PPMK 1432

SAATNYA GENERASI PEWARIS BANGSA BERSIAP
MEMIMPIN KEBANGKITAN UMMAH

Mohd Azmi Abdul Hamid
Ucapan Bertindak PPMK ke 13 – 1432H , TERAS Pengupayaan Melayu
1 Muharram 1432H/7 hb Disember 2010 , Dewan Bahasa dan Pustaka

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku & kepada ibubapaku & supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yg Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu & sesungguhnya aku dari orang2 Islam (yang tunduk patuh kepadaMu).
(Al-Ahqaf:15)

Bermula kalam, bagi pihak TERAS dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia(MAPIM) , saya mengalu-alukan kehadhiran barisan kepimpinan TERAS negeri-negeri, ahli perwakilan MAPIM dan warga Tenaga Penggerak Masyarakat (Teman) serta para dhuyuf yang mulia dalam Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan Kali ke 13 sekaligus dimajlis Wacana Hijrah TERAS-MAPIM 1432H.
Terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah mengizinkan sambutan milad TERAS kali ini menggunakan premis ini yang menyegarkan nostalgia kami setiap kali menjelang 1 Muharram. Pada 13 tahun yang lalu TERAS dilancarkan di DBP inilah. Sejarah kelahiran TERAS dan kehadirannya terus dipersada da’wah dan kerja-kerja mengembleng ummah dan memperkasakan bangsa menguatkan iltizam kami supaya meneruskan pembinaan TERAS sebagai wadah umat dan bangsa, membina, mengasuh dan menguruskan transformasi warga dan ummah seluruhnya.
Kami mengulangi pernyataan bahawa 1 Muharram setiap tahun adalah tarikh yang sangat penting buat TERAS kerana ia disambut sekaligus sebagai iftitah lahirnya sebuah wadah berdasarkan Islam sebagai pegangannya, membela nasib bangsa sebagai gerakerjanya, mengangkat martabat nusa sebagai kerangka agenda wilayahnya serta mencetuskan intifadhoh ‘alamiah bergabung dengan perjuangan ummah ditingkat antarabangsa sebagai tanda persaudaraan Islamiahnya.
Kami menyambut kehadiran semua dengan kehangatan ruh Hijraturasul yang dirayakan oleh seluruh masyarakat agar kita siap menjadi bahagian daripada sebuah perjuangan mengembalikan martabat dan ‘izzah ummah melalui penterjemahan Risalah Dinul Islam dalam rangka mendokong amanah Illahi.
Kami dengan penuh kesedaran sekali lagi terpaksa bermula dengan mengajak para Teman sekalian agar bermuhasabah terhadap realiti ummah. Sehingga saat ini kami maseh belum dapat memaparkan berita yang mengembirakan.
Dari sudut nasional, entah kenapa nampaknya kita masih bersarang dalam kepincangan tidak kunjung selesai. Setelah 53 tahun mengecapi kemerdekaan kita maseh terjebak dengan kesilapan-kesilapan yang sama. Budaya feudal terus diancak dan didewa-dewakan, pemikiran dan ideologi sekular terus dibajai manakala syariat bagaikan saudagar asing menunggu ihsan, budaya hidup konsumeris sudah menjadi agama baru, pembangunan dan ekonomi berasaskan kapitalisme dan neo-liberal tetap menjadi model dan rujukan.
Sayangnya kita semacam tidak mahu belajar dan dijangkiti penyakit tahu semua. Tatkala dunia sudah menunjukkan tanda hilang punca dan kabur arah, pemimpin Negara masih mengidamkan agar kita turut serta dalam percaturan global seiringan dengan Negara adikuasa kononnya mengharapkan kita dapat sama nikmat dari ekonomi liberal kapitalis yang pada hakikatnya tinggal nyawa-nyawa ikan itu. Disaat semuanya kelihatan tak menjadi dan fenomena “the free fall of capitalism” sedang berlaku didepan mata, kita pula beriya-iya mengundang dan meraikan para pelopor kapitalis Barat untuk menjadi rakan niaga dan penasihat kita.
