WASILAH KITA

UCAPAN BERTINDAK

Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan Ke-5

(PPMK-5)

oleh

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

1 Muharram 1424 H / 4 Mac 2003

Dewan Muzakarah Pusat Islam

Universiti Sains Malaysia

Pulau Pinang

 

‘Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang’

Segala puji hanya buat Allah Azza wa Jalla. Yang menetukan segala permulaan dan segala yang akhir. Yang menetapkan kepada siapa Hidayah yang akan dicurahkanNya, Yang menentukan siapa kekasihNya, Yang memastikan kemenangan AgamaNya dan menghancurkan kebatilan betapa tersusun dan terancang sekalipun. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW, Penghulu segala Nabi, Imam bagi segala muttaqiin, kemuliaan bagi semua pengikut Baginda dari ahli keluarganya dan para sahabat dan tabi’in, para solehiin dan para shuhada’ disepanjang zaman.

 

 

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : Tuhan kami ialah Allah, kemuliaan mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita”

Surah Al Ahqaaf : 13

 

Pertemuan kita menjelang 1424 Hijrah buat kali ke 5 ini membawa banyak persoalan. Sejak TERAS hadir dipersada umat, mengorak langkah untuk terjun di gelanggang rakyat, secara jujur kita perlu insaf, banyak yang telah dilakukan namun banyak lagi yang belum dilaksanakan, banyak yang telah digerakkan namun sedikit yang berhasil dan membawa kesan. Dengan kesedaran mendalam terhadap kerja kita inilah maka kami kira wajar kali ini untuk kita lebih melihat ke arah diri kita sendiri sejenak dalam kesibukan kita mengendali urusan umat yang tidak kunjung selesai. Demi menjayakan usaha yang amat besar ini kami kira tidak keterlaluan untuk kita mengajak teman-teman ‘membedah diri’, meneliti dan mengkaji apa kekuatan kita, dimana kelemahan kita dan bagaimana harus kita memperbaiki diri untuk kita membawa transformasi kepada masyarakat.

 

Sesungguhnya keinsafan yang lebih awal perlu difahami oleh semua, samada yang sudah lama mengenali dan bersama TERAS mahupun yang baru bertaa’ruf dengan wadah ini, bahawa kelahiran TERAS adalah berintipatikan perubahan. Perubahan itu harus memenuhi kedua-dua dimensi yakni perubahan berdimensi luaran dan perubahan yang berdimensi dalaman.

 

Kami perlu menekankan persoalan ini lantaran penghayatan terhadap inti dan saripati perjuangan TERAS adalah titik tolak terpenting untuk sesiapa yang ingin istiqamah bersama perjuangan yang diterajui TERAS. Gagal memahami konsep kunci ini akan menjadikan ketelibatan kita bersama TERAS suatu penglibatan yang sia-sia. Gagal menghayati asas ini menyebabkan pembabitan kita hanya suatu sentuhan sekadar memenuhi masa terluang semat-amat.

 

Bila kami mengungkap persoalan perubahan ini, maksud kami ialah perubahan ke arah terbentuk dan tertegaknya kehidupan Islam secara fungsional dalam segala kelengkapan dan kesempurnaannya. Kehidupan Islami yang diterjemah pada setiap perjalanan kehidupan samada di tingkat perseorangan mahupun di tingkat keluarga, masyarakat serta bernegara. Inti perubahan yang kami maksudkan ini juga termasuk menyentuh persoalan peribadi samada ketika berfikir, bersikap, bertingkahlaku, bertindak mahupun berbicara. Perubahan itu juga tidak terlepas dalam hal berinteraksi samada dalam soal budaya dan gayahidup, mengurus amanah dan tanggungjawab sehinggalah kepada persoalan mengambiltahu serta mengambil berat terhadap hal ehwal umat seluruhnya.

