MENENTUKAN NASIB UMAT MELAYU

– MEROBAH REALITI KINI, MENEMPA SEJARAH MASA DEPAN

Oleh :

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

1 Muharam 1420 / 17 April 1999

Kem Warisan Pridana

Gurun, Kedah Darul Aman

 

 

Bagi pihak Ahli Lembaga TERAS saya mengalu-alukan kehadiran saudara-saudara ke Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan Kali Pertama ini. Moga-moga pertemuan kita sebagai menyambut ulang tahun pertama TERAS sejak dilahirkan pada 1 Muharam 1419 yang lalu, akan menatijahkan semangat dan komitmen berterusan kita dalam memperjuangkan nasib Umat Melayu selanjutnya.

 

Sesungguhnya ruh hijrah akan terus kekal menjadi titik bermula TERAS merangsang pembaharuan Umat Melayu dan akan kita ulangi menyemarakkan semangat ini pada setiap 1 Muharam di setiap tahun.

 

Saudara-saudara sekalian,

Kita berasa bertuah dan beruntung sekali untuk dapat menampilkan sebuah wadah yang dalam tempoh yang amat singkat, mampu menyerlahkan potensinya untuk menjadi wadah Umat Melayu yang mampu memberkaskan hasil kerjanya untuk disaksi dan dirasai sendiri oleh masyarakat Melayu khususnya dan warga negara ini amnya. Dengan tidak bermaksud untuk bermegah, malah dengan penuh rasa tawadhu’ diri mengembalikan segala pujian dan hadaf perjuangan kepada Allah SWT jua, kami bersyukur dengan setulusnya kepada Ilahi yang telah memungkinkan TERAS menyerlah dalam masa yang amat pantas.

 

Dalam kemelut Umat Melayu yang sedang kita saksikan kini, kita harus cukup insaf utnuk membentuk kesedaran diri yang mendalam dan merenung serta bertanya mengenai apakah nasib Umat Melayu di masa mendatang. Pertanyaan apakah masa depan Umat Melayu, tidak pula harus menggelapkan perhatian kita untuk meneliti apakah realiti Umat Melayu masa lampau dan masa kini. Untuk mengambil sikap biar yang dahulu berlalu, dan yang kini hanya diteliti merupakan kesilapan besar jika kita mengharapkan masa mendatang Umat Melayu akan cerah. Hanya mereka yang tahu kecuaian yang lalu dan kesilapan kini akan dapat menyusun langkah membentuk masa depan yang tepat dan betul.

 

Demikianlah TERAS memulakan usahanya. Kita harus cukup faham babak-baka sejarah yang melahirkan kita sebagai uamt Melayu yang ada kini. Adalah menjadi asas bergerak yang amat penting bagi TERAS merungkai situasi Umat Melayu masa lampau sehingga mampu memahami realiti masa kini. Sebab yang demikianlah kami membuat analisis status Umat Melayu pada empat fasa terpenting iaitu pra merdeka, ketika merdeka 1957,  detik hitam 13 Mei 1969 dan kejatuhan ekonomi 1997.

 

Realiti Umat Melayu dalam keempat-empat fasa ini mengajar kita betapa kekuatan dan kelemahan kita berkait rapat bukan sahaja kepada realiti politik tetapi merentas kepada pelbagai realiti bidang hidup yang lain ; sosio budaya, agama, ekonomi dan pendidikan orang Melayu.

 

Nasib Umat Melayu di waktu penjajah diwarnai dengan penderitaan dan himpitan. Dijajah oleh Portugis, Jepun dan Inggeris merupakan detik-detik pahit Umat Melayu diprbudak dan diperhamba oleh bangsa yang menjajah. Sungguhpun kita punyai sistem kesultanan yang bertapak kukuh memerintah rakyat Melayu, namun kedatangan penjajah silih berganti menjadikan keupayaan kuasa Sultan tidak bermaya membela nasib orang-orang Melayu.

 

Sebelum British akhirnya menyerahkan Tanah Melayu kepada anak watannya untuk diperintah sendiri, Umat Melayu telah ditinggalkan dalam keadaan tersisih, mundur dan terbelenggu dalam cengkaman penjajah.

 

Pengisisan kemerdekaan bukan mudah. Sememangnya British tidak semudah yang difikirkan untuk tunduk kepada desakan menuntut kemerdekaan. Sistem yang ditinggalkan dipastikan menjadi sistem pentadbiran negara selepas merdeka. Dari pendidikan, ekonomi, undang-undang sehingga pentadbiran, sistem British dipastikan terus berlangsung untuk beberapa lama. Sehingga pada saat ini sekalipun mentaliti penjajah masih kukuh tersemat dalam set minda dan budaya hidup golongan Melayu elit yang mendapat pendidikan langsung di zaman penjajah.

 

Ternyata Umat Melayu sebaik sahaja merdeka terpaksa dibantu dari segala segi. Uamt yang sengaja dibiar terpinggir dari kemajuan arus perdana terpaksa bertatih untuk belajar mentadbir negara. Sementara itu kaum lain yang mempunyai hubungan langsung dengan aset ekonomi negara dapat menguasai pelbagai sektor.

 

Dari sejak zaman Tengku Abdul Rahman, Tun Razak sehingga Hussein Onn, orang Melayu di asak dengan bantuan pembangunan bagi memastikan kaum pribumi ini mampu bersaing dengan kaum pendatang.

