WAHAI KAUMKU…

 

Dalam usaha untuk menjayakan perjuangan mencetus perubahan ini kami tidak akan berputus asa dengan pelbagai isu yang timbul di tanah air ini  sehingga dianggap sebagai penghambat cita-cita besar kita untuk merealisasikan sebuah negara umat Melayu yang berdaulat sebagai negara Islam yang dapat dicontohi di seluruh persada dunia.

 

Di sinilah kekuatan kita teruji. Pada saat simpang siur satu demi satu isu yang meledak dalam keadaan kita tidak cukup bersedia inilah mengingatkan kita betapa perjuangan Rasulullah S.A.W. sahaja yang dapat meleraikan kekusutan yang muncul.

 

Ketika Rasulullah s.a.w merasai hampir kecewa dan hilang punca menghadapi karenah kaumnya yang mengambil sikap degil dan tidak mahu menerima kebenaran Al-Qur’an, Allah merawat hati baginda dengan kisah yang sangat menyentuh sanubari. Lihat seluruh inti dalam Surah asy-Syu’ara yang terserlah pedoman pelbagai senario yang diharungi para Rasul terdahulu.

 

Bukan sahaja Baginda diingatkan bahawa menjadi sangat mudah bagi Allah untuk menundukkan hati kaumnya yang degil, akan tetapi Allah membentangkan sirah para Nabi sebelum Baginda agar diambil ibrah yang besar dalam perjuangan ini.

 

 

PERTEMBUNGAN HAQ DAN BATIL

 

Lalu di ingatkan Baginda bahawa menjadi seorang pencorak zaman dan penggerak reformasi manusia bukanlah suatu perjuangan yang mudah. Walaupun dengan jaminan Allah bersama kaum Muslimin, ia tetap merupakan suatu pergelutan yang sengit kerana hakikatnya pertembungan yang sebenar ialah pertembungan antara yang haq dan yang batil.

 

Kami terpanggil untuk mengambil kesan dari panggilan Allah S.W.T. melalui Nabi-nabi-Nya lewat beberapa ayat yang khusus menyeru kaum mereka masing-masing:

 

“Katakanlah (Muhammad) “Wahai kaumku! berbuatlah menurut kedudukanmu, aku pun berbuat (demikian), kelak kamu akan mengetahui, siapa yang akan memperolehi tempat terbaik di Akhirat nanti. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung” (al-An ‘am: 135).

“Dan kepada penduduk Madyan, Kami telah mengutuskan saudara mereka Syuiab, dia berkata “Wahai kaumku! Sembahlah Allah, harapkanlah pahala hari akhirat, dan jangan kamu berkeliaran di bumi berbuat kerosakan” (al-Ankabut: 36).

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan di dunia hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu) , dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal” (Ghafir: 39).

“Sesungguhnya, kami benar-benar telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata “Wahai kaumku, sembahlah Allah tidak ada Tuhan bagimu selain Dia, sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang dahsyat (Qiamat)“  (Surat al-‘Araf: 59).

“Dan sesungguhnya, sebelum Harun telah berkata kepada mereka “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu hanya sekadar diberi cubaan (dengan patung anak sapi) itu dan sesungguh, Tuhanmu ialah (Allah) Yang Maha Pengasih, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku” (Taha: 90).

Demikian kami melihat betapa kerja  menangani nasib kaum sendiri adalah suatu yang sangat berat namun tetap perlu dilaksanakan. Kita boleh mengambil jalan mudah dengan hanya menjadi pemerhati atau paling maksima menjadi pembicara lantang semata-mata. Akan tetapi yang jelas ialah bagi sesiapa yang sensitif dengan kebejatan dan kepincangan kaumnya sendiri pasti akan rasa terpanggil untuk melakukan sesuatu.

 

Sememangnya kita tidak ada pilihan. Mahu tidak mahu kita perlu berusaha agar bangsa Melayu tidak terus dibelenggu oleh kepincangan yang ada. Seberapa rumit sekalipun, setiap aktivis tidak akan berani untuk menyatakan bahawa mehnah yang dihadapinya adalah jauh lebih berat daripada yang dihadapi oleh Rasullulah S.A.W. dan para Nabi sebelumnya.