 

Dalam ertikata lain, perubahan yang sedang digerakkan dan yang dirangsangkan oleh TERAS ialah perubahan ke arah melahirkan sebuah masyarakat yang Islamik dalam segenap spektrum kehidupan. Apa yang hendak direalisasikan TERAS ialah untuk membawa cahaya kebenaran kepada segenap lapisan umat sebagai ketetapan Allah SWT untuk menunjukkan jalan keselamatan dan kesejahteraan.

 

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kita (Al Quran) yang jelas nyata kebenarannya. Dengan (Al Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”

Al Maidah : 15-16

 

Dengan yang demikian, menjadi pra syarat bagi setiap individu yang ingin bergabung tenaga dengan TERAS untuk meneliti diri dengan halusi, sejauhmana ia bersedia memulakan perubahan dari dirinya sendiri terlebih dahulu. Kami tidak bermaksud untuk menghentikan pula penglibatan setiap aktivis dari turut serta dalam perubahan massa, namun akan kelihatan amat janggal jika yang terserlah nanti ialah seruan meminta masyarakat berubah akan tetapi di tingkat peribadi diri seorang aktivis itu sendiri tidak pula selesa dengan perubahan yang dicanangkan.

 

Oleh itu, kami menyarankan proses penghayatan dan proses pemesraan terhadap perubahan yang hendak dibawa oleh setiap aktivis. Perjuangan yang benar-bena mempunyai daya penerusan dan konsistensi ialah apabila penerajunya, aktiisnya dan pendokongnya menjadi cermin yang hidup dan berfungsi menterjemahkan pada diri sendiri segala yang diseru dan yang disemboankan.

 

TERAS tidak melihat sebarang makna kepada sebuah perjuangan yang kaya dengan slogan dan retorik besar-besar jika di tingkat peribadi pendokongnya sendiri masih tidak merdeka dari tingkah laku dan sikap yang bersaling canggah dengan apa yang cuba dikembangkan dalam masyarakat.

 

Wasilah TERAS menekankan persoalan penghayatan dan penghayatan yang cuba dihidupkan memberi fokus kepada perubahan pemikiran, sikap dan tingkah laku bangsa dan uamt.

 

Dengan itu, kami merumuskan bahawa gerakan-gerakan besar di dunia, sering terbantut tatkala gerakan itu gagal mengukuhkan persoalan internalisasi ideologi perjuangan sehingga bila perubahan melanda yang pertama runtuh ialah nilai dan pemikiran dan diikuti seterusnya keruntuhan seluruh sistem yang berdiri di atasnya. Kami melihat gelombang besar dari tamadun yang terbangun itu akhirnya memecahkan kepada riak-riak kecil yang akhirnya tidak mampu bertahan. Keruntuhan peribadi itu jualah yang membawa kepada kehancuran sebuah ideologi besar betapa unggul sekalipun ideologi tersebut. Demikian kata-kata dalam syair “Sesungguhnya urusan yang kecil itu boleh menghanyutkan yang besar”.

 

Kami menekankan agar TERAS memperkukuhkan perjuangannya dengan melibatsertakan individu yang bersedia bergabung dan menghayati nilai dan sikap hidup yang ingin dibawanya kepada masyarakat. Harus ada suatu kesediaan untuk setiap individu pendokong menjadi contoh hidup kepada perubahan yang ingin diperkenalkan.

 

Kami menggariskan beberapa panduan waasilah yang perlu digarap oleh aktivis TERAS. Setiap tahap perubahan ini perlu dilalui dengan tekun, sabar dan konsisten oleh setiap aktivis. Tanpa menjalani proses pembentukan ini, seseorang aktivis TERAS tidak mungkin bertahan lama dan akan berlaku fenomena keciciran yang melemahkan.