 

Sememangnya penyisihan Umat Melayu dari sejak awal merdeka amat ketara. Pada awal tahun 1970an sahaja taraf hidup Umat Melayu dibayangi dengan pendapatan perkapita yang sungguh rendah iaitu RM33.00 sebulan berbanding kaum Cina, RM68.00 dan kaum India RM57.00. Ketika itu 74% isi rumah msikin adalah orang Melayu dan 65% pula isi rumah orang Melayu adalah di bawah paras kemiskinan. walaupun dalam zaman Tun Razak peningkatan taraf hidup orang Melayu dapat diusahakan, namun pada tahun 1973 orang Melayu masih terus tinggal di belakang iaitu pendapatan isi rumah pada tahap RM71.60 sebulan berbanding kaum India RM124 dan kaum Cina RM154.

 

Kita telah menyaksikan pelbagai kemelut Umat Melayu dalam sejarah. Dari perebutan kuasa dalam politik sehinggalah kepada keruntuhan nilai dan budaya pada diri Melayu itu sendiri. Sejak dari memperjuangkan kemerdekaan sehingga pengenalan DEB serta perlaksanaan konsep penswastaan yang dikatakan untuk menjaga kepentingan orang Melayu, kita dapat merumuskan bahawa kedudukan orang Melayu amat berkait dengan sistem dan gaya kepimpinan yang diamalkan. Sistem dan gaya kepimpinan itulah yang mempengaruhi sosio-budaya orang Melayu dari segi berfikir, sikap dan keyakinan diri untuk meningkatkan keupayaan serta membangunkan bangsa.

 

Kini kita sedang melalui suatu lagi babak sejarah yang mencemaskan iaitu apabila negara dilanda kegawatan ekonomi mulai Julai 1997 sekaligus krisis politik. Sementara pimpinan negara begitu cepat menuding pihak luar sebagai punca kejatuhan ekonomi, golongan elit Melayu tidak bersedia mengakui betapa silapnya mereka mengheret orang Melayu dalam sistem ekonomi pasaran bebas dan mengamalkan politik kroni.

 

Tidak ada analisis yang benar-benar jelas untuk memperihalkan nasib-nasib orang Melayu dalam episod kegawatan ini. Apa yang dapat kita saksikan ialah usaha untuk menyelamatkan syarikat kroni pimpinan tertentu dengan perbelanjaan berbilion-bilion ringgit wang negara dilancarkan atas nama menyelamatkan pembangunan negara. Alasan memelihara sektor strategik digunakan, sementara realiti orang Melayu kebanyakan pula menghadapi tekanan yang amat parah akibat polisi mengheret mereka dalam ekonomi pasaran bebas. Orang Melayu tidak dapat pembelaan sebagaimana didakwa. Banyak usahawan Melayu terpaksa gulung tikra, pengangguran Melayu melonjak naik dan aset hartanah orang Melayu terlepas tangan kepada orang lain.

 

Serentak dengan itu politik Melayu merudum dalam kancah lubuk yang paling jijik dalam sejarah negara. Kezaliman disahkan melalui undang-undang dan penyalahgunaan apparatus rasmi negara. Penganiyaan dan penindasan dibenarkan untuk melindungi kerakusan dan nafsu besar golongan politik tertentu.

 

TERAS berpendirian selagi transformasi sosio-budaya untuk kembali kepada penghayatan Islam semurni dan setulennya gagal dicapai selagi itu nasib Melayu akan terbelenggu dalam kemelut yang kronik dan berterusan.

 

Kita panjat kesyukuran setulusnya kepada Ilahi kerana kita dianugerah kekuatan untuk menyanggah arus. Di kala pelbagai pihak ghairah, malah ternampak sangat gelojohnya menyambut arus permodenan, pembaratan dan globalisme, kita muncul dengan pendirian kritikal mempersoalkan semua itu. Apakah segala yang dipanggil moden dan berteknologi sanggih itu baik untuk kita. Apakah pelaburan ekonomi dari luar merupakan kekuatan yang perlu kita bersandar untuk kesejahteraan negara. Perlukah kita segala projek-projek bertaraf dunia dan berskala mega dilaksanakan di negara ini.

 

TERAS mempunyai pendirian bahawa semua ini telah mengelabui mata kita dalam pembangunan yang palsu dan salah. Kita berpandangan bahawa jika kita berjaya membentuk kerangka kemajuan dan pembangunan kita sendiri dengan tidak terikut-ikut dengan barat seperti yang dilakukan pemerintah sekarang kita tidak akan berada dalam situasi yang seburuk ini. Sistem kita sebahagian besarnya cenderung dan mirip barat. Tidak ada siapa yang boleh menafikan hakikat ini. Dari pendidikan, budaya, pengurusan hinggalah betuk pembangunan fizikal kita sebenarnya berkiblatkan barat.

 

TERAS mempunyai misi membangkitkan kesedaran kritikal Umat Melayu berasaskan bidayah (titik permulaan) bahawa Islam perlu kembali difahami, dihayati serta diterjemahkan dalam seluruh sistem hidup Umat Melayu. Dalam pada itu TERAS bergerak menyantuni segala masalah Umat Melayu dalam pelbagai aspek, pendidikan, kesihatan, ekonomi, budaya, tanah, bahasa, intelektualisme, media, perumahan serta prestasi segala agensi-agensi pemerintah yang sepatutnya menjaga kepentingan Umat Melayu. Pendekatan TERAS mudah iaitu kepincangan dibongkar, ditegur dan perubahan dituntut agar dilaksanakan, manakala alternatif penyelesaian dan dasar yang konstruktif didesak untuk membangunkan Umat Melayu diketengahkan.