 

Lantaran itu penggerak perubahan Melayu hendaklah bersiap untuk menghadapi kedegilan dan tantangan bukan sahaja dari kaumnya sendiri malah dari kalangan kerabat yang terdekat sekalipun.

 

 

ISLAH

 

Walaupun pelbagai usaha untuk menyedarkan orang Melayu mengenai kedudukan mereka  dilaksanakan, masih sangat sedikit yang mengambil berat dan masih sangat kecil yang mahu bertindak untuk mengubah keadaan. Akan terlihat keadaan mereka yang diistilah oleh al-Qur’an sebagai berperangai “sawaa ‘an alaihim” iaitu sama sahaja bagi mereka, sama ada diberi peringatan atau tidak, mereka tidak akan berubah.

 

Namun tanggungjawab untuk kita melakukan perubahan  tidak sama sekali akan luput dari tuntutan  Allah S.W.T.  Kita tetap memikul tanggungjawab untuk melakukan islah ke atas masyarakat sama ada berskala kecil atau besar, sama ada di bandar atau di desa , sama ada di peringkat lokal atau nasional.

 

Sungguhpun hambatan yang mendepani kita sangat berat dan rumit akan tetapi  kita harus yakin bahawa masih  ada harapan untuk kita membuka lembaran baru buat bangsa ini. Hanya sanya  yang kita perlu sedar  ialah proses untuk keluar dari kondisi terkongkong yang  telah membelenggu kita oleh sebuah sejarah penjajahan yang sedemikian lama akan menuntut kita untuk mempunyai kekuatan dan stamina rohani, emosi , mental dan fizikal  untuk mengharungi perjuangan yang akan  mengambil masa yang sangat lama juga.

 

Apabila kita berbicara soal al-mustaqbal bangsa Melayu iaitu masa depan yang bakal ditempoh oleh bangsa kita ini, kita tidak akan lepas dari berbicara kondisi bangsa kita masakini.  Berbicara soal kondisi masakini  inilah yang paling memerlukan kerahan fikiran, kesungguhan bertindak dan keiltizaman mengatur dan merencana strategi. Kita tidak akan boleh melakar perubahan bangsa jika kita tidak bersedia untuk menyiapkan kondisi yang cukup subur bagi menumbuhkan perubahan. Tapaknya mahu tidak mahu bermula dari sekarang dan bermula di sini.

 

Lantaran itulah para penggerak bangsa ini  harus bersedia menjadi pencetus kebangkitan yang murni dalam semua lapangan. Kita tidak boleh bersikap bersahaja dalam perjuangan ini jika kita jujur mahu melihat bangsa ini menjadi teras kepada pendokong kalimah Allah di rantau ini. Langkah kecil harus berkembang menjadi langkah besar, riak kecil harus bergerak menjadi gelombang besar.

 

Sesungguhnya bangsa Melayu sudah lama berada di pinggiran dan sedang terus meminggir, bukan sengaja kerana mahu menjadi sedemikian. Akan tetapi bangsa ini seolah-olah sudah melengkapkan dirinya  dengan syarat-syarat yang layak untuk menjadi terpinggir.

 

Masakan tidak, lihat sahaja betapa secara umumnya masyarakat bangsa kita masih leka dengan gejala berhibur berlebihan, sindrom kebergantungan yang masih sangat ketara, budaya membaca yang sangat kurang, institusi keluarga yang semakin rapuh, daya keusahawanan dan berswadaya yang belum cukup terbudaya, semangat kepenerokaan yang belum meluas, gejala sosial dengan hal-hal yang negatif yang tidak mereda, disiplin dan etos kerja yang tidak mantap .  Malah resepi bangsa terpinggir kita melengkap lagi apabila kita dihadapkan dengan realiti ketidakyakinan terhadap keupayaan sendiri.

 

 

REALITI BANGSA MELAYU

 

Sementara begitu banyak agensi formal pemerintah diwujudkan untuk memberi fokus kepada pengukuhan bangsa Melayu, namun tahap peningkatannya masih jauh dari memuaskan. Realiti bangsa menjadi lebih rumit tatkala sikap bersandar kepada bantuan menjadi faktor yang sangat melemahkan. Sindrom berpuas hati dengan apa yang ada menyebabkan bangsa ini  belum mampu menjadi kaum peneraju dalam ertikata sebenar.