 

Bermula dari tahap pembinaan perspektif mengenai realiti umaat, seseorang aktivis perlu menekuni persoalan kepincangan dan keruntuhan yang sedang berlaku dalam masyarakat keseluruhannya dan umat Islam dan bangsa melayu khususnya. Seorang aktivis TERAS hendaklah mempunyai kefahaman yang menyeluruh terhadap fenomena kebejatan manusia dan masyarakat serta menganalisa kenapa fenomena itu berlaku. Ini bermakna penelitan yang terprinci perlu dilakukan ke atas punca kerunuhan umat Islam yang sedang berlaku kini. Persoalan di mana titik kejatuhan umat itu bermula dan bagaimana keruntuhan itu semakin berleluasa dan mewabak perlu difahami dengan jelas. Seorang aktivis dengan itu perlu mempersiapkan kekuatan intelektualnya bagi mengasah daya fikirnya meneliti setiap aspek kepincangan yang sedang dilalui umat.

 

Kami yakin daya kepekaan seorang aktivis hanya akan terbentuk jika perspektifnya untuk memahami masalah yang sedang melanda umat diperbetulkan. Sikap tidak ambil tahu dan buta perspektif malah perspektif yang salah menyebabkan seorang pendokong perjuangan ini akan lemah dan hanyt mengikut arus semasa.

 

Tidak harus ada sikap bersahaja di tengah-tengah kepincangan. Ketika mana berlaku fenomena “rasa tidak berkait” dan “rasa tidak ada kena-mengena” dengan persoalan umat, tidak akan timbul sikap waspada. Kesan tidak memahami masalah yang sedang melanda umat menyebabkan ramai aktivis tidak mempunyai komitmen yang tinggi untuk terlibat menangani kepincangan yang berlaku. Tatkala seorang aktivis bersikap alpa dan lalai untuk menajamkan analisisnya terhadap pelbagai isu-isu umat, akan berlaku fenomena tidak sensitif dan rasa tidak bertanggungjawab untuk menyelesaikan kemelut masyarakat. Kami menekankan perlunya setiap aktivis benar-benar tekun membaca sebangak mungkin buku, makalah, tulisan-tulisan dari kajian dan rencana-rencana yang kritikal mengenai hal ehwal masyarakat masakini. Kami berpendapat selagi kita bersikap malas dan bersahaja dalam mencari dan membaca bahan-bahan kritikal maka daya berfikir untuk bertindak akan lemah malah mungkin lumpuh. Dengan yang demikian, kami menyarankan agar semua aktivis meningkatkan disiplin membaca, meneliti, mengkaji dan menulis agar kepekaan kita untuk membawa perubahan akan sentiasa segar.

 

Di tahap kedua, seorang aktivis perlu melakukan suatu proses menyuluh dan memeriksa diri. Di sini, kami bermaksud agar seseorang aktivis dapat melihat hubungkait dirinya dengan realiti yang sedang berlaku dipersekitarannya. Harus ada suatu tingkat kesedaran yang cukup menginsafkan seorang aktivis ketika mana ia menganalisis betapa dirinya mungkin terlibat sebagai sebahagian daripada kepincangan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Hal ini akan memberi kesan yang mendalam kepada diri kita kerana proses keruntuhan yang berlaku dalam masyarakat sebenarnya juga berlaku dalam diri kita sendiri. Ketika mana kita sering mengeluh dan bersungut betapa masyarakat sedemikian rosak, kita tidak dapat menafikan keruntuhan itu juga terjadi kepada diri kta sendiri. Mengaitkan diri dengan persekitaran bertujuan untuk melihat masalah masyarakat secara praktis. Bahawa kita juga termasuk dalam proses kerosakan tersebut akibat lalai berbuat dan bertindak.

 

Sesungguhnya proses keruntuhan sememangnya bermula dari tingkat individu. Berikutnya keruntuhan itu bekembang ke tingkat institusi keluarga, masyarakat, negara dan umat keseluruhannya. Meneliti diri dan dengan itu meningkatkan keinsafan bahawa kita tidak harus hanya menjadi pendengar dan penonton kepada kepincangan yang sedang berlaku akan merangsang seorang aktivis untuk bingkas bertindak. Kealpaan dan kelalaian bukan sahaja akan memburukkan lagi realiti yang sudah sedia buruk malah akan mengheret diri kita ke dalam kepincangan yang mungkin tidak boleh dipulih lagi. Lantaran itulah, melalui proses refleksi diri seorang aktivis akan sedar bahawa selagi ia tidak mendahulukan perubahan pada dirinya maka kebejatan masyarakat akan terus menguasai dan akhirnya menenggelamkan dirinya sekaligus.