 

Saudara-saudara yang dikasihi,

 

Kita perlu cukup sensitif terhadap nasib Umat Melayu yang kini diwarnai dengan pelbagai keruncingan. Masalah kita ialah gabungan dua unrus yang banyak mempengaruhi perjalanan hidup Umat Melayu iaitu kualiti kepimpinan di kalangan yang memegang kuasa dan komitmen membimbing dan menegur di kalangan yang mempunyai ilmu. Di tangan kedua-dua pihak inilah Umat Melayu ditentukan nasibnya. Malang sekali realiti yang berlaku ialah kedua-dua golongan ini telah mengkhianati amanah Umat sehingga penyelewengan, kepincangan serta pengkhianatan amanah berlaku secara berleluasa. Umat Melayu harus sedar faktor yang terpenting memastikan agar kedua-dua golongan ini tidak terus mengkhianati amanah ialah dengan membangunkan kesedaran baru agar mereka mampu meneliti dan menganalisa diri mereka sendiri untuk membawa perubahan.

 

Sesungguhnya kekuatan Umat Melayu jika disandarkan hanya kepada golongan pemerintah dan ilmuan yang telah menyalahgunakan kedudukan mereka akan mengakibatkan orang-orang Melayu terus menjadi mangsa kepada kerakusan mereka yang berkepentingan diri semata-mata. Hanya dengan mengusahakan perubahan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, Umat Melayu dapat menetukan nasib mereka sendiri dengan merdeka dan berdikari.

 

Dalam masa yang sama, kita juga akur bahawa pelbagai ketidak berkesanan agensi-agensi kerajaan yang kononnya didirikan untuk membantu orang Melayu telah turut menambah burukkan lagi keadaan. TERAS dalam pengalaman bekerjanya di lapangan masyarakat mendapati pelbagai kecuaian petugas-petugas agensi yang berkenaan telah membantutkan kemajuan orang Melayu malah ada yang menjadi sumber kepada penyisihan dan peminggiran orang Melayu sendiri.

 

Tidak sedikit agensi-agensi yang sepatutnya membela nasib orang-orang Melayu didapati menjadi penyebab kepada terjejasnya kehidupan orang mlayu. Isu seperti pengambilan tanah, pemindahan secara paksa, meluluskan projek-projek yang menjejaskan kepentingan usahawan orang-orang Melayu dan amalan rasuah merupakan penemuan TERAS dalam pelbagai gerakerjanya menangani persoalan orang Melayu .

 

Dengan yang demikian, kita cukup kritikal meneliti betapa puluhan agensi-agensi yang mendakwa fungsinya adalah untuk membantu orang Melayu sebaliknya telah menjalankan kegiatan yang memburukkan lagi kehidupan orang Melayu. Perubahan demi perubahan dituntut oleh TERAS ke atas pelbagai agensi-agensi kerajaan namun kita mendapati masih wujud sikap membisu dan tidak melayani tuntutan dan suara masyarakat sebagaimana sepatutnya oleh sebahagian pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan sama ada diperingkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

 

Oleh sebab demikianlah TERAS amat kritikal melihat fungsi dan peranan agensi-agensi kerajaan ketika mana berbilion-bilion ringgit diperuntukkan untuk melaksanakan tugas mereka namun manfaat sepenuhnya tidak dapat dirasai oleh masyarakat bawahan di kalangan Umat Melayu khususnya.

 

Justeru itu, kita dapat mengesan pelbagai masalah yang amat mengecewakan apabila masyarakat Melayu dikalangan kelompok pekebun kecil getah mengalami kehidupan yang tidak menentu apabila agensi yang berkaitan gagal menjalankan fungsi membantu menyelesaikan masalah harga getah yang kini amat meruncing.

 

Begitu juga nasib masyarakat Melayu golongan nelayan yang bertambah rumit apabila agensi yang bertanggungjawab membangunkan mereka sehingga hari ini gagal memastikan masalah-masalah mata pencarian mereka tidak terjejas oleh pembangunan yang merosakkan punca pencarian mereka seperti projek tambakan laut serta pencemaran industri.

 

Kita juga prihatin mengenai kedudukan masyarakat Melayu peneroka Felda yang kini dihadapkan dengan pelbagai bentuk pembangunan yang melibatkan pengambilan tanah. Sementara masih ramai peneroka terus terikat dengan hutang dengan pihak Felda, mereka pula kini dihimpit oleh pembangunan yang akan mengambil tanah yang telah mereka terokai selama ini.

 

Kita amat prihatin terhadap pelbagai isu orang-orang Melayu yang terus berpanjangan dan berterusan. Gejala sosial dan kelunturan akhlak masih belum tuntas di atasi oleh pelbagai gerakan di kalangan organisasi-ogranisasi Melayu. Berita mengenai bertambanya gejala penyalahgunaan dadah di kalangan generasi muda Melayu terus dilaporkan dalam mdeia. Tabiat lepak masih mewarnai perangai remaja Melayu yang amat ketara. Kegilaan kepada fesyen dan trend hiburan barat amat dominan di kalangan remaja Melayu. Sementara itu, institusi keluarga masih belum dapat diperkukuhkan sebagai benteng mempertahankan keutuhan sosial masyarakat Melayu. Gejala orang Melayu yang terlibat dengan kegiatan maksiat juga terus berleluasa.