Lihat sahaja bagaimana rasional diguna oleh badan pemikir kerajaan – Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri, – dikatakan menelan perbelanjaan RM66 juta sebelum ia beroperasi dengan sebahagian besar wang itu dibelanjakan untuk bayaran kepada perunding asing termasuk firma perunding Amerika McKinsey and Co, yang mengaut RM36 juta. Dokumen yang didedahkan melaporkan antara perunding luar negara dan tempatan yang dibayar oleh PEMANDU termasuk Hay Group (yang dibayar RM11 juta), Ethos & Co (RM1.5 juta) dan Alpha Platform (M) Sdn Bhd (RM1.5 juta).Belum lagi dilaporkan seorang “perunding luar” misteri yang hanya dikenali sebagai “Tarmidzi” pula menerima bayaran RM3 juta untuk kerja-kerja menubuhkan PEMANDU. Sementara itu, operasi PEMANDU dianggarkan berjumlah RM65.1 juta bagi seluruh tahun 2010, yang termasuk bayaran perunding strategik dan komunikasi serta penganjuran majlis program hari terbukanya.
Soalnya apakah perlu kita mengguna perunding luar yang sebenarnya mereka itu sudah bangkrap idea untuk menyelesaikan kemelut kapitalisme kewangan di Negara mereka sendiri. Pun begitu kita bertanya lagi apakah perlu berbelanja sedemikian besar mencecah RM60 juta hanya untuk menghasilkan sebuah rencana ekonomi bergelar ETP padahal yang menghasilkannya bukan juga dari sebuah pemikiran yang murni dari warga kita yang berfikir sendiri?.
Pada pengamatan kami, Negara kini dipacu ke arah pembangunan yang berasaskan kriteria pertumbuhan ekonomi bukan kepada kualiti keinsanan. Kemajuan yang menjadi sasaran diukur dengan tahap pendapatan bukan pengkayaan pemikiran dan budaya. Pencapaian yang dikejar adalah projek berskala mega bukan berhemat dan sederhana dalam membangunkan keperluan asas rakyat . Transformasi yang diwar-warkan adalah untuk menyertai persaingan global bukan untuk mengukuhkan tradisi dan keupayaan kita sendiri sesuai dengan keperluan sosio-budaya kita sendiri. Prasarana kesihatan dibangunkan lebih terdorong untuk menjadikan Negara hub pelancongan perubatan bukan untuk mendahulukan kesihatan rakyat yang asasi.
Kini riuh rendahlah kita sekali lagi dengan projek-projek super mewah dari gedung 100 tingkat kepada hub hiburan malam. Padahal sudah dijeritkan berkali-kali, ada rakyat yang tidak cukup makan, ada orang desa yang tidak mampu menyekolahkan anak, ada keluarga yang tinggal dibawah jambatan, ada petani yang tidak terdaya mengelolakan tanahnya lagi, ada kampung yang bakal dilenyapkan atas nama pembangunan, ada desa yang tidak punya jalan untuk diguna rakyat, ada peniaga kecil yang terpaksa gulung tikar kerana dihadhirkan pasaraya gergasi yang menelan saki baki peniaga kecil diwarung-warung kecil, ada mahasiswi terheret menjadi pelacur akibat berdepan dengan tekanan untuk menamatkan pengajian serta kos pengajian itu sendiri yang semakin meningkat tidak termasuk kos makan minum, tempat tinggal, pengangkutan, buku-buku, komputer dan bil Internet.
Dalam pada itu, ada lagi cerita yang membuat dada semakin sesak. Setiap kali laporan audit Negara mendedahkan wujudnya pelbagai kepincangan dalam pengurusan perbelanjaan Negara, kepincangan yang sama berulang bertahun-tahun. Jutaan ringgit perbelanjaan dari perbendaharaan Negara dikeluarkan, jutaan ringgit pula yang tiris dan disalahguna untuk masuk dalam uncang peribadi para pengurus dan para penjawat agensi awam dan swasta.
Tidak cukup dengan itu kita didedahkan dengan berita-berita yang sangat merimaskan dalam kehidupan sosial rakyat. Kes jenayah yang semakin meningkat, keruntuhan institusi keluarga yang menjadi berita setiap hari, laporan buang bayi yang nyaris dianggap perkara biasa, kelahiran anak luar nikah yang sudah mencecah kadar yang mengerikan, pecah amanah dan rasuah yang menjadi-jadi dalam sistem pengawasan dan kehakiman yang sangat rapuh. Lagi besar gedung dan penjawat yang ditambah untuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah melambangkan sebesar itu pulalah gejala korupsi di Negara ini. Lagi ditambah puluhan ribu anggota polis dengan segala kecanggihan alat terkini , menggambarkan demikian besar pulalah kes pelanggaran undang-undang yang berkembang di Negara ini.
Pokoknya ummat dan bangsa berada di wilayah hidup penuh simpang siur.