 

Pada tahap ketiga, seorang aktivis perlu dengan tekun meneliti secara bandingan bagaimana kelopmok lain sedang bertindak bagi memperbaiki komunitinya. Proses ini memeerlukan sekali lagi kekuatan mengkaji dan meneliti. Daya intelektual yang tinggi untuk membuat perbandingan bagaimana gerakan sosial dari kelompok lainsama ada lokal ataupun internasional bertindak, akan merangsang seorang aktivis untuk meningkatkan ketrampilannya bergerak.

 

Tidak di kesampingkan juga malah suatu keperluan yang amat utama ialah mengkaji pengalaman gerakan-gerakan Islam dari pelbagai pelosok dunia. Memahami realiti mereka dan pengalaman mereka menangani masalah umat akan membantu kita membina kekuatan disamping mengelak kita dari mengulangi kesilapan. Dengan itu karya-karya besar dari pengalamn gerakan seperti Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami dan yang lain-lain perlu ditekuni. Ternyata seorang aktivis yang berkesan hanya boleh bergerak secara kreatif dan dinamik apabila ia bersedia mempelajari pengalaman-pengalaman mereka yang lain.

 

Suda pasti kita tidak bermaksud untuk meminggirkan panduan sirah Rasulullah SAW sebagai petunjuk terpenting untuk kita ikuti. Segala prinsip dan manhaj tarbiyyah serta jihad Baginda akan terus menjadi rujukan utama dalam gerakerja aktivis TERAS. Oleh yang demikian, kami menyarankan agar setiap aktivis membaca, mengkaji serta menghayati dengan teliti dan mendalam sirah Rasulullah SAW sebagai teks utama bukan sahaja ditingkat pembacaan tetapi lebih penting dari itu ialah menterjemahkan setiap nilai perjuangan Baginda dalam bentuk amalan.

 

Pada tahap yang keempat, aktivis TERAS perlu melengkapkan diri dengan kemahiran berorganisasi serta ketrampilan bertindak di lapangan masyarakat. Pengalaman yang dapat kami kumpulkan mengajar kita bahawa betapa tinggi sekalipun komitmen dan semangat berjuang dihayati oleh seorang aktivis, namun ia akan kecundang tatkala ia gagal bergerak tanpa dibekal dengan tahap kemahiran yang kukuh.

 

Kami menyarankan setiap aktivis berusaha dengan semaksimum mungkin agar kemahiran yang berbagai dalam ilmu keorganisasian seperti menyusun struktur kerja, mengimplimentasi dan menilai hasil kerja, mengendalikan perbindangan serta rancangan kerja, kemahiran dokumentasi dan sistem pelaporan kerja, hendaklah di pelajari dengan tekun. Aktivis TERAS perlu menganggapkan ilmu bekerja secara rapi dan tersusun sebagai rukun yang tidak boleh diketepikan. Ketrampilan dan disiplin bekerja di lapangan tatkala seorang aktivis berinteraksi dengan masyarakat akan lebih jauh di rasa kepentingannya apabila kerenah masyarakat dari berbagai kumpulan sasar perlu ditangani dengan sangat bijak dan strategik.

 

Keberkesanan seorang aktivis amat bergantung kepada sejauhmana tingkat ketelitian dan disiplin bergerak dalam sebuah organisasi dapat dibentuk. Dengan kerapian dan kecermatan keorganisasian, kerja-kerja seorang aktivis itu akan jauh lebih berkesan dan membekas. Kami menyarankan supaya disiplin dan kemahiran bergerak seorang aktivis di tekuni dengan bersungguh. Ketrampilan dan kecekapan sebagai seorang aktivis tidak boleh dikompromi kerana bertindak secara gggelojoh dan kurang berhati-hati akan menjejaskan kewibawaan dan integriti sesebuah wadah.