 

TERAS tidak dapat mengenepikan perhatiannya yang serius terhadap isu pendidikan orang-orang Melayu. Sungguhpun berlaku peningkatan yang ketara dair segi bilangan pelajar-pelajar Melayu yang dapat tempat di pusat pengajian tinggi, namun prestasi pelajar Melayu pada keseluruhannya masih belum cukup memuaskan. Kita masih mempunyai masalah keupayaan penuntut-penuntut Melayu untuk mendapat tempat di institut pengajian tinggi swasta. Kini kita juga mempunyai pelbagai masalah pendidikan para pelajar Melayu di kawasan desa.

 

Disamping itu, kita terus berhadapan dengan masalah keciciran serta salah laku pelajar-pelajar Melayu yang terus tinggi. Perhatian ibu bapa Melayu dalam hal pendidikan terutama diukur dari segi keaktifan PIBG masih jauh terlalu rendah. TERAS telah menyuarakan pelbagai isu pendidikan yang menyentuh soal keberkesanan pembinaan sahsiah di kalangan para pelajar. Kita juga memberi perhatian yang serius terhadap latihan guru dan kurikulum yang belum menunjukkan kesan yang diharapkan untuk membentuk pelajar Melayu yang cemerlang. Kini isu pendidikan semakin ketara apabila pihak Kementerian Pendidikan menekankan bidang sains dan teknologi sebagai bidang yang diberi keutamaan. Implikasinya amat jauh apabila kita dapati bidang sastera dan pendidikan Islam mula dikesampingkan. Sementara itu, isu penswastaan IPT yang tidak diberi pertimbangan semula telah mewujudkan keadaan yang tidak menentu kepada pelajar-pelajar Melayu yang menghadapi dilema untuk mendapat tempat di IPT. TERAS juga mengambil kira kualiti mahasiswa-mahasiswa Melayu yang masih memerlukan pengukuhan apabila mereka terjun ke dalam pelbagai profesion. Adalah tidak mengejutkan bila kita dapati kualiti graduan-graduan Melayu ada yang masih janggal untuk berfungsi secara berkesan di dalam masyarakat dan kerjaya yang diceburinya.

 

Kita juga amat prihatin terhadap status kesihatan orang-orang Melayu. TERAS tidak faham kenapa isu kesihatan masih dikesampingkan oleh organisasi Melayu. Barang diingat, statistik menunjukkan bahawa taraf kesihatan dan perhatian bangsa Melayu dari segi kesihatan amat rendah berbanding dengan kaum lain. Sementara kes-kes penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, barah masih tinggi di kalangan orang Melayu, kita juga diharapkan dengan budaya hidup makanan dan pemakanan yang semakin tidak sihat. Pemakanan orang Melayu semakin tercemar dengan produk-produk baru yang tidak sihat. Orang Melayu semakin terheret di dalam budaya makanan segera yang datang dari luar. TERAS berpendapat bangsa Melayu akan menghadapi masalah yang serius jika kesihatan dari segi pemakanan dan gaya hidup selesa tidak difikir semula. Dalam tinjauan TERAS terhadap jenis-jenis pemakanan dan minuman remaja dan kanak-kanak Melayu kini sangat dipengaruhi oleh bahan-bahan makanan dan minuman yang tidak berzat serta memudaratkan. Adalah menjadi agenda penting di dalam perjuangan TERAS supaya aspek kesihatan orang Melayu di beri penekanan yang utama.

 

Kita juga melihat pembangunan desa yang semakin menjejaskan kehidupan orang Melayu. TERAS menangani isu kelenyapan kampung-kampung tradisional Melayu akibat dari projek-projek pembangunan terutama projek perbandaran baru. Kita amat khuatir terhadap nasib desa-desa orang Melayu yang menjadi mangsa kepada pembangunan. Bukan sahaja implikasinya dikaitkan dengan soal tanah dan penempatan orang-orang Melayu tetapi budaya dan sosial orang Melayu akan turut terjejas. Gerakan Desa Wawasan yang kononnya mempunyai pendekatan yang berbeza dalam pembangunan luar bandar, masih tidak menjaminkan kehidupan dan kepentingan orang Melayu. Pelbagai kepincangan dalam projek pembangunan desa masih terus berlaku dan pembangunan bandar masih terus diutamakan. Dengan yang demikian, desa terus dihimpit oleh pembangunan bandar. Dalam masa yang sama, pembangunan prasarana desa serta ekonomi kampung belum cukup meyakinkan untuk mewujudkan penyelesaian kepada migrasi generasi muda ke bandar-bandar. Akibat dari dasar yang tidak selaras, menyebabkan budaya Melayu yang mengutamakan desa semakin terhakis. Kita juga prihatin terhadap perlaksanaan terhadap pelbagai projek desa yang tidak menepati sasaran malah peruntukan yang kerap diselewengkan atas kepentingan politik. TERAS kerap menyuarakan hal ini dan ia akan terus diperjuangkan untuk memastikan orang Melayu di desa tidak menjadi mangsa.

 

Suatu isu yang perlu diberi perhatian terus dalam perjuangan TERAS ialah terhadap golongan pekerja orang Melayu terutama di sektor industri, pembinaan, perladangan dan pekerja Melayu khususnya belum cukup dibela. Kelemahan Kesatuan Sekerja untuk melihat pelbagai isu pekerja telah menjejaskan nasib pekerja-pekerja Melayu dalam sektor tersebut. Oleh sebab orang Melayu masih terus menjadi pekerja bawahan dalam sektor-sektor ini. Kebajikan mereka sering tersisih dari perhatian organisasi Melayu. TERAS masih mendengar dan mendapat laporan diskriminasi serta layanan majikan yang tidak adil pada peker-pekerja bawahan ini. Dengan yang demikian, perjuangan TERAS untuk melihat masalah pekerja Melayu juga akan dijadikan agenda penting.

