JATI DIRI MELAYU

Takrif Melayu

 

Siapakah Melayu? Soalan ini tidak mudah untuk dijawab kerana sesungguhnya Melayu mempunyai takrif dan makna yang luas. Dari segi sosio-budaya, Melayu bukan sahaja merujuk kepada bangsa yang asalnya mendiami Semenanjung Tanah Melayu, tetapi juga termasuk seluruh suku-bangsa yang menduduki kepulauan Melayu-Indonesia, Melayu di selatan Thailand, Singapura, Brunei, Filipina, Kemboja dan lain-lain lagi. Di Malaysia, Melayu kini lebih dikenali sebagai rumpun Melayu atau bumiputera.

 

Biasanya Melayu didefinisikan sebagai penduduk asal negara ini, berkulit sawo-matang, putih dan kuning-langsat, terdiri daripada suku-suku Melayu-Utara, Melayu-kelantan, Melayu-Terengganu, Melayu-Pahang, Melayu-Perak, Melayu-Selangor, Melayu-Melaka, Melayu Johor-Riau, Melayu-Borneo, Melayu-Brunei, Bugis, Jawa, Minangkabau, Aceh, Banjar, Mendailing, Rawa dan lain-lain lagi.

 

Menurut Syed Husin Ali, kedatangan penjajah Baratlah yang telah membahagi-bahagikan sempadan politik kepulauan Melayu sehingga Tanah Melayu terpisah dari Indonesia dan Finipina.

 

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Melayu ditakrifkan sebagai “seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat-istiadat dan adat resam Melayu” dan (a) lahir, sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada Hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut itu (Perkara 160, Fasal 2).

 

Memang kedengaran suara-suara sumbang yang cuba menolak takrif ini. Mereka mahu mengugurkan frasa “yang menganut agama Islam” dengan alas an untuk meluarkan definisi Melayu. Namun, sekiranya frasa tersebut digugurkan, mungkin suatu hari nanti ciri asal Melayu itu akan luntur. Identiti Melayu akan menjadi kabur dan generasi baru Melayu kelak akan kehilangan jati diri dan mungkin akan tercabut terus dari akar budaya Melayu-Islam yang kita warisi. Oleh itu, takrif Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan wajar dipertahankan.

 

Daripada takrif Melayu yang sah di sisi Perlembagaan itu nyatalah bahawa unsur utama yang mendasari jati diri Melayu itu adalah agama Islam. Yang uniknya, Melayu di Malaysia adalah salah satu daripada bangsa di dunia ini yang seluruh umatnya menganut agama Islam. Dengan kata lain, Melayu itu mestilah beragama Islam dan barangsiapa yang “murtad” (keluar agama), dia tidak lagi layak dianggap sebagai berbangsa Melayu dan tidak layak menerima Hak Istimewa Orang Melayu.

 

Zaman Permulaan

 

Ahli-ahli sejarah memang sepakat tentang fakta bahawa orang Melayu sudah menetap di Semenanjung Tanah Melayu sejak kira-kira 5,000 tahun dahulu. Ini berdasarkan bukti-bukti sejarah daripada sumber arkeologi dan penempatan yang hampir sempurna antara tahun 3,000SM dan 2,000SM. Hubungan perdagangan Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali sebagai The Golden Khersone dengan Negara-negara lain di Asia Tenggara telah terjalin antara tahun 1,000SM dan 500SM.

 

Dengan itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa orang Melayu adalah penduduk asal dan pewaris mutlak Semenanjung Tanah Melayu yang sah.

 

Perkembangan sejarah pula turut menyaksikan bahawa bumiputera Sabah dan Sarawak juga adalah sebahagian daripada rumpun Melayu yang sudah bertapak di kepulauan Borneo, sebagai sebahagian dari gugusan kepulauan Melayu yang merangkumi Indonesia, brunei dan Singapura atau dikenali juga sebagai Nusantara. Nusantara berasal daripada kata “nusa” dan “antara”, yang menggambarkan pertautan erat antara seluruh suku-bangsa yang menghuni kepulauan Melayu.

