HALATUJU MASYARAKAT ISLAM MASA KINI DAN PENYELESAIANNYA


Oleh:

Haji Mohd Azmi bin Abdul Hamid

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

MUQADDIMAH

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلاَّ بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاء وَيَهْدِي مَن يَشَاء وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Surah Ibrahim ayat 4:

Meneliti dengan halus kedudukan bangsa Melayu seolah-olah semakin menggambarkan satu kaum yang sedang menderita sakit barah dan menunggu saat maut. Mungkin kenyataan ini keterlaluan, namun kita ingin jujur dan tidak berselindung. Walaupun berulang kali disahkan bahawa sudah ada pencapaian yang boleh dibanggakan  namun yang nyata pada tubuh badan bangsa Melayu itu dipenuhi kudis-kudis yang masih belum boleh dirawati sehingga hari ini. Mungkin yang tinggal hanyalah beberapa bahagian dari tubuh itu yang masih tidak berkesan dengan kudis yang kian merebak.

Demikianlah kita merenung dengan mendalam nasib bangsa Melayu ini. Pada keseluruhannya tubuh manusia Melayu itu semacam tidak terdaya untuk pulih, kerana sakit kudis yang terus berulang. Sering juga ia terus berpenyakit kerana diagnosis yang salah dan rawatan yang silap. Lain yang sakit lain pula yang diubati. Kita mengutarakan anologi ini kerana jika tidak ada proses pemulihan segera, survival bangsa Melayu ini pasti akan tamat usianya.

Sebagai permulaan mahu tidak mahu yang perlu segera dilakukan ialah memperbetulkan semula pemikiran dan nilai hidup orang Melayu. Bangsa yang sedang menunjukkan tanda-tanda merenggang dari pegangan hidup Islam yang selama ini menjadi tunjang kekuatannya.Melayu yang sudah melahirkan generasi muda yang hilang jati diri. Melayu yang lupa akan budaya dan tamadunnya selain hanya saki baki peninggalan datuk moyangnya yang bersifat kosmetik untuk kajian para ahli antropologi. Melayu muda yang hilang akar budaya dan pengkalan hidupnya sebagai insan Muslim. Melayu yang sudah tidak lagi menghargai perjuangan bahasa dan tanah airnya sendiri.

Sesungguhnya telah berlaku kerosakan manusia Melayu itu dari dalam dan luar dirinya. Cara berfikir dan nilai dirinya sekaligus semakin bercelaru. Tidak dapat dinafikan ketahanan diri Melayu semakin runtuh dan seolah-olah benteng agamanya sedang  lerai sama sekali.

Bukanlah maksud kita untuk menafikan wujudnya pencapaian dan peningkatan sejak bangsa ini dikatakan mencapai kemerdekaan dari penjajah. Namun dengan berkembangnya krisis sosio-budaya, pemikiran,  dan sosio-politik yang sangat meruncing ternyata tidak dapat diketepikan bahawa manusia Melayu itu perlu pemulihan yang menyeluruh.

Apa yang dapat diperhatikan ialah berlaku suatu keruntuhan yang tidak dapat diselindung lagi. Bagaikan asas-asas budaya Melayu yang memegang  tapak bangunan bangsa sudah lemah mengakibatkan lapisan atas berbentuk manifestasi hidup seharian bangsa itu  menunggu masa untuk runtuh persis fenomena tanah runtuh yang berlaku dimana-mana.

Bukan sahaja soal akhlaqnya yang telah luntur malah terdapat juga kelunturan dalam jati diri masyarakat Melayu itu sendiri. Untuk sesiapa yang masih menyatakan bahawa jati diri bangsa ini tetap utuh dan ketahanan dirinya masih kuat hanya membohongi diri sendiri.

MENGINSAFI DAN MENELITI REALITI KEMELUT BANGSA

Apakah sebenarnya realiti bangsa Melayu ini? Terdapat wajah yang serba kontradiktori. Sementara Melayu dikatakan sinonim dengan Islam namun berlaku juga perilaku Melayu yang amat berlawanan dengan sifat Islam itu sendiri. Pada satu masa kita nampak mewarisi kesopanan dan kehalusan budi akan tetapi disatu masa yang lain pula kita juga dijangkiti budaya biadab dan liar. Kita sering dikenali sebagai bangsa bermoral dan sensitif pada agama namun dalam masa yang sama kita juga sarat dengan kejelekan nilai dan kehodohan perilaku yang bersifat anti-agama. Pada suatu ketika dahulu kita berbangga dengan sifat Melayu yang eksploratif dan berciri kepenerokaan namun kini kita juga menjadi bangsa yang terperangkap dengan budaya ciplak dan meniru.

Sepintas lalu kita ingin mencatat secara ringkas beberapa penyakit yang sedang menimpa umat Melayu. Pembedahan untuk mencari punca penyakit perlu selanjutnya dilakukan oleh setiap tenaga penggerak yang komited untuk memulih masyarakat Melayu.

Kerapuhan Institusi Keluarga

Kita bermula dari institusi keluarga Melayu. Kita meneliti bahawa kadar perceraian dan keruntuhan keluarga semakin ketara. Di beberapa negeri telah dicatat ribuan kes perceraian setahun yang menunjukkan kadar yang meningkat dalam rekod Jabatan Agama. Walaupun kursus pra perkahwinan menjadi syarat untuk  melanjutkan alam rumahtangga sejak beberapa tahun yang lalu namun kes-kes talaq terus meningkat.

Kita juga mengamati betapa pemuliharaan  rumahtangga orang Melayu kini amat rapuh dengan pengaruh luar yang sering merosakkan anak-anak Melayu yang  berleluasa di mana-mana. Dengan demikian kes-kes mendera, sumbang mahram, lari dari rumah adalah antara wajah institusi keluarga Melayu yang ada di saat ini.