 

Sering kedengaran isu kampung setinggan yang majoritinya diduduki oleh orang Melayu menghadapi pelbagai tekanan dari pihak swasta serta kerajaan. Pelbagai masalah telah dapat dikenalpasti apabila melihat persoalan kawasan setinggan orang Melayu. Bukan sahaja masa depan mereka tidak menentu malah hak mereka sebagai warga negara untuk mendapat perlindungan dari segi undang-undang sering diabaikan. TERAS mengambil perhatian yang amat serius terhadap nasib orang Melayu di kawasan setinggan di bandar-bandar utama. Tindakan meroboh, menghalau serta melayani secara kasar setinggan-setinggan yang tulen merupakan insiden-insiden yang sangat memeritkan. Justeru itu isu perumahan dan penempatan golongan setinggan ini akan tetap menjadi isu yang akan ditangani oleh TERAS. TERAS akan memantau kes-kes setinggan yang masih belum mendapat pembelaan yang pasti dari pihak-pihak berkuasa.

 

Isu yang juga utama dalam perjuangan oleh TERAS ialah melihat kepada status Bahasa Melayu. Kita terus kecewa dengan kedudukan bahasa Melayu yang masih terpinggir malah kini sudah mulai menunjukkan tanda-tanda bahawa bahasa tersebut akan tersisih dari arus perdana. Dengan sikap pemimpin negara yang mengutamakan bahasa inggeris untuk mencapai kemajuan, bahasa Melayu dianggap sebagai isu yang telah basi. TERAS tidak akan berkompromi dalam hal mendaulatkan bahasa Melayu. Sikap pemimpin-pemimpin politik serta pegawai kerajaan yang tidak peka terhadap bahasa akan dibangkitkan oleh TERAS. Tulisan Jawi yang sehingga kini semakin malap, malah semacam tidak mempunyai peluang untuk hidup seterusnya akan juga diketengahkan oleh TERAS.

 

Isu Islam dan dakwah islmaiah di negara ini juga akan dijadikan agenda utama dalam perjuangan TERAS. Kita kesal dengan kedudukan undang-undang syariah yang masih terpinggir dari arus perdana perundangan dan kehakiman negara. Hak Umat untuk mendapat pilihan bagi mengguna pakai undang-undang syariah terutama dalam hal jenayah dan Kanun Tanah masih dinafikan di negara ini. Sementara itu, TERAS memberi perhatian yang amat serius terhadap faham sekulasisme yang dipertahankan oleh pemimpin negara sebagai suatu faham yang disahkan di negara ini. Dengan yang demikian proses Islamisasi pelbagai bidang hidup orang-orang Melayu akan terencat akibat daripada faham sedemikian. Institusi Islam di negara ini seperti Jabatan Agama negeri-negeri, IKIM, institusi-institusi pengajian Islam, masjid-masjid masih belum menunjukkan keupayaan berfungsi secara berkesan untuk memimpin dan membimbing orang Melayu. TERAS kesal terhadap percanggahan polisi yang diamalkan oleh pemerintah dalam hal menangani program-program hiburan dan acara-acara yang jelas boleh menjejaskan akhlak Umat Melayu di negara ini. Sikap toleransi yang tidak jelas yang ditunjukkan oleh Pusat Islam telah menyebabkan Umat Melayu menjadi mangsa kepad tindakan agresif pihak-pihak lain yang mengutamakan keuntungan komersial.

 

Dalam menegakkan keadilan undang-undang di negara ini, kini kita sedang menyaksikan suatu kedudukan institusi kehakiman yang semakin dipersoalkan oleh rakyat. Disamping kita akur kepada kepentingan undang-undang, TERAS tidak dapat menerima perlaksanaan undang-undang yang zalim. Akta Rahsia Rasmi, akta Pertubuhan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Percetakan, Akta Pengambilan Tanah kerap digunakan dengan wewenang dalam menekan pihak yang ingin menegur dan menyuarakan sesuatu isu. Walaupun TERAS akur bahawa kestabilan masyarakat dan keselamatan negara perlu diutamakan, namun penyalahgunaan undang-undang melalui tekanan kuasa dari pihak atasan adalah tidak dapat diterima. Kita juga menyaksikan pelbagai pendedahan terhadap penyelewengan dan salahguna kuasa keselamatan yang dilakukan oleh pemimpin atasan. Keganasan serta menggunakan kekerasan yang melampau bukan sahaja menimbulkan tanda tanya rakyat terhadap pihak keselamatan, tetapi juga akan mencemarkan imej negara yang dikatakan mempunyai rekod berkesan dan mesra. Dalam pada itu, TERAS akan memberi perhatian terhadap isu perlaksanaan undang-undang Islam yang sepatutnya diusahakan oleh pemerintah tanpa prasangka. TERAS tidak dapat menerima pengekalan undang-undang ‘common law’ yang terus dipertahankan oleh pemimpin negara sehingga kini.

 

Dalam masa yang sama, TERAS akan menangani isu-isu yang jelas merugi dan memudaratkan masyarakat secara umumnya seperti arak, rokok, dadah, pornografi dan hiburan liar. TERAS akan menggembeleng masyarakat untuk melancarkan empen secara berterusan supaya semua perkara yang merosakkan ini akan dibanTERAS habis-habisan. Kita tidak akan berkompromi dengan pihak kerajaan yang sering membuat pendekatan yang bercanggah. Sementara satu pihak dari agensi kerajaan cuba membantersa ada pula agensi lain yang mengambil sikap membisu dan bertoleransi atas nama kita harus lebih terbuka dan lebih liberal. Gejala minum arak, tabiat merokok dan sedikit bahan-bahan porno ini akan menjadi sasaran untuk TERAS perangi bersama dengan masyarakat Melayu.