 

Seterusnya, pada tahap kelima seorang aktivis perlu melalui satu proses penyebatian diri dalam masyarakat secara langsung. Harus ada suatu kesediaan untuk terjun, bergaul dengan masyarakat di pelbagai peringkat. Sesungguhnya TERAS mempunyai misi yang besar untuk mendekati pelbagai kelompok sasaran. Dengan yang demikian, setiap aktivis seharusnya melengkapkan diri secara emosi dan intelektual untuk mendekati kelompok sasar yang berbagai.

 

Pengalaman TERAS bertindak mengangkat isu-isu yang dihadapi oleh kelompok marhaen seperti nelayan, petani, setinggan, buruh, pekerja kilang dan peneroka telah memperkayakan wadah ini dengan pelbagai bentuk pendekatan dan gerakerja mengikut keperluan masyarakat setempaat. Dengan yang demikian, seorang aktivis perlu bersedia berkecimpung dan bergelumang dengan kelompok sasar yang menghadapi pelbagai masalah.

 

Bukan sahaja ketrampilan diperlukan oleh seorang aktivis untuk mengendali kumpulan sasar yang pelbagai ini, ia juga perlu mempersiapkan diri menghadapi kerenah masyarakat dengan penuh kesabaran dan komited. Bekerja diperingkat masyarakat secara langsung di lapangan mempunyai cabaran yang tersendiri. Setiap aktivis akan melalui ujian melayani pelbagai watak masyarakat. Setiap perubahan yang ingin dibaawwa tidak hanya boleh diperkenalkan secara langsung malah perlu melalui pelbagai pendekatan tersendiri.

 

Dengan itu, setiap aktivis TERAS perlu mempunyai ketabahan, kerendahan diri, keyakinan dan daya pengorbanan yang tinggi keetika mengendalikan masyarakat di pelbagai lokaliti. Di tahap ini, sudah semestinya setiap aktivis perlu memperkayakan diri dengan pengalaman-pengalaman yang berbagai bentuk. Sifat diri seorang aktivis akan sering di ukur dan diteliti oleh masyarakat. Lantaran itu tingkah laku dan watak diri akan menjadi faktor utama bagaimana seseorang aktivis itu boleh diterima atau sebaliknya. Kami menyarankan supaya semua pendokong TERAS yang ingin berkecimpung langsung dalam masyarakat berusaha dengan tekun mempelajari pelbagai pendekatan dan teknik bergerak di lapangan yang berkesan.

 

Di tahap yang keenam, aktivis TERAS harus menyedari tentang pentingnya bergerak dalam bentuk sebuah rangkaian. Ini bermakna TERAS perlu mewujudkan suatu bentuk jaringan antara aktivis. Bukan sahaja aktivis yang bergerak di seluruh negara perlu mengkhusus dan menjurus kepada kawasan-kawasan operasi tertentu tetapi juga kepada bidang-bidang tertentu. Jaringan aktivis memerlukan suatu tahap disiplin yang tinggi. Tanpa disiplin, komunikasi dan sistem pelaporan yang berkesan gelombang perubahan yang diharapkan tidak akan berlaku. Aktivis TERAS hendaklah merasakan diri sebagai sebahagian daripada jentera yang bergerak ke arah satu matlamat.

 

Tanpa memperkecilkan inisiatif setiap aktivis untuk bergiat di lokaaasi tertentu, penyelarasan dan koordinasi amat penting jika kita mahu mencetuskan suatu momentum dan gelombang perubahan. Keperluan setiap aktivis untuk melihat diri sebagai agenperubah masyarakat perlu dihargai kerana TERAS tidak berhasrat untuk sekadar mencetuskan riak-riak transformasi. Apa yang dimatlamatkan ialah akhirnya setiap perubahan keecil akan menggerakkan “kesan bola salji” yakni kesan mengganda yang akan merebak ke seluruh pelosok negara malah ke sulurh pelosok dunia. Sesungguhnya misi TERAS ialah untuk menceetuskan suatu gegaran peubahan. Ia tidak mungkin berlaku jika sesuatu perubahan itu hanya berlaku secara terpencil. Kami mengharapkan setiap transformasi di peringkat apa pun akan akhirnya menceetuskan gerakan perubahan yang lebih besar.