Zuriat Melayu Yang Sedang Digugat.

Kerosakan anak muda  Melayu kini juga merebak dan sudah sampai ke peringkat sangat mencemaskan. Sudah menjadi maklumat biasa untuk meneliti berita mengenai golongan remaja dan belia Melayu yang terlibat dengan pelbagai kerosakan sosial.

Dadah, arak, judi, zina, pornografi, hiburan liar, gangsterism, ponteng sekolah, buang bayi, jenayah berat (rogol, merompak, bunuh, sindiket haram)  kes-kes juvenil, lepak, bohsia, lumba haram, merokok, pelacuran  adalah antara kemungkaran sosial yang sedang merebak bukan sahaja di kota malah juga di desa.Generasi kedua FELDA yang 100% Melayu sering diungkap sebagai golongan yang banyak terbabit dengan dadah.Gelagat remaja dan belia di kota-kota besar yang dipenuhi dengan pusat-pusat membeli-belah, pusat hiburan dan kawasan rekreasi menunjukkan sifat malu dan bersantun di kalangan anak muda Melayu hampir pupus sama sekali. Dari gaya bergaul, berpakaian, berbahasa, berjalan berpasangan sehinggalah bersantai, golongan belia Melayu mempamirkan gelagat yang sudah hilang hampir semua ciri-ciri ketimuran, kemelayuan, apatah lagi keIslaman. Jelas skandal Melayu dikalangan generasi muda amat ketara bagaikan sebuah bangunan yang nampak indah di luar akan tetapi rosak dan busuk di dalam.

Kerosakan Bangsa Yang Merentas Umur

Menyentuh persoalan generasi muda Melayu yang sarat dengan pelbagai kepincangan sosial tidak pula mengenepikan gejala yang sama jelek malah lebih hodoh berlaku dikalangan Melayu dewasa dan tua. Bukan lagi suatu kejutan membaca berita kes-kes anak dirogol bapa dan datuk, orang tua memperkosa gadis sunti, Melayu tua bersekudukan diluar nikah, orang tua Melayu  mengunjungi sarang pelacuran dan ditangkap kerana tidak berpuasa, minum arak serta berjudi. Kes orang dewasa Melayu yang terlibat dengan dadah dan kini menjuarai pula pengidap HIV dan AIDS di negara ini bukan sedikit. Pokoknya kebejatan sosial dikalangan orang Melayu merentas hampir semua peringkat umur.

Ekonomi Bangsa Yang Masih Menagih.

Demikian juga ekonomi orang Melayu terus diselaputi dengan ciri kebergantungan dan sarat dengan masalah salah pengurusan. Dari peniaga kecil sehinggalah korporat gergasi, ekonomi Melayu dilambang oleh ketindaktentuan, sentiasa bergantung kepada perlindungan kerajaan dan hampir semua menghadapi masalah kesuntukan modal. Tatkala pelbagai skim pinjaman dan latihan diwujudkan untuk memberi peluang berekonomi, penyelewengan, salahguna kuasa, kronisme, nepotisme, rasuah membantut hampir seluruh usaha membina ekonomi Melayu.

Dari mesyuarat Lembaga Pengarah sehingga ke Konvensyen Ekonomi Melayu, dari Institusi Latihan Kemahiran sehingga Dewan Perniagaan Melayu termasuk agensi kerajaan yang diswasta dan dikorporatkan, hampir kebanyakannya diselaputi dengan krisis pengurusan. Kini FELDA, RISDA, FELCRA, LUTH  adalah antara konglomerat Melayu yang menghadapi pelbagai kemelut penyalahgunaan kuasa dan rasuah .

Aset ekonomi orang Melayu juga didapati sangat kecil. Premis perniagaan yang hanya meliputi sekitar 6% sahaja dari keseluruhan kawasan perniagaan, pemilikkan perumahan kos rendah yang masih melambangkan tahap kuasabeli orang Melayu yang terbatas, aset tanah orang Melayu yang semakin mengecil akibat dijual, tergadai atau diambil alih oleh kerajaan atas nama pembangunan, semua ini menambah rumitkan lagi keupayaan ekonomi Melayu.

Ditambah pula peniaga-peniaga kecil Melayu diserata bandar sentiasa terdedah kepada pengusiran akibat pihak kerjaan dan pemaju yang sentiasa mengutamakan pembangunan pusat-pusat komersial yang berskala mega. Sementara itu ekonomi petani dan nelayan kecil, pekebun kecil getah dan peneroka tanah terus terpinggir. Kemiskinan di desa dan di bandar dipenuhi dengan wajah Melayu “hidup berkais pagi makan pagi” bukan suatu fenomena yang sudah berlalu malah terus wujud dan merata.

Kelunturan Dalam Penghayatan Islam

Kita juga meneliti persoalan penghayatan Islam dikalangan orang Melayu yang sangat merunsingkan. Sementara berlaku perkembangan positif di awal tahun 70-an ketika orang Melayu mendapat hembusan angin kencang kebangkitan Islam dari gerakan Islam di Timur Tengah sehingga merentas ke Indonesia, namun tanda-tanda orang Melayu terdedah kepada unsur anti Islam  yang masih kuat. Kini kita dapat merasa dan menyaksikan kelunturan penghayatan Islam masih ramai dikalangan bangsa ini. Secara zahir mungkin dapat disenangi beberapa isyarat seperti wujudnya fenomena wanita menutup aurat, ramai yang berjamaah di masjid dan musolla, ramai ibubapa yang cenderung untuk menghantar anak untuk mengikuti pengajian Islam dan betapa banyaknya masjid dan surau dimana-mana.

