10 GAGASAN BESAR BUDAYAWAN BERTINDAK

10 GAGASAN BESAR

BUDAYAWAN BERTINDAK

sebuah deraf saranan

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

MEMBENTUK NEGARA BERTAMADUN TINGGI

1.      MEMPERTAHAN , MENGEMBANG DAN MENTERJEMAHKAN  BUDAYA KEBANGSAAN SEBAGAI TERAS PEMBENTUKAN NEGARA BERTAMADUN TINGGI.

 

Budayawan Bertindak berpegang kepada  budaya bertamadun tinggi sebagai asas membentuk sebuah jati diri negara. Budaya bertamadun tinggi merujuk kepada tamadun yang terjelma dari  nilai keinsanan yang murni menetapi maksud kedudukan insan yang menanggung beban amanah kekhalifahan untuk mengendali kehidupan berkeluarga,bermasyarakat dan bernegara , selaras dengan kehendak Penciptanya. Tanpa usaha untuk mempertahankan nilai keinsanan dan tradisi murni yang menjadi teras kepada kebudayaan kebangsaan dan tanpa keprihatinan mengembangkan budaya tinggi  sehingga menjadi darah daging dalam setiap perjalananan dan proses pembangunan negara,maka akan terdedahlah negara dan rakyat kepada krisis dan kepincangan kemanusian yang parah. Negara akan dihuni oleh warga yang rosak nilai dan hilang jati diri sehingga jatuh kegaung tamadun yang rendah dan penuh Zillah.

 

MEMBELA RAKYAT

 

2.      MENJADI PEMBELA DAN PENYALUR  SUARA RAKYAT TERTINDAS MELALUI GERAKAN KEBANGKITAN BUDAYAWAN PRIHATIN .

 

Budaya adalah pembentuk arah tuju dan corak kehidupan seharian masyarakat. Tatkala budaya murni menjadi sesuatu yang abstrak dan tidak mengalir dalam kehidupan praktis masyarakat maka budaya sampah dan budaya imperialisme dan budaya autokratik akan mengambil  tempat dan mendominasi kehidupan masyarakat. Budayawan adalah benteng yang mengawal rempuhan budaya manipulatif dan budaya menindas. Kerana budayawanlah yang paling cepat mengenal erti kepalsuan , kepura-puraan dan kezaliman. Budayawanlah yang segera menangkap kemungkaran yang tersirat dan merasa kegelisahan yang terselidung dalam benak masyarakat. Maka budayawan seharusnya menyuarakan rintihan masyarakat mustadhafin . Nasib masyarakat terpinggir dan tersisih akan segera menjadi maudhu’ bicara dan luahan rasa paling pertama kepada seorang budayawan rakyat. Jeritan batin rakyat terpuruk itulah menjadi gelanggang bicara seorang budayawan rakyat yang berkarya untuk membangkit semangat hidup dan semangat memberontak ke atas ketidakadilan.

MEMANDU ARAHTUJU PEMBANGUNAN

 

3.      MENJADIKAN AGENDA BUDAYA SEBAGAI PEMANDU ARAH TUJU PEMBANGUNAN NEGARA .

 

Pembangunan sebagai suatu konsep yang diterima umum perlu dihadhamkan ertinya secara mendalam dan kritikal. Keghairahan untuk membangun dalam kerangka dan falsafah kebendaan yang  sarat dengan nilai komersialisme yang kapitalistik akan memporakperandakan masyarakat. Pembangunan mengikut petunjuk angka-angka seperti  KDNK , Indeks Komposit , Nilai matawang , kadar CPI dan inflasi , kemasukan FDI bukan pengukur mutlaq untuk mentarafkan pembangunan sebenar. Pembangunan negara perlu dita’rifkan dalam maksud dan kerangka budaya dan tradisi pembangunan bangsa berteraskan nilai dan falsafah hidup yang betul dan tepat seperti yang teracu dalam ajaran samawi. Budayawan Bertindak beriltizam untuk memastikan pembangunan negara tidak tergelincir dari landasan keimanan ,keinsanan , kebenaran dan keadilan dan akhlaq unggul sehingga peranan setiap warga untuk mencorakkan kemajuan dalam bentuknya yang murni akan diusahakan secara penuh iltizam dan istiqamah.