 

Demikianlah betapa pandangan dan gais panduan umum yang dapat kami bentangkan untuk melahirkan sebuah impak dari hasil kerja dan gerakerja TERAS. Untuk mereka yang yakin dan percaya bahawa TERAS boleh memberi kesan yang diharapkan maka kami mengalu-alukan penglibatan dan pembabitan setiap individu walau apapun latarbelakangnya. Tidak kira dia dari latarbelakang seorang yang dianggap kecil dan kerdil kerana tidak melalui tahap pendidikan yang tinggi ataupun seorang individu yang mempunyai status masyarakat yang dihormati.

 

TERAS cuba membentuk suatu acuan dimana individu Muslim akan dibentuk menjadi seorang aktivis yang fungsional. Kami tidak membezakan seseorang itu berdasarkan status sosialnya tetapi yang menjadi kriteria penting bagi TERAS adalah seorang insan Muslim yang bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab dirinya kepada Allah dan sedar diri sebagai seorang insan yang dimandatkan untuk melaksana tanggungjawab sebagai khalifah.

 

Sesungguhnya  yang ingin dibentuk oleh TERAS pada setiap aktivis ialah kualiti keperibadian Muslim yang dapat diteladani. Walau apapun status sosialnya samada dia seorang petani di desa atau seorang buruh di kota mahupun dia seorang cendekiawan di institusi menara gading, TERAS berhasrat untuk membina setiap individu itu sebagai seorang Muslim sejati. Tidak membezakan status sosial, tidak mengukur kaya miskin, tidak mengambilkira pangkat dan darjat. Apa yang menjadi sasaran TERAS ialah setiap individu itu mempunyai rasa tanggungjawab kepada Allah yang perlu disempurnakan. Berasaskan kriteria ini, setiap aktivis itu bergerak dalam perjuangan TERAS sebagai seorang insan bermaruah, insan bermartabat dan insan berharga diri. Tatkala seorang aktivis itu terbina suatu kesedaran diri yang tinggi bahawa dirinya hanya layak dinilai oleh Allah semata-mata, hanya takut kepada Allah sahaja dan hanya redha Allah yang menjadi hadafnya, maka aktivis demikian mempunyai status yang sangat tinggi disisi TERAS.

 

Pokoknya masyarakat harus melihat setiap individu yang bergiat sebagai aktivis dalam perjuangan TERAS itu bukan sahaja cukup berwibawa dan berintegriti malah ia sangat disegani kerana keunggulan kualiti peribadinya yang sangat indah da mantap.

 

Inilah yang dihajati oleh kami ketika menggerakkan perubahan melalui aktivisme yang dicetus oleh sejumlah aktivis yang dilengkapi dan dipersiap dengan keupayaan yang utuh dan kukuh. Kami cuba menyenaraikan segala ciri dan watak seorang aktivis TERAS yang benar-benar perlu dizahirkan kerana tanpa keperibadian yang utuh dalam setiap diri aktivis, matlamat besar TERAS tidak akan tercapai. Oleh itu penekanan kami kepada ciri-ciri berikut merupakan pra syarat yang sangat penting perlu dihayati oleh setiap aktivis TERAS.