Akan tetapi masih terlalu ramai lagi orang Melayu yang hidup dalam dunia dan faham sekular-Barat, mengamal dan terpengaruh dengan budaya hidup yang permissif dari Barat, terbelenggu oleh adat resam dan tradisi sesat pra Islam, terpesona dengan kemodenan dan liberalisme agama mengikut pemikiran Barat. Ditambah lagi yang lebih mencemaskan ialah fenomena orang Melayu terjebak dengan gejala riddah.

Kita juga meneliti masih terlalu ramai orang Melayu yang meninggalkan solat , tidak mengutamakan solat berjamaah di masjid,  mencuaikan puasa, lalai dalam mengeluarkan zakat, terlibat dengan ekonomi riba, hidup dalam kemewahan diluar batasan, buta Al-Quran, cetek dalam ilmu Fardhu Ain,  mengambil mudah dengan hukum agama, merendah-rendahkan kewajipan menutup aurat, terpengaruh dengan hidup ala Barat jahiliyyah dalam kehidupan sosial.

Hal ini belaku samada dalam majlis perkahwinan, acara harijadi, berpesta, berkonsert, berkarnival, menyambut hari raya, berkongsi raya, ghairah dengan pertunjukan fesyen dan terlibat dengan acara-acara agama lain yang menjejaskan aqidah.

Bahasa dan Budaya Bangsa Tersisih.

Tidak kurang kronik ialah proses penyisihan bahasa dan budaya yang melanda bangsa Melayu. Sementera segala usaha sedang digerakkan untuk mempertahankan bahasa Melayu, keghairahan sesetangah pihak untuk mengenengahkan bahasa Inggereis sebagai bahasa perantaraan dalam pendidikan telah memutarbalikkan semula status  kedudukan bahasa Melayu ke belakang.

Akibatnya ternyata bangsa Melayu terutama dikalangan golongan muda dan elit (semada golongan birokrat, professional maupun teknokrat dan korporat termasuk ahli politik) yang ghairah mempamirkan bahasa Inggeris dalam perbualan harian. Sekaligus juga dalam  acara-acara rasmi seperti dalam mesyuarat dan seminar. Begitulah juga halnya dalam dunia seni, bahasa Inggeris dan bahasa campuran (bahasa rojak) telah menjadi norma. Malangnya dan sangat memalukan tidak ada bangsa lain yang mengamalkan bahasa rojak seperti orang Melayu kini. Sementera itu penggunaan bahasa Melayu di peringkat sektor swasta, dalam perundangan dan dalam bidang professional sememangnya sudah lama tersisih.

Pun begitu bangsa ini juga berhadapan dengan penghakisan budaya yang sangat ketara. Bukan sahaja budaya berpakaian mengikut resam Melayu semakin menjadi ganjil. Malah budaya harian seperti makan, tabiat dalam bergaul, acara sosial, hiasan tempat tinggal dan tempat kerja semakin menjadikan budaya Melayu jauh terpinggiran. Isu PPSMI yang semakin bercelaru gagal dirungkai oleh kerajaan walaupun sudah terbukti ianya satu projek yang akan meluntur dan melebur bahasa ibunda kepada generasi akan datang. Ianya juga adalah satu imperialisme bahasa yang amat berbahaya kepada bahasa dan bangsa kita yang sentiasa berpegang kepada kekuatan ‘bahasa jiwa bangsa’.

Pendidikan Bangsa Yang Masih Memerlukan Pengukuhan.

Kita juga amat perhatin dengan persoalan pendidikan orang Melayu yang tidak berjaya menghasilkan anak bangsa  yang berkualiti terutama dari segi kefahaman dan penghayatan Islam. Bukan sahaja penguasaan ilmu masih tidak boleh dirasa selesa malah kita terpaksa menerima kenyataan betapa masalah disiplin anak-anak Melayu di sekolah terus  merunsingkan.

Termasuk dalam masalah ini belum ada tanda-tanda  yang meluas wujudnya ibubapa Melayu yang bekerja keras memastikan kecemerlangan dicapai. Kenyataan bahawa ibubapa Melayu yang ramai membiarkan anak-anak berfoya-foya dan melepak dipusat-pusat membeli-belah adalah sangat ketara.

Walaupun sudah ada kesedaran yang bertambah, namun tidak dapat dirasa mencukupi jika dibanding dengan apa yang diusahakan oleh ibubapa dari kaum lain. Dari jumlah yang dapat menjalani pengajian di institusi pengajian tinggi, masih terlalu ramai lagi anak Melayu yang tidak berjaya mencapai tahap pendidikan yang tinggi dan mencapai kecemerlangan yang diharapkan.

Aset Tanah Bangsa Melayu Mengecil.

Demikian juga masalah asset tanah orang Melayu yang semakin mengecil. Bukan sahaja tanah Rizab Melayu yang banyak tidak terganti dan terlepas kepada pihak  bukan Melayu, ternyata umat Melayu tidak mampu mempertahankan hak milik tanahnya. Ditambah lagi pula masalah orang Melayu tidak dapat menjadikan tanah mereka lebih produktif lantaran kesuntukan modal. Tanah orang Melayu juga sering berhadapan dengan masalah penyelewengan dalam pentadbiran yang menyebabkan tanah Melayu terlepas kepada mereka yang hanya memikirkan keuntungan. Kampung Melayu juga kini semakain terhapus akibat kepesatan pembangunan yang mengambil tanah Melayu dari kawasan desa.

Politik Bangsa Yang Tergugat.