 

Sangat malang, yang mempercepatkan peminggiran   ini adalah gara-gara mereka yang memegang teraju kepimpinan di pelbagai peringkat. Pemimpin-pemimpin bangsa secara umumnya belum dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang merdeka dari sindrom mentaliti terjajah. Sebagai natijahnya kelihatan pemimpin-pemimpin bangsa terus menyumbang kepada kelesuan dan sikap bebal yang menjangkiti masyarakat Melayu.

 

Jika adapun secebis kesedaran untuk benar-benar memperjuangkan nasib bangsa Melayu, yang jelas pemimpin-pemimpin Melayu masih bersifat retorik dengan slogan yang tidak bernilai selain hanya penambah halwa telinga. Bukan tidak ada pemimpin-pemimpin Melayu yang serius dan iltizam dengan kepemimpinan rakyat, namun yang menjadi persoalan sangat pokok ialah menterjemahkan  komitmen kepada tindakan rata-rata tidak dimiliki oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin Melayu.

 

Bangsa Melayu sangat memerlukan revolusi kembali kepada Islam bukan sahaja dalam horizon berfikir malah dalam sikap dan budaya tingkahlaku seharian. Penghijrahan yang jelas perlu segera dilakukan ialah untuk mengembalikan Islam  hidup dalam setiap saraf, otot, lidah dan pancaindera tubuh insan  Melayu seluruhnya.

 

Islam yang hidup dan mendarah-daging dalam kehidupan seharian manusia Melayu itulah yang perlu kembali menghuni di tanah air Melayu ini. Tidak ada formula lain. Kita menyeru bangsa ini dengan bermula dengan Islam, berlafaz dan bertindak dengan Islam dan berdestinasikan perjuangan untuk menegakkan Islam. Ini sahajalah yang bakal menjamin survival bangsa ini.

 

Memang ada halangan dan hambatan yang akan kita tempuh. Termasuk kemelut politik Melayu yang tidak menunjukkan tanda-tanda mereda.

 

Sebenarnya politik Melayu yang sering menjadi perbahasan hangat dewasa ini bukan suatu yang terlalu kompleks untuk dileraikan. Pada hakikatnya gara-gara khilaf pemikiran  yang menyebar kepada khilaf politik dan menghujung kepada krisis perpaduan adalah justeru bangsa ini gagal menjaga adab dalam berkhilaf.

 

Bukankah seharusnya kita cekap dalam berstrategi  dan  bijak dalam bertarung sepatutnya menyebabkan keutuhan kesatuan umat Melayu tidak berserakan dan dalam masa yang sama benang perselisihan ditarik dengan penuh hikmah.

 

Kami berpandangan bahawa kerana terlalu galak dalam merebut kuasa dan kedudukan inilah yang menyebabkan  tepung kesatuan ummah kini tumpah berselerakan untuk kemudian dipijak dan disapu bersih oleh seteru yang menunggu peluang menambah-hinakan ummah ini.

 

Sejak perseteruan dalam politik kita semacam kehilangan perhitungan sehingga adab susila dan aib lawan diheret ke mahkamah, dibicara di media dan akhirnya dibunuh karier politiknya.

 

Tradisi mendahului kesatuan ummah di atas serakah nafsu untuk berkuasa kini terhakis. Politik kembiri hanya kerana merasa terlalu layak untuk menjawat gelaran wakil rakyat telah mengakibatkan politik pentingkan diri dan politik kumpul kekayaan menjadi jangkitan yang semacam tidak terpulih lagi di kalangan bangsa Melayu. Walhasil kelihatan politik Melayu menurun ke darjat politik murahan hanya untuk menikmati kesedapan sesaat.

 

Tiada yang dapat diinspirasikan dari watak-watak politik Melayu selain politik saling mencela dan memfitnah sehingga kehilangan adab. Asalkan  pesaing dapat di’bunuh’, sudah cukup untuk dia merasa bahawa survival politiknya akan dapat dipertahankan. Merasa selesa dan berfikir diri sebagai tuan empunya kuasa telah menyesatkan ramai ahli politik.