 

Pasa asasnya TERAS mempunyai hasrat membina kualiti keperibadian Islam pada setiap diri aktivis. Titik tolak pembinaan kualiti keperibadian itu sudah tentu bermula dari kesedaran mengenai kepentingan membangunkan kekuatan rohani dan ketaqwaan. Tidak akan tetanam sifat istiqamah dalam perjuangan jika kekuatan dalaman yang menjadi penjana dan penyala api jihad tidak diperkukuhkan. Dengan yang demikian disiplin ibadah dalam segala bentuk dan isinya perlu menjadi sebati dalam keperibadian setiap aktivis TERAS. Hanya dengan ini sahaja rasa dekat dengan puncak dan matlamat perjuangan iaitu ‘taqarrub ilAllah’ akan dapat mencetuskan daya gerak yang berterusan. TERAS akan sentiasa menekankan persoalan ini tanpa lalai justeru bersikap alpa dalam hal pembinaan kekuatan rohani aktivis akan menggagalkan seluruh maksud dan ruh perjuangan itu sendiri.

 

“Bersegeralah kamu ke arah mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan (bersegeralah melakukan amal ibadah yang menyebabkan kamu dapat) memasuki syurga yang luasnya seperti luas langit dan bumi untuk orang-orang yang bertaqwa”

Ali ‘Imran : 133

 

Termasuk juga dalam pembentukan karektur aktivis TERAS isalah persoalan membina keyakinan yang kukuh dalam diri aktivis sepanjang gerakerjanya. Dengan yang demikian yang perlu diterapkan ialah sifat yakin dan berani untuk berhadapan dengan sesiapa sekalipun. Keyakinan untuk meluahkan pendapat dan menyanggah sesuatu yang salah hendalah dibangunkan dalam watak setiap aktivis. Keyakinan untuk melakukan perubahan dalam masyarakat juga perlu dipupuk dalam diri setiap aktivis. Harus ada keberanian mencuba memulakan transformasi dalam masyarakat dengan bijaksana tanpa rasa was-was dan teragak-agak selagi ia tidak menyalahi syara’ dan adab kemasyarakatan.

 

Kita perlu mengikis perangai tidak berdisiplin dan tidak bertanggungjawab dalam fe’el setiap aktivis. Setiap aktivis TERAS perlu mempunyai sifat amanah dan memulihara hak orang lain dengan penuh teliti. Setiap tanggungjawab yang dipikul perlu disempurnakan dengan bersungguh-sungguh betapa kecil sekalipun.

 

Tingkahlaku yang menunjukkan unsur elitisme perlu dikikia. Dalam erti kata lain sikap untuk bersedia bergaul dan berinteraksi dengan golongan marhaen, tidak hidup dalam gaya yang elitis dan tidak terpisah dari khalayak rakyat perlu dihayati sepenuhnya. Pokoknya kehidupan yang cukup sederhana dan senang didekati masyarakat adalah sifat diri aktivis yang diperlukan oleh TERAS.

 

Dalam masa yang sama setiap percakapan kita hendaklah benar dan lurus. Walau apapun yang dibicarakan perlu ada sikap berterus terang dan tidak berselindung untuk menutup kelemahan dan kesalahan. Membicarakan sesuatu dengan penuh bertanggungjawab dan memenuhi setiap janji dan cuba mengikis sifat mencari-cari alasan untuk tidak menunaikan hak adalah sifat mulia yang perlu diserlahkan. Sifat diri ini akan mengukuhkan integriti seseorang aktivis dalam kacamata masyarakat.

 

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalan-amalanmu”

Al Ahzab : 70-71

 

Sabda Baginda Rasulullah SAW :

 

Sesungguhnya berkata benar itu menunjukkan ke jalan kebaikan, dan sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan ke syurga. Sesungguhnya seseorang itu hendaklah berkata benar sehingga ditulis disisi Allah sebagai orang yang benar.

(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud)

 

Setiap aktivis TERAS juga perlu mempunyai dinamisme dan aktivisme yang segar dan subur. Daya bertindak dan daya menyumbang harus menjadi sifat diri yang terserlah pada setiap masa. Mereka harus sentiasa aktif dan proaktif dalam kehidupan. Mereka perlu mengamalkan sikap mendahului dalam melakukan khidmat dan kebajikan kepada orang lain. Malah seorang aktivis TERAS siapsiaga membantu dan melakukan kebajikan pada bila-bila masa dan ketika.