Krisis Melayu juga terbelit dengan persoalan politik yang sangat tidak bermoral. Tatkala sebahagian pemimpin-pemimpin politik Melayu terus menjadikan politik itu sebagai tapak mengumpul kekayaan, budaya politik Melayu  sarat dengan manipulasi kotor sehingga bangsa Melayu menjadi mangsa kepada politik wang,  politik kepentingan diri  dan politik mengadai kepentingan Melayu. Bukan sedikit kes yang memalukan apa kita mengamati  gelagat orang Melayu dalam berpolitik yang mengejar pangkat, gelaran, publisiti murahan dan hidup glamor. Sementara politik menjadi sedemikian jijik, bangsa Melayu mengalami fenomena orang politik mengenepikan kepentingan dan hak bangsa hanya kerana ingin meraih undi bukan kerana hak. Atas nama mempertahankan kuasa politik mereka sanggup menggadai hak Melayu yang menjadi sangat meruncing sekarang ini.

Di samping itu kita perlu juga mengungkap beberapa isu semasa yang dapat menghadhirkan keperihatinan TERAS untuk pengetahuan umum melihat kepada hal-hal terkini yang timbul dewasa ini .

Isu Bahasa

TERAS berpendirian bahawa pihak kerajaan jelas tidak konsisten dalam memastikan kemajuan dan pengembangan bahasa Melayu sehingga perubahan polisi bahasa pengantar dalam pendidikan kini telah meminggirkan bahasa Melayu. Kita membantah dan akan terus bersikap kritikal terhadap polisi ini sehingga bahasa Melayu kembali dijadikan bahasa yang mendominasi seluruh aspek pembangunan negara ini. TERAS kesal betapa suara para ahli bahasa dari kalangan pemikir dan ilmuan Melayu diketepikan begitu sahaja oleh kerajaan dalam isu ini.

Isu Rasuah

Kita menerima dan mangalu-alukan beberapa tindakan awal yang menunjukkan  pihak kerajaan bertindak ke atas beberapa pihak untuk membanteras sindrom rasuah. Namun begitu kita tidak dapat menerima sikap pemimpin negara yang terus membiarkan penyelewengan dalam penggunaan dana negara secara diskriminatif.

Pelbagai peruntukan negara yang tidak tersalur kepada golongan rakyat yang memerlukan kerap berlaku dan peruntukan yang tersalur kepada perbelanjaan yang membazir tidak dikawal dan terus berlaku. Kita juga berpendirian bahawa pergolakan politik dalaman masih menentukan sikap kerajaan untuk bertindak secara jujur bagi membanteras gejala rasuah. Kita juga berpendapat betapa kemewahan cara hidup kebanyakan pemimpin negara tetap menjadi antara sebab menjalarnya budaya rasuah di negara ini.

Isu Pentadbiran Khidmat Agensi Kerajaan.

TERAS berpendirian penekanan  yang menumpu kepada memperbaikki pentadbiran dan perkhidmatan agensi kerajaan  juga dialu-alukan. Akan tetapi TERAS kesal betapa campurtangan politik  tidak diatasi sehingga menyebabkan kakitangan kerajaan sering tidak dapat menjalankan tugas mengikut peraturan yang ditetapkan. Ahli parti politik yang sering mengunakan kuasa untuk menyekat pegawai kerajaan menjalankan tugas kerap berlaku. Sebagai contoh kita kesal bagaimana premis awam diguna sewenangnya untuk kegiatan politik parti secara terang-terangan tanpa boleh disekat oleh agensi kerajaan.

Isu Gejala Sosial dan Jenayah

TERAS kesal dengan pendekatan yang diambil oleh pihak pemerintah yang masih tidak memberi perhatian membasmi semua faktor yang menjadi punca kepada membiaknya gejala sosial dan jenayah yang semakin menjadi-jadi. Kita berpendapat selagi kerajaan masih mengamalkan polisi “double standard” dalam melancarkan langkah membasmi gejala negatif selagi itulah fenomena ini akan berterusan dan berkembang. TERAS juga amat kecewa kenapa pihak kerajaan bersikap sangat liberal ke atas program-program sosial seperti acara pertandingan ratu cantik, pesta hiburan ala Barat, konsert dengan gaya artis yang tidak berakhlaq, karnival dan pesta yang menjadi punca semakin liarnya masyarakat muda mengenepikan  budaya dan nilai moral.

Isu Program Khidmat Negara

TERAS meneliti program yang kini sedang dilaksanakan sebagai pendekatan kerajaan membentuk generasi muda di negara ini. Sementara ia merupakan suatu usaha yang murni namun kandungan, pendekatan dan orientasi program itu kita persoalkan. Ternyata kerangka program tersebut tidak dilaksanakan dalam konsep dan falsafah Islam sebagai acuan.

Dengan yang demikian orientasi dan corak program itu yang mendedahkan belia kepada gejala tidak sihat akan melahirkan pemikiran yang liberal mengenai agama dikalngan generasi muda. Kita menuntut agar kerajaan menyemak semula kaedah dan isi serta orientasi PKN yang berjalan sekarang. TERAS juga kesal dengan perbelanjaan ratusan juta ringgit untuk program Rakan Muda tidak mendatangkan hasil seperti yang digahkan oleh kerajaan. TERAS menggesa suatu laporan penuh secara terus dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan

Isu Pengurusan Kewangan dan Ekonomi Negara.

TERAS prihatin terhadap beberapa kepincangan pengurusan keawangan negara yang mengkibatkan negara terdedah kepada nilai mata wang yang tidak stabil. Perbahasan mengenai nilai RM yang diikat kepada dolar Amerika sudah menjadi perbahasan yang hangat. Sementara itu beberapa projek yang membazir yang terus mengguna sumber negara dari wang minyak seperti Litar F1, projek-projek mewah di Langkawi dan penggunaan perbelanjaan awam yang banyak dalam acara pesta yang berlebihan terus tidak diperbetulkan. TERAS juga mengambil perhatian terhadap kebergantungan negara kepada FDI dalam ekonominya.