 

Perhubungan erat dalam bentuk ikatan kekeluargaan, persaudaraan dan kerajaan di sebuah kawasan yang luas dari Pattani hingga ke Temasik, dari Sumatera ke Pulau Jawa dan kemudian merentas ke Borneo, Sulawesi dan Filipina ini merupakan rangkaian atau networking dunia Melayu yang membetuk suatu kesatuan budaya dan bahasa.

 

Daripada kesatuan budaya dan bahasa, hubungan ini terus dijalinkan dalam bentuk hubungan kerajaan, keagamaan, keilmuan, perdagangan dan kemasyarakatan yang akhirnya membetuk tamadun Melayu yang mempunyai jati diri yang unggul dan tersendiri.

 

Bahkan, tamadun Melayu ini kemudiannya tersebar begitu luas meliputi perpantaian Afrika, ke utara hingga meliputi Sri Lanka dan Kemboja, Taiwan dan Jepun dan ke timur hingga ke seluruh kepulauan Pasifik, termasuk ke Thursday Island di Queensland, Australia. Pusatnya berlegar di sekitar Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa.

 

Oleh itu, wujudlah Melayu-Siam, Melayu-Singapura, Melayu-Filipina, Melayu-Brunei, Melayu-Indonesia, Melayu-Champa, Melayu Sri Lanka dan Melayu-Madagaskar.

 

Identiti Dan Jati Diri Melayu

 

Walaupun kerajaan-kerajaan Melayu sudah wujud sebelum ini, namun zaman Kesultanan Melayu Melaka telah memulakan babak sejarah yang amat penting dan signifikan dalam membentuk “identiti dan jati diri” Melayu yang benar-benar mempunyai keperibadian yang tersendiri dan diwarisi hingga ke hari ini. Kehadiran Islam ke Nusantara menjadi titik-tolak sejarah besar dan bermakna kepada bangsa Melayu sehingga tamadun Melayu diakui kewibawaannya hingga sekarang.

 

Agama Islam diakui oleh ahli-ahli sejarah sebagai pembawa perubahan dan pencetus zaman kegemilangan Melayu di rantau sebelah sini. Berkat penerapan ajaran Islam yang dinamik dan progresif ini, kepulauan Melayu telah mengalami apa yang disifatkan oleh Prof. H. Kern sebagai “the revolution from within”, revolusi dalaman yang secara drastik telah mengubah identiti dan jati diri, membebaskan akal-budi dan pemikiran orang Melayu daripada belnggu tahyul dan mitos, lantas membimbingnya ke dunia nyata dan rasional. Islam mencetuskan dan membangunkan tradisi ilmu dan tamadun akliah-rohaniah yang berkembang subur dengan begitu pantas dan menyeluruh.

 

Apa yang dikenali sebagai “faham jahiliah” dengan anutan pelbagai kepercayaan pelbagai kepercayaan animisme, Hinduisme dan Buddhisme yang dikatakan lebih mementingkan upacara dan kesenian (estetika) itu tidak membawa sebarang kemajuan dan pembangunan kepada dunia Melayu. Walaupun saki-baki adat istiadat dan adat resam Hinddu-Buddha kononnya masih “melekat” di kalangan orang Melayu seperti adat persandingan, istiadat perajaan dan amalan perbomohan, namun adat dan amalan-amalan tersebut sudah diwarnai atau  diIslamkan hampir sepenuhnya.

 

“Faham Tauhid” atau faham Keesaan Tuhan yang menjadi paksi dan asas utama ajaran Islam telah diterima baik oleh orang Melayu. Sesuai dengan sifat ajaran Islam yang bertepatan dengan fitrah kejadian manusia, Islam telah menjadi pilihan orang Melayu sebagai “the way of life” atau cara hidup yang mengubah cara hidup lama zaman animisme dan Hindu-Buddha. Pada hakikatnya, Islamlah yang menjadi pentakrif dan pentafsir kepada kebangkitan orang Melayu dalam segala aspek kehidupan.

