini adalah minda beku yang dicirikan kepada kebanyakan minda bangsa Melayu . Cara berfikir begini kami anggap sedang bersarang di kalangan bangsa ini.

 

Sementara dari segi yang lain pula , ada juga fenomena “minda lepasbebas” (mindlessness). Iaitu kelompok bangsa Melayu yang tiada memilikki pemikiran apa-apa melainkan hanya hanyut dalam arus yang ada. Gaya dan budaya hidup larut dalam gelombang yang tiada berakar dan tiada  berasal. Kelompok ini puas mengikut setia dan berkelana selesa dalam budaya yang dianggap itulah yang ada dan tidak perlu bersusah-payah bertanya dan bersoal. Hanyut dan larut menjadi sifat mereka yang tiada mahu hidup berisiko .

 

Dari sudut sikap pula yang jelas bangsa Melayu maseh dijangkiti dengan sejumlah penyakit  yang perlu segera dirawat. Sikap tidak peduli , tidak mahu terlibat , dan enggan mengambil berat untuk mengatasi masalah menyebabkan beban yang melingkari bangsa ini berpanjangan. Manakala sikap bergantung dan bersandar kepada jaminan pihak berkuasa , terpengaruh dengan keselesaan , menyerah kepada keputusan yang diambil orang lain dan memerhati hanya dari jauh mengakibatkan bangsa ini mudah diperkuda orang lain.. Sementara tidak serius dalam menyelesaikan kerja , kurang fokus kepada matlamat untuk memaju diri , mudah mengalah dan tidak melihat perubahan diri sebagai keperluan yang penting untuk mengangkat martabat hidup menatijahkan bahawa bangsa Melayu dianggap tidak bermaya mengendali  urusan sendiri .

 

Natijahnya dapat dilihat dalam kehidupan nyata bangsa Melayu. Kita dilihat dengan kacamata yang rendah oleh bangsa lain akibat sejumlah sikap negatif yang dikaitkan dengan bangsa kita. Sikap malas , tidak berdisiplin , cuai dalam bertugas , suka membuang masa dengan sembang kosong , lembab bertindak , tidak berinisiatif untuk membuat sesuatu dengan sempurna , suka dengan kerja yang mudah dan tidak mencabar , tidak suka meningkatkan kemahiran kerja , suka mengambil jalan mudah , malas membaca adalah sederat ciri-ciri yang dikaitkan dengan kualiti bangsa dikacamata bangsa lain. Akibatnya pandangan hormat ke atas bangsa Melayu tidak ada pada bangsa lain.

 

Lebih buruk lagi mereka menggangap Melayu mudah dilekakan dan mudah dipinggirkan hanya dengan sedikit habuan , sedikit suapan dan sedikit pujukan. Biarkan Melayu memegang jawatan pentadbiran kerajaan asalkan mereka terus dapat mengambil kesempatan akibat kelemahan bangsa Melayu. Maka Melayu yang berpakaian seorang pegawai kerajaan tidak sebenarnya melambangkan kekuatan bangsa kerana sekitar 900,000 ahli karyawan (kakitangan)  kerajaan berbangsa Melayu itu maseh tidak banyak memberi impak kepada meningkatkan status bangsa dalam pembangunan Negara. Lebih separuh Menteri Kabinet berbangsa Melayu itu tidak berkesan dalam mengatasi pelbagai nasib Melayu terpinggir di kawasan Bandar , bahawa ribuan professional; ahli cendikiawan dan ratusan ahli korporat Melayu tidak juga nampak mampu mengangkat harakat bangsa Melayu terbanyak dikalangan petani , nelayan , pekebun kecil , peneroka serta  buruh dan pekerja Melayu   Bahawa walaupun kita dikatakan ada ratusan ahli cendekiawan sosial dan ekonomi yang dianggap pakar , namun keadaan gejala sosial bangsa Melayu serta keterbelakangan ekonomi Melayu tidak banyak berubah berbanding dengan bangsa lain akibat bangsa ini merasa selesa dijamin oleh kerajaan. Demikian bangsa lain tidak merasa gentar dan terpegun dengan Melayu yang memegang kuasa birokrasi dan politik di Negara ini. Selagi bangsa Melayu secara umumnya berhadapan dengan pelbagai karenah sosio-budaya serta ekonomi-politik yang semakin menjunam akibat kepimpinan masyarakat Melayu dalam pelbagai peringkat yang berkecamuk dan sarat dengan krisis pelbagai dimensi , selagi itulah bangsa Melayu akan terus beraja di hati tetapi tidak bertuan di tanah sendiri.

 

Bagaimana kita harus melancarkan sebuah perubahan besar-besaran dikalangan bangsa ini ? Agenda Remensi ini bagi kami merupakan agenda yang sangat relevan dan sepatutnya digarap dengan serius. Bukan sahaja perubahan struktural perlu diusahakan malah perubahan yang lebih mendasar iaitu perubahan kultural perlu direalisasikan. Kami menyarankan sebuah kebangkitan bangsa hendaklah dilancarkan melalui agenda Remensi ini. Bukan sekadar hanya retorik dalam ungkapan dan pengistiharaan tetapi hendaklah diterjemahkan dalam bentuk program nyata yang berskima dan bertanzim. Hanya dengan demikian kami yakin kebangkita bangsa dapat dijadikan sebuah realiti.

 

Bagi kami gerakan Remensi ini perlu bermula dari kepimpinan bangsa yang tidak terlepas dari penyakit mental jumud dan mental lepasbebas dan berlanjutan kepada sikap tidak peduli dan tidak endah kepada nasib bangsa asal perut dan kantong sendiri terisi.

 

Terbang helang di angkasaraya ,

Terbang megah bagaikan perwira ,

Menjelang Muharam kita bersua ,

Berazam mengangkat izzah bangsa”.

 

Sehingga ini TERAS sudah melangkah  ,

Mengharungi onak , fitnah dan mehnah ,

Mengenangkan  bangsa kian  lelah ,

TERAS tetap tidak akan mengalah.

 

Sekian Wassalam.

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031