Kita juga amat peka terhadap kegagalan banyak Amanah Saham Negeri-negari yang rugi dan terpaksa ditanggung oleh rakyat. Disamping itu pula hutang beberapa kerajaan negeri yang membebankan rakyat tidak di atasi.

Isu Pelaksanaan Syariat Yang Tidak Bersungguh

TERAS prihatin dengan status pelaksanaan syariat  dalam negara ini  yang sering tersisih berbanding undang-undang sivil. Malah kuasa mahkamah syariah belum mencapai taraf dan keluasan kuasa yang sepatutnya. Sikap pemerintah untuk mengesampingkan undang-undang syariah jelas menunjukkan sikap yang pemerintah yang tidak mahu Islamisasi undang-undang di negara ini berjalan sepenuhnya. TERAS menuntut agar pihak kerajaan keluar dari sindrom takut kepada syariat sebagai undang-undang terbaik untuk mengendalikan pembangunan di negara ini walapun dalam realiti pelbagai kaum.

Isu Alam Sekitar

TERAS turut kesal dengan model pembangunan yang dilaksanakan di negara ini yang tidak mengarah kepada  pemuliharaan kualiti alam sekitar. Kita mendapati retorika pembangunan seimbang  yang sering diutarakan pihak kerajaan tidak berlaku secara realiti. Pembalakaan, pemecahan bukit, kerosakan sungai, projek empangan terus menjejaskan alam sekitar negara ini. TERAS menuntut agar semakan semula semua projek-projek pembangunan dilakukan oleh kerajaan.

___________________________________________________

MENGGERAK PEMULIHAN KEMELUT BANGSA-LANGKAH DAN PENYELESAIANYA.

Dengan segala persoalan yang hanya dapat dicatat secara umum di atas dan boleh disenarai lagi, namun TERAS  berpendirian bahawa yang paling mendesak ialah menangani semua isu ini dengan konkrit dan berkesan. Yang lebih penting ialah apa yang hendak kita lakukan untuk memulihkan keadaan yang parah ini

Kita tidak berniat untuk mengulangi ungkapan segala jangkitan penyakit yang sudah menyerap kedalam tubuh badan Melayu yang telah dibicara oleh pelbagai pihak dipelbagai forum. Yang mahu kita gerakkan ialah suatu perubahan sikap untuk membawa bangsa Melayu kembali kepada nilai dan budaya hidup Islam yang dinamik  demi menyelamatkan keadaan yang sudah semakin parah. Pokoknya kita tidak harus hanya mengamati dan mengeluh. Kita perlu melaksanakan suatu kebangkitan baru bangsa Melayu berteraskan Islam.

Dengan yang demikian kita mengajak seluruh tenaga setiap insan Melayu yang punya keperihatinan yang mendalam terhadap nasib bangsa ini untuk sama-sama memulih semula kelesuan dan kealpaan yang sedang melanda. Kita ingin mencipta kegemilangan bangsa dan terus melanjut kepada membina generasi mendatang yang lebih berkualiti, yang lebih Islamik.

Kita serius dalam mengajak setiap penggerak perubahan bangsa agar diujudkan suatu penggemblengan yang cukup merata sehingga bangsa Melayu ini terangkat dari kemelutnya yang sedang mencengkam dan membeban dirinya.

Suatu gerakan pembebasan bangsa dari krisis dalaman dan juga merawat  penyakit yang melingkarinya dari luar harus dilancarkan.Oleh itu suatu kejujuran didambakan untuk semua pihak menerima realiti yang amat meruncing pada bangsa ini .

Kita harus menghentikan gambaran yang mulus-mulus  tetapi tidak signifikan, jauh sekali dari menyumbang kepada mengembalikan kegemilangan tamadun Melayu. Kehebatan yang dicanang bahawa Melayu sudah melakukan sesuatu yang luar biasa seperti mendaki gunung Everest, berenang Selat Inggeris, menjelajah ke Kutub Utara, berlayar di lautan Pasifik tidak menggambarkan pencapaian apa-apa selain megah dengan catatan dalam daftar “Guiness” atau “Malaysian Book of Records”.

Sudah cukuplah kita dianak-anakkan dengan keberanian-keberanian yang dianggapkan luar biasa seperti itu.  Kita harus kembali ke dunia realiti iaitu bangsa ini masih tidak terlepas dari ketinggalan dalam ekonomi berbanding kaum lain, kerjaya orang Melayu kebanyakannya masih bertaraf rendah, pencapaian pendidikan masih terus perlu disokong, sosial Melayu dijangkiti pelbagai penyakit yang kronik, aset tanah Melayu sedang mengecil, budaya ilmu dikalangan orang Melayu masih sangat rendah, anak muda Melayu yang sudah dirosak oleh budaya permissif Barat yang menggila.

Pusat serenti serta penjara-penjara yang masih majoritinya dihuni oleh muka-muka Melayu dan orang Melayu yang sudah berani menayangkan skandal lucah bangsa ini melalui layar internet yang kini sudah mencecah hampir 20,000 laman web.

Kita bermula dengan menegaskan bahawa pemulihan bangsa tidak boleh mencapai kesan jika kita gagal meneliti terlebih dahulu segala penyakit yang melanda tubuh badan, pemikiran dan jiwa bangsa itu senidiri. Bermakna selagi mana kita tidak mendalami krisis dan kemelut yang berlaku kita akan gagal merongkai masalah yang sedang melanda.

