Papar imej jantung pada kotak rokok

INDUSTRI rokok adalah perusahaan paling maju di negara kita dan peringkat global. Jenama yang diperdagangkan begitu banyak sehinggakan tidak terhitung.

Masyarakat menjadi mangsa industri ini secara tidak langsung sejak ratusan tahun dulu, hatta ada yang sanggup menjadi hamba kepada perkembangan industri rokok ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan ada kira-kira 1.25 bilion perokok di seluruh dunia. Jelas sekali, jumlah ini mewakili sepertiga penduduk dunia dalam lingkungan 15 tahun ke atas.

 

Industri rokok menjadikan masyarakat kita terjerumus ke kancah kebinasaan mengikut keterangan penagih tegar yang menyatakan bahawa permulaan ketagihan dadah adalah berpunca daripada rokok.

Tahap peringkat sekolah menengah adalah pertama bagi banyak perokok di negara kita terutama yang berumur 15 tahun. Ada juga yang masih kecil berumur tiga tahun menghisap rokok seperti dinyatakan oleh Aziz Man daripada pertubuhan NGO Prihatin Malaysia (Prihatin) pada November 2007.

Persoalan yang timbul adakah kita rakyat Malaysia yang berpegang kepada cogan kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu Cemerlang, Gemilang dan Terbilang untuk melahirkan generasi perokok yang memimpin negara Malaysia pada masa depan?

Punca lahirnya masalah rokok ini tidak lain adalah pengaruh rakan sebaya. Tidak dapat disangkal juga industri ini memperdagangkan rokok kepada wanita dengan mengeluarkan kenyataan bahawa rokok mampu melangsingkan badan, manakala bagi lelaki industri ini mengeluarkan propaganda dalam iklan bahawa merokok di kalangan lelaki menampakkan lelaki itu gagah, ada gaya serta menawan apabila dipandang wanita.

Pada peringkat mahasiswa juga tidak kurang hebatnya sehinggakan mahasiswa berani merokok di fakulti, sedangkan ia tempat yang tidak dibenarkan merokok. Ada juga yang beralasan bahawa merokok mampu menambah idea serta mengurangkan tekanan.

Alasan ini tidak munasabah sama sekali kerana bagi mengurangkan tekanan seperti dikatakan oleh Datuk Dr Fadilah Kamsah di Universiti Malaya baru-baru ini, adalah dengan mendekatkan diri kepada Ilahi dan selalu bertafakur.

Di Malaysia, wujud peningkatan kes berkaitan dengan merokok seperti kanser dan gangguan kardiovaskular sejak 25 tahun lalu seperti termaktub dalam buku Halal Haram keluaran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Pakar sakit tuan, Dr Ismail Tambi juga menyatakan merokok adalah penyumbang kepada kes mandul di Malaysia. Merokok dianggap sebagai punca utama kematian yang boleh dicegah dan dibendung.

Kajian saintifik juga menunjukkan asap rokok mengandungi lebih 4,000 bahan beracun seperti arsenik, benzopirena, metoprena, aseton, plumbum, ammonia dan sebagainya.

Walaupun perkara ini diketahui oleh masyarakat umum terutama mahasiswa, tetapi mereka tidak menghiraukannya. Tidak dapat disangkal lagi merokok membentuk keruntuhan moral yang berleluasa di Malaysia dan ada juga yang sanggup mencuri semata-mata sebatang rokok terutama di kalangan penagih.

Dianggarkan setiap sehari, mahasiswa yang merokok membelanjakan RM2 untuk membeli lima batang rokok. Jika 1000 mahasiswa merokok di sesebuah IPT, bermakna setahun sudah membelanjakan RM730,000.

Ini bermakna dapat dikumpul dalam tiga tahun tempoh belajar RM2,190,000 yang mana mampu untuk membina sebuah bangunan konvokesyen.

Banyak dana dikeluarkan oleh kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyedarkan masyarakat supaya berhenti merokok seperti kempen ‘tak nak’ yang jutaan ringgit dilaburkan tetapi tidak juga berkesan.

Pada peringkat sekolah, diajar pendidikan jasmani yang menitikberatkan bahawa rokok membahayakan kesihatan. Ia juga tidak berkesan sehinggakan kerajaan melabelkan di setiap kotak rokok ‘Amaran oleh kerajaan Malaysia, merokok membahayakan kesihatan’ tetapi tidak diendahkan oleh masyarakat.

Adalah wajar bagi kerajaan mengawal industri rokok di Malaysia kerana kos menampung perubatan bagi kes kanser disebabkan rokok meningkat daripada keuntungan negara terhadap industri ini.

Dicadangkan juga agar setiap kotak rokok yang dijual diletakkan gambar jantung atau paru-paru yang rosak serta gambar pesakit kronik kerana merokok seperti yang dilakukan di Thailand, kerana ia sekurang-kurangnya mampu memberi sedikit rasa insaf masyarakat.

Selaku mahasiswa yang dipandang tinggi oleh masyarakat perlulah menunjukkan contoh baik kepada masyarakat seperti tidak merokok dan mestilah menunjukkan perilaku mulia. Masyarakat juga memainkan peranan penting agar melahirkan generasi yang tidak merokok supaya kesihatan tubuh badan terjaga dan tiada pembaziran.

ZULZAIDI MAHMOD,
Presiden Jaringan Nasional Belia
Mapan, Kuala Lumpur.

 

1 comments on “Papar imej jantung pada kotak rokok
  1. perokok berkata:

    Apakata kuantiti TAR dan NIKOTIN dalam rokok tue diturunkan kaw2 dan juga harga rokok dinaikan.

    Klu ada ubat mgurangkan ketagihan merokok, sila buat satu rokok utk perokok berubat sambil merokok..uhuhuh..

    just idea je 🙂

    N&N

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031