 

BAHASA MELAYU DALAM PROSES PEMBANGUNAN NEGARA

 

4.      MENGUSAHAKAN PEMANTAPAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM SEMUA SEKTOR PEMBANGUNAN.

 

Bahasa bukan sahaja jiwa bangsa malah ia adalah penta’rif kepada erti dan makna diri. Bangsa yang gersang bahasa akan gersang jiwa dan menjadi bangsa meraba-raba. Bahasa membentuk makna budi dan menyampaikan maksud “li ta’arafu” yakni saling berkenalan dan hidup harmonis berkongsi dan saling menghormati. Bahasa Melayu sebagai bahasa bertamadun tinggi memenuhi ciri sebuah bahasa yang dapat menyampaikan makna diri dan makna bernegara. Lantaran itu Bahasa Melayu  semestinyanya diperkasakan dalam semua sektor kehidupan formal mahupun tidak formal.Bahasa yang hidup ialah bahasa yang berinteraksi langsung dengan sumber ilmu yang murni sekaligus mengalir dalam kehidupan sehari-hari. Budayawan Bertindak mengambil beban ini supaya semua lapisan masyarakat dididik dengan menghidupkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi arus utama disemua sektor tanpa kecuali. Kekuatan penggunaan Bahasa Melayu sudah pasti bermula dari penggunaannya disemua tingkat dan lapisan kepimpinan negara dengan bersungguh semada pemimpin politik , pemimpim birokrat, pemimpin teknokrat, pemimpin professional, pemimpin intelektual, pemimpin korporat mahupun pemimpin akar umbi.

 

BAHASA MELAYU TUNJANG MEMBINA JATIDIRI BANGSA

5.      MENGANGKAT MARTABAT BAHASA MELAYU SEBAGAI TUNJANG MEMBINA  JATIDIRI BANGSA.

 

Seperti yang ditekankan dalam garis besar pertama , jatidiri rakyat hanya akan terpupuk dengan menempatkan kedudukan bahasa pada tempatnya yang tepat lagi benar. Martabat Bahasa Melayu akan mencerminkan jatidiri bangsa. Manakala martabatnya berada di maqam yang rendah maka jatidiri bangsa sekaligus akan mencermin kedudukan yang sama. Lantaran itu adalah menjadi tanggungjawab Budayawan untuk menjadi penyangga kepada Bahasa Melayu. Tunjang jati diri bangsa adalah pada bahasa yang menggunakan nilai tamadun keinsanan yang tinggi yang berpunca sumber dari makna dan ta’rif keinsanan yang murni . Budayawan menjadikan garis besar ini sebagai madah kerjanya lantaran mengukuhkan jatidiri bangsa adalah awlawiyyat yang tidak boleh dikesampingkan.

 

BERMAHABBAH DALAM KEPELBAGAIAN

6.      MERAIKAN KEHADHIRAN KEPELBAGAIAN BUDAYA YANG BERTERASKAN KEPADA NILAI KEINSANAN YANG MURNI YANG BERNUANSA SEJAGAT DALAM RANGKA SALING. BERTA’ARUF DAN BERMAHABBAH DALAM KEHIDUPAN BERNEGARA DAN BERBANGSA.

 

Garis besar ini merupakan garis memperakui dan merayakan kepelbagaian . Lantaran kepelbagaian budaya adalah fitrah akan tetapi pengukurnya tetap pada prinsip al haq. Budayawan sudah tentu memihak kepada hidup yang bernizam berteraskan kebenaran namun dalam kehidupan berqabilah ia saling menghormati dan saling bermahabbah . Budayawan meraikan perbezaan akan tetapi terus menerus juga berusaha mencari pencerahan . Dengan perbezaan ia tetap boleh saling hidup walaupun budayawan akan sering meneroka untuk dapat membezakan antara nur dan zulumah , antara al haq dan al batil, antara al ma’ruf dan al mungkar.

 

KEBENARAN DAN KEADILAN

7.      MEMPERJUANGKAN PRINSIP KEBENARAN DAN KEADILAN MELALUI GERAKERJA BUDAYA DAN KESUSASTERAAN UNTUK RAKYAT.

 

Prinsip kebenaran dan keadilan adalah maudhu’ awla dan perkara dasar yang bersifat usul. Agenda Budayawan adalah untuk menyerlahkan kedua prinsip ini . Karyanya semada yang berunsur seni mahupun berbentuk kesusasteraan ataupun berversi filem dilayar perak maupun dipentas drama , semuanya adalah menjurus kepada pengungkapan prinsip al haq dan al adl. Lantaran kedua-dua prinsip inilah yang paling ternoda dan dirempuh oleh kebejatan dari unsur al batil dan al zulm. Ketika ini berlaku rakyatlah yang sering menjadi mangsa tatkala prinsip al haq dan al adl dilempar keluar oleh pemimpin-pemimpin serta penguasa bejat yang yang lupa diri. Budayawan berada dimedan rakyat dan tatkala rakyat diperbudakkan oleh golongan mustakbirin , budayawanlah yang segera bangkit menyuarakan hak rakyat.