 

Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islamlah yang telah memperkenalkan dunia Melayu kepada budaya ilmu dan pemikiran rasional yang menolak faham tahyul dan mitos. Islam jugalah yang memperkenalkan dunia Melayu kepada dunia luar, baik timur mahupun barat, sehingga memungkinkan bangsa Melayu mengadun, menempa dan membina sebuah kesultanan yang cukup masyhur dalam sejarah.

 

Islamlah juga yang telah menyempurnakan faham keperibadian sendiri, mengemaskinikan Faham Kebangsaan Melayu dan menjadi faktor pemersatu (the unifying force) orang-orang Melayu di rantau ini sebagaimana yang diungkapkan oleh Syed Naquib dalam bukunya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu:

 

“Meskipun unsur-unsur nasib politik dan keturunan telah ada rumusannya di kala sebelum Islam telah menyerapi perolahan sejarah yang menuju ke arah kebangsaan, tetapi kedua-dua unsur ini sahaja tidak mencukupi syarat kehendak sejarah bagi membawa kepada faham kebangsaan yang sebenarnya. Hanya dengan kedatangan Islam, yang membawa ke dalam perolahan sejarah Kepualauan ini dua unsur lain yang tadinya tiada nyata. Iaitu unsur-unsur penyatuan satu bahasa sastera, dan satu agama serta segala kebudayaan yang bersangkutan dengannya, barulah sempurna dalam sejarah Melayu-Indonesia faham keperibadian sendiri yang membentuk faham kebangsaan” (h. 56).

 

Hal ini dapat dibuktikan memalui contoh bahasa. Islamlah yang mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa pada zaman itu. Bahasa Islam (iaitu bahasa Arab) telah menyerap masuk ke dalam bahasa Melayu, membawa konsep-konsep baru yang sebelum itu tidak wujud dalam perbendaharaan kata Melayu.

 

Perkataan-perkataan seperti amal, adab, adil, alam, ilmu, iman, ihsan, ibadah, halal-haram, hayat, jasad, jihad, makruf, mesyuarat, nikmat, qariah, sabat, taat dan lebih separuh daripada perkataan bukan benda diambil secara langsung daripada bahasa Arab (sila rujuk Kamus Dewan, rujuk asal kata daripada kependekan Ar). Perkataan-perkataan ini bukan sahaja menjadi pelengkap perbendaharaan kata Melayu, malah menjadi ciri asas kepada pembinaan keperibadian dan jati diri bangsa Melayu itu sendiri.

 

Contoh yang lebih jelas tergambar dalam perkara-perkara kebudayaan atau cara hidup orang Melayu. Islamlah yang telah memberikan “prinsip-prinsip kehidupan” kepada manusia Melayu dengan menegaskan dasar kehidupan melalui prinsip-prinsip keadilan, prinsip hidup bermasyarakat dan bernegara, pinsip makan-minum, prinsip berpakaian dan sebagainya. Ini tergambar dengan kata-kata “raja adil raja disembah (ditaati), raja zalim raja disanggah”, “syura”, “amanah”,  “hak dan batil”, “halal-haram”, “aurat” dan lain-lain lagi. Prinsip-prinsip akhlak inilah yang membentuk identiti dan jati diri bangsa Melayu.

1 comments on “JATI DIRI MELAYU
  1. JATI DIRI MELAYU | TERAS Pengupayaan Melayu…

    […]TERAS DESAK BATALKAN PROJEK MENARA 100 TINGKAT … agama Islam, lazimnya bertutur dalam bahasa … drastik telah mengubah identiti dan jati diri, membebaskan akal-budi dan …[…]…

Tinggalkan komen

Perhubungan TERAS

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS), sila hubungi:

Salman Siddiqiy (019-4013782)
Cikgu Azmi (019-4744856)
Tarmizi (017-5606131)

KELAS BAHASA ARAB
(selangkah memahami al-Quran dan As-sunnah)
Di Kiosk Palestin, Sungai Petani
Hubungi : Ustaz Salman 019-4013782

laman utama
Jumlah Pengunjung
  • 447,065 hits
Kalendar
Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031