Sementara kita merayakan wujudnya secebis kesedaran mengenai kedudukan dan status bahawa ummat dan bangsa maseh berada diposisi lemah dan dengan itu tercetus sorak-sorai untuk mempertahankan kedudukan Melayu, namun terlalu banyak lagi ruang islah yang perlu segera dilaksanakan. Sedangkan kesedaran itupun disaluti dengan pemikiran sempit bahawa atas nama bangsa Melayu semada benar atau salah , ia tetap mesti dipertahankan. Inilah kejanggalan suara memperjuangkan nasib bangsa bila polemik Ketuanan Melayu dikemundangkan diluar bingkai Islam. Terkeluar dari realiti sebenar, Melayu menjadi bangsa yang sering dislogankan namun pada hakikatnya tidak berpijak dibumi nyata. Maka terbongkarlah dipermukaan betapa slogan-slogan Melayu hanya menjadi momokkan semata-mata.
Dikala kita bangga dengan sekian banyak agensi awam yang didirikan untuk membantu menaiktaraf sosio-ekonomi Melayu , namun bangsa inilah yang masih lagi diikat dengan politik feudal, iaitu politik naungan dan hidup dalam sindrom menagih bantuan!! Kita gahkan dengan institusi Melayu yang wujud disetiap Negeri, akan tetapi gejala salah urus dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pemimpin orang Melayu sendirilah yang menyebabkan institusi-institusi tersebut tidak bermaya dan hilang wibawa. Kita siap berhujah dengan Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu, namun kita jugalah yang telah melaksanakan segala langkah yang menghakis bahasa Melayu dan menghakiskan khazanah orang-orang Melayu dan tidak mengukuhkan kuasa agama dikalangan Raja-raja Melayu. Kita bertahan dengan Tanah Rizab Melayu, tetapi pemimpin Melayulah yang selama ini mengadai tanah Melayu tanpa rasa bersalah. Kita berdabik dada bahawa Islam adalah agama Persekutuan, akan tetapi kitalah yang telah menghina kedudukan hukum dan status syariah di Negara ini sehingga kedudukan undang-undang syariah sentiasa bertaraf kelas kedua berbanding undang-undang sivil. Kita berdolak dalik dengan DEB, akan tetapi pemimpin Melayulah yang telah memusnahkan integriti DEB sehingga yang mendapat keuntungan besar adalah segelintir golongan elit Melayu. Kita berbentengkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, namun pemimpin Melayulah yang merungkai dan merosakkan budaya bangsa atas alasan pemikiran liberal dan pluralistik.
Akibatnya pelbagai kepincangan sosio-ekonomi tidak terhindarkan. Walhasil lebih malang lagi segala natijah sosialnya dapat dilihat tertumpah kepada generasi muda. Kita merunsingkan gejala kehilangan identiti generasi muda, akan tetapi kita jualah yang merayakan dunia komersialisasi dalam hampir semua aspek kehidupan anak muda Pengaruh dunia pengiklanan yang agresif menjadi pendorong kepada keruntuhan moral anak muda ke lembah nilai kacau-bilau.
Generasi muda dighairahkan untuk hidup yang didorong oleh media komersial. Televisyen dan internet sarat dengan slogan-slogan iklan. Bila ditanya apa cita-cita mereka jelas ramai yang menjawab “kaya” dan “terkenal”. Malah generasi muda menjadi sasaran utama kepada istitusi kewangan dan dunia komersial kerana mereka menjadikan kejahilan sebagai elemen terpenting mengekploitasi generasi muda. Untuk hidup beridentiti generasi muda dipancing untuk menjadi manusia konsumeris. Mereka dikondisikan untuk membeli identiti bukan itu mempertahankan identiti yang sedia ada dalam tradisi mereka. Sehingga mereka hilang punca untuk mencari ta’rif diri. Malah mereka bukan lagi menjadi mangsa kepada dunia konsumerisme malah mereka turut diransang untuk mencipta dunia mereka sendiri dengan jenama sendiri, bahasa sendiri, lebel sendiri, fesyen sendiri dan gaya hidup sendiri. Nyatalah generasi muda kini menjadi “trendsetters” dalam masyarakat sehingga seluruh media kini terarah untuk memenuhi selera anak muda.
Sekali lagi noktahnya bermula dengan bertanya apa gerangan ummat disaat ini? Terlalu banyak yang boleh diperkatakan. Namun yang memperihatinkan ialah gambarannya setakat ini adalah potret ummah yang muram dalam belukar porak peranda sosio-ekonomi-politik penuh krisis, Belum lagi berada di hujung lorong cerah untuk keluar dari kegelapan dan tamadun yang telah sirna dan hilang wibawa, padahal sebelum ini menggerunkan dan dihormati umat manusia diserata dunia.