 

 

PENGKHIANAT BANGSA

 

Namun yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila harga yang terpaksa dibayar akibat  amalan politik durjana  ini ialah keutuhan umat Melayu itu sendiri terjejas. Bukan sedikit kepentingan bangsa telah tergadai akibat politik sempit pemimpin-pemimpin Melayu yang sangat dangkal dan tidak bermoral.

 

Siapakah yang telah menghakis aset  tanah Melayu sehingga penempatan Melayu di kawasan strategik di kawasan bandar telah hampir pupus, jika tidak orang-orang elit Melayu sendiri, yang hanya melihat keuntungan sebagai pertimbangan yang satu-satunya ingin diraih dengan demikian rakus?

 

Siapakah yang telah membunuh tulisan jawi di persada tanah air ini sehingga tulisan jawi terkubur dengan segala implikasi ilmu yang dideritai umat Melayu sekarang, jika tidak pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang dirasuk arus kemodenan?

 

Siapakah yang menyebabkan anak-anak Melayu menjadi generasi sampah dengan kemasukkan budaya jijik yang dilesenkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu sendiri? Siapa yang telah memporak-perandakan ekonomi Melayu sehingga berbilion-bilion ringgit yang disalurkan kepada birokrat dan konglomerat Melayu berakhir dengan projek-projek terbengkalai dan wang yang akhirnya masuk ke kocek segelintir Melayu?

 

Siapakah yang telah mendirikan pelbagai projek mega mewah sehingga orang Melayu hanya berputih mata melihat kesenangan beberapa kerat Melayu yang akhirnya lupa diri? Siapa yang telah menyalahgunakan kuasa sehingga pelbagai agensi  yang telah diswastakan terpaksa diselamatkan  (bail-out) bila menanggung kerugian jutaan ringgit, dan matlamat untuk membantu Melayu di kawasan Bandar berkecai, kalau tidak keputusan oleh dua tiga kerat elit Melayu?

 

Demikian kita menyaksikan kepincangan yang tidak terperi gelagat dan gejala orang-orang Melayu yang seolah-olah tidak terawat lagi.

 

Sesungguhnya kaum Melayu yang sering menjadi bahan percaturan oleh para elit Melayu telah menyebabkan segala formula memulihkan bangsa ini berhujung dengan kegagalan.

 

Jika jelas 52 tahun kemerdekaan yang dinikmati oleh orang-orang Melayu hanyalah sebagai “fatamorgana”  (dilihat  dari jauh seperti bayangan air yang sepatutnya menghilangkan haus namun kosong bila didekati)  maka tidak ada jalan lain melainkan merubah seluruh formula yang terbukti gagal.

 

Kita tidak mungkin dapat menerima betapa akibat kelalaian bangsa Melayu kini bukan sahaja hak bangsa sudah dipersoal malah haknya untuk melaksanakan hukum Allah bagi menyantuni hidupnya sendiri sudah dicabar. Semenjak isu IFC yang berniat untuk menundukkan Islam kepada  kehendak dan restu agama lain, sehinggalah kepada gerakan Artikel 11 yang berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan untuk menuntut agar undang-undang murtad dimansuhkan dan kebebasan bertukar agama di kalangan umat Islam dijadikan hak tidak pernah sunyi dari persada bumi yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

 

Demikian dokongan dari golongan elit di kalangan kerabat pemimpin negara telah memberi laluan atas nama kebebasan bersuara untuk golongan yang mengutarakan pemikiran liberal menyebarkan aliran yang kononnya dianggap progressif.

 

Kini akibatnya pemimpin-pemimpin turut menafikan autoriti dalam ilmu Islam. Lalu mereka turut terheret dengan keghairahan untuk mempersoalkan pandangan ilmuan Islam tanpa mempunyai disiplin ilmu yang layak.

 

Sayangnya dalam hal-hal yang dianggap bukan bidang para ulama, pandangan ulama sering diminta untuk mengabsahkan pendapat mereka. Namun dalam hal bidang agama yang mereka tidak punyai latarbelakang dalam keilmuan Islam, dengan mudah pula mereka memberi komen yang tidak menghormati autoriti agama.

 

Akibatnya apa yang berlaku ialah satu demi satu kes mencabar hukum syariat diheret ke mahkamah sivil oleh golongan yang mendalangi gerakan menyudutkan hukum-hukum Islam hanya di penjuru soal peribadi semata-mata.