 

Kami juga sering mengulangi 4S dalam diri setiap aktivis TERAS yakni SIMPLICITY (kesederhanaan), SELF DENIAL (menghindari diri dari hidup selesa), SACRIFICE (pengorbanan) dan SUFFERING (sanggup menghadapi penderitaan). Sifat-sifat ini bagi kami adalah antara sifat pejuang yang akan mengelak diri dari tercicir dan meninggalkan perjuangan. Dalam hal ini sifat-sifat tersebut perlu dipupuk dengan sabar dan tekun sehingga ia menjadi sebati dalam kehidupan seharian para aktivis. Ertinya jangan ada yang leka dengan keselesaan hidup sehingga ia terperangkap dalam kenikmatan yang menghalang diri dari terlibat dalam perjuangan. Aktivis TERAS tidak akan ghairah untuk mendapat habuan pangkat dan gelaran, tidak gila anugerah dan hadiah, tidak ambil pusing sanjungan dan keistimewaan dan tidak kisah dengan kesenangan dan keselesaan duniawi. Apa yang menjadi tumpuan hidupnya ialah agar redha Allah SWT sahaja yang menjadi idamannya….

 

Kami menyarankan agar setiap aktivis TERAS menjalani introspeksi dan muhasabah yang intensif pada diri masing-masing pada setiap kesempatan. Di situ pihak kita perlu belajar, di pihak yang lain kita perlu belajar semula. Dalam ertikata lain perlu ada suatu proses mengkondisi semula hidup kita setelah kita diperangkap dengan budaya hidup cinta benda, cinta keselesaan dan cinta dunia yang keterlaluan. Setiap tingkahlaku kita pada setiap waktu perlu melalui proses pembaikan. Sifat positif berikut perlu diterapkan iaitu menepati masa, cukup berdisiplin, kebolehpercayaan, tawadhu’, inisiatif diri dan peka terhadap masalah umat. Manakala sifat negatif berikut perlu dikikis iaitu kejahilan, keselesaan yang melekakan, menangguh-nangguh kerja, tidak ambil tahu, tidak berfikir, menerima membuta tuli, tidak asertif, bergantung kepada bantuan, penting diri dan korup.

 

Sebagai seorang aktivis kita perlu sentiasa memberi inspirasi kepada rakyat marhaen, dan mencetuskan daya bertindak dikalangan masyarakat, dalam hal ni diri kitalah yang perlu menjadi pendorong terkuat untuk menggerakkan umat ke arah perubahan. Seorang aktivis TERAS perlu mampu memberi arahtuju kehidupan yang baru kepada umat, merangsang rakyat untuk berpatisipasi secara aktif dalam proses perubahan, menzahirkan komitmen dari masyarakat dan melahirkan keluarbiasaan untuk bertindak bagi setiap individu yang direkrut oleh TERAS dalam perjuangan ini.

 

Demikianlah pandangan kami untuk mewujudkan sebuah gerakan aktivis yang dinamik, terhormat dan berkesan. Kami menyeru agar semua yang mahu turut bergiat dalam perjuangan TERAS memahami wasilah ini dengan jelas dan mendalam. Sesungguhnya tugas kita amat berat dan penuh risiko. TERAS mengundang sesiapa sahaja yang ikhlas untuk berjuang membawa perubahan Islamiyyah kepada umat. Kami menyarankan kesediaan setiap individu untuk menjadi pendokong serius kepada wasilah ini agar terus komited dan istiqamah untuk menyebarkan dan meninggikan “Kalimatullah Hiyal ‘Ulya”. Tiada yang kita harapkan melainkan keredhaan Allah SWT jua. Kita akan terus dirangsang oleh daya juang dan iltizam Baginda Rasulullah SAW.

 

“Demi Allah, wahai pamanku, kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan urusan kerja perjuangan ini, aku tidak akan meninggalkannya sehingga Allah memberi kemenangan kepadaku atau aku binasa kerananya”

 

Allahu Akbar Walillahil Hamd.

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031