Tepat sekali rumusan Rasulullah s.a.w bahawa majoriti umat bakal menjadi umat berkualiti buih. Terapong dibawa arus, bergantung didahan rapuh dan bersandar kepada pohon yang menunggu rebah.
Sungguhpun Rasulullah menyatakan masa depan yang bakal berlaku itu sepatutnya menjadi ingatan kepada generasi mendatang agar berusaha untuk menghindarinya, namun pra-syarat untuk berlaku atau tidaknya adalah berada ditangan generasi pelanjut. Malangnya kitalah yang menyiapkan resepi untuk menjadikan generasi pelanjut sebagai generasi berkualiti buih sudah hampir lengkap dipenuhi. Berdasarkan tabiat umat yang sedia ada masakini, kita sudahpun menunjukkan ciri-ciri martabat sebuah umat yang berkualiti buih.
Antara punca yang jelas menjadi musabbab ummat Islam saat ini terpuruk baik dimana sekalipun berpangkal kepada sikap infirodiyyah (individualism). Akibat masing-masing membawa keutamaannya sendiri menyebabkan usaha untuk menggalang kesatuan ummat dalam bertindak sangat lemah dan kuasa tawar (bargaining position) demi kepentingan umat dan bangsa juga lesu dan tidak bermaya.
Yang jelas juga ialah kebanyakan ulama dan mubaligh sibuk dengan menyampaikan pidato mereka, para pengusaha muslim sibuk dengan usahanya, manakala para pegawai awam sibuk mempertahankan jabatannya dan para politikus bergegas kesana-sini meraih sokongan para pengundinya. Sebagai natijah, tidak ada koordinasi dan pengkhususan untuk bekerja sesuai dengan bidangnya kemudian hasilnya dimusyawarahkan untuk kepentingan bersama.
Sedangkan yang memperparah kondisi umat Islam saat ini ditambah lagi dengan ikatan keislaman majoriti umat saat ini masih hanya pada ikatan emosional saja belum disertai dengan kefahaman yang mendalam akan ajaran agamanya. Sehingga disiplin untuk bekerja, semangat untuk berdakwah, ghairah untuk berinfak hanya setakat pada taraf emosional bersifat reaktif dan sesaat saja.
Dalam pelaksanaan ibadah ritual menjalankan pola hidup sampai dengan mensikapi berbagai peristiwa kontemporari majoriti masyarakat muslim tidak berpegang kepada dasar dhawabith kaedah-kaedah Islam yang jelas karena pengetahuan keislaman yang secukupnya dan ala kadar sahaja sehingga lebih memandang kepada pendapat berbagai tokoh yang dipuja. Malangnya para tokoh tersebut kebanyakan disanjung oleh berbagai lembaga yang tidak memiliki wibawa sama sekali dalam bidang agama seperti media massa sehingga bermunculanlah para ulama selebriti yang berfatwa tanpa ilmu sehingga sesat dan menyesatkan.
Sebuah hal yang bahkan kita kurang sadari bahwa saat ini yang hilang dari majoriti pemuda Negara ini, terutama pemuda Islam, adalah semangat dan kesungguhannya untuk benar-benar menjadi orang paling berguna bagi watan dan pemuda berkualiti buat ummah dan bangsa.
Hal tersebut memang ada benarnya. Banyaknya berita dan rencana di media tentang kenakalan anak muda memaparkan bahwa semangat dan kesungguhan mereka untuk menyumbangkan sesuatu yang positif bagi negara atau paling tidak buat lingkungan mereka sendiri, semakin menjadi sangat kecil bilangannya.
Dengan dunia digital yang dianggap anugerah paling bertuah buat generasi ini , rupanya apa yang kita saksikan ialah sebuah generasi yang tidak lebih dari terpukau dengan teknologi komputer yang melekakan sehingga lahirlah apa yang digelar sebagai “the click generation”.
Dengan dunia konsumerisme global, generasi ini terdedah dengan tabiat kepenggunaan yang tidak terkendali sehingga lahir “conspicuous generation”.