 

Kes penggunaan Kalimah Allah oleh akhbar Herald, penyebar agama Nasrani, kes sebatan ke atas Kartika berdasarkan enakmen agama Islam Pahang dan kes Redzuan Abdullah dan pengislaman anak-anaknya menjadi perdebatan umum seolah-olah hukum Islam dan mahkamah Syariah sudah hilang wibaya.

 

 

MEMBENTUK NEGARA BERTAMADUN TINGGI

Kita perlu berpegang kepada  budaya bertamadun tinggi sebagai asas membentuk sebuah jati diri negara. Budaya bertamadun tinggi merujuk kepada tamadun yang terjelma dari  nilai keinsanan yang murni menetapi maksud kedudukan insan yang menanggung beban amanah kekhalifahan untuk mengendali kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara, selaras dengan kehendak Penciptanya.

 

Tanpa usaha untuk mempertahankan nilai keinsanan dan tradisi murni yang menjadi teras kepada kebudayaan kebangsaan dan tanpa keprihatinan mengembangkan budaya tinggi  sehingga menjadi darah daging dalam setiap perjalananan dan proses pembangunan negara, maka akan terdedahlah negara dan rakyat kepada krisis dan kepincangan kemanusian yang parah. Negara akan dihuni oleh warga yang rosak nilai dan hilang jati diri sehingga jatuh ke gaung tamadun yang rendah dan penuh Zillah.

 

MEMBELA RAKYAT

Kita menyeru supaya semua penggerak kaum Melayu membentuk arah tuju dan corak kehidupan seharian masyarakat. Kami mengusulkan agar teman-teman pejuang memahami bahawa ketika budaya murni menjadi sesuatu yang abstrak dan tidak mengalir dalam kehidupan praktis masyarakat, maka budaya sampah dan budaya imperialisme dan budaya autokratik akan mengambil  tempat dan mendominasi kehidupan masyarakat.

 

Setiap teman seperjuangan seharusnya menjadi  benteng yang mengawal rempuhan budaya manipulatif dan budaya menindas. Untuk yang demikian kita perlu cepat mengenal erti kepalsuan, kepura-puraan dan kezaliman. Kita juga harus  segera menangkap kemungkaran yang tersirat dan merasa kegelisahan yang terselindung dalam benak masyarakat dan seharusnya menyuarakan rintihan masyarakat mustadhafin.

 

Nasib masyarakat terpinggir dan tersisih akan segera menjadi maudhu’ bicara dan luahan rasa paling pertama kepada seorang teman seperjuangan yang merakyat. Jeritan batin rakyat terpuruk itulah menjadi gelanggang bicara seorang seperjuangan yang bertindak untuk membangkit semangat hidup dan semangat memberontak ke atas ketidakadilan.

MEMANDU ARAHTUJU PEMBANGUNAN

Pembangunan sebagai suatu konsep yang diterima umum perlu dihadamkan ertinya secara mendalam dan kritikal. Keghairahan untuk membangun dalam kerangka dan falsafah kebendaan yang  sarat dengan nilai komersialisme yang bersifat kapitalistik akan memporak perandakan masyarakat. Pembangunan mengikut petunjuk angka-angka seperti  KDNK, Indeks Komposit, nilai matawang, kadar CPI dan inflasi, kemasukan FDI bukan pengukur mutlak untuk mentarafkan pembangunan sebenar.

 

Pembangunan negara perlu ditakrifkan dalam maksud dan kerangka budaya dan tradisi pembangunan bangsa berteraskan nilai dan falsafah hidup yang betul dan tepat seperti yang teracu dalam ajaran samawi. Kita semestinya beriltizam untuk memastikan pembangunan negara tidak tergelincir dari landasan keimanan, keinsanan, kebenaran dan keadilan dan akhlak unggul sehingga peranan setiap warga untuk mencorakkan kemajuan dalam bentuknya yang murni akan diusahakan secara penuh iltizam dan istiqamah.

 

 

PEMANTAPAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

 

Bahasa bukan sahaja jiwa bangsa malah ia adalah pentakrif kepada erti dan makna diri. Bangsa yang gersang bahasa akan gersang jiwa dan menjadi bangsa meraba-raba. Bahasa membentuk makna budi dan menyampaikan maksud “li ta’arafu”, yakni saling berkenalan dan hidup harmonis berkongsi dan saling menghormati. Bahasa Melayu sebagai bahasa bertamadun tinggi memenuhi ciri sebuah bahasa yang dapat menyampaikan makna diri dan makna bernegara.