Pun begitu setelah meneliti segala masalah yang berlaku kita berpendapat  perlu pula kita  membuat analisis dari mana punca semua ini. Untuk itu semua aktivis Melayu yang merasa prihatin terhadap nasib bangsa perlu menggerakan usaha bagi melakukan suatu pembedahan yang teliti dan seterusnya pendedahan yang jujur terhadap realiti bangsa. Ertinya segala masalah yang dikenalpasti hendaklah dibedah untuk mencari puncanya dan selepas itu segera didedah dan diketengahkan dengan tujuan setiap warga bangsa ini disedarkan dengan kesedaran yang kritikal bahawa keadaan yang berlaku tidak boleh dibiar begitu sahaja.

Kesedaran bahawa bangsa ini memerlukan perubahan besar perlu disemarakkan. Bukan sahaja diperingkat pengetahuan dan maklumat  sahaja tetapi juga menyentuh sanubari setiap diri Melayu untuk bertindak dan berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah.

Kita mencadangkan agar semua tenaga penggerak perubahan menjelajah ke seluruh pelosok tanah air dan membawa angin kesedaran dan perubahan kepada setiap insan Melayu, mengetuk setiap rumah Melayu, membangkitkan setiap pemimpin Melayu, menggegarkan setiap organisasi Melayu, mengejutkan setiap cendikiawan Melayu… untuk bangkit dari kelalaian dan keselesaan.

Kita tidak mungkin boleh membiarkan kesedaran mengenai kemelut ini hanya berlegar dikalangan golongan elit pemikir Melayu semata. Kerana kita sedar bahawa golongan yang kurang berkesempatan dan agak keberatan untuk turun ke lapangan menggerakkan perubahan tidak mungkin dapat membawa kesan yang diharapkan.

Lantaran itu tidak dapat dielakkan bahawa jika perubahan bangsa dan pembebasan bangsa dari segala kemelut ini hendak dijayakan maka perlu dilancarkan suatu usaha yang lebih drastik yang membabitkan secara langsung setiap penggerak ditengah-tengah masyarakat di medan gelanggang hidup orang Melayu itu sendiri.

Kita tegaskan sekali lagi bahawa membina semula bangsa harus bertitik tolak dengan meneliti segala punca masalah hingga ke akarnya. Dari mana penyakit itu timbul dan dari situlah perubahan perlu dimulakan.

Bangsa ini memerlukan kesedaran yang cukup mendalam dan suatu jenis kesedaran yang dapat menggerakkan tindakan. Setiap insan Melayu perlu disedarkan dengan realiti yang sedang dihadapi bangsa.

Hanya dengan yang demikian bangsa ini boleh dianjak dari keadaan penuh kelesuan dan sikap puas dengan apa yang diperolehi diperingkat peribadi.

Perubahan setiap insan Melayu dari segi pemikiran dan sikap amat diperlukan. Dengan yang demikian jiwa Melayu yang berada dalam kepompong menyerah kalah kepada realiti perlu dipecah dari terus membelenggui jiwa Melayu.

Perangi Segala Kemungkaran.

Harus ada suatu kebangkitan yang lebih konkrit untuk bertindak dengan tegas bagi membersihkan orang Melayu dari persekitaran yang merosakkan. Oleh itu suatu usaha memastikan segala unsur yang selama ini mengheret bangsa Melayu ke lembah kerosakan dibasmi perlu dilancarkan dengan tegas. Sifat toleransi dengan kemungkaran dan budaya hanya menjaga tepi kain sendiri hendaklah dikikis dari minda dan jiwa Melayu.

Hendaklah ada suatu keupayaan yang maksima dan bertenaga untuk memastikan orang Melayu mampu melawan dan menentang segala jenis kemungkaran samada yang datang dari luar mahupun dari dalam.

Untuk itu setiap fenomena dan tabiat Melayu yang merosakkan perlu diperangi habis-habisan. Kita perlu menggerakan suatu anjakan yang lebih besar dan bersifat transformasional dalam semua aspek jika kita mahu membawa perubahan besar kepada bangsa ini.

Bangsa ini akan hanya dapat dipulih jika persekitaran yang sakit dan merosakkan itu juga dapat dipulihkan juga.

Jelaskan Masyarakat Apa Yang Ingin Dibentuk.

Kita mengingatkan bahawa setiap penggerak Melayu perlu jelas ke arah mana dan jenis perubahan yang seperti apa yang mahu dibawa oleh TERAS kepada bangsa Melayu.

Secara umum kita ingin menegaskan bahawa misi dan visi TERAS  adalah jelas iaitu mengembalikan bangsa Melayu kepada Islam secara kaffah iaitu menyentuh keseluruhan aspek kehidupan umat semada dalam keadaan rasmi atau tidak rasmi. Ertinya visi TERAS ialah membina sebuah masyarakat bangsa Melayu yang Islamik sepenuhnya. Dalam pernyataan sehingga kepada kenyataan gaya hidup harian.Islam pada bangsa Melayu perlu diserlahkan semurninya tanpa rasa kerdil dan takut. Keyakinan bangsa Melayu kepada sistem hidup Islam perlu ditanam dan disuburkan tanpa was-was.

Kerahkan Seluruh Tenaga Bangsa.

Untuk bergerak kepada proses ini maka setiap penggerak Melayu perlu berusaha terlebih dahulu untuk memerdekakan bangsa Melayu dari segala penyakit yang sedang menjangkitinya. Usaha keras untuk memulih masyarakat Melayu, dari ibubapa kepada anak-anak, dari pemimpin kepada pengikut, dari perseorangan kepada organisasi, dari sebuah kampung kepada sebuah kota. Samada ia Melayu desa mahupun kota, Melayu petani mahupun ahli akademik, Melayu pemimpin mahupun orang kebiasaan.