Disudut antarabangsa pula kita menyaksikan status umat yang sangat menyedihkan. Terhimpitnya Palestin dalam kepungan Israel, porak-perandanya Iraq akibat pencerobohan Amerika, hancur leburnya Afghanistan menghadapi serangan seluruh bala tentera Barat, tertindasnya Kashmir akibat serangan tentera India, hancur Masjid Babri dan mengalirnya darah umat Islam di Gujurat dan di Ayodya, India, terperosoknya nasib negeri Arakan sehingga lebih sejuta umat Islam Rohingya merempat menjadi pelarian akibat penindasan junta Myanmar, berterusannya umat Islam ditakluki kerajaan Siam di Thailand Selantan, tersudutnya lebih 200 tahun perjuangan umat Islam Bangsamoro di Mindanao, tersepitnya lebih 200,000 ribu umat Islam di Sri Langka, tertindasnya umat Islam Xinjiang oleh rejim Komunis China, terbunuh ratusan ribu umat Islam di Chechnya oleh rejim Russia, tertindasnya hak asasi manusia umat Islam di Eropah dan di Amerika, tertekannya gerakan Islam diseluruh Negara-negara Asia Barat seperti Mesir, Yaman, Saudi, Jordan, Syria, Morocco, Sudan, Algeria, Libya dan Tunisia. Tidak kurang juga tekanan terhadap aktivis Islam dilancar di Negara seperti Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.
Sesungguhnya ini hanyalah secebis wajah bangsa dan ummat yang memerlukan usaha keras dari setiap penggerak jika kita mahu siap mengambil peranan memimpin kebangkitan ummah.
Bicara maudhu’ membina generasi pelanjut.
Lantaran itu untuk bicara milad Teras ke 13 kali ini kami telah membulatkan tekad untuk mengenengahkan sebuah maudhu’yang kami anggap sangat penting. Bahawa jika kita jujur mahu melihat masa depan yang terjamian maka tidak ada bicara yang lebih penting dari maudhu’ membina generasi. Baik dalam lingkungan institusi terkecil iaitu keluarga mahupun dalam medan yang lebiih besar iaitu dalam sebuah watan, sekalipun dalam berwacana mengenai perubahan tamadun dunia sejagat.
Sesungguhnya itulah jaminan yang paling ampuh untuk menentukan masa depan umat yang lebih cerah. Kegagalan membentuk generasi pewaris akan meletakkan umat dalam masa depan yang tidak menentu , rapuh dan tidak berhala tuju.
Indah sekali himpunan catatan dan pesan pemikir-pemikir yang memberi perhatian tinggi kepada golongan muda:
Musthafa al Ghalayaini dari Beirut berkata: “Adalah terletak di tangan para pemuda kepentingan umat ini, dan terletak di tangan pemuda juga kehidupan umat ini.”
Komentar Mustahafa Kamil pemikir dari Mesir, yang perlu kita renungkan: “Pemuda yang bodoh, beku (tidak punya ruh jihad) untuk memajukan bangsa, matinya itu lebih baik daripada hidupnya.”
Imam Asy-Syafi’i mengatakan bahwa: “Sesungguhnya kehidupan pemuda itu, demi Allah hanya dengan ilmu dan taqwa (memiliki ilmu dan bertaqwa), karena apabila yang dua hal itu tidak ada, tidak dianggap hadir (dalam kehidupan).“
Sukarno pernah mengatakan “Beri aku seribu orang, dan dengan mereka aku akan menggerakkan Gunung Semeru. Beri aku sepuluh pemuda yang membara cintanya kepada Tanah Air, dan aku akan mengguncang dunia”.
Imam As-Syahid Hassan Al Banna memesan “Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah..”
Puisinya Mohammad Iqbal yang diterjemahkan secara bebas oleh M.Natsir pula menukilkan

( Harapan Kepada Pemuda )

Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup
membangunkan zaman yang baru
memperbaru kekuatan iman
menjalankan pelita hidayat
menyebarkan ajaran khatamul-anbiya’
menancapkan di tengah medan pokok ajaran Ibrahim
Api ini akan hidup kembali dan membakar
jangan mengeluh jua , hai orang yang mengadu
Jangan putus asa , melihat lengang kebunmu
Cahaya pagi telah terhampar bersih
Dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu

Khilafatul-Ard akan diserahkan kembali ke tanganmu
Bersedialah dari sekarang
Tegaklah untuk menetapkan engkau ada
Denganmulah Nur Tauhid akan disempurnakan kembali
Engkaulah minyak atar itu , meskipun masih tersimpan dalam
kuntum yang akan mekar

Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu
Hembuslah panas nafasmu di atas kebun ini
Agar harum-harum narwastu meliputi segala
Dan janganlah dipilih hidup ini bagai nyanyian ombak
hanya berbunyi ketika terhempas di pantai
Tetapi jadilah kamu air-bah , mengubah dunia dengan amalmu

Kipaskan sayap mu di seluruh ufuk
Sinarilah zaman dengan nur imanmu
Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu
Patrikan segala dengan nama Muhammad

Dalam kata-kata lain kita harus bersungguh belajar tentang menanam benih generasi mendatang . Seperti dicatat oleh Saudara Herry Nurdi dalam sebuah rencananya , Ustadz Salamat Hashim seorang pemimpin Moro Islamic Liberation Front , gerakan Islam yang memperjuangkan kemerdekaan bagi kaum Muslimin di wilayah Mindanao, Filipina Selatan mengeluarkan pesannya:
“If this freedom cannot be achieved during my lifetime, I can assure you, and I can assure everybody, that I have already planted the seeds of Jihad. I have already planted the idea of fighting for freedom in the heart of my people, the Bangsamoro people.”