Budayawan akan sangat teliti dan mengamati gelagat pemimpin dan para niagawan.Mesej kerakyatan menjadi tema jumhur para budayawan kerana sementara para budayawan berada dialam pemikiran penuh abstrak namun merekalah yang paling dekat merasai nadi dan benak rakyat.

 

KEMERDEKAAN BUDAYA

8.      MENGGERAKKAN DAYA KETAHANAN BUDAYA UNTUK MEREALISASIKAN KEMERDEKAAN  DALAM ERTIKATA SEBENAR PADA SETIAP KEHIDUPAN WARGA.

 

Erti merdeka tidak membawa makna sehingga kemerdekaan budaya tercapai.Sememangnya antara penjajahan militeri atau penjajahan politik dengan penjajahan budaya , penjajahan budayalah yang paling mendalam kesannya. Penjajahan budaya bermula dengan membunuh keyakinan terhadap budaya sendiri. Rasa kagum dan kaget dengan budaya penjajah bertolak dari penjajahan pemikiran lewat skima pendidikan yang dirangka dalam semangat kagum kepada apa yang ada budaya penjajah. Budayawan mendidik dan mencetuskan rasa yakin dan bangga setiap warga dengan tradisi murni yang dicorak oleh jiwa yang merdeka. Gerakan kebangkitan budaya mencetuskan gerakan kemerdekaan jati diri. Budayawan mempelopori gerakan kemerdekaan sejati.

 

MEMELIHARA KELESTARIAN ALAM

 

9.      MENDIDIK BUDAYA HIDUP LESTARI ANTARA INSAN DAN ALAM DALAM MENZAHIRKAN FUNGSI KEKHALIFAHAN MANUSIA KEPADA PENCIPTA.

 

Budayawan seharusnya berfikrah alamiah,berjiwa Khalifah. Pengamatannya merentas sempadan sehingga jiwanya mampu bersentuhan dengan alam syahadah Seluruh pelusuk alam menjadi sumber inspirasinya.Sensitiviti budayawan kepada alam terserlah dalam seni dan karyanya. Dalam kalimah dan bicaranya . Memang budayawan mendapat ilhamnya melalui alam ciptaan Tuhan yang sifar cacat dan sempurna keseimbangannya. Lantaran itu budayawan beragenda mendidik warga agar menghalusi jiwa dan mengapriasasi setiap kewujudan makhluq semada yang merangkak mahupun yang melata ; tumbuhan dan haiwan, lautan dan sungai, udara dan air , unggas dan serangga. Budayawan mengawasi perlakuan masyarakat dan para niagawan yang sering memperkosa alam atas alasan mendapat jalan pintas untuk mengeskploitasi serakusnya.

 

MEMBINA ZURIYYAT PELANJUT

 

10.  MENUMPUKAN PERHATIAN KEPADA PEMBINAAN GENERASI MUDA SEBAGAI PELANJUT PERJUANGAN NUSA DAN PEWARIS BUDAYA BANGSA.

 

Melaksanakan garis-garis besar budayawan Bertindak  hanya bermakna dengan ujudnya kesedaran membina generasi pelanjut. Gagal mendidik generasi pelanjut akan gagallah usha membina tamadun bangsa. Generasi pewaris menentukan kesinambungan. Budayawan memahami tugas dan tanggungjawabnya adalah agar melahirkan zuriyyat yang mempunyai kesiapsiagaan. Budayawan sering mengingatkan amaran agar jangan terjebak dengan kealpaan sehingga meninggalkan zuriyyatan dhi’afa. Lantaran itu tumpuan bersungguh akan diberikan untuk mendekati golongan pewaris bangsa. Gerakerja yang bernuansa kepemudaan sekaligus menanam benih idealisme dalam berfikir serta dinamika aktivisme dalam bertindak diharap akan menyiapkan generasi pelanjut yang bakal berada di saf depan memperjuangkan budaya nusa dan bangsa. Kebejatan budaya berpoya-poya dikalangan generasi muda akan dibendung melalui pendekatan mencegah , mendidik dan merawat . Budayawan akan sentiasa mengingatkan masyarakat dan golongan penguasa agar berwaspada dengan rempuhan budaya yang sedang merosakkan generasi pewaris.

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031