 

TERAS juga mengambil perhatian yang tidak kurang penting terhadap isu budaya negatif yang dipaparkan oleh astir-artis Melayu dalam dunia hiburan. Kini terlalu banyak gejala yang tidak mengenepikan bukan sahaja soal tatasusila orang Melayu malah mempersendakan agama. Gejala artis Melayu yang tidak menghormati akhlak Islam cuba dibangkitkan oleh TERAS supaya ia tidak terus berleluasa dan mempengaruhi remaja Melayu. TERAS membuat pelbagai teguran kepada golongan ini agar mereka benar-benar berfikir apakah pemaparan budaya pakaian serta hiburan yang diperkenalkan itu akan membantu mewujudkan generasi Melayu yang dihormati. Golongan artis-artis Melayu perlu ditegur dan dibangunkan agar tidak mudah diperalat oleh pihak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

 

Seperkara lagi TERAS akan memberi perhatian serius kepada soal amalan rasuah yang kini menjadi gejala yang semakin runcing. Kita kesal betapa kini budaya rasuah bukan sahaj terus berleluasa malah semakin disahkan oleh norma kehidupan masa kini. Orang Melayu yang terlibat sebagai pemberi dan penerima rasuah perlu dibanTERAS dengan pendekatan menegah. Budaya wang yang menjadi bahan yang merosakkan orang Melayu terpaksa diperangi habis-habisan. Budaya kroni dan nepotisme yang kini begitu popular dibangkitkan akan juga kita tangani supaya masyarakat Melayu dididik menolak dan tidak berkompromi dengan budaya ini. Fenomena orang-orang politik yang memperkayakan diri serta kerabat keluarga melalui amalan rasuah, kronisme dan nepotisme akan dijadikan isu penting dalam perjuangan TERAS.

 

TERAS semenjak 1 tahun beroperasi menggerakkan pendidikan dan pengembelengan Umat Melayu dalam pelbagai isu kemasyarakatan, akur kepada hakikat bahawa usaha yang bersungguh perlu dikerah untuk menangani persoalan budaya dan sikao orang Melayu dalam menguruskan kehidupan mereka sendiri. Amat ketara sekali persoalan keyakinan diri serta sikap negatif merupakan antara faktor asas yang menyebabkan orang emlayu berada di takuk yang mundur dan ketinggalan. Kita juga berhadaan dengan budaya bergantung dan mengharapkan segala-galanya diatasi oleh pihak kerajaan. Dengan yang demikian, kita dapati kita menjadi kaum yang sangat rendah daya inisiatif untuk mengatasi masalah secara tersendiri sekaligus gagal mengangkat martabat dan memajukan taraf hidup setanding dengan kaum lain yang sehingga kini terus  ke hadapan.

 

Pengalaman TERAS mengendalikan masalah-masalah sosial dengan menggerakkan pelbagai kempen dan pengembelengan di alpangan merupakan suatu usaha yang amat mencabar. Gerakan Ikatan Remaja Murni yang ditubuhkan oleh TERAS memperkayakan pengalaman kami bahawa mendekati golongan remaja adalah salah satu usaha penyelamat yang amat genting bagi memastikan generasi akan datang dapat dijamin kesejahteraannya. TERAS memperkenalkan ushaa mendekatkan remaja dengan institusi masjid melalui gerakan Unit Belia Masjid yang masih baru untuk difahami dan diterima oleh masyarakat. Namun begitu, kesan dan hasilnya sudah menunjukkan keyakinan kita bahawa gerakan perubahan sosial remaja melalui inisiatif TERAS ini boleh dikongsi oleh organisasi-organisasi Melayu yang lain. Untuk yang demikian TERAS mengusahakan perubahan Sekretariat Pengembangan Masjid bagi melihat semula peranan dan fungsi masjid dalam membangunkan masyarakat.

 

TERAS juga mempunyai tajribah (percubaan) nya sendiri dalam mengendalikan pengembelengan dan pendidikan masyarakat  Melayu setempat. Model membangunkan masyarakat setempat diusahakan melalui penubuhan organisasi tempatan iaiatu MERCU (Majlis Muafakat Kecemerlangan Pendidikan dan Pembangunan Lembah Bujang) serta SERU (Sekretariat Pendidikan Mukim Rungkup). Sehingga kini gerakerja terus dilaksanakan untuk mematangkan lagi model TERAS membangunkan masyarakat Melayu di kawasan berkenaan.

 

Kini kita melancarkan suatu kempen secara besar-besaran untuk menangani persoalan hidup bergantung di kalangan orang Melayu. Walaupun baru dilancarkan, namun TERAS yakin bahawa mesej yang cuba disebarkan di kalangan orang Melayu mengenai pentingnya hidup berdikari dan berinisiatif sendiri adalah sangat mustahak untuk menentukan kesinambungan survival hidup orang Melayu di masa mendatang. Kita yakin bahawa jika kesedaran meluas dapat dibangkitkan mengenai isu hidup berdikari ini, bangsa Melayu akan menempah sejarah baru dalam hidup mereka. Umat Melayu akan dapat benar-benar membebaskan hidup mereka dari sebarang kongkongan sekaligus mampu menentukan nasib sendiri dengan lebih yakin dan kukuh.