(Jika kemerdekaan ini tidak boleh dicapai semasa saya hidup, maka saya memastikan pada Anda, saya akan memastikan pada semua orang, bahwa saya telah menabur dan menanam benih Jihad. Saya telah menanam ide perjuangan kemederkaan di dalam hati semua orang. Di dalam hati kaum saya, Bangsamoro.)
Sememangnya tak banyak pejuang yang boleh mengecap kemenangan dan hasil dari perjuangannya. Kalaupun ada, mungkin boleh dihitung dengan jari jumlahnya. Salah satu nama yang boleh kita sebut adalah Nelson Mandela, yang akhirnya boleh melihat langit cerah dan matahari keadilan di Afrika Selatan, setelah tahun-tahun pedih di bawah apartheid mereka rasakan. Sisanya, banyak sekali orang-orang seperti Ustadz Salamat Hashim yang meninggal karena serangan jantung setelah berjalan kaki empat hari menghindari serangan tentera Filipina.
Dihujung hayatnya beliau meninggalkan sebuah pesan yang sangat inspirasional sesudah beliau merasakan ajal sudah mendekat dan nyaris tak berjarak. Setelah beliau menolak usaha untuk membawanya keluar dari Filipina untuk mendapatkan perawatan. Tapi beliau menolak.
“Biarlah saya mati di sini, di tanah yang saya cintai, dikeliling orang-orang yang saya kenali, yang dihatinya telah ditanam benih perjuangan.”
Kami berpandangan mempersiapkan pewaris bangsa untuk memimpin umat bagaikan menanam benih. Kejayaan untuk membangunkan semula tamadun umat yang sudah sirna hanya akan berlaku berasaskan benih-benih yang ditanam, dibajai dan dipelihara dari sebarang perosak. Lalu benih itu diasuh untuk membesar dan memberikan hasil yang maksimal. Benih-benih mengakar jauh ke dalam tanah, mengokohkan pokok yang tinggi menjulang ke angkasa.
Siapakah mereka yang menanam benih hari ini? Masih adakah orang-orang yang bersungguh menyiangi benih-benih yang sudah di tabur, menjaganya dari serangan hama yang menganggu dan memberikan baja agar tumbuh subur?
Ini adalah tugas yang sebenarnya mesti kita lakukan. Menabur dan menanam benih, menjaga dan menyirami, memupuk dan membesarkan. Tanpa harus menganggap ringan orientasi hasil akhir, kita harus bersungguh-sungguh dalam proses penanaman. Karena memang, tak ada yang pernah tahu, bila musim tuai tiba dan hasil boleh dini’mati dengan senyum gembira.
Jika kita benar-benar beriltizam dengan tugas memulih penyakit umat dan bangsa ini dan mengharapkan lahirnya semula tamadun gemilang maka mencetak tenaga penggerak baru demi mencetuskan kebangkitan umat dan bangsa , tidak boleh tidak mesti dilaksanakan .
Inilah jaminan kebangkitan umat yang lebih segar dan lebih mapan. Iaitu lewat pembinaan generasi pelanjut ruh Hijraturrasul. Merencana , melaksana dan terus melaksana. Kerja ini tidak boleh dikalahkan dengan keghairahan untuk meraih hasil yang segera, tugas ini tidak boleh dilesukan dengan cabaran fitnah dan mehnah dari luar dan dalam.
Membiarkan generasi pelanjut menjadi orang-orang yang ke bawah tak mengakar, ke atas dan berpucuk, dan di tengah-tengah di heret kumbang akan bernatijahkan masa mendatang yang muram seperti yang kita saksikan sekarang.