Setiap insan Melayu perlu dibersihkan dari semua jenis penyakit yang bertentangan dengan Islam. Untuk itu, mengenalpasti dan memahami setiap jenis kemungkaran sosial, kepincangan ekonomi, manipulasi politik, keruntuhan budaya, korupsi intelektual, penyelewengan pengurusan, ketidakadilan dalam pembangunan adalah tanggungjawab penting yang perlu dianalisa dan ditangani oleh setiap aktivis penggerak Melayu.

Ini juga bermakna kerja turun ke padang, mendatangi umat Melayu di pelbagai gelanggang dan medan sangat diperlukan. Pembasmian setiap jenis budaya mungkar dan unsur jahiliyyah yang membelit bangsa Melayu perlu dipergiatkan. Apakah ia bertapak pada pemikiran dan sikap, mahupun bersarang dalam sistem dan dasar pemerintahan. Kerja memerdekakan orang Melayu dari segenap kuman perosak bangsa hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Sikap tegas dan tidak toleransi dengan sebarang kemungkaran perlu disematkan dalam setiap sanubari orang Melayu. Dengan yang demikian sikap membasmi mungkar perlu menjadi sikap yang konsisten diamalkan oleh setiap pemimpin, setiap pendidik, setiap ulama’, setiap ibubapa dan setiap pentadbir Melayu.

Bangunkan Kekuatan  Sahsiah Bangsa

Sementara itu adalah juga penting gerakan pemulihan bangsa Melayu diiringi dengan pembangunan semula corak hidup masyarakat yang gemilang pada diri bangsa ini. Dalam hal ini segala sifat-sifat kecemerlangan sebuah masyarakat Islam perlu dibangunkan, diterapkan, disuburkan dan diperkukuhkan pada komuniti Melayu itu sendiri.

Dengan ini kita mencadangkan gerakan pendidikan Al Quran perlu diintensifkan. Segala ajaran yang terkandung dalam Kitabullah itu hendaklah difahami dengan betul dan terus diterjemahkan dalam kehidupan harian. Sebanyak mungkin kelas dan pengajian Al-Quran diseluruh pelusuk negara ini hendaklah diwujudkan dengan kaedah yang memungkinkan Al-Quran benar-benar menjadi petunjuk untuk kehidupan bangsa Melayu semurni dan seutuhnya.

Sekaligus dengan itu pengajian Al-Sunnah perlu diprogramkan untuk pendidikan orang Melayu sehingga Rasullulah s.a.w. benar-benar menjadi teladan terunggul bukan sahaja untuk diingati tetapi yang lebih penting untuk dihayati dalam amalan hidup setiap hari.

Dalam hal ini pembangunan semula insan Melayu hendaklah diperkukuhkan dengan segala ilmu Islam yang wajib dipelajari dan diamalkan. Gerakan sosialisasi segala aspek syariat Islam dalam kehidupan bangsa Melayu samada diperingkat individu mahupun diperingkat masyarakat hendaklah digiatkan.

TERAS Pengupayaan Melayu menyarankan agar semua penggerak Melayu melancarkan gerakan penggemblengan masyarakat Melayu ke arah pembentukan kualiti keperibadian yang kukuh. Program membina karakter Muslim pada bangsa Melayu harus benar-benar aktif dan berkesan disemua kawasan.

Segala sifat Muslim yang mulia seperti berdisiplin, berkasih sayang, berakhlak unggul, berkeyakinan, beriltizam, sedia berkorban, bekerjasama, bersatu-padu, kuat berusaha, bersungguh dalam menuntut ilmu, sedia berjihad dengan harta dan jiwaraga, berjamaah setiap masa adalah antara pembinaan yang tidak boleh dicuaikan sama sekali. Ini bermakna program pembentukan sahsiah adalah program TERAS yang terpenting untuk membina semula bangsa ini.

Bina Keupayaan Ekonomi Bangsa

Bersama dengan usaha di atas TERAS menyarankan agar setiap penempatan masyarakat Melayu dibangun dengan projek-projek contoh yang mampu mengangkat kualiti hidup orang Melayu.

Kegiatan perekonomian yang berkesan perlu dilaksanakan sehingga bangsa Melayu mampu berdikari dengan kekuatan ekonomi yang ampuh.

Segala aset ekonomi orang Melayu seperti tanah, kebun dan sawah, bangunan, rumah  perlu diurus dengan sebaik mungkin sehingga ia tetap kekal ditangan orang Melayu. Masyarakat Melayu perlu diprogramkan dengan segala bentuk kemahiran ekonomi yang perlu agar sumber bangsa tidak banyak mengalir ke tangan orang lain. Ertinya sikap berbelanja mesti dikawal, tabiat berhutang dielakkan, hidup bermewahan dikikis dan mengeluarkan wang yang banyak untuk segala bentuk perayaan dan pelbagai jenis kenduri  dibendung.

Di samping itu masyarakat Melayu perlu kembali mengusahakan tanah dengan produktif. Tanah terbiar milik orang Melayu mesti diusahakan. Usaha menghidupkan  tanah perlu dijadikan agenda bertindak yang penting untuk memastikan aset tanah Melayu seluruhnya menjadi produktif.

Sementara itu mengwujudkan perniagaan dalam pelbagai aspek keperluan harian orang Melayu hendaklah dilancarkan. Dari sektor pemakanan, pakaian, bekalan alatan rumah, binaan, perkhidmatan sehinggalah kepada perusahan Melayu mesti diperbanyakkan untuk meliputi semua aspek.

Semarakkan Budaya Membaca dan Pengukuhan Ilmu.