 

TERAS mengambil tanggungjawab berat bukan sekadar mendedahkan penyelewengan dalam pelbagai skim subsidi dan bantuan yang dicurahkan kepada orang Melayu tetapi sekaligus membebani amanah untuk mendidik sikap dan mentaliti orang Melayu supaya mengembelengkan diri mereka agar menjadi bangsa yang merdeka dari tabiat bergantung. Benar sekali telahan yang dibuat oleh Allahyarham Pendita Zaa’ba yang merumuskan kemunduran orang Melayu adalah disebabkan sebahagian besar mereka tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu menggantungkan diri dan harapan kepada orang lain. Orang Melayu lebih cenderung meminta bantuan dan pertolongan orang lain. Oleh yang demikian gerakan al-I’timad ‘ala al-nafs iaitu perangai bergantung kepada diri sendiri merupakan tema TERAS yang ingin disampaikan kepada Umat Melayu. Justeru tema ini adalah merupakan sebahagian dari sifat mulia yang dirangkumkan dalam makarimal akhlaq, maka perjuangan TERAS dalam hal ini tidak terlepas dari jihad yang dituntut oleh Islam. Kita perkemaskan usaha ini dengan mengambil iktibar dari bidalan Melayu yang menjadi pedoman kepada kita iaitu kata orang tua-tua

 

“berharap kepada anak, buta mata sebelah,

berharap kepada orang, buta mata keduanya”

Syair Arab pula ada memesan

“tidak ada yang boleh menggaru gatal kulitmu

sama seperti kuku tangan mu sendiri,

sebab itu buatlah oleh mu sendiri,

segala kerja tanggungan diri mu”

TERAS terus mengusahakan menanganii isu tanah orang-orang Melayu yang tidak kunjung selesai. Sementara pembangunan kini agak lembab akibat dari kegawatan ekonomi yang melanda, masalah pemindahan milik tanah Melayu samada Tanah Rizab Melayu mahupun Tanah Pegangan Bebas kepad abukan Melayu terus berlaku akibat dari tekanan yang kuat ke atas orang Melayu untuk mengutamakan wang tunai dari menjaga asett tanah milik mereka. Kita terus menyuarakan bantahan dan mengingatkan pihak kerajaan jika mereka cuai memastikan tanah milik orang Melayu terlindung maka pihak berkuasalah yang akan bertanggungjawab ke atas apa yang akan berlaku kemudian hari. Insiden-insiden pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah yang menjejaskan kedudukan orang Melayu masih berterusan dan gerakerja TERAS supaya nasib masa depan penempatan orang Melayu samada di bandar mahupun desa akan terus menjadi agenda penting dalam perjuangan TERAS.

 

Kita juga telah memperkayakan pengalaman bergerak di lapangan masyarakat dengan mewujudkan pelbagai rangkaian yang memungkinkan matlamat TERAS dapat segera dicapai. Walaupun kita hanya setahun jagung namun dengan gerakan agresif kita menghubungi seramai mungkin pihak yang bersimpati dan menyokong perjuangan TERAS, kita telah dapat mengembangkan jaringan kita dengan pelbagai pihak samada di peringkat individu maupun organisasi.

 

Lantaran itu kita mengupayakan gerakan TERAS agar dapat menangani isu-isu orang Melayu dengan lebih berwibawa dan meyakinkan melalaui bantuan dan sokongan kelompok penyelidik profesional, ahli akademik dan aktivis NGO yang mengkhususkan aktiviti mereka dalam isu-isu tertentu. Adalah menjadi misi TERAS agar semua golongan profesional dan ahli akademik dapat mengaitkan diri mereka dengan kegiatan masyarakat secara langsung dari hanya berada di menara gading dan berkedudukan selesa. Penemuan dan kegiatan penyelidikan mereka perlu dimanfaatkan untuk masyarakat. Dalam hal inilah TERAS memainkan peranan menghubungkan mereka dengan rakyat biasa.

 

Kita sedar bahawa sebuah gerakan yang berkesan memerlukan kader atau penggerak yang cukup terlatih dan dibekalkan dengan disiplin serta komitmen yang tinggi untuk mengendalikan isu-isu masyarakat Melayu yang ada masa kini. Cita-cita kita tidak akan kesampaian untuk membawa transformasi sosial secara berkesan jika kita gagal melahirkan individu penggerak Melayu yang mempu berperanan dan beraksi di lapangan. Justeru itu, kita menekankan perlunya proses melahirkan aktivis-aktivis yang siap sedia melaksanakan gerakerja kemasyarakatan di mana sahaja mereka berada.

 

Persoalan yang amat utama yang perlu dijawab oleh TERAS ketika ia melancarkan penubuhannya ialah mampukah ia melaksanakan cita-cita besarnya untuk menggerakkan transformasi Melayu di seluruh negara. Kami memberi reaksi yang jelas. Sementara TERAS yakin bahawa mesejnya akan sampai kepada seluruh insan Melayu, ia juga akan membina suatu barisan aktivis penggerak yang berkesan di seluruh negara sebagai agen perubah untuk membawa transformasi. Sememangnya proses ini amat rumit kerana ia membabitkan suatu penyediaan individu Melayu yang lengkap dengan sahsiah yang mantap dan kemahiran kemasyarakatan yang tinggi. Mengendalikan aktivis sosial di kalangan orang Melayu merupakan cita-cita TERAS untuk bertapak di seluruh medan dan lapangan.