 

Lantaran itu Bahasa Melayu  semestinyanya diperkasakan dalam semua sektor kehidupan formal mahupun tidak formal. Bahasa yang hidup ialah bahasa yang berinteraksi langsung dengan sumber ilmu yang murni sekaligus mengalir dalam kehidupan sehari-hari.

 

Kita semua memikul tanggungjawab ini supaya semua lapisan masyarakat dididik dengan menghidupkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi arus utama di semua sektor tanpa kecuali. Kekuatan penggunaan Bahasa Melayu sudah pasti bermula dari penggunaannya di semua tingkat dan lapisan kepimpinan negara dengan bersungguh sama ada pemimpin politik, pemimpim birokrat, pemimpin teknokrat, pemimpin professional, pemimpin intelektual, pemimpin korporat mahupun pemimpin akar umbi.

 

Jati diri rakyat hanya akan terpupuk dengan menempatkan kedudukan bahasa pada tempatnya yang tepat lagi benar. Martabat bahasa Melayu akan mencerminkan jati diri bangsa. Tatkala martabat bahasa Melayu berada di kedudukan yang rendah maka jati diri bangsa sekaligus akan mencermin kedudukan yang sama.

 

Lantaran itu adalah menjadi tanggungjawab semua yang sedar untuk menjadi penyangga kepada bahasa Melayu. Tunjang jati diri bangsa adalah pada bahasa yang menggunakan nilai tamadun keinsanan yang tinggi yang berpunca sumber dari makna dan takrif keinsanan yang murni. Para pejuang bangsa perlu menjadikan tugas ini sebagai madah kerjanya lantaran mengukuhkan jati diri bangsa adalah awlawiyyat yang tidak boleh dikesampingkan.

MEMPERJUANGKAN PRINSIP KEBENARAN DAN KEADILAN

Prinsip kebenaran dan keadilan adalah maudhu’ awla dan perkara dasar yang bersifat usul. Agenda Melayu adalah untuk menyerlahkan kedua-dua prinsip ini. Gerakerjanya adalah menjurus kepada pengungkapan prinsip al-haq dan al-’adl. Lantaran kedua-dua prinsip inilah yang paling ternoda dan dirempuh oleh kebejatan dari unsur al-batil dan al-zulm, maka kita sepatutnya memberi perhatian khusus untuk mendaulatkan kebenaran dan keadilan.

 

Ketika kezaliman berleluasa  rakyatlah yang sering menjadi mangsa, iaitu tatkala prinsip al-haq dan al-‘adl dilempar keluar oleh pemimpin-pemimpin serta penguasa bejat yang yang lupa diri. Kita berada di medan rakyat dan tatkala rakyat diperbudakkan oleh golongan mustakbirin, merekalah yang segera bangkit menyuarakan hak rakyat.

 

Kita sepatutnya sangat teliti dan mengamati gelagat pemimpin dan para niagawan. Mesej kerakyatan menjadi tema utama kerana sementara para budayawan berada di alam pemikiran penuh abstrak namun kitalah yang paling dekat merasai nadi dan benak rakyat.

 

MENGGERAKKAN DAYA TAHAN UNTUK MEREALISASIKAN KEMERDEKAAN  DALAM ERTIKATA SEBENAR

 

Erti merdeka tidak membawa makna sehingga kemerdekaan budaya tercapai. Sememangnya antara penjajahan militeri atau penjajahan politik dengan penjajahan budaya, penjajahan budayalah yang paling mendalam kesannya. Penjajahan budaya bermula dengan membunuh keyakinan terhadap budaya sendiri.

 

Rasa kagum dan kaget dengan budaya penjajah bertolak dari penjajahan pemikiran lewat skema pendidikan yang dirangka dalam semangat kagum kepada apa yang ada budaya penjajah. Bagi orang yang sedar, usaha mendidik dan mencetuskan rasa yakin dan bangga setiap warga dengan tradisi murni yang dicorak oleh jiwa yang merdeka amat diperlukan. Gerakan kebangkitan budaya mencetuskan gerakan kemerdekaan jati diri.