Penggerak Melayu juga perlu menyuburkan budaya membaca serta berusaha untuk mencemerlangkan bangsa Melayu dalam bidang  pendidikan. Usaha menanam budaya cinta ilmu yang tinggi, bersungguh dalam menguasai sesuatu bidang ilmu, memperbanyakkan bilik atau pusat membaca disetiap penempatan orang Melayu perlu dipergiat.

Daya keintelektualan Melayu harus dibangunkan dengan bersungguh melalui program wacana ilmu dan berkarya, penerbitan buku, majalah dan risalah yang membina daya berfikir bangsa perlu diperluaskan. Kegiatan pendidikan dewasa secara formal dan non-formal mesti diperbanyakan diseluruh negara untuk memungkinkan orang Melayu terus meningkat kemahiran dan ilmunya. Institusi-institusi pendidikan Melayu yang ada hendaklah diaktifkan untuk melahirkan anak dan graduan Melayu yang berkualiti. Ini bermakna kerja kuat dikalangan para guru dan pensyarah Melayu harus diserlahkan untuk  membantu pelajar-pelajar Melayu mencapai kecemerlangan.

Mencerdaskan Institusi Masjid

Institusi masjid semesti juga menjadi tapak membina semula bangsa Melayu yang berkesan. Sebagai tapak yang penting dalam pembinaan sebuah masyarakat bertamadun tinggi, mendekat dan mengakrabkan umat Melayu dengan masjid adalah pendekatan yang amat tepat diusahakan. Kesatuan rohani melalui masjid yang menjadi asas ikatan yang sejati adalah ikatan paling berkesan untuk menyatukan umat Melayu.Ini akan hanya dapat direalisasi dengan memanfaatkan institusi masjid dengan segala gerak aktivitinya. Untuk yang demikian program penggerak Melayu yang perlu diberi keutamaan ialah menyemarakkan penyertaan umat dalam kegiatan di institusi ini.

Menggerakkan Dayausaha Desa.

Kita ingin menyeru juga semua penggerak TERAS agar mencetuskan sebuah usaha yang kita gelar sebagai Gerakan Pengupayaan Desa (GPD). Pengamatan kita ialah terdapat suatu sindrom yang sudah lama membelenggui masyarakat desa.Iaitu masyarakat desa ditanggapi sebagai masyarakat yang tidak berupaya, orang kampung yang tiada berkemampuan dan desa yang hanya dikekalkan sekadar untuk tujuan sentimental.Pada hal desa dalam konteks pembangunan mapan jauh lebih selesa dan mampu menyumbang kepada mempertahankan hak orang Melayu dan seterusnya  membina semula tamadun Melayu yang tinggi. TERAS bercadang untuk memecah sindrom lesu dan pasrah bangsa Melayu di kawasan desa untuk merubah keadaan desa menjadi penempatan bangsa Melayu yang dinamik, berdikari, cergas, maju dan berpotensi besar membangun sumber manusia Melayu. Kita dengan itu mencadangkan agar beberapa hambatan desa diatasi melalui proses pengupayaan bangsa Melayu untuk menentukan nasib sendiri. Antara hambatan yang perlu diatasi ialah persoalan budaya feudal yang membelit orang kampung. Minda dan jiwa feudal ini perlu diatasi dengan segera agar bangsa Melayu ini tidak terus diperbudak dan diperalat oleh pihak wewenang yang terus ingin memastikan bangsa ini tunduk kepada kehendak mereka. Sistem kawalan politik kampung yang mencengkam gerakan masyarakat, yang mendiskriminasi kelompok bukan penyokong kerajaan, yang menyeleweng peruntukan pembangunan, yang saling melabelkan  antara parti politik secara tidak sihat akan dipecahkan melalui program pengupayaan masyarakat desa. Kita ingin berganding bahu dengan NGO lain dalam usaha ini seperti IMPAK yang akan membolehkan gerakan GPD mencapai kesan yang diharapkan.

PENUTUP

“Dan sungguh telah Kami buatkan dalam Al Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran , iaitu Al Quran dalam bahasa Arab , tiada ada kebengkokan ( di dalamnya ) agar mereka bertaqwa” (Surah Az Zumar :27- 28)

Demikian kita melontarkan keprihatinan sekaligus program bertindak untuk “membentuk manusia Melayu bagi memulih kemelut bangsa”. Hasrat kita hanyalah untuk sekali lagi menyemarakkan daya usaha yang berterusan bagi memastikan semua penggerak dan penyokong Teras Pengupayaan Melayu memperkukuhkan keiltizaman dan mempertingkatkan daya bertindak. Apa yang didambakan ialah penyelesaian praktis bukan terhenti kepada perbicaraan ilmiah semata.Kita memohon sokongan dan penglibatan yang aktif dari semua demi memastikan bangsa ini kembali gemilang sebagai bangsa yang berjaya menterjemahkan Islam dalam setiap sendi kehidupannya.

2 comments on “HALATUJU MASYARAKAT ISLAM MASA KINI DAN PENYELESAIANNYA
  1. achmad abdollah berkata:

    Yang hanya boleh mengubah minda dan sikap orang melayu terhadap hidup mereka adalah dengan cara mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya (bukan hanya mengambil sebahagian dari ajaran itu).
    Saya suka memetik Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Maidah ayat 35 iaitu “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh KEJAYAAN”

  2. muhamad hamidun berkata:

    Hanya ekonomi yang kuat sahaja yang mampu memulihkan akidah seterusnya meningkatkan taraf hidup muslimin dan muslimat bangsa melayu. sedar lah bahawa iblis telah berputus asa dengan perkara – perkara besar maka berhati – hati lah terhadap perkara – perkara yang kecil yang mampu menghancurkan akidah.

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031