 

Apakah mungkin kita dapat melaksnaakan amanah besra ini dalam kemelut ekonomi dan politik yang sedang menarik tumpuan yang lebih utama di kalangan masyarakat di waktu ini. Sementara TERAS tidak akan luput memberi perhatian serius terhadap kepincangan ekonomi dan kejelekan politik yang sedang dihadapi oleh masyarakat sekarang. Kita yakin gerakerja TERAS akan akhirnya difahami dan diberi perhatian serius oleh semua pihak. Sememangnya kepincangan politik yang berlaku sekarang amat mengecewakan serta menimbulkan rasa amat mual dari apa yang telah berlaku. Menzalimi seseorang melalui penggunaan perkakas kerajaan serta membentuk suatu gerakan menjatuhkan musuh politik secara paling jijik menuntut semua badan dan rakyat untuk bangun menentang dan menyatakan pendirian serta mendesak perubahan.

 

TERAS turut bersama dengan nadi dan denyutan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kezaliman yang berlaku dan sememangnya rasa terpanggil untuk menyatakan pendirian.

 

Namun begitu kita juga prihatin terhadap kepincangan pengurusan ekonomi negara yang dengan jelas telah disamun sebegitu rupa yang menyebabkan berbilion ringgit disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. Amat tidak dapat diterima dengan alasan apa sekalipun untuk membangunkan sesebuah kediaman bagi keselesaan peribadi seseorang pemimpin dan lebih buruk lagi menggunakan dana rakyat beratus juta ringgit untuk digunakan bagi mendirikan mahligai seorang pemimpin. TERAS mendesak agar amalan seumpama ini dibanTERAS serta-merta.

 

TERAS menuntut penjelasan dan mendesak ketelusan. Adalah menjadi tanggungjawab besar untuk TERAS melaksanakan fungsi mencegah kemungkaran dan penyelewengan di mana-mana peringkat sekalipun. Kita tidak dapat bertolak ansur terhadap amalan kronisme dan nepotisme. Kita menuntut semua wakil rakyat yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab memikul amanah rakyat membongkar, mendedah dan memperbetulkan penyelewengan yang berlaku. Wakil Rakyat yang membisu dan hanya menjaga periuk nasi semata-mata sepatutnya disingkirkan.

 

Demikian pentingnnya gerakan TERAS untuk membangunkan semula Umat Melayu. Nasib Umat Melayu bergantung kepada keupayaan kita mengembeleng semula serta membangkitkan kesedaran yang cukup kuat bagi memperbetulkan kecuaian yang kini berlaku. Umat Melayu seharusnya membangunkan keyakinan diri dan disiplin hidup. Sudah sampai masanya kita membanTERAS segala aspek negatif yang membelenggu watak orang Melayu. Kita mesti mengikis sikap meniru membuta tuli, hidup membazir dan suka menonjol-nonjol dengan hidup mewah. TERAS menggesa semua aktivis orang Melayu agar dapat mengamalkan peribadi contoh yang mulia sebagaimana yang terangkum dalam disiplin hidup islam. Membuang masa, tidak menepati janji dan tidak mahu dan tahu menjaga kebersihan perlu diatasi segera. Sifat malas dan menangguhkan kerja adalah penghalang kepada usaha mengembalikan hormat diri dikalangan orang Melayu. Sememangnya TERAS mengambil berat kepada ciri-ciri peribadi orang Melayu. Sesungguhnya jika terlekat kepada kehidupan orang Melayu, sifat-sifat yang melemahkan ini, cita-cita gerakan pembaharuan masyarakat Melayu tidak akan berjaya dicapai.

 

Kita diperingatkan untuk membangkitkan izzah dikalangan orang Melayu. Disiplin ilmu dan kekuatan iman adalah prasyarat terpenting. Justeru itulah tradisi dan adab ilmu sangat ditekankan oleh TERAS untuk diamalkan di kalangan aktivis. Kita ingin mengingatkan adalah sia-sia untuk sesiapa sahaja yang ingin bersama menggerakkan perubahan orang Melayu jika kedua-dua disiplin ilmu dan pengukuhan rohani tidak diambil berat oleh ahli aktivis. Sesungguhnya, kerja yang akan kita bebani ini memerlukan persiapan diri yang amat berat. Seberat kalimah kebenaran yang ingin kita sampaikan kepada Umat, seberat itulah jua persiapan menghayati kebenaran yang perlu kita terjemahkan dalam peribadi kita.

 

Percayalah bahawa apa yang diperjuangkan oleh TERAS ini terangkum dalam tuntutan amalan soleh yang amat perlu difahami oleh aktivis. Tidak ada apa yang  kita tuntut sebagai ganjaran melainkan keredhaan Allah jualah yang menjadi idaman. Kita mungkin tidak diberi perhatian malah tidak disanjung. Mungkin nama kita juga tidak terukir dalam catatan sejarah namun apa yang kita tuntut hanyalah bangsa dan Umat akan mendapat manfaat dari hasil kerja kita kerana  bukankah peninggalan amalan soleh kita jua yang akan menyelamatkan kita dari azab kubur.

 

Kebesaran, kekuatan, ketinggian dan kemuliaan yang sebenar bagi seseorang atau sesuatu Umat itu bila-bila masa pun akan sentiasa bergantung atau berasas kepada amal kerja melaksanakan kebajikan untuk semua dan menghindari kejahatan untuk semua. Inilah semangat dan roh jihad yang akan terpancar dalam gerakerja TERAS. Kepada Allah jua kita menyerahkan segala amalan.

 

 

Sekian,

 

Allahu Akbar Walillahil Hamd

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031