Oleh itu rumusan kami adalah, ayuh ! kita lakukan kerja menanam benih kesedaran dan daya juang dikalangan generasi muda. Itu tugas besar yang harus kita lakukan saat ini. Tak peduli berapa lama kemenangan dan kejayaan akan diraih, mungkin kita boleh menyaksikan, mungkin juga tak dapat kita lihat. Tapi yang harus kita pastikan adalah, sudahkah kita menanam kesadaran pada tunas yang sedang tumbuh di ladang umat , agar mereka mendewasa sebagai pejuang yang boleh diwariskan kelansungan Risalah ini?
Kami mengajak perhimpunan TERAS dan wacana bersama MAPIM dipintu gerbang Hijrah tahun ke 1432 ini mengutarakan sebuah lakaran membina generasi pelanjut sebagai barnaamij albina’ al ula (program pembinaan utama) untuk tempuh 1 dekad mendatang.
Dengan yang demikian inilah garis-garis besar tindakan TERAS-MAPIM yang ingin kami utarakan untuk melahirkan generasi yang siap memikul kepimpinan ummah.
Kita bermula dengan bertanya apakah yang hendak kita bina untuk membangunkan generasi pewaris?
Sebelum itu kita harus melangkah dengan menganalisis kondisi umat. Hanya generasi yang memahami kondisi dan realiti Ummat yang mampu menapak dan siap menjalankan tanggungjawab kepemimpinan di dunia nyata.
Menjadi syarat pertama dalam proses pembinaan generasi pewaris adalah tahap kesedaran dan pengetahuan mereka terhadap kondisi umat. Bahawa generasi pewaris perlu menggarap persoalan realiti yang sedang menguasai masyarakat. Segala fenomena sosio-ekonomi dan politik ummat baik nasional, rantau maupun antarabangsa yang sedang berjalan sekarang perlu difahami dengan analisa yang tajam.
Antara yang perlu digarap oleh generasi pewaris ialah pertanyaan yang sering kali menganggu. Kalau umat Islam memiliki nilai-nilai yang begitu luhur dan tinggi, mengapa kualiti hidup mereka sering kali kalah dibanding umat ghairu muslimin . Wajah kemiskinan dan kemunduran adalah potret negara umat Islam. Rasuah dan urustadbir yang buruk sering menjadi ciri yang terlabel kepada pemimpin Negara umat Islam.
Sebetulnya kita harus terima bahawa sunnatullah berlaku baik untuk Muslim, maupun untuk non-Muslim. Berlaku umum.
Pemerintah yang adil meski kafir akan bertahan lebih lama dibanding pemerintah yang zalim, meski Muslim. Makin adil sebuah rejim, maka makin panjang umurnya. Makin zalim sebuah rejim, makin pendek umurnya.
Malik Bennabi, seorang sejarawan Aljazair mengatakan tentang kaedah tumbuhnya suatu peradaban. Pada suatu masa paling bagus dari sebuah peradaban, kita boleh melihat generasinya didominasi nilai-nilai spiritual. Lalu ketika mereka jaya, nilai-nilai yang dominan adalah nilai rasional. Kelak, jika sebuah peradaban menuju keruntuhannya, maka ketika itu yang dominan adalah nilai-nilai nafsu, syahwat, dan materi, mendominasi generasinya.
Ketika menanjak, nilai yang dominan adalah spiritual. Ketika datar, nilai yang dominan adalah rasional. Dan ketika sedang turun, nilai yang dominan adalah nilai material.
Berdasarkan realiti inilah , kita harus bermula dengan menetapkan terlebih dahulu apa yang hendak kita bangunkan dihujungnya. Masyarakat, watan dan dunia yang bagaimana yang kita inginkan.
Kami menjelaskan kalimah “khairo ummah” yang terakam dalam Al Quran meliputi segala yang terbaik dalam rangka membina ummah. Bahawa ummah terbaik itu sendiri melambangkan segala maksud yang tersirat dan tersurat untuk membentuk semula arah tuju sebuah ummah dan menghidupkan semula tamadun yang unggul.
Ada beberapa katakunci dan konsep dasar yang memerlukan perhatian dalam membina khairo ummah. Pertamanya adalah dasar pegangan hidup yang berpaksi kukuh kepada soal pengadian kepada Allah. Bahawa yang menjadi tunggak membina sebuah ummah terbaik hendaklah berteraskan dasar Rabbani (KeTuhanan). Kedua ialah soal asas nilai ruhani dan keutuhan akhlaq. Bahawa masyarakat yang dibangunkan perlu berdiri di atas akhlaq yang istiqamah dengan akhlaqul kariimah yang mengatur adab bersosial dan bermualamah sesama manusia.Ketiga bahawa kemajuan dalam meningkatkan taraf hidup hendaklah memenuhi semua kriteria maqasid syariah sebagai pertimbangan utama. Bahawa persoalan memelihara agama, akal, nyawa, harta dan akhlaq adalah yang paling utama. Keempat bahawa pembangunan yang dilaksanakan dalam bentuk apapun hendaklah berkonsepkan status insan sebagai penjaga amanah alam dengan segala sumbernya.