 

 

MEMBINA GENERASI

 

Melaksanakan gerakerja menyelamat kaum  hanya bermakna dengan wujudnya kesedaran membina generasi pelanjut. Gagal mendidik generasi pelanjut akan gagallah usaha membina tamadun bangsa. Generasi pewaris menentukan kesinambungan. Kita seharusnya memahami tugas dan tanggungjawab sekarang adalah untuk melahirkan zuriyyat yang mempunyai kesiapsiagaan.

 

Umat jangan terjebak dengan kealpaan duniawi sehingga meninggalkan zuriyyatan dhi’afa. Lantaran itu, tumpuan yang bersungguh-sungguh sepatutnya diberikan untuk mendekati golongan pewaris bangsa. Gerakerja yang bernuansa kepemudaan sekaligus menanam benih idealisme dalam berfikir serta dinamika aktivisme dalam bertindak diharap akan menyiapkan generasi pelanjut yang bakal berada di saf hadapan memperjuangkan budaya nusa dan bangsa.

 

Kebejatan budaya berpoya-poya di kalangan generasi muda kini sepatutnya dibendung melalui pendekatan mencegah, mendidik dan merawat. Budayawan pula akan sentiasa mengingatkan masyarakat dan golongan penguasa agar berwaspada dengan rempuhan budaya yang sedang merosakkan generasi pewaris.

KHATIMAH

Wahai kaumku, tiada imbuhan yang kami harapkan melainkan hanya imbuhan dari Allah Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya kami hanya menyeru kamu kepada satu kalimah sahaja iaitu sembahlah Allah dengan sembahan yang sempurna. Bahawa kami menjanjikan bahawa kaum bangsa Melayu ini akan menjadi kaum mulia hanya dengan Islam.

 

Kami menyeru dengan tulus ikhlas bahawa tiada yang lebih baik dari mengembalikan bangsa ini kepada ‘izzah atau kemuliaan Islam. Dan tiada yang lebih buruk daripada mengheret kaum ini kepada selain Islam. Dengan hati penuh ikhlas kami menyeru semua pemimpin-pemimpin Melayu supaya beristiqamah dengan Islam dalam memperjuangkan nasib bangsa. Adalah besar kemurkaan di sisi Allah S.W.T. manakala bangsa ini bersifat angkuh terhadap kalimah kebenaran yang dijamin Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan.

 

Wahai kaumku, bersegeralah bertindak menghapuskan semua kemungkaran yang menghijab bantuan Allah kepada bangsa Melayu. Bangkitlah untuk memastikan seluruh fasad dan mungkar tidak lagi menjadi sinonim dengan bangsa kita. Kenalilah betapa generasi masa depan akan tidak punya kekuatan untuk menghadapi cabaran mendatang jika kita tidak segera memerangi keruntuhan akhlak yang berleluasa di kalangan anak muda bangsa ini.

 

 

(Ucapan Bertindak Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan Ke-12 pada 1 Muharram 1431H/18 Disember 2009).

1 comments on “WAHAI KAUMKU…
  1. BASITAH BT. NAISERONG berkata:

    RISAU DENGAN SUASANA SEKARANG KERANA SEBAHAGIAN BESAR MELAYU ADA MENGUNGKAPKAN ” BAIK PEMIMPIN BANGSA LAIN KALAU BANGSA SENDIRI TAK BOLEH DIHARAP ” DAN ADA JUGA YANG KATAKAN ” APA SALAHNYA BANGSA LAIN MENTADBIR NEGARA? ” PENTING SANGAT KE PERJUANGAN MELAYU ?? INILAH LONTARAN-LONTARAN ANAK MUDA GENERASI MELAYU KITA YANG TERLALU TAKSUB DAN TAKJUB DENGAN FAHAMAN YANG DISAMPAIKAN OLEH SEBAHAGIAN BESAR AHLI AGAMA, MEREKA BERPENDAPAT AKHIRAT ESOK LEBIH UTAMA..BUKAN DUNIA, SEDANGKAN DUNIA ADALAH TAMBATAN KE AKHIRAT….YA ALLAH BANTULAH BANGSAKU, SEDARKAN MEREKA….KUATKAN PERJUANGAN KAMI DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA..

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031