Teringat kami peristiwa penting dalam sejarah dua tokoh ummat dan bangsa di nusantara ini iaitu Pak Natsir dan Hamka. Ternyata komunikasi antara dua tokoh ini membentangkan roh dan jiwa besar mereka berdua dalam memastikan api perjuangan tidak boleh padam.
Berdasarkan inilah kita harus mula melakar peta pengkaderan generasi pewaris. Semestinya generasi ini harus dilengkapkan dengan kekuatan sahsiyyah Islam serta keutuhan aqidah yang benar. Selanjutnya mereka perlu mempunyai fikrah yang murni berdasarkan rujukan Al Quran, As Sunnah dan seerah para Sahabah dan ulama mu’tabar. Dengan yang demikian mereka bakal bersiap berhadap dengan persoalan umat yang bersifat kontemporari.
Tidak kurang penting juga ialah generasi pewaris ini perlu dibekalkan dengan kemahiran dan kedispilinan yang tinggi dalam menjalani gerakerja masyarakat. Mereka perlu cukup dinamik dalam merancang , melaksana, memantau , menilai dan mengembangkan perubahan.
Generasi pewaris perlu diasuh untuk hidup lasak dan tidak mudah menyerah ketika melaksanakan amanah dan tugas. Kesanggupan untuk menghadapi kesusahan betapa perit sekalipun tidak boleh menjadikan generasi pewaris undur kebelakang. Berdepan dengan siapa sahaja dengan penuh yakin dan bergaul dengan siapa sahaja dengan penuh rendah diri. Resepi yakin diri dan rendah diri inilah yang sangat perlu menjadi ingredien seorang aktivis yang tangguh memimpin ummah.
Jika generasi pewaris ummah dan bangsa ini bertekad untuk menjadi pemuda berkualiti, impian akan kejayaan Islam dan ketangguhan nusa nantinya, besar kemungkinan akan terwujud. Karena di hadapan kita – boleh ditampilkan semula pemuda-pemuda tangguh yang mengikuti jejak Abu Bakar, Ali bin Abi Thalib, Mus’ab bin Umair; pemuda Yahya Ayyash, Imad Aqdil, Izzudin Al Qasam, dan mujahid-mujahid muda Palestin lainnya.
Dengan demikian, cita-cita untuk mempersiapkan generasi pewaris tidak sepatutnya menjadi impian dan harapan , malah hendaklah terjelma di dunia nyata.
Teringat kami peristiwa penting dalam sejarah dua tokoh ummat dan bangsa di nusantara ini iaitu Pak Natsir dan Hamka. Ternyata komunikasi antara dua tokoh ini membentangkan ruh dan jiwa besar mereka berdua dalam memastikan api perjuangan tidak boleh padam dan perlu merentas generasi.
KEPADA SAUDARAKU M. NATSIR
Meskipun bersilang keris di leher
Berkilat pedang di hadapan matamu
Namun yang benar kau sebut juga benar
Cita Muhammad biarlah lahir
Bongkar apinya sampai bertemu
Hidangkan di atas persada nusa
Jibril berdiri sebelah kananmu

Mikail berdiri sebelah kiri
Lindungan Ilahi memberimu tenaga
Suka dan duka kita hadapi
Suaramu wahai Natsir, suara kaum-mu
Kemana lagi, Natsir kemana kita lagi
Ini berjuta kawan sepaham
Hidup dan mati bersama-sama
Untuk menuntut Ridha Ilahi
Dan aku pun masukkan
Dalam daftarmu……!

( Puisi yg di tulis secara khusus untuk Pak Natsir, pada tgl 13 Nov 1957 setelah mendengar uraian pidato Pak Natsir dengan tegas menawarkan kepada Sidang Konstituante agar menjadikan islam sebagai dasar negara RI )
Kepada semua Teman-teman , kami merangkam selamat menyertai gerakan besar TERAS membina kader bangsa untuk memimpin kebangkitan ummah. Agar Allah menunjukkan kepada kita sekalian jalan yang terang dan medan yang jelas untuk kita laksanakan amanah mulia ini.
” Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (istiqomah), maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan):”Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; bergembiralah kamu dengan apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu.” (QS 41:30)
Allahu Akbar.

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031